Ahad, 26 Februari 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


DR BADRULAMIN DINASIHAT BERCUTI SEBULAN UNTUK BERSIHKAN NAMA

Posted: 26 Feb 2012 07:23 AM PST

Ketua Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahrom dinasihatkan supaya mengambil cuti selama sebulan sehingga beliau dibersihkan dari tuduhan yang dikatakan berkhalwat pada Sabtu lalu.

Kerajaan Negeri telah menerima penjelasan Dr Badrulamin berhubung kejadian itu dan mendesak pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan siasatan secara telus, adil dan professional demi menjaga maruah beliau sebagai muslim sebagaimana yang dituntut dalam ajaran Islam.

Kerajaan Negeri berharap cuti rehat yang diberikan ini dapat digunakan untuk menumpukan perhatian kepada musibah yang sedang ditanggung oleh beliau dan melakukan usaha-usaha bagi membersihkan nama beliau.

Sepanjang tempoh bercuti ini, tugas-tugas beliau sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Selangor akan diambil alih sementara waktu oleh Sekretariat akhbar Pejabat Dato' Menteri Besar yang diketuai oleh Setiausaha Akhbar Dato' Menteri Besar.

Akhir sekali Kerajaan Negeri Selangor menyeru semua pihak supaya tidak membuat andaian-andaian negatif dan menyerahkan hal ini kepada pihak berwajib melakukan penyiasatan.


DIkeluarkan oleh
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Kenyataan Media Ariffahmi Berhubung Pembebasan Dari Tuduhan Rasuah

Posted: 26 Feb 2012 04:09 AM PST

SIARAN MEDIA

Bismillahhirrahmanirrahim
Assalamamualaikum dan salam sejahtera

Marilah kita semua mengucapkan setinggi syukur kehadrat Ilahi diatas segala nikmat yang telah dicurahkan semenjak dilahirkan ke dunia sehingga ke detik ini. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw yang telah menyempurnakan amanah dalam menyampaikan risalah Islam untuk dinikmati semua makhluk di seluruh alam semesta.

Saya telah dihubungi oleh ramai kawan melalui pelbagai saluran semenjak semalam sebagai respon kepada keputusan yang dibuat oleh Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM. PPO yang mewakili SPRM bersidang semalam telah membersihkan nama saya daripada tuduhan penyalahgunaan kuasa semasa berada di PMBK dengan menyatakan kes siasatan telahpun ditutup.

Berita mengenai perkara ini juga telah dilaporkan dalam buletin AWANI dan beberapa portal berita serta blog pada hari ini Jumaat, 24 Februari 2012.

Saya ingin menyatakan setinggi-tinggi syukur kehadrat Allah swt kerana telah membebaskan saya daripada tuduhan penyalahgunaan kuasa yang disebarkan, seterusnya membersihkan nama saya dari persepsi negatif semenjak kes ini berjalan.

Sememangnya siasatan kes ini memakan masa yang agak panjang, semenjak September 2009 dan melibatkan banyak pihak yang bersangkutan. Alhamdulillah saya sentiasa tenang dalam menempuh dugaan ini. Penantian untuk mendapatkan keputusan kes yang dilihat tergantung sepanjang tahun 2010 dan 2011 mungkin juga kerana dipengaruhi oleh pelbagai faktor politik, terutama musuh PAS, lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya umum akan datang.

Keputusan kes ini juga memberikan saya ketenangan yang lebih sempurna dalam merancang kehidupan kami sekeluarga dengan lebih baik.

Dikesempatan ini juga saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama ayahanda Tok Guru dan kedua-dua bonda di atas doa berterusan untuk kesejahteraan saya sekeluarga. Tidak lupa kepada kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan dan sentiasa yakin bahawa saya di pihak yang benar.

Terima kasih yang teristimewa kepada isteri saya yang tercinta kerana sentiasa berada disisi saya di saat sukar dan memberi sokongan yang bermakna dalam hidup saya.
Akhir sekali, saya mendoakan semoga apa yang berlaku selama ini mampu mematangkan saya dalam menempuh kehidupan pada masa hadapan. Apa yang lebih penting, dengan keputusan terbaru ini ianya secara langsung dapat membunuh segala persepsi negatif hasil dari adu domba dan gelombang fitnah terancang oleh pihak tertentu ke atas saya.

Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan hidayat dan berkat Allah swt jua.

Ir Abdul Ariffahmi Bin Ab Rahman
24 Februari 2012
Pulau Melaka

Hanya 8 Exco Kedah angkat sumpah Selasa ini

Posted: 26 Feb 2012 03:35 AM PST

ALOR SETAR - Hanya lapan anggota exco kerajaan negeri Kedah bagi 2012 akan mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit pada Selasa ini berbanding 10 sebelum ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, lapan individu terbabit bukan muka baru.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Azizan bagaimanapun berkata, dua lagi jawatan Exco akan diisi kemudian dan mungkin melibatkan pelantikan baru.

"Saya sudah muktamadkan (tentang pelantikan exco), cuma ada sedikit masalah teknikal dari segi undang-undang sebab semua Exco akan tamat tempoh pada 7 Mac ini.

"Jadi tak boleh nak angkat sumpah 10 orang Exco pada 28 Februari ini sebab akan jadi 12 exco lah nanti sebab tarikh tamat tempoh tak sampai lagi... Exco tak cukup tak apa, jangan lebih (ikut undang-undang tubuh Kedah)," katanya.

Azizan berkata setiap anggota Exco yang dilantik mempunyai hak untuk menolak pelantikan itu dan pihaknya tidak ada masalah untuk melantik individu lain kerana ramai yang menawarkan diri untuk jawatan terbabit.

"Mereka boleh tolak (jika dilantik), saya lantik orang yang tak tolak.

Senarai semua nama sudah dihantar kepada Tuanku (Sultan Kedah)," katanya.

Sebelum ini wujud khabar angin dua Exco Kedah menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu yang dijadual diumum Selasa ini.

Dua Exco yang disebut-sebut berbuat demikian ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, dan Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri, Datuk Dr Ismail Salleh yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah.

Mereka dipercayai berbuat demikian kerana kecewa dengan sikap serta kepemimpinan Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini. - Bernama

Azizan sayang semua Exco Kerajaan Negeri

Posted: 25 Feb 2012 11:05 PM PST

Wartawan Sinar Harian

SEHARI selepas media mendedahkan spekulasi membabitkan dua anggota Exco Kerajaan Kedah yang didakwa menolak untuk dilantik semula bagi penggal 2012, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kepastian.

Namun pada sidang media yang diadakan sejurus beliau merasmikan Bazar Malam Sinar Sejahtera di Pekan Rabu, Alor Setar malam semalam, Azizan melayan setiap pertanyaan wartawan dengan tenang dan bersahaja. Ikuti respons beliau sidang media penuh pada malam itu.


Ada dakwaan mengatakan dua anggota Exco sudah menghantar surat menolak tawaran dilantik semula, benarkah?

Azizan: Kenapa pula mereka nak hantar surat, sebab saya belum hantar surat tawaran kepada mereka. Jika mereka mahu tolak tawaran dilantik sebagai Exco, mereka perlu tunggu surat tawaran dahulu, kemudian baru jawab.


Namun sejak semalam, spekulasi ini semakin heboh seolah ianya benar berlaku?

Azizan: Biasalah… spekulasi. Perkara itu mungkin betul, atau tidak. Saya pun tahu spekulasi ini wujud melalui akhbar, saya sendiri pun tak tahu.


Sejak spekulasi ini diperkatakan, adakah kedua-dua Exco terbabit berhubung dengan Datuk Seri?

Azizan: Nak berhubung apa? Mereka tak bagi tau apa-apa pun. Berhubung biasa la, sebab mereka Exco.


Isu ini membabitkan empat atau tiga Exco?

Azizan: Spekulasi ini media yang sebut. Kemungkinan betul atau tidak betul. Saya baru balik dari Kuala Lumpur dan Ahad ini mungkin ada perkembangan baru.


Jadi, benarlah rombakan akan dibuat?

Azizan: Sekarang saya tunggu pengesahan dari pejabat Sultan Kedah yang juga Yang di-Pertuan Agong. Saya sudah serah senarai nama Exco kepada Tuanku Abdul Halim. Mungkin baginda akan perkenan, atau tolak yang tu (Exco lama), dan bagi yang ni (Exco baru). Bila dapat surat, baru boleh bagi tau. Saya sendiri pun tak dapat surat pengesahan itu lagi. Apa-apa sahaja boleh berlaku!


Sekiranya spekulasi itu benar-benar berlaku, apa tindakan Datuk Seri?

Azizan: Kalau spekulasi ini betul, kita buat cara betul, jika tak betul buat cara tak betul. Masih ada masa tiga hari lagi sebelum majlis angkat sumpah.


Spekulasi ini membabitkan dua Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah (Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh), adakah ini menunjukkan wujud masalah dalaman dalam Pas Kedah?

Azizan: Biasanya bila timbul isu macam ini, ahli parti akan lebih bersatu. Apabila dicabar, akan bersatu semula... itu silap mereka buat spekulasi kerana hanya akan buatkan kami bersatu semula.


Tetapi pihak luar akan pandang serong seolah memang wujud pertelingkahan dalaman?

Azizan: Sejak hari pertama saya jadi Menteri Besar, sudah ada yang pandang serong. Macam-macam spekulasi timbul. Ada dakwa saya mampu bertahan tiga bulan sahaja, selepas itu enam bulan. Mereka kacau juga tetapi Alhamdulliah sampai sekarang bertahan. Wartawan la yang buat spekulasi ni.


Ada kemungkinan Datuk Seri tahu siapa dalang di sebalik spekulasi ini?

Azizan: Saya tau pun tak apa, tak tau pun tak apa. Lagi senang jika saya tak tau.


Kemungkinan dibuat orang dalam Pas sendiri?

Azizan: Saya tidak berminat dengan semua ini.


Adakah Datuk Seri memberi kepercayan sepenuhnya kepada barisan Exco?

Azizan: Saya sayang semua Exco dan tidak pernah prejudis terhadap mereka. Juga tidak ada kelas-kelas dalam barisan Exco. Saya sangat sayang mereka dan percayakan mereka. Kita kerja macam abang adik.


Bila senarai baru Exco dijangka keluar?

Azizan: Senarai baru mungkin Ahad ni. Pejabat Sultan Kedah di Istana Negara akan hantar. Walaupun baginda adalah Yang di-Agong tetapi urusan pelantikan Exco masih bawah bidang kuasa baginda. Saya tak akan buat sebelum dapat perkenan baginda. Itu tradisi Kedah. Saya sudah mengadap Tuanku dua hari lepas di Istana Negara, dah bincang perkara ini. Perkara ini bukan seperti wartawan tanya, kena jawab sekarang, Tuanku biasanya tidak bagi keputusan ketika itu juga, baginda teliti dulu.


Adakah senarai nama dihantar itu turut diserahkan kepada Presiden Pas?

Azizan: Saya tidak tunjuk pada beliau, lagipun beliau kata itu hak saya.


Mungkin ada tambahan nama baru dalam senarai?

Azizan: Itu pun saya tidak boleh bagi tau!


Boleh Datuk Seri berikan sedikit bayangan apakah bentuk kejutan pada Selasa ini?
Azizan: Asyik media sahaja buat saya terkejut, saya pun nak buat mengejut juga.

Anwar dalang hanya spekulasi

Posted: 25 Feb 2012 08:15 PM PST

Wartawan Sinar Harian


ALOR SETAR - Dakwaan wujudnya konspirasi membabitkan beberapa Exco Kerajaan Negeri yang didakwa didalangi pihak tertentu, terutama kumpulan Erdogan untuk menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, disifatkan hanya spekulasi.
Menurut Azizan, beliau sendiri tidak pasti siapa kumpulan itu yang didakwa wujud dalam barisan kepimpinan Pas Kedah.

"Saya pun tidak tahu siapa yang dikatakan Erdogan itu. Saya tiada masalah dengan sesiapa dan berkawan dengan semua orang, sama ada Erdogan atau tidak, saya tidak tahu," katanya di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul. Azizan berkata, konspirasi yang didakwa wujud dan turut dikaitkan dengan penyokong 'Anwarinas' itu hanya mainan media.

"Istilah itu media yang tulis. Anda boleh kata apa sahaja tapi realitinya berbeza. Saya tetap dengan pendirian, jika setuju, kata ya, tetapi jika tidak setuju, saya bantah," katanya.

Azizan turut menyangkal wujud cubaan untuk menyingkirkan golongan ulama dalam Pas Kedah bagi memperluas pengaruh kumpulan Erdogan.

Kumpulan Erdogan atau Anwarinas dirujuk sebagai kumpulan yang wujud dalam Pas dan dipengaruhi oleh ketakbsuban terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebuah akhbar semalam mendakwa wujud komplot untuk menyingkirkan Azizan yang didalangi Anwar disebabkan sikap Menteri Besar itu yang tegas memperjuangkan Islam dan Melayu yang tidak disenangi Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu.

Azizan turut didakwa akan jadi mangsa yang kedua selepas Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dipecat daripada Pas baru-baru ini.

"Tak betul tu, saya masih ada dalam Pas Kedah," katanya.

Ditanya sama ada spekulasi itu susulan usaha menggulingkan beliau sejak Oktober lalu, apabila faktor kesihatan beliau dijadikan senjata untuk memaksanya beliau berundur, Azizan berkata, pelbagai cerita tidak enak sudah dilemparkan terhadap dirinya, namun sehingga kini masih bertahan.

Live Dari Kuantan. Blogger Tukar Tiub Baca Doa Dalam BI.

Posted: 25 Feb 2012 06:51 PM PST

Live Dari Kuantan. Stop Lynas! 4

Posted: 25 Feb 2012 06:42 PM PST

Rakyat Pahang akan tolak kerajaan umno yang bebal.

Bersiap sedia Adnan!

Live Dari Kuantan. Stop Lynas! 3

Posted: 25 Feb 2012 06:37 PM PST

Orang ramai mula memenuhi padang.

Nyanyian lagu negaraku dimulakan.

Rakyat Pahang mula buat perubahan.

Allahukhbar!

Live Dari Kuantan. Stop Lynas! 2

Posted: 25 Feb 2012 06:26 PM PST

Depan tempat himpunan. Ayuh penuhkan Kuantan dengan warna hijau!

Live Dari Kuantan. Stop Lynas!

Posted: 25 Feb 2012 05:13 PM PST

Phahrolrazi nafi 'dalangi' guling MB Kedah

Posted: 25 Feb 2012 04:10 PM PST

ALOR SETAR - Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi menafikan beliau ada menubuhkan gerakan untuk menentang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Gerakan saya, gerakan Pas sahaja. Spekulasi tersebut tak benar dan dakwaan komplot menjatuhkan MB juga tidak benar," katanya ketika ditemui hari ini.

Phahrolrazi merupakan antara Exco Kedah yang disebut-sebut telah menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu,
yang dijadual diumumkan Selasa ini.

Ketika ini, beliau memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Kerja Raya dan Pertanian.

Phahrolrazi dan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dipercayai berbuat demikian kerana kecewa dengan sikap serta kepemimpinan Azizan, yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini, dan beberapa Exco lain juga dijangka berbuat demikian.

Sementara itu, Phahrolrazi yang bercuti sehingga 1 Mac berkata, beliau belum menerima surat jemputan daripada kerajaan negeri untuk menghadiri majlis pelantikan anggota Exco bagi 2012 di Istana Anak Bukit, Selasa ini.

Katanya, beliau tidak kecewa atau kecil hati jika tidak dilantik semula memegang jawatan exco kerajaan negeri bagi 2012.

Phahrolrazi berkata, sebagai ahli Pas, perjuangan beliau bukan dengan niat menjadi Exco, sebaliknya jawatan itu dicadangkan ahli parti tersebut yang mahu beliau bertanding sebagai Exco.

"Mereka suruh saya bertanding, saya bertandinglah. Kalau tidak, saya boleh jadi pekerja biasa dalam parti, dan tak ada niat (untuk pegang jawatan Exco), itu bukan cara perjuangan kita," katanya.

Mengulas spekulasi yang mendakwa namanya tidak disenaraikan dalam pelantikan semula Exco, beliau berkata, tidak mengetahui hal itu dan mahu membiarkan Menteri
Besar sahaja yang membuat kenyataan.

Beliau yang enggan mengulas lebih lanjut berkata ini bagi mengelak berlaku sebarang kekeliruan. - Bernama

Anwar: Nik Aziz 'tok guru' saya

Posted: 25 Feb 2012 03:56 PM PST


Abdul Rahim Sabri

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata media arus perdana tidak mempunyai harapan untuk "melaga-lagakan" beliau dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung isu keselamatan Israel.

Mendedahkan secara ringkas isi pertemuan beliau dengan Nik Aziz beberapa hari lalu, Anwar menganggap jika pergaduhan itu berlaku, ia merupakan "hadiah paling besar" bagi media arus perdana.

"Kalau saya gaduh dengan Nik Aziz, bagi mereka (itu) hadiah paling besar.

"(Gaduh) dengan Nik Aziz, dia tok guru saya, tidak ada harapan (tengok) saya nak bergaduh dengan dia (Nik Aziz)," kata Anwar dalam ceramahnya di Kuantan semalam.

Anwar berkata dalam pertemuan itu, menteri besar Kelantan itu bertanya beliau mengenai dakwaan 'menyokong' Israel, ketua pembangkang menunjukkan kepada Nik Aziz, laporan bahawa beliau menyebut perkataan 'contingent' yang membawa maksud "tertakluk dengan syarat".

Bagaimanapun, Anwar menegaskan perkara tersebut tidak dilaporkan oleh media arus perdana.

"Tok Guru kata tak tahu cerita panjang, minta penjelasan. Saya jelas, saya tetap (membela) rakyat Palestin.

"Tetapi PAS tak mahu terus (iktiraf) pada Israel," kata Anwar di hadapan lebih 500 penyokong di sebuah tanah lapang dalam kawasan Pejabat Perhubungan PKR negeri.

Katanya, antara syarat tersebut adalah menerima negara Palestin, kembalikan Baitulmaqdis, melepaskan Gaza dan tidak membunuh rakyat Palestin.

"(Israel) terima syarat tak?... Tak terima. Jadi (saya) tak (sokong Israel)... Apa parti Umno, hari-hari kena (buat) fitnah," katanya sambil menempelak parti itu yang didakwanya mahu menang dengan memfitnah.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan berkata beliau amat menghormati Mursyidul Am iu dan pandangan PAS.

"Nik Aziz, dia baik, kita hormat beliau," katanya Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

Dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu Selasa lalu, Anwar dilapor berkata kenyataannya yang dibuatnya sebelum ini, selari dengan pandangan Hamas dan Fatah.

Dalam pertemuan selama 40 minit itu, Anwar yang juga ketua pembangkang berkata beliau tunduk dengan apa yang dikehendaki Hamas dan Fatah dan apa yang dirundingkan mereka di Doha, Qatar dua minggu lalu.

"Saya menjelaskan kenyataan saya di Wall Street Journal dan saya turut menyebut tentang reaksi Ketua Hamas, Khaled Mashal. Nik Aziz dengar dan faham pendirian saya. Saya sendiri pun faham pendirian PAS yang tegas tentang Israel, " katanya .

Dalam ceramahnya beberapa jam sebelum berlangsungnya Himpunan Hijau 2.0, Anwar berkata beliau berjanji untuk "melepas" pelajar dari beban hutang Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) dalam masa satu hingga dua tahun jika mentadbir Putrajaya.

"Dalam masa satu atau dua tahun kita lepaskan (mereka) dari PTPTN. Kita buat macam Erdogan dalam masa tiga tahun untuk lupuskan pinjaman (pendidikan)," katanya sambil menambah Turki memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya.

Penjelasan Tuduhan Berniat Jahat Terhadap Dr Badrulamin Baharon

Posted: 25 Feb 2012 03:43 PM PST

Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan media bahawa saya ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Kuantan.

Saya ke Kuantan untuk menghadiri Temurapat Pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2012. Saya mengambil peranan aktif di dalam Temurapat ini.

Pada petang 24 Februari 2012, wanita tersebut telah menghubungi saya dengan nada cemas dan menyatakan hasrat beliau untuk melarikan diri daripada rumah kerana bimbangkan keselamatan diri beliau. Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian.

Walau bagaimanapun pada jam 2.00 pagi 25 Februari 2012, beliau telah menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan.

Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya. Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga. Di dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin.

Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, saya membantu beliau mendapatkan bilik penginapan. Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.

Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka. Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik.

Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali. Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya. Saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari 2012. Saya akan hadir bersama peguam untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan ini.

Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap saya. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadap saya.

Dr. Badrulamin Bahron

Tiada ulasan: