Sabtu, 4 Februari 2012

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Pengajaran : Dibelit ular sawa ketika ehem ehem ....

Posted: 04 Feb 2012 07:27 PM PST

Pengalaman saya berhadapan dengan sepasang tunang yang mengadu menghadapi masalah besar beberapa tahun lalu," beritahu Ustaz Abdullah Mahmud, penceramah bebas yang dikenali ramai. Tambahnya, beliau memang tidak hairan dengan pendedahan tersebut kerana sepanjang menjadi penceramah, kaunselor dan merawat orang, dia didatangi oleh golongan remaja yang mengadu menghadapi masalah akibat terlanjur terutamanya si wanita yang mengandung setelah berzina di merata tempat tak kira hutan, hotel, rumah kosong, dalam semak, kereta dan sebagainya. "Adakalanya saya menitiskan air mata apabila mengingatkan pergaulan bebas anak muda kita yang makin menjadi-jadi. Mereka ini langsung sudah tidak takut bala Tuhan.Mereka sudah tidak dapat membezakan antara halal dan haram," tegas beliau dengan nada kesal.


Berbalik kepada pasangan tunang yang datang menemui beliau di pejabatnya di Batu Caves, Selangor ketika itu, Ustaz Abdullah menjelaskan pasangan itu yang berumur lingkungan pertengahan 20-an itu datang untuk meminta pertolongannya. "Apa yang boleh saya bantu encik?" Tanya Ustaz Abdullah kepada mereka. Si lelaki kelihatan malu-malu untuk menceritakan masalahnya manakala si perempuan mencubit paha lelaki itu mungkin meminta agar segera menceritakan masalah mereka. Ustaz Abdullah yakin masalah yang dihadapi oleh pasangan itu agak berat kerana berdasarkan pengalaman, lazimnya hanya mereka yang menghadapi masalah besar saja akan pergi menemui kaunselor atau ustaz bagi mencari jalan agar kekusutan yang dialami mereka terlerai. "Ustaz...macam ini, saya dan tunang saya ada masalah sikit. Ketika tidur, saya selalu nampak ular dalam rumah. Begitu juga dengan tunang saya. Seringkali ketika tidur, tunang saya menjerit-jerit. Dia kata ular besar datang membelitnya. "Saya sendiri sudah takut hendak masuk di dalam semak kerana sering terbayang ada ular," beritahu lelaki itu ringkas.

Mendengar masalah itu, Ustaz Abdullah termenung sejenak. Dia merenung memikirkan "penyakit" aneh yang dihadapi oleh pasangan itu. "Awak pernah pukul ular ke?" Ustaz Abdullah mengajukan soalan rambang . Bagaimanapun lelaki itu menggeleng kepala sambil memberitahu dia tidak pernah memukul ular. Lelaki itu turut memberitahu dia dan tunangnya jadi fobia kepada ular dan akibat itu badan mereka menjadi lemah tidak bermaya akibat sering terkejut. Mereka juga menyatakan telah pergi menemui beberapa orang bomoh meminta air penawar agar kelibat ulat tidak tergambar lagi dalam bayangan matanya tetapi semuanya tidak menjadi. "Selalunya kalau jadi macam ni, pasti ada sebabnya. Kalau tidak ada sebab tertentu, setahu saya perkara seperti ini tidak akan berlaku tambahan lagi berdasarkan pengamatan saya, awak berdua bukan terkena sihir," kata Ustaz Abdullah yang menyedari pasangan tunang itu cuba menyembunyikan cerita yang sebenar kepadanya. Namun lelaki itu tetap berkeras menyatakan mereka tidak pernah melakukan sesuatu kesalahan seperti memukul ular dan sebagainya."Tak perlu hendak malu. Saya hendak tahu ini pun, bukannya saya bermaksud hendak campur hal encik tapi dengan mengetahui puncanya, mudahlah sikit saya berikhtiar kalau-kalau ada serasi, Allah akan makbulkan permohonan kita," pujuk Ustaz Abdullah lagi. Sebaik saja mendengar kata-kata itu, wajah mereka tiba-tiba berubah.

Si perempuan pula tiba-tiba menitiskan air mata manakala yang lelaki tunduk ke bawah memandang lantai. Dia kelihatan malu untuk bertentangan mata dengan Ustaz Abdullah. "Macam ini Ustaz, sebenarnya saya kena belit ular sawa setahun yang lalu, sejak itu saya mengalami masalah ini, sering diganggu dengan bayangan ular. Tunang saya juga kena belit ular," akui lelaki itu agak mengejutkan Ustaz Abdullah. Ustaz Abdullah yang tidak begitu faham dengan penjelasan itu terus bertanya kepada mereka bagaimana cerita yang sebenarnya. Barangkali setelah yakin dengan keikhlasan Ustaz Abdullah untuk membantu, akhirnya pasangan itu menceritakan segala-galanya. Cerita lelaki itu, kejadian itu berlaku sebelum mereka bertunang.

Pada suatu hari, mereka yang mengaku bekerja di sebuah syarikat yang sama di Shah Alam, Selangor mengatur janji untuk pergi ke sebuah tempat perkelahan di Selangor. Mereka yang kebetulan bekerja syif malam telah mengambil keputusan untuk pergi pada hari biasa kerana pada hari tersebut orang tidak ramai maka mudahlah mereka bermadu asmara dan bercengkerama. Menurut lelaki itu lagi, sebelum itupun, mereka pernah pergi ke situ pada hujung minggu. Bagi mereka, pada hujung minggu tidak sesuai kerana, pengunjung terlalu ramai, maka menyukarkan mereka untuk bercumbu rayu. Itupun mereka memilih tempat terlindung tetapi tidak terlepas daripada gangguan pemuda-pemuda yang suka mengendap. "Hanya dua bulan perkenalan, kami sudah terlanjur. Ketika saya dibelit ular tempoh hari, saya berkenalan dengan tunang saya ini sudah enam bulan. Banyak kali sudah kami melakukan perbuatan terkutuk itu," nyata lelaki itu sambil menangis. Sebaik saja sampai di kawasan perkelahan yang mempunyai sebatang anak sungai itu, dia menyorokkan motosikal di dalam semak. Manakala tempat mereka bersama terlindung di sebalik pokok balak berhampiran gigi air sungai. Pada tengahari itu memang sunyi. Seorang manusia pun tidak kelihatan. Bukan main seronoklah mereka berdua kerana dapat bermadu kasih tanpa gangguan, meskipun terbit rasa bimbang kalau ada yang mengintip di sebalik semak atau diserbu pihak berkuasa tapi perasan rindu dendam yang membara mengatasi segala-galanya.

Di situ, pada mulanya mereka berbual-bual sambil berpegangan tangan. Kemudian melarat ke bahagian lain pula. Seterusnya nafsu mula menguasai diri masing-masing. Berbekalkan kertas suratkhabar, ia dijadikan alas untuk mereka berbaring. Pakaian si perempuan dilucutkan satu demi satu, selepas itu yang lelaki pula menanggalkan pakaian. Mereka bercumbu rayu dan terus berzina tanpa menyedari di dalam rumpun semak di hujung kaki mereka berlengkar seekor ular sawa sebesar paha orang dewasa sedang mengeram. "Kami tak sedar ada ular. Tengah-tengah buat benda tu, kaki saya tertendang ular itu menyebabkan dengan pantas ia terus menyerang dan membelit kami berdua. Ia berlaku dengan pantas sekali, tidak sempat kami hendak melarikan diri," cerita lelaki itu dengan perasaan kesal. Akibat belitan ular sawa itu, mereka berdua merasakan ajal mereka akan tiba pada bila-bila masa kerana setiap kali mereka meronta, semakin kuat ular itu menjerut tubuh mereka. "Saya menjerit sekuat hati meminta tolong.

Perasaan malu sudah tidak ada lagi dalam diri saya pada masa itu. Yang penting, nyawa kami harus diselamatkan dan pada masa yang sama, saya semakin sesak nafas kerana belitan ular itu yang sungguh kuat dan mulutnya terngaga luas seperti tidak sabar-sabar hendak menelan saya," beritahunya tanpa segan silu lagi. Keadaan kekasihnya semakin lemah. Mukanya pucat lesi seperti sudah kehilangan darah. Lelaki itu tidak mampu berbuat apa-apa. Kudratnya tidak terdaya menandingi ular besar itu. Dalam keadaan cemas, tiba-tiba muncul seorang pemuda dari sebalik semak sambil memegang sebatang kayu untuk memukul kepala ular itu yang hendak membaham kepala lelaki tersebut.

Pemuda itu teragak-agak untuk memukul kepala ular sawa itu mungkin bimbang kalau terkena kepala lelaki itu. "Saya menjerit dan merayu agar ditolong dengan nada yang tersekat-sekat kerana sesak nafas. Kemudian pemuda itu dengan laju menghayun kayu sebesar betis itu beberapa kali mengenai kepala ular tersebut. "Akhirnya, ular itu terkulai dan belitannya terurai. Saya tidak mampu bergerak lagi manakala kekasih saya pengsan. Pemuda itu memakaikan semula baju kami. Kemudian dia pergi meminta bantuan orang untuk menghantar kami ke hospital. Dia hanya seorang diri. Saya tidak pasti siapa pemuda itu dan dari mana dia datang. Saya syak mungkin pada mulanya dia sedang mengintai saya buat "projek," cerita lelaki itu lagi. Akibat belitan ular tersebut, pasangan itu mengalami kecederaan agak teruk iaitu si lelaki patah satu tulang rusuknya manakala kekasihnya patah dua batang tulang rusuk. Empat bulan selepas kejadian itu, mereka melangsungkan pertunangan dan merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat setelah didesak oleh keluarga yang mengetahui kejadian itu. Bagi mereka, masalah sering dihantui oleh bayangan ular lebih perit daripada menanggung kesakitan akibat patah tulang rusuk. Akibat "badi" itu, tidur malam mereka terganggu setiap malam dan walau kemana sekalipun berada,mereka terbayang berhampiran mereka ada banyak ular.

Mendengar penjelasan lelaki itu, fahamlah Ustaz Abdullah apa sebenarnya yang terjadi. Namun sebelum merawat pasangan itu, beliau telah menasihatkan mereka agar bertaubat kerana telah melakukan perbuatan zina. Ustaz Abdullah juga memberitahu mereka, berkemungkinan peristiwa dibelit ular itu adalah balasan Tuhan di dunia di atas perbuatan mereka itu. "Awak berdua patut bersyukur. Saya rasa Allah sayangkan awak berdua. Dia bagi azab kecil kepada awak berdua mungkin supaya awak insaf dan segera bertaubat. Kalau nak ikutkan, ramai orang berzina tetapi Allah tidak mahu menunjukkan balanya di dunia ini, maka kerana tidak pernah dijatuhkan bala itu, mereka ini berterusan melakukan zina," nasihat beliau membuatkan pasangan itu menangis tersedu-sedu sambil berjanji akan bertaubat serta berkahwin secepat mungkin. Ustaz Abdullah memberi sebotol air penawar. Air itu digunakan untuk mandi dan minum. Di samping itu, Ustaz Abdullah menasihatkan pasangan itu agar sering mengingati Tuhan semoga penyakit fobia mereka hilang. Mereka pulang dengan wajah riang dan tidak lama kemudian lelaki itu menghubungi Ustaz Abdullah memberitahu mereka berdua telah sembuh sepenuhnya dan menjemput beliau hadir ke majlis perkahwinan mereka.

DIRIWAYATKAN OLEH IBNUL JAUZI BAHAWA : "SESUNGGUHNYA NERAKA JAHANAM MEMILIKI TUJUH BUAH PINTU. YANG PALING MENAKUTKAN, PALING PANAS DAN PALING BUSUK BAUNYA ADALAH PINTU YANG DIPERUNTUKKAN KEPADA PARA PENZINA YANG MELAKUKAN PERBUATAN TERSEBUT SETELAH MENGETAHUI HUKUMNYA."

P/S:Pelakuan maksiat ketika muda remaja selalunya menghantui hingga ke tuamu wahai remaja. Dosa-dosa itu menggelapkan hati daripda menerima nur dari Allah SWT. Keseronokan berpoya-poya hanyalah palsu belaka, sedikitpun tidak membantu di alam akhirat malah ia membawa beban yang cukup berat, takut tergelecek jatuh kita ke neraka,ambillah iktibar dari kisah.Semoga rahmat, taufik dan hidayah Allah bersama kita semua dan semoga dijauhkan dari murka Allah dan azab yang dijanjikannya..SUMBER

Zaid Ibrahim : Akan terus bergerak secara bebas tapi mesra Pakatan

Posted: 04 Feb 2012 04:57 PM PST

oleh : Jimadie Shah Osman


ULASAN Spekulasi berhubung parti pilihan Datuk Zaid Ibrahim selepas mengumumkan hasratnya untuk membubarkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) terus diperkatakan. Namun, jika diambilkira perkembangan terkini, ia mungkin tidak menjadi satu kenyataan.

Setelah beberapa siri perbincangan dengan pemimpin Pakatan Rakyat, bekas menteri Umno zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi itu dikatakan diberikan tugas lain menggunakan formula yang hampir sama dengan yang didakwa dilakukan BN melalui "kuasa ketiga".

Menurut sumber, Zaid akan terus bergerak secara bebas tetapi bersikap 'mesra Pakatan' dan berperanan menjawab kritikan agresif kumpulan seperti NGO seperti JATI yang ditubuhkan Dr Hasan Ali, kumpulan pendesak Melayu PERKASA dan beberapa anggota parlimen bebas 'mesra BN'.

Peranan Zaid itu, jika menjadi kenyataan, akan menguatkan kuasa ketiga yang dilihat memberi manfaat kepada Pakatan, seiring dengan gerakan Asalkan Bukan Umno-BN (ABU) dan Gerakan Kebebasan Awam Malaysia (MCLM) yang disertai penulis blog 'dalam buangan' Raja Petra Kamaruddin.

Ia juga sekaligus mengukuhkan sektor-sektor lain, seperti kumpulan NGO, mahasiswa dan peguam, yang walaupun tidak mendokong Pakatan secara langsung tetapi memperjuangkan isu hampir sama, seperti pemansuhan akta anti hak asasi manusia, termasuk ISA, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Bagi pemerhati politik, pertembungan kuasa-kuasa ketiga daripada kedua-dua pihak BN dan Pakatan amat menarik diperhatikan dalam pilihan raya umum ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Besarnya pertembungan itu sehingga menjalar sampai kepada penubuhan beberapa NGO kecil tetapi konsisten, seperti Jaringan Melayu Muda (JMM), Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) di pihak BN dan JINGGA 13 di sebelah lagi.

Bagaimanapun, Zaid juga dilihat menghadapi dilema dengan keengganan beberapa pemimpin KITA yang menolak hasratnya membubarkan parti yang kini berusia setahun.

Malah, terdapat usaha daripada dalam untuk menentang hasrat Zaid mengadakan mesyuarat agung khas pembubarannya, terutamanya dari Kedah.

Pada 2 Februari lalu, KITA negeri itu secara terbuka mengumumkan hasratnya untuk bekerjasama dengan kuasa ketiga yang diterajui Hasan yang dipecat PAS baru-baru ini – hasrat yang sama sekali bertentangan dengan usaha Zaid.

Sementara itu, sumber-sumber juga memberitahu, hasrat Zaid membubarkan KITA tidak lama lagi dan berikrar bersama pembangkang dalam pilihan raya umum ke-13 dikatakan langkah awal memulakan tugas barunya itu.

"Lagi pun, KITA tidak akan sampai ke mana-mana," kata sumber yang dekat dengan PKR kepada Malaysiakini.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan DAP pula memberitahu, paling awal Zaid kembali secara rasmi dalam Pakatan selepas pilihan raya umum nanti, kemungkinan besarnya ke DAP.

Walaupun ada cakap-cakap bahawa ada suara kecil yang mahukan beliau kembali kepada PKR, tetapi penolakan dalaman – akibat serangan berterusannya kepada parti itu bermula dari isu pemilihan langsungBsebelum ini – menjadi halangan besar.

DAP pula walaupun sebelum ini dikatakan kuat menentang penyertaan Zaid dalam PKR pada Jun 2009, kini dikatakan lebih bersikap lunak ekoran dasar barunya yang mahu menarik seramai mungkin pemimpin Melayu.

Bagaimanapun, DAP – yang menghadapi masalah persepsi 'parti Cina' – juga perlu mempertimbangkan keselesaan rakan gabungannya, terutama PKR yang dilihat masih ragu-ragu terhadap usaha Zaid mendekati Pakatan.

"Melihat apa yang sudah dilakukan Zaid, sukarlah untuk parti menerimanya kembali," kata sumber PKR sambil memberitahu isu itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat biro politik mereka beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, walau apa pun spekulasinya, karier politik Zaid yang dilihat berubah-rubah amat sukar diramal, sejak beliau meletakkan jawatan secara mengejut daripada Umno dan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Septermber 2008.

Melalui KITA pula, beliau sebelum ini pernah memohon maaf kepada perdana menteri kerana tidak pernah yakin pada keupayaannnya memansuhkan ISA tetapi tidak lama selepas itu kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula.

Kesemua ini dipertimbangkan dengan teliti oleh Pakatan. - Malaysiakini

Ratu Belanda pakai tudung gegarkan Belanda

Posted: 04 Feb 2012 06:52 AM PST

Pelbagai media Belanda, baik cetak mahupun dalam talian ramai-ramai menyerlahkan Beatrix yang mengenakan tudung. Ratu Belanda ini mengenakan tutup kepala ala Islam tersebut ketika melawat masjid Syeikh Zaid bin Sultan Al Nahayan di Abu Dhabi.

Bersama keluarganya, Ratu mengadakan lawatan ke negara Arab Emirates. Tanpa ragu-ragu, Geert Wilders pemimpin Parti untuk Kebebasan PVV, yang dikenali anti Islam, serta merta mengecam perilaku Ratu Belanda. Wilders terus menuding Beatrix melakukan penindasan perempuan.

Dilaporkan RNW, PVV mengatakan, tudung adalah "simbol" islamisasi, penindasan dan diskriminasi terhadap wanita. Dengan mengenakan tudung, Beatrix melakukan penindasan perempuan.


PVV serta merta meminta Menteri Hal Integrasi Gerd Leers, yang bertanggung jawab soal integrasi kumpulan asing di Belanda, supaya memberi penjelasan tentang hal ini.

Setelah mengetahui berita pengenaan tudung oleh Ratu, Alexander Pechtold, pemimpin parti liberal D66 mengeluarkan amaran.

"Seluruh Belanda berdebar menunggu reaksi sejawat Geert Wilders. Sudah bangun kah dia?" Demikian bunyi tweet ahli parlimen Belanda yang sering berdebat sengit melawan Wilders.

Ternyata kebimbangan Pechtold memang terjadi. Tidak lama kemudian tweet Geert Wilders muncul.

Menyesuaikan diri

Menanggapi kritikan Wilders tersebut Menteri Luar Belanda Uri Rosenthal mengatakan, apa yang dilakuan Ratu tidak salah. Tindakan Ratu itu, menurut menteri, tidak salah, kerana beliau menyesuaikan diri dengan tempat yang dikunjungi. Beatrix juga menyesuaikan busananya kalau melawat rumah ibadat atau gereja. Demikian tegas menteri luar Belanda.

Bukan hanya Beatrix saja yang memakai tudung semasa melawat masjid terbesar di Abu Dhabi tersebut. Putri Maxima juga menutup kepalanya dengan tudung. Ini merupakan kali kedua isteri Putra Mahkota willen Alexander ini tampil dengan busana muslimah.

Sementara wakil rakyat dari parti hijau GroenLinks, Tofik Dibi, mempertikaikan bayaran yang akan dihabiskan untuk mengadakan debat khas Parlimen tentang hal ini. Ia menganggapnya pembaziran dana.

Menurutnya, lebih baik perhatian dipusatkan terhadap pengendalian krisis yang kini dihadapi Eropah, termasuk Belanda.

Kipah yahudi

Ahli Parlimen dari parti sosialis SP, Harry van Bommel, reaksi Wilders itu hanya untuk kesekian kalinya memukul Islam, atau yang disebutnya "Islam bashing". "Kalau saya berkunjung ke Dinding Ratapan (tempat suci umat Yahudi, Red.) Di Jerusalem, saya juga akan mengenakan kipah."

Kipah adalah tutup kepala yang dipakai oleh lelaki Yahudi.

Martijn van Dam, wakil rakyat dari parti pekerja PvdA, juga menilai tindakan Ratu mengenakan tudung semasa melawat masjid di Abu Dhabi itu wajar. "Apa yang dilakukan Ratu sama dengan yang diperbuat beratus-ratus ribu pelancong Belanda yang melawat gereja di Itali. Di sana lengan harus ditutup sebagai tanda sopan santun dan hormat."

Demikian Martijn van Dam, seperti dikutip akhbar Belanda Het Algemeen Dagblad. - Detik Islam

- terjemahan dari hidayatullah.com

WEI BERITA PANAS : Hampa mai tengok sat, betoi ka ni Shahrizat,? Tak berapa nak kenai la ...

Posted: 04 Feb 2012 01:36 AM PST


   
Alhamdullillah, moga-moga terus kekal dengan 'fesyen' tudung litup macam tu. Tambah-tambah pulak dengan reputasi yang jatuh merudum angkara isu skandal NFC, memang sesuai sangat dari segi politik Shahrizat berpenampilan macam tu, mungkin dengan penampilan tu kurang sikit kemarahan musuh-musuh politik dia.

Jangan pulak fesyen tu cuma sekadar fesyen baru balik mekah. Kalau lepas ni dia kembali balik ke fesyen berjambul lama dia memang tak heran la kalau riwayat politik dia padam terus. [Sumber video]

Read more: http://lensahp.blogspot.com/2012/02/shahrizat-dapat-hidayah-pakai-tudung.html#ixzz1lP7T1FyX

Baguih la kalau macam tu Hassan ai ...

Posted: 04 Feb 2012 01:08 AM PST

Hasan Ali
KUALA LUMPUR - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menegaskan beliau tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan pemecatannya sebagai ahli parti Islam itu.
Beliau dipecat oleh Pas pada 8 Januari lalu dan mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan.
Hasan yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi membantah keputusan pemecatan beliau dengan menyifatkan tindakan itu diambil secara arbitari dan mengikut selera 'parasit' yang mahu beliau keluar Pas.

"Peranan parasit yang begitu menonjol dalam mesyuarat membuat keputusan tersebut sehingga pimpinan tertinggi terpaksa membuat keputusan di luar batasan pengurusan manusia dalam organisasi seperti lazim dilakukan," kata beliau pada sidang media di rumahnya di sini petang ini.
AKAN MENYUSUL

BN dah habis modal, naikkan poster rasis

Posted: 04 Feb 2012 01:02 AM PST

Saya telah pergi ke TTDI hari ini untuk bertemu beberapa orang rakan yang ingin berjumpa saya sambil minum pagi. Saya diberitahu oleh rakan-rakan saya yang sudah banyak poster-poster yang ditampal dimerata-rata tempat tentang Lim Guan Eng sebagai anti-Melayu. Poster itu berbunyi 'Lim Guan Eng anti Melayu'. Sebagai seorang yang sentiasa berada bersama rakyat marhean di bawah ini saya dapat merasakan dengan jelas yang DAP sedang mendapat penerimaan dari kaum Melayu yang sudah terbuka minda dan tidak lagi terkongkong dengan momokan jahat setengah pihak terhadap parti itu.

Ini juga dapat dirasakan oleh UMNO dan sekutunya. Maka tidak terkejut jika mereka melakukan tindakan desperado ini kerana ini sahajalah jalan yang tinggal untuk menggagalkan usaha DAP untuik membuktikan yang parti itu benar-benar sebuah parti 'multi-racial' yang sedang mendapat sambutan dari semua kaum termasuk dari kaum Melayu yang sudah tidak terkongkong dengan momokan gila parti-parti dalam BN khususnya UMNO.


Untuk memahami tujuan poster ini dinaikkan tidak memerlukan seorang yang bijak pandai untuk mentelaahnya. Seseorang yang terbuka sedikit mindanya dan sudah bercampur gaul dengan mereka yang berpolitik secara jujur akan cepat tahu matlamat pihak yang menaikkan poster-poster ini. Matlamatnya ialah untuk berusaha dengan cara kotor untuk BN mendapat sokongan dari semua kaum khususnya orang Melayu.


Kerja menakut-nakutkan Melayu ini memang cara UMNO untuk menjauhkan Melayu dari mendekati DAP. Puluhan tahun orang Melayu ditakutkan dengan isu 13 Mei untuk menjauhkan orang Melayu dari DAP. Tetapi isu itu sudah tidak dipakai lagi kerana rakyat tahu kaum Cina lah kaum yang takut dengan pergaduhan di antara kaum kerana mereka mahukan keamanan dan hidup berniaga di dalam negara yang tidak berpecah belah.

Rakyat pun tahu yang kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng telah menunjukan sikap mengambil tahu hal untuk semua kaum di negeri tadbiran beliau. Orang Melayu sekarang sudah sedar yang Guan Eng tidak boleh di nafikan ketelusannya dalam mentadbir negeri Pulau Pinang. Lim Guan Eng yang dituduh anti Melayu dan Islam oleh penyokong UMNO dan BN telah memperuntukan wang sebanayk RM64 juta untuk mentadbir urus hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang. Semasa BN memerintah Pulau Pinang, peruntukan untuik hal ehwal Islam hanyalah sebanyak RM12 juta sahaja.

Walaupun negeri Pulau Pinang hanya sebuah negeri yang kecil dan jumlah orang Islamnya kecil jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, peruntukan sebanyak RM64 juta itu merupakan jumlah yang amat besar. Peruntukan itu termasuklah untuk menyelia elaun guru-guru KAFA, pentadbiran tanah perkuburan serta semua yang berhubung kait dengan agama Islam di negeri itu.

UMNO sedar yang Guan Eng tidak boleh lagi dipersendakan kepimpinannya. Jika benar Guan Eng anti Melayu bagaimanakah 70% dari kontrak yang diberkan oleh kerajaan Pulau Pinang itu diperolehi oleh Bumiputra? Kerajaan pulau Pinang tidak memandang bangsa dan ethnik dalam pembehagian kontrak-kontrak ini sebaliknya pembahagian itu adalah di dasarkan kepada 'merit' yang ada kepada kontraktor-kontraktor itu. Dengan keadaan itu maka terbukti kontraktor-kontraktor Melayu mempunyai 'merit' yang tinggi yang mereka tidak dapat buktikan semasa pemerintahan Koh Tsu Khoon dahulu.

Dengan kata-kata lain Bumiputra boleh berjaya tanpa bersandar kepada peruntukan keistimewaan Bumiputra sebagai yang diperuntukan oleh perlembagaan negara. Sesungguhnya orang Melayu mampu membuktikan yang mereka boleh bersaing dan semasa pemerintahan Gerakan dahaulu mereka tidak berupaya membuktikannya kerana setiap kerja yang di berikan oleh kerajaan BN semasa itu telah doperolehi oleh kroni-kroni kerajaan semasa itu.

Segala bukti-bukti ini secara beransur-ansur dapat disaksikan oleh rakyat dan itulah sebabnya UMNO tenyata takut dengan DAP yang akhirnya telah berjaya membuktikan yang parti itu benar-benar parti untuik rakyat dan bukannya untuk kroni-kroni tertentu dan 'war lords' yang istimewa dalam UMNO dan BN itu.

Pentadbiran yang jujur memang satu perkara yang tidak mampu dilakukan oleh UMNO dahulu maka perbezaan yang ditunjukan oleh Guan Eng ini amat menakutkan UMNO. Maka tidak hairanlah kenapa poster yang bersifat sensitive ini dinaikan oleh setengah pihak yang takut kepada kejayaan DAP untuk membuktikan yang parti itu tidak bersifat rasis seperti MCA dan UMNO dalam BN itu.

Poster-poster itu hanya merupakan satu tindakan yang 'counter productive' bagi pihak yang menaikannya yang bersifat rasis yang keterlaluan itu. - Aspan Alias

Tiada ulasan: