Sabtu, 3 Disember 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Lynas: Kerajaan 'Wajar Ambil Iktibar' Kebocoran Sisa Radio Aktif Concentration Plant Di Australia !

Posted: 02 Dec 2011 11:33 PM PST

KUANTAN, 3 Dis - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (foto) menggesa kerajaan 'membuka mata' dengan berlakunya kebocoran sisa radioaktif di Concentration Plant Lynas di Mt Weld, Australia baru-baru ini kerana kedudukan kilang Lynas Advanced Materials Plant (Lynas) di Gebeng nanti dijangkakan akan membawa bahaya yang jauh lebih tinggi. Menurutnya, ini disebabkan kandungan radioaktif pada sisa pejal di Mt Weld ialah pada kadar 1.8 Bq|g sedangkan radioaktif sisa pepejal yang dijangkakan terhasil kilang itu di Gebeng ialah pada kadar 6 Bq|g. Tambahnya, kadar maksimum yang diterima antara bangsa pula ialah 1 Bq|g dengan Malaysia sendiri turut menerima pakai standard antara bangsa tersebut. "Bukan itu saja, dalam jarak 30 kilometer radiasi Lynas di Mt Weld, tidak wujud penduduk di sana sedangkan dalam 30km radius di Gebeng ada terdapat 700,000 penduduk. "Sementara dalam jarak 25 kilometer radiasi Lynas di Mt Weld, tidak terdapat air bawah tanah sedangkan di Gebeng, kedudukan Lynas di Gebeng terletak di atas tanah gambut yang paras airnya lebih tinggi daripada paras air biasa dan sungai Balok berkedudukan disebelah Gebeng. "Lynas Gebeng juga terletak dalam lingkungan 5 kilometer dari Laut China Selatan, bersebelahan pusat peranginan Cherating yang menjadi tumpuan destinasi pelancong sementara perairan tersebut juga merupakan sumber hasil ekonomi tempatan di mana industri perikanan juga merupakan sumber ekonomi utama penduduk," katanya.


Concentration Plant Lynas Mt Weld, Australia yang dikatakan alami kebocoran

Tambah Fuziah, sebarang kebocoran jika berlaku di Lynas akan meninggalkan impak yang bakal memusnahkan alam sekitar serta ekonomi di samping kesihatan penduduk kerana tiada industri yang bebas seratus peratus daripada kemalangan termasuk Lynas terkecuali. Katanya, selama ini Lynas berselindung di sebalik Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang seolah-olah menjadi 'jurucakap' mereka."Saya tegaskan bahawa Lynas tidak wajar berada di Gebeng kerana situasi di Gebeng sekali-kali tidak akan menepati segala aspek keselamatan mengikut piawaian antarabangsa."Sebab itu saya menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan, Datuk Rebecca Sta Maria yang menyatakan bahawa Lynas mesti mematuhi peraturan sebelum lesen pra-operasi boleh di keluarkan keatas LAMP ketika beliau melawat kilang itu di Gebeng kelmarin."Janganlah cuba mengulangi kesilapan di tempat lain yang hanya akan menjadikan penduduk di Gebeng dan sekitarnya menjadi mangsa," katanya. Beliau turut kesal sebelum ini pihak kerajaan cuba mengelirukan rakyat dengan mengatakan bahawa sisa dari Lynas adalah selamat sehingga boleh ditabur merata-rata dan percaya maklumat itu merupakan input daripada Lynas semata-mata.

Ramai Kecewa Sikap Orang PAS, Di Depan Bantah Lynas Tetapi Di Belakang Sapu Kontrak Juta-Juta

Posted: 02 Dec 2011 09:56 PM PST

KUANTAN, 3 Dis - Ramai pihak yang terkejut dengan pendedahan tentang penglibatan beberapa orang kuat PAS Pahang dengan syarikat kontroversi Lynas Corporation. Biar pun isu itu dianggap kecil bagi sesetengah pihak dalam parti PAS, namun sebenarnya tindakan ini sukar untuk diterima oleh majoriti yang lain terutamanya mereka yang membantah pembinaan kilang memproses rare-earth di Kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini. Soalnya sekarang, kenapa ada pula pihak yang menyokong tindakan ahli-ahli terbabit?. Malah mereka memberikan berbagai hujjah untuk menghalalkan tindakan tersebut. Bagi mereka "tidak menjadi masalah" kepada mana-mana ahli PAS yang berkerja atau mendapat kontrak (projek) dengan Lynas kerana itu adalah hak masing-masing (profesionalisme kerja). Namun, mereka lupa bahawa PAS secara rasmi menentang Lynas malah mahu kerajaan membatalkan operasi syarikat tersebut demi keselamatan rakyat. Malah, NGO seperti Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Barisan Bertindak Anti Rare Earth Refinary (BADAR), Stop Lynas Coalition (SLC) dan sebagainya secara jelas membantah projek berkenaan. Tambahan pula, dalam NGO terbabit terdapat ramai ahli serta pemimpin PAS yang berjuang habis-habisan menentang Lynas. Tapi, tiba-tiba kita dikejutkan pula dengan penglibatan ahli PAS sendiri dengan projek itu. Kontrak jutaan ringgit diperolehi oleh mereka untuk tempoh lima tahun jelas sekali membuktikan mereka tidak langsung "peka" dengan isu bantahan Lynas oleh parti mereka sendiri. Alasan pihak berkenaan, mereka memang menentang Lynas tetapi terpaksa mengambil projek dengan syarikat terbabit untuk mencari dana bagi membantu parti dan menentang syarikat terbabit. Maknanya, duit yang diperolehi disalurkan kepada parti PAS untuk "melawan Lynas" semula. Atas alasan, jika mereka tidak ambil projek itu maka pasti ada pihak lain yang akan mengambilnya. Begitu mudah alasan dangkal yang mereka berikan untuk mengesahkan tindakan tersebut. Sedangkan, mereka sendiri tahu orang lain bersusah payah berjuang menentang Lynas tiba-tiba mereka "senang-senang" kaut untung lumayan. Apakah adil untuk rakyat agaknya?. Apakah jika mereka tidak ambil projek dengan Lynas syarikat mereka akan "lingkup". Berapa ribu yang dihulurkan kepada perjuangan menentang Lynas daripada jutaaan ringgit yang diperolehi daripada kontrak tersebut?. Kenapa mereka "sanggup khianat" kepada rakyat?

[Atas apa jua alasan sekali pun, apa yang berlaku ini tidak wajar sama sekali. Sepatutnya sebagai seorang ahli kepada parti Islam mereka wajar akur dengan kepimpinan parti. Mereka sering ditarbiyah agar patuh kepada perjuangan. Namun, dek kerana mengejar keuntungan duniawi masih ada yang terbawa-bawa perangai lama. Apakah rakyat boleh terima semua ini. Kita bukan mahu mencari kesalahan sesiapa, namun kita juga tidak wajar sembunyikan apa yang mereka lakukan. Jika ini keadaannya, apa guna menentang Lynas sebab keuntungan syarikat itu juga mengalir dalam dana perjuangan PAS iaitu parti yang begitu lantang menentang Lynas. Jika Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr.Che Rosli dipanggil oleh lembaga displin parti gara-gara mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan dasar parti dalam isu Lynas. Maka, kini sepatutnya parti perlu memanggil pihak yang terlibat secara langsung dengan Lynas. Jika tidak, nama parti akan terus rosak jika isu ini dijadikan senjata oleh UMNO BN pada PRU-13 nanti. Oleh itu, langkah pembersihan perlu dilakukan segera!].

Tiada ulasan: