Selasa, 27 Disember 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Perhimpunan tanpa permit di 12 lokasi

Posted: 27 Dec 2011 03:55 AM PST

Meskipun Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman telah diluluskan parlimen, namun sekumpulan warga yang enggan akur telah melancarkan gerakan "civil disobedience", dengan penampilan dalam warna kuning di 12 lokasi tanpa permit polis pada 24 Disember 2011.

Antara lokasinya termasuk KLCC, tasik Taiping di Perak, Melaka, Kluang Johor, stesen keretapi di Segamat, padang golf Johor Bahru, muzium Sarawak, feri yang menjalin antara Seberang Prai dengan Pulau Pinang, pantai Kuantan, pusat beli-belah Seremban dan sebagainya. Bantahan terhadap RUU Perhimpunan Aman dengan cara yang kreatif ini kebanyakannya berlangsung pada jam dua petang.

Ketika dihubungi MerdekaReview, koordinator di Teluk Cempedak, Cik Yew berkata, seramai 53 orang peserta hadir dalam perhimpunan itu, lebih ramai daripada jangkaannya sebelum ini. Cik Yew mendakwa dirinya seorang siswi berumur 22 tahun, menyedari kepentingan kuasa rakyat selepas perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.

Beliau mendapati sesetengah rakan sebayanya di Kuantan tidak faham apa itu RUU Perhimpunan Aman lantaran kekurangan maklumat dari media arus perdana. Oleh itu, beliau mengambil keputusan untuk menganjurkan aktiviti ini untuk memupuk kesedaran di kalangan rakan sebayanya.

Selain itu, beliau berharap dirinya dapat melakukan sesuatu untuk negara dan generasi akan datang. Beliau tidak mahu dipersoalkan kelak oleh anaknya mengapa tidak membantah akta sedemikian. Beliau mahu memberi jawapan sekurang-kurangnya dirinya pernah melakukan sesuatu demi masa depan anaknya. Malah beliau menyeru agar mahasiswa sedar dan jangan sekadar "bincang", tetapi tampil ke depan untuk memperbaiki kerajaan yang dianggap "haprak" dari kaca mata mereka.

RM900 dibelanja di KLCC

Sementara itu, seorang warga kota mengajak rakannya di Facebook untuk meraihkan hari jadi dirinya di KLCC. "Mereka tidak perlu mengenali saya. Tujuan aktiviti ini adalah untuk menarik perhatian ramai terhadap RUU Perhimpunan Aman. Kebetulan hari itu hari jadi saya."

Salah seorang peserta, Pow Kiew An berkata, seramai 52 orang hadir dalam sambutan hari jadi tersebut, termasuk 10 orang kanak-kanak. Beliau menambah, pegawai keselamatan berada di sekeliling mereka ketika mereka duduk dalam restoran sambil memegang belon dalam tangan. Kira-kira RM900 telah dibelanjakan di KLCC, dan mereka meninggalkan situ setelah habis menyanyi lagu dan bergambar di depan pokok krismas.

Lebih menarik, Anne Ooi yang terkenal sebagai Aunty BERSIH, turut hadir dalam majlis sambutan hari jadi tersebut.

Menghina rakyat

Di samping itu, seorang peserta perhimpunan di Tasik Taiping, Toh memaklumkan kepada MerdekaReview bahawa kira-kira 30 orang hadir untuk menyertai perhimpunan tersebut. Mereka mengelilingi tasik tersebut, dan memberi belon berwarna kuning kepada orang yang berada di situ. Toh mendakwa tujuan aktiviti tersebut adalah untuk membantah tindakan kerajaan meluluskan RUU Perhimpunan Aman secara keras.

Menurut Toh, perhimpunan ini dianjurkan untuk menunjukkan kekuatan rakyat. Bagi Toh, kerajaan meluluskan RUU Perhimpunan Aman tanpa berunding atau mendapat pandangan rakyat - satu tindakan yang disifatkan sebagai "menghina rakyat".

Di Sarawak, kira-kira 30 orang hadir di muzium, termasuk ADUN Batu Lintang See Chee How.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 24 Disember 2011.

Anwar : Program ETP,Kerajaan Gagal Jawab Isu Utama

Posted: 27 Dec 2011 03:47 AM PST

SHAH ALAM, 27 DISEMBER : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak gagal menjawab persoalan utama , iaitu menjelang tahun 2020, sekitar 7 hingga 8.3 juta rakyat Malaysia akan berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan dan bakal digolongkan sebagai miskin bandar.

"Jumlah ini merangkumi sehingga 51 peratus tenaga kerja negara ini dalam tahun 2020, berbanding 56 peratus bagi tahun 2009, angka itu menunjukkan selepas berbilion ringgit dibelanjakan, hanya penambahbaikan yang tidak seberapa," kata Anwar dalam kenyataan medianya.

Anwar sebelum ini dalam ucapannya di Kuala Lumpur pada 15hb Disember lepas bertajuk Debunking ETP: Widening Income Gap menegaskan kaedah yang sedang dilaksanakan kerajaan iaitu Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Programme) merupakan suatu kebijakan ekonomi lapuk dan gagal membawa sebarang perubahan.

Menurut Anwar , ETP ialah sebuah program ekonomi yang tidak berjaya meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak malah menambah bilangan rakyat termiskin merupakan perancangan ekonomi yang tempang dan membelakangkan kebajikan rakyat.

"Apatah lagi apabila hujah saya dikemukakan dengan mengambil kira unjuran-unjuran ETP meragukan. Misalnya unjuran pertumbuhan upah 3.6 peratus setiap tahun, dari tahun 2010 sehingga tahun 2020 yang bertentangan dengan pertumbuhan upah pekerja tahun 2000 hingga 2009 yang hanya menokok sekitar 2.6 peratus setiap tahun manakala kos sara
hidup meningkat mengatasi pertumbuhan upah," katanya.

Tambah Anwar ,kenyataan ini diperkukuhkan oleh Kajian Pasaran Buruh 2009 yang melibatkan 24,000 majikan dan 1.3 juta pekerja.

Laporan tersebut menyatakan, 33.8 peratus dari jumlah pekerja tersebut mendapat upah kurang dari RM 700 sebulan.

Angka ini sekiranya diunjurkan kepada keseluruhan tenaga kerja negara menyimpulkan 34 peratus dari jumlah keseluruhan tenaga kerja negara berada di bawah paras kemiskinan. Justeru berdasarkan fakta-fakta ini, unjuran pertumbuhan upah pada paras 3.6 peratus adalah tidak tepat.

Katanya, unjuran kerajaan bahawa inflasi akan berada pada paras 2.8 peratus setiap tahun sehingga tahun 2020 juga tidak realistik apabila kadar inflasi sejak 12 bulan lalu sentiasa melangkaui paras 3 peratus.

Sasaran untuk mencapai pendapatan kasar kebangsaan (gross national income) per kapita sebanyak RM 48,000 setahun pada tahun 2020 tidak akan dicapai sekiranya inflasi melebihi dari 2.8 peratus untuk tahun mendatang.

Jika inflasi purata sehingga tahun 2020 mencecah 4 peratus setiap tahun, dianggarkan seramai 7.6juta rakyat Malaysia akan berpendapatan kurang dari RM 1,500 sebulan dalam tahun 2020, meningkat sebanyak 1 juta berbanding jumlah 6.6 juta dalam tahun 2009.

Menurut Anwar , keadaan ini lebih parah sekiranya inflasi purata mencecah 6 peratus setiap tahun apabila jumlah rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang dari RM 1,500 sebulan adalah 8.3 juta orang.

"Persoalan paling utama yang langsung tidak dijawab adalah kesimpulan saya bahawa kekayaan negara akan semakin dibolot golongan kaya di bawah ETP sementara rakyat
terbanyak dipinggirkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib langsung tidak menafikan analisa saya bahawa nisbah upah pekerja kepada pendapatan kasar negara akan berkurangan dari 40 peratus (tahun 2009) kepada 33 peratus sahaja (tahun 2020)," katanya.

Jelas Anwar, ini merupakan permasalahan utama negara , manakala golongan kecil, keluarga dan kroni mengaut kekayaan, sementara majoriti rakyat dibebankan dengan kos sara hidup yang melonjak sedangkan pendapatan tidak meningkat.

"Persoalan-persoalan ini adalah isu besar ekonomi negara apabila pentadbiran sedia ada menyalurkan seluruh kekayaan negara untuk membiayai projek-projek besar di bawah ETP.

"Malang sekali apabila kesannya kepada rakyat adalah menambah golongan miskin dan melebarkan jurang di antara yang miskin dan kaya menjelang tahun 2020 nanti," katanya.

Haniza: Najib Takut Shahrizat Dedah Skandal pemimpin Lain?

Posted: 27 Dec 2011 03:46 AM PST

SHAH ALAM, 27 DIS : Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil sebarang tindakan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil boleh menimbulkan pelbagai persepsi berhubung penyelewengan NFC membabitkan wang rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan Pusat.

Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha berkata tidak ada sebab munasabah untuk Najib melengah-lengahkan tindakan sedangkan pelbagai pihak termasuk pemimpin Umno sendiri menggesa Shahrizat berbuat demikian.

"Apakah Najib takut bertindak disebabkan bimbang Shahrizat mendedahkan pelbagai lagi penyelewengan lain yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno lain termasuk keluarga Najib sendiri sekiranya beliau dipecat?.

"Apakah juga disebabkan ada pemimpin lain yang turut terlibat, Kalau tidak mengapa Najib masih membisu" kata beliau mencabar Najib bertindak menjawab segala persepsi yang ada bagi membersihkan imej kerajaan dimata rakyat.

"Sepatutnya sebagai Perdana Menteri, beliau seharusnya mendepani masalah ini kerana beliau adalah ketuanya," tegas Haniza yang juga Timabalan Speaker Dun Selangor.

Melihat kepada kepincangan yang dicetuskan oleh Shahrizat (gambar), Haniza menzahirkan rasa kecewa kerana tidakannya itu bukan sahaja mengkhianati wang rakyat, malah turut mengaibkan kaum wanita.

"Ia amat memalukan sebagai seorang ketua wanita dari satu organisasi yang besar pada masa yang sama mewakili kaum melayu terbabit dalam salah laku seperti ini," katanya.

"Ini adalah pertama kali pemimpin wanita negara melakukan kesalahan secara terang-terangan," jelas Hanzia ketika dihubungi TVSelangor.

Katanya di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat pemimpin yang terlibat dengan skandal akan segera meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab.

Haniza berkata ini tidak mungkin akan berlaku dalam kepimpinan Umno-BN.

Mengulas lanjut, Haniza (gambar) berkata penyelewengan tersebut adalah dilema hebat dalam kepimpinan Umno kerana apa jua tindakan yang bakal diambil tetap akan menerima hukuman dan kritikan daripada rakyat.

"'Luah mati emak, telan mati bapak' bagaimana cara sekalipun, Umno tidaka akan terlepas daripada diadili oleh rakyat dan tidakan mereka itu akan dilihat sebagai sebuah janji yang telah mengkhianati rakyat, " kata beliau

PKR sebelum ini mendakwa sejumlah RM250 juta dana awam diberikan kepada syarikat berkenaan yang dikaitkan dengan suami Menteri Pembangunan, Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun wang itu didakwa telah disalahguna sehingga projek tersebut dikatakan dalam 'kucar-kacir' seperti dirumuskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

PKR kemudiannya mendedahkan wang tersebut digunakan oleh NFC bagi membeli dua buah unit kondominium mewah di Bangsar bernilai RM13.8 juta.

Selain itu, PKR turut mendakwa sejumlah RM5 juta pula dibelanja untuk membeli kereta Mercedes Benz dan tanah di Putrajaya serta RM588,585 disalurkan kepada syarikat-syarikat milik keluarga menteri itu.

Selain PKR, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga berpendapat siasatan awal mendapati beberapa kelemahan yang berlaku pada awal perancangan dan juga perlaksanaan.

Janice Lee 'Saya Tidak Dimaklumkan'.

Posted: 27 Dec 2011 03:44 AM PST



SHAH ALAM, 26 DIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Janice Lee hari ini mendedahkan bahawa beliau dan wakil kerajaan Selangor sebenarnya tidak dimaklumkan berkenaan majlis penerangan berhubung pembinaan kabel berkuasa tinggi di sekitar Cheras yang diadakan semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan Adun Teratai itu sekaligus menyangkal dakwaan jawatankuasa bertindak yang menyatakan wakil kerajaan Selangor gagal hadir untuk mendengar rungutan penduduk.

Malah, Janice ketika dihubungi berkata, beliau sebenarnya tidak pernah menjemputnya untuk menghadiri majlis penerangan yang diadakan semalam.

Justeru jelasnya, dakwaan yang dilontarkan kepadanya itu disifatkan sebagai 'sandiwara' dan berbaur konspirasi yang boleh menggugat kredbiliti kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Mereka (jawatankuasa bertindak) menghantar faks ke pejabat saya pada 22 Disember selepas jam 6 petang di mana pada waktu itu pejabat telah ditutup sempena cuti tahunan.

Pejabat saya ditutup bermula 23 sehingga 26 Disember dan perkara itu telah dimaklumkan menerusi twitter saya. Kalau betul mereka mahukan saya hadir ke majlis penerangan itu, mereka boleh menghubungi saya sendiri atau tukar ke tarikh lain yang dipersetujui semua pihak," tegasnya.

Beliau turut beranggapan adalah tidak adil untuk melemparkan tuduhan dan dakwaan sedemikian kepadanya memandangkan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenai perkara ini.

Sehubungan itu, beliau berharap jawatankuasa bertindak itu boleh meminda majlis penerangan itu ke suatu tarikh baru yang akan dipersetujui semua pihak.

"Ini semua bagi saya adalah agenda politik dan tidak adil bagi saya. Parti komponen DAP juga ada menghubungi saya dan mereka turut memaklumkan perkara sama kepada saya bahawa mereka tiada wakil untuk dihantar memandangkan sekarang musim cuti," katanya lagi.

Kegagalan wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) hadir dalam majlis penerangan berhubung pembinaan kabel berkuasa tinggi di sekiar Cheras mendatangkan kemarahan kira-kira 500 penduduk yang membantah projek itu.

Majlis penerangan itu dianjurkan oleh jawatankuasa bertindak yang baru ditubuhkan dengan mengumpulkan penduduk di Cheras Hartamas dan Taman Bukit Segar Jaya dalam kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Mereka berharap wakil TNB akan hadir bagi mendengar rungutan mereka.

Penduduk kedua-dua tempat itu pada Rabu lalu berkumpul di bangunan pentadbiran TNB di Shah Alam dan ibu pejabatnya di Bangsar bagi menyatakan bantahan dan menghantar undangan ke majlis penerangan yang diadakan semalam.

Kabel berkuasa tinggi ini dibekukan sejak Oktober selepas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan TNB berunding dengan penduduk terlebih dahulu.

Tiada ulasan: