Rabu, 11 Januari 2012

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


40 ahli PKR Cabang Kg Jerek, Gua Musang sertai UMNO

Posted: 11 Jan 2012 08:43 AM PST


Rasanya dulu aku pernah tegur tentang kesalahan skrip yang dibaca oleh Pak Wahab yang keluar PKR bersama gerombolannya yang menurut beliau 130 orang semuanya padahal setelah diselidik hanya beliau dan dua orang sahaja.


Yang lain-lain berada di situ kerana ditipu oleh Pak Wahab dengan mengatakan beliau mengadakan sedikit kenduri lalu mereka semua dijemput untuk menghadirinya..

Baca laporan tersebut di SINI

Kali ini sekali lagi Utusan Malaysia @ Lidah Rasmi UMNO menyiarkan satu laporan yang skripnya juga hampir sama dengan kisah Pak Wahab itu.

Dimana Cabang yang tak wujud diwujudkan hanya untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap PKR.

Utusan menyiarkan satu laporan kononnya seramai 40 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Kampung Jerek Baru, Gua Musang telah keluar PKR menyertai UMNO..

Padahal tidak ada sebarang Cabang di Kampung Jerek Baru tu.. yang ada adalah Cabang Gua Musang.. Yang ada di kampung itu adalah Ranting..

Nak bohong biarlah nampak real sikit…

***********************************************

40 ahli PKR cabang Kg Jerek, Gua Musang sertai UMNO
11/01/2012 7:20pm

GUA MUSANG 11 Jan. – Seramai 40 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Kampung Jerek Baru, dekat sini, keluar dari parti itu untuk menyertai UMNO setelah hilang kepercayaan terhadap perjuangan PKR yang dianggap sia-sia.

Kumpulan itu yang diketuai Mohd. Nazri Mohd. Nor menyerahkan borang keanggotaan UMNO kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mat Yusoff Ab Ghani hari ini.

Beliau berkata, mereka meninggalkan PKR kerana hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti itu yang didakwanya hanya "bermain wayang" tetapi gagal menunaikan janji kepada.

"Kami kecewa apabila parti itu bersekongkol dengan Pas untuk merampas tanah rakyat di beberapa kawasan Hulu Kelantan untuk diserahkan kepada syarikat bagi pembangunan ladang.

"Rasa sedih juga apabila tanah yang diusahakan rakyat, diambil balik begitu sahaja...rakyat juga menuduh kami bersubahatdalam perkara itu sedangkan kami tidak memperolehi satu sen pun daripada pembangunan tanah berkenaan," dakwa Mohd Nazri. - BERNAMA

PERKASA Penang menggila lagi...

Posted: 11 Jan 2012 01:47 AM PST


Sebelum itu.. Aku ingatkan UMNO Penang saja yang orang Melayu Penang dah tak minat nak joint.. rupa-rupanya PERKASA yang dikatakan sebagai kumpulan pendesak Melayu pun orang Melayu Penang tak mau joint..buktinya tengok gambar kat atas tu..


'Jentolak' PERKASA dihalang masuk pejabat KM

Anggota kumpulan pendesak Melayu, PERKASA, hari ini menghantar replika sebuah jentolak kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai simbol dakwaan kerajaan negeri merobohkan rumah-rumah dan kawasan perniagaan masyarakat Melayu.

Kumpulan itu diketuai Ketua Wira Pulau Pinang Mohd Risuan Asudin yang membawa replika jentolak itu ke pejabat bangunan kerajaan negeri di tingkat 3, Komtar.

Antaranya, mereka membantah tindakan kerajaan negeri merobohkan sebuah bengkel motosikal di Jelutong pada tahun lalu, yang mana pemiliknya kebetulan adalah seorang ahli PERKASA.

Mereka, bagaimanapun, dihalang daripada memasuki pejabat Lim di tingkat 28. Pejabat Lim juga tidak melayan kumpulan itu yang sering-kali menimbulkan kekecohan di Pulau Pinang dengan tidak menghantar sebarang pegawai untuk menerima 'hadiah' berkenaan.

Kecewa dengan tindakan itu, anggota PERKASA melepak dan bersila di lantai, dengan harapan bahawa pintu pejabat ketua menteri akan dibuka tetapi sebaliknya pengawal mengunci mereka.

Kumpulan itu kemudian membidas Lim kerana didakwa tidak mahu berjumpa dengan rakyat dan menerima 'hadiah' mereka.

"Ia hanya replika, kenapa dia begitu takut?" soal Risuan, sebelum membuka sehelai kain merah yang digunakan untuk membalut replika itu.

Malaysiakini

KITA Melaka bubar, Ahli sertai PKR

Posted: 11 Jan 2012 12:09 AM PST


Satu-satunya cawangan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) di Melaka yang mempunyai keahlian seramai 60 orang hari ini bertindak membubarkan parti berkenaan sekaligus memasuki PKR di bawah Cabang Tangga Batu, Melaka.


Menurut bekas pengerusi parti KITA Melaka, Leftenan Kolonel (B) Hashim Puteh, tindakan itu diambil berikutan ahli merasakan beberapa perkara telah terkeluar daripada perjuangan asal parti.

Justeru katanya, ahli terkeliru dengan perjuangan yang dibawa presidennya, Datuk Zahid Ibrahim.

"Kita telah mengambil keputusan bahawa kita tidak lagi menyokong parti KITA kerana akar umbi yang bersama-sama kita di sini sudah keliru dengan perjuangan yang dibawa Datuk Zahid Ibrahim dan juga parti KITA.

"Penubuhannya empat bulan sebelum itu memang ada pelbagai aktiviti tetapi selepas itu sehingga sekarang kira-kira dalam enam bulan dan tujuh bulan setelah itu kita tidak dipanggil untuk bermesyuarat, mungkin telah dipinggirkan berikutan tiada gerak kerja parti yang dijalankan.

Turunkan papan tanda

"Kita ada pejabat iaitu di Taman Gadong Perdana, Pulau Gadong Melaka, tetapi kita hanya bergerak dalam negeri Melaka sahaja dan pusat tidak pernah memanggil kita atau memberi arahan melakukan gerak kerja dan lain-lain," katanya pada sidang media di perkarangan bekas pejabat parti berkenaan hari ini.

Sebaik sahaja papan tanda parti itu diturunkan di premis berkenaan Hashim bertindak menyerah 60 borang keahlian PKR kepada Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin.

Sementara itu, bekas setiausaha agung parti KITA yang dipecat 10 Disember lalu, Abdul Latif A Tambi yang turut dijemput pada majlis berkenaan mendakwa setakat ini hanya parti KITA cawangan Kedah sahaja yang dilihat aktif sementara yang lain sepi.

"Biarpun parti KITA adalah sebuah parti yang sah namun kita masih meragui pada peringkat cawangan di Melaka kerana ia dikatakan masih tidak memperolehi kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Mungkin mereka tidak mahu wujudkan lagi cawangan ini, jadi saya rasa eloklah kami bubar dan berjuang di bawah parti lain yang sesuai kepada kehendaki kita justeru kami memilih PKR.

"Kita bekerja bukan untuk mendapatkan kedudukan dan pangkat tetapi bekerja untuk menumbangkan BN dan Umno dan kita akan bekerja kuat menerusi PKR Cabang Tangga Batu untuk menyatukan kekuatan kita.

"Kita nampak Datuk Zahid Ibrahim tiada tumpuan dan terlalu berubah kerana suatu ketika dahulu dia terlalu taksub memuji-muji BN sehingga melakukan "road show" meminta maaf kepada Datuk Seri Najib Razak bagi menyokong transformasi BN itu sendiri dan menidakkan keupayaan Pakatan Rakyat terutama PKR.

Memohon maaf

"Tetapi sejak akhir-akhirnya setelah dia kurang mendapat perhatian daripada BN dia memuji pula Pakatan Rakyat dan tidak mahu bertanding enggan tidak mahu meletakkan sebarang calon semata-mata mahu menyokong pembangkang.

"Dua tiga hari lepas menerusi laman sosial Twitter dia memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah nampak macam tidak ada pendirian jadi kita merasakan tidak patut lagi mengikut pemimpin seperti ini," katanya.

Dalam pada itu, Shamsul menyambut baik kemasukan seramai 60 ahli dari parti KITA ke dalam PKR.

"Saya ingin menyeru semua ahli KITA seluruh negara untuk bersama sama Pakatan Rakyat dan kita mengambil pendirian tegas di dalam persiapan PRU 13 nanti.

"Kita memerlukan sokongan dari semua segmen dalam masyarakat sama ada yang pernah menentang PKR dan Anwar.

"Selepas pembebasan kes liwat Datuk Seri Anwar telah mula menampak cahaya baru dan rakyat sedar ia merupakan fitnah politik," katanya.

Parti KITA dilancarkan pada 12 Jan 2010 oleh Zahid manakala cawangan KITA di Melaka mula diwujudkan pada 19 Jun 2011.

Pembubarangan itu bermakna parti berkenaan hanya bertahan dalam tempoh kira-kira enam bulan sahaja di Melaka.

Malaysiakini

PKR Dedah Bukti Dakwaan Seleweng Wang Zakat

Posted: 10 Jan 2012 09:19 PM PST


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu mendedahkan bukti berhubung dakwaan penyalahgunaan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebelum ini.


Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bukti tersebut ialah set dokumen daripada MAIWP sendiri.


"Ini termasuk baucar bayaran bernombor 2010B04112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150.
"Baucar tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Bukti yang dikemukakan Nik Nazmi itu berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat MAIWP bagi pembayaran kos guaman Jamil Khir bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dalam satu kes qazaf.

Nik Nazmi berkata, dokumen kedua pula merupakan surat daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara, Datuk Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

Jumlah itu meliputi bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan RM32,150 yang tercatat di dalam baucar tersebut.

"Ini mengesahkan laporan atau siasatan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara," katanya.

Nik Nazmi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia berkata, Jamil Khir dalam kenyataannya berkali-kali menegaskan bahawa MAIWP mempunyai peruntukan kerajaan sebanyak RM700,000 bagi menampung pelbagai pembayaran termasuk kos guaman.

"Namun Laporan Ketua Audit kita sudah nyatakan lebih awal. Jamil Khir hanya menjawab mempunyai peruntukan kerajaan RM700,000 tetapi tidak pernah sentuh langsung bahawa Laporan Ketua Audit ada menyebut bahawa kedua-dua bayaran Februari dan April itu menggunakan wang zakat dahulu," katanya.

Beliau menambah, hanya pada Disember 2010, baru wang tersebut digantikan kira-kira enam bulan selepas peruntukan tersebut disalurkan ke dalam MAIWIP. Jamil Khir tidak menyebut tentang hal ini.

"Ini bukan peruntukan kerajaan tetapi wang zakat. Ini bukan ambil dulu kemudian pulangkan. Kita pernah bangkitkan kes di Johor, (bekas) amil (menyalahgunakan wang zakat kira-kira RM20,000) yang dikenakan hukuman empat tahun penjara dan tiga sebatan.

"Kenapa beza untuk menteri?," soal Nik Nazmi.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut memperbetulkan laporan sebuah akhbar arus perdana pada 4 Januari lalu yang memetik kenyataan Bahagian Hal Ehwal Korporat Jabatan Audit Negara bahawa isu salah guna zakat tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

"Keadilan tidak pernah mendakwa demikian sebaliknya kami merujuk kepada surat Ketua Audit Negara kepada Jawatankuasa Kira-Kira Negara," katanya - mStar



*******************************************


BUKTI SALAHGUNA WANG ZAKAT MAIWP

Saya pada hari ini tampil dengan bukti-bukti dakwaan salahguna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharum selama ini.

Pertama ialah set dokumen daripada MAIWP sendiri termasuk baucer bayaran bernombor 2010B04112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150.00. Baucer tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat.

Kedua merupakan surat daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Dato' Setia Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara Datuk Seri Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat (iaitu bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan RM32,150 yang tercatat di dalam baucer tersebut) digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

Jamil Khir berkali-kali menegaskan bahawa MAIWP mempunyai peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM700,000 bagi menampung pelbagai pembayaran termasuk kos guaman.

Namun Laporan Ketua Audit menyebut bahawa MAIWP hanya memulangkan wang tersebut pada Disember 2010, kira-kira enam bulan selepas peruntukan tersebut disalurkan ke dalam MAIWP. Jamil langsung tidak menyebut tentang hal ini.

Saya juga ingin membetulkan laporan Utusan pada 4 Januari lalu yang memetik Bahagian Hal Ehwal Korporat Jabatan Audit Negara bahawa isu salahguna zakat ini tidak dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010. KEADILAN tidak pernah mendakwa demikian, sebaliknya kami merujuk kepada surat Ketua Audit Negara kepada Jawatankuasa Kira-Kira Negara seperti tertera.

KEADILAN memandang serius penyalahgunaan institusi penting umat Islam ini. Saya akan membuat laporan polis esok 11 pagi di Balai Polis Dang Wangi berkaitan dengan kes salahguna wang zakat ini.


NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT

BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1

Perserta bawa Bom - Utusan

Posted: 10 Jan 2012 07:14 PM PST


Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Saleh semalam seperti yang dilaporkan Bernama, Pihak Polis akan meneliti rakaman video polis bagi mengenal pasti suspek dalam kes letupan tersebut, yang berlaku semasa penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun.


Sehubungan itu pihak Polis memerlukan kerjasama orang ramai untuk menyalur maklumat berhubung kejadian pengeboman semasa perhimpunan di sekitar kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Maknanya siasatan sedang dijalankan…

Tetapi hari ini Utusan @ Lidah Rasmi UMNO melaporkan maklumat dari sumber Polis tiga butir bom buatan sendiri yang meletup sehingga mencederakan lima individu di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta dipercayai dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan Kempen Bebas Anwar 901.

Tidak dijelaskan disini samada sumber tersebut dari Polis yang sedang berkhidmat atau Polis yang telah dipecat kerana mabuk semasa bertugas..

Apa rasionalnya penyokong meletupkan bahan letupan itu sedangkan DS Anwar Ibrahim telah dibebaskan?

Jika siasatan Unit Pemusnah Bom di tempat kejadian menemui bateri, wayar, jam jangka dan galas bebola, bom yang dipasang disitu adalah bom jangka dan letupan telah ditetapkan pada waktu yang dirancang.

Andaikata Anwar diputuskan untuk ke penjara pada hari itu, dan bom tersebut meletup, maka kecohlah di media-media perdana akan memainkan cerita dongeng untuk memburukkan Pakatan Rakyat dan penyokongnya.

Pelbagai cerita akan disiarkan bagi menimbulkan persepsi bahawa penyokong Pakatan Rakyat ini ganas dan pemimpin Pakatan Rakyat menyokong keganasan.

Tentu mereka akan kata peserta perhimpunan tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, oleh itu bom diletupkan dan rakyat akan lebih meyakini dakwaan media arus perdana dan Pakatan Rakyat juga akan dituduh gagal mengawal perhimpunan.

Oleh sebab itu maka ruang untuk Kerajaan UMNO/BN menyekat atau mengharamkan terus sebarang perhimpunan yang akan diadakan pada masa akan datang terbuka luas..

Tetapi malang bagi mereka.. kerana mereka merancang.. Allah juga merancang.. DS Anwar Ibrahim telah dibebaskan, bom yang telah ditetapkan untuk meletup akhirnya meletup juga.. meletup tanpa kejadian huru hara..


*******************************************

Bom milik peserta perhimpunan


Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Tiga butir bom buatan sendiri yang meletup sehingga mencederakan lima individu di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini semalam, dipercayai dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan Kempen Bebas Anwar 901.

Ini kerana, polis yang membuat pemeriksaan ketat di seluruh kawasan perhimpunan sebelum membenarkan peserta memasuki lokasi itu seawal pukul 4 pagi, tidak menemui sebarang objek berbahaya.

Sumber polis berkata, siasatan awal percaya, bom-bom tersebut dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan itu.

"Kawasan tersebut telah dikawal oleh anggota polis sehari sebelum perhimpunan selain pemeriksaan dibuat secara rapi.

"Malah, pemeriksaan terakhir turut dilakukan sebelum peserta perhimpunan dibenar berkumpul di kawasan itu dan tiada objek berbahaya ditemui.

"Sebab itu kita percaya bom buatan sendiri yang lengkap dengan jam jangka itu dibawa oleh peserta perhimpunan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menambah, polis terpaksa mengambil masa untuk menyiasat insiden tersebut berdasarkan rakaman video yang diambil kerana kawasan berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam kejadian itu, lima termasuk seorang peguam cedera dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Letupan pertama berlaku pukul 10.20 pagi di Jalan Khidmat Usaha disusuli 25 minit kemudian letupan kedua di kafeteria mahkamah.

Bom ketiga yang disembunyikan di bawah kon di hadapan mahkamah meletup pukul 10.55 pagi.

Kesemua peserta perhimpunan mula berada di kawasan terbabit sejak pukul 4 pagi manakala kafeteria dibuka pada waktu pejabat.

Sementara itu, Polis Kontinjen Kuala Lumpur mengesahkan tiga letupan yang berlaku semalam berpunca daripada bom jangka buatan sendiri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya menunggu pengesahan pakar dan ahli kimia untuk menentukan jenis dan kelas bahan letupan itu.

Antara bahan-bahan yang ditemui di kawasan letupan itu ialah serpihan kon plastik, bebola gegalas, jam dan bateri, katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook Polis Kuala Lumpur hari ini.

"Polis telah mengumpul semua bahan bukti di tempat kejadian dan akan dihantar untuk dianalisis dan sedang mengesan saksi-saksi lain yang boleh membantu dalam penyiasatan berhubung kejadian tersebut," kata Mohmad.

Tiada ulasan: