Umno dakwa 7,000 ahli PAS keluar parti protes Mat Sabu iktiraf Mat Indera
KUALA LUMPUR, 2 Dis ― Sekitar 7,000 ahli PAS di seluruh negara telah menyertai Umno selepas Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu mengiktiraf Mat Indera sebagai seorang wira perjuangan kemerdekaan, dakwa seorang perwakilan hari ini.
Kamal Saidin dari Kedah berkata, tindakan Mohamad yang turut dikenali sebagai Mat Sabu mengiktiraf Mat Indera merupakan satu aset kepada Umno kerana ramai ahli PAS marah kepada pemimpin utama mereka.
"Oleh itu saya ucap tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang tidak menangkap Mat Sabu walaupun beratus laporan polis telah dibuat kepada Mat Sabu," katanya ketika mencadangkan usul agama, sosial dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Tahunan Umno petang ini.
Katanya lagi, biarlah Mat Sabu menjelajah ke seluruh negara mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang kerana semakin banyak beliau berceramah, semakin ramai ahli PAS akan keluar dari parti itu.
Dengan menggunakan modal lamanya beliau menyerang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berkawan dengan DAP.
Malah beliau turut membaca talqin kepada Hadi yang kononnya bila Presiden PAS itu mati, malaikat akan bertanya kepadanya kenapa berkawan dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh.
"Dahulu dia kata Umno kafir kerana berkawan dengan MCA dan MIC. Sekarang kenapa mereka tak baca ayat yang sama ketika PAS berkawan dengan DAP yang merupakan kafir harbi," katanya.
Beliau sedih kerana PAS sanggup menggugurkan slogan negara Islam kerana takut kepada DAP yang anti Islam.
"Kini PAS menggugurkan slogan negara Islam dan menggantikannya dengan negara kebajikan. Jadi siapa yang memperjuangkan Islam selama ini kalau bukan Umno yang mengamalkan pendekatan wasatiyyah," katanya lagi.
Menurut ahli jawatankuasa Umno Pendang itu, PAS haram berkawan dengan DAP yang tidak menerima hukum hudud.
Pada 26 November yang lalu saya telah selamat tiba ke tanah air dari Gaza dan Mesir pada jam 6 petang. Setelah pulang ke rumah berehat; pada keesokan harinya 27 November saya telah hadir ke majlis walimah di Sek 17 pada sebelah tengah hari, program semarak hijau di Selayang pada sebelah petang dan program Maal Hijrah di Masjid As-Solihin Sek 17 pada waktu malam. Pada hari Isnin 28 November pula saya sempat bersama dengan Dr.Rani untuk bersarapan dan pada waktu malam berkesempatan menghadiri Barbeque bersama unit Amal di Seksyen 19.
RANG UNDANG-UNDANG PERHIMPUNAN AMAN
Pada 29 November saya telah hadir ke Parlimen. Rang Undang-undang yang ingin dibahas adalah Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011. Amat jelas dari awal lagi, bahawa RUU ini bertujuan bukan untuk menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, tetapi sebaliknya bertujuan untuk menyulitkannya. Sedangkan gambaran yang diberi oleh pihak kerajaan ialah ianya bertujuan untuk menjamin hak rakyat untuk berhimpunan secara aman akan lebih terjamin! Seperti biasa, ianya indah khabar dari rupa!
RUU ini telah dibentang pada hari Khamis 24 November oleh PM di Parlimen. Ia telah menghasilkan berbagai respon negatif dari berbagai pihak, sehingga pada hari Selasa, awal pagi lagi diletakkan pindaan kepada RUU yang baru sahaja dibentang itu. Namun, malangnya, pindaannya terlalu bersifat kosmetik sambil mengekalkan semangat asalnya, iaitu untuk mengongkong hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan bersuara. Sehingga ada yang menyatakan peraturan ini adalah jauh lebih teruk dari Negara Myanmar, iaitu sebuah Negara yang diperintah junta tentera!
Ketidak ikhlasan pihak BN dalam membahas RUU ini jelas terbukti apabila masa yang diperuntukkan hanya sehingga jam 4 petang dan hanya 3 orang sahaja dari PR dibenarkan berhujjah, iaitu Anwar Ibrahim, Lim Guan ng dan Hadi Awang. Sedangkan, seperti yang disebut oleh wakil rakyat Gombak, RUU berhubung Kenaf pun diberikan tempoh selama 2 hari! Selain dari RUU Perhimpunan Aman 2011 ini, 5 lagi RUU hendak dibahas pada hari itu!
Jam 12.30 tengah hari kami telah keluar dari dewan untuk menyambut pihak Majlis Peguam yang berarak ke Parlimen untuk membantah RUU ini. Lebih dari seribu peguam telah menyertainya. 10 wakil dibenarkan masuk ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada pihak kerajaan membantah RUU berkenaan yang mengharamkan terus perarakan dan menyulitkan perhimpunan aman.
Pendirian PR adalah RUU perlu ditarik balik dan diserah kepada sebuah PSC (Parliament Select Committee) untuk dibahas dengan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan. Ini adalah kerana RUU ini digubal secara tergesa-gesa dan dengan niat yang jahat untuk mengongkong rakyat. Maka, setelah menyatakan pendirian ini, kami telah memutuskan untuk meninggalkan dewan kerana tidak bermakna untuk kita menyatakan ianya perlu ditarik balik dan dibahas di peringkat PSC tetapi kita terus membahasnya di dalam dewan! Sekiranya PR terus membahaskannya di dalam dewan, maka tindakan tersebut akan bercanggah dengan pendirian yang telah dibuat sendiri!
Ada yang menyatakan bahawa ahli parlimen PR perlu terus membahasnya dan menentangnya sehingga ke peringkat pengundian. Apabila kita keluar dewan dengan melakukan "walk-out" maka dianggap bahawa kita tidak menentangnya habis-habisan. Mereka yang bertanggapan sebegini mungkin tidak memahami bahawa "walk-out" merupakan bentuk bantahan yang paling keras yang boleh digunakan oleh Ahli Parlimen di dalam sebuah negara yang berpelembagaan. Ianya menunjukkan bahawa perbahasan isu dalam keadaan sedemikian sebagai sia-sia serta tidak bermakna kerana pihak kerajaan tidak mahu mendengar apa jua hujjah dan akan menggunakan majoriti mereka untuk memaksa RUU yang zalim itu untuk terus diluluskan.
Perancangan mereka jelas kelihatan apabila Ahli Parlimen BN mula kembali dari Perhimpunan UMNO di PWTC pada jam 3.30 petang. Mereka hadir di Perhimpunan UMNO, tidak dengar apa jua hujjah dan datang sebelum pukul 4 untuk mengundi menyokong RUU tersebut. RANG UNDANG-UNDANG PERUMAHAN RAKYAT 1 MALAYSIA
Pada hari Rabu 30 November pula, RUU yang dibahas adalah RUU berhubung Perumahan Rakyat 1 Malaysia atau PR1MA. Sekali lagi ianya merupakan RUU yang indah khabar dari rupa. Kononnya ianya bertujuan untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat termasuk persoalan projek perumahan terbengkalai dan harga rumah yang meningkat jauh lebih tinggi dari apa yang mampu dibeli rakyat. Namun itu hanya suatu "mirage" atau jelmaan imej yang ingin ditonjolkan. Pada hakikatnya, ianya hanya RUU untuk menubuhkan satu lagi perbadanan tanpa adanya kaedah dan pendekatan penyelesaian masalah yang telah dikenal pasti.
Sedangkan badan-badan untuk menangani persoalan ini sudah sedia ada, seperti SPNB dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Yang tiada bukan satu perbadanan, tetapi yang tiada adalah hala tuju yang jelas dan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah. RUU ini kelihatan bertujuan untuk menipu rakyat, memberikan gambaran kerajaan perihatin sedangkan pada hakikatnya tiada apa yang dilakukan.
Ketua Pembangkang menyebut tentang suatu pakatan durjana atau dikenali sebagai "unholy alliance" yang terdiri dari pihak pemaju, bank dan pemimpin politik yang terus menindas rakyat demi kepentingan golongan yang berada. Dan inilah di antara faktor terutama mengapa masalah ini dihadapi oleh rakyat. Perbadanan baru ini tidak akan menghasilkan apa-apa perubahan selain dari perbelanjaan yang lebih kerana membayar gaji CEO dan kakitangan perbadanan ini. Penyelesaiannya terletak pada pemusnahan pakatan durjana ini sehingga kepentingan rakyat diutamakan.
Hakikat bahawa RUU ini merupakan suatu pembohongan di siang hari semakin terserlah apabila wakil rakyat Indera Mahkota menjelaskan bahawa tiada peruntukan dalam Bajet 2012 untuk pembinaan rumah "PR1MA" yang diwawar-wawarkan!
Amat jelas bahawa semua yang dilakukan BN dewasa ini adalah bertujuan untuk memulihkan imej UMNO/BN dalam menghadapi Pilihan Raya ke-13. Ini merupakan pengakuan yang jelas dan muktamad bahawa imej UMNO/BN sememangnya sudah teruk tercalar dan usaha demi usaha perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Namun, saya yakin insyaAllah penipuan UMNO/BN tidak akan berkesan dan rakyat terus menyedari wajah UMNO sebenar.
*Tulisan ini dipetik dari blog Khalid Samad (gambar kiri), wakil rakyat Shah Alam.
GOMBAK, 2 DIS : Kerajaan Selangor bersedia memperuntukkan sedikit dana untuk menggunakan khidmat pakar penyiasatan daripada negara luar seperti Britain dan Eropah bagi membawa kes projek ternakan lembu kontroversial Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ke mahkamah.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia adalah pendekatan yang sering digunapakai negara luar bagi menyelesaikan jenayah kolar putih atau jenayah bersifat korporat.
Jelasnya, walaupun ia adalah pendekatan yang belum pernah digunakan di negara ini, namun beliau yakin kaedah itu akan membantu menyelesaikan perkara berkenaan.
"Saya serahkan kepada Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution. Mereka akan membuat pembentangan kepada pihak polis dan MACC supaya menunjukkan pekara yang perlu diperhatikan oleh pihak polis."
"Ini adalah perkara baru di Malaysia tetapi perkara ini sangat dijaga di Britain dan Australia."
Terdahulu, ketua Audit Negara mendedahkan bahawa projek fidlot tersebut dalam keadaan kucar kacir dan tidak menepati sasaran ekoran tiada kepakaran pengurusan.
Skandal ini menjadi tumpuan media apabila pimpinan Pakatan Rakyat mempersoalkan pinjaman dana RM250 juta yang diberikan kepada keluarganya.
Tidak cukup dengan itu, beberapa pendedahan berhubung salahguna kuasa dan urus tadbir oleh pemimpin Pakatan Rakyat termasuk pembelian dua buah kondo mewah dan membuka syarikat-syarikat milik peribadi turut didedah.
Namun, kepimpinan Umno dan sayap Wanitanya bersungguh-sungguh mempertahankan Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Setelah berbulan-bulan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berdolak-dalih mempertahankan projek Lynas yang menghasilkan radioaktif merbahaya di Gebeng, Pahang, akhirnya kementerian itu mengajui projek tersebut tidak begitu selamat kepada alam sekitar.
Demikian ditegaskan oleh ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang menyambut baik kenyataan Setiausaha MITI Datuk Rebecca Sta Maria yang menyatakan bahawa Lynas mesti mematuhi peraturan sebelum lesen pra-operasi boleh dikeluarkan ke atas LAMP sewaktu beliau melawat kilang itu di Gebeng 30 November lalu.
"Menteri MOSTI sudah pun mengaku di Dewan Rakyat, sewaktu sessi penggulungan peringkat jawatankuasa bajet bahawa sisa WLP berkadar radioaktiviti 6Bq/g (laporan IAEA ms 13) dari kilang LAMP diklasifikasikan sebagai sisa buangan radioaktif.
"Ini bertentangan dengan kenyataan mereka sebelum ini yang bertegas mengelirukan rakyat mengatakan bahawa sisa dari LAMP adalah selamat, boleh ditabur di merata-rata tempat di samping merupakan sisa industri yang hanya mengandungi NORM (Normal occuring radioactive material)
"Pengakuan Menteri Kementerian Sains dan Inovasi (MOSTI) jelas menunjukkan bagaimana pihak kerajaan selama ini hanya menjadi jurucakap Lynas dan menggunakan maklumat dari Lynas semata-mata. Malah Fact Sheet mengenai Lynas keluaran MITI juga merupakan input dari Lynas," katanya dalam satu kenyataan media.
Fuziah juga merujuk kepada laporan National Toxic Network Australia mengenai bahaya kebocoran radioaktif yang didedahkan oleh kerajaan negara itu yang dikatakan menyamai kadar radioaktif di Lynas sekiranya kilang itu beroperasi kelak.
"Selepas terbitnya laporan National Toxic Network Australia berkenaan berlakunya kebocoran sisa radioaktif di Concentration Plant Lynas di Mt Weld, Australia baru-baru ini, saya ingin menegaskan bahawa kedudukan LAMP di Gebeng nanti dijangka akan membawa bahaya yang jauh lebih tinggi (hingga mengakibatkan malapetaka)," katanya.
Tambah Fuziah, radioaktif yang dikeluarkan Lynas memang jauh lebih besar daripada kadar dibenarkan antarabangsa yang sesuai bagi manusia tinggal berhampiran dengannya. Oleh itu tidak sepatutnya kilang Lynas didirikan berdekatan dengan penempatan penduduk. Kadarnya seperti berikut:
1) Radioaktiviti sisa Lynas concentration plant di Mt Weld ialah dikadar 1.8 Bq|g sedangkan radioaktiviti sisa WLP solid di LAMP ialah pada kadar 6 Bq|g. Kadar maksimum yang diterima antarabangsa ialah 1Bq|g di mana Malaysia juga menerima pakai standard antarabangsa ini.
2) Di dalam jarak 30 kilometer radius di Lynas concentration plant di Mt Weld, tiada wujud penduduk sedangkan dalam 30km radius di Gebeng ada terdapat 700,000 penduduk.
3) Dalam jarak 25 km radius di Lynas Concentration Plant di Mt Weld, tiada terdapat air bawah tanah sedangkan di Gebeng, kedudukan LAMP ialah di atas tanah gambut yang paras airnya lebih tinggi dari kadar paras air biasa dan sungai Balok berkedudukan di sebelah Gebeng. LAMP juga terletak dalam 5km dari laut China Selatan, bersebelahan pusat peranginan Cherating yang menjadi tumpuan destinasi pelancongan. Di samping itu laut China Selatan juga merupakan sumber hasil ekonomi tempatan di mana industri perikanan juga merupakan sumber ekonomi utama.
Kata Fuziah, dengan segala fakta itu kebocoran di LAMP akan meninggalkan impak yang cukup menghancurkan alam sekitar serta ekonomi di samping kesihatan penduduk. Tiada industri yang 100% bebas kemalangan dan LAMP tidak terkecuali.
"Selama ini Lynas berselindung di sebalik kementerian MOSTI dan MITI dan tidak bersikap bertanggungjawab. Menteri di kedua kementerian sebelum ini hanya menekankan aspek radiasi luaran, mengikut rentak dan telunjuk Lynas. Malah aspek radiasi dalaman juga tidak dapat dijawab oleh Menteri sebelum ini.
Saya tegaskan bahawa LAMP tidak wajar berada di Gebeng kerana situasi di Gebeng tidak akan boleh menepati dan mematuhi segala aspek keselamatan mengikut piawaian antarabangsa," tegasnya.
Adegan UMNO yang tak sanggup kita lihat...auta pemimpin untuk sang lembu yang dipawah.
Perhimpunan agung UMNO bermula secara rasminya hari ini. Namun arah tujuannya sudah pun jelas melalui suara persidangan sayap pemuda, wanita dan puteri parti semalam. Malah lebih awal lagi, api perkauman sudah pun dinyalakan.
Sebelum persidangan bermula, Ketua Penerangan UMNO Ahmad Maslan telah memulakan tembakan dengan memberi peringatan basi kepada orang Melayu bahawa jika UMNO hilang kuasa, maka Melayu akan hancur musnah.
Menurutnya, tanpa UMNO, institusi diraja akan hancur dan Islam juga akan hancur kerana DAP merupakan "ejen kristianisasi". Tidak cukup dengan itu, DAP dituduhnya tidak menghormati institusi raja kerana tidak mahu meminta atau menerima darjah kebesaran!
Kenyataan politik longkang ini datangnya dari seorang pemimpin UMNO yang hanya beberapa hari lalu dilaporkan media sebagai berkata, "apabila kita beri pandangan tertentu, kita perlu memikirkan perasaan kaum lain yang pelbagai dalam negara ini."
Cakap tak serupa bikin itu sudah seperti menjadi budaya di kalangan pimpinan UMNO. Mungkin mereka lupa pesan nenek moyang sendiri, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
"Parti paling rasis"
Bukan sahaja tidak ada sesiapa yang menegurnya, malah Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin menyambung nada Ahmad dengan mengumumkan "jihad" untuk menyelamatkan UMNO dan Barisan Nasional - dengan menghamun DAP sebagai "parti paling rasis".
DAP yang menolak ketuanan kaum, yang mahu kepada hak dan peluang saksama, dan yang mahu kepada keadilan untuk semua, dikatakan parti paling rasis. Inikah kenyataan bernas dari seorang Menteri Pelajaran?
"Daripada soal kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, segala-galanya cuba dipertikai dan dirobek satu demi satu oleh parti DAP," kata Muhyiddin tanpa memberi sebarang bukti untuk mengalas fitnahnya.
Ditambah pula: "Tembelang DAP untuk menubuhkan sebuah negara republik dengan mengetepikan nilai, sejarah dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan semakin jelas kelihatan."
"Masakan tidak, mereka berani mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dipilih secara langsung dalam pilihan raya tanpa perlu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Apa maknanya ini? Maknanya, sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembangaan yang kita amalkan selama ini sudah tidak sesuai lagi dengan tembolok mereka untuk melahap kuasa."
Bukan sekali, malah berkali-kali fitnah. Begitu rendah sekali pandangan Timbalan Perdana Menteri terhadap orang Melayu yang disangkanya akan mudah menelan bulat-bulat pembohongannya. Oh, mungkin yang ditujukannya itu hanya kepada para perwakilan UMNO sahaja.
Tidak pernah berlaku dalam sejarah ucapan Timbalan Presiden UMNO di mana lebih 60 kali nama "DAP" disebut dengan diselitkan dengan pelbagai fitnah. Memang semua pembohongan Muhyiddin dijawab oleh DAP tetapi kita sedar tidak ada satu kenyataan pun telah dan akan disiarkan oleh media massa yang hampir keseluruhannya dikawal oleh UMNO-BN.
Sopan santun perwakilan UMNO?
Mengapa para pemimpin UMNO perlu memusuhi orang lain demi mengekalkan kemandirian politiknya? Mereka sentiasa menggunakan DAP (sebagai ganti nama 'Cina') untuk menjadi kambing hitam. Kini untuk menambah perencah dalam hidangan mereka yang basi, mereka menambah penganut agama Kristian pula sebagai sasaran.
Tidak cukup dengan itu, bahasa sesetengah perwakilan UMNO sewaktu persidangan sayap-sayap parti juga biadap dan memalukan serta menjatuhkan maruah bangsa Melayu. Sudah tentu ada di antara 3.2 juta ahli UMNO yang merasa malu mereka menjadi anggota parti itu pada saat ini.
Seorang wakil Pemuda UMNO, mungkin kerana penguasaan kosa kata yang lemah dan terhad, telah menggelar PAS dan PKR sebagai "pondan" dan "bapok" serta menuduh sesiapa yang menyokong DAP adalah "bangsat". Jika beginilah pemimpin muda Melayu, sukar dibayangkan nasib anak-anak Melayu di masa hadapan.
Jika berbuat salah, salahkan orang lain
Logik yang semakin pupus sifat munasabahnya pula dibawakan oleh Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil yang terpalit dengan skandal penternakan lembu, termasuk wang yang digunakan untuk membeli kondominium mewah, dengan cuba mengalihkan tumpuan kepada kes mahkamah Anwar Ibrahim.
Shahrizat mencabar Wanita PKR supaya mendesak Wan Azizah Ismail meletak jawatan kerana suaminya Anwar dikatakan telah melakukan pelbagai kesalahan. Apa pula kena-mengena Anwar dengan projek lembu beratus juta ringgit yang diberikan kepada keluarga Shahrizat yang penuh dengan pelbagai persoalan, sebagaimana yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara?(NAK MENIPU DAN MELEPASKAN KESALAHAN ...NAMUN UMNO YANG SEMEMANGNYA TUNGGUL KAYU MEMPERCAYAI APA SAHAJA TANPA MENILAINYA-PEMIMPIN MENAIKI KERETA 500 RIBU-PENYOKONG NAIK MOTOSIKAL ATAU PROTON BURUK KE TEMPAT KERJA-WRLR)
(BANGANGNYA SI PENYOKONG YANG MENCIUM MANUSIA YANG TELAH DIKAITKAN DENGAN SKANDAL NFC DIANGGAP PEMIMPIN-WRLR)
Dan seperti biasa, agama menjadi alat. Shahrizat yang mendapat "restu" perwakilan wanita yang mengangguk dan menyorak sokong sewaktu ucapannya itu, menggulung dengan menyatakan: "Saya menyeru semua rakyat Malaysia tak kira parti mana pun, kita orang Islam mari bersatu, jangan kita biarkan ideologi politik memecah-belahkan ukhuwah kita".(YA CAKAP SOAL ISLAM..PAKAI TUDUNG PUN TAK BETUL-SAPU BERJUTA-JUTA..AJAK RAKYAT BERSATU PERGHHHHH-WRLR)
Telenovela tahunan UMNO ini baru sahaja bermula. Saksikanlah drama hebat ini yang pasti mengundang air mata, sama ada terlalu sedih dan pedih mengenangkan nasib orang Melayu di bawah UMNO atau terlalu tidak masuk akal memikirkan kedangkalan politik UMNO masa kini yang telah menghancurkan impian ibu-ibu dan bapa-bapa kemerdekaan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan