Khamis, 29 Disember 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Panas: Tazkirah Tanpa Ada Tauliah, Bob Lokman Telah Di Panggil "Mengadap JAIP" 5 Januari Ini !!

Posted: 28 Dec 2011 10:59 AM PST

KUANTAN, 29 Dis - Bekas selebriti terkenal Bob Lokman (foto), telah dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada 5 Januari ini bagi memberi keterangan berikutan notis siasatan terhadapnya 24 Disember lalu. Dalam kenyataannya, beliau memaklumkan telah pun menerima surat daripada JAIP yang memintanya hadir di pejabatnya di sini jam 10 pagi pada tarikh tersebut bagi memberi keterangan. "Saya akan hadir ke pejabat JAIP bagi memberi keterangan berikutan tazkirah yang saya sampaikan kerana didakwa tanpa tauliah," katanya. Bob atau nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, ditahan Pegawai JAIP sebaik selesai menyampaikan tazkirah selepas solat Maghrib di hadapan jemaah Masjid Taman Sri Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Gambang dekat sini Sabtu lalu. Pegawai tersebut mengambil maklumat daripada Bob Lokman pada ketika jemaah penuh sesak sedang menunaikan Solat Isyak dan dibawa ke beranda masjid. Beliau disiasat di bawah Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982. Seksyen itu ialah peruntukan bagi "Mengajar Ugama yang salah" di mana jika sabit kesalahan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

[Apapun, tindakan JAIP terhadap Bob Lokman ini sungguh mengejutkan ramai pihak sebenarnya. Mereka tahu, Bob lebih banyak menceritakan tentang dirinya pada zaman "jahiliah" dan selepas "berhijrah" seperti sekarang. Mungkin dek kerana beliau bersama dengan parti PAS, lantaran itu ia menjadi satu kesalahan besar buat dirinya. Bayangkan jika Bob masih menjadi selebiriti terkenal seperti dulu, sudah pasti beliau tidak akan disiasat oleh JAIP walau pun mengajak manusia lalai dari mengingati Allah. Sebelum ini Bob Lokman telah menerima waran tangkap daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga atas tuduhan menyampaikan ceramah di masjid dalam negeri tersebut tanpa tauliah. Sementara itu, Setiausaha Penerangan PAS Pahang, Youslydi Mohd Desa, menggesa ahli-ahli dan penyokong PAS agar keluar beramai-ramai pada waktu perbicaraan itu bagi memberi sokongan kepada Bob Lokman. Semoga tiada tindakan drastik dilakukan terhadap beliau hendaknya. Di Pahang, orang yang minum arak pun boleh diampunkan maka apatah lagi orang seperti Bob yang hanya menyampaikan sedikit ilmu dan pengalaman beliau itu].

Ahli Parlimen Kuantan 'Nafi Gagal' Melangsaikan Bayaran Ubah Suai Rumah Ayahnya Di Kuantan !

Posted: 28 Dec 2011 10:35 AM PST

KUANTAN, 29 Dis - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (foto) menafikan beliau gagal menjelaskan bayaran tunggakan ubahsuai rumah orang tuanya, seperti yang dilaporkan dalam artikel kami bertajuk Panas: "Kontraktor Kecewa", Fuziah Salleh Gagal Langsaikan Bayaran Ubah Suai Rumah Ayahnya!. Dalam satu kenyataan medianya semalam beliau menjelaskan bahawa Kontraktor yang dilantik untuk mengubahsuai kediaman kedua orang tuanya di Medan Tok Sira itu ialah Garis Concept (CA0056500-V). Syarikat terbabit beralamat di B58, 1st Floor, Lorong Tun Ismail 6, Kuantan itu juga merupakan firma arkitek yang melakar pelan ubah suai tersebut. "Setelah kontraktor mengalami masalah dengan beberapa sub kontraktor yang dilantik oleh kontraktor sendiri, maka akhirnya pengubahsuaian rumah hanya dapat disiapkan selepas memakan masa lebih setahun lamanya. Itupun masih banyak lagi masalah yang dihadapi seperti atap bocor dan sebagainya. Saya tegaskan bahawa segala bayaran telah dilangsaikan dengan kontraktor utama, iaitu Garis Concept. Sekiranya kontraktor utama ada masalah dengan sub kontraktor, maka ianya di luar bidang kuasa saya, dan bukan di atas ketidakprihatinan saya untuk melangsaikan hutang", katanya. Fuziah juga kecewa dengan tindakan pihak yang cuba memburuk-burukkannya. "Ini merupakan tindakan terdesak UMNO BN yang cukup korup dan tiada hujah balas berkenaan isu rakyat Kuantan yang saya perjuangkan. Sebaliknya UMNO BN gunakan taktik kotor untuk menjatuhkan seseorang dengan fitnah. Ini sinonim dengan cara UMNOBN selama ini iaitu menggunakan fitnah dan politik longkang sebagai strategi, dan bukan dengan cara memperjuangkan isu rakyat. Cukuplah gunakan taktik politik kotor dan terdesak ini. Fokus lah kepada isu rakyat sebenar. Yang hak dan yang benar akan terserlah jua. Rakyat tahu menilai", kata kenyataan YB Fuziah itu.

Tiada ulasan: