Isnin, 30 Januari 2012

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Hassan Ali tubuh JATI

Posted: 30 Jan 2012 10:19 PM PST

SHAH ALAM: Bekas ahli PAS, Datuk Dr Hasan Ali akan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dinamakan 'JATI' untuk meneruskan agendanya memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu.

"Secara peribadi orang tanya saya nak sertai UMNO atau PKR (Parti Keadilan Rakyat)...saya nak katakan, saya tidak akan sertai mana-mana parti politik, saya akan sertai NGO yang namanya JATI," katanya di sini.

Beliau yang ditemui selepas berceramah di Seksyen 17 malam tadi,turut mengakui masih sayangkan PAS dan mahu membantu parti itu menghapuskan golongan 'parasit' yang cuba merosakkan perjuangan asal PAS.

Sejak dipecat dari PAS pada 8 Jan lalu, spekulasi tersebar luas bahawa bekas anggota exco kerajaan negeri Selangor itu akan menyertai UMNO.


Mengulas JATI, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, NGO tersebut akan dilancarkan pada 21 Februari depan.

Beliau turut mengajak NGO lain untuk bergabung dengan JATI bagi membentuk 'kuasa ketiga' yang diharapkan dapat mengimbangi kehadiran Barisan Nasional dan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum ke-13.

Ditanya sama ada kuasa ketiga itu akan menyokong parti memerintah, Hasan berkata, perkara tersebut belum diputuskan.
"Kita adalah kuasa ketiga kalau bertanding pun atas nama kuasa ketiga dan kita tak kisah sama ada kita bertanding bersama atau tidak bersama dengan mana-mana parti politik," katanya. - BERNAMA

Tubuh Kerajaan 'Cina' - Cina pelakon porno ni diberi tempoh 24jam .......

Posted: 30 Jan 2012 07:44 PM PST

GEORGETOWN - Dakwaan kononnya pembangkang mahu menubuhkan 'Kerajaan Cina' di Perak jika memenangi pilihan raya akan datang adalah fitnah selain cuba memainkan sentimen perkauman.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, DAP mahupun Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah bercadang untuk menubuhkan Kerajaan Cina seperti yang didakwa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam sebuah akhbar arus perdana semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pembohongan yang dibuat Soi Lek itu amat berbahaya kerana boleh menimbulkan kebencian dan mengelirukan rakyat.

"Kami langsung tidak pernah bercadang mahu menubuhkan Kerajaan Cina mahupun kerajaan apa-apa bangsa sekalipun seperti yang didakwa Soi Lek. Apa yang kami mahu tubuh adalah kerajaan berjiwa rakyat.

"Saya menggesa agar dia menarik balik kenyataan itu atau buktikan bila pemimpin PR mengatakan mahu menubuhkan Kerajaan Cina. Jika dia gagal berbuat demikian saya akan mengarahkan pemimpin saya di Perak untuk membuat laporan polis terhadapnya," katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, tidak timbul isu menubuhkan Kerajaan Cina di Perak sekiranya PR berjaya menakluki semula negeri itu kerana sebelum ini pimpinan PR negeri itu sebulat suara memilih Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata, tindakan Soi Lek itu bukan sahaja menunjukkannya hilang modal politik malah amat memalukan apabila sanggup menipu rakyat dengan memfitnah parti lawan hanya untuk menarik perhatian pengundi dalam pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, Guan Eng memberi tempoh 24 jam kepada Soi Lek untuk menarik balik kenyataan itu atau bakal dikenakan tindakan undang-undang.- SinarHarian

Tu dia depa buat lebuhraya baru, ... RM22.3 juta satu km? ...

Posted: 30 Jan 2012 06:14 PM PST

Satu lagi Lebuh Raya akan dibina iaitu Lebuh Raya Banting-Taiping menurut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng... dan hari ini beliau menuntut pentadbiran Najib menjelaskan konsesi selama 60 tahun berjumlah RM7.07 bilion yang dianugerahkan kepada Kumpulan Europlus Bhd (Europlus) untuk pembinaan lebuhraya.

Sebelum itu Europlus mengumumkan telah menerima surat kelulusan untuk membina lebuhraya 316km daripada Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri... Syarikat berkenaan mengumumkan mereka telah memperoleh pinjaman mudah RM2.24 bilion bagi projek pembinaan Lebuhraya Banting-Taiping sepanjang 316km yang melibatkan subsidi faedah 3 peratus untuk 22 tahun dan geran sebanyak RM980 juta untuk pengambilan tanah adalah selaras dengan kepentingan awam.
Setiausaha Agung DAP itu menjelaskan "pihaknya berasa curiga, dan apakah rasionalnya kerana kedua-dua subsidi ini berjumlah RM4 bilion jika prinsipal pinjaman adalah RM6 bilion... apakah keperluan kerajaan membayar RM980 juta untuk pengambilan tanah sedangkan ini projek swasta... bagaimanakah Kerajaan boleh memberi tempoh konsesi selama 60 tahun... iaitu yang terpanjang dalam sejarah Malaysia dan kedua hanya kepada perjanjian pembekalan air selama 100 tahun kepada Singapura yang telah dimeterai pada tahun 1960an".

"Kita mahu menuntut kerajaan memberi penjelasan... mengapa Europlus dipilih sedangkan mereka tidak mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam bina-kendali-pindah (BOT) sektor lebuhraya dan pemilik utamanya mempunyai sejarah permasalahan dalam projek perumahan... dan kos lebuhraya 316km ini yang berjumlah RM7.07 bilion atau RM22.3 juta setiap km adalah dua kali ganda kos pembinaan lebuhraya yang sama di India dengan kos RM10 juta setiap km".

"Konsesi 60 tahun yang dianugerahkan oleh Jabatan Perdana Menteri ini bermakna bahawa beberapa generasi rakyat Malaysia akan terpaksa membayar tol dari generasi saya hingga ke cucu-cicit saya, ini langsung tidak boleh diterima kerana tempoh konsesi yang begitu lama ini hanya menguntungkan segelintir kroni syarikat pengendali tol yang akan mengaut keuntungan maha-Firaun manakala yang ruginya 28 juta rakyat Malaysia",

Tambah nya lagi "rakyat Malaysia tidak boleh menerima lagi satu skandal umpama Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)... di mana pengendali tol diberi tempoh konsesi 50 tahun sehingga 2038 walaupun mereka sudah mengaut keuntungan berkali-kali ganda lebih daripada pelaburan asal... kos pembinaan PLUS adalah RM6 bilion dan setakat 31 Disember 2010... pengendali tol itu sudah pun menerima RM24.3 bilion... iaitu keuntungan sebanyak RM18.3 bilion... Kenapa pengendali PLUS dibenarkan mengutip tol sehingga 2038 serta menaikkan kadar tol apabila mereka sudah mengaut keuntungan yang maha-Firaun, iaitu RM18.3 bilion ataupun 3 kali ganda kos pembinaan".

"Cukup-cukuplah... Kerana itulah PR menekankan pemansuhan tol PLUS... adakah konsesi lebuhraya RM7.07 kepada Europlus ini permulaan lagi satu skandal.... Rakyat Malaysia tidak mahu pengulangan skandal PLUS... jika konsesi tol terbaru ini adalah alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan yang sesak... kenapa berhenti di Taiping Kenapa konsesi Europlus tidak dilanjutkan kepada Pulau Pinang yang mengalami kesesakan yang lebih teruk... Ini tidak adil untuk rakyat Pulau Pinang dan juga Kedah "

Penulis Lirik 'Awan Nano' Anggap Politik Tak Halang Kerja Seninya

Posted: 30 Jan 2012 03:38 PM PST

Oleh IZRA ABD RAHMAN


PETALING JAYA: Penulis lirik lagu Awan Nano, yang menjuarai Anugerah Juara Lagu Ke-26, semalam (Ahad) Nasmi Hashim atau lebih dikenali sebagai Buddhi Hekayat berkata beliau tidak menggunakan bidang seni sebagai medium untuk berpolitik walaupun beliau terlibat dalam bidang tersebut secara langsung.


Nasmi kini memegang jawatan sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parit Sulong, Johor.

Menurut penulis lirik itu, dalam berkarya apa yang menjadi keutamaannya ialah menyampaikan mesej berunsur kemanusiaan dan mampu memberi kebahagiaan kepada orang lain yang mendengarnya.

"Seni masih lagi medium terbaik untuk saya menyampaikan mesej kemanusiaan.

"Saya berkarya untuk semua orang, saya tak buat lagu untuk satu parti atau mana-mana parti tertentu," katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Justeru katanya, lagu Awan Nano yang bermaksud 'pelindung' dan karya-karyanya yang lain turut mempunyai unsur-unsur kemanusiaan selari dengan prinsip penulisannya.

Lirik lagu tersebut katanya dicipta lebih kurang tiga tahun yang lalu sebelum diserahkan kepada komposer.

Lagu itu dinyanyikan oleh juara Akademi Fantasia Ke-7, Hafiz turut mengungguli dalam kategori vokal terbaik. Melodi lagu tersebut adalah ciptaan komposer terkenal M.Nasir.

Nasmi berkata, beliau sebenarnya sudah terlibat dalam bidang seni dan penulisan bukan baru tetapi kira-kira 15 tahun yang lalu dan tidak menganggap berpolitik sebagai halangan untuk berkarya.

"Kerja seni saya melampaui parti dan saya tak jadikan parti sebagai halangan.

"Parti sebagai wadah untuk saya bergerak, itu sahaja," katanya.

Sebelum Awan Nano, pemuda berusia 36 tahun ini pernah menulis lagu untuk kumpulan Spider berjudul 'Ajaib' dan banyak mempelajari tentang teknik penulisan lirik daripada arwah Loloq.

Beliau juga banyak menghasilkan karya-karya untuk kumpulan muzik bebas selain mengisi ruang Sastera Budaya, Berita Harian (1998-2001), portal Kakiseni dan Jalantelawi.com.

Nasmi menambah, berkarya sambil menceburi bidang politik adalah perkara biasa yang turut berlaku di luar negara.

Malah, beliau turut menegaskan nama pena Buddhi Hekayat yang digunakannya sekarang dalam bidang seni juga bukan bertujuan untuk menyembunyikan identitinya sebagai ahli politik daripada diketahui umum.

"Dalam dunia penulisan nama pena adalah perkara biasa. Lima belas tahun saya dalam bidang seni, lima belas tahun jugalah saya guna nama yang sama ini," ujarnya lagi.

Mengulas lanjut penglibatannya dalam bidang politik, beliau berkata selepas PKR berjaya pada pilihan raya umum 2008 yang lalu yang menyaksikan parti tersebut berjaya menguasai beberapa buah negeri, beliau lebih banyak memberi tumpuan kepada bidang seni.

"Nak kata saya berpolitik sepenuh masa pun tidak juga. Tugas saya agak kurang. Saya sukakan cabaran.

"Banyak yang saya sudah cuba dalam usia muda. Saya menulis, saya ceburi bidang politik. Sama jugalah orang seni yang sudah tua, dan mereka beralih ke politik," jelasnya.

Ditanya adakah beliau bimbang kerjayanya dalam bidang seni akan terganggu selepas masyarakat mengetahui tentang diri dan latar belakang politiknya, beliau menjawab:

"Saya lebih senang orang kenal saya sebagai orang yang mahu beri kesenangan dan kebahagiaan kepada ramai orang dengan karya-karya saya.

"Dalam politik pun pandangan saya lebih kepada manusiawi, bukan matlamat untuk bermusuh atau merebut kuasa."

Dalam pada itu, beliau berkata selepas kemenangan Awan Nano, beliau mula melihat arah yang dicari-cari selama ini dan akan lebih aktif menulis lirik.

"Saya akan lebih aktif dalam bidang seni. Bukan sebab kecewa dalam politik, tapi saya rasa waktu yang ditunggu-tunggu sudah tiba," katanya lagi.

Dengan kemenangan Awan Nano ciptaan komposer M.Nasir dan nyanyian Hafiz telah berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000.

Hafiz turut memenangi vokal terbaik dengan menerima trofi dan wang tunai RM10,000.

Awan Nano telah berjaya mengalahkan 11 buah lagu lain antaranya Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Kalau Berpacaran (Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan, Altimet), Karma (Faizal Tahir), Penakut (Yuna) dan Sedetik Lebih (Jaclyn Victor). - mStar

Suami Shahrizat paksa saya 'rasuah' polis - Datuk Shamsubahrin

Posted: 30 Jan 2012 05:34 AM PST

Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail, yang dituduh menipu pengerusi eksekutif Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) Datuk Mohamed Salleh Ismail, mendakwa bahawa suami ketua wanita Umno itu memaksa beliau merasuah polis bagi menutup skandal syarikat berkenaan.

Beliau membuat dakwaan itu pada polis laporan yang dibuat di Hospital Besar Klang Jumaat lalu. Perkara itu didedahkan oleh PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Dalam laporan polis itu, Shamsubahrin didakwa berkata beliau menerima mesej dan tekanan dari Salleh yang memintanya supaya kes NFC dengan pihak polis ditutup.

"Salleh, melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS), mendesak saya untuk memberi rasuah kepada polis untuk menutup kes itu."

Dalam laporan itu, Shamsubahrin mendakwa beliau telah dilantik oleh NFC sebagai penasihat korporat dan perunding untuk "membersihkan" masalah dalaman NFC.

Beliau menambah bahawa telah bertemu dengan pihak polis untuk membantu siasatan mereka tetapi memaklumkan kepada Salleh bahawa beliau tidak akan memberi rasuah.

NFC dituduh menyalahgunakan pinjaman mudah RM250 juta oleh kerajaan dengan berbelanja ke atas aset mewah dan bukannya terhadap projek pusat ternakan lembu di Gemas, yang ditugaskan.

Ditanya jika PKR mempunyai bukti dalam bentuk SMS itu, naib presiden PKR N Surendran berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyimpan telefon yang mengandungi mesej berkenaan.

"Beberapa telefon telah dirampas dari Shamsubahrin dan semua telefon kemudiannya dikembalikan kecuali satu. Yang disimpan oleh SPRM adalah telefon yang mengandungi bukti penting ini.

"Ia di tangan pihak berkuasa tetapi kita mempunyai rekod, kita mempunyai salinannya," katanya.- Malaysiakini

Mahal sungguh nak 'maintain' Umno ni ...

Posted: 30 Jan 2012 05:06 AM PST

30 JAN — Masalah yang dihadapi oleh parti pemerintah sekarang ini ialah perpecahan dalaman yang berlaku dari atas sehingga ke bawah. Perpecahan yang sangat serius ini bukan kepalang besarnya. Beberapa minggu lalu di Shah Alam Dr Mahathir Mohamad telah menyeru ahli-ahli Umno supaya menyokong calon Umno walaupun yang diturunkan oleh parti itu bukannya seorang ahli Umno.

Seruan Dr Mahathir ini sangat besar maknanya kepada seseorang yang berpolitik. Ia bermakna Umno memang sedang berada di dalam keadaan tenat sehinggakan ada tempat-tempat dan kawasan yang tidak ada seorang pun ahli Umno yang layak untuk diturunkan sebagai calon yang mendapat sokongan yang menyeluruh.

Dr Mahathir pula nampaknya sudah berubah lagi. Kali ini beliau menyokong parti, tidak seperti dalam PRU yang lalu di mana beliau meyokong calon dan tidak parti. Tetapi itu adalah tindakan yang tidak mengejutkan ramai sebab Dr Mahathir adalah seorang yang sentiasa "flip-flop" dalam perjuangan beliau.

Jadi benarlah pandangan saya selama ini yang Umno memang tidak ada kepimpinan di kalangan ahli-ahlinya. Jika seorang pemimpin yang digelar sebagai negarawan oleh penyokong-penyokong setianya itu, boleh menzahirkan kata-kata seruan seperti itu maka sah Umno memang sedang menghadapi masalah yang bertindih-tindih yang tidak dapat diselesaikan walaupun PRU akan diadakan tidak lama lagi.

Malah semalam saya terdengar Muhyiddin Yassin sedang berbincang dengan jawatankuasa disiplin parti untuk mencari jalan bagaimana hendak mengelakan ahli-ahli parti tidak melakukan sabotaj terhadap calon Umno dalam pilihanraya yang akan datang ini. PRU kali ini amat sengit yang bakal dihadapi oleh Umno dalam sejarahnya kewujudannya.

Dalam satu dua isu ini, kita boleh memahami dengan jelas yang Umno sebenarnya tidak ada masa untuk menyaingi PR kerana masalah dalam parti pemerintah itu masih terlalu besar untuk diatasi dengan sebaik-baiknya. Bagi saya, bagi Umno untuk menyelesaikan isu dalamannya parti itu memang sewajarnya berehat dari memerintah negara. Apabila sudah dapat cari formula yang baik barulah kembali menawarkan diri dalam pilihanraya yang berikutnya nanti.

Keadaan akan sampai keperingkat lebih teruk lagi apabila sampai waktu nama calon-calon diumumkan oleh pucuk pimpinan. Apabila diumumkan sahaja nama-nama calon itu nanti maka akan bermulalah perpecahan dan sabotaj dikalangan ahli-ahli dan pemimpin yang tidak berpuas hati terhadap calon yang diturunkan. Tidak ada calon yang tidak akan disabotaj oleh pihak yang tidak berpuas hati itu.

Masalah isu ditokok tambah pula dengan kekosongan pimpinan yang akan menjadi pemimpin yang akan menjadi Menteri Besar di sebabkan kekurangan peribadi yang layak untuk menerajui kerajaan-kerajaan negeri bagi Barisan Nasional. Di Selangor contohnya tidak ada nama yang sesuai untuk dijadikan Menteri Besar di negeri itu dan jika ada pun mungkin seorang yang akan diturunkan secara "parachute" dari atas dan mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir supaya ahli-ahli Umno menerima sahaja sesiapa yang diturunkan oleh parti walaupun mereka itu bukan ahli Umno.

Sebenarnya perkara ini telah berlaku dalam PRU ke 12 yang lalu dimana lebih dari 1.3 juta ahli-ahli Umno telah bertindak menyokong pembangkang. Tetapi dengan keadaan lebih buruk di zaman pentadbiran Najib ini prestasi Umno dijangka berada di dalam keadaan yang lebih tenat. Keadaan ini ditambah pula dengan perasaan kecil hati ahli-ahli dan pemimpin Umno di bahagian kerana menurunkan calon-calon yang datang dari entah mana.

Maka Umno akan menghadapi masalah yang lebih besar kali ini… masalah yang tidak pernah dialami oleh Umno sejak penubuhannya pada Februari 1988 yang lalu. Berbagai-bagai kaedah dilakukan oleh Umno khususnya oleh Najib Razak, Presidennya, akhir-akhir ini.

Tindakan Najib membeli sokongan rakyat melalui pengagihan wang RM500 itu sebenarnya tidak membantu Umno. Malahan ia memberi kesan negatif dikebanyakkan tempat. Saya merasakan sangat sedih apabila kita melihat ribuan yang beratur panjang itu adalah dari kaum Melayu dan hanya segelintir bangsa bukan Melayu yang beratur. Ia menunjukkan indikasi yang "desperate" adalah orang Melayu.

Sekaligus menunjukkan kegagalan Umno untuk menjayakan kehidupan orang Melayu. Laungan puluhan tahun untuk meningkatkan kehidupan orang Melayu hanyalah lagu yang sudah begitu lama yang begitu jauh dari mendekati kejayaan. Inilah caranya Umno mendapatkan sokongan terus-terusan dengan membiarkan Melayu yang ramai ini berada di dalam pengharapan sentiasa dan waktu inilah Umno cuba untuk mendapatkan semula kuasa dengan membayar ratus-ratusan ringgit sahaja.

Itulah sebabnya ramai orang-orang Melayu sedang meninggalkan Umno. Mereka meninggalkan parti Umno untuk menyeberang kepada parti-parti alternatif atau mendiamkan diri sambil menunggu untuk melakukan penentuan dalam PRU yang akan datang. Najib tidak mampu melakukan transformasi seperti yang digembar gemburkan.

Tindakan membayar RM500 ini sudah dianggap sebagai satu tindakan "desperate" Najib untuk memenangi PRU yang akan datang. Benarlah anggapan setengah-setengah pihak yang Najib mempunyai anggapan yang semuanya boleh diselesaikan cara membayar segala-galanya dengan wang ringgit. Najib mempercayai yang undi ini boleh dibeli seperti beliau membeli barang-barang "shopping" beliau di seluruh dunia itu.

Najib lupa yang manusia mempunyai perasaan dan perasaan ini tidak boleh dijual beli terutamanya semasa rakyat sedang menunggu perubahan dalam landskap politik negara. Najib sudah jauh meninggalkan penyokong yang mempunyai "convictions" terhadap perjuangan. Najib merasakan yang rakyat hanya memperjuangkan untuk mendapatkan RM500 sahaja.

Dengan cara membayar duit ini ia akan melumpuhkan nilai dan kekuatan orang Melayu dan tidak kita ketahui sampai bila beli membeli ini akan dilakukan. Inilah dia cara orang yang datang dari keluarga "pembeli belah" ini. Selain dari membeli belah besar besaran dengan jenama yang hebat-hebat dan berharga tinggi, dalam pilihanraya juga orang seperti ini beranggapan yang cara untuk mengekalkan kuasa itu adalah melalui "membeli belah".

Pentadbiran kerajaan pimpinan berbelanja seperti duit boleh dipetik dari pokok-pokok rimbun. Kerajaan Perak sahaja sedang berbelanja duit rakyat berjuta ringgit untuk menyambut kedatangan "Najib the shopper" ini. Zambry Kadir dilaporkan telah berbelanja jutaan ringgit wang rakyat untuk menyambut ketibaan Perdana Menteri dan Muhyiddin Yassin dalam bulan Februari ini.

Nampaknya Umno memang seperti orang tua yang sedang sakit tenat. Terlalu banyak wang diperlukan untuk membiayai perubatan. Penyakit yang dialami oleh Umno ini membuatkan rakyat berbelanja begitu banyak wang untuk memulihkan penyakit "terminal" yang sedang dihadapi Umno kini.Umno sedang mengalami "brain death" dan sedang disokong oleh penyokong hayat (life support) iaitu wang semata-mata.

Sampai bila kita hendak bergantung kepada "life support" ini? Saya ada jawapan yang "conclusive" kepada jawapan ini; iaitu rakyat akan menyabutkan "life support" ini tidak lama lagi.

Rakyat sudah tidak berjaya hendak "maintain" Umno yang sudah menjadi seperti kereta buruk ini. Setiap hari terpaksa menambah minyak enjen bertin-tin kerana terlalu banyak memakan minyak enjin. tayarnya dah makan sebelah kerana selalu lari kekiri dan kekanan. Lampunya selalu padam dan breknya selalu rosak. Wipernya pula kadang-kadang berfungsi, kadang-kadang tidak berfungsi. Asap hitamnya tebal dan merosakkan persekitaran kita.

Rakyat hantar sahaja Umno ke bengkel dan lakukan "overhaul" kali ini. Sementara Umno berada dalam bengkel itu, kita pakai kereta kedua kita yang masih baik dan berfungsi dengan baik... mudah nak menghala kesana dan kemari.

Perjalanan kita pun tidak tergendala di lebuhraya yang jauh itu. — aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan: