Pahang Daily Online |
Debat Isu Lynas, PAS Pahang Gesa Agar MB Tidak Berdolak Dalih Jika Tidak Mahu Di Cop Pengecut! Posted: 18 Jan 2012 08:40 PM PST KUANTAN, 19 Jan - PAS Pahang meminta Menteri Besar Dato' Sri Adnan Yaakob berhenti berdolak-dalik sebaliknya serius untuk berdebat dalam isu Lynas jika tidak mahu dicop pengecut. Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad (foto) berkata, Adnan tidak sepatutnya menganggap debat dengan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh sia-sia kerana isu tersebut terus menjadi kontroversi kepada umum. "Jika tidak mahu dicop pengecut tetapi terus berdolak-dalik itu tak guna, debat ini penting supaya rakyat dapat didedahkan dengan maklumat sebenar tentang isu yang menghantui mereka," katanya. Suhaimi berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Adnan yang tampil di muka depan akhbar Sinar Harian semalam mendakwa beliau bukanlah seorang pengecut untuk berdebat Fuziah dalam isu Lynas. Namun dalam masa yang sama awal-awal lagi beliau sudah menganggap debat tersebut adalah sia-sia kerana bakal dijadikan propaganda politik. "Saya bukan pengecut. Saya tak gentar sekiranya Fuziah mahu ajak saya berdebat tetapi jika dia mahu menjadikannya isu propaganda, maka perdebatan itu sia-sia. "Kita boleh berdebat dengan orang-orang bijak tetapi adakah kumpulan anti-Lynas ini bijak? Kita telah berikan mereka semua fakta daripada tetapi mereka masih tidak menerimanya," katanya sebagaimana disiar media. Sebelum ini Fuziah bersedia untuk menyertai debat yang dicadang akan dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perhimpunan Hijau, yang membariskan Fuziah, Adnan dan Ketua MCA Bahagian Kuantan, Datuk Ti Lian Ker berkaitan isu Lynas. Fuziah mahu debat umum itu melibatkan semua pakar berkaitan supaya rakyat dapat mengetahui dan mendapatkan maklumat lebih tepat dan telus. Isu Lynas menjadi topik hangat penduduk daerah ini sejak Kerajaan BN Pahang bersetuju membenarkan kilang memproses nadir bumi dari Australia yang dikatakan sudah ditolak oleh negeri-negeri lain itu beroperasi di Gebeng. Laporan muka depan Sinar Harian semalam yang menyebut Adnan tidak takut untuk berdebat dengan YB Fuziah Salleh tentang berkaitan Lynas [Ramai yang terkejut dengan sikap berdolak-dalih MB Pahang dalam isu ini. Isu Lynas jika tidak kerana propaganda politik pun, sudah pasti ia tetap menjadi "isu politik". Ini kerana, yang menyokong dan membawa masuk projek tersebut ialah kerajaan UMNO BN. Bukankah UMNO BN itu adalah sebuah parti dan pertubuhan politik. Adnan sebenarnya takut berhadapan dengan kenyataan kerana beliau tahu dia tidak layak untuk berhadapan dengan Fuziah dalam debat yang bakal diadakan secara terbuka itu. Sikap Kerajaan Negeri Pahang yang terus memperbodohkan rakyat dengan kenyataan "kebudak-budakan" tidak melayakkan Adnan untuk berdebat dengan Fuziah. Dek kerana itulah, beliau takut dirinya dimalukan nanti. Jalan terbaik ialah berusaha agar debat itu tidak berlaku demi menjaga maruahnya. Pihak yang layak berdebat dtentang isu ini ialah Lynas Corporation atau Lynas Malaysia Sdn Bhd. Mereka wajar menghantar CEO syarikat terbabit untuk berdebat dalam isu ini. Lynas sememangnya isu politik kerana perjuangan membantah projek tersebut dinaungi oleh parti-parti politik pembangkang termasuk juga MCA dari BN sendiri. Makanya, kenapa perlu takut jika berada di pihak yang benar. Cikgu Adnan tidak perlu berpura-pura disebalik kesilapannya menerima projek berisiko ini]. |
Fuziah Salleh, Sedia Berdebat Dengan MB Pahang Tentang Lynas Anjuran Sinar Harian Februari Ini Posted: 18 Jan 2012 08:28 PM PST KUANTAN, 19 Jan - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (foto) bersedia untuk berdebat dengan Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob mengenai isu kilang Lynas yang mendapat perhatian umum khususnya masyarakat di sini. Fuziah berkata, beliau sememangnya bersetuju dan menyambut baik saranan Adnan untuk bersemuka dalam satu sesi perbincangan atau debat secara ilmiah berhubung perkara itu. Menurutnya, pasti ia adalah medan terbaik bagi orang ramai membuat pernilaian terhadap persoalan Lynas tersebut. Katanya, pihaknya kini menunggu kata putus dari Kerajaan Negeri Pahang berhubung perkara itu. "Saya menyatakan persetujuan untuk berdebat apabila diajukan Sinar Harian dan menyambut baik persetujuan Adnan dalam perkara ini. Sinar Harian yang mempunyai pengalaman dalam mengadakan sesi perbahasan seperti Wacana Sinar Harian juga bersetuju untuk bertindak sebagai penganjur. "Program ini dijangka diadakan di Kuantan pada minggu pertama atau kedua Februari ini," katanya. Difahamkan sesi perdebatan itu akan menyentuh mengenai soal sama ada wajar atau tidak Lynas diberikan kelulusan untuk memulakan operasinya di Kuantan. Fuziah berkata, program tersebut akan mempertemukan dua pihak iaitu pihak yang bersetuju serta menentang dan pihaknya akan mengemukakan hujah selain fakta termasuk bukti kukuh yang disokong pakar luar. "Perdebatan itu juga akan memberi kesempatan kepada rakyat Kuantan untuk memahami isu Lynas dengan lebih lanjut. "Apa yang kita perkatakan selama ini adalah untuk kebaikan rakyat Kuantan," ujarnya. Beliau turut menyentuh mengenai keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang tidak melanjutkan tempoh meneliti dokumen permohonan lesen peringkat pengendalian sementara syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd sebagai tidak relevan. Tegasnya, dokumen lebih 100 muka surat penuh aspek teknikal itu perlu dikaji secara teliti dan tidak boleh semudahnya diputuskan dalam tempoh yang singkat. [Kesediaan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh untuk berdebat secara terbuka dengan MB Pahang dalam isu Lynas ini sepatutnya disambut dengan tangan terbuka oleh Adnan Yaakob. Tidak perlu sebarang alasan lagi, jika merasakan Kerajaan Negeri Pahang menerima Lynas itu adalah benar belaka. Ini kerana rakyat melihat, kemasukan projek itu penuh dengan unsur-unsur yang mencurigakan dan kontroversi. Tambahan pula ketika itu, adik Adnan Yaakob sendiri merupakan orang kuat agensi yang terbabit untuk memberi khidmat nasihat membawa masuk projek itu ke negara dan negeri ini. Lantaran itulah, rakyat bangkit dan terus mendesak projek itu dibatalkan demi keselamatan rakyat. Apa jua alasan yang diberika sudah tidak boleh diterima lagi oleh rakyat sebenarnya. Ini kerana, mereka membawa masuk Lynas secara diam-diam dan sekarang baru mahu mengadakan penerangan ketika kilang itu sudah berdiri megah di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan. Kini, rakyat boleh menilai, jika MB Pahang takut berhadapan dengan Fuziah maka sahlah mereka semua "cakap tak serupa bikin". Rakyat wajar menolak UMNO BN pada Pilihanraya Umum ke-13 ini jika mahu Lynas dihantar balik ke Australia. Jika tidak, mereka akan menanggung derita dan sengsara buat selamanya]. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online (PDO) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan