Pahang Daily Online |
- Panas: Memalukan, Pelajar UMP Pahang Di Pekan Derita Masalah Bekalan Air Masuk Minggu Kedua!
- Terkini: 'PAS Panggil' Dr.Hassan Ali, Nasharuddin Dan Saari Sungip Beri Penjelasan Krisis Dalaman !
- Lynas: "Kerajaan Negeri Selangor" Anjur Kempen Kutip Dana Sokongan Bantahan Projek Tersebut !
Panas: Memalukan, Pelajar UMP Pahang Di Pekan Derita Masalah Bekalan Air Masuk Minggu Kedua! Posted: 21 Dec 2011 07:48 PM PST PEKAN, 22 Dis - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang (UMP) menggesa supaya krisis air di kampus UMP Pekan ditangani dengan segera. Yang dipertuanya, Muhamad Fazli Abdul Halim berkata, krisis gangguan air semakin meruncing dan sudah berlarutan ke minggu kedua. Bagaimanapun, katanya, tidak nampak sebarang tanda-tanda yang krisis tersebut akan berakhir. Menurutnya, krisis ganguan air ini dikatakan berpunca daripada tekanan air yang rendah akibat UMP Kampus Pekan mempunyai kapasiti pelajar sekitar 2,000 orang dan terpaksa berkongsi sumber air dari tangki di Kuala Pahang yang turut sama disalurkan kepada masyarakat sekitarnya. "Situasi ini cukup menyeksa dan menyukarkan urusan harian mahasiswa yang dalam masa yang sama ditambah dengan tekanan peperiksaan akhir semesta yang bakal berkunjung tiba. "Krisis ini juga turut menjejaskan pihak pengusaha kafeteria yang secara langsung menggangu pengoperasian dan urusniaga mereka dan menambah kesengsaraan mahasiswa dalam mendapatkan makanan," katanya dalam satu kenyataan. Menurut Fazli, masalah ganguan air itu bukanlah perkara yang baru, tetapi turut berlaku dua tiga tahun lepas di Kampus Gambang. Katanya, tindakan segera amat diperlukan terutamanya oleh Jabatan Bekalan Air Pahang bagi mengatasi masalah yang dihadapi mahasiswa bagi memudahkan urusan pembelajaran mereka di universiti itu. Sehubungan itu, kata Fazli, mereka memohon agar kebajikan pelajar di situ diberi perhatian dan tumpuan yang sewajarnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Katanya, ia bertepatan dengan hasrat perdana menteri yang berazam untuk terus membangunkan Pekan, kawasan parlimennya, serta masyarakatnya dalam apa jua keadaan sepertimana ucapannya semasa Himpunan Anak-Anak Pekan Bersama Perdana Menteri di PWTC pada 19 Disember lepas. Selain itu, sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat mahasiswa yang dikenali sebagai Gerakan Mahasiswa Penggesa Air Kampus (GEMPAK) UMP. Ia dianggotai Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan fakulti dan perwakilan kolej kediaman serta beberapa wakil mahasiswa yang terpilih, untuk menuntut penyelesaian segera krisis air di UMP Pekan oleh pihak yang berkaitan dan patut bertanggungjawab. PM Najib ketika melihat model Projek Green Tech UMP Pekan awal tahun ini kini beliau harus datang lagi untuk lihat sendiri masalah air yang berlaku |
Terkini: 'PAS Panggil' Dr.Hassan Ali, Nasharuddin Dan Saari Sungip Beri Penjelasan Krisis Dalaman ! Posted: 21 Dec 2011 06:36 PM PST KUALALUMPUR, 22 Dis - Parti Islam SeMalaysia (PAS) hari ini memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini yang dilihat membazir masa parti. "Penjelasan ini mesti dilakukan, supaya parti tidak lagi perlu membazir masa melayan pertikaian yang timbul akibat kecil hati terhadap sesuatu kesilapan yang kecil, ego berlebihan dan keengganan sesetengah pihak menerima keputusan parti dan jamaah," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) dalam satu kenyataan hari ini. Melihat situasi pilihanraya umum yang semakin hampir, PAS kata Tuan Ibrahim tidak akan bertolak ansur dalam sebarang sabotaj sama ada dari dalam mahupun luar yang mengganggu persiapan akhir parti. "Semua ahli mesti memainkan peranan sebagai team player untuk memastikan jamaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni. Seluruh tumpuan kerja mesti difokus kepada persiapan akhir ini daripada melayan karenah-karenah segelintir pemimpin yang ada berbeza pandangan terhadap dasar parti yang dijamin arahnya oleh Majlis Syura," tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu dipercayai membalas kenyataan Hasan yang mempertikai dasar-dasar parti yang diputuskan muktamar dan Majlis Syura. Menggunakan media lawan milik UMNO, Utusan Malaysia, Hasan, yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat mempertikaikan dasar "Membangun Negara Berkebajikan" yang menjadi tema PAS sekarang ini. Bagi Hasan, PAS sepatutnya kekal dengan dasar negara Islam yang jadi perjuangan asal Parti Islam SeMalaysia. Membalas hujah Hasan, Tuan Ibrahim menerangkan bahawa PAS ialah sebuah parti jamaah yang berdemokrasi, segala keputusan bukanlah keputusan individu tapi keputusan jamaah. "Apabila keputusan telah dibuat, dan Majlis Syura telah mengesahkan bahawa keputusan tersebut selari dengan dasar Islam, setiap ahli PAS perlu bergerak pada arah yang sama untuk membawa parti mencapai matlamat yang disasarkan dan memenangkan Islam," tegas beliau. Dalam kenyataannya itu, Tuan Ibrahim turut mengingatkan ahli-ahli PAS kepada ungkapan apa yang ada ialah hari ini, yang lepas tidak akan datang kembali, yang depan tidak menentu lagi. "Oleh itu, pendamkan dendam, buangkan kekecilan hati, ketepikan kepentingan individu dan kembalikan fokus dan bergerak ke depan untuk memenangkan parti," nasihat beliau. [Dalam hal ini, kami melihat tindakan beberapa pemimpin PAS terutamanya Saari Sungip selaku Ketua Penerangan PAS Selangor adalah tidak wajar dan jadi penyebab isu ini sebenarnya. Apa motif beliau boleh umumkan seorang tokoh berpengaruh seperti Dr.Hassan Ali tidak terpilih sebagai calon pilihanraya umum akan datang?. Kemudian kenyataan itu diulas pula oleh Mustafa Ali?. Bukankah ini satu tindakan yang jelas sekali bertentangan dengan prinsip musyawarah parti Islam itu sebenarnya. Shaari harus faham bahawa pemilihan terakhir adalah terletak di tangan Presiden dan kepimpinan tertinggi PAS. Maka itu, beliau tidak wajar keluarkan kenyataan nama-nama siapa yang termasuk senarai atau pun tidak. Ini isu sebenarnya, soal Hassan Ali melenting atau tidak ia tidak menjadi masalah kerana siapa yang memulakan adengan ini. Apakah wajar Ketua Penerangan PAS Selangor itu mengeluarkan kenyataan sedangkan ia belum dimuktamadkan lagi oleh pimpinan tertinggi parti?. Sepatutnya para pemimpin PAS lebih faham situasi ini dan tidak mencetuskan kontroversi murahan seperti ini pada masa akan datang. Media arus perdana pula, memang menanti peluang untuk melaga-lagakan pihak yang berkenaan. Lantaran itu, kita tidak hairan isu ini kini hangat diperkatakan oleh semua pihak. Bukankah ia akan merosakkan nama PAS di hati rakyat]. |
Lynas: "Kerajaan Negeri Selangor" Anjur Kempen Kutip Dana Sokongan Bantahan Projek Tersebut ! Posted: 21 Dec 2011 05:26 PM PST SHAH ALAM, 22 Dis - Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan majlis makan malam bulan depan bagi mengutip dana untuk kempen menghalang pelaksanaan projek Loji Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) yang beroperasi di Pahang. Majlis pada 7 Januari itu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) merupakan inisiatif permulaan di Selangor yang bakal mengumpulkan pihak prihatin terhadap isu projek loji Lynas di Kuantan. Difahamkan dana yang dikumpul bakal digunakan bagi menbiayai usaha membawa syarikat Lynas ke mahkamah. Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping (foto) berkata kempen yang dikenali sebagai 'Anti-Lynas' ini turut mendapat kerjasama daripada barisan pimpinan Exco Selangor lain dan dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat oleh negeri-negeri lain. "Kerajaan Selangor menganjurkan kempen ini sebagai salah satu usaha padu untuk menyokong kempen ini secara berterusan. Saya juga difahamkan majlis makan malam ini akan bergerak ke negeri lain. Antara pemimpin yang akan menyertai majlis itu adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dan beberapa pemimpin lain," katanya. Projek LAMP yang dijadual beroperasi sepenuhnya September tahun ini mendapat bantahan orang ramai di Kuantan dan seluruh negara kerana apabila ia beroperasi kelak ia akan menghasilkan sisa radioaktif thorium yang merbahaya kepada penduduk sekitar. Pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang pembinaan loji itu namun ia sehingga kini tidak diberikan perhatian serius oleh kerajaan negeri. Loji itu kini dihentikan sementara menantikan penilaian satu panel pro-nuklear yang dilantik Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI). Difahamkan, sekiranya projek itu diluluskan barisan panel tersebut, loji yang dikendalikan Lynas Corporation itu akan menghasilkan sisa radioaktif Thorium itu. Bantahan Lynas terus bergema biar pun dihalang dengan berbagai cara Bukan saja orang Cina bantah, tapi kaum Melayu juga turut menolaknya Sehubungan itu, dana yang diperoleh daripada kempen itu nanti akan digunakan bagi membawa kes tersebut ke mahkamah. Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Malaysia, Zulkefly Mohamad Omar menjelaskan, pembinaan projek loji LAMP bukan sahaja merugikan rakyat, bahkan akan meninggalkan kesan buruk kepada alam sekitar untuk jangka masa panjang. Ia merujuk kepada pengurusan sisa pepejal dan cecair yang mengandungi elemen radioaktif yang akan menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan berhampiran ekoran daripada pencemaran alam sekitar yang serius. "Bagi kita khususnya dari kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, kita melihat bahawa isu alam sekitar dan nyawa rakyat merupakan isu terpenting berbanding isu lain kerana ia melibatkan kehidupan. Dengan berjayanya projek itu di Pahang, tidak mustahil mereka akan bina projek yang sama di negeri-negeri lain memandangkan keuntungan yang bakal diperolehi adalah itu besar", katanya. [Nampaknya, Kerajaan Negeri Selangor lebih prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat Pahang daripada kerajaan negeri itu sendiri. Terdapat banyak bukti bahawa memang ada satu permainan "trick" yang dilakukan oleh pihak yang berkenaan untuk mengaburi mata rakyat agar menerima ketentuan bahawa projek Lynas tidak berbahaya kepada rakyat. Sedangkan rakyat lebih tahu risiko yang bakal dihadapi oleh mereka sebenarnya. Oleh itu, sokongan daripada pihak luar seperti ini dijangka akan menyemarakkan lagi bantahan rakyat terhadap projek Lynas ini. Soalnya, apakah kerajaan mahu mendengar atau mahu mereka ditolak pada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang. Ramai yang meramalkan, UMNO BN akan runtuh di kerusi-kerusi dalam bandar yang majoritinya adalah pengundi kaum Cina atau Melayu yang mendapat banyak maklumat daripada media baru dan sedia untuk berubah. UMNO BN di Pahang hanya boleh bergantung harap kepada saluran satu terutamanya para peneroka dan masyarakt orang asli. Jika tidak, sudah pasti kita akan melihat Pakatan Rakyat mendiami Wisma Sri Pahang selepas Pilihanraya Umum Ke-13 ini]. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online (PDO) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan