Rabu, 25 Januari 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Karpal Dakwa Hakim Zabidin Belum Siapkan Lagi Penghakiman "Bertulis" Kes Pembebasan Anwar !

Posted: 25 Jan 2012 02:36 AM PST

KUALA LUMPUR, 25 Jan - Penghakiman bertulis berhubung pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan masih belum siap, kata peguam Karpal Singh (foto). Karpal berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Hakim perbicaraan kes berkenaan. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pertanyaan tentang penghakiman itu kepada setiausaha hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini. Kata peguam bela utama Anwar itu, seseorang hakim perbicaraan perlu memberi asas penghakiman bertulis dalam tempoh lapan minggu daripada tarikh notis rayuan difailkan, seperti yang disebutkan dalam Surat Pekeliling Ketua Hakim Negara. Pada 20 Jan, Pejabat Peguam Negara (PPN) memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat. Notis berkenaan, yang ditandatangani Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun, difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur. Karpal berkata PPN mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan rayuan itu setelah meneliti asas yang terkandung dalam penghakiman bertulis yang disediakan hakim perbicaraan. Katanya PPN juga boleh membuat keputusn untuk tidak meneruskan rayuan setelah membaca dan berpuas hati dengan penghakiman bertulis yang mengandungi barang kes, nota prosiding dan penghakiman bertulis. "Kami pernah buat begitu (tidak merayu) dalam kes lain. Apabila saya mendapat petisyen rayuan, saya dapati asasnya tidak berbaloi untuk meneruskan rayuan," kata beliau. Karpal berkata mengikut Peraturan Mahkamah Rayuan 1994, PPN mempunyai masa 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan sebaik saja menerima rekod rayuan dan sekiranya tempoh 10 hari itu berlalu begitu saja, maka ia (pestisyen rayuan) dikira sudah ditarik balik. Pihak yang telah memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, perlu memfailkan petisyen rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan sekiranya mereka ingin teruskan rayuan itu, setelah menerima rekod rayuan yang lengkap.

[Pada 9 Jan, Hakim Mohamad Zabidin membebaskan dan melepaskan Anwar setelah mahkamah mendapati ia tidak 100 peratus pasti integriti sampel DNA tidak diusik dan mahkamah itu keberatan mensabitkan kesalahan Anwar semata-mata berdasarkan keterangan Mohd Saiful yang tidak disokong oleh bukti. Anwar, 64, dituduh meliwat Mohd Saiful, 26, di sebuah unit kondominium Desa Damansara,Bukit Damansara di sini antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Beliau dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Sesuatu yang amat memusykilkan bila mana penghakiman bertulis masih belum disediakan oleh hakim. Ini menambahkan syak wasangka dikalangan rakyat bahawa Anwar bakal dipenjarakan juga selepas rayuan dibuat oleh pihak terbabit di dengar di mahkamah nanti. Rakyat diminta bersedia dengan segala kemungkinan, ini kerana mereka sudah pasti melakukannya].

Tengku Abdullah Akan Bincang, Isu Rasuah Bola Sepak Negara Dengan Pihak Polis DiRaja Malaysia

Posted: 25 Jan 2012 02:00 AM PST

KUANTAN, 25 Jan - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (foto) akan berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari jalan penyelesaian memerangi gejala rasuah bola sepak dan mengatur perlawanan di negara ini. Menurut Tengku Mahkota Pahang, isu rasuah dalam kalangan pemain bola sepak akan diberi keutamaan kerana jika ia dibiarkan menular, kredibiliti sukan itu dan imej pasukan bola sepak negara akan terjejas. "Setakat ini saya tidak akan buat apa-apa kenyataan sehingga berjumpa dengan PDRM. Usaha membanteras gejala rasuah ini kita akan tingkatkan sebab kita tak mahu disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga...sebab seorang dua, rosak nama sukan bola sepak negara. "Walaupun susah kita nak atasi tapi kita akan lakukan demi memajukan sukan ini ke tahap lebih tinggi," katanya kepada pemberita di Sungai Isap di sini hari ini selepas melawat keluarga dua beradik yang mati lemas ketika mandi di Pantai Sepat di sini Ahad lepas. Tengku Abdullah turut kesal sekiranya isu itu melanda pemain-pemain muda yang telah diberikan peringatan serta tahu implikasi daripada perbuatan rasuah terhadap diri mereka serta kepada sukan bola sepak negara. "Kita berharap polis dapat beri pandangan (dan) sekiranya undang-undang yang ketat perlu dilaksanakan, kita akan buat," katanya. Katanya lagi, gaji bukan faktor yang menyebabkan gejala itu berlaku kerana imbuhan yang diterima pemain adalah setimpal dengan prestasi mereka.

[Dikala pasukan negara kembali ke persada antarabangsa, kini kita tiba-tiba dikejutkan pula dengan insiden rasuah yang sungguh memalukan. Umum masih ingat, ketika maruah bolasepak negara merudum gara-gara isu ini dulu. Namun, apakah ia harus terjadi lagi ketika pasukan negara kini mula gah dan digeruni oleh pasukan lawan terutamanya dari negara Asia Tenggara?. Justeru, Tengku Mahkota Pahang selaku Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diharap dapat mencari jalan untuk memulihkan kembali imej sukan itu yang semakin tercalar sekarang ini. Mereka yang terlibat perlulah diambil tindakan dan dibawa ke muka pengadilan. Jika amalan ini terus dibiarkan, maka kita khuatir peminat tidak akan memercayai lagi sukan bola sepak secara keseluruhannya nanti].

Kuliah Maghrib Bersama Ustaz Azhar Idrus Dekat Masjid Al-Falah, Sungai Isap Dua Pada Malam Ini

Posted: 25 Jan 2012 12:22 AM PST

KUANTAN, 25 Jan - Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (foto) akan menyampaikan Kuliah Maghribnya di Masjid Al-Falah, Perkampungan Sg.Isap 2 jam 7.30 malam ini. Oleh itu, orang ramai di kawasan terbabit dan sekitarnya adalah dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan program itu nanti. Difahamkan, keesokan paginya Ustaz Azhar akan bersama dalam program "Outing Sunrise" di Pantai Teluk Chempedak dekat sini. Beliau yang juga amat menggemari bidang fotografi akan bersama-sama dengan orang ramai yang berminat untuk ambil gambar "matahari terbit" dari pantai itu. Semua dijemput hadir

NFC: Tidak Perlulah Alih Isu, Kononnya Salahkan Laporan Ketua Audit Negara Bagi Tutup Skandal !

Posted: 24 Jan 2012 11:42 PM PST

KUALA LUMPUR, 25 Jan - Soal kekeliruan Laporan Ketua Audit Negara tidak lagi berbangkit kerana terlalu banyak perkara meragukan mengenai Fidlot Nasional Corp (NFCorp) yang didedahkan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (foto). Beliau menekankan, isu utama berkaitan dengan NFCorp ialah adakah dana RM250 juta yang diterima dari kerajaan oleh syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang kini bercuti dari jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dibuat mengikut peraturan kewangan kerajaan. "Itu isu utama mengenai NFCorp. Adakah pemberian dana RM250 juta kepada NFCorp dibuat mengikut peraturan kewangan kerajaan? "Selain itu, isu utama yang lain ialah pendedahan mengenai pembelian unit kondominium di Bangsar dan Singapura masing-masing berharga RM13.8 juta dan RM9.9 juta dan kereta mewah jenis Mercedes Benz berharga RM534,622 serta dua bidang tanah bernilai RM3,363,507 di Putrajaya," kata Mahfuz. Malah, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, tidak ada langsung penjelasan yang meyakinkan ke atas dakwaan mengenai penggunaan wang NFCorp yang dikatakan membiayai percutian keluarga Ketua Wanita UMNO itu di luar negara, selain disalurkan kepada restoran-restoran mewah yang juga milik keluarga Shahrizat. Tidak ada juga penjelasan yang memuaskan terhadap dakwaan penggunaan sehingga RM600,000 dari dana yang diperuntukkan untuk projek lembu NFCorp bagi membayar hutang kad kredit pada tahun 2009, kata Mahfuz lagi. Oleh sebab itu, kata beliau, tidak perlulah Pengerusi NFCorp yang juga suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail membangkitkan isu kekeliruan dalam laporan Ketua Audit Negara antara NFCorp dan Pusat Fidlot Nasional (NFC). "Jawablah dahulu pendedahan-pendedahan yang dibuat itu sehingga umum yakin dan percaya bahawa NFCorp tidak menyalahgunakan wang RM250 juta untuk projek lembu itu memandangkan Salleh sendiri sebelum ini mengakui wang tersebut digunakan untuk beli kondominium kononnya untuk pelaburan "Jangan mudah buat dakwaan kononnya ada kekeliruan dalam laporan Ketua Audit Negara," tambah Mahfuz.



Salleh sebelum ini mendakwa, entiti perniagaan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang berada dalam keadaan kucar kacir bukanlah NFCorp. Menurutnya, pihak pengaudit telah terkeliru antara NFCorp, sebuah syarikat persendirian, dengan NFC, syarikat kepunyaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Mempersoalkan dengan lebih lanjut mengenai pelbagai perkara yang meragukan dalam NFCorp, Mahfuz bertanya, mengapa timbul dakwaan bahawa seorang pegawai yang dipecat dari syarikat milik suami dan anak-anak Shahrizat itu menjual maklumat kepada pembangkang? "Sebagai andaian, katakanlah maklumat dijual kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli. "Jika tidak ada sebarang perkara yang meragukan dan perniagaan berjalan NFCorp berjalan dengan telus dan bersih, tidak mungkin Rafizi, seorang akauntan bertauliah mahu membeli maklumat yang didakwa dijual oleh pegawai NFCorp yang dipecat itu," kata beliau. Mahfuz menambah, jika benar ada rahsia NFcorp yang dijual, ia bermakna ada perkara yang dirahsiakan. "Rahsia apa? Adakah rahsia mengenai perbelanjaan yang tidak ada kaitan dengan projek lembu yang membolehkan NFCorp mendapat dana RM250 juta itu dari kerajaan?" soal beliau. Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata dia akan berikan penjelasan terperinci berkaitan dakwaan ada kekeliruan dalam laporan pihaknya itu.

[Apa yang menarik dalam kes ini ialah mereka yang dipercayai terlibat sama tiba-tiba dilantik pula untuk menyiasat isu tersebut. Bukankah ia melucukan kita sebenarnya. Bayangkan nama-nama seperti TPM Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian Noh Omar didakwa akan memantau siasatan kes NFC ini. Soalnya, apa yang mahu disiasat jika secara jelas dan terbukti mereka juga dipercayai terlibat?. Makanya, apa yang terjadi ialah sekadar "sandiwara politik" semata-mata. Seolah-olah Sharizat direhatkan untuk memudahkan siasatan dilakukan, tapi anehnya syarikat kempunyai suaminya terus beroperasi macam biasa. Kita boleh menduga, hasil keputusan siasatan tersebut dalam masa terdekat ini yang akan menyebut tidak terdapat sebarang penyelewengan dan kepincangan dalam urusan NFC itu nanti. Maknanya, siasatan yang mahu dijalankan adalah untuk menutup ruang-ruang agar pemimpin tertentu disabitkan dengan kesalahan ini. Rakyat yang bijak sahaja dapat menilai semua ini].

Isu "Saman Parking", NGO People's Justice Voice Buat Kempen Besar-Besaran Mulai Februari Ini !

Posted: 24 Jan 2012 10:30 PM PST

KUANTAN, 25 Jan - Tempoh yang diberikan oleh NGO People's Justice Voice (PJV) kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk menjemput wakil mereka mengadakan sessi dialog tertutup dengan pihak terbabit sudah pun berakhir. Menurut Penyelaras PJV, Mohd Shukri Mohd Ramli (foto), Beliau kecewa dengan sikap "acuh tak acuh" MPK dalam menangani isu ini. Apa yang jelas, bukan sahaja tidak "respon" malahan, MPK dipercayai memperlekehkan memorandum yang dihantar oleh NGO terbabit kepada mereka hujung tahun lalu. Dalam memerandum tersebut, PJV secara jelas menghuraikan sikap tidak puas hati rakyat terhadap majlis tempatan itu yang dipercayai menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk membuat "operasi saman" yang keterlaluan dan tidak kena pada tempatnya. Tindakan saman yang keterlaluan telah menyebabkan ramai rakyat Kuantan kini "memusuhi MPK" dan amat kecewa dengan tindakan mereka. Malahan, dakwaan bahawa MPK memberikan "kad kuasa" untuk menyaman kepada semua kakitangan mereka juga adalah satu tindakan yang cukup keterlaluan dan tidak wajar dilakukan sebenarnya. Antara tindakan saman parking yang dipertikaikan ialah di kawasan perumahan, kawasan pusat pengajian tinggi, di kawasan masjid, kawasan hospital dan sebagainya. Turut dipertikaikan ialah operasi saman yang dijalankan diluar waktu yang sepatutnya seperti ketika ada program besar (hari peristiwa) seperti Jom Heboh TV3, Hari Kemerdekaan dan lain-lain lagi. Juga persoalan timbul apabila MPK menjalankan operasi saman pada Hari Perayaan dan pada waktu-waktu yang tidak munasabh serta masuk dek akal (2.00 hingga 4.00 pagi) di lokasi-lokasi tertentu. Malah, sikap sombong dan bongkak "Pegawai Penguatkuasa MPK" juga turut disentuh oleh PJV. Mereka bukan sahaja, tidak boleh bertimbangrasa, timbangtara dan sebagainya, malah mereka begitu angkuh untuk memaksa rakyat mengikut peraturan berkaitan "saman parking". Walhal, untuk peraturan yang lain MPK sendiri dilihat gagal mengikutnya. Inilah yang mengecewakan sebahagian besar rakyat Kuantan sekarang ini. Menurut Shukri, memandangkan tiada "tindakbalas positif" oleh Yang DiPertua MPK terhadap memorandum rakyat yang dihantar, maka satu kempen besar-besaran akan diadakan dalam masa terdekat ini. Kempen yang bertemakan "Kuantan Bandar Saman, Boikot Parking MPK", itu akan digerakkan sehingga menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadualkan bakal diadakan di Kuantan pada bulan Julai 2012 ini nanti.


Memorandum Rakyat isu saman parking MPK diserahkan kepada
Pembantu Khas YDP MPK pada 30 Dis 2011 yang lalu, Baca SINI


[Nampaknya, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sekali lagi akan berhadapan dengan kebangkitan suara rakyat. Secara dasarnya majoriti rakyat memang menolak sistem yang menekan dan memaksa mereka. Sistem "kupon berkomputer" jelas sekali adalah satu kaedah yang menindas rakyat dan menguntungkan pihak terbabit. Sistem lama "resit kuning" dilihat lebih relevan untuk dipraktikkan kerana ia adalah lebih adil dan tidak menekan. Maknanya, kita parking 10 jam kita akan dapat 10 resit kuning, dan jika kita tidak bayar itu kesalahan kita. Tapi sistem yang ada sekarang jelas sekali menguntungkan sebelah pihak. Parking 5 minit perlu bayar 1 jam, jika terlebih atau terlupa maka surat saman parking akan dihadiahkan kepada kita. Majoriti warga Kuantan mengalami nasib yang sama seperti ini. Ia adalah satu kaedah yang cukup mudah untuk mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencari untung dengan satu sistem yang jelas tidak adil ini. Saman parking dijadikan sumber untuk mengisi tabung kewangan pihak terbabit. Saman sepatutnya bertujuan untuk mengajar dan mendidik rakyat, tetapi kini dijadikan sumber untung oleh pihak terbabit. Difahamkan juga PJV akan melancarkan sebuah blog khas untuk mendedahkan segala kepincangan yang berlaku terhadap MPK agar ia diketahui oleh seluruh rakyat. Orang ramai yang berhadapan dengan apa jua masalah berkaitan dengan MPK bolehlah menghubungi email pahangdaily@yahoo.com untuk melaporkan apa jua masalah mereka. Semoga, rakyat Kuantan dapat hidup lebih aman dan selamat selepas ini].

Tengku Mahkota Harap 'Langkah Keselamatan' Di Pantai Sepat Di Pertingkat Elakkan Kemalanagan !

Posted: 24 Jan 2012 09:57 PM PST

KUANTAN, 25 Jan - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (foto) bertitah, supaya langkah keselamatan yang lebih ketat dilakukan di Pantai Sepat dekat sini dek kerana kejadian lemas yang berlaku di pantai itu beberapa hari lalu. Baginda mahu pegawal pantai ditempatkan di lokasi terbabit terutamanya pada hari-hari cuti umum bagi mengelakkan kejaian yang tidak diingin berlaku. Titah baginda lagi, langkah itu wajar demi keselamatan orang ramai yang berkunjung ke pantai terbabit terutamanya pada musim cuti persekolahan seperti sekarang ini. Dalam kejadian baru ini, tiga mangsa lemas ketika mandi manda bagi meraikan cuti Tahun Baru Cina di pantai terbabit. Dua mangsa yang lemas pada 22 Jan ialah Mohd. Zaiful Abu Talib, 13, dan adik tirinya, Mohd. Saiful Mohd, 11, dari Sungai Isap dekat sini. Manakala pada keesokannya (23 Jan) pula, seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai R. Alvin, 16, dari Tanah Putih meninggal dunia. Susulan kejadian itu, kini amaran bahaya (bendera merah) telah dikibarkan bagi melarang orang ramai mandi manda di pantai terbabit. Tengku Mahkota Pahang, sebelum hari ini telah mengadakan lawatan untuk menziarah keluarga dua mangsa yang lemas itu di Sg.Isap. Baginda dan Tengku Puan Pahang, turut hulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga mangsa terbabit.


Salah seorang mangsa lemas, cuba diselamatkan pada hari kejadian

[Titah Tengku Mahkota Pahang ini perlulah diberi perhatian oleh semua pihak, agar kejadian yang sama tidak berulang lagi. Namun, sesuatu perlu dilakukan kerana selang sehari selepas kejadian pertama berlaku keeseokannya ada lagi mangsa yang lemas di pantai itu. Ini bermakna, tidak ada pihak yang mengawal pantai terbabit dan memberi amaran supaya orang ramai tidak mandi manda selepas berlaku dua kematian pada hari sebelumnya. Sepatutnya, pantai itu perlu ditutup kepada orang ramai selepas kejadian pertama. Soalnya, siapakah yang bertanggungjawab memantau pantai itu?. Pantai Sepat adalah satu pantai perkelahan yang landai jika dibandingkan dengan Teluk Chempedak sebenarnya. Maka itu, kejadian lemas sukar berlaku kerana jarak persisir pantai yang landai dengan kawasan dalam adalah jauh. Namun, mungkin mereka yang menjadi mangsa telah memberanikan diri untuk berenang di kawasan dalam yang memang berbahaya. Ikhtibarnya, ibubapa tidak wajar membiarkan anak-anak mereka mandi manda di tepi pantai sesuka hati. Sepatutnya, ibubapa perlu berada disamping anak-anak mereka dalam apa jua keadaan sekali pun. Apapun, PDO ucapkan takziah kepada keluarga semua mangsa yang terlibat. Semoga roh semua mereka dicucuri rahmat].

Video: Ceramah Rafizi Ramli "Isu Lembu NFC" Di Felda Rentam, Bera Pada 16 Januari 2012 Lalu

Posted: 24 Jan 2012 01:10 PM PST

Tiada ulasan: