WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM |
TUN MAHATHIR TIDAK PERLU MEREPEK SOAL PERPADUAN, BELIAU PUNCA SEGALA PERPECAHAN Posted: 17 Dec 2011 06:26 AM PST Oleh: WFAUZDIN NS TUN Mahathir tidak perlu merepek soal mengapa Melayu dan umat Islam berpecah. Sekiranya beliau masih siuman dan tidak mudah lupa, beliau pasti tahu siapa tokoh utama yang menjadikan Melayu dan umat Islam ini mula berpecah belah angkara politik atau agama. Di dalam Malaysiakini, Tun menyebut bahawa Melayu dan umat Islam berpecah bukan kerana agama tetapi sebaliknya kerana fahaman politik. Tidak menghairankan jika Tun menyebut sedemikian kerana Tun dikenali sebagai orang yang tidak pernah menganggap politik itu adalah sebahagian dari agama, ertinya bekas PM kita ini adalah berfahaman sekular yang pernah memimpin parti yang sekular. Dari segi politik, di zaman Tun memimpin negara ini, kita lihat bagaimana Tun menjadi punca Melayu di dalam parti beliau sendiri berpecah belah. Perpecahan paling besar yang dapat saya ingat adalah sewaktu pertandingan jawatan Presiden Umno di antara Tun Mahathir dengan Tengku Razaliegh Hamzah. Tun hampir tewas, Umno diharamkan oleh keputusan Mahkamah dan tertubuhnya Umno (Baru) yang Tun sendiri menjadi Presidennya dan Parti Semangat 46 (S46) dipimpin oleh Tengku Razaliegh. Taktik licik dan kotor Tun di dalam pemilihan jawatan Presiden Umno itu lah punca mengapa Umno terbahagi dua dan perpecahan besar terus berlaku di kalangan orang Melayu di dalam Umno. Selepas itu, tokoh Melayu yang hebat seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn sanggup keluar dari Umno sehingga ke hujung hayat mereka. Bukan sedikit angkara Tun menjadi Melayu berpecah belah.
Tun tidak selesai di situ untuk terus memecahkan orang-orang Melayu hatta di dalam partinya sendiri demi untuk menjaga kepentingannya. Tahun 1998, Tun sekali lagi membuatkan orang Melayu terutamanya di dalam Umno pimpinannya berpecah belah seterusnya semakin meluat dengan Umno itu sendiri. Kezaliman dan fitnah terhadap Timbalan Presiden Umno, DS Anwar Ibrahim yang dikatakan lebih berpengaruh daripada beliau ketika itu menjadikan Melayu semakin berpecah. Bahkan, apa yang berlaku terhadap DS Anwar memberi kesan bukan sahaja kepada Umno bahkan turut mendapat bantahan hebat dari NGO-NGO dan parti Pembangkang terutamanya dari PAS.
Hasil dari tangan Tun Mahathir itu jugalah menjadi punca sehingga kini Umno tidak lagi gagah dan kuat untuk menjadi parti yang kononnya memperjuangkan nasib orang-orang Melayu jauh sekali untuk memperjuangkan Islam. Wujudnya Parti Keadilan mempercepatkan lagi Umno menuju ke liang lahad. Walaupun dikatakan Umno kembali bernafas selepas PRU tahun 2004, tetapi sikap bongkak dan ego pemimpin Umno di waktu mereka kembali gagah menyebabkan Umno hampir lumpuh sebagai parti yang menjadi tunjang Kerajaan Bn selepas PRU ke 12, tahun 2008. Kita masih ingat waktu itu, Tun Mahathir ketika tidak lagi menjadi PM tetapi masih suka berlagak mempunyai kuasa dan pengaruh. Beliau sering mengganggu urusan Pak Lah yang ketika itu menjadi PM dan terlebih-lebih mengkritik beliau apatah lagi Pak Lah ketika itu membatalkan projek Jambatan Bengkok ke Singapura yang diilhamkan oleh Tun sebelum itu. Sikap Tun yang suka mencampuri urusan pentadbiran Pak Lah sehingga beliau sanggup keluar dari Umno seketika menjadikan dalil yang kuat untuk menyebut bahawa Tun sebenarnya memang tidak suka Melayu bersatu.
Perpecahan Melayu dan Islam di era Tun terlalu banyak disebabkan oleh sikap beliau yang sememangnya sanggup `mencantas' sesiapa sahaja yang dianggap boleh membahayakan politik beliau. Beliau juga terlalu anti dengan perkembangan Islam yang cuba dibawa oleh sesiapa sahaja samada dari dalam Umno mahu pun oleh PAS. Cita-cita DS Anwar untuk `mengislamisasikan' Umno dari dalam dapat dicantas oleh Tun dan DS Anwar dipecat secara tidak bermoral. Tun Mahathir mempunyai rekod yang banyak di dalam menghina hukum Islam. Tiada apa yang tidak dihina oleh Tun. Dari soal janggut, serban, jubah sehinggalah ke soal Hukum Hudud kesemuanya pernah dihina oleh Tun Mahathir. Perpecahan Melayu dan umat Islam terpaksa berlaku apabila ada golongan yang ingin memperjuangkan Islam dan ada golongan yang suka menghina dan menolak Islam. Tun juga menjadikan Institusi Raja yang menjadi simbol kekuatan dan kemegahan Melayu tidak lagi berdaulat bila mana kuasa Raja-Raja Melayu `dirampas' oleh beliau melalui pindaan Perlembagaan. Jika simbol kekuatan umat Melayu ini pun sanggup diperlakukan sedemikian rupa, adakah Tun benar-benar serius tentang perpaduan Melayu? Justeru itu, Tun Mahathir tidak perlu merepek soal perpecahan Melayu dan Islam kerana beliau adalah tokoh kepada perpecahan tersebut./wfauzdin.blogspot.com |
You are subscribed to email updates from WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan