DAP yang dilabel sebagai sebuah Parti Kafir oleh pencacai-pencacai UMNO melalui kenyataan medianya hari ini turut melahirkan kekesalan akan insiden membakar kitab suci Al-Quran oleh Tentera AS di Afghanistan.
Walaupun parti mereka dianggap sebagai sebuah parti kafir oleh kebanyakkan pencacai UMNO bagi mereka tindakan tentera AS ini adalah satu perkara yang tidak boleh diterima dan ia merupakan satu penghinaan buat Agama Islam.
Kenyataan media DAP sepenuhnya sila baca di bawah..
Manakala PAS pula melalui Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPP) telah melahirkan tentangan terhadap insiden ini.
Sebahagian laporan dari Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 24 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPP) hari ini menyerahkan memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika berhubung tindakan tentera Amerika Syarikat yang membuang dan membakar al-Quran yang diambil dari perpustakaan penjara di Pangkalan Udara Afghanistan, Selasa lalu.
Memorandum tersebut diserahkan sendiri oleh Ketua DPPP, Nasrudin Hassan kepada pegawai keselamatan kedutaan dengan diiringi Ketua Penerangan DPPP, Ridhuan Md Noor dan Ketua DPP Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad.
Kira-kira 200 orang mengiringi serahan memorandum itu terdiri daripada pemuda dan pemudi termasuk Gerakan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis).
Mereka berarak dari Masjid Tabung Haji selepas menunaikan solat Jumaat menuju ke kedutaan AS dengan dikawal kira-kira 50 anggota polis.
Laungan takbir, laknat Amerika, hidup Islam bergema sepanjang perarakan aman itu - Harakahdaily
Tetapi.. kemana menghilang UMNO yang kononnya memperjuangkan Islam di Malaysia?
**********************************************
DAP Kesal Kejadian Pembakaran Kitab Suci Al-Quran Oleh Askar AS
Kejadian yang cuai di Afghanistan di mana beberapa naskhah Kitab Suci Al-Quran telah dihantar ke tempat pembuangan sampah di sebuah Kem Askar AS dan kemudiannya dibakar merupakan tindakan penodaan dan penghinaan terhadap Agama Islam yang tidak boleh diterima.
DAP menyesal tindakan kurang sensitif ini yang tidak sepatutnya berlaku.
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sudah pun meminta maaf dengan segera dan berjanji untuk mengambil langkah untuk mengelakkan pengulangan kejadian ini dan juga untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab. Ini merupakan reaksi yang positif daripada pihak Amerika, dan kami berharap bahawa tindakan susulan akan diambil supaya insiden seperti ini tidak akan berulang.
Pada masa yang sama, DAP menolak keras penggunaan kekerasan, dan menyesal bahawa tindakan balas telah mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya lima pembantah Afghan dan dua askar Amerika. Kami menyeru agar semua pihak akan bertenang dan tidak bertindak secara terburu-buru sementara penyiasatan sedang dijalankan.
Sebagai parti yang mendokong prinsip keamanan dan keadilan, DAP menekankan keperluan untuk kefahaman dan persaudaraan antara semua orang dalam dunia yang pelbagai budaya dan agama ini.
Lim Guan Eng
*Kenyataan Akhbar Setiausaha-Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 24.2.2012*
Setelah lima hari berlalu.. pencacai UMNO dari Sembrong berjaya menyiakan skrip mereka untuk meletakkan kesalahan keatas bahu DS Anwar Ibrahim..
Bagaimanapun skrip yang dihasilkan oleh pihak mereka memang tidak menyakinkan sama sekali kerana.. nampak bodoh sangat alasannya...
Aktivis Umno: Kereta Anwar langgar peserta demo
Seorang anggota Pemuda Umno yang berada di barisan depan dalam demonstrasi depan pejabat PKR Sembrong Ahad lalu mendakwa, keadaan pada malam itu menjadi kecoh apabila kereta Datuk Seri Anwar Ibrahim terlanggar seorang peserta.
Saksi yang enggan namanya disebut itu berkata, peserta demonstrasi mula menendang kereta Mercedes Benz itu menyebabkan kerosakan pada pintu dan cermin.
"Pemandu langgar dia, sakit tu. Mercedes, bukan (kereta) Kancil," katanya sambil mendakwa tindakan itu diikuti rakan mereka yang lain.
Beliau yang berada di situ dari jam 8 hingga 12.30 tengah malam bagaimanapun menafikan polis tidak mengambil tindakan menyuraikannya.
Katanya, anggota keselamatan juga membuat benteng manusia dan menarik ke tepi lelaki yang disyaki mempunyai mercun tetapi tidak menjumpai sebarang bukti.
"Polis kepung side (pihak) Umno, tak bagi sikit pun terlepas. Siap pegang tangan," katanya lagi.
Bangladesh didakwa sertai ceramah Anwar
Berhubung dakwaan terdapat insiden membaling telur, aktivis Umno itu berkata ia disebabkan penduduk Kluang tidak sukakan Anwar ekoran kenyataan kontroversinya berhubung keselamatan Israel.
"Malam itu orang dah tahu Anwar datang, dia lepas geram sejak (reformasi) 1998. Lebih 10 tahun dia tunggu Anwar datang sebab tak puas hati," katanya lagi.
Lelaki 26 tahun itu juga berkata, program bantahan Pemuda Umno dan NGO itu cuma hendak halang Anwar dan tidak berniat hendak mencederakan sesiapa.
"Budak-budak Sembrong yang sertai sekali marah. Sembrong, jauh datang dari sana. Dia tak niat nak cederakan sesiapa. Saja nak halang Anwar sahaja. Ingat Anwar takut, terus blah (beredar). Orang Kluang 70 hingga 80 peratus benci Anwar," katanya.
Beliau juga mendakwa lebih separuh daripada peserta program PKR di Johor pada hari minggu lalu orang Bangladesh.
"Itu yang kita orang ketawa gila-gila. PKR kata, nak tawan Kluang," katanya menyindir.
Setakat ini, tambahnya, belum ada lagi rakan-rakannya dipanggil polis.
Akhirnya Tun Mahathir mengaku juga beliau pernah mengutus surat kepada PM regim Yahudi, iaitu Ehud Barak..
Namun begitu beliau masih mahu memutarbelit fakta kononnya surat itu adalah jawapan balas kepada Ehud Barak dan sebagai menolak hubungan Malaysia dengan Israel seperti yang diminta oleh pihak Yahudi itu.
Surat ada di bawah.. korang nilaikanlah sendiri adakah surat itu satu jawapan atau satu permintaan?
Baca laporan dari Bernama ini..
Dr Mahathir Akui Balas Surat, Tolak Hubungan Dengan Israel
IPOH, 23 Feb (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa kerajaan Malaysia semasa pentadbirannya menolak hubungan Malaysia dengan Israel dan jawapan itu diberikan melalui sepucuk surat kepada Perdana Menterinya Ehud Barak.
Beliau menjelaskan surat daripada Israel pada ketika itu adalah mahu Malaysia menukar pendirian mengenai hubungan antarabangsa dengan Israel.
"Saya menjawab balik mengatakan Malaysia tidak akan ada apa-apa hubungan dengan mereka (Israel) selagi mereka tidak mengiktiraf kedudukan rakyat Palestin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Jelajah Keamanan Wakaf Water4Gaza di sini hari Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya dakwaan pelbagai blog pembangkang pada masa sekarang mengenai sepucuk surat yang diutuskannya semasa menerajui pentadbiran Malaysia ketika itu, kepada Israel.
-- BERNAMA
Baca pula surat yang dikirimkan Tun kepada PM Regim Yahudi itu yang Tun katakan sebagai surat balasan kepada Regim Yahudi itu..
Dalam Surat ini Tun Mahathir Mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Israel Ehud Barak di atas kemenangannya pada pilihanraya. Kalau dilihat di dalam surat ini, Jelas sekali Tun Mahathir memohon pertolongan dari PM Yahudi itu untuk melobi Malaysia berkenaan dengan "Clinton Fund" berhubung dengan Pilihanraya Umum Malaysia yang akan diadakan tidak lama selepas itu.
Perenggan kedua "surat" ini menyatakan keikhlasan Mahathir yang berharap agar dapat diaturkan satu pertemuan (antara beliau dengan Barak) melalui Menteri Luar ketika itu, Syed Hamid Albar dengan David Levy (Menteri Luar Israel) bersempena dengan Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) bagi membincangkan perkara berkaitan pungutan dana untuk parti UMNO dalam persediaannya menghadapi PRU 10. Secara mudahnya, Mahathir memohon bantuan Israel untuk melobi Presiden Bill Clinton bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk membiayai perbelanjaan pilihanraya UMNO!
Perenggan ketiga pula menyebut kesediaan Mahathir untuk membenarkan pasukan tentera udara Amerika Syarikat menggunakan tanpa had (unlimited use) kemudahan pengkalan tentera di Malaysia sebagai balasan timbal balik atas bantuan dana oleh Clinton Fund dalam membiayai perbelanjaan pilihanraya parti UMNO.
Malah Tun Mahathir yang lantang menentang Yahudi ini menawarkan kepada Ehud Barak pendekatan hubungan Diplomatik yang baru kepada Tel Aviv. Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah Negara, Namun di sini jelas sekali Mahathir menawarkan hubungan diplomatik kepada Israel. Apa semua ini? Sila klik gambar di bawah untuk membesarkan image
Sama atau tidak apa yang dinyatakan Tun Mahathir semalam dengan apa yang telah ditulisnya dulu?
Mungkin dia sudah lupa...
Kalau konag nak baca putarbelit yang lebih hebat, baca laporan Lidah Rasmi UMNO di bawah ni..
Dr. M akui balas surat PM Israel
Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI pengarang@utusan.com.my
IPOH 23 Feb. - Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui pernah menulis surat kepada dua Perdana Menteri Israel iaitu Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Namun, menurut Dr. Mahathir, surat tersebut adalah sebagai jawapan balas kepada surat yang diutus oleh dua pemimpin Yahudi itu yang meminta Malaysia mengubah pendirian dengan menjalin hubungan diplomatik dengan negara tersebut.
"Ia benar. Saya terima surat daripada Netanyahu dan Ehud Barak dan saya jawab balik mengatakan Malaysia tidak akan ada apa-apa hubungan dengan mereka selagi mereka tidak mengiktiraf kedudukan orang-orang Palestin.
"Bila dia (Netanyahu dan Ehud) jadi Perdana Menteri, harapan dia kita di Malaysia yang tidak ada hubungan dengan Israel akan ubah pendirian dan adakan hubungan dengan Israel. Saya kata tidak mungkin selagi dia (Israel) ganas macam itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jelajah Keamanan dan 'Waqaf Water 4Gaza' di sini hari ini.
Sebelum ini, terdapat dakwaan yang disiarkan di beberapa laman blog bahawa Dr. Mahathir pernah menulis surat kepada Perdana Menteri Israel.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Penasihat Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk R. Ganesan; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.
Menurut Dr. Mahathir, beliau masih menyimpan salinan surat tersebut dan mahu ia didedahkan kepada umum tetapi tidak dibenarkan oleh kerajaan.
"Saya tidak tahu kenapa kerajaan tidak benarkan saya siarkan surat itu. Semua surat yang saya tulis kepada orang lain, dia (kerajaan) benarkan," jelasnya.
Mengulas mengenai dakwaan Malaysia mempunyai dagangan dengan Israel, beliau menegaskan negara tidak pernah membeli dan menjual barang kepada negara Yahudi itu.
"Kononnya ada minyak kelapa sawit dihantar ke Israel, kita tidak boleh tentukan. Di zaman dulu pun, kita tidak ada hubungan dengan Afrika Selatan tetapi orang lain beli getah daripada kita dan jual kepada Afrika Selatan.
"Kemungkinan minyak kelapa sawit kita dibeli oleh pihak ketiga dan mereka menjualnya kepada Israel. Yang saya tahu, buah pisang kaki masuk di sini tidak tulis ia dari Israel tetapi masuk Singapura dan orang Singapura jual kepada kita," ujarnya.
Ditanya mengenai kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong segala usaha memastikan keselamatan Israel, Mahathir berkata, tiada sebab untuk negara menyokong Israel.
Katanya, Israel mempunyai pendekatan yang amat ganas iaitu lebih ganas daripada pengganas dalam tindakan untuk mempertahankan keselamatan negara tersebut.
Tambah beliau, Israel juga tidak mempedulikan segala undang-undang antarabangsa dan ia dapat dilihat daripada tindakan rejim Zionis itu mengebom Iraq dan Mesir sebelum peperangan dan pembunuhan sembilan aktivis Turki di atas kapal 'The Spirit of Rachel Corrie' di perairan antarabangsa.
Dalam isu berkaitan, Dr. Mahathir berkata, walaupun Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti tidak bersetuju dengan kenyataan Anwar dalam isu Israel, Mursyidul Am Pas itu tetap menyokong Ketua Pembangkang itu.
"Jadi, kalau kita sokong seseorang dengan pendapat tertentu, jadi kita sokong pendapat itu juga," katanya.
Terdahulu pada majlis tersebut, Mahathir selaku Presiden PGPF menerima sumbangan wakaf, 'Waqaf Water 4Gaza' berjumlah RM282,158 daripada kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan serta parti politik dan swasta di Perak.
Jabatan-jabatan negeri, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan tanah serta swasta menyumbangkan RM122,158, kerajaan negeri dan UMNO Perak masing-masing RM50,000, MCA Perak (RM20,000) dan MIC Perak, Parti Gerakan Perak, Parti Progresif Penduduk (PPP) serta Majlis Sukan Negeri serta badan-badan sukan negeri masing-masing menyumbangkan RM10,000.
Bahang pilihan raya semakin kuat sehingga segala perkara berbau politik. Semasa seminar Islam dan Eropah di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), baru-baru ini, pengarahnya Dr Farhan Nizami bersembang dengan kami. Beliau memberi pandangannya tentang Malaysia.
Katanya, betapa beliau tidak menyangka bahawa bangsa Melayu yang kelihatan sopan santun itu apabila tiba kepada bab politik, mereka berpolitik habis-habisan. Saya senyum sahaja mendengar ulasannya.
Berkaitan fenomena pilihan raya juga, beberapa hari lalu saya menerima begitu banyak soalan berhubung dengan kenyataan "Raja adalah bayangan Allah di bumi".
Hadis ini katanya telah diwar-warkan oleh pihak tertentu dalam menjustifikasikan perjuangan tertentu.
Saya dengar ada yang lebih lantang lagi dengan menyebut lafaz asal hadis itu – "al-Sultan adalah bayangan Allah di bumi – bagi merujuk sultan pilihannya. Ada pula yang seakan ingin menyuburkan feudalisme Melayu dengan hadis tersebut.
Saya bergurau dengan sesetengah pihak yang berminat menggunakan hadis itu dengan berkata: "Raja yang menjadi bayangan Allah itu Raja Jordan ke, atau Raja Saudi? Atau Raja Moroko? Oleh kerana terlalu umum, apakah boleh juga digunakan oleh Raja Siam?
Sebenarnya, perkataan yang digunakan dalam hadis 'al-Sultan, bukan al-Malik (Raja). Jika ia difaham secara bahasa Melayu, mungkin para sultan seperti Sultan Qabos di Oman atau Sultan Brunei tergambar semasa membaca hadis ini.
'Negara Pasir Berdengung'
Sudah pasti bukan Sultan Damsyik Jani dari 'Negara Pasir Berdengung' dalam filem Do Re Mi arahan allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Sebenarnya hadis tersebut mempunyai banyak riwayat. Ada yang palsu, ada yang sangat daif (daif jiddan), ada yang daif dan ada yang hasan, ataupun mungkin boleh mendekati sahih.
Antara lafaz yang palsu atau sekurang-kurang teramat daif (bermaksud):
"Al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika mereka berbuat baik bagi mereka pahala dan wajib ke atas kamu syukur. Jika mereka jahat, mereka mendapat dosa, wajib ke atas kamu sabar. Janganlah kejahatannya itu menyebabkan kamu keluar dari ketaatan. Ini kerana, sesungguhnya kehinaan dalam mentaati Allah (dengan mentaati sultan yang jahat) lebih baik dari kekal dalam neraka (kerana menentang sultan). Jika tidak kerana mereka, manusia tidak akan aman". (Hadis ini dihukum oleh al-Albani sebagai 'terlalu daif' dalam Silsilah al-Daifah/ no 1664.)
Namun secara kesimpulan penilaian hadis, setakat lafaz "al-Sultan bayangan Allah di bumi" adalah sahih disebabkan pelbagai riwayat.
Adapun tambahan selepas lafaz tersebut ada yang hasan, daif, sangat daif dan palsu.
Ada juga riwayat dalam al-Jami' al-Saghir oleh al-Sayuti (meninggal 911H) yang menyebut (bermaksud):
"Al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika seseorang kamu memasuki sesuatu negeri yang tiada sultan padanya, janganlah dia tinggal dalamnya."
Saya bimbang menjelang musim berkempen ini akan ada yang menggunakan riwayat yang daif ini untuk melarang orang tinggal di negeri-negeri yang tiada sultan seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Kemudian, di negara Arab, hanyalah negara Oman yang boleh tinggal dalamnya sebab masih ada Sultan Qabos. Selainnya sudah tiada sultan. Indonesia pun tidak boleh tinggal dalamnya kerana sudah tiada sultan.
Hanya Brunei yang sesuai. Jangan sampai begitu pula tafsiran kita.
Apakah maksud al-Sultan?
Perkataan al-Sultan bukanlah bermaksud pemerintah yang memakai gelaran 'sultan'. Jika tidak sudah pasti al-Khulafa al-Rasyidin menggunakan gelaran sultan. Sultan bermaksud pihak yang berkuasa.
Ertinya ia merangkumi semua mereka yang mempunyai kuasa pemerintahan tanpa mengira apa pun gelarannya. Abu Bakr al-Siddiq naik memerintah selepas Rasulullah memakai gelaran 'Khalifah Rasulillah'.
Kemudian pada zaman 'Umar mula diperkenalkan gelaran 'Amir al-Mukminin. Selepas itu beberapa dinasti seperti Ayyubiah, Mamalik dan 'Uthamaniyyah memakai gelaran sultan. Mereka itu kebanyakannya bukan arab. Ada juga yang memakai al-Malik iaitu 'raja' dan sebagainya.
Maka hendaklah jelas, perkataan sultan dalam hadis merujuk kepada ulul amri iaitu mereka yang berkuasa memerintah. Jangan putarkan hadis untuk pemainan politik.
Ertinya, secara literal dalam konteks Malaysia, perdana menteri juga zhillu Allah ataupun bayangan Allah di bumi. Demikian Presiden Mesir, Libya dan sebagainya.
Kini kita wajar bertanya apakah maksud bayangan Allah? Apakah kita memahami seperti golongan literalis yang akan melihat sultan atau raja atau penguasa atau presiden sebagai benar-benar bayangan Allah yang kemudian mungkin dijustifikasikan segala tindakannya.
Jika mereka itu berjudi di London ini sehingga tergadai balak dan minyak di negara mereka, apakah itu bayangan Allah? Jika mereka kejam seperti Assad di Syria, atau mereka rasuah dan bermewahan dengan harta rakyat jelata, apakah mereka tetap dimuliakan sebab mereka bayangan Allah?
Bayangan Allah
Jika kita faham makna khalifah, ia bermaksud pengganti ataupun wakil. Apabila kita menyebut manusia khalifah Allah bermaksud manusia mengganti Allah di bumi.
Ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah ayat 30 berhubung manusia sebagai khalifah Allah di bumi, al-Imam al-Baidawi berkata:
"Khalifah itu dari bermaksud (segi bahasa) sesiapa yang menggantikan tempat pihak yang lain atau menjadi penggantinya. Yang dimaksudkan dengan khalifah dalam ayat ini adalah Adam AS kerana beliau merupakan khalifah Allah di bumiNya.
"Demikian sekelian nabi yang Allah utuskan mereka sebagai pengganti (khalifah) bagi memakmurkan bumi, menguruskan manusia, menyempurnakan keperluan mereka dan melaksanakan perintah Allah ke atas mereka." (Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/64).
Makna yang sama merujuk kepada sultan ataupun penguasa itu bayangan Allah di bumi. Bukan bermaksud kesucian penguasa sehingga tidak boleh dibahas dan dipertikaikan. Sama sekali tidak!
Sebab betapa ramai manusia ini yang Allah tabalkan menjadi khalifah telah melakukan kerja yang sebaliknya. Apakah kita tetap mempertahankannya atas nama khalifah Allah?
Justeru al-Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir ketika menafsir maksud: "al-Sultan bayangan Allah di bumi", beliau berkata:
"Kerana dia memelihara manusia dari keburukan seperti bayang memelihara dari panas matahari".
Ya! Demikianlah tugasan penguasa!
Kepentingan politik
Dalam masa yang sama kita hendaklah sedar, bahawa berlebihan dalam menggunakan agama untuk kepentingan politik telah mengorbankan agama itu sendiri. Inilah yang berlaku di Barat yang diistilahkan sebagai secularism ataupun lebih mudah difahami sebagai a movement towards the separation of religion and government.
Walaupun secularism itu mempunyai akar yang lama sejak zaman Greek dan Roman tetapi di Eropah ia subur dan diperjuangkan pada era Enlightenment akibat dari kesedaran rakyat tentang betapa buruk peranan agama dalam politik. Saya akan bahaskan nanti.
Islam memandu politik supaya harmoni dan kudus. Islam bukan alat politik tetapi cahaya yang menerangi jalan politik yang dibina atas maslahah rakyat.
Sultan ataupun penguasa bayangan Tuhan boleh disalahtafsirkan seperti yang berlaku dalam sejarah politik pelbagai bangsa. Akibatnya, kerakusan penguasa mencengkam rakyat dan dihalalkan atas nama Tuhan.
Jika hendak memahami maksud penguasa bayangan Tuhan dalam Islam, fahamilah ucapan Abu Bakr al-Siddiq apabila menjadi khalifah:
"Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.
"Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan.
"Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku." (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
Inilah insan yang paling faham maksud sultan itu bayangan Allah di bumi. Jangan kita gadaikan Islam untuk suatu pentafsiran nas yang akhirnya akan menimbulkan syak manusia terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan