Selasa, 24 Januari 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Kolumnis pertahan dakwaan Rosmah belanja RM325,000

Posted: 24 Jan 2012 02:56 AM PST

S Pathmawathy

Kolumnis Sydney Morning Herald Andrew Hornery mempertahankan dakwaannya bahawa isteri perdana menteri Rosmah Mansor membelanjakan lebih RM300,000 semasa lawatannya ke Australia.

"FLOM (wanita pertama Malaysia) dakwa saya membesar-besarkan secara liar lawatan sambil membeli-belahnya di Sydney?

"Saya tetap pertahankan setiap kata-kata saya. Sumber saya amat kukuh," kata Hornery dalam Twitternya kira-kira sejam lalu.

Isteri Datuk Seri Najib Razak semalam menyangkal dakwaan Hornery yang dibuat dalam seksyen 'Private Sydney' harian itu dengan menyifatkannya sebagai "karut, dibesar-besarkan secara liar dan tidak benar".

Selain perbelanjaan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik, Hornery juga mendakwa Rosmah dan suami menginap di emper (penthouse) bernilai A$20,000 (RM65,100) semalam, meminta "parkir valet untuk limousinnya" dan menerbangkan pereka fesyen ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya.

Cerita Disebalik Penglibatan Zizan Bersama Ustaz Azhar Idrus

Posted: 23 Jan 2012 10:45 PM PST

http://www.harian-metro-online.com/wp-content/uploads/2012/01/zizan-ustaz.jpg

Zizan Raja Lawak & Ustaz Azhar Idrus

Semua maklum kini Zizan amat selesa bersama Ustaz Azhar Idrus. Semuanya gara-gara Hantu Bonceng. Ada hikmah khilaf Zizan ketika itu. Usrah yang lepas, Abang Bob Lokman ada memberitahu, Zizan juga sering menghubunginya. Zizan bukan seperti Zizan yang lalu. Zizan maklumkan kepada Bob Lokman, dia mahu berubah, juga meminta nasihat adakah perlu meneruskan kariernya dalam bidang seni atau berhenti terus. Lalu, Bob Lokman meminta beliau meneruskan karier, dengan syarat pilih yang baik, dan menolak yang mana tidak baik.

Seorang sahabat usrah saya yang lain berkongsi di sebalik tabir Program Soal Jawab UAI feat Zizan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam beberapa minggu lepas. Rupa-rupanya UAI sendiri yang menghubungi Zizan untuk bersamanya pada program itu. Zizan terus bersetuju walaupun beliau ditawarkan menjadi Emcee untuk Sambutan Tahun Baru 2012 di I City Shah Alam pada malam yang sama. Mereka tawarkan Zizan RM18,000.

Zizan menolak tawaran itu kerana mahu bersama UAI di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Apa yang membuatkan saya terharu, Zizan menolak sebarang bayaran yang akan diberikan kepadanya oleh pihak penganjur (Kerajaan Negeri Selangor). Namun, atas dasar menghormati Zizan salah satu faktor berjayanya program pada malam itu, mahu atau tidak, Zizan menerima RM1000.

Bayangkan, ditolak tawaran RM18,000 kerana mahu bersama Ustaz Azhar Idrus. Zizan tidak rugi, bahkan dia untung kerana bersama UAI dalam majlis ilmu yang dinaungi para malaikat. Semoga Zizan terus istiqomah. Beringat-ingat dalam berlawak. Selitkan unsur-unsur dakwah. Allah pasti akan bantu. Insyaallah.

Dipetik dari status founder wootmedia.my

Kerajaan Negeri Selangor Meraikan Tahun Baharu Cina

Posted: 23 Jan 2012 07:14 PM PST

http://www.selangor.gov.my/imageupload/promotbc2012bergambar-20Jan2012-165954.jpg


SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Y.A.B. Tan Sri Dato' Seri Khalid bin Ibrahim bersama-sama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua masyarakat Cina di Malaysia, khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan.

"Kerajaan Negeri Selangor dengan gembira menyambut ketibaan tahun naga, yang dipercayai oleh kaum Cina sebagai tahun yang istimewa dan bertuah," kata Menteri Besar.

"Saya berharap semua rakyat Selangor, tidak kira kaum, bangsa ataupun agama akan mengambil kesempatan musim perayaan ini untuk bersama-sama keluarga dan rakan-rakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain."

Dato' Menteri Besar dan ahli MMKN juga berharap hubungan antara kaum akan lebih baik melalui interaksi dan usaha memahami antara satu sama lain. Selain itu, mereka mengingatkan kepentingan aspek keselamatan sepanjang musim perayaan kali ini.

Kerajaan Negeri Selangor juga ingin menjemput semua pihak untuk bersama-sama menyambut Tahun Baru di Jalan Maxwell, Rawang pada 6hb Februari 2012, bermula pada pukul 2 petang sampai 11.30 malam.

Antara program-program yang dianjurkan pada hari tersebut termasuk persembahan orkestra Cina, tarian singa, akrobat dan banyak lagi. Menteri Besar dan barisan MMKN juga akan turut bersama rakyat untuk memeriahkan sambutan.

http://www.selangor.gov.my/imageupload/promotbc2012peta-20Jan2012-171119.jpg

Kajian: Profesional Melayu mahu Najib, Anwar sertai debat

Posted: 23 Jan 2012 03:57 PM PST

G MANIMARAN

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar mengadakan satu debat terbuka berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara, demikian menurut firma kajian pendapat awam, Merdeka Center.

Pengarah Eksekutifnya, Ibrahim Suffian berkata, maklumat yang dikumpulkan hasil perbincangan kumpulan berfokus melibatkan profesional-profesional Melayu menunjukkan, mereka berminat untuk melihat satu debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

"Maklumat ini, kami peroleh hasil perbincangan dengan kumpulan profesional Melayu baru-baru ini, mereka mahu kedua-dua Anwar dan Najib mengadakan debat, membincangkan isu-isu yang besar, isu rakyat dan isu negara... bukannya isu-isu peribadi tetapi lebih kepada kepentingan rakyat.

"Saya nampak seolah-olah ada satu perubahan dalam kehendak dan keinginan di kalangan rakyat, mereka mahu satu budaya baru, diadakan debat (seperti di negara-negara lain), daripada kempen memburuk-burukkan satu sama lain," kata Ibrahim kepada Sinar Harian Online.

Kedua-dua Anwar dan Najib sudah memasuki gelanggang politik negara lebih empat dekad lalu.

Najib menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno pada awal 2009 dan akan mengetuai Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum pertamanya dalam waktu terdekat. Anwar, bekas timbalan perdana menteri, mengetuai Pakatan Rakyat (PR) awal 2008 dan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen pada Ogos tahun yang sama.

Permintaan dan undangan agar kedua-dua pemimpin itu berdebat bukan perkara baru. Ia pernah menjadi perhatian tahun lalu.

Dan, pada pertengahan bulan ini, Anwar yang juga Ketua Umum PR mengulangi cabarannya kepada Najib, yang juga Pengerusi BN untuk debat secara terbuka mengenai dasar-dasar kerajaan pimpinannya.

Anwar berkata, beliau memandang serius perkara itu kerana ia akan membolehkan rakyat membuat penilaian terhadap pertembungan dua sistem yang wujud di negara ini antara Umno dan BN serta PR.

Pelawaan itu dibuat kira-kira seminggu selepas Anwar dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan meliwat.

"Jika benar Najib ikhlas dan jujur ketika memperkatakan sebelum ini bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi terbaik di dunia, jadi, kita nak tahu huraiannya," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pemimpin pada Konvensyen PR pada 14 Januari lalu.

Anwar berkata, PR juga ingin mendengar penjelasan atau jaminan Najib mengenai amalan demokrasi itu dengan memastikan pilihan raya umum akan datang bersih, dan adil tanpa sebarang penipuan sama sekali.

Mengulas lanjut isu debat ini, Ibrahim juga berkata, keinginan itu dilahirkan selepas wujud pandangan dan hebahan mengenai perkara itu baru-baru ini, lebih-lebih lagi ketika negara bersiap sedia untuk berhadapan dengan pilihan raya umum.

"Saya pun berpandangan bahawa kita perlu bergerak ke arah itu. Saya berharap akan ada pihak yang akan menganjurkan debat-debat melibatkan pemimpin negara supaya rakyat dapat menilai kemampuan dan kebolehan pemimpin menawarkan dasar dan pendekatan pengurusan dan pentadbiran terbaik kepada negara," katanya lagi.

Tiada ulasan: