Blog-list Malaysia |
- Saya dipukul ketika bantu rakan
- AMK desak dakwa polis pukul mahasiswa
- RAJA PETRA PERLU BERI MAKLUMAT LANJUT DAKWAAN RASUAH
- Pakatan Rakyat Perlu Kaji Semula Kerjasama Dengan Raja Petra
- Suruhanjaya Diraja untuk siasat Insiden Berdarah UPSI
- Isu Madrasah Salihiah - Penjelasan 10 Dakwaan Umno
- Coretan Tok Guru Nik Aziz Di Awal Tahun 2012
- Juanda: ‘Polis patut bertindak dengan bijaksana bukan kemarahan’
- Polis Nafi Bergelut Dengan Mahasiswa UPSI
Saya dipukul ketika bantu rakan Posted: 01 Jan 2012 11:27 PM PST Mahasiswa yang tercedera dalam perhimpunan prokebebasan akademik di Tanjung Malim semalam mendakwa beliau beliau dipukul di bahagian muka ketika membantu rakannya yang diseret polis. Bercakap kepada sidang media selepas dibenarkan keluar daripada hospital hari ini, Muhammad Safuwan Anang, 23, juga mendakwa beliau tidak melawan langsung pasukan keselamatan dalam insiden di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Tampil lemah dengan kerusi roda yang disorong isterinya, Muhammad Safuwan mendakwa, dalam kejadian semalam, polis juga menekan rusuknya menggunakan lutut dengan keras. Pihak polis Perak semalam bagaimanapun menafikan menggunakan kekerasan dan mendakwa kecederaan peserta perhimpunan disebabkan "rempuhan sendiri" ke klinik berdekatan. |
AMK desak dakwa polis pukul mahasiswa Posted: 01 Jan 2012 08:46 PM PST KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa anggota polis yang memukul mahasiswa sehingga patah tulang rusuk Sabtu lalu disiasat dan didakwa di mahkamah. "AMK menuntut siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden keganasan ini dan anggota polis bertanggungjawab mencederakan mahasiswa dihadapkan ke muka pengadilan," kata Shamsul dalam satu kenyataan. Tengah malam 31 Disember lalu, Pengerusi Gerakan Kebebasan Akademik (Bebas), Safwan Anang patah tulang rusuk akibat dipukul polis yang cuba menghalang himpunan aman menuntut kebebasan akademik di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. Beliau kini terlantar dan dirawat di Hospital Slim River, Perak akibat kecederaan tersebut. Bercakap lanjut, Shamsul menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang bertanggungjawab terhadap pasukan polis meminta maaf kepada Safwan Anang dan keluarganya. "Kami menuntut supaya Menteri Dalam Negeri memohon maaf kepada mahasiswa yang dizalimi serta ahli keluarga mereka," kata Shamsul. Beliau mewakili AMK turut menawarkan khidmat guaman kepada mana-mana mahasiswa yang mahu mendakwa polis yang mengasari mereka dalam kejadian Sabtu lalu. Menyifatkan peristiwa itu sebagai tragedi hitam dalam gerakan mahasiswa, Shamsul berkata ia bukti jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebenarnya tidak serius dalam meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku). Beliau turut mengingatkan Najib bahawa pentadbirannya kini semakin hari semakin mirip kepada pemerintahan kuku besi di bawah bekas mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohammad. "Ini jelas bertentangan dengan janji beliau sendiri kononnya untuk menjadi pemimpin yang mendengar suara rakyat dan mesra anak muda. "Apa yang berlaku membuktikan pendekatan pentadbiran Najib kini semakin mirip kepada kaedah otokratik yang diamalkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad," kata Shamsul. Beliau seterusnya mengingatkan Najib agar mengambil iktibar dari Arab Spring yang bermula apabila mahasiswa bangkit menentang penguasa yang galak dan rakus menindas mereka. "Harus diingat bahawa kejatuhan rejim di Tunisia dan Mesir bermula tatkala pihak berkuasa bertindak zalim menindas anak muda dan mahasiswa. "Peristiwa yang berlaku awal pagi tahun baru 2012 ini secara tersirat menandakan bermulanya kejatuhan rejim UMNO-Barisan Nasional," kata Shamsul. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=24982 |
RAJA PETRA PERLU BERI MAKLUMAT LANJUT DAKWAAN RASUAH Posted: 01 Jan 2012 06:51 PM PST KENYATAAN AKHBAR Saya terpanggil untuk memberi komen selepas membaca temubual eksklusif bekas rakan reformasi yang juga Penulis Blog, Raja Petra Kamarudin (RPK) bersama akhbar-akhbar milik UMNO yang disiarkan semalam. Meskipun saya menghormati hak RPK melakukan analisa politiknya namun saya berasa mushkil dan sesungguhnya hanya beliau seorang sahaja yang mengetahui logik sebenar kenyataan tersebut. Pada masa yang sama saya percaya rakyat boleh menilai sendiri kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh RPK seperti disiarkan The Sunday Times dan Berita Minggu - dua akhbar yang dulunya pernah mengkritik dan mengutuk RPK secara keras kerana menentang Kerajaan Barisan Nasional. Walau apapun sebab yang membawa kepada tindakan akhbar-akhbar tersebut bertukar selera serta ghairah memberi keistimewaan kepada RPK, yang pasti RPK harus bertanggungjawab ke atas apa yang beliau telah katakan. Tuduhan beliau bahawa wujud amalan rasuah di Selangor; duit kopi yang melibatkan para usahawan berbangsa Cina, adalah tuduhan serius. Kami menuntut RPK untuk tampil memberikan butiran lanjut kepada Kerajaan Negeri dan pihak berwajib agar penyiasatan terperinci dapat dilakukan. Kerajaan Negeri bersedia membayar kos perjalanan RPK ke Pejabat Pentadbiran Kerajaan kerana untuk makluman RPK Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM15 juta untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Negara ini khususnya di Selangor. Jumlah tersebut termasuk di dalam Geran Selangorku yang diumumkan oleh YAB Dato' Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan 2012 yang lalu. Sesungguhnya inilah sekecil-kecil jasa yang beliau boleh lakukan untuk membantu kerajaan yang benar-benar mahu membenteras rasuah; apatah lagi beliau sendiri dari darah bangsawan negeri Selangor. RPK tidak seharusnya melemparkan dakwaan liar hanya semata-mata mahu memperlekeh usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik, bersih dan penuh pertanggungjawaban. Kami sesungguhnya simpati dan amat memahami kekecewaan beliau yang terpaksa hidup dalam buangan di tengah-tengah permasalahan peribadi yang beliau hadapi, tetapi dengan melemparkan dakwaan liar sebegini tidak akan membantu membawanya pulang ke negara ini. Sebaliknya ianya hanya akan mencemarkan lagi imejnya yang sudah sediakala tercalar. Rata-rata teman reformasi yang sempat dihubungi serta rakyat biasa, telahpun membuat kesimpulan bahawa RPK begitu terdesak serta mengharapkan kebebasan dan dibenarkan pulang ke negara ini. Insuransnya mudah; tohmahan dan fitnah terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan Penasihat Ekonomi Negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai serangan awal menghadapi pilihan raya umum. FAEKAH HUSIN SETIAUSAHA POLITIK KEPADA YAB DATO' MENTERI BESAR SELANGOR |
Pakatan Rakyat Perlu Kaji Semula Kerjasama Dengan Raja Petra Posted: 01 Jan 2012 05:42 PM PST SEBAIK temuramah Raja Petra dengan beberapa media arus perdana menjadi hebahan massa semalam, penulis terfikir sudah sampai masanya Pakatan Rakyat mengkaji semula kerjasama yang wujud dengan pengendali portal Malaysia Today ini. Penulis mendengar bahawa kehidupan Raja Petra di luar negara ditanggung oleh pihak-pihak yang ada kaitan dengan Pakatan Rakyat yang simpati dengan nasibnya yang dihambat tindakan undang-undang kerana menuduh Perdana Menteri dan isterinya terlibat dalam pembunuhan model Mongolia, Altantunya. Walhal, penulis secara peribadi tidak nampak sebarang keperluan Raja Petra untuk melarikan diri kerana maklumat yang menyatakan penglibatan tersebut tidak dibuat secara langsung oleh beliau tapi berdasarkan maklumat yang dibekalkan seorang perisik tentera!! Kesalahannya (kalau ada) ialah menyiarkan berita tersebut melalui portal beritanya. Tapi tidak mengapalah, yang penting sekarang Raja Petra sudah pun berada di luar negara sejak 3 tahun lepas bersama-sama dengan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam. Satu ketika dahulu penulis memang kagum dengan Raja Petra kerana beliau punya keberanian luar biasa yang hampir sama dengan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor (kini Senator) yang sanggup keluar masuk penjara untuk mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim – pengorbanan yang bukan mudah dilakukan orang kebanyakan. Tambahan pula fungsinya sebagai bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan, penggerak kempen bebaskan Anwar 1 di Internet dan peranan Malaysia Today itu sendiri dalam isu berkaitan pembunuhan Altantunya, menjadikan Raja Petra begitu dekat dengan PKR khasnya dan Pakatan Rakyat amnya. Tapi kini penulis sedikit tidak faham apa yang menggerakkan Raja Petra untuk menentang Anwar dengan membuat pelbagai tindakan yang bertentangan seperti semalam. Mungkinkah faktor kewangan? Kebetulan atau apa, isu liwat dan gay yang menjadi fokus Raja Petra dalam temuramah tersebut, muncul dikala keputusan mahkamah berkaitan dengan pertuduhan liwat Anwar, hanya tinggal kurang seminggu untuk diumumkan. Penulis tidak nampak ini sebagai kebetulan tapi memang sengaja diadakan bagi memberi kelebihan kepada BN dan UMNO. Penulis tidak nampak pihak lain yang ada kepentingan melainkan 2 entiti di atas, tambahan lagi NST dan Utusan terlibat dalam mengadakan dan menyiarkan temuramah tersebut. Tidak berapa lama dahulu, Raja Petra memberikan interview eksklusif dengan TV3 untuk menghentam Anwar dalam isu pembunuhan model Altantunya dan kaitannya dengan Perdana Menteri yang katanya adalah palsu, sengaja diadakan atas arahan Anwar. Itu menjadikan Raja Petra ini orang yang bahaya kerana tanggapan umum yang dia adalah proksi Anwar begitu menebal dan apa jua yang ditulis olehnya mengenai Anwar adalah betul!!! Justeru, penulis menyeru, selain apa bentuk sokongan material dan kewangan, Pakatan Rakyat juga perlu berhenti merujuk kepada Malaysia Today untuk menyiarkan maklumat-maklumat dalaman yang diperolehinya. Ini sepatutnya sudah lama dimulakan sejak Raja Petra mengadakan temuramah eksklusif dengan TV3 dahulu. Diakhirnya nanti, rakyat tidak lagi akan melihat Raja Petra sebagai figura yang mewakili Pakatan Rakyat. Itu bukan sahaja akan menghilangkan kelebihannya dikalangan penyokong Pakatan Rakyat yang membantu menaikkan ranking Malaysia Today malah kepada mana-mana pihak yang mungkin menyalurkan dana tambahan kepadanya sekarang (atas kelebihannya itu) bagi 'menentang' Pakatan Rakyat dan Anwar. Sebagai ganti, portal berita sedia ada sudah cukup kuat untuk menjadi medium perantaraan walaupun Malaysia Today masih baik dari segi rankingnya dibanding dengan Keadilan Daily yang terkenal dengan pendedahan skandal yang melingkari National Fedlot Corporation (NFC). Inilah masalah yang penulis lihat bila kita terlalu bergantung (dan menanggung?) kepada blog blog yang dimiliki individu seperti ini untuk menjadi perantara kita. Akan tiba satu masa bila mereka menggunakan kelebihan blog masing-masing untuk menentang kita semula terutama bila kehendak mereka tidak dipenuhi. Dipetik dari Suara Pakatan Rakyat |
Suruhanjaya Diraja untuk siasat Insiden Berdarah UPSI Posted: 01 Jan 2012 05:21 PM PST PAS mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden berdarah akibat keganasan pihak polis menyurai perhimpunan mahasiswa di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato' Abu Bakar Chik berkata tindakan ganas polis memukul mahasiswa yang berhimpun di bagi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada malam sambutan tahun baru 2012 sangat tidak wajar. Katanya, suatu siasatan perlu dilakukan segera bagi mencari punca permasalahan hingga berlaku perhimpunan seumpama itu. Menurutnya, jika perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden tersebut hingga mendatangkan kecederaan parah kepada mahasiswa terbabit. "Saya minta suatu siasatan dilakukan yang menjurus bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang sedia ada dan bukan siasatan hendak cari siapa salah. "Apa puncanya berlaku permasalah (perhimpunan) itu. Jika perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk membuat siasatan. "Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri mesti bertanggungjawab. Pihak polis mesti bertanggungjawab, Kementerian Pengajian Tinggi mesti bertanggungjawab dan pihak Kementerian Pelajaran sendiri juga mesti bertanggungjawab terhadap insiden ini," tegasnya dalam sidng media khas di sini pada Ahad 1 Januari. Beliau memberi reaksi terhadap insiden Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan UPSI, hingga menyebabkan dua cedera parah serta 17 lagi ditahan di Balai Polis Tanjung Malim, Perak. Menurut Ustaz Abu Bakar, tindakan tersebut telah menimbulkan keresahan yang sangat besar di kalangan rakyat serta mahasiswa di negara ini. Katanya, pihak keselamatan terbabit bertindak mengikut arahan pimpinan kerajaan tanpa mempedulikan kepentingan rakyat. Sepatutnya, kata beliau pihak pasukan keselamatan seperti polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak menjaga kepentingan rakyat dan orang ramai. "Mereka (polis) mesti sedar tindakan mereka ini telah menimbulkan keresahan yang besar di kalangan rakyat dan mahasiswa sendiri. "Mereka (polis) sedar bahawa mereka mengikut peraturan yang diarahkan oleh pimpinan kerajaan tanpa mempedulikan kepentingan rakyat. Sedangkan, tugas mereka (polis) sepatutnya menjaga kepentingan rakyat dan orang ramai. "Tidak padan (layak) pihak polis hendak berlawan dengan mahasiswa dan bukan lawan dia (polis) untuk memukul mahasiswa, untuk mencederakan mahasiswa bukan lawan polis," jelasnya. Dato' Abu Bakar berkata pihak polis wajar membuat pertimbangan dengan memberi ruang dan masa kepada pelajar menyuarakan rasa hati mahasiswa. Katanya, biarlah mahasiswa menyuarakan rasa hati, berunding serta pihak berkenaan mendengar pendapat dari golongan tersebut. "Polis selayaknya memberi ruang dan masa. Biar mereka (mahasiswa) menyuarakan rasa hati, biar mereka berunding dan dengar pendapat mereka. "Tetapi dengan cara (polis) menunjukkan kekuatan, kehebatan dan kekerasan tidak mendatangkan kebaikan untuk rakyat dalam negara ini," ujarnya. Beliau yang juga mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 70-an menyokong kebebasan bersuara mahasiswa serta menghapusan akta AUKU. Menurutnya, sejak akta AUKU diperkenalkan dan dikuatkuasakan hingga sekarang pergerakan mahasiswa menjadi agak 'lumpuh'. Ini kerana, kata Dato' Abu Bakar mahasiswa dan pensyarahnya dikongkong oleh Akta AUKU yang begitu menekan golongan tersebut. "Akta ini diperkenalkan sehinggalah tahun 1974, Akta AUKU dikuatkuasa. Pergerakan Mahasiswa menjadi 'lumpuh' dan hingga ke hari ini, kita tidak menyaksikan gerakan mahasiswa bersuara untuk kepentingan negara dan rakyat kecuali terlalu sedikit. "Ini kerana, mereka (pelajar) dikongkong oleh Akta AUKU. Ini bukan sahaja mahasiswa termasuk di kalangan Pensyarah Universiti di negara ini," jelasnya. Beliau mengulangi kekesalan bahawa insiden keganasan polis hingga mendatangkan kecederaan parah kepada pelajar tersebut sebenarnya boleh dielakkan. Katanya, kumpulan mahasiswa terbabit sekitar 60 orang yang berhimpun secara aman bagi menyatakan sokongan terhadap rakan mereka. Menurutnya, alasan pihak keselamatan bertindak dengan memukul terlalu kasar dan ganas itu tidak wajar. |
Isu Madrasah Salihiah - Penjelasan 10 Dakwaan Umno Posted: 01 Jan 2012 06:23 AM PST ALOR SETAR - Setelah dikritik hebat pihak tertentu berikutan Kerajaan Negeri bertegas mahu merobohkan Madrasah Salihiah untuk dibangunkan Kompleks beli belah Aman Central, Kerajaan Negeri tampil mengemukakan penjelasan terhadap 10 dakwaan yang dilemparkan. Exco Penerangan, Abd Ghani Ahmad berkata, penjelasan dibuat supaya rakyat dapat membuat penilaian sendiri, dan tidak terpedaya dengan dakwaan yang dilemparkan atas tindakan Kerajaan Negeri. Merujuk dakwaan yang mengatakan Kerajaan Negeri bertindak zalim kerana mahu merobohkan madrasah, Abd Ghani berkata, keputusan dibuat bukan sewenang-wenangnya, sebaliknya dirujuk kepada Majlis Fatwa Negeri Kedah, diketuai Mufti Kedah, Datuk Sheikh Badaruddin Ahmad. "Majlis Fatwa bermuzakarah dan putuskan surau itu boleh dirobohkan berdasarkan kaedah istibdal, iaitu pindah wakaf kepada manfaat yang lebih baik. Pampasan RM1.48 juta diberi kepada Majlis Agama Islam Kedah (Maik) selaku pemegang amanah surau untuk dapatkan wakaf yang baru," katanya. Menurutnya, di lokasi yang dirobohkan pula dibina surau baru yang mampu menempatkan 400 jemaah, berbanding 200 jemaah di madrasah itu. "Surau baru dibina dan pampasan untuk adakan wakaf yang baru diberi. Makna, roboh satu dapat dua madrasah, bukankah lebih manfaatnya," katanya. Dakwaan kedua kononnya Mufti Kedah dipaksa turut kehendak Kerajaan Negeri turut disangkal Abd Ghani. "Mufti Kedah dan Majlis Fatwa berada bawah kuasa Tuanku Sultan, yang kini Yang di-Pertuan Agong, bukannya lantikan Menteri Besar. Justeru, tuduhan itu tidak berasas. Mufti juga tidak buat keputusan berseorangan tetapi secara muzakarah," katanya. Menurutnya, kesemua anggota Majlis Fatwa terdiri dari kalangan ulama dan ilmuan agama dan ketokohan mereka tidak wajar dipertikai. Abd Ghani berkata, menjawab tuduhan ketiga, iaitu surau baru dalam kompleks sukar diakses, katanya, surau itu dibina di aras bawah dan boleh diakses dari luar pada bila-bila masa. "Jika kompleks itu ditutup, orang ramai masih boleh masuk surau dari laluan lain yang disediakan. Ia juga akan menampakkan syiar sebuah surau seperti kubah dan melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat," katanya. Menurutnya, berbanding Madrasah Salihiah, hanya dibuka pada waktu Zuhur dan Asar, manakala pada waktu lain surau dikunci dari luar dan tidak diimarahkan sepanjang lima waktu. Dakwaan keempat yang mengatakan madrasah itu bernilai 100 tahun dan mempunyai nilai sejarah, Abd Ghani berkata, bangunan asal madrasah sudah diroboh pada 2007, dan bangunan sedia ada adalah bangunan baru sebagai ganti. "Sebahagian besar bangunan adalah ruang pejabat yang disewa kepada syarikat insurans, hanya satu ruang untuk bersolat. Dianggarkan bangunan baru itu berusia empat tahun dan pampasan yang diberi dengan menilai keseluruhan tanah dan bangunan," katanya. Tiada anak kariah solat Subuh berjemaah di madrasah Mengulas dakwaan kelima, mengaitkan seluruh bangunan madrasah sebagai rumah Allah, Abd Ghani menyangkal dan menegaskan, rumah Allah hanya untuk surau atau masjid yang menepati syarat, antaranya, tandas mesti terpisah dari bangunan utama musala, seperti mana kesemua masjid di dunia ini. "Madrasah Salihiah tidak boleh dipanggil rumah Allah kerana tandas, pejabat perniagaan dan surau berada dalam satu bangunan. Hanya satu ruang untuk surau, seperti mana status surau di bangunan lain," katanya. Abd Ghani turut menafikan dakwaan keenam, iaitu lebih 200 jemaah memakmurkan madrasah itu setiap waktu solat kerana didapati hanya ada beberapa rumah orang Islam berdekatan. "Ramai yang memilih Masjid Zahir untuk tunai solat. Jika benar surau itu ada 200 anak kariah, mengapa tiada seorang pun datang solat Subuh di situ? Mereka yang demonstrasi mengaku anak kariah, tetapi mereka sebenarnya penduduk Taman Wira Mergong," katanya. Menurutnya, bangunan itu lebih berfungsi sebagai pejabat syarikat insurans berbanding sebuah madrasah. Tuduhan ketujuh yang mahu ganti wakaf (surau) dibuat sekitar lokasi berkenaan, Abd Ghani berkata, cadangan itu mungkin baik tetapi persoalannya, bagaimana mahu memenuhi surau ganti wakaf itu kelak, sedangkan kawasan itu bukan perkampungan orang Islam. "Bukankah lebih baik fikirkan untuk penuhkan surau baru di kompleks perniagaan yang akan dibina, lebih manfaat juga kita guna pampasan bina surau baru di kawasan ramai penduduk," katanya. Mengulas dakwaan kelapan yang mengaitkan sebuah gereja berdekatan tidak dirobohkan, Abd Ghani berkata, gereja itu tidak termasuk dalam lokasi strategik yang mahu dimajukan. "Jika gereja sengaja mahu dimasukkan, maka perlu buat ganti gereja dalam kompleks itu juga. Adakah rakyat negeri ini bersedia melihat sebuah gereja dalam kompleks yang sama dengan surau?" katanya. Dakwaan kesembilan pula menyebut, mengapa beri peluang kepada pemaju Aman Central yang bukan Islam majukan ekonomi negeri? Abdul Ghani berkata, Aman Central adalah usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan pemaju, Bellview Group, bukannya projek milik pemaju semata-mata. "PKNK milik Kerajaan Negeri, projek ini akan beri manfaat kepada rakyat Kedah, seperti peluang pekerjaan. Realiti dunia kini, akibat kelemahan orang Islam, tidak ada satu aspek yang umat Islam dapat bangunkan iktisad tanpa bantuan bukan Islam. Tidak boleh ada sikap 'biar orang Islam mundur asal bukan Islam jangan kaya'," katanya. Menurutnya, jika begitu, orang Islam tidak boleh menunaikan haji untuk elak bukan Islam yang mengusahakan kapal terbang mendapat untung. Mengulas dakwaan terakhir, tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Kedah, rumah Allah (masjid/surau) dirobohkan untuk bina kompleks beli belah, Abd Ghani berkata, ianya tidak benar. "Masjid Alor Malai pernah dirobohkan untuk bangunkan kompleks Al-Bukhari, yang menempatkan kompleks perniagaan. Sebuah masjid baru dibina bukan atas tapak lama, tetapi di lokasi lain dengan kaedah istibdal, sama seperti kaedah Madrasah Salihiah," katanya. Menurutnya, ianya tidak dijadikan isu kerana ketika itu Kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah, dan Pas selaku pembangkang tahu hukum hakam dan tidak membantah. "Sekarang isu Madrasah Salihiah jadi panas sebab pembangkang (BN) kini berasa lebih arif daripada ulama dalam Majlis Fatwa, dan buat pelbagai kenyataan dan dakwaan," katanya. |
Coretan Tok Guru Nik Aziz Di Awal Tahun 2012 Posted: 01 Jan 2012 05:43 AM PST Hari ini hari yang pertama dalam tahun 2012 kalendar Masihi. Saya membaca dalam akhbar bagaimana kemeriahan sambutan tahun baru ini dan juga azam baru yang ditanam pada awal tahun. Alhamdulillah, Allah SWT masih memberikan kita nafas yang panjang dan mengizinkan kita untuk terus hidup di bumiNya sementara kita dijemput untuk mengadapNya dan pergi buat selama-lamanya. Cuma ingin saya menukilkan sedikit rasa terkilan kerana umat Islam kini seolah-olah terpaksa menggunakan dua kalendar yang berlainan. Baru saja pada bulan lepas kita menyambut awal Muharram yang merupakan sambutan tahun baru 1433 H dan hari ini kita menyambut pula tahun 2012 yang merupakan tahun baru mengikut kiraan kalendar Masehi. Saya sering tertanya-tanya, kenapa perlunya untuk kita menggunakan dua kalendar ini dalam kehidupan kita pada hari ini? Apakah salahnya jika hanya menggunakan kalendar Hijrah dalam semua urusan hidup kita sehari-hari? Penetapan awal tahun Hijrah berdasarkan kepada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Yathrib yang kemudiannya ditukar nama menjadi Madinah. Menggunakan kalendar hijrah bererti menyegarkan semula ingatan kita kepada perjuangan hijrah Rasulullah SAW. Ia bukannya sekadar satu catatan sejarah semata-mata, tetapi ia satu pengajaran kepada umat Islam agar berusaha terus-menerus untuk melaksanakan tuntutan dakwah. Menggunakan kalendar hijrah bererti mengingatkan kita semula kepada pahit maung perjuangan Rasulullah SAW di dalam menyebarkan dakwah. Adakah generasi muda kita pada hari ini arif dengan sejarah Rasulullah SAW dan Bani Hasyim yang pernah menghadapi pemulauan ekonomi dan sosial selama tiga tahun? Adakah generasi muda kita tahu bagaimana sejarah Rasulullah SAW yang pernah berdakwah ke Taif bersama-sama Zaid bin Harithah namun dilempar dengan batu? Inilah sebenarnya mutiara-mutiara yang berharga dalam khazanah sirah Rasulullah SAW yang jarang sekali diperdengarkan di kalangan kita pada hari ini. Justeru, apabila kalendar hijrah digunakan, ingatan terhadap sirah ini pasti akan segar semula dan masyarakat pastinya tidak terada asing dengan sejarah Rasulullah SAW. Sayangnya hari ini, kalendar hijrah hanya menjadi satu maklumat sampingan semata-mata diatasi oleh kalendar masihi sebagai kalendar yang utama. Paling tidakpun, pada bulan Ramadhan dan Syawal kalendar hijrah menjadi terkenal tetapi selepas itu, ia hanya tinggal tulisan yang kecil sahaja di tajuk-tajuk akhbar. Oleh yang demikian, sangatlah besar cita-cita saya untuk melihat kalendar hijrah ini dijadikan sebagai kalendar utama khususnya di dalam kehidupan umat Islam. Apatah lagi kalendar masihi inipun asalnya dari penjajah dan dibawa masuk ke dalam pentadbiran pada era penjajah. Saya tidak melihat sebarang sebab yang boleh menghalang kalendar hijrah ini digunakan sebagai kalendar utama dalam pentadbiran. Apapun, saya berharap agar lembaran tahun baru ini menjadikan kita hamba yang lebih tunduk kepada Allah SWT. Sesungguhnya dunia hanyalah tempat kita menumpang, tiba masanya kita perlu pergi jua dari tempat kita menumpang sekarang. Jika hari ini kita bermusafir tetapi masih mampu untuk balik kampung, maka satu masa nanti kita bermusafir kea lam barzarkh dan seterusnya ke alam mahsyar pada hari kiamat, tiada lagi peluang untuk kita pulang ke kampung halaman kita di dunia ini. Salam hormat. HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT, Menteri Besar Kelantan. |
Juanda: ‘Polis patut bertindak dengan bijaksana bukan kemarahan’ Posted: 01 Jan 2012 04:23 AM PST KUALA LUMPUR, 1 Jan — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menegaskan anggota polis perlu mengambil tindakan dengan bijak dan bukan bertindak di luar batasan sehingga menyebabkan kepada kecederaan orang awam. Menurut Juanda, insiden tindakan kasar polis semasa menghuraikan demonstrasi aman mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi amat membingungkan. Beliau berkata sekiranya tindakan itu diambil dengan perasaan marah ia tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan bertambah teruk. Tambah Juanda, sepatutnya kedua-dua belah pihak berunding untuk mencari jalan penyelesaian terlebih dahulu bagi mengelakkan masalah lain seperti kecederaan. "Pembantaian mahasiswa di UPSI amat membingungkan. Kenapa sampai perlu menumpahkan darah sesama sendiri yang diharamkan oleh agama? Apakah pintu musyawarah (berunding) sudah tertutup? "Kemarahan tidak akan selesai dengan memarakkan kemarahan. Masing-masing ada hak untuk bertindak, maka jagalah batasan hak masing-masing," katanya dalam tulisannya di laman Facebook. Awal pagi tadi beberapa mahasiswa yang mengadakan demonstrasi aman menuntut kebebasan akademik di UPSI telah ditahan polis kerana ingkar arahan pihak berkuasa yang mengarahkan mereka bersurai. Kumpulan mahasiswa itu mendakwa polis telah bertindak kasar dengan "memukul, menendang dan menumbuk" mereka, yang menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Muhammad Safwan Anang dihantar ke Hospital Slim River kerana tidak sedarkan diri. Difahamkan dianggarkan seramai 60 orang mahasiswa telah mengadakan demonstrasi di kampus itu bermula malam tadi bagi memprotes Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan menuntut solidariti untuk Adam Adli Abdul Halim, yang menjadi perhatian kerana menurunkan kain rentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di luar ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur bulan lalu. Pemimpin PKR dan DAP mengkritik tindakan kasar polis terhadap kumpulan mahasiswa itu. Bagaimanapun Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan anggotanya bertindak kasar semasa menghuraikan demonstrasi dengan menegaskan "tiada pergelutan" yang berlaku semasa tangkapan dibuat. Tambah Juanda, pihak polis sepatutnya bertindak secara bijaksana dalam menghuraikan demonstrasi itu. "Sewaktu api fitnah sedang mara menjulang, pihak berkuasa sewajarnya mencari sesuatu yang sudah semakin hilang pada hari ini, iaitu kebijaksanaan. "Ya, anda ada kuasa, tetapi biarlah orang hormat dan hargai kuasa anda, bukannya memarakkannya dengan fitnah kebencian," katanya. |
Polis Nafi Bergelut Dengan Mahasiswa UPSI Posted: 01 Jan 2012 04:03 AM PST Polis Perak menafikan anggotanya terlibat dalam pergelutan dengan mahasiswa dalam perhimpunan kumpulan itu di depan pintu masuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tadi. Ketua Polis Perak datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, tindakan mahasiswa yang enggan bersurai sehingga memaksa polis mengambil tindakan mungkin menunjukkan seolah-olah terdapat pergelutan, lapor The Star. Menjelaskan keadaan malam tadi, katanya, kumpulan mahasiswa sebaliknya melanggar pintuk kaca di klinik berdekatan dan menyebabkan kecederaan. Beliau mengesahkan seramai 17 ditahan dan seorang mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tanjung Malim. Insiden malam tadi dikritik hebat pelbagai pihak, termasuk kumpulan mahasiswa, pembangkang dan NGO yang mendakwa polis menggunakan kekerasan melampau dalam menyuraikan peserta. Kira-kira 60 orang pelajar terlibat dalam perhimpunan menuntut kebebasan akademik malam tadi dan mahasiswa kontroversi yang menurunkan bendera Datuk Seri Najib Razak -- Adam Adli Abdul Halim -- antara yang ditahan. Menurut polis Perak juga, antara yang ditahan, hanya dua daripada UPSI dan selebihnya daripada universiti sekitar Lembah Klang. |
You are subscribed to email updates from BlogList Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan