Rabu, 11 Januari 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Panas: Mangsa Cynide Di Bukit Koman Meninggal Dunia Semalam, Kerajaan Perlu Batalkan Lynas !!

Posted: 11 Jan 2012 06:55 AM PST

KUANTAN, 11 Jan - Kerajaan digesa membatalkan segera operasi projek kilang memproses Rare Earth milik syarikat Australia, Lynas Corporation yang dibantah rakyat sekarang ini. Ia berikutan, seorang penduduk yang berjuang bermati-matian untuk membantah sebuah lagi syarikat Australia yang membawa projek berisiko ke negeri ini meninggal dunia malam semalam. Mustapa Hussin (foto) yang menderita sakit kritikal akibat kesan penggunaan racun Cynide di lombong emas Lombong Emas Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGMSB) meninggal dunia selepas sekian lama menderita. Kerajaan perlu sedar, rakyat tidak mahu berhadapan lagi dengan risiko seperti yang dialami oleh para penduduk Bukit Koman selama ini. Biar pun berbagai alasan yang diberikan termasuk tindakan Lynas menyiarkan iklan setiap hari di media arus perdana untuk mempertahan kilang terbabit, namun rakyat sebenarnya lebih mengetahui risiko radiasi yang dihadapi oleh mereka. Kerajaan sepatutnya mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Bukit Koman yang menimbulkan masalah kesihatan terhadap penduduk sekarang ini. Malah, kedua-dua syarikat berkenaan adalah dari negara yang sama iaitu Australia. Tentangan rakyat terhadap kilang yang boleh mendatang risiko ada kewajarannya jika dibandingkan dengan industri lain. Memang benar, ada pihak yang mempertikaikan kenapa rakyat tidak menentang kilang kimia yang banyak terdapat di Kawasan Perindustrian Gebeng. Namun, mereka juga perlu faham bahawa Lynas akan memproses "rare earth" yang diakui seantero dunia akan mengeluarkan radiasi atas pembuangan sisa-sisanya. Jika kita lihat penggunaan racun sianida (Cynide) di Lombong Emas Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGMSB) sebelum ini maka ternyata senarionya hampir sama. Tentangan rakyat dijawab dengan alasan mudah oleh kerajaan untuk mengiyakan apa yang telah mereka lakukan. Namun, hakikatnya projek berisiko wajib ditentang demi anak cucu dan generasi kita pada masa yang akan datang hendaknya.


Penduduk terus bangkit menentang penggunaan racun Cynide di Lombong
emas Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGMSB) sejak sekian lama

[Pihak yang akan menderita adalah rakyat setempat yang terpaksa berhadapan dengan ancaman kesihatan untuk tempoh yang lama. Pemimpin besar yang mendapat hasil lumayan atas projek itu tidak berhadapan dengan apa-apa risiko sebab mereka tinggal di tempat lain. Inilah yang akan terjadi kepada penduduk Kuantan pada masa akan datang jika mereka terus berdiam diri dengan isu ini. Soalnya, apakah lebih ramai yang meninggal dunia baru kerajaan mahu melakukan sesuatu. Insaflah atas apa yang berlaku dan jadikanlah ia sebagai pengajaran. Jangan biarkan rakyat terus dibelenggu risiko. Teruskan perjuangan tentang Lynas dan Cynide, demi kesejahteraan rakyat pada masa akan datang. Jangan menggadaikan nyawa rakyat kerana mengejar keuntungan semata-mata].

Mahkamah Persekutuan "Benar" Penduduk Bukit Koman Raub "Merayu Isu Cynide" Lombong Emas

Posted: 11 Jan 2012 06:19 AM PST

PUTRAJAYA, 11 Jan - Para penduduk Kampung Bukit Koman yang mendakwa mengalami masalah kesihatan daripada penggunaan sianida (Cynide) dalam lombong emas di kawasan itu, boleh meneruskan perjuangan mereka daripada segi undang-undang bagi persekitaran bebas pencemaran. Ini susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, yang membenarkan permohonan penduduk bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk memulakan semakan kehakiman. Mereka gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi pada 1 Jun, 2009 untuk memfailkan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Ketua Pengarah Alam Sekitar yang meluluskan laporan awal Penilaian Kesan Alam Sekitar (PEIA) membabitkan lombong emas Bukit Koman yang terletak berhampiran dengan tempat tinggal penduduk berkenaan. Malanjum yang bersidang bersama-sama dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Datuk Ahmad Maarop, memberikan kebenaran bagi satu persoalan undang-undang ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan. Persoalan itu adalah sama ada mahkamah, dalam menentukan permohonan pelanjutan tempoh untuk memfailkan permohonan kebenaran itu, perlu mengambil kira merit aduan pemohon yang dikemukakan dalam permohonan mereka bagi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman. Mahkamah Tinggi menolak permohonan penduduk bagi kebenaran untuk semakan kehakiman atas alasan mereka terlalu lewat memfailkan permohonan itu dan mereka tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk mahkamah melanjutkan tempoh untuk mereka memfailkan permohonan mereka itu.

Tempoh 40 Hari Kebenaran Semakan Kehakiman


Perintah 53, Peraturan 6, Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi 1980 menetapkan permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman perlu dibuat dengan kadar segera dan dalam keadaan tertentu dalam tempoh 40 hari daripada tarikh apabila alasan bagi permohonan dikemukakan buat pertama kali atau apabila keputusan itu disampaikan kepada pemohon buat pertama kali. Mahkamah Rayuan menerima keputusan Mahkamah Tinggi itu dan menolak rayuan penduduk berkenaan pada 3 Ogos tahun lalu. Di luar mahkamah, peguam yang mewakili penduduk berkenaan, Malik Imtiaz Sarwar, berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sudah memutuskan mahkamah hanya akan melihat kepada alasan bagi kelewatan memfailkan permohonan itu dan bukannya merit aduan yang menghalang dimensi kepentingan awam. Ketua Pengarah Alam Sekitar meluluskan laporan PEIA pada 13 Januari 1997. Menerusi surat bertarikh 21 Februari 2008, Ketua Pengarah enggan melayan permintaan penduduk supaya menyemak semula PEIA dan mengarahkan Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGMSB) menyediakan laporan yang lebih terperinci.


Bukti, salah seorang daripada mangsa Cynide yang menderita penyakit kulit
Pada 21 Mac, 2008, empat wakil penduduk, Wong Kin Hoong, Chong Sow Pin, Hue Fui How dan Mustapha Hussin (Mustapha meninggal dunia malam semalam), memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Pengarah Alam Sekitar dan RAGMSB. Penduduk mahu Ketua Pengarah Alam Sekitar mengarahkan RAGMSB menyediakan laporan EIA terperinci kerana mereka mendakwa laporan awal EIA (PEIA) yang diserahkan oleh syarikat itu pada 27 Ogos, 1996 mengandungi kecacatan serius. Mereka mendakwa laporan PEIA tidak memasukkan maklumat mengenai di mana dan bagaimana sisa rawatan lombong emas itu dibuang dan juga tidak mengandungi maklumat mencukupi mengenai sisa efluen. Penduduk berkenaan juga mendakwa laporan PEIA itu mempunyai impak bahaya terhadap kehidupan dan nyawa mereka berikutan tidak dimasukkan risiko kilang itu terhadap kesihatan awam dan alam sekitar. Mereka juga mendakwa penyediaan PEIA itu tidak membabitkan penyertaan orang ramai. Dalam afidavit mereka yang diikrarkan pada 12 Mei, 2009, pemohon mendakwa pada awal Februari 2009, mereka terhidu bau kuat dan beracun beberapa kali sehari, menyebabkan mereka batuk, pening kepala, sukar bernafas, rasa pedih pada mata dan paru-paru, muntah dan ruam pada badan. Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan dan Suhaila Haron, mewakili Ketua Pengarah Alam Sekitar manakala RAGMSB diwakili peguam bela yang diketuai Tan Sri Cecil Abrahanm.

Hj.Hadi Bakal Tentukan 'Siapa Pengganti' Hasan Ali Untuk Di Lantik Ke 'Jawatan Exco' Yang Baru !

Posted: 11 Jan 2012 05:44 AM PST

PETALING JAYA 11 Jan - Individu yang akan dilantik bagi menggantikan Datuk Dr. Hasan Ali (foto) sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor akan ditentukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata Naib Presiden parti itu, Datuk Mahfuz Omar. Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat kepimpinan Pas tidak lama lagi. "Bila (mesyuarat) itu saya tak tahu. Tapi buat masa ini, kita belum buat keputusan lagi. Surat (pemecatan) sudah dihantar kepada Hasan Ali," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Pada Ahad lepas, Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dipecat sebagai anggota PAS berkuat kuasa serta merta kerana didakwa bertindak melanggar kepentingan parti. Mahfuz berkata, Hasan masih mempunyai peluang untuk merayu kepada Majlis Syura PAS jika tidak berpuas hati dengan pemecatan beliau. Sementara itu, dalam perkembangan lain Hassan Ali dipercayai tidak menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor hari ini kerana beliau sedang bercuti. Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, mesyuarat hari ini tidak membincangkan portfolio Hasan itu. "Mesyuarat Exco hari ini hanya berbincang mengenai program kendalian kerajaan negeri bagi faedah rakyat di negeri ini," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di sini.

'Majlis Fatwa' Putuskan Guna Dakwat Kekal Pada Pilihanraya Umum Ke-13 Harus Dan Di Benarkan

Posted: 11 Jan 2012 05:30 AM PST

PUTRAJAYA 11 Jan - Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) adalah harus dan dibenarkan. Pengerusinya Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin (foto) berkata, perkara itu diputuskan berdasarkan tiga kriteria iaitu dakwat tersebut tidak najis, tidak memudaratkan dan boleh menyerap air. "Dakwat itu jika digunakan oleh umat Islam ia boleh diserap air jadi tidak akan menimbulkan sebarang masalah untuk menunaikan sembahyang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai perkara itu di sini. Mesyuarat yang berlangsung di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu turut dihadiri wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Kimia, Kementerian Kesihatan dan para mufti. Pada Disember lepas, SPR mengumumkan dakwat kekal jenis "silver nitrate" akan digunakan pada PRU13. Dakwat itu adalah berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan pada pilihan raya umum 2008, namun tidak digunakan selepas keberkesanan kaedah tersebut dipersoalkan pelbagai pihak. Mengulas lanjut, Dr Abdul Shukor berkata, ujian yang dijalankan Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan juga mendapati penggunaannya tidak memudaratkan atau pun memberikan kesan sampingan. Bagaimanapun, katanya, keputusan itu adalah tertakluk kepada penggunaan dakwat berdasarkan sampel sama yang telah diberikan kepada Jawatankuasa Fatwa dan yang telah diuji sahaja. "Jika SPR berhasrat menggunakan dakwat jenis lain, maka keputusan lain perlu dibuat. Tetapi difahamkan SPR hanya akan menggunakan dakwat yang sama," kata beliau lagi.

Panas: Bapa Saiful Mohon Peguam Negara Failkan Rayuan Demi Mempertahankan Maruah Anaknya

Posted: 11 Jan 2012 05:01 AM PST

PETALING JAYA 11 Jan - Azlan Mohd Lazim (foto) hari ini memohon Pejabat Peguam Negara supaya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebas lepas dan melepaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada dakwaan meliwat anaknya, Mohd Saiful Bukhari, pada Isnin lepas. "Demi anak saya, saya merayu agar pihak Peguam Negara memfailkan rayuan. "Saya harap pihak Peguam Negara tidak terpengaruh dengan desakan Majlis Peguam atau mana-mana pihak agar tidak mengemukakan rayuan," katanya pada sidang media di kediamannya di Bandar Utama di sini, hari ini. Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam , Lim Chee Wee yang menyarankan Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu pada Isnin lepas. Azlan, 58, berkata tindakan Majlis Peguam dilihat sebagai langkah untuk menidakkan hak seseorang warganegara diadili dan didengar rayuannya sehingga ke peringkat tertinggi menurut Perlembangaan Persekutuan. "Majlis Peguam seharusnya bersikap "neutral" (berkecuali) dalam melihat suatu proses keadilan berlangsung dan bukannya dengan menghalang proses keadilan berlangsung. "Adakah gesaan itu melambangkan pendirian semua peguam-peguam di Malaysia atau hanya pendirian individu-individu tertentu yang menduduki kerusi Majlis Peguam yang berkepentingan politik?," katanya. Azlan turut mempersoalkan mengapa Majlis Peguam tidak pernah membantah tindakan Anwar, yang telah mengemukakan rayuan atau permohonan sebanyak 36 kali sepanjang tempoh perbicaraan. "Ini baru pertama kali pihak kami mohon untuk buat rayuan, sudah mahu dihalang. Mengapa ada "double standard" (pilih kasih)? "Adakah kerana anak saya hanya seorang insan kerdil, bukan seorang VIP, ahli politik, hak beliau dinafikan dengan begitu sahaja?," katanya. Azlan berkata sebagai bapa, beliau akan terus bersama Mohd Saiful Bukhari, 26, untuk berjuang mendapatkan keadilan buatnya. Jika tiada sebarang perkembangan daripada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh 14 hari, beliau berkata keluarganya akan mengambil tindakan selanjutnya yang perlu demi membela maruah keluarga serta Mohd Saiful Bukhari.

Letupan Bom Dalam Himpunan Bebas Anwar 901, Tian Chua Desak Polis Segera Siasatan Terperinci

Posted: 10 Jan 2012 11:15 AM PST

SHAH ALAM, 11 Jan - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganggap isu letupan yang berlaku kelmarin semasa Himpunan 901 sebagai amat serius dan memerlukan siasatan terperinci dan segera dari pihak polis. Naib Presiden PKR, Tian Chua (foto) berkata kejadian ini mengejutkan memandangkan himpunan tersebut adalah antara himpunan pertama yang mendapat permit Polis. "Polis harus beri penjelasan sebab sepanjang malam polis sahaja yang dapat acces ke kawasan tersebut. Dari pada gambar-gambar dan saksi, didapati bahan letupan tersebut disimpan dibawah 'kon' polis dan ia diletupkan melalui remote control atau time bom. Ini bukan boleh dibuat oleh orang biasa," katanya. Dalam kejadian tersebut terdapat pihak-pihak lain juga turut berada dilokasi tempat letak kereta berhampiran Mahkamah Jalan Duta ketika kejadian. "Baik pun perkasa ke pekida pun saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi kerana mereka juga berhak untuk berhimpun, saya harap pihak polis boleh menyiasat dan mencari orang yang bertanggungjawab," ujarnya. Menyentuh mengenai himpunan aman semalam, Tian berkata keputusan pembebasan Anwar semalam merupakan suatu kegembiraan kepada seluruh Pakatan Rakyat."Ini saya anggap orang yang tak puas hati dengan himpunan aman yang berlangsung atau orang tidak berpuas hati dengan kes ini. Ini boleh menjadi sedikit klu kepada pihak polis untuk mengadakan siasatan untuk mengetahui siapa yang bertanggung jawab," katanya. Sehubungan itu, PKR dan Pakatan Rakyat akan cuba menemui pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendesak supaya siasatan segera dijalankan. Dalam kejadian itu tiga insiden letupan bom yang mencederakan lima orang awam berlaku selepas mahkamah melepaskan dan bebaskan Anwar dari tuduhan mengikut Seksyen 377 (B) Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: