Sorotan ringkas kertas kerja Uthman El Muhammady Melayu Benci Umno Bukan Kerana Asabiyyah
Semalam saya dikirimkan senaskah kertas kerja berjudul "Gerakan Kebangsaan Malaysia – Yang Tidak Bercanggah Dengan Konsep Asabiyyah" (Umno – Mso) yang ditulis (sebenarnya dirumuskan) oleh seorang sarjana Islam penyokong kerajaan bernama Muhammad Uthman El Muhammady (foto) untuk memberi kefahaman dan menjadi pegangan para penganut Umno.
Sarjana ini berasal dari Kelantan penah terlibat menubuhkan sebuah jemaah Islam tradisi ala pondok moden di kampung kelahirannya di Tal Tujuh, Pasir Mas Kelantan.
Sarjana ini pada suatu ketika berpegang kuat kepada fahaman tradisi semi otordoks sehinggakan menolak kemodenan dan pembangunan duniawi. Pengalaman dengan penulis, beliau dikatakan 'mengharamkan' televisyen dan melarang keras penyiaran gambar dalam media massa termasuk gambar wajahnya sendiri.
Gerakan yang ditubuh itu dengan kerjasama (pengeluar modal dan pengorbanan) beberapa orang kawannya yang ingin hidup menurut Islam syumul dikenali kumpulan Jubah Hijau Tal Tujuh. Kesan-kesan perwujudan kumpulan ini masih ada sehingga kini, tetapi difahamkan Uthman El Muhammady tidak lagi bersama mereka kerana sebab-sebab yang tidak jelas tetapi boleh dikaji kenapa beliau "mufaraqah" dari kumpulan itu.
Molek juga kalau ada para sarjana atau kumpulan mahasiswa (Islamic study) membuat kajian terhadap pertubuhan ini yang pernah diketuai oleh sarjana itu, agar masyarakat boleh mengetahui apa kesudahan dan apakah sebab musabab maka pengasasnya berudur diri dari kumpulan tariqat itu. Kita juga mahu mengetahui apakah tariqat yang menjadi amalan dan dipakai oleh kumpulan Jubah Hijau itu.
Kertas kerja itu dibentang atau menjadi bahan pemikir dalam usrah kumpulan Maufakat sebuah kumpulan yang ditubuhkan dari bekas-bekas veteran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang kebanyakan mereka dulu bersahabat atau seusrah dengan ketua pembangkang Anwar Ibrahim dan sedikit sebanyak ada mereka sempat merasai nikmat kekuasaan sewaktu Anwar menjadi timbalan pedana menteri.
Hari ini mereka meninggalkan Anwar dan mulai memuja tokoh transformis baru dan amat yakin dengan pembawaan Islam wastiyyah tokoh baru itu. Apakah mereka bersikap meninggalkan kawan kerana benar kawannya itu melakukan kekhilafan dalam fahaman agama, (pluralisme, Yahudisme dsbnya seperti disangka?), rosak moral ataupun kerana ada gamitan wang? Selalunya manusia akan menjadi cair dengan tawaran wang poket dan igauan projek mewah seperti projek kepala sawit di luar negara dan pembelakan keperluan kerajaan (procurement).
Saya percaya lebih 100 peratus kalau waktu ini Anwar menjadi PM dalam keadaan dia secemar hari ini pun(?), kawan-kawan ini masih bersama Anwar atau Maufakat ini terus menjadi pendokong Anwar nombor wahid. Maslahan mungkin beberapa ahlinyalah yang menjadi pengawal di pintu masuk rumah Anwar. Sudah pasti mereka terus mengunjungi rumah Anwar untuk solat Subuh dan mendengar tazkirah Anwar.
Iya, mungkin ada ahli Maufakat boleh menidakkan apa yang disebutkan itu, tetapi hati kecil mereka tidak boleh berbohong dengan diri sendiri. Najis dipunggung tidak boleh disembunyi dengan jubah lusuh berpoket lima. Rasanya tidak perlu meminta sumpah laknat tetapi itulah realitinya. Manusia sanggup memuji dan memuja seseorang yang lebih buruk dari kawannya sendiri asalkan diupah atau diberi tasbeh emas dan jubah labuh berkilat-kilat. Jadi tidak hairanlah kalau ada individu-individu dalam Maufakat menjawab, kerjanya memburukkan Anwar hari ini adalah kerana untuk cari makan. MasyaAllah keringnya jiwa agama orang itu?
Menurut nota kaki, kertas kerja ini juga dibentangkan dalam seminar Perjuangan Kebangsaan & Patriotisme Dalam Peradaban Malsysaia yang diadakan pada 16 Disember 2011 di dalam konvensyen E-Learning UPSI anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Majlis Profesor Negara dan dibentang semula dengan sedikit tambahan untuk usrah bulan Pertubuhan Maufakat Sejahtra Masyarakat Malaysia (Maufakat) pada 3 Januari lalu.
Kertas kerja yang sampai kepada saya yang sudah diubahsuai seperti dimaksdukan pada nota kakinya.
Kertaskerja itu panjang lebar dalam membicarakan gerakan assabiyah di negara ini dan cuba meletakkan perjuangan Umno satu gerakan asayyiah yang tidak bertentangan dengan semangat, pegangan agama dan budaya Islam. Motifnya untuk memberi tahu bahawa kejayaan bangsa dan negara hari ini adalah kerana Umno. Umno yang memungkinkan segala-galanya. Kertas kerja ini menggambarkan ketaksuban penulisanya terhadap Umno.
Ia terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama, tentang sejarah ringkas gerakan kebangsaan, asal usul dan kebangkitannya di ngara ini. Kedua, menceritakan hasil-hasil atau kejayaan dan manfaat dari gerakan kebangsaan. Dan ketiga, hujah tentang keabshaan tentangan nasionalis Melayu yang perlu diperjuang dan diteruskan.
Membaca huraian kepada ketiga-tiga bahagian itu saya bersetuju dan ia satu pandangan yang tepat walaupun ia dibumbui ramuan bodekan dam ampuisme melulu. Sebenarnya kalau hendak dipertikaikan pandangan itu masih boleh kerana ada padangan sarjana dan ahli agama lain yang menolak faham asabiyyah, dan menganggapnya ia fahaman sekular yang bertentangan dengan aqidah agama. (Aqidah agama bukan aqidah Hasan Akidah). Bahawa pegangan kepada semangat asabiyyah (nasionalis) masih merupakan pegangan duniawi, kebendaan dan bukan pegangan mutlak.
Cuma malang sedikit di sini tidak ada keadilan dan kejujuran penulis ketas kerja ini kerana dalam bahagian kedua, mencatat butiran hasil-hasil gerakan kebangsaan (nasionalis) penulis (Uthman) rasa saya dengan sengaja telah melupakan nama-nama besar yang menyumbangkan kebangkitan semangat nasionalis di negara ini.
Nama-nama yang tidak seharusnya dialpakan seperti Ibrahim Yaacob, Dr Burhanuddin Al Helmy, Ishak Hj Muhamamd, Ahmad Beostman, Abu Bakar Baqir dan- lain lagi. Mereka ini adalah pejuang dan pelopor gerakan kebangsaan yang berjuang untuk menghalau penjajah. Malahan mereka dilihat lebih gigih dan 'tulen' sehinggakan sanggup mengadai nyawa dan ditahan beberapa kali oleh penjajah demi membebaskan negara.
Kenapa penulis, Uthman Al Muhammady tidak menyebut atau menyenarai nama-nama ini? Ia tentu ada motifnya. Tetapi sebagai kertaskerja yang dikerjakan oleh sarjana yang dikenali sebagai tokoh Islam moden pula, penerima hadiah Tokoh Maal Hijrah, adalah sangat dikesali kalau sengaja meninggalkan nama-nama besar yang bertuah itu.
Sebagai sarjana yang lidahnya lembut menyebut ayat-ayat al Qurasn dan al Hadith tidak mudah menyembunyikan kebenaran dan fakta sejarah. Islam itu sendiri mengajar supaya para ulama dan cerdik pandainya menyebut sesuatu yang benar itu walaupun pahit dan bukan menjadi penusuk kepada fakta dan sejarah. "Katakanlah sesuatu itu meskipun pahit," demikian maksud al Hadith.
Atas beberapa kepincangan fakta dan juga ada kesengajaan yang ditinggalkan kertaskerja yang menggunakan 17 bahan rujukan termasuk dari laman-laman sesawang ia bertujuan untuk mempengaruhi orang ramai agar menerima konsep perjuangan Umno yang sekular dan berfahaman asabiyyah.
Selepas saya bersetuju kalau Umno mengambil semangat itu, usaha untuk meneruskan perjuangan Umno berdasarkan semangat itu saya rasakan ia sudah tidak relevan lagi buat masa ini. Setelah penjajah sudah nyah dan menyerahkan negara ini untuk diuruskan kepada kita, maka satu persefahaman dan konsep hidup baru hendaklah dibentuk dan diterima. Semua pihak perlu sedar akan realiti sosial dan jalinan komuniti di negara ini yang unit dan segala masalah perlu diselesaikan bak menarik rambut dalam tepong.
Selepas meredeka, dan ia merupakan syarat, maka semua bangsa hendaklah hidup bersama, mengurangkan kecurigaan di antara satu sama lain. Harus mematuhi syarat-syarat tertentu yang sama ada ia dicatat ataupun hanya ada dalam kepala (lisan). Orang Melayu tidak boleh hendak membuang Cina dan India, begitu juga sebaliknya. Semua rakyat berbilang kaum kena hidup atas rukun-rukun yang sudah difahami dan dipersetujui. Usaha untuk membuang Cina dan India tidak ubah seperti kita mahu memulakan peperangan baru yang meletakkan kita surut ke belakang selama 100 tahun.
Dalam hal ini nampaknya Pas menjadi parti progresif dan dinamik sesuai dengan fitrah Islam itu sendiri. Pas sudah lama membuang semangat kebangsaan diganti dengan semangat keagamaan sejagat, di mana Pas menerima dan mengambil agama itu sebagai alat atau wadah penyatuan. Alasan Pas mudah dan tepat kerana semua agama mengajak manusia ke arah kebaikan, (haq) hormat menghormati di antara satu sama lain. Kalau semua kaum berpegang dan taat kepada agama masing-masing tidak ada apa-apa pergeseran yang akan timbul.
Menyedari kepentingan dan ketepatan itu maka rakyat tidak perlu lagi meletakkan soal bangsa di hadapan. Lagipun perjuangan berlandaskan bangsa ternyata gagal tidak dapat mempersatuan semua kaum. Usahakan untuk menyatukan semua kaum, sesama Melayu sendiri pun gagal. Bukti paling nyata ialah apabila Pas dan Umno yang sama-sama berdarah Melayu, berkulit sawo matang pun berpecah belah bermaki hamun setiap hari.
Sebenarnya orang memerhati Umno ini bukan sejauh mana dan setebal mana semangat Melayu yang didokongnya. Soal Melayu tidak menjadi keutamaan lagi dan dapat menarik minat orang termasuk orang Melayu untuk menyokong parti ditelori penjajah itu. Apa yang rakyat perhatikan kini sejauh mana perjuangan Umno memenuhi tuntutan dan aspirasi rakyat hari ini. Sejauh mana Umno menghayati tuntutan semasa.
Yang perlu diperbetulkan dalam Umno bukan menebalkan semangat Melayu. Sarjana seperti Uthman El Muhammady itu tidak payah cuba menyakinkan orang ramai yang perjuangan asabiyyah itu tidak bercanggah dengan Islam. Rakyat sudah faham akan kepentingan itu. Tetapi apa yang perlu difahami orang mengukur Umno hari ini bukan sama ada semangat Melayu tebal atau tipis tetapi sejauh mana Umno dapat berfungsi sebuah kerajaan yang adil telus dan prihatin. Ini lebih penting.
Kenapa Umno hari ini mengecut dan banyak orang menjauhinya kerana rakyat melihat kegelempangan kepincangan di dalam Umno. Rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa,pembuncitan perut kroni, berlaku di mana-mana sahaja. Jenayah-jenayah yang dilakukan oleh pemimpin Umno ini bertentangan dengan naluri dan semangat Melayu itu sendiri.
Kertas kerja pengukuhan semangat asabiyyah itu hanya sia-sia sahaja kalau Umno tidak memperbetulkan tindak tanduk para pemimpinnya, budaya dan akal budi yang jauh menyimpang dari semangat dan akal budi orang Melayu sebenarnya. Itu.... politik membenarkan kelucahan, kezaliman, samseng tahi minyak, penindasan, mengaibkan orang dan sebagainya adalah aksi-kasi dan perwatakan yang dibenci oleh Melayu dan inilah menyebabkan orang ramai semakin membenci dan meluat dengan Umno. [wm.kl.12:17 t/hari 25/01/12]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan