Ahad, 29 Januari 2012

.

.


Syarahan Ahad

Posted: 28 Jan 2012 06:54 PM PST

Udin Anak Yassin Pun Otak Kemetot

Saya tidak tahu apakah TV3 malam tadi sengaja ataupun setesen berkenaan juga ada niat hendak merendahkan pemikiran Udin anak Yassin. Setesen tv itu telah menyiarkan sedutan ucapan timbalan perdana menteri itu di satu program memberi wang kerajaan RM500 kepada orang miskin. Tidak sempat pula saya mendengar di mana program berkenaan diadakan.

Cuma apa yang tersambar oleh telinga saya mendengar Udin anak Yassin berkata lebih kurang begini; pembangkan kata kita beri wang RM500, lepas itu diambil pula menerusi cukai. Mana kita ada ambil cukai kepada penerima wang ini. Ada ke? Tolong angkat tangan siapa yang kena bayar cukai? Dalam Malaysia ini ada 27 juta orang, yang bayar cukai hanya 1 juta sahaja. Dalam dewan ini siapa yang bayar cukai? Angkat tangan!"

Tujuan Udin berkata begitu ialah hendak menjelaskan kepada rakyat yang kerajaan baik hati dan tinggi budi kepada rakyat miskin. Kerajaan tidak mengenakan apa-apa cukai. Itu maksudnya dan sekaligus menempelak kata-kata pembangkang yang beliau reka tadi, kononnya pembangkang ada memberi tahu rakyat kerajaan bagi RM500 kemudian dikutip semula menerusi cukai.

Saya tidak dengar pula kalau ada pemimpin pembangkang (Pakatan Rakyat) berkata sebodoh itu. Bagi RM500 dan dikenakan cukai pendapatan. Tidak ada. Jelas ayat itu Udin anak Yassin reka sendiri. Saya tidak fikir pemimpin Pakatan Rakyat bangan dan sepandir Udin anak Yassin.

Tetapi kalau yang berkata, berapalah sangat wang RM500 kalau hendak dikira dengan pelbagai cukai dan potongan yang kerajaan kenakan. Mungkin ada. Mereka membandingkan wang itu hanya sedikit saja berbanding dengan cukai-cukai dan potong ke atas barangan keperluan.

Saya lepaskan kata-kata Udin itu dalam 'muka buku' saya. Ramai kawan yang sendakwah mendengar kata-kata Udin itu. Betapa dangkal dan ceteknya politik Udin anak Yassin. Beliau kira dengan kata-kata itu boleh menyihirkan orang ramai, nggeh dan bersetuju dengannya. Malangnya orang ramai lebih arif daripada apa yang Udin sangkakan.

Memang diakui kerajaan tidak mengenakan cukai kepada penerima wang BR1M itu. Berpandukan syarat layak menerima jelas menunjukkan mereka bukan pembayar cukai pendapatan kerana mereka berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Pendapatan itu juga tidak tetap.

Semua orang tahu hakikat itu. Jadi apabila Udin menerangkan lagi apa yang sudah tersuluh nampak sangatlah dia gelap otak dan cuba memperdayakan orang ramai. Tetapi hakikatnya penerima wang RM500 itu tetap juga kena membayar cukai yang diwujudkan menerusi dengan pelbagai cara.

Kalau disenaraikan mungkin lebih 60 cukai yang dikenakan oleh berbagai pihak untuk kepentingan kerajaan. Apakah itu semua bukan boleh dianggap cukai? Cukai-cukai itulah yang disebut oleh pembangkang ia tidak sepadan dengan memberi hanya RM500. Ertinya rakyat tidak boleh memiliki kesemua hakikat RM500 itu kerana mereka kena membayar cukai atau nilai yang lebih.

Kalau kerajaan ikhlas untuk membantu rakyat, kerajaan tidak perlu memberi wang tunai RM500 untuk lima tahun sekali. Kerajaan boleh menurunkan segala macam cukai dan potongan hingga RM500 perkepala yang layak menerima wang berkenaan.

Misalnya kalau yang layak menerima BR1M sebanyak 5 juta, maka turunkan kadar cukai sebanyak itu. Dengan cara itu baru boleh dikatakan hendak tolong rakyat.

Tetapi kalau beri RM500 lima tahun sekali ia adalah tipuhelah di siang hari nak memancing rakyat untuk menyokong mereka. Berdasarkan perkiraan itulah maka pembangkang mengatakan RM500 itu tidak seberapa dan ia hanya lekat dicelah gigi saja.

Tetapi bagi orang kampung yang tidak tahu mengira untung dan laba, (prinsip ekonomi) mungkin merasa ia besar kerana wang itu diberi secara tunai kepada mereka sekaligus, walhal kalau kerajaan buat cara yang disebut tadi rakyat akan mendapat keuntungan di sepanjang tahun. Kerajaan bagi RM500 tetapi kerajaan sapu RM5 billion?

Beginilah cara kerajaan UBN memperbodohkan rakyat dan menggunakan tenaga rakyat untuk kepentingannya. Atas ketidakadilan inilah maka wajar kalau rakyat menurun dan menyembamkan pemimpin-pemimpin oportunis seperti Udin anak Yassin itu. [wm.kl.11:09 am 29/02/12]

Susupan Malam

Posted: 28 Jan 2012 04:46 AM PST

Penjelasan Anwar Mengenai Dakwaan Sokongan Israel

Hari ini bergentayangan kritikan dan teguran dibuat ke atas Anwar Ibrahim yang dikatakan telah membuat kenyataan menyokong Israel dalam satu wawancara dengan akhbar luar. Saya percaya tidak ramai yang mendengar dengan telinga sendiri akan kenyataan Anwar itu dan mengulas berdasarkan apa yang diceritakan oleh pihak UBN.

Sekali lagi malang buat penyokong Pakatan Rakyat termasuk juga seetengah pemimpin budak terus memberi reaksi kepada kenyataan yang dimainkan oleh media musuh Pakatan Rakyat itu. Saya naik hairan kenapa mereka cepat melatah dan mematuk apa saja yang dicampak oleh blogers dan juga media musuh UBN.

Sepatutnya sebelum membuat kritikan dan ulasan dengar dulu apa yang Anwar atau sesiapa perkatakan. Jangan pakai terus makan dan terkam macam beruk lapar. Kalau apa didengari itu sahih barulah buat komen. Ketidakcermatan dan kebodohan menyebabkan Pakatan Rakyat diganggu dan terganggu bukan saja oleh musuhnya tetapi diri sendiri.

Anwar juga dalam soal ini tidak pandai jaga mulut, asyik hendak bercakap saja. Elok juga kalau Anwar mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis setidak-tidak ada dua hari beliau tidak bercakap dalam seminggu. Kadang pening juga kepala kerana banyak sangat hal-hal yang tidak patut ditanggung tetapi terpikul di atas bahu penyokong Pakatan Rakyat kerana kegilaan Anwar bercakap dan cakap tidak pilih isu. Seharusnya sebelum mengulas sesuatu atau memberi pandangan terhadap isu yang sensitif Anwar harus lebih berwaspada.

Baru sekejap saya menerima kirimkan penjelasan Anwar berhubung dakwaan itu. Saya siarkan seluruhnya di bawah ini;
Saya diwawancara oleh Wall Street Journal pada hari Khamis, 26hb Januari 2011. Antara soalan yang ditanya kepada saya adalah berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin.

Saya tuntas menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi. Saya juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati. Berikut adalah jawapan yang saya berikan:

"I support all efforts to protect the security of the state of Israel," said Mr. Anwar, although he stopped short of saying he would open diplomatic ties with the Jewish state, a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians."

Pendirian saya ini ternyata sejajar dengan prinsip perjuangan Parti Keadilan Rakyat yang menjunjung tinggi prinsip Keadilan Sejagat dan tegas membela hak mereka yang dizalimi.

Selain itu pandangan saya ini ternyata selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai Two-State Solution.

Malahan dasar luar negara juga menekankan prinsip Penyelesaian Dua Negara sebagaimana yang diungkapkan YB Menteri Luar ketika Perbahasan Perhimpunan Agung PBB Sesi ke-66 pada 27hb September 2011 di New York (GENERAL DEBATE OF THE 66TH SESSION OF THE UNITED NATIONS GENERAL ASSEMBLY). Beliau menyebut:

"..Malaysia fully supports the legitimate rights of the Palestinian people for an independent State of Palestine, based on the two-state solution, taking into account the security concerns of both parties (Israel and Palestine)."

Ternyata dari kenyataan Menteri Luar Negara, dasar Malaysia adalah bersedia menghormati hak rakyat Palestin dan Israel untuk menikmati keamanan dan kedamaian.

Akan tetapi kesediaan kita pastinya bergantung kepada syarat selagi mana hak rakyat Palestin tidak dicerobohi. Justeru saya memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memutar belit kenyataan saya semata-mata mahu menyebar fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Pendirian Parti Keadilan Rakyat adalah tuntas membela hak sesiapa sahaja yang dirampas dan dizalimi. Iltizam untuk memastikan keadilan buat semua tidak pernah surut malah pastinya digilap dan diperkukuh.

ANWAR IBRAHIM

[wm.kl.8:52 pm 28/01/12]

Belasungkawa

Posted: 28 Jan 2012 02:43 AM PST

Bekas Adun Bukit Tuku Kembali Ke Rahmatullah

Bekas Adun Bukit Tuku, Tuan Guru Hj Hussein Ibrahim telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 5:15 minit petang ini disebabkan serangan jantung. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke hospital Daerah Lati dari rumahnya di Lubuk Tapah, Pasir Mas.

Pagi tadi Allahyarham telah menghadiri majlis anjuran Dewan Ulamak di Madu, Machang Kelantan.

Katanya sebaik majlis itu selesai Allahyarham mengadu keletihan dan sesak nafas dan dibawa pulang ke rumahnya di Pondok Lubuk Tapah.

Sesampai di rumah anaknya telah membawa ke hospital apabila keadaanya semakin tenat.

Sebelum menerima rawatan Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir dipercayai kerana serangan jantung.

Allahyarham dijadualkan akan menjalani pembedahan jantung pada bulan hadapan. Beliau mengetahui menghadapi masalah jantung setelah mendapat pemeriksaan jantung di Kota Bharu sekembali dari lawatan ke China bersama rombongan Dewan Ulamak Kelantan pada bulan lalu.

Hj Hussein merupakan sepupu kepada Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah dan merupakan penyandang kuat kepada institusi Pondok Lubuk Tapah.

Allahyarham pernah menjadi wakil rakyat Pas apabila menang kerusi Dun Bukit Tuku pada tahun 1990 mengalahkan Mohd Zain Ismail dengan kelebihan undi sebanyak 2,093. Beliau mendapat 6,336 manakala Mohd Zain mendapat 4,243. Pada tahun 2004 Allahyarham tewas ditangan Mohd Zain dengan kekurangan 868 undi.

Sepanjang penglibatannya dalam politik Pas beliau menjadi anggota Dewan Ulama Kelantan, Ketua Unit Halaqah dan pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Pas Rantau Panjang selama satu penggal.

Allahyarham mulai aktif dalam politik Pas menjadi Ketua Dewan Ulamak Pas Rantau Panjang sekembali dari Makkah. Beliau menghabiskan separuh usianya tinggal di Makkah. Allahyarham mempunyai hubungan yang intim dengan penulis dan pernah beberapa kali bersafan (tidur) di rumah penulis terutamanya waktu berlangsung muktamar Pas di Taman Melawar.

Sesuatu yang penulis tidak dapat melupai budi Allahyarham ialah setiap kali beliau akan datang bermuktamar bersama beberapa orang termasuk bapa mertua penulis Allahyarham Hj Yaacob Awang Besar beliau akan membawa beras seguni sebagai buah tangan.

Allahyarham Hj Hussein seorang yang peramah dan menghormati rakan dan lawan tanpa merasakan megah dengan ketinggian ilmu yang dimilikinya. Kali terakhir penulis menemui beliau ialah sewaktu dalam satu majlis di Kota Bharu tahun lepas. [wm.kl.7:09 pm 28/01/12]

Tiada ulasan: