Khamis, 23 Februari 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


SBPA: Pengumuman penting Najib 12 Mac?

Posted: 23 Feb 2012 05:40 AM PST


PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri di pejabatnya di sini hari ini.

Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

"Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam," katanya kepada pemberita tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu.

Omar berkata, Cuepacs sendiri akan menyambut baik apa sahaja perkara yang bakal diumumkan serta mengucapkan terima kasih di atas kesudian serta kesediaan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan dan mendengar cadangan demi
kebaikan penjawat awam.

"Pertemuan hari ini menyentuh mengenai secara keseluruhan apa tuntutan serta pandangan yang dikemukakan Cuepacs selama ini berhubung permasalahan penjawat awam termasuk mengenai isu SBPA," katanya.

Omar berkata Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran yang akan mengumpul seramai 15,000 penjawat awam yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Mac depan. - Bernama

Exco Kedah: Lantikan baru 28 Feb, 2 mungkin digugur

Posted: 23 Feb 2012 05:38 AM PST

ALOR SETAR - Majlis pelantikan anggota Exco kerajaan negeri Kedah bagi tahun 2012 akan diadakan pada Selasa depan di Istana Anak Bukit di sini.

Penolong Setiausaha (Pengurusan Korporat) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Noor Akmar Mohd Omar, berkata majlis itu akan bermula pada 9.30 pagi dan dijangka berlangsung selama dua jam.

Beliau berkata, majlis akan dimulakan dengan acara mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah oleh anggota exco diikuti dengan pengurniaan tauliah
pelantikan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Noor Akmar berkata, istiadat penganugerahan bintang-bintang serta pingat-pingat kebesaran sempena dengan perayaan ulang tahun Keputeraan Sultan Kedah yang ke-84 akan diadakan selepas itu.

Sementara itu, khabar angin tercetus bahawa dua Exco kerajaan negeri Kedah akan digugurkan apabila mereka enggan menghadiri majlis pelantikan itu.

Mereka ialah Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri, Dr Ismail Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan,
Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Kedua-duanya tidak mengesahkan atau menafikan khabar angin itu dan hanya menyerahkan perkara itu kepada Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Ismail mendakwa beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara tersebut.

Seorang lagi Exco, Phahrolrazi yang turut dikaitkan dengan khabar angin itu berkata, belum masanya beliau membuat sebarang kenyataan dan jika perlu, satu sidang akhbar berkaitan perkara itu akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Azizan berkata surat tawaran kepada setiap Exco masih belum dihantar dan beliau hairan bagaimana spekulasi itu boleh timbul.

"Masih ada banyak masa untuk semua itu. Surat tawaran akan dihantar oleh pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kepada exco yang dilantik dan sebarang perubahan atau rombakan terhadap pelantikan itu akan diketahui pada 28 Februari
ini," katanya di sini.

Katanya, beliau tidak boleh mengumumkan apa-apa kerana pelantikan belum dibuat dan surat tawaran pun masih belum dikeluarkan lagi. - Bernama

Pentadbiran bersih Pakatan jadikan Pulau Pinang dan Selangor destinasi pelaburan terbaik

Posted: 23 Feb 2012 03:51 AM PST

PETALING JAYA, 23 FEB: Pentadbiran cekap, akauntabel dan telus kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor telah berjaya menjadikan kedua-dua negeri itu sebagai destinasi pelaburan sektor pembuatan yang terunggul di Malaysia bagi tahun 2011.

Pulau Pinang yang mencatatkan pelaburan berjumlah RM9.1 bilion manakala Selangor RM8.7 bilion membuktikan kemampuan PR mentadbir dengan bersih dan baik yang amat menyakinkan para pelabur.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, ini adalah kali kedua di mana Pulau Pinang menduduki tempat pertama dalam pelaburan sektor pembuatan, susulan kejayaan pertama dengan jumlah pelaburan RM12.2 bilion pada 2010.

Katanya, bagi tahun 2011, tiga daripada lima negeri yang menerima pelaburan tertinggi merupakan negeri-negeri PR, iaitu Pulau Pinang di tangga pertama, Selangor (kedua) dan Kedah (kelima) dengan RM6.1 bilion.

"Pentadbiran cekap berdasarkan prinsip CAT serta tender terbuka dan pengisytiharan aset secara umum oleh barisan pimpinan kerajaan Pulau Pinang telah menimbulkan keyakinan para pelabur yang tidak perlu risau tentang 'kos tersembunyi'.

"PR percaya bahawa komitmen toleransi sifar terhadap korupsi dan integriti pemimpin merupakan antara faktor utama kejayaan Pulau Pinang menjadi lokasi terpilih para pelabur untuk dua tahun berturut-turut.

"Kerajaan-kerajaan PR bukan sahaja telah menarik pelabur tetapi juga telah menonjolkan kemahiran pengurusan kewangan dengan lebihan bajet yang telah mendapat pujian daripada Laporan Ketua Audit Negara," katanya dalam satu majlis makan malam amal anjuran DAP Petaling Jaya Utara di sini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kejayaan pentadbiran bersih Pakatan rakyat di Pulau Pinang juga telah mengurangkan 95 peratus hutang kerajaan negeri, iaitu kadar pengurangan yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia.

Katanya, walau pun pengurangan hutang Pulau Pinang sebanyak RM600 juta atau 95 peratus daripada RM630 juta kepada RM30 juta adalah satu kejayaan besar, ia cuba dipertikaikan oleh Barisan Nasional.

"Sekali lagi BN ingin menafikan kejayaan PR Pulau Pinang dalam pengurangan hutang yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia dengan mengatakan bahawa hutang Pulau Pinang telah distruktur semula dan dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan.

"Mereka tidak faham. Penstrukturan semula hutang adalah berbeza daripada pengurangan hutang. Tidak berlaku penstrukturan semula hutang dalam kes ini kerana Pulau Pinang tidak mempunyai hutang tertunggak, tidak mempunyai masalah aliran tunai dan tiada masalah kewangan. Juga tidak berlaku pembiayaan semula kerana Pulau Pinang tidak menggantikan hutang lama RM630 juta dengan hutang baru," jelas beliau.

Menurutnya, apa yang berlaku hanyalah pengurangan hutang daripada RM630 juta kepada RM30 juta, di mana kerajaan negeri sekarang tidak perlu membayar RM600 juta, dan semua lebihan itu pula digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menjelaskan bahawa Malaysia telah kehilangan berbilion-bilion dolar (US$) melalui rasuah dan aliran keluar wang haram.

Dalam laporan terkini Global Financial Integrity yang dipetiknya, unjuran sebanyak RM1,077 bilion wang haram (kebanyakannya wang rasuah) telah dialirkan keluar dari Malaysia dari tahun 2000-2009.

Katanya, kerugian satu trilion ringgit ini (RM1,000 bilion) telah menjadikan 10 tahun pertama abad ke-21 sebagai "dekad yang musnah" dek korupsi.

Beliau juga amat kesal kerana tidak ada tindakan diambil ke atas skandal saham Bumiputera sebanyak RM52 bilion yang sepatutnya diagihkan kepada bumiputera miskin tetapi telah lenyap begitu sahaja.

Malah, setelah kalah di beberapa negeri selepas pilihan raya umum 2008, BN tetap degil dan enggan tunduk kepda desakan rakyat kerana telah gagal untuk melaksanakan sistem tender terbuka, justeru mengakibatkan kapitalisme kroni yang tidak mempedulikan nasib rakyat.

"Ambil sebagai contoh Lebuhraya Pantai Barat bernilai RM7.07 bilion baru-baru ini dengan tempoh konsesi 60 tahun.

"Ambil contoh keengganan kerajaan BN untuk memansuhkan tol Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang walau pun pengendali tol sudah mengaut keuntungan lebih 100 peratus daripada pelaburan modal.

"Ini semua menunjukkan bagaimana sistem kapitalisme kroni menguntungkan segelintir elit dan menyusahkan 28 juta rakyat Malaysia yang lain," katanya. – Roketkini.com

Najib Tidak Mengamalkan Semangat Kerajaan Persekutuan!

Posted: 23 Feb 2012 03:19 AM PST


Pulau MB, KM Pakatan, Najib tak profesional, kata Khalid

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-114 di Putrajaya pada Selasa lalu tanpa membabitkan pemimpin
Pakatan Rakyat dianggap amat tidak professional.

Sehubungan itu, menurut Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mesyuarat berkenaan sewajarnya dinamakan sahaja Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri BN.

"Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri Pakatan Rakyat tidak dipanggil menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-114 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diadakan di Putrajaya pada Selasa lalu.

"Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor menyeru Perdana Menteri untuk membuat satu penjelasan kepada media bahawa mesyuarat tersebut adalah sebenarnya Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri BN," katanya dalam satu kenytaan media hari ini.

Sambil membidas Najib kerana mengenepikan peranan Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Pakatan Rakyat dalam membincangkan kebajikan rakyat, Abdul Khalid berkata sikap perdana menteri hanya membuktikan bahawa konsep 1Malaysia yang dipromosikan hanyalah sekadar gimik politik.

"Adalah amat tidak professional untuk Perdana Menteri mengenepikan peranan Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Pakatan Rakyat dalam satu mesyuarat yang membincangkan kebajikan rakyat.

"Apatah lagi rakyat dari Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan menyumbang lebih dari setengah hasil ekonomi Malaysia," katanya sambil menambah tindakan Najib itu juga memberi kesan buruk kepada proses transformasi yang ingin dilakukan.

Mesyuarat Selasa lalu itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan serta beberapa menteri kabinet.

Ia lazimnya digunakan bagi menyelaras pentadbiran antara negeri-negeri selain membincangkan isu-isu berbangkit.

Hubungan Israel: Khairy sasar serangan pada Mahathir

Posted: 22 Feb 2012 10:31 PM PST

KUALA LUMPUR 23 Feb: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin cuba menyalahkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan hubungan dagang antara kerajaan Malaysia dan Israel.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin, mengulas pengakuan Khairy bahawa kerajaan telah menjalinkan hubungan dengan Israel sejak 1996, kononny ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi timbalan perdana menteri.

Menurut Shamsul, mustahil Khairy mampu menafikan hakikat bahawa Mahathir merupakan perdana menteri yang lebih berkuasa ketika itu, berbanding Anwar yang merupakan timbalan beliau.
"Dengan mengatakan hubungan dagang dengan Israel bermula pada tahun 1996, Khairy meletakkan Mahathir dalam keadaan 'defensive' kerana Mahathir merupakan Perdana Menteri pada ketika itu.
"Khairy seolah-olah mensasarkan serangan kepada Tun Mahathir, yang selama ini cuba menonjolkan imej anti-Israel dan vokal dalam mempertahankan Palestin, tapi pada masa sama membuat hubungan dengan Israel," kata Shamsul.

Shamsul berkata, jika benar dakwaan Khairy, beliau mempersoalkan mengapa hubungan dagang dengan Israel itu diteruskan, meskipun Anwar dipecat dari jawatannya dalam kerajaan pada 1998.
Pada masa ini, Malaysia menduduki tangga ke 15 negara terbesar di dunia yang berurusan dengan rejim zionis dari segi hubungan dagangan.
"Sekiranya kerajaan tidak mengiktiraf negara Israel, tidak sepatutnya wujud sebarang hubungan dengan syarikat mereka, seperti APCO yang mendapat bayaran RM77 juta setahun oleh kerajaan," kata Shamsul.

Mengulas isu yang sama, Naib Ketua AMK, Azmizam Zaman Huri berkata, setiap perubahan dasar membabitkan hubungan dengan Israel, semestinya diluluskan di dalam mesyuarat kabinet.
"Semua orang tahu bahawa Tun Mahathir yang mempengerusikan mesyuarat kabinet pada tahun itu (1996)," ujar Azmizam.

"Kerajaan Umno-BN selama ini mendakwa mereka anti-Israel, sebaliknya menuduh Datuk Seri Anwar pula sebagai agen Zionis," katanya lagi.

Isu Ba'iah: TG Nik Aziz Bidas Tun Mahathir, Jahil Politik Islam

Posted: 22 Feb 2012 08:31 PM PST

Pas: Semua harus jamin keselamatan Palestin

Posted: 22 Feb 2012 08:02 PM PST

Wartawan Sinar Harian


SHAH ALAM - Pas mengulangi pendirian parti itu dengan menegaskan, keselamatan rakyat Palestin tetap menjadi agenda utama dan mahu semua pihak memberi jaminan keselamatan daripada kebiadapan rejim Israel.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga berkata, parti itu mengecam tindakan bermuka-muka kerajaan Barisan Nasional (BN), yang terus berurus niaga atau menjalin apa saja hubungan dengan rejim Israel ketika rakyat di Palestin terus dibunuh dan ditekan.

Katanya, Pas akan terus bersama "darah, air mata dan derita rakyat" di Palestin bagi memperjuangkan sebuah negara merdeka.

Malah katanya, bagi parti itu, apa jua perancangan masa depan negara Palestin hendaklah mengambil kira pendirian Hamas yang telah menerima mandat rakyat.

"Seperti yang ditegaskan Murshidul Am Pas, Pas sekali lagi ingin menegaskan pendirian parti bahawa kita tetap bersama rakyat di Palestin yang berjuang bagi mendapatkan balik hak negara mereka yang telah dirampas oleh rejim Israel," kata beliau dengan merujuk kepada pertemuan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, kelmarin.

Anwar menemui Nik Abdul Aziz bagi menjelaskan maksud kenyataannya berhubung 'keselamatan Israel' yang disiarkan oleh Wall Street Journal, bulan lalu.

Pertemuan itu turut disertai Tuan Ibrahim.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas juga menolak 'road map' yang ditaja oleh kuasa Barat dan mana-mana pihak yang terlibat, yang sedang memaksa pelan penyelesaian ke atas rakyat Palestin dan seluruh dunia.

Dalam kenyataannya semalam, Nik Abdul Aziz menegaskan, adalah haram bagi mana-mana pihak bersekongkol dengan Israel dalam apa jua bentuk hubungan.

Menteri Besar Kelantan berkata, beliau berpandangan bahawa Anwar memahami pendirian Pas yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin.

"Oleh kerana itu tidak berbangkit Pas telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat," katanya.

Sehubungan itu kata Nik Abdul Aziz, beliau yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.

Tiada ulasan: