Rabu, 29 Februari 2012

.

.


Rencana Khas

Posted: 29 Feb 2012 02:51 AM PST

Umno Sudah Sakit Mental?
Pemimpin Pakatan Rakyat Terancam

Tidakan rakus dan jahat kumpulan yang memakan upah Umno ke belakangan ini menunjukan parti itu benar-benar dalam keadaan terdesak. Umno semacam sudah mengetahui jangka hayatnya tidak berapa lama lagi. Kalau diibaratkan kepada kanser, tahap yang dihadapi Umno kini sudah tahap empat.

Biasanya tahap empat ini boleh bertahan enam bulan dari detik mula ianya dikesan, selepas itu khuluhumlah.

Tengoklah apa yang berlaku kini, tindakan-tindakan diluar batas demokrasi terjadi di mana-mana sahaja. Kumpulan ini akan menjadi histeria menganggu ceramah dan melakukan keganasan politik di majlis-majlis politik Pakatan Rakyat. Mereka bukan saja setakat menghalang dalam bentuk provokasi tetapi sudah meliar sehinggakan menyentuh batang tubuh - fizikal. Sudah ada tindakan secara fizikal hendak dilakukan.

Antara kejadian-kejadian mutakhir yang cukup membimbangkan, seperti gangguan terhadap majlis penerangan ABU - Asal Bukan Umno di Jalan Kebun, Shah Alam beberapa minggu lalu. Macam mana sekumpulan lelaki dipercayai upahan dan dikatakan ahli Perkembar menyerang dan menganggu majlis berkenaan. Menyaksikan video gangguan itu di internet lagaknya salin tidak tumpah macam samseng kemabukan todi dalam filem Tamil.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di ceramah Anwar Ibrahim di Macap, Melaka. Kumpulan samseng soldadu upahan ini telah menyakat orang ramai dari mengikuti ceramah berkenaan. Tindakan ini jelas sekali melanggar prinsip demokrasi yang diangung-agungkan itu. Kumpulan ini tidak mempedulikan lagi kepada undang-undang dan adat budaya. Mereka menggunakan undang-undang hutan rimba untuk bertindak.

Manakala gangguan terhadap ceramah Anwar di Sembrong, Johor dan percubaan untuk mencederakan penasihat umum PKR itu sesuatu yang paling busuk. Tindakan itu berpotensi besar akan mencetuskan tragedi berdarah. Kalau tidak kerana kenekadan para pengawal Anwar dan penyokong PKR malam itu sudah tentu bumi Smbrong akan mengecapi darah.

Bagaimana sekumpulan pemuda liar Sembrong molontar batu dan menendang kereta Anwar sampai kemek. Bayangkan kalau tidak ada pasukan pengawal apa akan terjadi kepada Anwar? Tidak berpuas hati kerana mereka tidak dapat lanyak Anwar, kumpulan itu terus berdiri di seberang jalan tidak jauh dari pentas ceramah terus memaki hamun Anwar. Mereka bersorak menyanyi lagu-lagu patriotik kepala lutut. Sambil itu ada yang jahat melontar Anwar dengan telor dan air kencing dalam botol mineral.

Insiden itu dan beberapa insiden yang berlaku sejak ke belakangan ini cukup membimbangkan. Aksi politik negara ini sudah terlewat dari batas agama dan adat. Apakah ini trend baru ataupun ia satu budaya jelek yang dikutip dari aksi-aksi yang dipaparkan di dalam tv? Ataupun aksi dan perangai buruk ini berlaku hasil dari budaya demonstrasi yang mulai rancak di negara ini akhir tahun 1990-an? Perkembangan dan perubahan jiwa orang Melayu dalam siasah ini wajar dikaji.

Gangguan dan keganasan politik yang berlaku itu adalah bersiri. Terbaru apa yang berlaku di himpunan Hijau 0:2 di Pulau Pinang merupakan kesenimbungan kepada kejahatan yang dirancang itu. Bagaimana sekumpulan lelaki berkulit hitam ala negero lombong telah melakukan provokasi dan menghina Lim Guan Eng.

Satu lagi kejadian di Gambang Pahang di mana Nurul Izzah cuba dicederakan. Kumpulan liar upahan ini berani memanjat ke pentas dan ingin mencederakan Nurul Izzah. Apa yang berlaku di Pahang itu jelas siapa dan golongan mana? Seperti mana diakui oleh orang Umno kononnya mereka ke pentas untuk melindungi Nurul Izzah, satu kenyataan yang cukup melucukan. Begitu juga dengan penafian Tengku Adnan Mansor yang Umno tidak ganggu majlis Pakatan Rakyat adalah satu pembohong di siang hari.

Dari maklumat dan carian menunjukkan wajah-wajah yang terlibat bersama gerombolan liar itu antaranya ahli Perkembar.

Saya bimbang dengan perkembangan yang berlaku akhir-akhirnya ia cukup bahaya. Kalau tidak dibendung mungkin sejarah kelukaan baru akan menimpa negara. Yang menghairankan kenapa ianya seperti dibiarkan oleh Polis. Apakah polis bersekongkal dalam perancangan ini membantu golongan ini?

Melihat kepada susana di tempat kejadian itu di mana kegansan politik bebas dilakukan seolah polis tidak ada kuasa untuk mengawalnya lagi. Sikap polis yang seolah-olah membiarkan kumpulan itu mendekati kawasan ceramah atau menyusup mahu untuk membuat kecau seperti mana berlaku di Himpunan Hijau di Penang itu menjelaskan akan sikap polis.

Adalah sangat dikesali kalau polis bersekongkol di dalam hal ini. Apakah setelah berlaku pertumpahan darah baru hendak bertindak? Mana-mana ceramah yang dibenarkan atau mendapat permit ia mesti dibawah tanggungjawab polis, kerana permit itu diberi setelah ada jaminan keselamatan.

Sekiranya keganasan politik ini dilakukan kumpulan liar ini satu tektik dan perancangan ia boleh mengancam jiwa pemimpin Pakatan Rakyat. Tidak mustahil tindakan ini semakin liar dan agresif lagi saat hampir tiba pilihan raya. Apa lagi kalau Umno merasakan jangka hayatnya semakin pendek, golongan penerima upah sesen dua ini akan jadi lebih tidak waras.

Agak melampau kalau dikatakan apa yang berlaku adalah plan penyelamat (kontingensi plan) kerajaan UBN. Mungkin dengan keganasan itu mereka mengharapkan tindak balas dari pihak di serang. Apabila berlaku ini maka meletuslah keadaan tegang dan huruhara. Apa yang mungkin dinanti dari suasana itu ialah untuk mengistyharkan darurat di mana dengan cara itu menafikan pihak Pakatan untuk mengambil alih kekuasaan bila mana pilihan raya ditangguhkan.

Memandangkan ia mungkin agresif perlu rasanya Pakatan Rayat memperketatkan kawalan ke atas majlis-majlis anjruan mereka. Para pemimpin hendaklah dikawal serapi mungkin. Dalam hal ini tampaknya pemimpn DAP dan PKR saja yang hendak dituju, dikhianti. Pemimpin Pas seakan terlepas dari kejahatan ini. Manakala orang yang menjadi sasaran utama, Anwar, Nurul Izzah, Lim Guan Eng, Kit Siang, Karpal Singh, Azmin Ali dan lain-lain.

Dalam pada itu elok juga kalau majlis-majlis ceramah Pakatan Rakyat nanti pastikan ia diadakan bersama dengan pemimpin Pas. Kerana pemimpin Pas tidak menjadi sasaran, penggabungan majlis itu menjadikan pemimpin sebagai perlindung kepada mereka. Pakatan Rakyat jangan merasa anih dengan kemungkinan ini. Dalam keadaan Umno semakin hilang daya siuman apa-apa sahaja boleh berlaku. [wm.kl.6:46 pm 29/02/12]

Susupan Petang

Posted: 28 Feb 2012 11:10 PM PST

Lagi Wakil Rakyat Umno Didapati Rasuah

Lepas seorang seorang wakil rakyat Umno didapati bersalah melakukan rasuah atau menyalahgunakan kuasa. Terbaru ialah ahli Parlimen Sabak Bernam Abdul Rahman Bakri (foto) didapati bersalah oleh Mahkamah Shah Alam atas tuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan wang sebanyak RM80,000.

Keputusan dibuat oleh Hakim Azhaniz Teh Azman selepas pihak pembelaaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwa

Kesalan ahli Parlimen UBN itu dilakukan pada 21 Januari hingga 4 Februari 2008, ketika itu Abdul Rahman menjadi Adun Ayer Tawar.

Sebelum ini beberapa orang wakil rakyat Umno khususnya di Selangor di heret ke mahkamah atas tuduhan melakukan rasuah. Sekurang-kurangnya dua Exco telah diheret dan dibicara di mahkamah atas kesalahan rasuah. Bagaimana pun mereka berjaya dalam rayuan menyebabkan tidak sempat menginap di penjara.

Bekas Menteri Besar, Khir Toyo juga didapati bersalah melakukan rasuah berhubung pembelian satu lot tanah di Shah Alam untuk kegunaan beliau dan isterinya. Beliau telah dijatuhi hukum penjara 12 bulan. Khir masih belum menjalani hukuman penjara kerana sedang menanti proses rayuan.

Ironisnya dalam masa para pemimpin Umno dan juak-juaknya berusaha membuat laporan rasuah terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat, yang disumbat ke dalam penjara ialah pemimpin Umno.

Misalnya di negeri Kelantan puak Umno mencari apa saja kesalahan dilakukan oleh pemimpin Pas kemudian dilaporkan kepada SPRM. Gara-gara itu menyebabkan SPRM menyiasat beberapa orang wakil rakyat dan termasuk juga Exco kanan. Tetapi yang dipenjara kerana rasuah ialah ketua bahagian Umno.

Minggu lepas Lembaga SPRM mengesahkan menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang dilaporkan rasuah dilepaskan kerana kekurangan bukti. Perlepasan itu membuktikan tuduhan ke atas Ariffahmi hanya fitnah dan bertujuan khianat.

Senario itu boleh dijadikan kayu pengukur kepada rakyat, pemimpin dari parti mana yang korup dan yang mana yang bersih. Disebabkan mereka kompunan untuk melihat ada wakil rakyat Pakatan disumbat ke penjara kerana rasuah itulah maka pihak UBN sanggup mengupah sesiapa saja bagi mengenakan para pemimpin Pas.

Sebenarnya pemimpin yang korup dan berhati busuk tidak akan merasa selesa untuk berada dalam Pakatan Rakyat sebab itu ada setengahnya meninggalkan parti dan berenang-renang dalam kolom busuk bersama sesetengah pemimpin Umno yang mesra jiwa dengan rasuah. [wm.kl 3:15 pm 29/02/12]

Selingan Malam

Posted: 28 Feb 2012 05:27 AM PST

Haramkan The Star, Mana Pergi Ngo Beras Kampit

Ekoran mendedahkan gambar artis Amerika, Erykah Badu yang bertatu nama Allah para pengarang kanan akhbar The Star telah dipanggil oleh pihak KDN yang bertanggungjawab mengeluarkan permit. Saya yakin dan percaya tindakan paling kuat dikenakan kepada akhbar yang biadap itu hanya memberi amaran keras bertulis.

KDN tentu tidak berani untuk bertindak ke atas akhbar kroni Umno itu. Tindakan-tindakan yang lebih bersifat untuk mengambil hati begitulah menyebabkan akhbar itu jadi keras kepala dan terus mempermainkan perasaan umat Islam. Cara akhbar itu menyiarkan artis bertatu Allah itu untuk memalu dan satu penghinaan kepada Islam.

Kepada saya tindakan paling sesuai ialah bukan amaran keras atau mengggantungkan permitnya, tetapi haram terus biar akhbar itu lenyap dari atas muka bumi ini. Akhbar itu dan sesiapa juga yang tidak peka kepada kepentingan dan agama lain harus dikenakan tindakan tegas jangan berlemah lembut lagi. Dengan mengharamkan terus saja perkara itu tidak akan berulang dan akan menjadi pedoman oleh akhbar lain.

Saya yakin selagi akhbar itu wujudnya ia akan melakukan perkara sama. Ia hanya berhenti sekejap saja kemudian akan mengulangi lagi kemudian membuat opolegetik dengan alasan tersalah pandangan.

Menghairankan macam mana berlaku tersalah pandangan dalam penerbitan yang sebegitu besar dan profesional. The Star adalah akhbar nombor satu dari segi edarannya. Bukan soal tersalah faham saja sepatutnya semua karyawan di akhbar itu diberi didikan dan pengetahuan mengenai tatacara bersurat khabar. Saya nak tanya apa yang orang Islam yang ada dalam pejabat surat khabar itu buat? Tidur kah atau semua mereka hanya jadi operator mesin saja.

Umat Islam wajib terus desak dan berikan tekanan. Sikap The Star bagi saya jauh lebih berbahaya berbanding aktiviti memurtadkan umat Islam di negara ini yang dihebohkan oleh sebuah Ngo berjenama beras kampit itu. Kenapa Ngo itu diam? Mungkin kerana ketuanya jahil mengenai startegi The Star dalam menghina umat Islam menyebabkan dia boleh ambil The Star untuk menudung kepalanya dari ditimpa hujan.

Akidah The Star perlu diperbetulkan dulu sebelum hendak perbetulkan akidah pihak lain. Dengan diam membisunya ketua Ngo berjenama sama dengan sejenis beras itu maka jelas perjuangannya tidak lebih mengambil upah sesen dua untuk dijadikan bekalan di musim banjir. [wm.kl.9:36 pm 28/02/12]

Menanti Azan

Posted: 28 Feb 2012 03:37 AM PST

Rushdan Mustafa Dan Anak Muda

Untuk berbakti kepada masyarakat setempat dan mengawal anak-anak muda supaya tidak membuang masa tanpa tentu hala seseorang itu tidak memerlukan jawatan dan kedudukan, tetapi cukup kalau seseorang itu mempunyai daya keprihatinan serta iltizam untuk membantu dan berkhidmat kepada masyarakat.

Jawatan dan kedudukan seperti penghulu, imam dan wakil rakyat hanya nilai tambah sahaja kepada nawaitu untuk melakukan sesuatu yang baik itu. Kandati mereka mempunyai kedudukan dan kuasa itu kalau tidak ada semangat dan jiwa prihatin yang tinggi ia tidak sedikitpun memberi apa-apa faedah. Sebab itu kebanyakan wakil rakyat tidak berperanan seoptimunnya kepada rakyat dan asyik 'membesarkan tubuh' saja atau sambung selasar rumah.

Yang penting ialah seseorang itu perlu memiliki daya kreatif serta semangat untuk membantu masyarakat setempat. Misalnya apa yang dilakukan oleh kawan saya sdr Rushdan Mustafa, 49 seorang aktivis masyarakat setempat, membuktikan jawatan dan pangkat bukan segala-galanya. Ternyata tanpa jawatan itu beliau berjaya melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya sebagai seorang hamba Allah dan Umar Abdul Aziz kecil.

Lama saya memerhati insan yang bertubuh kecil molek ini dalam membantu dan mempedulikan masyarakat setempatnya. Walaupun tanpa memiliki jawatan dan kedudukan dalam parti politik yang selalu dilihat ruang terbaik untuk berbakti kepada masyarakat setempat, namun beliau tetap dapat menabur budinya tanpa menghadapi kesulitan.

Tanpa riuh randah dia bergerak sendiri secara kecil-kecilan membantu masyarakat di sekitar kampung dan kawasannya yang mencakupi tiga Dun, Bukit Tuku, Gual Periok dan Meranti. Pantang ada masyarakat susah, sakit akan diziarahinya.

Berlaku apa-apa musibah, kebakaran, banjir dan kematian di kawasannya, kalau kebetulan beliau berada di kawasannya (di Rantau Panjang) dia akan sampai. Tidak siang malam, tidak 'selalu' - segera, tetapi beberapa hari kemudian, tetap akan disinggahinya. Tidak banyak sedikit buah tangan akan dihulur bagi meringankan beban yang ditanggung si menerima musibah.

Di musim banjir dia akan menghulurkan bantuan kepada mangsa tanpa mengira siapa. Di bulan puasa dia akan membahagi-bahagikan juadah dan keperluan raya kepada si miskin. Dibulan as-asyura pula dibuat bubur asyura dan dibahagi-bahagikan kepada orang ramai.

Anak-anak sekolah yang keciciran akan dibantu. Yang gagal untuk mendapat tempat di IPTA akan ditolong dan diusahakan sehingga berjaya memasuki ke pusat pengajian itu. Pendeknya tugas dan khidmat beliau mengatasi kemampuan dan daya seorang wakil rakyat.

Anak kelahiran Lubuk Jong yang berkelulusan Pengajian Polis Sosial Asia Tenggara dari Universiti Malaya ini juga saya tenguk seorang yang kreatif dan mempunyai wisdom tersendiri. Ada-ada sahaja idea bagaimana untuk memanfaatkan tenaga manusia untuk kebaikan atau pun mengawal kehidupan remaja agar tidak meliar.

Baru-baru ini dia telah menganjurkan pertandingan futsal di kalangan remaja di Rantau Panjang. Majlis itu dianjurkan bersama group Fb yang dikendalinya Suara Anak Muda Rantau Panjang (SAMRP) di mana dia sebagai salah seorang pengendalinya. Lucu saya melihat hadiah yang diberikan kepada pemenang, kambing dan ayam untuk tempat pertama dan kedua.

Biarpun hanya itu nilai dan bentuk hadiahnya, kaum remaja yang terlibat tidak kisah. Mereka seronok dan gembira dengan hadiah yang disediakan. Bagi mereka bukan hadiah tetapi yang penting festa itu menjadi wadah untuk bersatu dan mengeratkan hubungan sesama mereka. Yang penting buat anak-anak muda mereka dipedulikan dan dihiraukan dan kegiatan itu mengalpakan mereka kepada kegiatan tidak bermoral lain.

Khabarnya sebanyak lima pasukan turut berentap dalam festa futsal yang berlangsung di gelanggang futsal di Lubuk Jong. Saya yakin selepas ini, usaha kecil yang penuh bermakna itu akan ditiru dan diceduk oleh kumpulan-kumpulan atau pemimpin lain termasuk parti politik. Tidak menjadi masalah sesuatu yang baik perlu ditiru dan dikembangkan. Yang penting idea dan framenya sudah ada.

Melihat kerajinan Rushdan ini saya rasanya pihak-pihak tertentu termasuk agensi kerajaan perlu membantu beliau memberi apa-apa bantuan dan kemudahan. Atau pun kalau tidak sokongan moral dan suntikan semangat hendaklah berterusan. Group SAM RP boleh dijadikan gelanggang menjalinkan silaaturahim dan mengeratkan kerjasama setempat.

Masyarakat khasnya yang masih bergelumang dengan suasana kampung dan pekan memerlukan orang seperti beliau yang mampu menetaskan idea yang dinamik untuk melakukan perubahan kepada masyarakat setempat. Uniknya juga Rusdhan ini beliau boleh mendekati dan mesra dengan semua orang tanpa mengira simbol parti.

Syabas dari saya untuk Rushdan dan seluruh anak-anak muda yang bergabung dalam SAM Rantau Panjang. Usaha dilakukan oleh bekas Timbalan Ketua Umno yang kini menjadi ahli Pas dan pernah menjadi Ketua Penerangan Pas Rantau Panjang ini sesuatu tugas dan aktiviti yang mulia dan wajar disokong. [wm.kl.7:37 pm 28/02/12]

Tiada ulasan: