DUNIACACAMARBA |
- Wanita DITIDURI Hantu Raya
- Tinggal SEEKOR di Dunia
- Muka Cun, Kulit Putih Melepak, Tetapi Ada AIDS
- GRO: “Memang saya tak bertamadun, sebab itulah kerja macam ini”
- TG Nik Aziz: Jaga Perasaan, Palestine Kiblat Pertama Islam
Posted: 19 Feb 2012 04:00 AM PST
Saya petik:
[Kosmo] CUACA pada malam itu agak dingin. Semua penghuni rumah teres dua tingkat di Nilai, Negeri Sembilan itu sudah tidur semasa Keena pulang daripada kerja. Pada masa itu jarum jam menunjukkan pukul 11 malam. Pramugari itu terus ke bilik air untuk membersihkan tubuh setelah 13 jam mengharung penerbangan dari London ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang. Sedang dia asyik menghayati siraman air suam kuku, tiba-tiba pandangan mata Keena terarah kepada sebuah objek yang melekat pada cermin pemisah bilik airnya. Dek terlalu letih, Keena tidak banyak berfikir. Dia menyangkakan objek itu mungkin seekor kelawar yang tersesat ke dalam kamar mandinya. Seketika kemudian objek berwarna hitam itu lenyap. "Bila diamati betul-betul ia seolah-olah tapak tangan lembaga hitam yang diletakkan pada cermin itu," tutur Keena, 37. Putus tunang Sejak setahun lalu, ibu tunggal itu sudah terbiasa dengan kejadian pelik di rumahnya. Rumah tersebut didiami Keena bersama ibu, adik dan seorang anak lelakinya. Malah, adik perempuan Keena mendakwa pernah melihat makhluk seakan-akan beruk besar berdiri di atas bumbung rumahnya. Jelas Keena, sejak bercerai dengan suaminya enam tahun lalu, rumah itu tidak lagi tenteram seperti dahulu. Ada sahaja gangguan misteri berlaku. Daripada bunyi bising hinggalah jelmaan makhluk hitam berbulu yang menemani tidurnya. "Lampu terpadam tiba-tiba, bunyi orang sedang berjalan dan benda mencakar dinding sudah menjadi perkara biasa buat saya. Kadang-kadang ada bunyi guli melantun di atas siling. "Semasa tidur pula ada makhluk berbulu hitam pekat sering menindih saya. Apabila dibacakan ayat Kursi dan dilaungkan azan ia akan hilang tetapi akan muncul semula. SEMASA azan dilaungkan terdapat bunyi seakan-akan almari diketuk. "Bukan itu sahaja, sejak mengalami gangguan itu, emosi saya selalu tidak stabil. Saya menjadi semakin panas baran dan mudah marah," jelas Keena dalam nada sugul kepada Jurnal. Dia tidak sahaja diganggu oleh bunyi-bunyi aneh dan jelmaan makhluk yang menyeramkan, bahkan kehidupan peribadi Keena turut merudum. Setelah bercerai dengan suaminya yang merupakan seorang pramugara pada tahun 2006, Keena mengalami banyak kegagalan dalam percintaan. "Dalam tempoh itu saya sudah bertunang sebanyak tiga kali. Apabila hampir untuk diijabkabulkan, hubungan kami terputus tanpa sebab. Saya baru sahaja putus tunang dengan seorang mualaf. "Dia tiba-tiba tidak jadi berkahwin dengan saya walaupun hanya tinggal seminggu lagi. Saya bingung, mengapa semua ini berlaku?" kata Keena. Menyedari keanehan itu, Keena berjumpa ramai pakar perubatan Islam untuk mendapatkan rawatan. Malangnya keanehan berlaku lagi sewaktu dia membawa seorang ustaz ke rumahnya untuk berubat. Dalam perjalanan itu, kereta mereka dihalang oleh seekor ular besar berwarna hitam. Ular itu bagaikan hendak menghalang ustaz itu daripada tiba ke rumah Keena. "Sewaktu menjemput seorang ustaz daripada jalan utama ke kawasan rumah saya, konvoi kami dihalang oleh ular itu.
Disetubuhi "Ular berwarna hitam yang berdiri setinggi kereta itu berada betul-betul di tengah laluan kami sebelum ia tiba-tiba lenyap. "Anak saya memberitahu bahawa dia seperti sedang menonton rancangan National Geographic secara langsung. Itulah pertama kali saya melihat ular yang begitu besar," tutur Keena. Menurut seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafei, Keena sebenarnya menderita akibat disihir dan diganggu hantu raya. "Makhluk berbulu yang sering dilihat Keena itu kalau di kampung dipanggil hantu raya. Ia dibela sejak zaman-berzaman dan dihantar untuk memecahbelahkan kehidupan orang lain. "Dalam diri Keena sendiri ada makhluk halus yang bersarang. Kerana itulah emosi dia kerap terganggu kerana terdapat kesan lebam pada tubuhnya," tutur Shamsuri. Tambah Shamsuri, lebih teruk apabila makhluk berbulu setinggi manusia biasa itu boleh melakukan persetubuhan dengan mangsa. "Ada mangsa gangguan hantu raya yang mengaku dia disetubuhi oleh makhluk itu. Biarpun dalam keadaan tidak sedar, tetapi ciri-ciri seperti seseorang yang selesai bersetubuh itu terdapat pada mangsa," tambah Shamsuri. Baru-baru ini, Shamsuri melakukan proses menghalau makhluk tersebut dan memagar rumah Keena dengan bacaan ayat-ayat rukyah. Setiap bilik di rumah Keena dibacakan ayat-ayat suci berserta bacaan doa untuk menghalau makhluk ghaib tersebut. Sebuah bilik di bahagian belakang yang didakwa oleh Shamsuri sebagai tempat hantu raya tersebut duduk dilaungkan dengan alunan azan.
Ketika Shamsuri dan tiga orang pembantunya melaungkan azan secara serentak itu, perhatian Jurnal tertarik oleh bunyi dari sebuah almari. Bunyi jari telunjuk yang mengetuk pintu almari itu bersahutan sebanyak empat kali sebelum ia berhenti. Jelas Shamsuri, apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran dan azan, makhluk halus tersebut akan berasa panas dan marah. Seterusnya akan kedengaran bunyi-bunyi seperti mencakar dinding, bunyi cawan dan harimau mengaum. "Tanda-tanda ini akan berlaku pada waktu malam selepas ia dihalau. Ini bermakna ia tidak akan mengganggu lagi mangsanya," kata Shamsuri. -Syalmizi Hamid | ||||||||
Posted: 19 Feb 2012 01:02 AM PST Saya petik: [Kosmo] ATLANTA, Amerika Syarikat – Beberapa pegawai Zoo Atlanta menyatakan seekor katak daripada spesies yang dipercayai pupus di habitat rimba, terpaksa dihapuskan selepas ia jatuh sakit. Sebelum ini, Zoo Atlanta memelihara sepasang katak berkenaan yang dikenali sebagai katak pokok Rabbs' fringe-limb. Saintis-saintis percaya perkembangan tersebut menyebabkan kini terdapat cuma seekor katak berkenaan di dunia. Kelmarin, beberapa pegawai Zoo Atlanta memberitahu, seekor katak itu terpaksa dihapuskan bagi mengelakkan ia terus menderita selain mengekalkan bahan genetik amfibia berkenaan bagi tujuan penyelidikan. Spesies katak tersebut ditemui oleh kurator herpetologi Zoo Atlanta, Joseph Mendelson semasa lawatan beliau ke Panama dalam tahun 2005. Mendelson berkata, spesies berkenaan di habitat rimba pupus akibat jangkitan sejenis patogen yang dikenali sebagai kulat chytrid. – AP | ||||||||
Muka Cun, Kulit Putih Melepak, Tetapi Ada AIDS Posted: 18 Feb 2012 08:27 PM PST Saya petik: [HM] KUALA LUMPUR: Mereka tahu bakal dijemput ajal pada bila-bila masa kerana disahkan menghidap Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (Aids) atau menjadi pembawa virus HIV. Bagaimanapun, persiapan sebelum dan selepas mati memerlukan perbelanjaan besar. Justeru, selagi ada hayat, mereka perlu mengumpul wang sebanyak mungkin walaupun tindakan itu menyebarkan virus maut kepada orang lain. Itulah tindakan sebahagian wanita pekerja seks dari China yang sanggup 'berkhidmat' di negara ini semata-mata untuk mengumpul duit mati sebanyak mungkin. Mereka mudah berbuat demikian kerana sebahagian besar memiliki pakej sebagai wanita idaman lelaki hidung belang di Malaysia seperti kulit putih gebu, montok dan tinggi lampai. Ini dibuktikan apabila siasatan polis mendapati ada antara wanita terbabit mampu memperoleh lebih RM30,000 sebulan dengan hanya 'bekerja' 20 hari walaupun mengaku menghidap Aids/HIV. Lebih bahaya, wanita terbabit sebenarnya dikategorikan sebagai gred C iaitu sudah lama 'berkhidmat' sebelum beralih angin ke Malaysia, manakala wanita gred A dan B lazimnya menawarkan khidmat di negara sendiri atau negara maju yang mempunyai kuasa beli lebih tinggi. Fenomena menakutkan itu didedahkan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berdasarkan operasi dan serbuan polis sebelum ini. "Mereka mengaku ke Malaysia untuk mencari duit sebanyak mungkin dan berbuat demikian hingga penghujung nyawa, walaupun menyedari menghidap Aids atau pembawa virus HIV," katanya ketika ditemui Metro Ahad. Berdasarkan siasatan, katanya, kebanyakan wanita terbabit menguruskan sendiri kemasukan ke negara ini dan dengan kos tidak sampai RM500, mereka mampu membawa pulang RM36,200 selepas hanya 'bekerja' 20 hari. Itu juga menjadi punca ramai wanita asing gemar 'cari makan' di Malaysia. "Lazimnya wanita, terutama dari China, diberikan gred iaitu A, B atau C. Di Malaysia, kebanyakan wanita terbabit sebenarnya cuma gred C, manakala gred A atau B mengisi keperluan di negara sendiri atau negara maju lain. "Golongan gred C paling ramai membawa musibah, terutama jika tahap kesihatan mereka tidak diperiksa. "Bayangkan ada antara mereka melayan sehingga 10 lelaki sehari tanpa mengetahui status lelaki ditiduri, sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai penyakit berjangkit. "Lebih mengecewakan, ada antaranya terus menjalankan aktiviti itu walaupun menyedari mereka berpenyakit. "Ini tidak termasuk status kesihatan lelaki asing yang meniduri mereka ketika masih dikategorikan gred A atau B di negara lain sebelum ini," katanya. Menurut Abdul Jalil, setakat ini warga China, Thailand, Indonesia dan Vietnam masih mendominasi kegiatan maksiat di negara ini berdasarkan statistik diperoleh D7 hasil tangkapan pada 2010 dan 2011, meskipun wujud pekerja seks dari negara baru seperti Uganda dan beberapa negara Timur Tengah. Katanya, ada antara negara terbabit mencatatkan penurunan, manakala ada juga yang menunjukkan peningkatan dan ia dipercayai didorong beberapa faktor, terutama bahasa. "Sebagai contoh pada 2010, jumlah tangkapan membabitkan wanita China sebanyak 6,199 orang manakala pada 2011 jumlahnya menurun kepada 5,795 berbanding Vietnam yang mencatat peningkatan kepada 812 tangkapan (2,823 orang) pada 2011 berbanding 2,105 orang pada 2010," katanya. Secara kasar, katanya, polis mendapati kebanjiran wanita Vietnam disebabkan mahir berbahasa Inggeris atau sekurang-kurangnya boleh berkomunikasi dalam bahasa itu yang memudahkan mereka berurusan dengan pelanggan. "Jika wanita China, pelanggan yang tidak pandai berbahasa Mandarin atau Hokkien terpaksa membuat tawaran melalui kalkulator (menaip angka) untuk meminta diskaun dan ia merumitkan, berbanding hanya menyebut angka dalam bahasa Inggeris dengan wanita dari Vietnam. "Ia seakan-akan lucu, tetapi itulah fenomena yang berlaku berdasarkan pengamatan polis dalam beberapa serbuan sebelum ini," katanya. Metro Ahad difahamkan, berdasarkan hitungan kasar, wanita warga asing menawarkan perkhidmatan serendah RM180 untuk sekali perkhidmatan dan jika didarab dengan 10, ia menjadi RM1,800 jika mereka 'bekerja' dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam. "Jumlah RM1,800 jika dikumpul selama 20 hari menjadikan pendapatan mereka RM36,000 dan selepas ditolak perbelanjaan makan, minum serta sewa rumah, mereka masih mampu membawa pulang RM30,000. "Itu bagi mereka yang tidak mengamalkan cara hidup mewah dan jika berbelanja RM10,000 sebulan sekalipun, mereka masih mampu membawa wang ke negara asal sebelum kembali semula ke Malaysia untuk mengumpul kemewahan," katanya. Sehubungan itu, beliau berharap kehadiran pelancong sebegini, terutama yang mempunyai cop keluar masuk lebih daripada dua kali ke negara ini, dipantau supaya kegiatan seperti itu dapat dibendung, selain merekodkan cap jari pelancong bagi mengelak identiti mereka dipalsukan. "Kita tidak nafikan ada antara mereka benar-benar melancong dan berminat dengan keindahan negara kita, tapi pada masa sama kita harus berwaspada dan mengawasi pergerakan dengan memantau aktiviti dan mengetahui lokasi mereka. "Mungkin kita perlu memperkenalkan sistem penjamin, iaitu mereka yang ingin ke negara ini perlu ada sekurang-kurangnya seorang penjamin bagi memastikan golongan ini tidak melanggar undang-undang negara dan jika ingkar, penjamin boleh dikenakan tindakan," katanya. | ||||||||
GRO: “Memang saya tak bertamadun, sebab itulah kerja macam ini” Posted: 18 Feb 2012 06:41 PM PST Saya petik: [HM] JOHOR BAHRU: "Memang saya tak bertamadun, sebab itulah kerja macam ini," demikian pengakuan selamba seorang pelayan pelanggan (GRO) apabila dia dan rakannya ditahan dalam serbuan selepas mempersembahkan tarian bogel di sebuah pusat hiburan di Jalan Datuk, di sini, jam 1 pagi semalam. Bagaimanapun, janda berusia 26 tahun itu merayu dibebaskan dengan memberi alasan terpaksa menjadi GRO untuk membesarkan dua anaknya. Difahamkan, janda itu dan rakannya berusia 27 tahun sanggup berbogel di pentas tarian atas permintaan pelanggan dengan upah RM250. Mereka menari di pentas dengan membuka satu demi satu pakaian diiringi rentak muzik disko hingga berbogel selama 15 minit. Ketika ditahan, kedua-dua GRO itu dalam keadaan mabuk serta mengaku tidak keberatan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dengan caj RM500. Difahamkan, khidmat seks dilakukan di dalam tandas pusat hiburan terbabit tanpa menghiraukan bau busuk dan keadaan tidak selesa, malah pemeriksaan polis turut menemui kondom yang sudah digunakan. Pegawai Turus, Cawangan Kongsi Gelap Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Deputi Superintendan Mohammad Abd Hamid berkata, ujian dilakukan terhadap dua wanita itu menunjukkan mereka berada di bawah pengaruh alkohol yang tinggi. Katanya, turut ditahan ialah seorang wanita yang juga pelayan dan didapati berada di bawah pengaruh alkohol serta seorang penjaga premis, termasuk ibu ayam berusia 46 tahun. "Siasatan awal mendapati wanita berkenaan baru beberapa bulan bekerja sebagai GRO, namun dia cuba menafikannya dan mendakwa datang bersama pelanggan bagi mengelak dicekup. "Semua itu hanya helah kerana kami ada bukti dia bekerja di pusat hiburan terbabit dan turut disyaki menawarkan khidmat seks serta tarian bogel kepada pelanggan," katanya. Mohammad tidak menolak kemungkinan wanita terbabit sedia dibawa keluar dengan membayar hingga mencecah RM1,000 semalam. "Walau apa alasan diberi, kami tetap menahan wanita terbabit. Resit, wang tunai RM500 serta kondom turut dirampas, manakala semua wanita tempatan itu ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan," katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 372 b Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi maksud persundalan serta melakukan perbuatan lucah, manakala penjaga premis disiasat mengikut Seksyen 372 (1) (F) kanun sama. Operasi turut disertai sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Agama Johor (JAJ) dan mereka menahan empat GRO dipercayai mabuk mengikut Seksyen 19 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana meminum minuman keras. | ||||||||
TG Nik Aziz: Jaga Perasaan, Palestine Kiblat Pertama Islam Posted: 18 Feb 2012 06:15 PM PST Saya petik: [BlogTukGuru] Isu yang menyentuh kenyataan Datuk Seri Anwar mengenai keselamatan Israel yang dikatakan menyentuh perasaan Palestine masih hangat dibincang. Saya dan PAS juga turut diasak menyatakan pendirian mengenainya. Meskipun pada awalnya saya anggap ia adalah hal peribadi Datuk Seri Anwar. Sehingga ada seorang timbalan menteri mengesyorkan agar saya 'ditarbiah semula'. Lalu saya bersuara pada 16 Rabi'ulawal (9 Februari) lalu atas pandangan serong timbalan menteri itu. Kemudian pihak Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi pun (17 Rabi'ulawal) menyatakan secara jelas sikap dan pendirian atas isu Palestine. Maka PAS tetap berpendirian kena jaga perasaan umat Islam. Tambahan pula, sekian lama umat Palestine dizalimi regim Yahudi-Israel. Apa pun atas kenyataan Datuk Seri Anwar (seperti disiar oleh Wall Street Journal) perlulah tampil menjelaskan pendirian agar ia tidak terus diputar oleh pihak tertentu. Ia penting sebagai asas untuk dilihat 'berpihak' kepada umat Palestine dan tidak 'menyokong' Israel. Justeru, saya selaku Al-Mursyidul Am bersama Majlis Syura Ulama' PAS telah mengeluarkan suatu kenyataan yang mengharapkan Datuk Seri Anwar tampil menyatakan pendirian 'sebenar' antara mohon maaf atau menyaman Wall Street Journal. Kandungan kenyataan itu adalah sebagaimana berikut: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri. Negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia. Wajib ke atas umat Islam bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya. Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka PAS menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis. Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam, kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini. Saya, selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal. Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama' menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau. Secara tegas, jiwa dan perasaan umat Islam perlu dijaga. Lebih utama lagi menyokong perjuangan Palestine kerana bumi Palestine adalah bumi mulia. Di situ letaknya Masjid Baitulmuqaddis. Ia kiblat pertama umat Islam dan paksi penting sejarah kenabian. Lebih-lebih lagi di sisi Nabi Muhammad SAW, ia menyentuh mukjizat Israk dan Mikraj. Ia peristiwa yang mengangungkan Allah SWT. Semoga Allah mengurniakan kebaikan dan ketenangan untuk semua umat Islam bila keamanan berlaku di bumi Palestine. |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan