Jumaat, 16 Disember 2011

Senyum Tangis Sendu

Senyum Tangis Sendu


Shahrizat Biawak Hidup? - UMNO Cheras

Posted: 15 Dec 2011 06:02 PM PST



KUALA LUMPUR, 16 Dis — Ketua Umno Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menjelaskan maksud kenyataan "memikul biawak hidup" ditujukan ke atas Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang kini menjadi pertikaian umum, bukannya merujuk kepada anggota Kabinet dari parti itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Syed Ali, kenyataan beliau kelmarin berkaitan isu NFC yang mana jika tidak diselesaikan maka selagi itulah rakyat akan menunding jari kepada kerajaan kononnya melindungi Shahrizat (gambar) yang mana suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail adalah Pengerusi Eksekutif NFC.

Projek NFC, yang menggunakan dana awam RM250 juta, dikendalikan oleh keluarga Shahrizat.

"Maka, sudah tentulah pada anggapan saya rakyat akan menyalahkan Perdana Menteri dan timbalannya kerana memikul isu NFC seperti memikul biawak hidup. Bukannya peribadi Shahrizat," kata beliau dalam kenyataan disiarkan menerusi blognya.

Kenyataan keras Syed Ali sebelum ini didakwa dituju ke atas Mohamad Salleh supaya memberikan penjelasan secara jelas dan terperinci berhubung isu tersebut supaya tidak menjadi beban kepada Umno dan kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 sepertimana yang disiarkan oleh Utusan Malaysia.

"Saya bercakap berkisar tentang isu NFC yang kini menjadi bualan rakyat, malah pihak pembangkang juga menuduh pelbagai penyelewengan berlaku dan menyalahkan kerajaan, bukannya saya tujukan kepada Shahrizat secara peribadi," tegasnya.

Sebelum ini kata Syed Ali, beliau bersama beberapa pemimpin Umno telah menegur Shahrizat berhubung isu NFC dan mendesak beliau melepaskan jawatan dalam Kabinet tetapi kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Shahrizat, yang tewas dalam pilihan raya umum 2008, merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Ini bermakna saya menghormati Shahrizat sebagai wanita dan pemimpin sayap kanan parti tetapi beliau harus mengakui bahawa isu NFC ini menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang menteri Kabinet," jelasnya.

Beliau juga berkata, penjelasan Mohamad Salleh mungkin boleh membersihkan imej Shahrizat yang turut terpalit dalam isu tersebut.

Semalam, sekitar 80 orang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan "membanjiri" pejabat Syed Ali di Jalan Peel di sini berkaitan kenyataan beliau yang mengumpamakan Shahrizat dan keluarganya "biawak hidup".

Antara mereka hadir ialah wakil Persatuan Gabungan NGO Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia, National Women Entrepreneurs of Malaysia (Nawem) dan Kelab Sahabat Kebajikan Nusantara.

Pertubuhan-pertubuhan berkenaan mendakwa Syed Ali tidak menghormati status wanita.

"Saya adalah orang yang paling menghormati kaum wanita, sebab emak saya adalah wanita, malah wanita merupakan elemen penting dalam kehidupan manusia," tegasnya.

"Saya ingin jelaskan ini kerana ada yang tersinggung dengan kenyataan saya, tetapi niat saya hanya ingin mempertahankan institusi Umno, bukannya kepentingan peribadi individu tertentu," tegasnya.

"Individu tidak penting pada saya, parti dan kerajaan yang lebih penting," ujarnya.

M.insider

Tiada ulasan: