Rabu, 18 Januari 2012

.

.


Sebangun Tidur

Posted: 18 Jan 2012 01:03 AM PST

Pendedahan Khalid Memalukan Ahsan

Dalam sidang akhbar mengumumkan perlantikan Exco baru kerajaan Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai mengganti Hasan Ali @ Ahsan Akidah serta rombakan kecil portfolio, Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan sesuatu yang tidak disangka oleh orang ramai iaitu mengenai surat Hasan Ali kepadanya. Oh rupa-rupanya ada protes senyap oleh Ahsan terhadap tindakan segera Khalid itu.

Menurut Khalid, Hasan ada menghantarkan surat kepadanya mempertikaikan tindakannya untuk melantik penggantinya yang dipersoalkan terlalu awal. Menurut Khalid dalam surat itu Hasan memberi tahunya dia masih lagi ada peluang dan ruang untuk merayu kepada Majlis Syura Ulamak. Ertinya Ahsan masih merasakan dia masih ahli Pas padahal secara tektikalnya dia sudah pun bukan ahli Pas lagi.

Tektikal inilah yang Ahsan tidak faham dan sekaligus menunjukkan dia jahil politik. Kalau dia arif dan mengerti tindakan politik, bila parti mengambil tindakan drastik itu bermakna adalah masalah parti disebaliknya. Saya sudah mentafsirkan tindakan drasktik dengan memberi edah selama sebulan itu satu startegi untuk membuang Ahsan.

Itulah kerana terlalu bijak dan pandai cakap hal-hal seni kejahatan seperti urusan pemecatan beliau itu tidak sempat diketahui. Malangnya lagi nasihat orang tidak mahu dengar dan ego dengan kecerdikan sendiri yang tidak banyak membawa untung.

Pendedahan Khalid tentang surat Hasan yang membawa maksud supaya tidak menyegerakan melantik penggantinya sesuatu yang memalukan. Dengan pendedahan itu menunjukkan Hasan yang sebelum ini cakap sedap, keras dan berbunyi tegas jadi sebaliknya. Orang boleh membuat ulasan yang surat itu seolah-olah Ashan menyesal atas apa yang berlaku.

Surat yang didedahkan oleh Khalid itu juga membolehkan orang mentafsir yang Hasan berharap jawatan itu akan terus dipegangnya. Orang mentafsir yang dia hendak merayu dan mengharap rayuan diluluskan. Mungkin Ahsan sudah berbincang dengan mana-mana ahli Majlis Syura Ulamak akan mempertahankan dirinya dan berharap jawatan Exco itu akan kekal kepadanya.

Langkah diambil Khalid itu tidak salah dan tidak perlu dipersoalkan Ahsan. Sebagai seorang yang patuh kepada peraturan dan profesional dalam administratif jujur dalam pentadbiran Khalid bertindak mengikut maklumat dengan menggunakan kuasa yang ada kepadanya.

Katanya dia menerima surat pemakluman dari ibu pejabat Pas mengenai Ahsan Akidah dipecat bertarikh 10 Januari. Menurutnya dalam surat itu tidak pun dijelaskan soal rayuan. Khalid hanya berpandu kepada isi surat berkenaan dan tentulah dia menerima pemakluman itu sebagai muktamad.

Sebagai ketua eksekutif Khalid perlu mengambil tindakan dan menyegerakan mengisi kekosongan itu. Dia perlu berbuat begitu seberapa cepat yang boleh kerana ia ada sangkut paut dengan kepentingan rakyat. Khalid dalam soal ini meletakkan soal rakyat lebih utama daripada memikirkan atau simpati kepada Ahsan.

Ahsan sebenarnya tersalah langkah. Dia sepatutnya memaklumkan surat itu kepada istana Selangor dan bukan pejabat MB Selangor. Di sini kebijaksanaan Ahsan boleh dipertikaikan. Inilah yang dikatakan Ahsan mendapat nasihat yang tidak pandai dan lebih kepada 'kaki pong' sahaja, alhasilnya dia terlepas segala-galannya.

Dengan protes kecil itu saya beranggap Ahsan sayang untuk melepaskan jawatan itu walaupun sebelum ini dia berkata, dia akan terus berjuang samada jadi Exco atau tidak. Kalau dia tidak sayang dan terkedu dengan pemecatannya itu untuk apa dia hantar surat mempersoalkan tindakan Khalid. Kalau kita redha dan merasa kuat dan mendapat sokongan ramai, peduli sama ada Khalid hendak segera atau tidak hendak mencari pengganti.

Tetapi jadi sebaliknya. Ahsan mempersoalkan dan persoalan itu menyebabkan Ahsan kini dilihat sudah terjempit. Untuk pengetahuan Ahsan apa-apa isu atau perkembangan dalam politik ia berjalan dan bergerak begitu cepat dan pantas. Ia laksanakan kereta api laju yang akan meluncur tanpa mempedulikan kepada mana-mana penumpang yang lambat atau merasa dia akan ditunggu oleh keretapi itu.

Ahsan adalah penumpang yang hendak menaiki atau mempermainkan dengan kereta api laju. Walhasilnya jadilah Ahsan seperti hari ini penumpang malang yang mahu naik koc kelas pertama tetapi natijahnya dia ditinggal keretapi.

Nasihat akhir saya untuk Hasan lebih baik beliau redha di atas apa yang berlaku seperti mana yang diucap-ucapkan sebelum ini. Dia pernah berkata kepada saya yang berbunyi begini; "hari ini kalau di Selangor ada pemimpin muda yang lebih berkelayakan, saya akan redha melepaskan jawatan saya kepada pemimpin sebegitu..." Nah pemimpin muda itu kini sudah pun ada dia ialah Dr Ahmad Yunus Hairi dan Dr Rani Osman maka Ahsan hendaklah mengotakan kata-katanya itu.

Sedap telinga saya ketika mendengar pengucapan Ahsan tempoh hari, bangga dengan semangat dan pendiriannya. Sifat begitulah yang dimahui, tetapi apabila sebaik terlepas keretapi laju, Ahsan merembas beg dan bergelepar dan meraung-raung menyebabkan penghormatan saya kepada beliau terus hilang.

Kepada salah seorang penasihatnya, saya sudah cakap Ahsan akan menjadi tumpuan dan kata-kata berbisa kerana kedudukannya sebagai ahli Pas dan seorang Exco. Selepas ini sesudah dia tidak jadi Exco tidak ada siapa akan menghairaukan dia lagi. Justeru mintalah Ahsan berhenti dan pertelagahan beliau dengan Mustapa Ali sudah dimenanginya.

Kalau Ahsan diam dan tidak terus mempersoalkan Pas dia akan tetap kekal sebagai Exco dan dia juga saya yakin akan diberikan tempat untuk bertanding dalam pilihan raya. Percayalah, tekan saya bergaduh dengan jemaah tidak akan menang betapa hebat, gah, bijak mana sekalipun kita.

Saya sudah memberi kata-kata nasihat itu. Apakah ia sampai ke telinga Ahsan atau tidak walahualam, tetapi orang yang mengambil nasihat itu adalah orang yang berada dengannya sepanjang hari dan akan berhubung tidak kurang 10 kali sehari.

Akhirrul kalam, nasib Ahsan hari ini tak ubah seperti ais di dalam gelas yang mengandungi air panas, dia akan mengecil kemudian akan tenggelam didalam gelas larut bersama air kemudian menjadi sejuk. Ibarat bekas air dikedai kopi selepas pelanggan bangun pergi tuan kedai akan mengambil gelas itu dan mencurahkan air bekasan itu ke dalam longkang.

Nampaknya Ahsan kini sudah pun hampir dengan longkang! [wm.kl.5:41 pm 18/01/12]

Ps: Lepas ini saya tidak akan mengulas dan menyebut nama Ahsan lagi kecuali keadaan memaksa, cukuplah.

Terkini Tengahari

Posted: 17 Jan 2012 08:01 PM PST

Exco Baru
Syabas Rani, Tahniah Ahmad


Saya mendahului ucapan syabas kepada Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman yang memberi laluan kepada Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi untuk dilantik menjadi Exco Kerajaan Selanggor bagi mengganti Hasan Ali yang telah dilucutkan jawatan selepas bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu dibuang dari Pas minggu lalu.

Ahmad Yunus mengangkat sumpah memegang jawatan Exco yang bertanggungjawab ke atas porfolio Kebudayaan Melayu, Belia dan Sukan dihadapan Sultan Selangor, di Singgahsana, Istana Bukit Kayangan Shah Alam lewat pagi ini.

Perlantikan Dr Ahmad Yunus menjawab spekulasi sebelum ini kononnya Dr Rani Osman akan dilantik menggantikan Hasan. Walaupun Dr Rani sudah mengatakan awal-awal dia tidak bersedia untuk memegang jawatan itu kerana ia satu tugasan yang berat tetapi beliau dianggap paling layak memandangkan kedudukannya dalam parti.

Perlantikan Dr Ahmad itu juga adalah satu strategi Pas yang tidak menjadikan perlantikan Dr Rani sebagai isu politik kerana pihak musuh sudah bersedia membuat ulasan bahawa Dr Rani berminat dengan jawatan itu. Perlantikan Dr Ahmad itu juga menyelamatkan Dr Rani dari kritik dan difitnah dengan tanggapan yang bukan-bukan.

Semasa berlangsung majlis angkat sumpah, selain MB Khalid Ibrahim dan pembesar negeri lain Dr Rani juga ikut sama.

Tahniah kepada Dr Ahmad Yunus semoga dengan perlantikan itu beliau dapat memikul tanggungjawab dengan sepenuhnya dan sekaligus menenangkan kolam yang berkocak akibat dilempar cawan oleh Hasan.

Perlantian Dr Ahmad telah memberi paku buah keras kepada pihak terterntu termasuk sebuah akhbar arus perdana yang menjadi penjilat buntut UBN yang sudah membuat write-up awal-awal lagi untuk menyerang Pas sekiranya Dr Rani dilanti menjadi Exco. Nampaknya artikel yang bakal disiarkan di muka 9 pagi esok ditarik balik.

Kebijaksanaan Pas membuat pilihan mengganti Hasan itu menyebabkan media arus perdana yang kesekian lama berdendam dengan Pas mengigit jari dan terkutil-kutil sendiri. [wm.kl.12:14 t/hari 18/01/12]

Menyapu Awan Menerangi Bulan

Posted: 17 Jan 2012 03:18 PM PST

Berilah Cenderahati Untuk Tok Guru
Menangkan Nik Abduh


Persoalan mengenai siapakah di kalangan 10 anak Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terdiri dari lima lelaki dan lima perempuan bakal mewarisi atau mempusakai takhta politiknya itu tidak timbul lagi. Dari kalangan keluarga Raja Jembal itu sudah dapat menilik siapakah di kalangan putera-putera Nik Aziz itu yang berbakat dan sudah menyingsing lengan baju dalam politik.

Pastilah Nik Aziz sabagai tokoh politik ulama tidak mahu kerja dakwah dan jihadnya terputus begitu sahaja tanpa disambung oleh zuriatnya.

Pengganti itu tentulah anaknya yang jinak dengan politik ataupun sedang mengepakkan sayap untuk terbang lebih jauh dan tinggi lagi dalam politik.

Siapakah anak itu? Semua sedar hanya seorang saja putera Nik Aziz yang berminat dengan politik dan kini galak mempersiapakan diri. Anak lelaki itu ialah anak ke limanya bernama Nik Muhammad Abduh, 35. Tokguru sendiri dalam percakapan dengannya di Kuching Sarawak memperakui hal itu, katanya Nik Abduh nampaknya berminat benar dengan politik.

Kedudukan Abduh dalam arena politik Pas dan hirearki kepimpinan kini sudah lumayan dan boleh dibanggakan. Beliau kini adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia. Kedudukan itu adalah layer ketiga dalam saf kepimpinan tertinggi parti Pas.

Dengan kedudukan itu logiknya permusafiran Abduh dalam politik selepas ini licin dan selamat, melainkan beliau ada terlalai dan alpa dengan kedudukan itu tidak mustahil beliau boleh berkelana. Secara tradisinya timbalan ketua akan menganjak menjadi ketua. Dan selalunya juga ketua pemuda akan terus menginsut sehingga ke jawatan Naib Presiden.

Sekurang-kurang tiga orang tokoh yang menakhtai Pas kini lahir dari dewan pemuda. Mereka Sallahuddin Ayub, Muhammad Sabu dan Mahfuz Omar. Kekuatan yang ada kepada dewan pemuda boleh mengangkat ketuanya ke jawatan tertinggi. Sebab itu mereka yang tidak berakar umbi pemuda akan merana dan kalau jiwa tidak kuat akan berputus asa.

Dalam dunia politik demokrasi, jawatan dan kedudukan perlu diburu dan dikejar. Mereka yang bersikap kurang 'cakduh' dengan jawatan akan tertinggal dan tercicir serta kurang dihormati. Ilmu saja tanpa jawatan dalam politik tidak cukup gah. Dalam politik demokrasi ala barat populariti di antara salah satu aset kepada seseorang itu. Berjaya menduduki jawatan mencerminkan populariti seseorang itu.

Kedudukan atau jawatan ini juga akan meletakkan seseorang itu di barisan depan gunanya untuk membolehkan mereka memberi sumbangan dan penglibatan seoptimanya dalam parti termasuk menetukan halal tuju atau mengejap dasar dan prinsip asal parti. Tanpa jawatan seseorang itu akan menjadi base giter bukan lead gitar dalam sesuatu orkestra besar.

Menganalisa ini maka Nik Abduh perlu 'mengejar' jawatan dan kedudukan tanpa ada rasa malu dan kompromi. Keikhlasan dalam politik demokrasi menjadikan seseorang itu menangis di tikar sembahyang! Walaupun sikap merebut, berusaha mendapat, mengambil peluang adalah sifat-sifat tercela dalam konteks Islam, namun sifat itulah menjadi ramuan bermutu untuk berjaya dalam poltik ala kita dan ia merupakan sifat positif.

Apa yang hendak saya maksudkan, dalam pilihan raya yang akan datang ini Nik Abduh harus bertanding dan menang dalam pertandingan. Beliau perlu mencari atau ditempatkan di mana-mana kerusi sama ada state atau parlimen bagi mengukuhkan kedudukan dalam politik dan menjadi tapak kepada dakwah dan jihadnya. Dengan status hari ini selaku timbalan ketua pemuda beliau sudah boleh bercakap tetapi kekuatan dan pengaruhnya tidak meluas menjadikan kehadirannya kurang berimpak.

Sebelum ini saya sudah membuka 'sirah' kerusi terbaik buat Abduh ialah parlimen Pengkalan Chepa. Disitu dia akan dapat mengikut jejak ayahnya untuk mengapai jaya dalam politik. Nik Abduh harus belajar berpolitik secarara rasmi dan mengetahui institusi politik secara ilmiah dengan menjadi ahli Parlimen seperti ayahnya dengan berada dalam dewan Parlimen. Parlimen akan melambakkan berbagai ilmu buatnya.

Ayahnya bermula di Pengkalan Chepa sebagai ahli Parlimen apabila menang dalam pilihan raya kecil tahun 1967. Kemenangan itu telah membuka luas minda Nik Aziz dari seorang guru dan ustaz kepada seorang murabi politik, pentadbir dan menjadi ikon politik Islam. Tidak dapat tidak kalau Abduh bercita-cita untuk memakai 'serban' dan 'kopiah' ayahnya dia perlu menuruti jejak itu - ke parlimen.

Tetapi nampaknya cadanagn saya itu sedikit terhalang kerana kerusi Pengkalan Chepa berada sama dalam kawasan di mana kerusi ayahnya sandang kini, Chempaka. Jadi kerusi itu tidak berapa kondusif dan tidak berapa manis kalau dua beranak berada di kawasan sama. Hendak tidak hendak salah seorang perlu berkorban kalau kerusi di kawasan itu juga diminati. Sama ada Abduh menangguhkan hasrat masuk dewan atau Tok Guru tidak bertanding. Dalam hubungan ini bagi saya Abduh perlu didahulukan dari ayahnya.

Justeru Nik Abduh diheret ke Pasir Mas. Alasan yang diberikan kerana di situ beliau dapat menumpang pengaruh bapa mertuanya Abdul Fatah Haron, yang berumah di kampung Mekasar. Bagaimana pun setelah menyedari pengaruh Fatah tidak menebal di situ maka kawasan baru dicari untuk Abduh. Memang Fatah tinggal di Pasir Mas, tetapi dia berpolitik di Rantau Panjang.

Sebagai orang baru yang belum ada pengkalan sendiri serta pengaruh peribadi meluas di sesuatu kawasan, Nik Abduh perlu dicari kawasan yang selamat. Umum tahu modal yang akan dijual atau ditempel kepada diri Abduh dalam kempen-kempen nanti ialah dia anak Tok Guru dan MB. Modal itu sendiri tidak menjamin kemenangan Abduh kerana pengundi hari ini bukan lagi mudah terpengaruh dengan barang-barang klon ataupun saduran. Hendak tidak hendak Abduh perlu ada kekuatan sendiri, dan dalam hal ini kawasan selamat perlu disediakan untuk menjadi kemenangannya.

Secara diam-diam saya ada membisikkan kepada pihak tertentu adalah baik kalau Abduh dibawah ke Rantau Panjang. Ada beberapa alasan, pertama, bapa merutanya adalah Yang Dipertua Pas di situ. Walaupun Fatah sudah tidak sepopular dulu tetapi pengaruh peribadinya masih kuat di situ. Di Rantau Panjang kalau Abduh bertanding di mana-mana kerusi termasuk state pun, baik Meranti, Gual Periok dan Bukit Tuku peluang untuk menang secerah 'cadni' purnma. [Candi candi ni gat bulanlah - bahasa Hindi, nanti kata saya salah ejaa pulak].

Sejajar itu sebagai gantiannya Ahli Parlimen kini Siti Zailah Yusuf boleh dibawah turun ke Dun Gual Periok. Sesuai dengan jawatan dan kedudukannya beliau boleh dilantik menjadi Exco. Keperluan lain untuk Zailah turun di Gual Periok juga bagi menjamin kerusi itu menjadi milik Pas kerana wakil rakyat Ahmad Awang sekarang tersangat lemah.

Tetapi cadangan itu kurang diminati Abduh? Barang kali orang Rantau Panjang sendiri tidak senang kerana kehadiran Abduh boleh menjejaskan peluangnya untuk bertading sekali lagi. Sudah tentu adalah tidak manis kalau Abduh bertanding di Rantau Panjang sedang bapa mertuanya juga bertanding di situ, samalah keadaanya kalau dia bertading di Pengkalan Chepa.

Jadi jika dia dietak bertanding di Rantau Panang bapa mertuanya secara automartik perlu menarik diri. Kalau Abduh diletakkan di parlimen Rantau Panjang Fatah perlu redha dan bersedia untuk tidak dicalonkan di Bukit Tuku.

Kini tidak jelas kepada saya kerusi mana yang akan ditempatkan untuk Abduh. Ada juga kedengaran jauh-jauh Abduh akan dibawa ke Bachok atau Pasir Puteh. Alasan di Bachok kerana Pas Kelantan sudah tidak mahu kepada orang luar lagi. Nasharudin Mat Isa yang kini menjadi burung candik kalah bertanding, rupa cantik tetapi tidak tahu berkokok' tidak lagi akan diberikan peluang di Bachok. Maklumat terbaru katanya dia kian mesra dengan Umno?

Pasir Puteh juga diadukan kepada Abduh. Paling terbaru Abduh akan dibawa ke Machang ekoran kedengaran Saifuddin Nasution Ismail tidak lagi bertanding di Kelantan atau pun ada pertukaran kerusi di antara PKR dengan Pas. Machang dikatakan kerusi selesa buat Abduh. Salah seorang keluarga terdekatnya mengakui anak beranak mereka ramai di Machang.

Tidak kira di mana putra politik Nik Aziz itu diletakkan asalkan beliau menang. Kemenangan adalah penting bukan saja sebagai cenderamata untuk Tok Guru tetapi masa depan politik Abduh sendiri. Kekalahan beliau dalam saat kuasa politik ayahnya sedang menirus sangat bahaya. Dahan yang kukuh untuk dijadikan tempat bergantung sangat penting dalam politik.
Dalam memperhitungkan untung nasib anak Tokguruku kini, saya ada pandangan lain yang mungkin tidak terlintas dalam kepala sesiapa pun. Apa kata kalau Pas Kelantan membawa Nik Abduh turun ke Kubang Kerian. Kubang Kerian adalah kerusi paling selamat, selepas Pengkalan Chepa. Bahkan Kubang Kerian dalam konteks Abduh lagi baik dari Pengakalan Chepa kerana musuh tidak dapat mengeksploitasikan isu kronisme.

Pas sering kali menang di sini dan taburan pengundinya juga menarik terdiri dari golongan agama, inteletual dan rakyat biasa. Kawasan ini sesuai dengan watak Abduh itu sendiri. Cadangan ini lebih konkrit kalau benar Pas Kelantan sudah tidak mahu kepada Sallahuddin Ayub yang sudah dua penggal bermukim di situ. Bagi Sallahuddin rasanya tidak menjadi keberatan dan sebagai pemimpin setia dan penuh sentimental, beliau tidak akan membantah. Apa lagi ke belakangan ini Sallahuddin memberi tumpuan kepada Johor, molek juga kalau beliau membina empayar baru Pas di negeri itu sesuai dengan kemajuan Pas kini.

Penggantian dengan Abduh itu menjadi lebih murni dan harmonis lagi kalau Sallahuddin dipindah ke Pasir Mas untuk berhadapan dengan Inchek Ibrahim Ali. Saya pernah memberi pandangan dan kupas serta justifikasi mengenai hal ini tidak lama dulu.

Walaupun Abduh tidak pernah bermain di Kubang Kerian, tetapi rasanya tidak ada penolakan terhadapnya. Yang Dipertua Pas Kubang kerian, Husam Musa boleh menggunakan kuasa prerogetif dan pengaruh peribaidnya untuk menerima Abduh. Saya tidak nampak kalau Husam sendiri menolaknya kerana inilah ketika untuk Naib Presiden Pas itu menjernihkan suasana. Juga kepada Husam inilah masanya untuk beliau membals budi bosnya (Nik Aziz) yang mendidiknya dalam politik dengan memberi peluang kepada Abduh. Kalau dulu Nik Aziz didik dia, maka beliau pula kena didik anak Nik Aziz. Itulah timba balas dan mengnang budi namanya.

Husam dikekalkan di Salor. Tidak menjadi masalah kalaupun tertakdir Pakatan Rakyat memerintah nanti untuk jadikan Husam sebagai meteri kerana kebijaksanaan dan kekreatifan pemikirannya. Itu soal gampang. Untuk dilantik menjadi menteri Husam tidak perlu bertanding di Parlimen, beliau boleh dilantik menjadi senator. Cara berfikir menteri hanya boleh dilantik dengan menjadi ahli Parlimen itu adalah pemikiran yang singkat dan mereka yang terlupa membaca perlembagaan. Atas kekhilafan membuat terjemah itu menyebabkan orang membuat tanggapan perpindahan Husam tidak lain daripada percubaan mengasingkannya dengan Kelantan.

Sekiranya Abduh di bawah ke Kubang Kerian dan berganding tangan bersama Husamh menuju ke pusat penamaan calon ia banyak menyelesaikan banyak masalah dan membawa jaya. Pertama, menjamin kemenangan Abduh kerana kawasan itu adalah kawasan putih. Kedua, mengurangkan persepsi kononnya hubungan Husam dengan keluarga Tok Guru negatif ekoran beberapa insiden dan salah faham sebelum ini. Peluang ini juga membuka dan melendik semula talisiturahim antara Husam dengan menantu nombor satu Tok Guru, Abdul Ariffahami yang dikatakan 'berkedut' sebelum ini.

Ketiga, memberi peluang kepada Husam dan seluruh Pas Kubang Kerian berbakti dan membalas budi dan jasa-jasa serta pengorbanan Tok Guru selama 22 tahun memimpin Pas walaupun tidak semua terbalas. Kalaulah idea dan saranan ini diterima rasanya Umno sudah ketiadaan modal dan peluang Pas untuk mengulang sejarah 1990, menang 59 kerusi bersama Tengku Razaleigh Hamzah akan berulang. Cubalah selami hikmah di sebalik cadangan ini. [wm.kl.8:32 am 18/01/12]

Terkini Malam

Posted: 17 Jan 2012 04:53 AM PST

Anwar Saman Utusan RM50 Juta

Anwar Ibrahim hari ini mengambil tindakan drastik menyaman Editor dan Utusan Melayu Sdn Bhd penerbit akhbar Utusan Malaysia ekoran penyiaran kenyatan Hasan Ali yang mendakwa Anwar menghalalkan kegiatan homeseksual seperti mana disiarkan dalam akhbar itu di muka depan hari ini.

Kenyataan Hasan itu yang disiar akhbar berkenaan berbunyi; "Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali membidas Datur Seri Anwar Ibrahim kerana mempertikaikan undang-undang homeseksual di negara ini.

"Menurut beliau, pendirian Anwar tersebut bukanlah baharu kerana itulah pandangan peribadi dan pegangan asal penasihat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut.

"Oleh itu beliau menggesa rakyat menolak perjuangan Anwar kerana kegiatan tidak bermoral itu jika dihalalkan boleh mencetuskan pergolakan dan perpecahan dalam masyarakat serta kehancuran dalam negara."

Manakala berita di bawah tajuk "Parasit ancam Pas, Anwar mesti ditolak", disiarkan di muka 10 berbunyi; "Hasan: Inilah salah satu sebab saya tidak boleh bersekongkol dengan Anwar Ibrahim. Inilah sebabnya rakyat Malaysia mesti menolak perjuangan Anwar Ibrahim. Kalau kegiatan gay, lesbian, homeseksual dan transgender, itu hendak dihalalkan di Malsysia, saya rasa masyarakat akan bergolak dan berpecah. Saya nampak kekecauan akan berlaku ini pandangan saya. Sebenarnya pandangan Anwar Ibrahim bukan hanya di Mumbai melalui BBC itu saja."

Editor dan akhbar berkenaan diberi tempoh 48 jam untuk membuat permohonan maaf di atas kenyataan berkenaan. Bagaimana pun Hasan Ali tidak dinamakan dalam surat tuntutan yang dikirimkan ke email saya sekejap tadi.

Saman itu dikemukakan oleh Edwin Lim Suren & Soh. [wm.kl.9:07 pm 17/01/12]

Tiada ulasan: