BRIGED MP SEGAMBUT |
- SAIFUL AKAN TERUS SERET ANWAR TURUN NAIK MAHKAMAH?
- HANG TUAH MEMANG WUJUD
- RAFIZI MEMANG TUNGGU SAMAN DARI SAHRIZAT
- KAMI TUNTUT MB KEDAH TIDAK UNDUR KEBELAKANG
SAIFUL AKAN TERUS SERET ANWAR TURUN NAIK MAHKAMAH? Posted: 20 Jan 2012 06:30 AM PST Pejabat Peguam Negara hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwat. Ia difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi (Jenayah) Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang ini. Pada 9 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari yang juga bekas pembantunya. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya, berkata beliau mendapati tidak ada bukti yang menyokong keterangan Saiful. Semalam, Saiful menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail meminta beliau memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu. Saiful menerusi blog miliknya mohdsaifulbukhari.blogspot.com menulis bahawa surat itu dihantar melalui peguamnya Tetuan Zamri Idrus & Co. Katanya, rayuan ini penting kerana ia membabitkan maruah dan masa depannya. Menurutnya, dia hanya menuntut haknya sebagai warganegara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan "di mana setiap aduan itu berhak didengar dan diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Tertinggi". Katanya, jika dia berhak memfailkan rayuan itu sendiri, dia akan berbuat demikian tanpa menyusahkan individu lain. Namun, katanya, kuasa mutlak untuk memfailkan rayuan hanya terletak di tangan Peguam Negara. Sementara itu, menulis dalam blognya, Saiful berkata, dia bersyukur kehadirat Allah SWT dan menerima baik keputusan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. "Saya dan keluarga saya juga ingin menyatakan di sini bahawa dengan pemfailan notis rayuan tersebut, hak untuk aduan saya sebagaimana laporan polis yang saya buat pada tahun 2008 didengar dan melalui proses keadilan sehingga ke peringkat mahkamah yang tertinggi menurut undang-undang, adalah terlaksana. "Saya dan keluarga juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang secara langsung dan tidak langsung memberi sokongan kepada saya agar hak saya sebagai warganegara untuk melalui proses keadilan ke peringkat Mahkamah Rayuan terlaksana. "Saya akan terus berdoa, istiqamah, sabar. Kepada Allah saya berserah," tulis Saiful. [Baca berita penuh] |
Posted: 20 Jan 2012 03:59 AM PST Seorang pakar arkeologi hari ini mempertahankan kewujudan Hang Tuah berdasarkan bukti arkeologi. "Saya percaya tokoh ini wujud. Nama Hang memang sudah wujud di alam Melayu. Panggilan Hang ada di Padang Lawas Sumatera, Indonesia. "Tetapi nama yang empat orang lagi itu (Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu) mungkin boleh dikaji lagi," kata Yang Dipertua Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. Beliau berkata meskipun tiada kajian khusus dijalankan, namun kajian arkeologi membuktikan terdapat beberapa penemuan daripada tinggalan seramik atau tembikar yang menunjukkan kesan pada abad ke-15. "Kajian khusus tidak ada, tetapi kalau makam, ia ada walaupun nama tidak tertulis padanya," katanya kepada pemberita di ibunegara Jumaat. Beliau diminta mengulas mengenai pendapat ahli sejarah Prof Tan Sri Khoo Kay Kim bahawa Hang Tuah tidak wujud dan lebih merupakan tokoh mistik. Beliau berkata tiada bukti dan rekod tentang kewujudan Hang Tuah begitu juga dengan Puteri Hang Li Po dari China yang dikatakan telah berkahwin dengan Sultan Melaka di abad ke-15. - Bernama |
RAFIZI MEMANG TUNGGU SAMAN DARI SAHRIZAT Posted: 19 Jan 2012 10:30 PM PST Pengarah Starategi PKR, Mohd Rafizi Ramli (gambar) berkata, saman daripada Datuk Seri Shahrizat Jalil terhadapnya berhubung pendedahan isu NFC sememangnya ditunggu-tunggu. Katanya, ia kerana mereka mahu menggunakan peluang mahkamah untuk terus mendedahkan secara lanjut dakwaan penyelewengan dalam projek NFC tersebut. "Peluang ini memang telah ditunggu-tunggu agar kami boleh menggunakan kuasa mahkamah untuk mencari kebenaran sejauh manakah berlakunya penyelewengan di dalam NFC, selain dari yang didedahkan setakat ini. "Peluang di mahkamah kelak akan digunakan sepenuhnya untuk membongkar lebih banyak penyelewengan dan bakal diikuti oleh lebih ramai rakyat," katanya. Beliau mengulas saman RM100 juta terhadapnya dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin oleh Shahrizat yang difailkan di mahkamah hari ini. Mengulas lanjut beliau berkata, beliau sangat yakin bahawa semua pendedahan yang dibuat setakat ini adalah benar belaka kerana ia berdasarkan maklumat kewangan dan operasi yang dibocorkan dari dalam NFC sendiri. Sebelum memulakan siri pendedahan skandal itu juga jelasnya, mereka telah pun berbincang dengan peguam-peguam PKR mengenai kemungkinan dikenakan tindakan saman. "Datuk Seri Shahrizat Jalil juga perlu berdepan dengan mahkamah rakyat yang mual dengan pelbagai keborosan dan salahguna wang yang didedahkan setakat ini. "Sebab itu saya percaya tindakan mengenakan saman ini adalah tindakan politik untuk menutup mulut saya dan YB Zuraida Kamaruddin dari terus membuat pendedahan, di samping cuba memberi gambaran seolah-olah beliau tidak gentar untuk mempertahankan NFC di mahkamah," katanya lagi. Biarpun menyedari risikonya memang lebih berat di pihaknya dan Zuraida, sehingga boleh berdepan dengan kemungkinan muflis jika kalah, namun mereka tidak gentar. "Datuk Seri Shahrizat Jalil hanya perlu membayar kos guaman dan pentadbiran jika saman beliau ditolak. Dengan kekayaan keluarga beliau, sudah tentu beliau mampu membayarnya. "Jika pimpinan Umno seperti Dato' Seri Shahrizat Jalil beranggapan mereka boleh menutup mulut dan akal rakyat seperti saya dengan mengemukakan saman seperti ini, mereka tersilap besar," katanya |
KAMI TUNTUT MB KEDAH TIDAK UNDUR KEBELAKANG Posted: 19 Jan 2012 06:24 PM PST Sekumpulan mahasiswa membidas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang bertegas mahu meneruskan penggunaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) khususnya di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) - institut pengajian di bawah kerajaan negeri. Malah, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Syahid Mohd Zaini menyifatkan Azizan yang juga pesuruhjaya PAS Kedah itu sebagai 'ego' dalam menangani isu berkaitan mahasiswa, termasuk hukuman terhadap lima mahasiswa KUIN. "Sepatutnya (Datuk Seri) Azizan selaku orang yang paling berkuasa di KUIN perlulah menggunakan budibicara dengan cara berbincang dan fahami isu dengan baik serta selesaikan masalah dengan bijaksana," katanya Mohd Syahid. MPMN adalah gabungan majlis perwakilan mahasiswa di institut pengajian tinggi awam dan swasta di negera ini. Mohd Syahid mengulas kenyataan Azizan yang dilapor menegaskan AUKU tetap dikenakan terhadap mahasiswa KUIN yang melakukan kesalahan. Menurut Azizan, penggantungan lima mahasiwa KUIN tahun lalu dibuat mengikut peruntukan di bawah kesalahan AUKU dan pengurusan pusat pengajian tinggi itu membuat keputusan berdasarkan undang-undang sedia ada. Pada Mei lalu, lima mahasiswa KUIN itu digantung pengajian kerana dituduh menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz. Bagaimanapun tempoh penggantungan bagi empat daripadanya telahpun tamat. Dalam kenyataan medianya, Mohd Syahid berkata tindakan Azizan itu "sedikit sebanyak" menjejaskan imej Pakatan yang mulai diterima rakyat walaupun sebelum ini menjanjikan untuk memansuhkannya seperti yang janjikan dalam buku Jingga jika memerintah. "Persoalannya adakah Kedah bukan sebahagian dari Pakatan Rakyat? Jika ya, maka Kedah perlulah mengisytiharkan bahawa Kedah juga bebas daripada AUKU seperti Selangor. Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. "Saya yakin mahasiswa akan menolak Ustaz Azizan dalam PRU 13 ekoran kenyataannya yang tetap ingin melaksanakan AUKU di KUIN dan sedikit sebanyak akan menjejaskan imej Pakatan Rakyat yang mula diterima rakyat sekarang," tegas Mohd Syahid. Beliau juga menegaskan bahawa mahasiswa mahu parti politik konsisten dengan menunaikan janji mereka memansuhkan akta berkenaan kerana "rakyat sentiasa menilai setiap tawaran yang diberikan". "Saya juga yakin lima mahasiswa KUIN tersebut tiada masalah untuk berbincang dengan baik berkaitan isu tersebut jika MB Kedah membuka ruang perbincangan. "Mahasiswa insan yang terdidik. Saya yakin tidak akan berlakunya sebarang protes dan demonstrasi oleh mahasiswa terhadap Ustaz Azizan jika ianya bermula dengan pintu perbincangan yang baik. "Silalah layan mahasiswa seperti anak bukannya musuh," kata Mohd Syahid yang juga presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya. Sementara itu, Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd Taufik Abdul secara peribadi kesal dengan kenyataan Azizan yang dilapor enggan memohon maaf kepada lima mahasiswa itu dan sanggup ke mahkamah untuk membukti kebenaran. "Hal ini kerana, saya masih memikirkan kemungkinan masih ada ruang rundingan atau sebagainya dalam menyelesaikan kes ini. "Memandangkan dalam situasi sekarang, banyak pihak yang sedang mendesak agar segala macam bentuk akta yang dilihat sebagai zalim dan menindas rakyat seperti AUKU dan ISA dikaji semula dan dimansuhkan, masih ada pihak seperti KUIN yang ingin melaksanakannya," katanya. Mohd Taufik juga menyifatkan tindakan terhadap mahasiswa itu dilihat lebih drastik berbanding dengan mana-mana mahasiswa yang dikenakan tindakan di institut pengajian tinggi awam. Manakala kumpulan Lawyers For Liberty (LFL) mengecam tindakan Azizan yang mempertahankan penggunaan akta tersebut terhadap lima pelajar berkenaan kerana ia jelas melanggar artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara dan berhimpun. "(Ia juga) bercanggah dengan agenda reformasi Pakatan Rakyat yang mana menjanji untuk memansuhkan semua undang-undang yang menekan termasuk AUKU," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan. Sehuhungan itu, mereka menuntut supaya Azizan segera menggugurkan hukuman terhadap pelajar tersebut dan menangguhkan penggunaan akta berkenaan sebagai cerminan keseriusan komitmen kerajaan negeri terhadap polisi Pakatan rakyat |
You are subscribed to email updates from BRIGED MP SEGAMBUT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan