Pahang Daily Online |
- Panas: 'Bekas ADUN Pulau Manis' Dan Juga Ketua Penerangan UMNO Pekan Bakal Sertai Parti DAP !!
- Mazlan Buat Aduan Kedua Isu Lantik Tan Sri Isa Sebagai "Pengerusi Koperasi Permodalan Felda" !
- Panas: MPK Lulus CF Bangunan Tidak Mematuhi Syarat, Tapi Paksa Rakyat Supaya Ikut Peraturan
- Bongkar: YDP MPK Beri Kuasa Menyaman Kepada Semua Staff Kerana Kejar Target Jadi Bandaraya !
- Panas: Memalukan, Solat Jumaat Di Masjid Negeri Itu Pun Tetap Di Saman Oleh Penguatkuasa MPK !
- Panas: Ramai Kecewa MPK Buat "Pesta Saman" Di Terminal Makmur Malam Raya & Jom Heboh TV3!
- Terkini: Protes Rakyat "Isu Saman Parking MPK", Penganjur Nafi Sebar SMS Dakwa Program Batal !
- Panas: "Kontraktor Kecewa", Fuziah Salleh Gagal Langsaikan Bayaran Ubah Suai Rumah Ayahnya!
Panas: 'Bekas ADUN Pulau Manis' Dan Juga Ketua Penerangan UMNO Pekan Bakal Sertai Parti DAP !! Posted: 28 Dec 2011 04:14 AM PST KUANTAN, 28 Dis - UMNO BN Negeri Pahang pastinya mendapat tamparan hebat pada Pilihanraya Umum Ke-13 ini berikutan dakwaan Bekas Ketua Penerangan UMNO Pekan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz (foto) akan menyertai Parti Demokratik Rakyat (DAP). Kenyataan itu telah dibuat oleh anak kepada bekas Menteri Pendidikan dan bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Khir Johari, yang telah dilantik sebagai Setiausaha Politik Lim Guan Eng iatu Zairil Khir Johari. Difahamkan sekarang ini, DAP sedang berusaha menarik sebeberapa ramai pemimpin Melayu ke dalam parti itu sebagai satu langkah untuk menghakis sokongan dari komuniti dominan selepas dituduh anti Melayu dari parti pemerintah. Ia juga dilihat sebagai satu langkah untuk untuk mewujudkan parti berbilang bangsa. DAP sebelum ini telah mendekati orang Melayu dengan melantik pemimpin Melayu dan pengasas Transparency International Malaysia Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang kini memegang jawatan Naib Pengerusi parti itu. Difahamkan pemimpin DAP telah bertemu dengan pemimpin Melayu dalam satu mesyuarat tertutup untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan negara Islam, hudud dan Bumiputera. Dengan penyertaan Mohd Ariff Sabri, yang menggunakan nama samaran pada blognya Sakmongkol AK47 akan menjadi perubahan yang besar dalam parti memandangkan beliau merupakan seorang pemimpin UMNO Bahagian Pekan yang merupakan kawasan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri. Malah, Ariff Sabri dijangka menyertai PRU-13 ini dengan mewakili Pembangkang jika beliau bertanding atas tiket parti DAP kali ini. [Senario terbaru ini, sudah pasti mengejutkan ramai pemimpin UMNO di Pahang. Tambahan pula Datuk Ariff Sabri merupakan bekas ADUN selepas menang DUN N20 Pulau Manis pada PRU11 (2004) yang lalu. Beliau menang dengan majoriti 4,491 undi, menewaskan calon PAS Ahiatudin Daud ketika itu. Beliau mendapat 7,153 undi sementara itu calon PAS itu hanya mendapat 2,662 undi. Namun, pada Pilihanraya Umum ke-13 lalu, tempatnya telah digantikan dengan calon lain, iaitu Khairuddin Mahmud. Tindakan tersebut menyebabkan Ariff Sabri terus dipinggirkan dari UMNO Bahagian Pekan. Sebagai pemimpin muda yang berwibawa, tindakan UMNO menggantikan calon lain bagi kerusi DUN itu jelas sekali sesuatu yang sungguh tidak munasabah kerana Ariff baru sepenggal menjadi wakil rakyat berbanding dengan ADUN lain termasuk Menteri Besar Pahang itu sendiri. Ini menyebabkan Ariff mula menulis di dalam blognya dan sering mengkritik kepimpinan UMNO sendiri termasuk Perdana Menteri. Tindakan beliau tidak disenangi oleh pemimpin UMNO. Malah, MB Pahang sendiri amat tidak menyukai beliau sebenarnya. Lantaran itu, tindakan Ariff beralih arah kepada DAP adalah sesuatu yang sungguh mengejutkan dan tidak dijangka. Ia secara tidak langsung menutup mulut blogger UMNO Pahang yang banyak kutuk DAP seperti semuthitam dan Bravehearts selama ini. Apapun, PRU13 di Pahang pada kali ini pasti penuh dramatik]. |
Mazlan Buat Aduan Kedua Isu Lantik Tan Sri Isa Sebagai "Pengerusi Koperasi Permodalan Felda" ! Posted: 28 Dec 2011 03:36 AM PST KUALA LUMPUR, 28 Dis - Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini mengemukakan satu lagi aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berhubung pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPFB). Presiden ANAK, Mazlan Aliman (foto) berkata, aduan itu dibuat kerana badan yang dianggotai peneroka itu tidak berpuas hati dengan penjelasan SKM sebelum ini, berhubung pelantikan tersebut. "Kita minta satu pendirian daripada SKM sama ada Isa benar-benar (menjadi) ahli koperasi Felda," katanya kepada pemberita selepas menghantar aduan berkenaan di pejabat SKM, Kuala Lumpur. Penjelasan SKM berkenaan didakwa bercanggah dengan satu surat perdana menteri bertarikh 15 Ogos yang menyatakan bahawa Isa merupakan pengerusi KPFB. Sedangkan, jawapan yang diberikan SKM dalam satu surat bertarikh 10 November lalu menunjukkan Isa belum disahkan sebagai pengerusi KPFB, kata Mazlan. Malah, surat SKM itu juga tidak menyebut mengenai status keahlian bekas MB Negeri Sembilan itu sebagai ahli KPF, kata Mazlan lagi. Tambahnya, penjelasan itu perlu memandangkan pelantikan Tan Sri Isa mempunyai kaitan dengan penyenaraian satu lagi anak syarikat Felda, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd ke Bursa Malaysia. |
Panas: MPK Lulus CF Bangunan Tidak Mematuhi Syarat, Tapi Paksa Rakyat Supaya Ikut Peraturan Posted: 27 Dec 2011 10:26 PM PST KUANTAN, 28 Dis - Bila berbicara bab saman parking, pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dengan bangganya menuduh mereka yang mahu mengadakan demontrasi "Protes Rakyat" pada 30 Disember 2011 ini sebagai tidak mahu membayar saman. Malah ada pegawai MPK yang secara lantang mengatakan "jika tidak mahu ikut peraturan lebih baik tinggal di hutan". Kononnya, semua rakyat perlu patuh kepada undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah ditetapkan. Malah, mereka dengan sombong mengatakan MPK menjalankan kerja berasaskan undang-undang dan segala peraturan yang telah ditetapkan. Seolah-olah MPK kononnya mematuhi syarat dan peraturan yang dipertakan itu, tambahan pula mereka mengatakan yang MPK telah mendapat anugerah ISO. Malah dalam laporan Dasar Kualiti MPK sendiri ada meyatakan "Perkhidmatan yang diberikan hendaklah mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan". Soalnya sekarang, kenapa peraturan dan undang-undang itu hanya diberi penekanan kepada rakyat dalam bab-bab "saman parking" semata-mata, tetapi dalam isu lain MPK gagal mematuhi perturan yang mereka gubal sendiri itu. Apakah maknanya semua ini?. Kita mengambil contoh dalam beberapa isu yang pernah kami dedahkan seperti : Majlis Perbandaran Kuantan, Di Gesa Pantau Peniaga Asing (Thailand), MPK Tidak Patuhi ISO, Biarkan Gerai MPK Di Usahakan Peniaga Asing, Lulus Permit Peniaga Thailand , Bukti MPK Tidak Profesional dan banyak lagi. Jika benar MPK kononnya mahu rakyat ikut peraturan tentang "Saman Parking", kenapa mereka gagal mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh mereka sendiri agaknya. Malah, ramai pihak yang terkejut dan tertanya-tanya kenapakah pihak MPK boleh meluluskan sebuah bangunan untuk diduduki, sedangkan ia tidak mempunyai lorong belakang (26 kaki) seperti kebiasaanya. Berdasarkan kepada undang-undang dan syarat, sesebuah bangunan kediaman atau perniagaan perlulah mempunyai lorong belakang sebelum kebenaran menduduki (CF) itu dikeluarkan. Pemandangan kedudukan Block A & B bangunan Kuantan Center Point yang mencetuskan kontroversi itu, bagaimana CF boleh diluluskan? Mustahil, bangunan tersebut sudah lama siap tapi lorong belakang tiada SPRM, sila siasat siapa yang telah meluluskan bangunan ini agaknya Namun, ia tidak berlaku kepada Majlis Perbandaran Kuantan kerana bangunan yang dimaksudkan sudah lama diduduki sedangkan tiada lorong belakang. Mungkin ia yang bertama di Malaysia agaknya. Kami mengesyaki mungkin ada unsur penyelewengan dalam kelulusan pelan bangunan berkenaan. Bangunan yang dimaksudkan ialah Block C, Center Point Jalan Hj.Abd Rahman Kuantan. Tinjauan kami mendapati, sememangnya sejak dari awal pembinaannya lagi memang bangunan tersebut tidak mempunyai lorong belakang. Bayangkan jika berlaku kebakaran atau kecemasan sudah pasti ia akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada penghuninya. Bangunan tersebut menempatkan beberapa buah pusat hiburan (karaoke), pusat siber, kedai bundle, restoran, pejabat peguam dan lain-lain lagi. Malah, Unit Letak Kereta MPK juga terdapat di bangunan tersebut. Soalnya, kenapa pihak berkenaan terlepas pandang akan perkara ini agaknya?. Malah paling mengejutkan di bangnan yang sama menempatkan sebuah pejabat bekas Ahli Majlis MPK dan juga pusat siber milik Pegawai MPK sendiri. Apakah mereka ini terlepas pandang, atau sengaja buat tidak tahu. Kedudukan lokasi tapak berkenaan dari arah depan bangunan Block C anak panah dibelakang pusat siber IQ yang dimiliki oleh Pegawai MPK Terbukti, foto bangunan Block C yang dikatakan tiada lorong belakang itu Apa akan terjadi sekiranya berlaku kebakaran atau pun sebagainya kelak [Justeru itu, kami amatlah berharap agar pihak MPK dapat memantau perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang meluluskan pelan bangunan terbabit. Sedangkan terbukti nyata ia tiada lorong belakang seperti syarat yang telah ditetapkan oleh mana-mana Majlis Tempatan itu sendiri. Amat memalukan bila melihat situasi ini sebenarnya. Bayangkan selepas lebih 10 tahun didiami, rupa-rupanya baru ada yang tersedar bangunan tersebut tidak mempunyai lorong belakang. Apakah ada unsur rasuah dalam kelulusan pelan bangunan tersebut agaknya. Jika inilah senario yang berlaku, maka sudah pastilah ia akan mencemarkan nama baik Majlis Perbandaran Kuantan malah Kerajaan Negeri itu sendiri sebenarnya. Oleh itu, satu siasatan yang telus dan rapi perlu dilakukan untuk membongkar kes ini dengan sebaik mungkin hendaknya. Mana mungkin perkara sebegini boleh terlepas pandang bagi semua Majlis Tempatan yang hebat seperti MPK ini. Mereka menggunakan undang-undang yang kerasa terhadap mana-mana pihak yang mahu membina atau menyambung kediaman masing-masing. Pelan disemak dengan rapi dan teliti sebelum kelulusan dibuat, kenapa ia boleh terlepas?] |
Bongkar: YDP MPK Beri Kuasa Menyaman Kepada Semua Staff Kerana Kejar Target Jadi Bandaraya ! Posted: 27 Dec 2011 08:58 PM PST KUANTAN, 28 Dis - Seperti dijangka, akhirnya ada juga maklumat sulit yang terlepas ke tangan pihak penganjur Demontrasi Aman "Protes Rakyat: Isu Saman Parking MPK" pada 30 Disember (Jumaat) ini. Maklumat panas yang diterima ini pasti akan menyebabkan pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) terkejut dan terpaku. Difahamkan, maklumat sulit itu telah disalurkan oleh beberapa orang staff MPK yang juga kecewa dengan tindakan keterlaluan majlis tempatan itu. Menurut staff terbabit yang tidak mahu namanya disiarkan (demi pekerjaannya), memang Yang Di Pertua MPK yang baru iaitu Dato' Zulkifli Yaakob (foto) telah bertungkus lumus untuk naikkan namanya menjadikan Kuantan bertaraf bandaraya. YDP katanya telah membuat berbagai-bagai tindakan, termasuk mahu kantung MPK diperbanyakkan supaya memenuhi syarat mencapai taraf bandaraya dalam apa jua cara sekali pun. Sebab tu, saman parking dijadikan satu kaedah paling mudah untuk mengisi kewangan MPK. "Mereka tambah begitu ramai Penguatkuasa. Tidak cukup dengan itu, Attendan Parking pulak diberi kuasa menyaman. Dan terbaru, semua kakitangan MPK telah diberikan kad kuasa dan buku saman sebagai kerja sambilan mereka. Komisyen diberikan atas satu-satu saman. Sapa yang nak banyak untung kena buat kerja lebih sikitlaa.. Sebab tu saya tak hairan bila ada orang kata waktu orang solat Jumaat, kat kawasan perumahan, pukul dua tiga pagi, kawasan hospital, kawasan kolej, hari minggu termasuk haru cuti umum dan hari peristiwa mereka ini sibuk menyaman. Masing-masing sibuk nak kejar target dan cari untung lebih dengan duit saman. Nak harapkan gaji berapa sangat. Sebabt tu penguatkuasa dan warga MPK ramai yang bermewah-mewah dengan kereta besar dan rumah besar. Saya pun dapat semua tu kad kuasa dan buku saman. Tapi saya tak sampai hati nak buat kerja-kerja tu. Bayangkan kalau kena kat keluarga, sedara mara atau kawan-kawan kita yang datang ke Kuantan?. Memang kereta saya ada sticker, tapi kereta anak-anak saya, isteri saya tak ada sticker. Itu pun disaman jika mereka tak kenal kereta tu. Inilah isunya, dan saya sokong demontrasi membantah tindakan MPK ini", katanya dengan serius. [Maklumat ini sungguh mengejutkan sebenarnya. Patutlah MPK "gila babi" menyaman orang siang malam tak kira waktu. Seolah-olah kemaruk benar mahu dapat duit untuk mencapai syarat menjadikan Kuantan sebagai bandaraya, Maklumlah, hanya Kuantan antara ibu negeri yang masih belum mencapai taraf bandaraya berdasarkan kepada kutipan hasil mereka. Lantaran itulah, jalan terbaik ialah mengarahkan semua kakitangan menyaman supaya mempercepatkan kutipan hasil dari poket rakyat. Ini satu tindakan yang biadap dan tidak adil sebenarnya. Kenapa perlu bersikap sebegini kepada rakyat?. Bukan rakyat tidak mahu bayar saman, tapi isunya MPK melampau-lampau dan tidak bertimbang rasa. Rupanya mereka "kejar target", patutlah komisyen dan berbagai hadiah menarik di sediakan untuk mana-mana pegawai yang berjaya mencapai jumlah saman tertinggi. Mereka jadikan rakyat sebagai bahan untuk dipermainkan, atas nama kuasa yang mereka ada. Tindakan ini jelas sekali tidak wajar, dan Kerajaan Negeri Pahang harus memberi perhatian atas perkara ini. Jika tidak, rakyat akan terus menjadi mangsa kerakusan MPK yang bermaharajalela menyaman sesiapa sahaja tanpa ada budi bicara, timbang rasa dan sebagainya. Rahsia mereka terbongkar jua akhirnya!]. |
Panas: Memalukan, Solat Jumaat Di Masjid Negeri Itu Pun Tetap Di Saman Oleh Penguatkuasa MPK ! Posted: 27 Dec 2011 08:28 PM PST KUANTAN, 28 Dis - Seorang bekas pegawai kerajaan hari ini mendedahkan bahawa tindakan saman parking Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sememangnya sudah melampau dan ditahap yang cukup memalukan. Beliau terkejut kerana kenderaannya di saman ketika beliau sedang menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah I dekat sini beberapa minggu yang lalu. "Bayangkan, betapa drastiknya MPK nak cari duit. Orang tengan bersolat pun mereka nak saman. Tak fikir ke masalah parking yang tidak cukup ketika itu. Saya agak lewat tiba, dan letakkan kereta saya di kawasan hentian bas pokok buluh berhampiran masjid terbabit. Alangkah terkejutnya saya selepas solat, tiba-tiba saya lihat ada kertas saman MPK pada cermin depan kereta saya. Padahal, ketika itu memang parking tak cukup dan ada kenderaan lain di kawasan itu", katanya. Beliau juga hairan, kenapa ada sebuah lagi kenderaan mewah yang diletakkan dibelakang keretanya tidak pula di saman. "Kenapa takut saman kereta mewah, adakah sebab orang tu Dato' Datin atau pengawai tinggi kerajaan?. Jika mahu kuatkuasa peraturan, biarlah adil untuk semua. Jangan perturan yang terpilih macam ni. Ada hati nak suruh saya bayar saman. Sampai mati pun saya tak akan bayar. Dah lah mereka yang lelaki meronda-ronda waktu solat Jumaat untuk saman kenderaan jemaah. Gila punya kerja MPK! kalau ye pun kawasan utama macam hospital dan karangan masjid tak payah la saman itu pun nak saman. Lawat orang sakit dengan solat bertemu Allah bukan pergi lepak kat Disko", kata beliau lagi. [Nampaknya, ternyata tindakan MPK ini sudah terlalu melampau. Jika waktu orang solat Jumaat pun mahu disaman maka apakah lagi yang mahu kita perkatakan agaknya?. Malah, ramai juga yang terkejut bila Penguatkuasa MPK hanya berselera menyaman kenderaan biasa sahaja, sebaliknya bola melibatkan kenderaaan mewah yang mereka tidak pasti siapa pemiliknya masing-masing menikus dan takut untut saman. Mungkin kerana mereka gusar jika pemilik kenderaan itu adalah sahabat kepada pegawai-pegawai besar termasuk YDP MPK sendiri agaknya. Apakah begini caranya kuatkuasakan undang-undang?. Pilih yang mana senang untuk dijadikan mangsa, dan lepaskan yang mana dilihat golongan berada yang boleh memudaratkan pekerjaan mereka. Jika ini keadaannya, ternyata Penguatkuasa MPK terbabit tidak jujur dalam menjalankan tugas. Tindakan saman di waktu solat Jumaat juga sungguhg mengejutkan dan tidak patut berlaku dalam negara kita. Namun, inilah dia Penguatkuasa MPK yang dibangga-banggakan sangat kononnya bekerja dengan jujur, amanh dan berdisplin. Sampai waktu solat Jumaat pun mereka tergamak menyaman!]. |
Panas: Ramai Kecewa MPK Buat "Pesta Saman" Di Terminal Makmur Malam Raya & Jom Heboh TV3! Posted: 27 Dec 2011 07:56 PM PST KUANTAN, 28 Dis - Sungguh mengejutkan, patut pun Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) begitu kemaruk untuk mengaut untung dengan "saman parking" selama ini. Rupanya mereka ingin mengejar target untuk menjadi bandaraya dan juga mahu membina bangunan baru, kata seorang pemandu teksi yang ditemui di Terminal Makmur (foto) pagi tadi. "Saya kasihan melihat orang ramai disaman hanya kerana ingin mengambil anak-anak mereka pulang ke kampung. Tanpa belas kasihan pegawai MPK terbabit dengan lagak sombongnya menyaman orang ramai siang dan malam. Sepatutnya, mereka bertimbangrasa, tambahan pula bila diluar waktu kerja. Tapi ini tidak berlaku, saya pernah tengok seorang pak cik dari Felda Chini Pekan disaman kerana meletakkan kereta di tepi-tepi jalan sekitar terminal bas terbabit hanya untuk beberapa minit menunggu anak tiba dari Kuala Lumpur. Dia merayu agar tidak disaman, tapi Penguatkuasa MPK tetap berkeras padahal waktu itu jam menunjukkan pukul 10.35 malam", kata Aziz (bukan nama sebenar). Tambah menyedihkan katanya, Penguatkuasa MPK bermaharajalela menyaman orang ramai yang membeli keperluan terakhir pada malam menjelang Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini. "Mereka saman dengan membabi buta, padahal MPK sebenarnya sudah dapat untung puluhan ribu ringgit atas permit yang dikeluarkan kepada penganjur expo terbabit. Begitu juga semasa Jom Heboh TV3 diadakan di Padang MPK2, saya lihat sendiri MPK sewenang-wenang buat operasi saman. Padahal mereka tahu tempat letak kenderaan (parkir) tidak mencukupi. Malah, ribuan manusia datang ke Kuantan ketika itu. Kenapa nak saman, MPK bukankah sudah dapat untung puluhan ribu atas sewaan permit oleh TV3 untuk program itu. Ini bukti jelas, MPK buat pesta saman atas kesusahan rakyat. Ini tidak adil dan tidak berlaku di mana-mana", kata beliau lagi. [Sememangnya sesutau yang sungguh memalukan apabila Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) tanpa bertimbangrasa menyaman orang ramai pada hari peristiwa seperti ketika ada program Jom Heboh TV3 atau lain-lain ekspo besar di bandar ini. Bukankah mereka sudah mengaut untung besar hasil sewaan tapak dan permit kepada penganjur berkenaan. Maka mereka sebenarnya sudah mendapat untung yang diinginkan secara profesional. Namun, tindakan menyaman kenderaan yang diletakkan di merata tempat pada waktu itu adalah tidak wajar kerana mereka sendiri yang meluluskan permit berkenaan dan faham bahawa ribuan manusia akan datang berbondong-bondong ke program berkenaan. Difahamkan, sewaan tapak untuk Jom Heboh TV3 sahaja MPK sudah dapat sekitar RM60,000 hingga RM70,000. Maka, tidak perlu lagi menggunakan kuasa menyaman untuk mendapatkan pula wang rakyat yang hadir ke program itu. Bukankah ini sengaja dilakukan untuk "makan dua kali". Sewa tapak dan permit mereka dapat, saman parking beribu-ribu kenderaan juga mereka dapat. Bayangkan jika satu saman yang lewat dibayar jumlah dendanya sekitar RM30, jika ada 100,000 kenderaan?. Berapa banyak lagi untung yang MPK perolehi. Inilah strategi yang mereka lakukan itu sebenarnya!]. |
Terkini: Protes Rakyat "Isu Saman Parking MPK", Penganjur Nafi Sebar SMS Dakwa Program Batal ! Posted: 27 Dec 2011 07:34 PM PST KUANTAN, 28 Dis - Tinggal dua hari saja lagi sebelum Demontrasi Aman "Protes Rakyat: Isu Saman Parking MPK" bakal diadakan pada 30 Disember (Jumaat) di Perkarangan Ibu Pejabat MPK dekat sini, kini heboh diperkatakan himpunan tersebut akan dibatalkan. Terdapat penyebaran SMS palsu yang mengatakan ia dibatalkan kerana tiada permit polis. Pihak kami cuba mendapatkan maklumat daripada jurucakap People's Justive Voice (PJV), lewat malam tadi dan beliau mengesahkan bahawa program itu tetap akan diteruskan. "Memang benar, ada SMS palsu yang mungkin dihantar oleh warga MPK bagi tujuan mengelirukan rakyat. Mereka kini terlalu takut untuk berhadapan dengan protes yang pertama kali diadakan ini. Secara dasarnya, program ini tetap diteruskan seperti biasa. Rakyat diminta bangkit menyatakan bantahan setelah sekian lama mereka diperlakukan sesuka hati oleh pihak MPK. Orang ramai yang ingin hadir digalakkan memakai baju merah sebagai tanda semangat keberanian untuk pertahankan hak mereka. Mereka juga diminta membawa bersama semua resit-resit saman yang diterima selama ini. Resit tersebut akan dihimpunkan sebelum diserahkan secara simbolik kepada YDP MPK. Wakil kami akan menghantar memorandum protes rakyat ini kepada YDP pada hari tersebut. Orang ramai boleh mula berhimpun sekitar Taman Esplanade (sebelah Shell) selepas solat Jumaat pada hari itu nanti.", katanya. Difahamkan, setakat ini semakin ramai warga Kuantan yang menjadi "mangsa saman parking" telah menyatakan hasrat untuk turut sama hadir pada hari tersebut. "Kami hanya mensasarkan sekitar 100 orang untuk mewakili seluruh rakyat Kuantan. Namun, jika kehadirannya lebih besar dari itu maka ia adalah satu petanda yang majoriti rakyat menolak tindakan tersebut. Setakat ini promosi hanya diadakan menerusi media baru seperti blog, facebook dan twitter. Namun, poster dan risalah akan mula diedarkan ke masjid-masjid dan surau sekitar Kuantan mulai esok", katanya. [Ternyata ada pihak yang cuba untuk menggagalkan protes rakyat ini sebenarnya. Penyebaran SMS palsu kononnya program dibatalkan, sedangkan penganjur secara jelas berjanji akan tetap meneruskan demontrasi tersebut walau dalam apa jua cara sekali pun. Berdasarkan statistik terkini pada blog ini sahaja menunjukkan lebih 80% rakyat sememangnya kecewa dengan tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sebenarnya. Ini bermakna, mereka sudah sekian lama pendamkan segala perasaan itu kerana tiada ruang untuk menyatakan bantahan selama ini. Maka itulah, mereka semua berjanji akan turun beramai-ramai bagi membuktikan kekecewaan tersebut. Jika ini berlaku, kemungkinan lebih ramai lagi warga Kuantan yang akan turun sebenarnya, melebihi jangkaan penganjur yang mahu sekitar 100 sahaja mewakili seluruh rakyat bagi menyatakan bantahan tersebut. Apapun, hak rakyat perlu dipertahankan]. |
Panas: "Kontraktor Kecewa", Fuziah Salleh Gagal Langsaikan Bayaran Ubah Suai Rumah Ayahnya! Posted: 27 Dec 2011 05:58 PM PST KUANTAN, 28 Dis - Seorang kontraktor bumiputera semalam mendedahkan yang beliau amat kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh (foto) yang dipercayai "gagal" melangsaikan baki hutang ubahsuai (renovate) rumah ayahnya di Medan Tok Sira dekat sini. Kerja-kerja ubah suai dipercayai menelan belanja sehingga RM150 ribu, yang dipercayai di uruskan oleh Fuziah. Rumah berkenaan menjadi persinggahannya setiap kali beliau balik menjengok rakyat di parlimennya. Fuziah dikatakan membesar di rumah itu sejak sekian lama. Menurut kontraktor terbabit, Fuziah gagal melunaskan bayaran baki berkenaan walau pun sudah beberapa kali diminta. "Sebagai Wakil Rakyat yang bergelar Ahli Parlimen, Fuziah tidak wajar bersikap begini .... ada saja alasan yang diberikan bila saya nak jumpa dan minta baki bayaran yang dijanji. Dah banyak kali, bukan sekali. Inikah sikap sorang wakil rakyat?. Sia-sia saja saya mengundi beliau pada PRU12 dulu", kata kontraktor terbabit yang tidak mahu namanya disiarkan. "Saya lihat dia (Fuziah) sengaja mengelak dan tidak mahu jelaskan hutang tersebut. Malah, bila dihubungi dia selalu tutup telefon bimbitnya atau tak mahu angkat panggilan saya. Saya harap rakyat Kuantan sedar kesilapan mereka memilih Fuziah. Saya rasa jika beginilah sikapnya maka beliau bukanlah orang yang layak untuk diangkat sebagai wakil rakyat lagi selepas ini. Hutang tak bayar, ada hati dia mahu menjadi pembela rakyat", katanya dengan marah. [Pihak kami masih belum dapat info sepenuhnya berkenaan isu ini. Namun, secara dasarnya jika ia ada kebenarannya maka Ahli Parlimen Kuantan terbabit wajar membuat tindakan segera sebelum Pilihanraya Umum akan datang. Fuziah menang PRU-12 bagi kerusi parlimen Kuantan bila mengalahkan bekas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Fu Ah Kiaw. Kemenangan itu, walau pun dilihat terlalu hebat namun ramai pihak yang secara jelas mengatakan Fuziah menang atas "undi ehsan" pengundi Melayu UMNO yang tidak suka kepada calon MCA itu. Lantaran itulah mereka memberi undi protes kepada Fuziah, sedangkan di ketiga-tiga DUN dalam parlimen terbabit mereka mengundi calon BN. Isu terbaru ini, biar pun kecil namun ia sedikit menjejaskan kepercayaan rakyat Kuantan terhadap Fuziah sebenarnya. Kami akan mendapatkan penjelasan lanjut dari beliau terhadap isu ini dalam masa terdekat. Apapun, beliau harus sedar bahawa peluangnya untuk menang masih ada jika tiada isu-isu panas yang boleh menghilangkan sokongan rakyat terbanyak terhadap dirinya!]. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online (PDO) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan