Rabu, 18 Januari 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Isu Rakyat: 'MB Pahang' Di Desak Campur Tangan Atasi Masalah Ganguan Bekalan Air Di UMP Pekan

Posted: 16 Jan 2012 06:58 PM PST

PEKAN, 18 Jan - Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menggesa Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakob campurtangan isu air yang semakin kritikal di kampus induk IPT terbabit di Kuala Pahang dekat sini. Yang DiPertua, Majlis Perwakilan Pelajar UMP Muhamad Fazli Abdul Halim (foto) berkata, perhatian MB diharap dapat menyelesaikan kemelut dan masalah itu dengan segera. Isu air di UMP ini telah kami siarkan di blog ini bulan lalu. Rupa-rupanya kemelut yang melanda masih gagal diatasi hingga menyebabkan para mahasiwa IPT itu kini hidup dalam "trauma" akibat masalah yang melanda. Menurut Fazli, maklumbalas yang diterima daripada pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang rentetan isu krisis ganguan air ini antara lain menyatakan masalah bekalan air yang tidak stabil di UMP, Pekan akan berpanjangan sehinggalah suatu sistem bekalan air yang sempurna disiapkan untuk kampus berkenaan. "Bagi mengatasi masalah tekanan air rendah adalah dengan menyalurkan bekalan air secara terus ke kampus dari Loji Air Peramu. JBA Pahang menjangkakan kerja-kerja pemasangan paip ini siap diakhir tahun 2012", katanya. Menurut Fazli lagi, berdasarkan maklumbalas yang diterima krisis gangguan ini akan berterusan dalam satu tempoh jangka masa yang panjang. "Pihak kami mendesak dan mengesa agar projek pembinaan bekalan air secara terus dari Loji Air Peramu ke Kampus UMP Pekan tersebut dipercepatkan bagi menyelesaikan kemelut yang dialami. Usaha yang dijalankan oleh pihak pengurusan universiti dalam menangani krisis ini sewajarnya diberikan pujian seperti menggunakan khidmat lori tangki air bagi penghantaran air ke kampus sebagai satu langkah sementara dalam meredakan permasalahan ini. Namun sewajarnya hal tersebut dimainkan secara serius oleh pihak JBA Pahang yang berfungsi dan dipertanggungjawabkan dalam menyediakan kemudahan dan perkhidmatan tersebut. Pihak kami bimbang krisis ini akan bertambah serius apabila beberapa bangunan baru seperti Perpustakaan, Pusat Aktiviti Pelajar dan Bangunan Fakulti Pembuatan yang dijangka beroperasi secara penuh pada awal semesta hadapan yang secara umumnya akan menyebabkan tekanan air menjadi lebih rendah", tambah kenyataan beliau lagi.

[Melihat kepada keadaan semasa yang mana kebanyakan kelewatan projek berlaku dalam proses pembangunan kampus Pekan, pihak kami kurang berkeyakinan projek tersebut akan disiapkan dalam tempoh jangka masa yang ditetapkan. Oleh hal sedemikian pelbagai pihak yang akan terjejas akibat permasalahan tersebut seperti mahasiswa, pensyarah, pengusaha kafeteria dan pengurusan universiti sendiri. Krisis gangguan air ini bukan hanya menjejaskan warga UMP Pekan sahaja tetapi turut menjejaskan masyarakat sekitar kampus. Untuk makluman UMP Pekan serta masyarakat sekitar berkongsi sumber air yang sama iaitu sumber air daripada Loji Air Kuala Pahang. Apabila terdapat banyak aduan yang diterima akibat gangguan air di UMP maka air akan disalurkan lebih ke UMP yang dalam masa yang sama masyarakat sekitar pula akan mengalami gangguan. Begitulah yang berlaku seterusnya. Oleh hal sedemikian pihak yang bertanggungjawab dalam menangani krisis ini mengambil tindakan yang sewajarnya agar kemelut ini akan dapat diselesaikan dengan segera].

Tiada ulasan: