Jumaat, 27 Januari 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


"Datang Mahkamah Tutup Aurat, Pakai Kopiah, Tapi Tak Guna Jika Tak Insaf" - Hakim

Posted: 27 Jan 2012 01:05 AM PST

Juruterbang didenda khalwat isteri orang

Subang - Seorang juruterbang dan seorang suri rumah dihukum denda masing-masing RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam selepas mereka mengaku bersalah berkhalwat di sebuah rumah di Tropicana Golf Resort di sini, Mei lalu.

Juruterbang, Mohd Zafrie Mohd Jasbir Khan, 30, dan pasangannya, Nur Sarah Euzen Petrus, seorang suri rumah yang berstatus isteri orang semasa kejadian turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama dua bulan, sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohamad turut menasihatkan kedua-dua pasangan itu supaya insaf dan tidak mengulangi kesilapan sama.

"Insaf bukan terletak kepada pakaian sahaja. Datang mahkamah pakai tutup aurat, pakai kopiah tapi kalau dalam hati tak insaf tak guna juga.

"Tertuduh kedua (Nur Sarah), kamu masih ada suami yang sepatutnya kamu taati. Tetapi kamu telah menderhaka kepada suami. Sepatutnya kamu wajar dipenjarakan, tetapi atas ehsan mahkamah, kamu dijatuhi hukuman denda,"
katanya.

Pasangan itu didakwa berkhalwat di sebuah rumah di Blok K, Kondo Riana Green, Jalan PJU 3/1C, Tropicana Golf Resort di sini, kira-kira jam 4 pagi, 16 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dikendalikan Pendakwa Syarie, Shafezan Rosli mengikut Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Shafezan ketika mengemukakan fakta kes berkata, pasangan itu ditangkap penguat kuasa yang membuat pemeriksaan ke rumah itu selepas mendapat maklumat awam.

Penguat kuasa mengambil masa lebih 40 minit untuk mendapatkan kerjasama penghuni sehingga memaksa mereka memecahkan pintu hadapan.

Pasangan itu ditemui dalam rumah berkenaan yang tidak memasang lampu.

UMNO BN & SPR Perlu Belajar Dari Peristiwa Mesir

Posted: 27 Jan 2012 12:06 AM PST

BN jangan lagi tipu rakyat, ambil pengajaran Mesir

KUALA LUMPUR, 26 Jan: PAS menerusi Lajnah Antarabangsanya mendesak Kerajaan BN agar jangan lagi terus menipu rakyat menerusi pelbagai janji manis untuk melakukan perubahan terhadap perjalanan pilihanraya di negara ini.

Sebaliknya, kesemua janji tersebut mestilah dilaksanakan oleh kerajaan bagi membolehkan pilihanraya di negara ini diadakan dengan bersih, adil dan telus seperti yang dituntut oleh rakyat.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, perkembangan terkini yang berlaku di seluruh dunia terutama di Timur Tengah amat perlu dijadikan pengajaran oleh kerajaan bagi menjaga imej negara.

Menurutnya, sekiranya Kerajaan BN tidak juga mengambil iktibar terhadap kebangkitan rakyat terutama di Timur Tengah, kejadian yang sama juga pasti akan turut berlaku di negara ini yang akan memaksa rakyat bangkit ke jalan-jalan raya.

Katanya, fenomena di seluruh dunia terutama di Timur Tengah kini ternyata telah berubah yang jelas menunjukkan rakyat sudah tidak boleh disekat lagi untuk menikmati perubahan dalam pemerintahan ke arah yang lebih baik.

"Di Mesir setelah rakyat berpeluang membuat pemilihan sendiri, setelah kerajaan kuku besi regim Mubarak digulingkan oleh rakyatnya sendiri, rakyat negara itu ternyata telah memilih parti Islam untuk memerintah negara itu.

"Ini sememangnya satu perkembangan menarik yang menunjukkan rakyat di seluruh dunia kini sudah tidak lagi mampu disekat oleh kerajaan yang memerintah bagi membolehkan mereka menikmati perubahan ke arah yang lebih baik," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Keputusan pilihanraya Parlimen Mesir pada Sabtu, 21 Januari lalu menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.

Keputusan akhir pemilihan Parlimen pertama Mesir setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak turut menepati ramalan beberapa pihak apabila parti politik milik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi.

Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir pada 21 Januari lalu mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat (Parlimen).

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.

Semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, Ikhwanul Muslimin merupakan organisasi yang dilarang bergiat dalam politik dan dengan keputusan tersebut, parti-parti Islam kini telah berjaya menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di Mesir.

Dengan keputusan itu juga, FJP kini merupakan parti utama yang menerajui kerajaan Mesir, sejajar dengan keinginan rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih baik di bawah pemerintahan kerajaan baru di negara itu.

Menurut Kamarudin, Lajnah Antarabangsa PAS Pusat sememangnya mengikuti dengan baik perkembangan yang berlaku di seluruh dunia termasuk di Timur Tengah.

Katanya, sebelum parti Ikhwanul Muslimin di Mesir berjaya menjadi parti yang utama bagi kerajaan baru yang memerintah negara itu, perkembangan yang memihak kepada rakyat juga telah berlaku terlebih dahulu di Tunisia.

"Kami sememangnya berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakyat Mesir dan Tunisia itu dan perkembangan yang sama pasti akan turut berlaku di seluruh dunia.

"Di negara kita juga, sekiranya pilihanraya dilaksanakan dengan bersih, adil dan telus, Kerajaan BN dah lama tumbang, tetapi kini sekiranya kerajaan tidak juga berubah, pengalaman rakyat Mesir dan Tunisia itu pasti akan dijadikan pengajaran oleh rakyat negara ini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat menegaskan, malah rakyat di negara kita kini telah mulai bangkit sehingga menyebabkan mereka menjadi begitu waspada dengan segala janji manis yang ditaburkan oleh pihak Kerajaan BN agar tidak tertipu lagi seperti sebelum ini.

"Rakyat berharap agar kerajaan tidak lagi terus menekan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan SPR melaksanakan tanggungjawabnya dengan bebas dan baik, termasuk dengan melaksanakan 8 tuntutan Bersih dan seperti yang turut dibangkitkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini," tegasnya.

Lapan tuntutan Bersih yang dimaksudkan oleh beliau itu termasuklah bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. -HD

[Bergambar] 25 Lima Kedai Berhampiran Penang Sentral Terbakar

Posted: 26 Jan 2012 10:30 PM PST

Butterworth - Sebanyak 25 buah kedai berhampiran terminal bas Penang Sentral di sini hangus dalam satu kebakaran lewat malam tadi.

Gambar: ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran membabitkan 25 kedai dan rumah di jeti Prai, Butterworth, malam tadi. Dalam kejadian jam 11.39 malam itu, lima jentera dari tiga balai bomba - Prai, Butterworth dan Perda - mengambil masa kira-kira 25 minit untuk mengawal kebakaran. - Foto Rosli Ahmad

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 11.39 malam.

"Ketika pihak bomba sampai di tempat kejadian, api sedang marak," katanya kepada pemberita di tempat kejadian awal pagi ini.

Seramai 74 anggota bomba dari Perai, Perda dan Butterworth menggunakan lima jentera bomba terlibat dalam operasi memadam kebakaran berkenaan.

Mereka dibantu 157 anggota bomba sukarela yang menggunakan 19 jentera bomba.

Azmi berkata pihaknya mengambil masa 25 minit untuk memadamkan kebakaran itu.

"Api marak dengan cepat kerana struktur kedai-kedai berkenaan dibina daripada papan. Tiada sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Azmi berkata punca kebakaran dan kerugian sedang disiasat.

Antara kedai yang terlibat dalam kejadian itu ialah kedai menjual jeruk, kaunter tiket bas ekspres, kedai makanan dan kedai runcit. - Bernama

gambar-gambar ehsan NST & thestar







Waspada: Paku Di Tepi Jalan, Kerja Siapa?

Posted: 26 Jan 2012 07:52 PM PST

Jakarta, Indonesia - Taktik kotor sebahagian mekanik motosikal dan penukar tayar di sini yang menabur paku di atas jalan raya untuk mencari pelanggan menyebabkan orang ramai hilang sabar.

"Kalau si penjahat ini dapat saya tangkap, saya akan pastikan seluruh tubuhnya ditusuk paku," kata seorang pemilik teksi motosikal, Talib.

"Biar mereka telan paku-paku itu," kata seorang rakannya yang berusia 50 tahun, Sulaiman Daud.

Seorang jurucakap polis di sini, Rikwanto memberitahu, perbuatan sabotaj itu sudah berlaku selama bertahun-tahun.

"Mereka dicaj dua kali ganda lebih tinggi daripada harga biasa," tambah Rikwanto.

Menurutnya lagi, mekanik dan penukar tayar terbabit memperoleh pendapatan harian sekitar AS$22 (RM66.90), amat lumayan di Indonesia kerana hampir separuh daripada 240 juta rakyatnya bergaji kurang AS$2 (RM6) sehari.

Seorang pemilik bengkel, Darmito, 57, memulakan perniagaan menukar tayar di tepi sebatang jalan raya di sini dua bulan lalu untuk memenuhi permintaan tinggi daripada pelanggan.

Namun, katanya, dia tidak tahu tentang sindiket atau pihak yang melakukan kegiatan tersebut.

Pada bulan lalu, polis menangkap lapan orang yang disyaki melakukan jenayah berkenaan. - AFP

Paku Di Lebihraya

Assalamuailaikum wbt.

Buat sahabat2 pengguna jalanraya Plus Highway terutama sekali bagi pengguna motosikal. Baru sekejap tadi jam 2.00 ptg (21 Jul 11) saya dari Kajang melalui highway plus menuju ker ofis saya di KL. Memang kebiasaan saya ulang alik ke tempat kerja dengan mengguna motosikal.

Hendak di jadikan cerita, selepas melalui lorong motosikal di Plaza Tol sungai Besi. Selepas malalui Esso Sg Besi saya memperlahankan motosikal kerana hendak mebetulkan baju hujan. Betul2 berdekatan dengan deretan kedai(terdapat Wisma PURCON) saya melihat banyak paku2 bertaburan di tepi jalanraya.

Paku2 ini di tabur sepanjang jalan sehingga ke sempadan Plus. Saya sempat kutip separuh bekas maggi cup, tapi masih banyak lagi bertaburan di tepi jalan. Memikirkan keselamatan pengguna yangg lain saya telefon PLUS supaya membersihkan paku di kawasan tadbir PLUS. Menuju ke ofis saya tengok dua buah motor berhenti di tepi jalan akibat pancit. So di harap pengguna2 yg lain berhati2 melalui kawasan tersebut.

Wassalam.

Yang menjadi persoalannya siapa yang bertanggungjawab menabur paku tersebut?

Dari email blalang_group




Ulasan GB

Terdapat sindiket menabur paku di lorong motosikal yang telah menipu banyak penunggang motosikal.

Tidak lama selepas tayar motosikal mangsa pancit, secara tiba-tiba biasanya muncul beberapa orang "baik hati" yang kononnya menawarkan bantuan menukar tiub tayar, tetapi dengan harga yang terlalu mahal dan tidak masuk akal (kadang-kadang sehingga lebih RM70.

Waspada.

Isu MB Kedah & AUKU: GB Sokong Tulisan Sayuti

Posted: 26 Jan 2012 05:30 PM PST

Serang Azizan Razak tidak bijak

Saya tidak mengikuti isu membabitkan MB Kedah Azizan Razak yang dikatakan menyokong Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sudah kesekian lama diperjuang untuk dihapuskan. Saya tidak tahu apakah 'konsekuens' isu itu di sebaliknya. Sebesar manakah atau sejauh manakah Azizan telah menyokong akta yang kini dibenci kerana dikatakan telah menyekang mahasiswa itu.

Khabarnya sampai ada protes besar-besaran dalam media massa, menerusi blog, muka buku dan sebagainya.

Ada sebab kenapa saya tidak mengikuti atau mempedulikan isu berkenaan. Kerana isu itu berlegar dalam lingkungan sesama sendiri, maka tidak wajar saya kira ia diperbesarkan. Isu itu seharusnya diselesaikan secara baik dengan diam tanpa gemercingan ke luar.

Dalam saat pilihan raya menjelma sepatutnya semua pihak mengelakkan dari bertembung sesama sendiri dan bersikap mendiamkan apa-apa yang masing-masing tidak berkenaan di antara satu sama lain. Jangan membuka banyak lubang intip untuk mengintip musuh nanti musuh akan mencuri peluang menerobos melalui lubang itu. Pembangkitan isu berkenaan boleh diibaratkan sebagai membuka lubang untuk musuh.

Mulut sesama sendiri perlu diam saat hendak melakukan serangan ke atas musuh. Kalau saat hendak ambush musuh tetapi sesama sendiri masih bercakap dan bercakaran bukan saja musuh terlepas tetapi diri sendiri akan menjadi mangsa kelak.

Apakah motif atau isu sebenarnya di sebalik serangan ke ataz Azizan Razak saya tidak tahu. Hanya hari ini apabila saya membaca laporan di sebuah portal melaporkan Abdul Aziz Bari juga mengecam Azizan Razak sampai minta Azizan Razak menyertai BN kalau hendak sokong AUKU baru saya tahu mengenai isu berkenaan. Kenyataan atau protes Aziz Bari itu saya kira agak keras dan menjadikan saya bingkas untuk mengulas.

Serangan kepada MB Kedah itu puncanya kerana Azizan menyokong tindakan Kolej Insiniah Kedah (KUIN) menggantung lima orang pelajarnya yang terlibat dalam tunjuk perasaan. Itu sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Jadi mereka yang mahukan AUKU dihapuskan marah kepada sokongan Azizan itu, menterjemahkan Azizan tidak bersama mereka.

Sokongan itu diheret kepada soal ikrar dalam Buku Jingga. Kononnya dengan pendirian Azizan itu beliau telah bersikap menyanggah kandungan Buku Jingga. Tidak dinafikan dalam Buku Jingga ada dinyatakan untuk menghapuskan AUKU. Pernyataan dan janji di dalam Buku Jingga itu sudah menjadi manifesto Pakatan Rakyat dan sudah diterima sebahagian besar rakyat.

Memanglah dari segi prinsipnya tindakan Azizan itu bertentangan dengan aspirasi Buku Jingga. Tetapi adalah melampau kalau beliau diserang dengan berbagai cemuhan, apa lagi serangan itu sama jenis serangan ke atas Najib Razak, Sharizat Abdul Jalil atau Rosmah Mansor. Bagi saya kenyataan Abdul Aziz Bari seperti dipetik itu saya lihat tidak cermat dan agar boros. Kalaupun beliau anti kepada AUKU tetapi Aziz tidak sepatutnya begitu lancang menyerang Azizan.

Beliau kena ingat dan faham sebusuk dan seburuk mana Azizan dia masih bersama Pakatan Rakyat dan MB kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah. Saya kira mereka yang menyerang Azizan Razak sudah melupai adat dan terbawa-bawa dengan emosi kerana terlampau geramkan UBN. Tidak boleh juga bila kita tidak senang dengan stail dan sikap seseorang kita terus menyerang mereka bila timbul saja isu yang dibangkitkan sedangkan ia boleh dibahas atau diselesaikan secara baik.

Kalau semua faham tindakan (kenyataan sokongan) Azizan itu sebenarnya ia tidak ke mana dan mudah gelabah. Ia tidak sedikitpun pun menghalangkan cita-cita untuk menghapuskan AUKU. KUIN adalah sebahagian daripada ratusan Pusat Pengajian Tinggi (IPT) yang masih mengguna pakai akta berkenaan atau tertakluk dengan akta najis itu. Bukan KUIN sahaja yang mempraktikannya, tetapi pusat-pusat pengajian lain juga berbuat demikian.

Saya percaya Azizan juga tidak bersetuju dengan akta yang menyekat kebebasan mahasiswa bersuara itu. Apa lagi Azizan adalah pemimpin Pakatan Rakyat (oposisi) yang sangat memerlukan kepada kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa untuk mendokong Pakatan Rakyat. Kenapa beliau menyokong tindakan itu, perlu di lihat dari sudut lain yang lebih profesional dan akademik serta politik, bukan secara harfiah. Inilah kita kadang kala kerana terlalu emosi sangat tidak dapat menyelami erti di sebalik makna. Tidak dapat menyelami erti lain daripada apa yang kita difahamkan. Ada kalanya kita terbawa-bawa dengan rasa dendam kepada seseorang itu ke mana saja.

Apa yang perlu difahamkan, KUIN tidak boleh bertindak di luar mana-mana akta yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Ia terikat dengan syarat-syarat dan undang-undang tubuhnya. Walaupun KUIN itu dibawah kerajaan negeri yang prinsip politiknya tidak suka kepada akta itu, ia tidak boleh tidak dari memperakui akta berkenaan dan tidak boleh mengabaikannya. Mana-mana ada mahasiswa yang bersalah dan perlu dihukum maka akta itu masih relevan dan digunakan.

Kalau KUIN tidak menggunapakai akta itu pasti ia bertentangan dengan akta penubuhannya yang mana kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi yang menghendaki menggunapakai akta berkenaan. Semua kena akui bahawa AUKU walaupun dalam proses penghapusan masa kini, tetapi ia masih belum dihapuskan, jadi ia masih valid untuk KUIN juga.

Contohnya begini, kita tidak suka dengan tol yang dikenakan oleh pihak menguruskan lebuh raya sekarang ini kerana ia membebankan. Malahan kita berjanji untuk menghapuskannya kalau kita memerintah. Tetapi selagi kita belum memerintah, lebuh raya itu tetap terikat dengan perjanjian kerajaan, kita wajib membayarnya. Tidak membayar bermakna kita melakukan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan.

Jadi bila Azizan Razak menyokong tindakan KUIN itu tidak bermakna beliau bersetuju dengan akta itu. Begitu juga bila kita membayar tol bukan bermakna kita bersetuju dan redha dengan pengenaan tol itu. Beliau menyokong sebagai menghormati keputusan institusi berkenaan yang bertindak menggunakan undang-undang yang masih berlaku (valid). Manakala kita membayar tol dalam paksa itu juga kerana menghormati syarat-syarat yang dikenakan kepada kita. Kedudukannya sama bukan?

Kaedah atau hal-hal seperti ini perlu difahami secara mendalam. Baik mahasiswa, pemimpin pelajar dan ahli politik perlu fahami mengenai perkara ini dan kedudukan sebenarnya. Apa guna kita menyerang sesama sendiri, kalau tindakan itu akan dilihat sebagai kita berpecah belah sesama kita, tiada ada guna langsung.

Kepada saya, (maaflah) mereka yang mempertikaikan tindakan Azizan, membesar-besarkannya apa lagi menyerang termasuk sampai mengungkit perangai dan peribadinya tidak bijak dan bukan orang yang memakai minda politik sepanjang masa. Mereka tidak ada sikap tasamuh di dalam politik. Mereka hanya berfikir dengan apa yang ada di hadapan mereka saja dan tidak melihat kebenaran-kebenaran lain yang berlegar di sekeliling mereka. Maaflah...

Nasib baik dalam kes ini para pemimpin tertinggi nampaknya faham dan tidak terikut dengan nafsu amarah yang mentah itu.

Perhatikan apakah kenyataan sokongan Azizan kepada tindakan KUIN itu adakah dibangkit oleh pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat? Bukan saja dari Pas, tetapi PKR dan DAP juga. Rasanya tidak ada. Ini menunjukkan para pemimpin lebih bersikap profesional dan tahu waktu mana hendak bergaduh dan waktu mana untuk tutup mulut. Bermain politik ibarat kita berlakibini kita kena tahu waktu mana hendak bergaduh masa mana hendak bertengkar fasal nasi hangit. Kalau waktu senja kita bergaduh ertinya sepanjang malam kita akan kerugian...

Justeru mahasiswa, bloger yang anti AUKU dan sebagainya silalah tututp mulut anda. Hasrat dan matlamat untuk hapuskan AUKU itu tidak akan terhenti dengan hanya Azizan Razak membuat kenyataan menyokong tindakan KUIN itu. Malahan cara anda menyerang Azizan itu ia sedikit sebanyak boleh menghilangkan tumpuan untuk menghapuskan AUKU yang telah dimeteraikan dalam Buku Jingga itu.

Kalau anda bijaksana anda tidak ungkitkan secara terbuka kenyataan Azizan Razak itu dan menerima tindakan KUIN itu. Anda patut berjumpa dan berbincang dengan Azizan. Dalam pertemuan itu anda secara senyap mengemukakan memorandum agar Azizan campur tangan melepaskan pelajar berkenaan. Cara ini paling fatanah dan menggambarkan anda - orang-orang yang mengkritik secara terbuka adalah orang yang bijaksana dan berfikiran tenang. Saya rasa Azizan juga akan bersetuju dengan permintaan anda secara diplomasi itu.

Bijaksanalah di dalam melayani isu-isu politik dan pilihlah subjek-subjek untuk diperkatakan, jangan pakai 'rawal' semua sekali. Politik perlu bijaksana yang bijaksana. Dan Abdul Aziz Bari yang baru melangkah kaki secara rasmi dalam lautan politik itu juga saya rasa sudah mula menunjukkan sikap tidak bijaksananya. Aziz sepatutnya tidak serang Azizan seperti itu yang mana boleh melukai hati penyokong MB Kedah itu, tetapi yang afdal memberi penjelasan kenapa Azizan membuat kenyataan sokongan itu. Mendamaikan dan bukan menghuruharakan lagi minda itulah politik harmonis. -mso

Ulasan GB

Sebenarnya, pihak yang menyerang atau memburuk-burukkan MB Kedah tidak mengikuti hal sebenar apa yang berlaku.

MB Kedah sebelum ini telah membuat kenyataan bahawa "KUIN adalah di bawah tanggungjawab penuh kerajaan negeri Kedah, keputusan penggantungan dibuat pentadbiran KUIN...dan saya tidak campur tangan sangat dalam hal ini."

Yang mengambil tindakan ialah KUIN, tetapi yang diserang kini ialah MB Kedah semata-mata kerana Datuk Seri Azizan adalah pengerusi lembaga pengarah Kuin yang di bawah kerajaan negeri pimpinan PAS.

Malah serangan ke atas Azizan dilihat berlebih-lebihan pula.

Memang kita tak suka AUKU. Tapi apakah kerajaan Kedah pimpinan Azizan yang perlu dipersalahkan apabila KUIN mengambil tindakan ke atas pelajarnya yang membantah pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz?

Isunya lebih kurang sama dengan bantahan pihak tertentu terhadap Surau Salihiah Kanchot di Alor Setar untuk diganti dengan surau baru ditapak baru.

Ia tidak sama samasekali dengan perobohan surau dan masjid yangdilakukan oleh UMNO seperti di Bujal dan di Berembang dimana kedua-duanya dirobohkan di atas perasaan dengki hati dan bukan untuk membina yang baru.

Sama dengan isu Surau Salihiyah, KUIN menggunakan bangunan Tahfiz untuk Sekolah Insan Bestari. Dimana salahnya?

GB tidak menentang gerakan mahasiswa malah menyokongnya. Di dalam tahun-tahun 80an dahulu sewaktu GB pernah memimpin sebuah gerakan pelajar, GB pernah terlibat dengan satu bantahan menentang kenaikan yuran pelajar, tetapi di dalam pada itu GB terpaksa akur bahawa kami ketika itu boleh dikenakan tindakan di bawah AUKU.

Justeru, sewaktu keputusan J/K perwakilan pelajar memutuskan untuk berdemo, GB terpaksa tolak kerana GB katakan kepada mereka bahawa: AUKU ada dan kita perlu berhati-hati dengannya. Tidak boleh emosi berlebihan. Kami bukan dari kalangan pengecut, tetapi kami mengambil sikap "fatanah" (bijaksana) yang diajar nabi dengan menjadikan gerakan pelajar yang dipimpin sebagai gerakan yang matang dan mampu berdiplomasi di saat sekalian para pelajar sedang berang berapi.

Dengan hujah-hujjah yang GB utarakan ketika itu, risiko AUKU mengaum adalah tinggi dan kita tidak mampu berbuat apa-apa sekalipun (jika ada) menteri yang menyokong tuntutan kita masa itu.

(Tak lupa pada masa itu SB-SB sudah mula mengekori kami...)

Maka diputuskan oleh "Majlis Syura" bahawa kami perlu menemui pihak tertinggi IPT berkenaan dan mahasiswa diminta untuk "berdemo dengan solat hajat" agar Allah mempermudahkan segala urusan kita. Dan alhamdulillah, hujjah-hujjah kami diterima oleh pihak IPT dan kenaikan yuran dimansuhkan waktu itu.

Oleh itu, di dalam kes ini, AUKU yang sepatutnya ditentang bukan MB Kedah yang sepatutnya dijadikan sasaran.

Orang Cina Ada Sebab Kukuh, Mengapa Kena Pangkah “Bulan”!

Posted: 26 Jan 2012 03:05 PM PST

Kemaman - Walaupun datang dari keluarga penyokong kuat parti MCA, Vincent Lee menyeru seluruh rakyat khususnya kaum Tionghua Terengganu agar memilih PAS dengan memangkah simbol "bulan" pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.

Beliau berkata ayah dan datuknya adalah ahli seumur hidup MCA, namun menurutnya beliau memilih PAS sebagai wadah perjuangan kerana prinsip-prinsip agama Islam merangkumi semua aspek kehidupan.

Naib Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat itu menjelaskan, DHPP adalah "jambatan" penghubung antara PAS dengan bukan Islam.

"Saya sendiri datangnya dari keluarga parti MCA. Ayah dan Datuk saya ahli seumur hidup MCA. Sejak tahun 2004, saya menyertai Kelab Penyokong PAS dan peranan kita sebagai "jambatan" kepada parti PAS dengan kaum bukan Islam," ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Bersama Kaum Tionghua yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, di Kampung Dusun Nyior, Chukai, pada Rabu 23 November lalu.

Vincent Lee berkata, rakyat dan pengundi hari ini mempunyai sebab kukuh untuk memilih PAS pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, peluang kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) memerintah negara selama lebih 50 tahun boleh dinilai dan rakyat mesti memberi peluang kepada Pakatan Rakyat

"Pesanan saya satu sahaja kepada rakyat pangkah bulan (PAS) dalam pilihan raya akan datang. Kita (rakyat) kena pangkah bulan dan ada sebab cukup kukuh kenapa kena pangkah bulan, itu yang paling penting.

"Sebab dalam tempoh 50 tahun Barisan Nasional memerintah terlalu banyak kepincangan dan penyelewengan.

"Sekurang-kurangnya, beri Pakatan Rakyat satu penggal dan jika kita (Pakatan Rakyat) tidak betul, anda (rakyat) boleh undi mana-mana parti yang anda suka. Beri peluang kita mentadbir negeri dan negara," jelasnya.

Beliau yang juga Ketua DHPP Wilayah Persekutuan menjelaskan selagi Pakatan Rakyat tidak berjaya menguasai "Putrajaya" banyak perkara tidak boleh dilaksanakannya.

Katanya, kuasa memerintah di Putrajaya boleh merubah segala-gala hasrat dan cita-cita kerajaan Pakatan Rakyat.

"Kita(Pakatan Rakyat) sepatutnya diberi peluang memerintah. Selagi kita tidak 'menjejakkan' kaki ke Putrajaya, dalam aspek negeri amat terhad sekali. Sebab banyak 'kuasa' berada di Putrajaya.

"Contohnya, harga barangan seperti minyak tidak boleh diturunkan di peringkat negeri tetapi boleh jika menguasai peringkat pusat. Selagi Pakatan Rakyat belum berpeluang menjejak kaki ke Putrajaya perkara itu tidak dapat dilaksanakan," tegasnya.

Sementara itu, beliau mengakui, kaum Tionghua telah banyak berubah dan tidak lagi 'phobia' kepada PAS dan agama Islam.

Menurutnya, sebelum ini orang Cina takut kerana mereka tidak mendapat maklumat yang sebenarnya tentang PAS dan Islam.

"Sebelum ini, kaum Cina takut sekali dengan parti PAS dan yang paling asas sekali 'ketakutan' mereka mengenai makanan, kebudayaan dan agama.

"Kita (DHPP) yang memperkenalkan isu-isu, dasar dan prinsip-prinsip sebenar mengenai maklumat yang lebih tepat tentang parti PAS," ujarnya

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah MTD Chukai, Hanafiah Mat dan Naib Ketua DHPP Terengganu, Lip Woon Chang. -BuletinOnline



Roadshow Hassan Ali Akan Dedah Pekungnya Sendiri

Posted: 26 Jan 2012 07:26 AM PST

Banyak bercakap risiko dedah kelemahan

SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) Selangor tidak akan tergugat siri jelajah anjuran bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dikatakan akan mendedahkan segala kelemahan dan kepincangan pentadbiran Kerajaan Negeri itu.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, Hasan boleh mendedahkan apa sahaja isu dalam siri jelajahnya, tetapi Pas Selangor juga sudah bersedia memberikan serangan balas setiap apa yang akan didedahkan beliau.

"Pas Selangor tidak bimbang kerana setiap kali beliau buat roadshow, rakyat akan lagi kenal siapa beliau. Makin banyak bercakap, makin banyak perkara negatif akan keluar.

"Jadi, rakyat boleh menilai sendiri siapa beliau. Malah bila bertemu rakyat di warung-warung, rakyat memberikan imej negatif tentang beliau termasuk ahli Umno sendiri. Banyak yang pertikai apa dikata beliau selama ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata, tindakan Hasan itu juga seolah-olah akan mendedahkan kelemahan diri sendiri.

Teresa berkata, dalam Kerajaan Negeri, Hasan adalah seorang pemimpin 'senior' berbanding Exco Kerajaan Negeri lain di mana panda­ngan Hasan selalunya akan didengar, dihormati dan diikuti.

"Beliau seorang anggota yang penting dalam kerajaan ketika itu, jadi apa yang mahu beliau dedahkan? Saya sendiri tidak tahu apa lagi yang mahu dikritik oleh beliau tentang Kerajaan Negeri.

"Jadi, apa-apa kritikan yang dilemparkan oleh beliau, mungkin akan terkena kepada beliau sendiri kerana beliau juga yang membuat keputusan bersama," katanya. -SH

Azmin: Pakatan sedia gempur serangan Hasan Ali

PETALING JAYA - Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bersiap sedia menghadapi serangan balas bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dalam mempertahankan kedudukan yang lebih selesa di Selangor.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri yakin dengan segala bukti dan fakta yang dikumpulkan mampu menangkis serangan yang dilakukan Hasan dalam siri jelajahnya.

Katanya, persiapan itu bagi memastikan PR tidak terlibat dengan tuduhan yang tidak berasas mahupun fitnah.

"Kami bersedia untuk menjawab malah telah me­ngumpulkan fakta-fakta kerana tidak mahu terlibat dengan tuduhan tidak berasas dan fitnah. Kami telah melihat di mana kekuatannya, kami telah melihat siapa penganjur dan kami sudah tahu siapa di belakang Hasan.


"Kita serah kepada rakyat dan yakin rakyat cukup matang untuk menilai kenyataan itu sama ada berasas atau tidak atau sekadar emosi kerana dipecat oleh parti," katanya kepada Sinar Harian dalam wawancara eksklusif di pejabatnya, semalam.

Menurut Azmin, kenyataan yang dilontarkan Hasan yang lantang mengkritik parti sebelum ini amat mengecewakan, kerana kenyataan itu tidak berlandaskan semangat PR.

"Hasan perlu berterus terang kepada rakyat apakah tindakannya itu atas kehendak atau keinsafan dirinya sendiri atau beliau sanggup diperlembukan oleh anasir luar.

"Beliau yang perlu berterus terang. Saya tidak mahu membuat spekulasi," katanya mengulas apakah tindakan Hasan yang lantang mengkritik parti dipengaruhi oleh anasir luar mahupun sikapnya sendiri.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, tindak tanduk dan kenyataan Hasan jelas telah melanggar dasar bersama Pakatan.

Justeru itu, beliau telah melontarkan cadangan kepada Pas.

"Saya minta Pas ambil tindakan yang sewajarnya. Apa bentuk tindakan, saya serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan Pas. Saya yakin apa yang dilakukan kepimpinan Pas telah mengambil kira maklum balas anggota parti dan Kerajaan Negeri.

"Saya tidak menentukan jenis hukuman yang sepatut­nya, kerana sebagai Exco Selangor, beliau sepatutnya bertanggungjawab mempertahankan dasar negeri yang telah dimuafakati secara bersama oleh PR.

"Jangan dicari salah orang lain, sama ada saya atau Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tiada kaitan, ini keputusan yang dibuat oleh Pas," katanya.

Mengulas berhubung parasit parti yang didakwa Hasan berlaku dalam kepimpinan Pas, Azmin berkata, beliau (Hasan) adalah parasit dan musuh dalam selimut.

Beliau turut bersetuju de­ngan artikel tokoh aktivitis Pas, Subky Latif yang menggambarkan Hasan sebagai buah buruk yang menunggu gugur, dijolok jatuh, tidak dijolok pun tetap akan jatuh.

"Bagi saya keputusan kepimpinan Pas memecat Hasan adalah atas pertimbangan. Hasan adalah parasit dalaman parti dan musuh dalam selimut.

"Saya cukup menghormati pucuk kepimpinan Pas, berani bertegas dan berani memberi isyarat keras supaya jangan menjadi musuh dalam selimut dalam Pakatan kerana muafakat yang cukup jelas atas dasar bersama," katanya.


Chua Soi Lek Dibidas Cuba Takutkan Cina

Posted: 26 Jan 2012 05:42 AM PST

Cuba takutkan Cina: DHPP bidas Soi Lek

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ternyata tidak berasas dan menyimpang jauh dengan realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat, terutama membabitkan kaum Cina di negara ini.

Sebaliknya, sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN) ternyata semakin merosot berbanding sokongan yang diberikan oleh mereka terhadap Pakatan Rakyat yang semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Naib Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Vincent Lee (gambar di atas) menegaskan, bagi PAS sendiri lebih-lebih lagi dengan adanya DHPP, sokongan kaum Cina terhadap PAS ternyata semakin kuat.

Menurutnya, perkembangan tersebut berlaku ekoran orang-orang Cina di negara ini ternyata semakin faham dengan perjuangan PAS untuk menegakkan Islam yang pasti akan memberikan keadilan kepada semua penduduk di negara ini dan ketelusan.

Katanya, dalam masa yang sama, sokongan orang-orang Cina terhadap DAP turut meningkat, sejajar dengan perjuangan parti itu yang juga untuk keadilan dan ketelusan bersama-sama dengan PAS.

"PAS adalah satu-satunya parti di negara ini yang berlandaskan agama iaitu Islam, manakala pada asasnya pula setiap agama memperjuangkan keadilan dan ketelusan.

"Itulah yang menyebabkan orang-orang Cina turut menyokong PAS, lebih-lebih lagi dengan adanya DHPP yang menjadi jambatan antara PAS dan orang bukan Islam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Chua Soi Lek ketika membangkitkan isu mengenai undang-undang Islam di negara ini mengatakan bahawa masyarakat Cina kini mula kembali ke pangkuan BN kerana mereka sedar sokongan mereka kepada DAP akan membuka jalan kepada PAS untuk berkuasa.

"PAS yang akan menjadi parti dominan. PAS yang akan memberi arahan, PAS yang akan memerintah jika mereka (pembangkang) berkuasa.

"Ini adalah sesuatu yang komuniti Cina perlu sedar - pengundi DAP berikan kuasa kepada DAP, memperkuatkan DAP (dan) membuka jalan kepada PAS yang akan berkuasa di peringkat pusat," katanya seperti yang dilaporkan media semalam.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, PKR tidak mampu bersaing dengan parti Islam itu dalam soal organisasi, disiplin parti dan yang lebih penting, kesetiaan ahli sambil menyifatkan parti itu lebih lemah dalam gabungan tiga parti tersebut dalam Pakatan Rakyat.

Menurut Vincent, bagi orang-orang Cina di Malaysia sekarang, mereka tidak lagi boleh dipengaruhi dengan kenyataan yang bukan-bukan dari Umno BN yang memburuk-burukkan PAS kerana perjuangan PAS sudah difahami oleh mereka.

"Begitu juga jika mereka menggunakan isu hukum hudud. Ini sudah tidak memberikan sebarang kesan buruk bagi sokongan orang-orang Cina terhadap PAS kerana semua itu sudah difahami dengan jelas oleh orang-orang Cina setelah mereka memahami perjuangan PAS.

"Malah jika isu hukum hudud ditimbulkan, masyarakat Cina pasti akan tahu dengan sendirinya bahawa pilihanraya sudah semakin dekat kerana isu mengenai hukum hudud akan ditimbulkan oleh Umno BN setiap kali menjelang pilihanraya.

"Dengan itu, orang-orang Cina dengan sendirinya akan lebih bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya dengan memberikan sokongan kepada PAS," jelasnya.

Begitu juga jika ditimbulkan isu kononnya DAP perkudakan PAS, tambahnya, juga tidak akan berhasil kerana orang-orang Cina sendiri tahu realiti sebenarnya dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, setelah gagal mempengaruhi orang-orang Cina dengan isu-isu seperti itu, kini Soi Lek pula membangkitkan perkara itu untuk menghalang sokongan orang Cina terhadap DAP dan PAS, tetapi ia tetap juga tidak berhasil.

"Orang-orang Cina sendiri sudah tahu dalam Pakatan Rakyat berbeza dengan BN yang tidak terdapat parti yang dominan. Sebaliknya dalam Pakatan Rakyat semua parti mempunyai peranan yang selari," tegasnya.

"Perkara itu tidak berlaku dalam BN kerana Umno yang menjadi parti dominan dalam BN. Jadi jika benar itulah yang menjadi puncanya, Soi Lek kenalah berikan alasannya, bukannya dengan hanya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana kenyataan Soi Lek itu hanyalah kenyataan politik dan tidak tepat sama sekali," katanya.

Beliau juga menegaskan, kerjasama erat antara DAP dan PAS sememangnya sudah tidak boleh dinafikan oleh sebarang pihak, malah sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa atau mencapai kemenangan dalam PRU Ke-13, DAP telah berjanji untuk terus memberikan sokongan kepada Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin dari PAS untuk menjadi Menteri Besar Perak. -HD

Sokongan Cina kepada DAP akan beri PAS kuasa, kata Soi Lek

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membangkitkan isu undang-undang Islam di Malaysia, mengatakan masyarakat Cina mula kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) kerana mereka sedar sokongan kepada "DAP akan membuka jalan kepada PAS untuk berkuasa."

"PAS menjadi parti dominan. PAS yang akan memberi arahan, PAS yag akan memerintah jika mereka (pembangkang) berkuasa.

"Jika mereka berkuasa, PAS akan memerintah," kata Presiden MCA kepada The Malaysian Insider dalam temubual ekslusif minggu lalu.

Dr Chua menegaskan ia adalah fakta dan menafikan ia hanya strategi untuk meraih semula sokongan komuniti Cina pada pilihan raya umum akan datang.

"Ini adalah sesuatu yang komuniti Cina perlu sedar - pengundi DAP berikan kuasa kepada DAP, memperkuatkan DAP (dan) membuka jalan kepada PAS, yang akan berkuasa di peringkat pusat," katanya.

Dr Chua mengingatkan PAS "hari kemenangan" akan berlalu dengan pantas dan mentertawakan sebarang kemungkinan PKR akan menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, PKR tidak mampu bersaing dengan parti Islam itu dalam soal organisasi, disiplin parti dan yang lebih penting, kesetiaan ahli, menyifatkan parti itu lebih lemah dalam gabungan tiga parti itu.

Bekas menteri kesihatan ini berkata PKR berkeyakinan dalam mengetuai barisan pembangkang ke Putrajaya namun ia telah menghadapi masalah dalaman iaitu "pembelot" dari pemimpin penting mereka.

"PKR mungkin satu-satunya parti di dunia yang begitu yakin dapat menawan Putrajaya, satu-satunya parti yang mendakwa akan menang tetapi mempunyai banyak masalah.

"Ia satu-satunya parti yang mempunyai paling ramai ahli meninggalkan parti, 50 pemimpin utama meninggalkan PKR termasuk 12 atau 13 wakil rakyat yang secara terbuka mengatakan mereka kecewa dengan PKR," kata Dr Chua.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR paling ramai di Parlimen dengan 31 orang, berjaya menawan lima negeri dan memperoleh 83 kerusi Parlimen bersama Pakatan Rakyat.

Namun PKR berdepan dengan satu persatu "pembelot" dalam parti itu selepas pilihan raya umum 2008.

Kemudian PKR gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil sebelum enam ahli Parlimen mereka berindak keluar parti dan kini menyebabkan DAP mempunyai jumlah yang paling besar di Parlimen dengan 28 orang.

Untuk mengelakkan kejadian sama berulang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti itu akan meletakkan 40 peratus calon baru dengan membariskan profesional dan aktivis.
-TMI


Bekas Mufti: Tiada Masalah Menteri Besar Pegang Portfolio Agama

Posted: 26 Jan 2012 03:46 AM PST

Sesiapa sahaja layak menyandang portfolio Hal Ehwal Agama Islam asalkan mereka mempunyai keupayaan dan kesungguhan dalam menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat.

Demikian reaksi bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya ketika dihubungi TV Selangor di sini hari ini.

Kenyataan itu disuarakan Hashim ketika mengulas mengenai tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam yang dulu disandang Dr Hasan Ali.

Beliau berpendapat, parti mana yang dapat portfolio tersebut bukan persoalan yang penting.

Sebaliknya, yang menjadi keutamaan adalah individu yang menggalas tugas tersebut mestilah mempunyai keupayaan dan kesungguhan dalam menjalankan program Islam.

"Kita tidak mengambil kira sama ada seseorang itu adalah ahli PAS atau PKR, tetapi yang penting adalah program agama di Selangor ini berjalan dengan lebih lancar.

"Kita tidak mahu apabila portfolio itu berpindah ke parti lain, maka ajaran Islam itu bertambah tidak bermaya atau lembab.

"Program Islam itu mestilah disebarkan secara berterusan dan ditingkatkan. Tidak kira siapa yang pegang. Kalau parti A yang pegang, tetapi tiada perubahan, apa faedahnya?

Begitu juga parti B. Bagi saya, tidak timbul parti mana yang layak, tetapi usaha seseorang itu untuk memberbanyakkan program Islam dan memberi fahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat. Itu yang penting," tegasnya.

Kontroversi mengenai perkara ini timbul selepas media pro-Umno mendakwa PAS menerima tamparan hebat di Selangor apabila parti itu seolah-olah tidak diiktiraf oleh sekutunya di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ini kerana portfolio Hal Ehwal Agama Islam di Selangor bertukar tangan daripada pemimpin PAS kepada PKR pada 18 Januari.

Malah, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali turut mengkritik keputusan Abdul Khalid dan mendakwa ia memberi jalan kepada kegiatan tidak bermoral dan memelihara kepentingan kumpulan ahli perniagaan menjelang pilihan raya.

Hashim berkata, sekiranya Abdul Khalid menyandang portfolio tersebut
beliau akan memastikan supaya program agama berjalan dengan lebih lancar memandangkan Menteri Besar mepunyai segala keupayaan dan kemudahan.

Tambahnya, Menteri Besar juga tidak akan menggalas tugas itu bersendirian, sebaliknya beliau akan disokong oleh seorang pembantu sama seperti yang dilaksanakan exco sebelum ini untuk meneruskan urusan agama di Selangor.

"Saya tidak nampak perkara ini akan menjejaskan, tetapi gandingan yang hendak membantu itu mestilah terdiri daripada individu yang mempunyai keupayaan dan kesungguhan serta keikhlasan dalam menyebarkan fahaman Islam yang syumul kepada rakyat," ujarnya.

Pada 18 Januari lalu, Abdul Khalid membuat rombakan portfolio ekoran pelantikan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Kerajaan Negeri menggantikan Dr Hasan.

Dr Ahmad Yunus yang sebelum ini merupakan Pembantu Exco Belia dan Sukan dilantik untuk mengetuai portfolio Jawatankuasa Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan. -tvsnews



Tiada ulasan: