Sesuai dengan pemasyhuran Yang Di Pertuan Agong ke 14 maka rakyat akan mengambil kesempatan untuk turut menukar kerajaan yang memerintah Putrajaya daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat.
Kerajaan Bn yang sedang dipimpin oleh Najib Razak dijangka bila-bila masa akan mengisytiharkan pembubaran parlimen bagi membolehkan PRU 13 diadakan untuk memilihkan kerajaan baru samada diperingkat negeri ataupun persekutuan.
Para penganalisa politik dalam dan luar negeri menjangkakan perubahan besar bakal berlaku sesuai dengan perubahan di seluruh dunia terutama dunia Islam.
Pakatan Rakyat yang diketuai Anwar Ibrahim dan bersama-samanya Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Dato Bentara Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Sdr Lim Guan Eng serta penasihat DAP Lim Kit Siang dan juga pimpina dari kaum India akan memberikan saingan yang sengit kepada Bn untuk terus mengekalkan kuasanya yang kian pudar oleh skandal-skandal baru yang sedang melanda kerajaan BN.
Pendedahan oleh Audit Negara telah mengemparkan seluruh masyarakat terutamanya skandal pinjaman mudah kerajaan kepada syarikat NFC yang mengendalikan pemeliharaan lembu secara berskala besar yang gagal serta wujudnya penyalahgunaan wang rakyat. Ini berlaku semasa masih dibawah pentadbiran Abdullah ahmad badawi serta menterinya ketika itu adalah Muhyidin Yasin.
Skandal ini dipercayai mampu melumpuhkan jentera Bn disemua peringkat.
"Dilema kerajaan" berasal dari beberapa kontradiksi. Pertama, berlakunya konflik antara pembaharuan ekonomi dan kepentingan rent-seeker (perentir). Setelah mempertimbangkan kepentingan, keperluan kroni akan dipenuhi, namun pada masa yang sama momentum pembaharuan pula dikurangkan. Keadaan ini akan menjurus kepada satu senario di mana kroni pemerintah sentiasa mempengaruhi dasar kerajaan, dan pembaharuan gagal membawa kesan yang terserlah untuk selama-lamanya.
Misalnya, dari zaman Abdullah Ahmad Badawi hinggalah Najib Razak, kerajaan Barisan Nasional sering menekankan penyelewengan yang berlaku dalam perolehan dan pembahagian kontrak dalam sektor awam. Namun, setiap tahun Laporan Ketua Audit mendedahkan kes demi kes penyelewengan yang memperlihatkan bagaimana kroni mempergunakan saluran perolehan dan pembahagian kontrak sebagai saluran untuk memenuhi nafsu mengaut kekayaan diri. Skandal National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang terdedah baru-baru ini, melibatkan suami kepada Menteri Kabinet merangkap Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil, adalah contoh yang klasik.
Keduanya, kontradiksi antara dasar pembaharuan kerajaan dengan dasar perlindungan. Antara pembaharuan yang disasarkan oleh dasar pembaharuan adalah dasar perlindungan yang pelbagai - kuota perkauman, dasar perlindungan dalam sektor strategik atau sensitif, dasar perlindungan korporat GLC dan kroni, dasar peruntukan subsidi, halangan tarif atau bukan tarif dan sebagainya.
Untuk golongan tertentu, perentir, kroni, malah GLC yang selama ini dilindungi, pemansuhan dasar perlindungan tidak lain tidak bukan memutuskan sumber kekayaan mereka, dan kelebihan mereka dalam persaingan. Maka individu mahupun korporat yang hilang daya saing di bawah payung perlindungan akan tersingkir dalam persaingan pasaran bebas. Justeru itu, dasar pembaharuan sering terikat langkahnya oleh kuasa konservatif, dan tidak akan ke mana.
Misalnya, Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) yang bertanggungjawab merangka Model Ekonomi Baru (NEM) mencadangkan agar dasar afirmatif perkauman digantikan dengan dasar afirmatif untuk golongan berpendapatan 40% terendah, pada laporan NEM peringkat pertama. Pada masa yang sama, penubuhan Equal Opportunities Committee dicadangkan untuk memastikan semua orang mendapat peluang yang sama.
Bagaimanapun, setelah didesak PERKASA, kerajaan Najib akhirnya tunduk kepada golongan konservatif - bukan sahaja menggugurkan cadangan pembaharuan tersebut dalam bahagian kesimpulan NEM, malah menyokong sepenuh dasar afirmatif bumiputera, menubuhkan TERAJU dan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera untuk membela hak dan kepentingan bumiputera.
Ketiganya, terdapat situasi saling berkonflik antara dasar perlindungan. Apabila satu dasar perlindungan terikat dengan satu atau lebih dasar perlindungan, maka sebarang tindakan pembaharuan akan menjurus kepada fenomena domino (Domino Effect).
Ringkasnya, seandainya kepentingan seseorang yang memperolehi kepentingan di bawah dasar perlindungan terjejas, maka ia akan mengheret pihak yang lain kerana hubungannya dengan dasar perlindungan yang lain. Maka mereka akan menanggung bersama kerugian itu, malah memindahkan kerugian itu kepada pihak yang lain.
Dalam hal ini, sektor kuasa elektrik dan lebuhraya adalah contoh yang paling baik. Di bawah dasar perlindungan kerajaan, harga elekrik dan tol lebuhraya adalah di bawah kawalan kerajaan. Sebarang kenaikan memerlukan kelulusan kerajaan. Niat asalnya adalah untuk menjamin kepentingan rakyat. Namun, untuk menjaga kepentingan ekonomi kroni dan GLC, kerajaan meluluskan pula perjanjian yang tidak adil dengan syarikat konsesi, untuk menjamin keuntungan IPP dan syarikat konsesi lebuhraya.
Sebagai kesudahannya, apabila elektrik dan lebuh raya di ambang kenaikan harga, kerajaan perlu memberi pampasan untuk kerugian syarikat korporat milikan kroni, agar harga tidak dinaikkan dalam jangka pendek. Apabila kerajaan gagal menanggung tekanan itu, maka beban kenaikan harga dialihkan ke bahu rakyatnya.
Keempat, kontradiksi antara tekad pembaharuan politik dengan kepentingan politik. Dalam satu sistem politik di mana politik perkauman saling bersangkut-paut dengan kepentingan rent-seeking, tindakan pembaharuan kerajaan sering bercanggah dengan kepentingan politik. Ini kerana langkah pembaharuan bakal mengancam kepentingan ekonomi rent-seeker.
Rent-seeker ini bukan sahaja sumber dana politik yang penting, malah mempunyai pengaruh yang mustahak terhadap pola pengundian. Rent-seeker ini sering menggunakan politik perkauman, mempertahankan kepentingan ekonomi sendiri dengan modal politik dalam genggaman - pada masa yang sama menghakis tekad kerajaan untuk membawa pembaharuan.
KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kolumnis media Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah baru-baru ini menyelar pihak yang lantang menghina Islam khususnya hudud dan memberikan amaran kepada mereka.
Tanpa menamakan secara jelas, Mohd Ridhuan dalam tulisan yang disiar akhbar Sinar Harian kelmarin menggambarkan pihak yang dimaksudkannya adalah 'penzina' dan yang 'berlatar belakang menjijikkan'.
Katanya parti-parti politik atau orang bukan Islam boleh memberikan teguran dalam perkara lain seperti salah tadbir urus, salah laku peribadi, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi bila tiba kepada perkara berkaitan agama Islam, 'jangan terlalu kurang ajar'.
"Apatah lagi jika yang menegur itu, latar belakangnya amat menjijikkan. Seks rambang dan perzinaan sudah menjadi budaya hidupnya.
"Saya masih lagi boleh bersabar jika mereka tidak menerima 'hudud Pas'. Tetapi cara mereka bercakap tidak menampakkan rujukan kepada 'hudud PAS', tetapi menghina Islam secara keseluruhan dan isi kandung al-Quran. Perbuatan ini amat melampau," tulisnya.
Biarpun tidak dinyata dengan jelas siapa sasaran tulisannya, namun ianya dipercayai ditujukan kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Ini kerana, dalam tulisannya itu beliau merujuk kepada kenyataan yang mendakwa pelaksanaan hukum hudud akan membawa kepada kemusnahan ekonomi negara dan binasa diri.
Ianya termasuk dakwaan bahawa pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan "binasa diri" jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia yang pernah diucap Soi Lek pada satu forum di Wisma MCA baru-baru ini.
"Jangan bermain dengan api wahai penzina. Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam. Apakah kita boleh menerima kenyataan seperti pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan 'binasa diri' jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia.
"Persoalan saya, apakah Malaysia akan menjadi daya tarikan pelabur-pelabur dengan lambakan pelacur-pelacur yang datang daripada Cina dan Vietnam yang datang 'memberi khidmat'?
"Apa matlamat sebenar membawa masuk mereka ini? Apakah mungkin beliau turut melanggan kerana memang menjadi kesukaannya menyimpan mistres?" soalnya lagi.
Dalam nada tegas, beliau yang juga penyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia turut mengingatkan pihak tersebut tidak mencampuri urusan orang Islam khususnya berkaitan dengan soal hudud.
Apatah lagi katanya jika seseorang itu berlainan bidang kepakaran, maka sewajarnya tidak perlu banyak mengulas tentang bidang yang lain.
"Jika bidang beliau mengenai kesihatan seperti mana jawatan yang pernah dipegang sebelum ini, lebih baik dia bercakap mengenai keburukan yang dibawa hasil seks luar nikah atau seks rambang atau penzinaan," tegasnya.
Soi lek sebelum ini juga mendakwa sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa.
Selain itu beliau turut meramalkan bahawa pasaran saham akan jatuh antara 10 hingga 20 peratus jika hukum hudud digubal dan ia juga akan memberi kesan ke atas kewangan pelabur-pelabur tempatan.
"Wah! bukan main pandai lagi beliau meramal seperti nujum.
"Justeru, tunggu apa lagi, marilah kita bersama-sama tanpa mengira parti dan ideologi, mempertahankan Islam yang semakin lama semakin berani dimamah dan diratah oleh ultra kiasu yang wujud di mana-mana, termasuk dalam Barisan Nasional," kata Ridhuan.
....DAN PILIHANRAYA INI ADALAH YANG PALING KOTOR KERANA PENDATANG DIBERI KAD PENGENALAN......
KUALA LUMPUR, 13 Dis — Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil sebaik sahaja kes liwat dihadapinya sekarang berakhir, sambil menegaskan ia sebahagian daripada usaha menamatkan kerjaya politik beliau.
Ketua Pembangkang itu memberitahu pemberita bahawa beliau bersedia untuk yang terbaik tetapi pada masa yang sama menduga keadaan paling buruk.
"Ini bukan secara kebetulan, akhir kes ini akan secara kebetulan (selari) dengan pilihan raya (umum)," katanya di pekarangan mahkamah.
Hujah penggulungan masuk hari kedua hari ini.
Ini kes liwat kedua membabitkan beliau.
Semalam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan pilihan raya umum akan berlangsung awal tahun depan.
Mandat semasa hanya berakhir April 2013.
Menjawab hujah penggulungan pihak pendakwa yang menyerang keputusannya memberi keterangan dari kandang tertuduh, Anwar berkata beliau menggunakan perbicaraan untuk mengetengahkan keadaan sistem perundangan yang cacat.
"Saya mengambil kedudukan menerusi saksi-saksi yang kompeten. Satu-satunya usaha mereka ialah memusnahkan doktor-doktor yang ternama di dunia," kata beliau lagi.
Perbicaraan akan disambung Khamis ini dengan pasukan pembela akan menjawab hujah pihak pendakwa.
Kemudian Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah akan memutuskan tarikh mengumumkan keputusannya.
SHAH ALAM, 13 DIS : Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) akan mengadakan sebuah aktiviti Flash Mob bagi menuntut kebebasan akademik di KL Sentral esok.
Pengerusinya, Ahmad Safwan Anang berkata pihaknya akan mengunakan pendekatan 'silent protest' dengan memakai topeng muka dan 'play card' sebagai gimik Kebebasan Akademik.
"Sekurang-kurangnya pihak kami mensasarkan kehadiran 100 mahasiswa bagi tujuan ini selain mempromosikan Himpunan Kebebasan Akademik yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 17 Disember nanti," jelas Ahmad Safwan menerusi satu kenyataan media kepada TVSelangor.
Flash mob yang bertemakan "Bebaskan Akademik" ini adalah untuk melahirkan protes terhadap kekangan akademik yang semakin parah sejak kebelakangan ini seperti kekacauan yang berlaku pada Speakers Corner di UITM Shah Alam tempoh hari.
Ia juga adalah lanjutan insiden gangguan daripada pihak Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya (UM) pada program Debat Akta Undang-undang Kolej dan Universiti yang diadakan di UM baharu-baharu ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Safwan berkata aktiviti "flash mob" ini juga turut mendapat sokongan daripada seluruh gabungan mahasiswa yang berada di bawah koalasi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).
Pada 2 September 1998, media seperti Utusan Malaysia atau nama timangannya "Utusan Meloya" serta TV3 menyiarkan berita dan afidavit penuh dari beberapa individu bahawa Anwar Ibrahim terlibat dalam perlakuan liwat. Kebanyakan penyokong reformasi dan Pakatan Rakyat pada ketika itu tidak mengenali Anwar, begitu juga dengan saya. Semua dalam kekeliruan.
Tetapi, saya mula menyoal kalau betul Anwar bersalah, pasti dia bukan begini peribadinya. Orang bersalah tidak akan berani berceramah di hadapan khalayak ramai, apatah lagi untuk bertentang mata dengan ribuan manusia. Sebagai manusia berakal, saya perlu mencari kepastian. Ketika itu, dari dua hingga ke 20 September, setiap malam di rumah Anwar diadakan ceramah.
Pada satu malam, saya berkesempatan untuk kali pertama mendengar ucapan mantan Timbalan Perdana Menteri itu di rumahnya di Bukit Damansara. Siang itu, penulis ucapan beliau Dr. Munawar Anees ditangkap.
Ceramah beliau pada malam itu mematikan keraguan saya termasuk satu baris pidato yang sangat penting dan signifikan. Kata Anwar, merujuk penangkapan Dr.Munawar, lebih kurang begini, "Kenapa tangkap orang-orang saya? Tangkap saya. Saya pemimpin!!!".
Hanya mereka yang "berani kerana benar" boleh berbicara seperti itu. Kata-kata seperti ini tidak mampu lahir dari mulut seorang yang bersalah. Atas kebenaran ini, dia berdiri tegak dan mencabar para rangkaian konspirator. Atas kebenaran ini, dia menerjang segala risiko demi membela orang yang dipimpin.
Saya percaya kalaulah situasi ini dihadapi oleh Dr.Mahathir, sejak awal beliau sudah lari ke kandang kuda di Argentina dan membiarkan pengikut-pengikutnya menghadapi segala risiko. Dan kalau Najib mungkin sudah lama lari ke Mongolia.
Sejak saat itu saya pasti semua tuduhan yang dilemparkan ke atas Anwar adalah fitnah dan hanya untuk membunuh karier politik beliau dan menyelamatkan perasuah. Betapa besarnya dosa pereka-pereka fitnah, penyebar, pentokong dan orang yang berdiam serta merelakannya.
Bagi saya Anwar layak membawa Malaysia keluar dari kemelut dan dia perlu disokong. Kepada dia, rakyat boleh sandarkan harapan. Di bawah ini beberapa insiden yang diberitahu kepada saya kemudiannya yang mengukuhkan menyerlahkan perwatakannya sebagai seorang pemimpin.
Dalam peristiwa demonstrasi membela petani miskin Baling pada tahun 1974, Anwar pada asalnya tidak ditangkap dan sudah berada di rumah bapanya (Datuk Ibrahim) di Petaling Jaya. Tapi apabila mendengar berita penangkapan teman-temannya (termasuk Fadzil Noor), beliau segera ke balai polis Jalan Stadium untuk membela, yang akhirnya menyebabkan dia terus ditangkap di bawah ISA selama dua tahun.
Insiden kedua, apabila menghadapi tuduhan, sehari sebelum dipecat, dia diberi kata oleh oleh Dr.Mahathir - "dipecat atau menghadapi tuduhan yang memalukan". Dan ini diiringi tawaran lumayan untuk bertugas di Bank Dunia sekiranya beliau memilih untuk meletak jawatan. Jawab Anwar, "Kenapa saya harus meletak jawatan, saya tidak bersalah." Kita percaya semua pemimpin UMNO/BN dalam situasi ini akan memlilih jawatan di Bank Dunia.
Satu kriteria penting bagi seseorang pemimpin berwibawa. "Apabila berhadapan dengan pilihan laba, beliau memilih untuk mempertahankan prinsip walaupun risikonya penjara."
Malah prinsip beliau jelas dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh 2008 di mana dia bertanding. Dalam kempen, taktik bersumpah atas nama agama dilakukan oleh Najib Razak dan Saiful demi mendapat undi.
Kerana tingkah lalu para sesumpah ini disiarkan oleh Meloya dan TV3, sokongan pengundi Melayu merosot mendadak, maka ada teman-teman yang menasihati Anwar untuk ikut bersumpah. Beliau menolak kerana amalan sumpah dilarang dalam Islam. Persoalan jenayah wajib di bawa ke mahkamah adil.
Beliau berpendirian tidak akan mengorbankan prinsip agama untuk tujuan politik kalaupun sekiranya ditakdir beliau kalah dalam pilihanraya itu.
Akhir kalam, rencana ini tidak membicarakan soal politik kepartian, tetapi keperluan membawa Malaysia keluar dari kebobrokan rasuah, penjarahan harta negara, perompakan wang rakyat yang menghalang kemajuan negara. UMNO/BN terjebak dalam lubuk keji ini dan mereka sendiri tidak mampu mencari jalan keluar, apa lagi membawa rakyat keluar.
Sebagai alternatif, kita punya seorang pemimpin yang berani, bertanggungjawab, berprinsip dan mempunyai jiwa pembela rakyat. Hanya seorang pemimpin tanpa rasuah seperti Anwar dengan gagasan Pakatan Rakyat mampu mengemudi Malaysia kembali berdaulat dengan rakyat yang berjati diri.
*Nota Zunar: Rencana khusus kepada golongan muda, terutama generasi selepas September 1998.
**Zunar (nama asal: Zulkiflee Anwar Ulhaque, gambar kiri) ialah kartunis politik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan