Isnin, 2 Januari 2012

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Pesan Anwar Kepada Rakyat

Posted: 02 Jan 2012 09:58 PM PST

PETALING JAYA, 3 JAN : Mengira beberapa hari sahaja lagi menuju keputusan kes mahkamahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpesan kepada rakyat walau apa pun berlaku jangan pernah berhenti desak perubahan.

Tegas Anwar, Barisan Nasional (BN) silap sekirannya berfikir bahawa mereka selamat dengan memenjarakan beliau.

"Teruskan perjuangan ini, teruskan membela rakyat yang dizalimi.

"Keutamaan adalah memenangkan Pakatan Rakyat (PR), perbincangan apa terjadi kepada Anwar adalah perkara kedua,"katanya.

Tambahnya persoalan samada beliau ada didalam penjara atau diluar tidak penting sekiranya rakyat dan Pakatan masih utuh memilih beliau mengalas jawatan perdana menteri.

Dalam pada itu, beliau penuh yakin bahawa gagasan Pakatan Rakyat akan menduduki Putrajaya dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau berkata demikian dalam sesi Temubual Khas, Fokus Berita terbitan TVSelangor, di sini pagi tadi.

Berita lanjut menyusul.

PR Gerakkan 100,000 Orang Berhimpun Secara Aman

Posted: 02 Jan 2012 09:54 PM PST

PETALING JAYA, 3 JAN: Pakatan Rakyat (Pakatan) akan menggerakan 100,000 orang penyokong untuk berhimpun secara aman sebagai tanda sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini bagi mendengar keputusan berhubung kes liwat II.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, muslihat Umno-Barisan Nasional yang merekasaya tomahan ini tidak akan menggelincirkan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Tegas beliau, Pakatan akan bangkit meruntuh tembok kezaliman walau apa pun konspirasi untuk memenjarakan Anwar.

"Walau apapun keputusan pada 9 Januari ini, pimpinan Keadilan bersama Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia keseluruhannya telahpun bersedia menggalas amanah memimpin negara serta berusaha mengembalikannya ke landasan tepat.

"Justeru saya memberi jaminan bahawa kepimpinan Keadilan akan terus menerajui agenda rakyat. Persoalan kepimpinan sememangnya diputuskan melalui permuafakatan dalam parti.

"Semenjak dari penubuhannya kepimpinan parti merupakan suatu "evolutionary process," dan bukannya suatu "revolutionary process.", katanya.

Mengenai pendirian dan sokongan DAP pula katanya, Ketua AMK, Shamsul Iskandar sudah berjumpa dengan pimpinan DAP dan ianya akan dibincangkan semula dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat petang ini dan taklimat Pakatan Rakyat pada 5 Januari ini.

Ujar beliau lagi, Pakatan Rakyat akan meneruskan program himpunan besar-besaran di Pulau Pinang pada sebelah malam pada hari yang sama.

"Apa yang telah kita susun, kita teruskan sama ada beliau dibebaskan ataupun dijatuhkan hukuman with bill atau without bill kerana gerakan ini bukan bermusim.

"Gerakan rakyat akan berterusan sehingga PRU-13. Diharapkan beliau akan diberikan Keadilan.

"Kita akan teruskan sama ada dibebaskan atau dipenjarakan dengan segera pada hari tersebut kita akan Penang. Kita ada satu perhimpunan besar pada 9 Januari jam 8 malam di tapak ekspo.

"Kalau dibebaskan beliau akan balik ke kampung untuk meraikan kemenangan tersebut.

"Sekiranya beliau ditahan kita akan balik ke Pulau Pinang untuk menuntut beliau dibebaskan daripada kezaliman," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Othman memberikan jaminan, Pas akan menggerakkan rakyat turun berhimpun bersama pada 9 Januari ini.

"Saranan saya, jangan seorang pun membawa senjata. Bawa video atau kamera untuk rakam. Saya menyeru ahli Pas untuk turun pada 9 Jan," katanya.

LAGI DISEBUT LAGI HEBAT KAH DIA?....BIARKAN.....

Posted: 02 Jan 2012 08:00 AM PST

SHAH ALAM 2 JAN - Tuduhan penulis blog Raja Petra Kamaruddin(RPK) bahawa wujud gejala di Selangor yang melibatkan pemberian duit kopi oleh usahawan berbangsa Cina adalah satu tuduhan yang serius.


Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan kepada TV Selangor hari ini.

Menurutnya, beliau terpanggil untuk memberi komen selepas membaca temubual eksklusif RPK akhbar-akhbar milik Umno yang disiarkan semalam.

Jelasnya, beliau menghormati hak RPK melakukan analisa politiknya namun berasa mushkil dan sesungguhnya hanya beliau seorang sahaja yang mengetahui logik sebenar kenyataan tersebut.

"Tuduhan adalah serius. Kami menuntut RPK untuk tampil memberikan butiran lanjut kepada Kerajaan Negeri dan pihak berwajib agar penyiasatan terperinci dapat dilakukan.

"Kerajaan Negeri bersedia membayar kos perjalanan RPK ke Pejabat Pentadbiran Kerajaan kerana untuk makluman RPK Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM15 juta untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Negara ini khususnya di Selangor.

"Jumlah tersebut termasuk di dalam Geran Selangorku yang diumumkan oleh YAB Dato' Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan 2012 yang lalu," katanya.

Tambahnya dengan apa yang disediakan kerajaan Selangor, RPK seharusnya mengambil peluang ini untuk membantu membenteras gejala ini di Selangor.

"Beliau sendiri dari darah bangsawan negeri Selangor. RPK tidak seharusnya melemparkan dakwaan liar hanya semata-mata mahu memperlekeh usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik, bersih dan penuh pertanggungjawaban," katanya yang simpati terhadap kekecewaan RPK yang bergelut dengan masalah peribadi dan hidup dalam buangan.

Faekah mengingatkan PRK bahawa dakwaan liar sebegini tidak akan membantu membawanya pulang ke negara ini. Sebaliknya ianya hanya akan mencemarkan lagi imejnya yang sudah sediakala tercalar.

Katanya, ini sebagai serangan awal bagi menghadapi pilihan raya umum dan jelas ia ditujukan kepada kerajaan negeri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi Negeri.

Bagaimanapun Faekah percaya rakyat boleh menilai sendiri kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh RPK seperti disiarkan The Sunday Times dan Berita Minggu- dua akhbar yang dulunya pernah mengkritik dan mengutuk RPK secara keras kerana menentang Kerajaan Barisan Nasional.

Sesi 'Jamming' Ustaz Azhar Bersama Zizan

Posted: 01 Jan 2012 09:27 PM PST




SHAH ALAM, 1 JAN - Pendakwah dan penceramah agama, Ustaz Azhar Idrus menunjukkan bakat dalam bidang muzik ketika sesi soal jawab agama dalam program Jom Santai Bersama GeMS di Dataran Kemerdekaan di sini semalam.

Program sempena sambutan tahun baru 2012 anjuran Kerajaan Negeri itu menggabungkan Azhar, yang pernah menjadi guru muzik, bersama pelakun, pelawak dan pengacara terkenal, Zizan dalam sesi itu.

Ikuti petikan video di bawah :

Guan Eng: Kejayaan Ditempa melalui Kekuatan, Jujur, Bijak

Posted: 01 Jan 2012 09:20 PM PST

PULAU PINANG, 2 DIS: Setiap kejayaan hanya akan dapat dinikmati oleh mereka yang bekerja kuat, jujur dan bijaksana dalam mengendalikan setiap urusan hidup.

Demikian antara intisari yang terkandung dalam ucapan Perutusan Tahun Baru 2012 Oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melalui kenyataannya kepada media.

Berikut adalah ucapan penuh beliau.

Selama hampir 225 tahun sejak Pulau Pinang mula muncul dalam persada dunia, nasibnya telah mengalami kemakmuran dan juga kemerosotan. Pulau Pinang makmur apabila kita sedar bahawa sesuatu negeri tanpa apa-apa sumber asli haruslah bergantung kepada sumber manusia dan pembangunan modal insan. Pulau Pinang merosot apabila kita lupa bahawa sumber keistimewaan negeri kita merupakan tenaga, kepakaran dan daya kesusahawanan rakyat kita.

Walaupun kerajaan-kerajaan yang telah memerintah Pulau Pinang selama 225 tahun ini telah mengambil pelbagai haluan yang berlainan, negeri kita masih lagi kukuh kerana hubungan sesama rakyatnya yang dijalinkan melalui darah, diuji masa dan didorong oleh semangat hormat kepada kepelbagaian.

Tradisi keharmonian dan saling hormat-menghormati di antara pelbagai etnik dan budaya yang dilambangkan dalam pembinaan masjid, gereja, kuil-kuil India dan Cina di sekitar kawasan yang berdekatan, telah diiktiraf oleh UNESCO apabila George Town diberi status Bandar Warisan Dunia pada 7.7.2008.

Untuk sebab ini, kita yakin Pulau Pinang mampu mengalahkan golongan pelampau yang menggunakan emosi jijik dan juga mengatasi golongan rasis yang menakutkan rakyat dengan ancaman sama ada untuk mendominasi atau didiskriminasikan. Mari kita bebaskan diri daripada sikap-sikap pengabaian, tidak peduli dan tidak toleransi.

Pulau Pinang hendak memeluk masa depan. Untuk sebab ini, Pulau Pinang bercita-cita untuk menjadi sebuah negeri yang pintar dan bertaraf antarabangsa demi berdaya saing dalam dunia globalisasi. Sebagai negeri yang tiada sumber asli, kita harus membangunkan sumber manusia dengan melatih, melatih semula, mengekalkan dan menarik modal insan.

Pulau Pinang harus memeluk masa depan yang mapan dengan perumahan mampu milik dan kawasan-kawasan hijau yang lebih. Kita harus memeluk teknologi hijau masa depan, terutamanya tenaga boleh diperbaharui dan tenaga solar.
Sementara inisiatif hijau akan berterusan, perumahan mampu milik juga diberi kepentingan. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan jumlah terbesar di kalangan semua kerajaan negeri di Malaysia, iaitu sebanyak RM500 juta untuk Dana Perumahan Mampu Milik demi memastikan anak-anak kita akan dibesarkan dalam keadaan yang selesa dan bermartabat.

Kita harus memeluk masa depan tanpa kemiskinan. Pulau Pinang telah menjadi negeri pertama untuk membasmi kemiskinan tegar pada tahun 2009 dengan pemberian bantuan kewangan sosial. Tahun depan, kita akan memastikan bahawa setiap keluarga di Pulau Pinang akan menerima pendapatan minima sebanyak RM600 sebulan. Pulau Pinang juga mempunyai hasrat untuk menjadi negeri pertama di Malaysia untuk membasmi kemiskinan menjelang 2015.

Kita harus memeluk masa depan yang selamat di mana kadar jenayah adalah rendah dan bandaraya kita selamat untuk wanita dan kanak-kanak.

Sementara pihak polis di Pulau Pinang telah bekerja keras untuk mengurangkan kadar jenayah, Kerajaan Negeri juga telah memainkan peranan dengan memasang CCTV dan memulakan program polis masyarakat untuk menjadikan Pulau Pinang negeri yang paling selamat di Malaysia.

Kita harus memperbaharui semangat kerja yang kuat, jujur dan bijak. Hanya melalui penubuhan institusi dan kewujudan peluang boleh kita mencetuskan inovasi yang berteraskan teknologi, nilai tambah yang tinggi dan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Kita harus memeluk masa depan yang berintegriti dan bersih. Mengikut laporan Global Financial Integriti yang berpusat di Washington, dari tahun 2000-9 Malaysia telah kehilangan satu dekad dek korupsi berjumlah RM1,007 bilion melalui penyelewengan wang haram.

Sebaliknya di Pulau Pinang, kita telah mencapai lebihan bajet setiap tahun dan berjaya menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Perai daripada kemuflisan sejak mengambil alih Kerajaan Negeri dengan pengamalan pentadbiran yang berasaskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus) yang telah diiktiraf oleh Transparency International.

Mari kita memeluk masa depan Pulau Pinang yang lebih bersih, hijau dan selamat dan yang membawa rezeki kepada mereka yang bekerja secara keras, jujur dan bijak. Selamat Tahun Baru 2012!

LIM GUAN ENG

Tiada ulasan: