Rabu, 11 Januari 2012

.

.


Iktisar Diri

Posted: 10 Jan 2012 05:30 PM PST

Waspada Dengan Kumpulan Lembu Nomad

Pembebasan Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat yang dianggap sebagai kemenangan rakyat memberi ellowance baru kepada Pakatan Rakyat (PR). Hakikat ini dirasai banyak orang. Tidak hairanlah kalau seorang kawan saya berkata suasana pada hari itu keputusan itu dibuat seolah-olah PR sudah memerintah Malaysia.


Keseronokan itu terbawa-bawa sampai ke saat ini.

Takdir itu memberi kekuatan dan semangat baru kepada komponen PR. Kenapa tidak, keputusan membebaskan Anwar itu menjadikan PR hilang lebih separuh masalah yang dipanggunginya selama tiga tahun lalu. Sebelum ini apa yang dilihat masalah besar yang akan dihadapi PR dalam pilihan raya ialah mengenai Anwar. PR begitu takut dan cemas kalau Anwar dijatuhi hukuman bersalah.

Sejajar itu keyakinan orang ramai terhadap PR yang sebelum ini teragak-agak sudah kembali semula. Kalau dulu ada yang duduk jauh dan memerhati kini sudah mulai mendekati dan membuka semula bendera PR yang sudah dilipat ataupun dibiarkan lusuh. Tidak hairan kalau sudah ada yang mencari buluh baru untuk dijadikan tiang bendera.

Keputusan pada 9 Januari itu memberi signifiken yang cukup besar dan menjadi nilai tambah kekuatan dan sokongan buat PR. Ia bukan saja kepada Anwar khasnya dan PKR tetapi kepada Pas dan DAP juga. Dengan keputusan itu ia menambahkan keyakinan umum bahawa PR sedang menghampiri Putrajaya. Keriukan ensel pintu Putrajaya kini sudah nyaring di telinga pendokong PR.

Benarlah seperti janji Allah dalam surah An Nasr; Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah berbondong-bondong. Maka (ketikaitu) bertasbehlah dengan memuji Tuhanmu dan mohon ampunlah kepada-Nya. Sesungguhnya Ia maha penerima taubat.

Jelas bila kemenangan sudah menyinar maka ramailah yang memberi harapan. Tatkala mentari mulai terbit sepegalahan ketika itulah juga segala ungas, kumbang, rama-rama, lebah, lalat tidak terlupa salentia dan sebagainya akan berterbangan dan merangkak merayakan hari. Nah beginilah yang dapat dirasai apa yang berlaku kepada PR kini.

Sehubungan itu di sini saya ingin bermandah serba ringkas kepada Pas, parti yang mana dilihat berpotensi besar untuk memimpin PR di masa depan. Dengan kekuatan, disiplin, azam dan perjuangan jelas Pas mampu memimpin PR. Kejayaan Pas memerintah Kelantan ditangan Tokguruku Nik Aziz menjadi sumber keyakinan mereka kepada parti Islam ini dan menjadi bukti kepada kemampuan Pas.

Lantaran itu kelebihan dan kehebatan ini perlu disedari ramai. Jangan mengkesampingkan Pas dan meletakkan Pas sebagai parti pengenap gantang atau pencukup timbang semata-mata.

Justeru dalam hal ini Anwar harus sedar yang menyemarakkan kempen membebaskannya adalah Pas. Pas terpaksa membayar begitu mahal untuk membebaskan Anwar. Ruang yang diberi oleh Pas kepada Anwar sangat besar dan luas, di mana dengan ruang dan kerjasam dan bantuan itulah yang mewujudkan sokongan besar mentakdirkan Anwar bebas. Tidak melampau kalau saya mengatakan yang menjadi para seldadu merobek pintu penjara ialah orang-orang Pas.

Ladang hijau

Pas kini boleh dianologikan sebuah ladang hijau yang subur. Penuh dengan rumput yang bergizi dan lazat. Pas kini sudah menjadi perhatian umum. Sekaligus juga menjadi puteri yang ingin direbuti. Sebagai ladang hijau ia dijenguki oleh segala macam herbivorous hatta yang dulunya kelompok yang usahkan hendak menelan, memandang rumput hijau pun tidak lalu. Dalam hal ini tentu para lembu ladang yang hidup secara nomad berpindah mencari rumput dari ruang ke ruang tidak ketinggalan turut sama ingin memasuk ke ladang Pas.

Kini sudah ada sekumpulan lembu ladang sudah pun mula memberi tumpuan kepada Pas. Mereka sudah mula mencari lubang untuk memasuki ke ladang Pas. Mereka sudah melakukan tawaf mencari ruang dan lubang. Orang yang dipercayai dapat membuka pintu juga sudah diterpa dan dilayan seistimewanya, dijamu makan dan diraikan dalam pelbagai majlis.

Setengah ahli kumpulan ini sudah mulai mengenali dan mengamali apa yang menjadi budaya atau pun fesyen orang Pas. Mereka perlahan-lahan menukar warna bulu, perwatakan demi menyakinkan orang Pas.

Misalnya kalau dulu mereka pakai songkok, kini sudah beralih kepada kopiah. Kalau dulu pakai baju Melayu kini sudah pandai berjubah hanya belum berserban lagi.

Saya yaklin dan percaya tidak lama lagi ada kalangan mereka akan ikut memakai serban jadi lebih ekstream dari orang Pas sendiri. Mungkin waktu kini sedang mengikut kursus membelit serban di pondok-pondok tradisi di Kelantan, Kedah dan juga Terengganu.

Sebagai ladang hijau dan parti masa depan, Pas tentu suka menerima kemasukan sesiapa saja. Setiap bantuan dan pertolongan diperlukan. Tanpa bantuan dan sokongan tidak mungkin Pas akan menjadi sebuah ladang yang akan membidangi negara ini.

Bagaimana pun dalam pada itu Pas sebagai tuan ladang kena berhati-hati. Pepatah pisang jangan sampai berbuah dua kali hendak disemat sedalam mungkin di jiwa Pas. Istilah cakap boleh dengar percaya jangan hendak selalu dikenang. Pas jangan mudah teruja dan menganggap 'teboon' (bunyi suara lembu) yang sama itu sama dari segi hakikat dan lisan.

Pas kena pastikan kemasukan mereka adalah untuk membantu Pas bukan mencari imbuhan dari Pas. Keikhlasan mereka harus dinilai dan diistkharahi. Pas jangan tersilap hitung mudah tersimpul dengan janji yang akhirnya mereka meninggalkan tahi dalam ladang Pas setelah meragut rumput hijau. Sedarlah lembu ladang ini lebih bahaya dari lembu kondominum.

Pas perlu mencerapi apakah tujuan kumpulan lembu ladang ini tiba-tiba berarak kepada Pas? Tdak mustahil mereka bergerak kerana olekkan angin tanpa ada nawaitu dan motifnya. Ingat mereka berarak mengikut musim yang bukan menentang arus. Jangan mudah terpana dengan sihir dan memorandum politiknya. Apa yang Pas kena pastikan mereka masuk bukan kerana menyokong taukeh ladang itu tetapi hendaklah masuk dengan niat untuk membangun ladang menjadi sebuah estet luas berdasarkan apa yang digariskan.

Pastikan mereka masuk memperjuangkan ladang (Pas) bukannya masuk untuk mengutip hasil yang sudah boleh dituai kini. Pastikan mereka masuk mendokong idealisme Pas berdasarkan Quran bukan teruja dengan sosok pemimpin. Jangan pula kerana terlalu teruja dan gembira sampai Pas memberi ruang rumput hijau yang tebal kepada mereka sementara lembu lama yang berada dalam ladang yang telah melakukan proses penggemburan ladang dengan peluh dan najisnya dibiarkan terjilat-jilat kekurusan di pinggir pagar.

Sebelum Pas hendak menerima mereka sebagai benih pastikan mereka juga mereka masih subur. Ini kerana ada di kalangan mereka merupakan lembu kasi yang telah kalah belaga atau pun yang sudah menopous yang mana tidak mungkin mendatangkan hasil. Jadi kalau Pas turut membiak lembu sebegini hanya boleh menyesakkan ladang saja.

Setiap mereka perlu diberikan kitab perlembagaan. Biar mereka baca dan hayati. Saya nukilkan ini kerana bimbang apa yang berlaku di Pasir Mas akan berulang. Apa yang berlaku dalam ladang PKR akan terikut. Sekiranya mereka ini tidak dikurantin secukupnya, disintuklimaukan secukupnya dan diajar syahadat yang benar dan betul, kemungkinan mereka akan belot dan murtad kembali.

Justeru sekali lagi dingatkan kepada tuan ladang berwaspada dengan kumpulan lembu ladang ini. Mereka adalah politician nomad yang hidup secara berpindah randah semata-mata untuk mencari rezeki. Kenapa saya berkata begitu, kerana kalau mereka ikhlas dan ingin berjuang mereka boleh terus berjuang di ladang lama sampai wafat. Tetapi kerana di ladang lama mereka dinafikan mendapat rumput hijau yang banyak atau kerana clash dengan penjaga ladang maka mereka berarak menuju ke ladang baru bersama beralihnya musim.

Bukan itu saja, saya membuat teguran ini kerana telah terjumpa agenda dan plan tidak manis mereka untuk dilakukan sebaik berjaya memasuki ladang hijau itu. [wm.kl.9:28 am 11/01/12]

Menjelang Tengah Malam

Posted: 10 Jan 2012 07:54 AM PST

Muslimat Pas Sudah Terlebih?

Semasa menyantap stay di Jalan Ampang sekejap tadi sahabat malam saya taukeh Kopi Janda, sdr Zulaimi Kazin bertanya saya apakah saya sudah tenguk atau tidak klik video yang menunjukkan bagaimana kegembiraan muslimat Pas menyambut pembebasan Anwar Ibrahim semalam. Katanya dia agak terkejut dengan gelagat muslimat Pas itu. Saya bertanya kepada beliau siapakah yang memimpin kumpulan itu jawabnya, Aiman Atirah Al Junid kalau tak salah.

Saya difahamkan Atirah al Junid seorang mujihidah Pas yang berani berjiwa bugis. Dia tidak bersuami dan merupakan ahli jawatan kuasa muslimat Pas Malaysia. Sudah beberapa kali Atirah ini ditangkap kerana terlibat dengan demonstrasi.

Saya tidak tahu apakah dia ada kes mahkamah, maksudnya didakwa kerana berdemonstrasi. Tetapi melihat kepada sikap agresifnya, hampir semua demonstrasi disertainya... saya rasa mungkin dia pernah didakwa. Melihat kepada keberanian, komitmen dan kesungguhannya saya meramalkan wanita ini akan menjadi wanita besi dalam Pas.

Sesampai di rumah saya mencari klik video berkenaan di muka buku dan menontonnya. Memang dalam klik video itu ada seorang muslimat memegang pembesar suara sedang menyanyi dan memimpin sekumpulan wanita. Semuanya menutup kepala dan bertudung labuh. Semua wanita dalam kelompok itu menyanyi mengikut rentak dan seni kata yang diucapkannya. Tidak dapat dipastikan apakah yang pegang pembesar suara itu Atirah al Junid atau siapa seperti diagakkan oleh Zulaimi.

Tidak pula saya nampak mana-mana pemimpin tertinggi yang berada di situ atau mata saya kabur untuk melihat satu persatu kerana saya tidak akan percaya kalau muslimat Pas boleh berkeadaan seperti orang Asli Kenya menari lagu asli mereka sambil menungging punggung kepada penonton.

Apakah muslimat berkenaan budak-budak dari kalangan siswi? Tetapi yang jelasnya seperti mana kata Zilaimi, keadaan itu agak mengejutkan. Tidak sesuai saya rasanya ia diperlakukan oleh muslimat yang berada dalam harakah Islam seperti Pas. Kaum wanita Islam bukan tidak boleh menyanyi dan melahirkan kegembiraan, berhibur, menari...boleh tetapi ia masih ada batas-batas dan haknya.

Di zaman nabi kaum muslimat berlarian kegembiraan sambil menyanyi untuk menyambut kepulangan panglima perang dengan nasyib-nasyid pujian dan sanjungan ala-ala Ta'albadru... sebagai tanda kegembiraan. Namun mereka masih menjaga aurat dan adat sopan santun.

Ada wanita berupa isteri dan anak menerkam kepada lelaki yang baru pulang itu. Mereka seronok dan rindu malam. Memeluk dan mencium mereka, tetapi lelaki itu adalah suami atau ayah mereka. Pergaulan dan sentuhan mereka dalam keadaan halal kerana hubungan muhrim. Dalam erti kata lain mereka berseronok dalam batas yang halal.

Selain muslimat Pas itu melompat dan melolong-lolong mereka menyanyi dengan seni kata rekaan mereka yang kurang sedap didengari. Ia agak kasar pada telinga kita orang Melayu dan Islam. Misalnya perkataan "Umno mampos... Umno mampos" tidak wajar digunakan. Bagi perempuan agak huduh menggunakan perkataan itu. Kalau pun marah tidak sepatutnya perkataan itu digunakan. Bahasa yang bombastik begitu layak diucap si salentia saja.

Yang mengejutkan bukan itu saja, selepas habis menyanyi dan melaung-laung ala Badwi di padang pasir, kebetulan sepasukan polis menghampiri kumpulan mereka. Disalaminya polis itu satu persatuan. Bagi polis wanita tidak menjadi masalah, tetapi polis lelaki juga diserbu dan disalami sama. Saya tahu itu berlaku secara spotan kerana keseronokan atas pembebasan sang hero mereka. Memang tidak ada niat lain disebalik itu dan persalaman itu tidak pun sempat menaikkan syahwat. (Syahwat ni gat nafsu sex la). Tetapi suasana sebegitu amat tidak manis bagi muslimat Pas.

Apakah ini hasil liberalisasi dalam muslimat yang diperjuangkan selama ini? Sebelum ini muslimat beriya mahu meruntuhkan kekuasaan muslimat yang berselimut mahu diganti dengan muslimat yang profesional - bertudung pendek bersulam manik?

Kerana pada pandangan mata saya gelagat dan suasana begitu (kilik video) tidak berapa manis elok kalau pemimpin Pas memberi perhatian dan teguran mengenai kejadian ini. Terutamanya ketua dan timbalan ketua muslimat boleh membuat penilaian semula akan relevansi dan tepatkah tindakan itu dengan menghayati video berkenaan.

Para ulama dalam Pas khususnya Ketua Dewan Ulamak juga patut menilai apa yang berlaku. Harun Taib selaku ketua ulamak perlu menyaksi video berkenaan dan minta penjelasan dari muslimat kalau tindakan mereka itu tidak syarie.

Ikhlas saya kata, saya bukan anti kepada muslimat ataupun kolot dalam fahaman sosial dan politik serta hak asasi, tetapi saya tetap mempercayai batas-batas dan kesopanan perlu dijaga oleh muslimat. Rasanya tidak kekok untuk mslimat Pas membuat penilaian ini kerana segala tatacara dan peraturan sejauh mana penglibatan wanita dalam peperangan boleh dibaca dan dan dijadikan panduan.

Sudah lama saya membimbangi akan keterbukaan kaum wanita (Pas) di dalam politik mutakhir ini. Alasan zaman ini zaman wanita bangkit bersama bukannya lesen atau permit untuk muslimat bergerak bebas melangkau sempadan kewanitaan. Muslimat Pas juga tidak perlu jauh terikut dengan gaya liberalisasi wanita PKR atau Umno. Wanita Pas perlu kekal dengan identitinya sendiri sebagai wanita solehah, sebagai mujahidah beriman dan serikadi bersopan santun.

Ingatlah muslimat tetap muslimat yang sudah digarispisahkan dengan lelaki oleh Allah s.w.t. Jangan sesekali kita cuba melewati garis pisah itu. Moga teguran ini diberi perhatian dan muslimat Pas dapat menerimanya dengan baik. Biarlah yang berlaku itu satu kesilapan untuk membetulkan dan memastikan apa juga tindakan selepas ini betul dan tepat dengan apa yang kita yakini sejajar dengan prinsip dan dasar perjuangan. [wm.kl.12:02 t/malam 03/01/12]

Selepas Maghrib

Posted: 10 Jan 2012 04:07 AM PST

Udin Jangan Melihat Pas Dalam Cermin Retak

[kemaskini] Udin anak Yassin mempertikai tindakan Pas memecat Hasan Akidah sebagai tidak bertimbang rasa kerana tidak meminta Hasan memberi tunjuk sebab. Udin anak Yassin tidak tahu apa yang berlaku dalam Pas. Kalau setakat berpadukan kepada media PB selamanya Pas dilihat huduh dan tidak adil. Udin janganlah melihat Pas dalam cermin yang retak.

Soal tunjuk sebab kepada Hasan Akidah tidak timbul sebenarnya. Peluang untuk merayu kepada Majlis Syura Ulamak itu adalah keadilan dalam Pas. Itulah timbang rasa paling tinggi dan 'constitution'. Kalau Pas zalim dan kejam, peluang itu tidak diberikan. Hak Hasan Akidah itu ada dalam perlembagaan.

Sesiapa jahil mengenai organisasi Pas boleh beli perlembagaan Pas, tenguk dan fikir sendiri. Atau kalau sudi hantarkan alamat saya boleh tolong bantu kirimkan.

Pertemuan mahabbah di antara Hasan Akidah bersama Haron Din, Abdul Hadi Awang dengan Mursyidul Am Nik Abdul Aziz di JKR 10 di Kota Bharu adalah 'tunjuk sebab' yang tulen diberikan kepada Hasan. Pertemuan itu dibuat untuk menyelesaikan pertelagahan sebelum ini. Pertemuan itu mengandungi berbagai maksud dan tujuan antaranya ialah memberi peringatan kepada semua pihak agar henti bergaduh.

Dalam pertemuan itu semua khasnya Hasan Akidah berjanji untuk berdamai. Tetapi Hasan Akidah melanggar 'janji' itu. Beliau mempertikaikan apakah dia tidak boleh sentuh Anwar. Iya dalam keadaan dan suasana hari ini tidak elok dia menyentuh Anwar. Apa disifatkan Nik Aziz, Hasan tidak senonoh itu benar. Apa kata Abdul Hadi Awang Hasan tidak arif mengenai feqah politik betul. Anwar sebagai rakan dalam PKR suka atau tidak suka dia kena diamkan saja sebagai menghormati persepakatan.

Hasan Akidah cuba menunjukkan dia hebat dan kuat. Saya kira dia tidak fikir pun yang Pas akan memecatnya. Dia merasakan kalau Pas memecatnya dia boleh melemahkan Pas di Selangor. Pemecatannya difikir akan menjadi penganggu kepada Pas. Pas tidak berfikiran seperti Hasan Akidah.

Dalam parti, Pas ia akan mengutamakan soal pokok dari soal cabang. Bagi Pas untuk menang di Selangor soal cabang manakala soal Hasan - tindak tanduknya adalah soal pokok. Sebab cara Hasan itu boleh melemah dan menganggu kosentrasi Pakatan untuk merampas Putrajaya. Mungkin Hasan tidak bersetuju dengan Pas, tindakan baik ialah beliau keluar sebelum diberikan dua kad kuning.

Bagi Pas menerima Anwar dalam konteks polis harus, manakala membiarkan Hasan yang memalu kawan dalam deram sendiri adalah haram. Sebagai parti Pas akan memilih harus dari haram.

Pas tidak tamak kepada kuasa. Jadi kalau Hasan mengatakan Pas melebihi Anwar darinya adalah tidak betul.

Berbalik kepada dakwaan Udin anak Yassin tadi yang Pas tidak adil sepatutnya Udin tenguk ke dalam dirinya sendiri dulu. Apakah parti itu adil dan lebih bertimbang rasa berbanding dengan Pas. Pastikah? Udin kena kencing dalam tempurung dan renung lama-lama.

Di sini saya nak ambil dua contoh saja bagaimana Umno zalim dan kejam ke atas ahlinya. Pertama ialah apa yang berlaku ke atas Inchek Ibrahim Ali. Ibrahim Ali dibuang sebagai ketua bahagian Umno 2004 tanpa ada sebab-sebab munasabah. Dia juga dinafikan bertanding dalam pilihan raya yang akhirnya menyebabkan dia bertanding atas tikit bebas.

Ibrahim mengamuk sakan. Bukankah itu disebabkan ketidakadilan Umno kepada ahlinya. Ibrahim dikatakan meghabiskan RM6 juta untuk membangun dan membina Umno Pasir Mas. Alih-alih beliau dinafikan haknya. Apakah itu tidak dinamakan zalim?

Satu kes lagi melibatkan bekas setiausaha Umno Tanah Merah sdr Amran. Amran dipecat sebagai setiausaha secara tektikal. Beliau telah mengadu kepada ibu pejabat Umno tetapi tidak dilayan. Alkhirnya beliau ambil tindakan mahkamah menyebabkan dia dipecat. Anih dalam kes di Tanah Merah pencuri dan penyamun bebas yang mengadu ditangkap dan dihukum. Apakah itu bertimbang rasa? Jawab Udin?

Apakah Umno sebelum menghukum Amran itu Umno minta tunjuk sebab. Atau telah Umno layan sewajarnya laporan beliau yang disertakan dengan bukti-bukti menunjukan dakwaanya benar. Kenapa terjadi terbalik kod di Tanah Merah kerana Umno hanya melayan dan memberi keistimewaan kepada ahli yang kaya manakala ahli yang marhain terus dihaprakkan.

Sepatutnya sebelum Udin mengatakan Pas tidak timbang rasa dia buka dulu fail melibatkan Amran ini. Apakah Udin terlupa kerana terperanjat dengan pembebasan Anwar?

Pemimpin Umno janganlah hendak menuduhkan Pas zalim, kejam kepada ahlinya kalau kita sendiri juga bertindak jauh lebih kejam. Kata gemula datuk saya, jangan sesekali nak buka syarikat ubat kurap kalau ditubuh kita penuh dengan panau dan kurap. [wm.kl.8:15 pm 10/01/12]

Tiada ulasan: