Isnin, 5 Disember 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Panas: Blogger Pro - UMNO Bertindak Keluar Parti Dan Sertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Di Sabah !

Posted: 05 Dec 2011 03:48 AM PST

KUALA LUMPUR, 5 Dis - Seorang blogger yang juga ahli UMNO, Musli Oli (foto) bertindak keluar parti seterusnya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dalam satu kenyataan, Musli berkata, beliau meninggalkan UMNO kerana parti itu gagal memperjuang antaranya hak royalti minyak untuk rakyat Sabah. UMNO juga katanya hanya mendendangkan lagu pembangunan walhal krisis sosial, ekonomi dan pengangguran kekal membelenggu rakyat Sabah. "Jika ada 100 belia dari Sabah yang berkelayakan mencari pekerjaan ke tanah Semenanjung, di manakah mereka bekerja?' "Peluang hanya mampu dapat kerja sebagai GRO, tukang urut di Bukit Bintang atau kerja Kilang di Sungai Way," kenyataan beliau dipetik. Borang penyertaan Musli bersama sekumpulan penyokongnya ke dalam KEADILAN dibuat di Cabang Kota Belud sempena lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan itu. Selain menjadi ahli UMNO di bahagian Kota Belud, Musli juga ialah bekas Yang Di Pertua (YDP) Pertubuhan Peribumi Perkasa Negara (Perkasa), sebuah NGO pro UMNO dan penulis buku. Penyertaan beliau ke dalam KEADILAN sekaligus memberi tamparan hebat kepada Ahli Parlimen Umno Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang kerap menyerang peribadi Anwar semasa perbahasan di Parlimen sebelum ini.


Blogger Pro UMNO, Musli bergambar dengan pakaian kebanggaannya dulu

[Nampak berita terbaru ini adalah sesuatu yang sungguh mengejutkan kita semua. Di saat pemimpin UMNO menyerang pembangkang terutamanya Anwar Ibrahim bertalu-talu pada Persidangan Agung parti itu minggu lalu, tiba-tiba orang kuat yang selama ini memainkan peranan untuk membuat propaganda supaya rakyat Sabah menyukai UMNO bertindak meninggalkan parti itu. Sesuatu yang amat malang, bila orang sehebat Blogger Musli ini akhirnya tidak yakin lagi dengan perjuangan parti itu dalam membela rakyat Sabah. Akhirnya terbongkar rahsia bahawa UMNO gagal memainkan peranan untuk menjaga kebajikan rakyat Sabah tidak seperti apa yang diwar-warkan oleh mereka selama ini. Tindakan Musli ini dijangka akan diikuti oleh ramai lagi blogger-blogger UMNO yang sudah bosan untuk mempertahankan parti itu. Kini, hanya rakyat Sabah yang berhak menilai apa yang berlaku ini hendaknya. Lakukanlah perubahan !].

Panas: Peneroka Gugusan Keratong Serta Chini 3 Pula Saman Felda Isu Kadar Perahan Gred (KPG)

Posted: 05 Dec 2011 03:13 AM PST

KUANTAN, 5 Dis - Selepas berhadapan dengan kontroversi Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menghambur kata-kata kesat kepada peneroka, kini giliran agensi kerajaan itu pula menerima surat saman daripada peneroka. Menurut Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said (foto), tindakan menyaman Felda itu ekoran peneroka-peneroka dari Gugusan Keratong dan Gugusan Chini 3 tidak berpuas hati kerana mendakwa agensi itu memanipulasikan Kadar Perahan Gred (KPG). "Seramai 380 peneroka dari gugusan Felda Keratong dan 690 peneroka daripada gugusan Felda Chini 3 menyerahkan borang Warrant To Act melantik peguam-peguam dari Tetuan Daim & Gamany, Kuala Lumpur untuk menyaman Felda kerana manipulasi KPG. "Mereka hanya diberikan di antara 18 peratus hingga 19 peratus sahaja peratusan perahan KPG, suatu pengiraan yang sangat rendah dan tidak berpandu kepada realiti sebenar," kata Suhaimi dalam satu kenyataan. Katanya, daripada sejumlah peneroka yang menyaman Felda itu sebahagiannya ahli UMNO yang sedar akan hak mereka. "Mereka hanya menuntut hak mereka dinafi dan dimanipulasikan oleh Felda. Menariknya di Chini 3 sebahagian besar dari kalangan yang mahu memfailkan saman terhadap Felda itu terdiri daripada ahli-ahli UMNO. "Mereka tidak mendapat pembelaan dari Umno, dan mereka memberi jawapan kepada Umno dengan bersama-sama sertai peneroka lain mahu menfailkan saman terhadap Felda," tambah beliau lagi.

[Nampaknya Felda kini berhadapan dengan ribuan saman oleh para peneroka sendiri. Malah, peneroka Felda yang menyokong UMNO juga sudah tidak sanggup lagi ditipu oleh agensi itu. Gara-gara manusia yang bernama Isa Samad, akhirnya penipuan dan penyelewengan itu semakin terserlah lagi. Kini para peneroka semakin benci dengan tindakan tersebut dan mereka mula memperjuangkan hak-hak mereka. Berdasarkan rekod, Felda pasti akan kalah dalam kes saman menyaman ini kerana mereka tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk mempertahankan tindakan penipuan Kadar Perahan Gred (KPG). Lantaran itulah kita tidak hairan bila mana ramai para peneroka yang menyokong UMNO kini mengusahakan sendiri ladang-ladang mereka, biar pun pada awalnya bersama Felda. Mereka tidak tahan lagi hanya dibayar wang sara hidup RM1,500 sebulan, sedangkan rakan-rakan mereka menikmati pendapatan berkali-kali ganda daripada itu. Felda kini sudah tidak relevan lagi, apabila cuba dikorpratkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi. Inilah yang berlaku !].

Panas: MB Yakin Kilang Lynas Selamat Dan Minta Agar Syarikat Itu Dedahkan Senarai Kontraktor !!

Posted: 05 Dec 2011 01:01 AM PST

KUANTAN, 5 Dis - Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob (foto) berkata soal kesihatan dan keselamatan menjadi keutamaan kerajaan sebelum lesen praoperasi dikeluarkan kepada syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd bagi membolehkan kilang memproses nadir bumi dibina di kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini. Beliau berkata Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta pakar-pakar luar negara telah mengesahkan bahawa pembinaan kilang itu selamat tetapi masih diputar belitkan fakta oleh pihak tertentu yang kononnya kilang berkenaan akan memudaratkan rakyat. "Pihak tertentu telah mempolitikkan isu pembinaan kilang berkenaan demi politik sempit mereka," katanya ketika membentangkan Bajet 2012 Kerajaan Pahang pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini. Adnan berkata kerajaan telah mengeluarkan garis panduan sebelum ini bahawa Lynas Malaysia Sdn Bhd perlu mematuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan bagi kilang itu. Katanya kerajaan BN tidak pernah bertindak atau membuat sebarang keputusan yang boleh memudaratkan rakyat. "Kita "hidup" atas undi rakyat, adakah kita akan membuat sesuatu yang memusnahkan rakyat?" katanya. Beliau berharap pembangkang tidak terus mempolitikkan isu itu demi kepentingan politik mereka lebih yang berasaskan kepada fitnah dan pembohongan. Malah, katanya, terdapat "kawan-kawan" kepada pihak yang menentang projek pembinaan kilang itu telah memperoleh kontrak bagi kerja pembinaan kilang itu. "Mereka (kontraktor terbabit) bukan kawan saya, tapi kawan pihak yang membantah pembinaan kilang itu," katanya. Adnan berharap Lynas Malaysia Sdn Bhd mengeluarkan senarai kontraktor yang menerima kontrak dan melakukan kerja pembinaan kilang itu untuk tatapan umum.

[Kenyataan MB Pahang ini terkadang, ada asasnya. Mana mungkin kerajaan mahu musnahkan rakyatnya sendiri sedangkan mereka mahu undi untuk terus berkuasa. Malah, tindakan beberapa pihak dalam parti pembangkang sendiri (PAS) yang mengambil projek dengan Lynas jelas sekali membuktikan bahawa ada pihak yang cuba beretorik dalam isu ini. Sebenarnya, jika Lynas itu berbahaya mana mungkin ada orang-orang PAS dan anak-anak penyokong pembangkang yang mahu berkerja dengan syarikat terbabit. Amat tidak masuk dek akal bila didepan mereka menentang Lynas tetapi di belakang mereka "sapu projek". Malah, amatlah tidak masuk dek akal bila kontraktor yang dapat projek itu pula tiba-tiba "support" dana PAS Pahang dengan menggunakan wang Lynas. Bukankah ini sesuatu yang amat menghairankan kita. Jika itulah keadaannya, maka tidak salah jika MB Pahang mengatakan Lynas itu tidak berbahaya dan selamat. Cuma rakyat perlu berhati-hati dengan sentimen politik dalam isu ini sebenarnya. Jika tidak mereka akan terus hidup dalam ketakutan yang entah ada entahkan tidak. Sama juga kita takutkan anak-anak kita dengan "hantu dimalam hari" agar mereka tidak bermain di tempat gelap. Lama kelamaan mereka akan "takut kepada bayang-bayang sendiri". Inilah yang tidak wajar berlaku kepada rakyat itu sebenarnya].

Panas: TV3 Di Gesa Berhenti Dari Menjadi Saluran Pencacai UMNO, Jika Tidak Mahu Di Benci Rakyat!

Posted: 04 Dec 2011 06:44 PM PST

Rata-rata rakyat kecewa dengan tindakan TV3 yang telah menjadikan siaran Buletin Utama sebagai Buletin UMNO semasa persidangan Agung parti itu baru-baru ini. Tidak cukup dengan siaran langsung, TV3 mengambil masa setengah jam untuk menyiarkan laporan terperinci tentang perjalanan perhimpunan itu setiap malam. Apa yang jelas dapat dilihat, seolah-olah TV3 sudah menjadi TV UMNO. Tindakan itu amatlah tidak wajar kerana mereka harus ingat bahawa penonton yang menyaksikan siaran tersebut terdiri daripada berbagai kaum dan fahaman politik. Makanya, tindakan keterlaluan memaparkan persidangan sesebuah parti politik jelas sekali amat mengecewakan. Tambahan pula parti politik seperti UMNO, dimana ramai pengampu dan pencacai terpaksa bercakap soal perkauman dan membakar api permusuhan secara jelas dan terang. Sepatutnya, ucapan sebegitu dilakukan pada majlis yang tertutup dan hanya boleh disaksikan oleh perwakilan yang hadir sahaja. Namun, menggunakan media untuk menyiarkan ucapan berapi serta panas oleh para perwakilan jelas sekali satu tindakan biadap yang dilakukan oleh stesyen TV swasta itu. Mereka sewajarnya faham bahawa ucapan berapi yang berunsur hasutan dan perkauman sudah pasti akan dibuat oleh mereka yang berucap. Makanya, dengan menyiarkan siaran langsung dan rakaman yang berkaitan ia membuktikan bahawa TV3 sememangnya kini telah benar-benar menjadi "tali barut" UMNO. TV3 sepatutnya bertindak profesional dalam bidang penyiaran, bukannya dengan menjadi pengampu kepaa kerajaan yang memerintah. Jika tidak, lebih elok mereka umumkan saluran TV3 itu adalah stesyen rasmi kerajaan UMNO BN. Apapun, ramai penyokong pembangkang sebenarnya telah "menutup TV" atau mengalih siaran Buletin Utama untuk menyaksikan saluran lain ketika siaran itu ditayangkan. TV3 harus berani berlaku adil dalam penyiarannya jika mahu terus menjadi saluran pilihan rakyat. Jika tidak, stesyen itu juga akan dibenci oleh rakyat sama seperti yang berlaku kepada RTM selama ini.


[Bila dikaji semula kenapa TV3 begitu berubah sekarang ini, maka akhirnya barulah kita faham. TV3 mula menjadi pencacai UMNO sejati selepas CEO Farid Ridzuan dan beberapa orang kanan Media Prima dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri untuk membantu Najib melakukan propaganda agar rakyat terus mempercayai apa yang diperjuangkan oleh UMNO BN. Maka itulah kita tidak hairan, TV3 seolah-olah mengesahkan yang mereka kini sudah menjadi "saluran rasmi parti UMNO" sejak awal tahun ini. Semuanya, gara-gara mahu membuktikan kesetiaan kepada pemerintah biar pun mereka tahu banyak tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh pemerintah itu sendiri sebenarnya. Jika inilah keadaannya, maka kita yakin TV3 akan lebih "menggila" tatkala berkempen untuk UMNO BN pada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang. Justeru itu, berhati-hati dan bersiap sedialah dari sekarang untuk berhadapan dengan taktik jahat media terbesar di Malaysia itu. Kempen "Boikot TV3" perlu digerakkan segera agar rakyat menjadi "semakin benci" kepada stesyen tersebut selepas ini].

Lim Guan Eng "Jawab Tuduhan" UMNO, Mustahil DAP Mahu Jawatan PM Kerana Majoriti Kerusinya Adalah Yang "Paling Kecil" Dalam Pakatan Rakyat

Posted: 04 Dec 2011 06:05 PM PST

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (foto) menyatakan adalah mustahil bagi wakil parti itu dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya selepas Pilihanraya ke 13. Ini disebabkan parti itu bertanding kerusi Parlimen dengan jumlah yang paling kecil antara rakan-rakannya gagasannya, Parti Keadilan Rakyat dan PAS. Lim berkata demikian apabila menjawab tuduhan UMNO yang DAP mengkudakan PKR dan PAS bagi mencapai hasratnya untuk pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Tuduhan tersebut dibuat di perhimpunan agung UMNO yang berlangsung minggu lepas. Lim menyifatkan tuduhan itu sebagai usaha terdesak UMNO untuk mendapatkan sokongan rakyat. Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pendekatan UMNO memainkan isu perkauman itu adalah bagi menimbulkan rasa kurang senang dan kebencian rakyat terutamanya orang Melayu kepada DAP dan Pakatan. Beliau berkata, dengan memainkan isu seperti itu UMNO sebagai parti utama Barisan Nasional (BN) berharap kerjasama erat di antara DAP, PKR dan PAS dapat dihancurkan. "UMNO mainkan isu perkauman dengan sengaja mengkritik DAP, menyatakan DAP akan mahu menjadi Perdana Menteri kalau Pakatan Rakyat menang (PRU ke 13). "Sungguhpun DAP telah mengatakan bahawa ini tidak benar sama sekali. Tapi saya rasa mengapa nak tujukan kepada DAP bila di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat, DAP bertanding kerusi Parlimen paling kecil," katanya.


Majoriti kerusi dalam pembangkang masih didahului oleh PKR dan PAS
tuduhan UMNO bahawa DAP mahu jawatan PM tiada asas sama sekali

Dalam PRU ke 12 pada 2008, DAP bertanding 47 kerusi Parlimen berbanding PKR (97) dan PAS (66). Lim berkata, sebelum ini DAP telah menyatakan orang Melayu tetap akan dilantik menjadi Perdana Menteri jika PR membentuk kerajaan persekutuan. Maka dengan itu, katanya, tuduhan UMNO juga adalah cubaan mengalihkan isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pemimpin UMNO seperti di dalam kes Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC). "Mereka cuba tutup isu rasuah sungguhpun pemimpin-pemimpin Barisan Nasional seperti (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) nak tutup skandal lembu dan kondo yang melibatkan keluarga seorang menteri. Saya rasa semua rakyat Malaysia tidak bersetuju dan tidak berpuashati dengan skandal ini. Sungguhpun RM250 juta pinjaman telah diberikan, kita tak yakin ia akan dipulangkan. Pergi bela lembu akhirnya beli kondo. Satu dunia tiada tempat macam Malaysia nak bela lembu kena pergi kondominium," katanya lagi. Menurutnya, pendedahan isu NFC meletakkan Umno dalam keadaan makin sukar terutama dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 nanti.


[Bukan semudah itu mana-mana parti mahu melantik pemimpin mereka sebagai Perdana Menteri tambahan pula bagi parti yang bertanding jumlah kerusi yang lebih kecil daripada PKR dan PAS dalam Pakatan Rakyat sebebenarnya. Senario ini samalah juga dengan apa yang berlaku dalam BN dimana tidak mungkin MCA atau MIC boleh melantik pemimpin mereka sebagai Perdana Menteri. Justeru, tidak perlulah UMNO membuat tuduhan liar kononnya DAP memperkudakan PAS dan PKR untuk melantik pemimpin mereka sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang PRU-13 nanti. Ini semua adalah provokasi jahat menjelang PRU yang terpaksa dilakukan oleh UMNO BN bagi menagih simpati rakyat agar terus menyokong mereka nanti. Walhal, rakyat secara majoritinya sudah muak dengan berbagai penyelewengan dan rompakan wang rakyat yang dilakukan oleh pemimpin UMNO BN sejak sekian lama. Malah, jika kerajaan tidak diubah maka kita khuatir harta benda dan hasil mahsul negara ini akan terus jatuh ke tangan pemimpin UMNO yang khianat ini. Bukti dapat dilihat di sana sini yang mereka memang "cakap tak serupa bikin". Habis hasil bumi negara yang sepatutnya dinikmati oleh generasi akan datang sudah diambil mereka. Bagi mereka, semasa berkuasa inilah peluang yang terbaik untuk "merompak". Bila sudah tidak berkuasa, orang lain pula akan ambil. Inilah yang menyebabkan rakyat semakin benci kepada UMNO BN sebenarnya. Oleh itu, mereka wajib lakukan perubahan pada PRU-13 nanti].

Tiada ulasan: