Rabu, 21 Disember 2011

Muslimeen United

Muslimeen United


Kemuncup Dalam Perjuangan Dan Dasar PAS Yang Dijamin Majlis Syura

Posted: 20 Dec 2011 10:19 PM PST


Mehnah atau tribulasi dalam perjuangan Islam adalah sunnatulLah, bagi menguji dan memperkukuhkan jamaah dan membina kekuatan mujahadah bagi ahli.

Dalam sejarah perjuangan Islam yang panjang ini, kita meyaksikan betapa beratnya ujian atau mehnah yang dihadapi oleh jamaah dan ahli yang mendokongi jamaah tersebut. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang lama di negara ini telah lali dengan pelbagai mehnah yang dihalakan kepada jamaah ini. Kita pernah diharamkan, dibatalkan logo, disekat aktiviti, didenda dan sebagainya, namun parti terus berkembang hingga kini.

Manakala tribulasi kepada ahli berlaku setiap hari, samada kecil atau besar, ujian tersebut ianya akan pasti berlaku. Panduan kita ialah kenyataan:

"Andainya anda menyertai mana-mana jamaah Islam, lalu anda tidak menerima apa jua mehnah dan ujian, maka semak semula jamaah yang anda sertai itu, kerana mungkin ianya bukan jamaah yang menepati kriteria jamaah Islam."

Sekiranya setelah anda semak dan teliti, ternyata benar ianya adalah jamaah Islam, maka semak pula apakah anda bekerja untuk Islam atau tidak. Kerana mungkin kalau anda tidak menerima apa jua ujian atau mehnah, mungkin sebenarnya anda tidak bekerja untuk Islam, melainkan untuk diri sendiri."

Kenyataan itu mencerminkan betapa mehnah dalam perjuangan Islam adalah lumrah dan sunnatulLah. Itulah yang menyebabkan kita merasai kemanisan berada dalam jamaah dan kenikmatan bersama jamaah memperjuangkan Islam sebagai cara hidup ummah, selaras dengan tuntutan Islam.

Dalam sejarah yang panjang ini, PAS menyaksikan ada ahli dan pimpinan yang muncul dan hilang. Kehilangan dari medan terkadang bukanlah lari dari perjuangan, ianya hanya rehat sementara dari kepenatan yang panjang atau menceburi jalan dan uslub lain yang sesuai dengan jiwa dan tenaga semasa.

Apapun, ianya adalah manik-manik embun waktu pagi bersinar mengerlip dengan cahaya matahari, tapi ianya akan kering dek kepanasan matahari yang menyerinya diawal pagi.

Namun ada jua yang terus hilang dari medan perjuangan. Kenapa ianya hilang? Semua ada jawapan sendiri, kita tidak perlu berbahas di atas hujah masing-masing. Apa yang penting jamaah mesti dipelihara, dijaga dan dimantapkan bagi meneruskan agenda besar yang menjadi kewajipan perjuangan Islam.

Kita tidak perlu meratapi kehilangan, walaupun kita sanga sedih di atas kehilangan itu. Kita mesti terus memandang kehadapan dangan penuh yakin bahawa satu hari Islam akan berada dipuncaknya.

Kita hanyalah mata rantai bagi memusingkan roda Islam itu. Kalaulah Allah kehendaki, ia boleh sahaja menukarkan dengan mata rantai lain dan roda itu terus berpusing sampai kemuncaknya.

Suatu hari, bilamana saorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w "siapakah di kalangan manusia yang sangat berat ujiannya, lalu jawab Rasulullah s.a.w yang paling berat ialah nabi-nabi, kemudian mereka yang mengikuti nabi- nabi (para sahabat) dan mereka yang mengikuti dibelakangnya ( tabieen).

Hadis ini membuktikan bahawa ujian yang ditempuhi oleh pimpinan tidak sama dengan ahli biasa, demikian juga ujian waktu kalah tidak akan sama dengan ujian di saat kemenangan. Besarnya mehnah ini memerlukan kita istiqamah dalam jamaah, mengikuti tartib jamaah dan sentiasa wala' pada pimpinan. Itulah erti berada dalam jamaah Islam.

Kita tidak perlu bimbang soal sesuatu dasar yang diputus dalam jamaah kerana kita punya Majlis Syura yang memandu jamaah agar semua keputusan jamaah tidak bercanggah dengan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan.

Majlis syura ulamak yang terdiri dari Mursyidul Am Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz, dan timbalannya Dato' Dr Haron Din dan jawatankuasa adalah badan pemantau perjalanan parti agar selaras dengan dasar Islam yang menjadi dasar parti.

Majlis Syura juga adalah badan penapis segala program parti, bahkan kesemua calon yang akan bertanding dalam mana-mana Pilihanraya akan disahkan oleh Majlis Syura. Mekanisme ini tiada dalam mana- mana parti lain, sehingga semua hala tuju dan dasar parti mesti menepati kehendak syarak.

Manakala Muktamar Agong adalah ruang terbuka untuk membahas dan membincang hala tuju atau masa depan parti, begitu juga kewujudan dewan-dewan yang menjadi sayap penting parti bagi memastikan dasar yang telah diputus dapat berjalan dengan sempurna dan berimbang.

Andainya ada pihak yang mempertikai sesuatu yang telah menjadi dasar parti, maka itu bermakna mempertikaikan keputusan syura, muktamar agong dan pendirian parti. Ianya tidak sepatutnya berlaku.

PAS tidak pernah lari dari dasar perjuangan. Kita tetap dengan dasar yang sama yang telah termaktub dalam perlembangaan parti. Hal itu tidak perlu dipertikai lagi.

Apa yang perlaku ialah PAS telah membuat anjakan paradigma perjuangan, dengan pendekatan baru yang lebih terbuka dari sudut pendekatan bagi menterjemahkan realiti Islam sebagai 'rahmatal lil 'alamin'.

Perubahan dan anjakan ini selaras dengan perkembangan semasa dengan arus perubahan pemikiran, media dan realiti rakyat. Perubahan kaedah atau uslub, bukan bermakna perubahan dasar dan prinsip. Namun sebahagian yang biasa dengan pendekatan lama yang statik akan menganggap ianya perubahan dasar dan prinsip perjuangan. Ianya seumpama menukar cover sofa dan mengalihkannya dengan susunan baru, serta menukar warna langsir agar lebih ceria. Namun perubahan ini ada yang merasakan perubahan seluruh ruangtamu itu.

Perkembangan ini menggerunkan musuh, dan mereka mula menyerang bahawa PAS yang berkembang ke arah 'rahmatal lil a'lamin' telah terpesong daripada dasarnya. Motif mereka hanya satu, mereka tidak ingin melihat PAS berkembang, mereka hanya ingin melihat PAS kekal jumud dan terbelakang. Sepatutnya sebagai ahli PAS, kita harus membantu jamaah menerangkan perkara ini dan bukannya menyanyikan lagu musuh di media musuh mempertikaikan dasar parti sendiri.

Apapun, ini hanyalah kemuncup dalam perjuangan. Kita mempunyai tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan. Ibarat bermain bola, jangan sibuk mencabut kemuncup yang lekat diseluar atau stokin; teruskan permainan sehingga selesai perlawanan ini. Tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan menyebabkan kita tidak akan terasa adanya kemuncup di seluar dan stokin. Jangan leka mencabut kemuncup sehingga pintu gol terlopong tanpa penjaga.

Jika ada pemain yang dilihat semakin tidak menjadi team player dan menyusahkan seluruh pasukan kerana beliau tidak setuju dengan taktik 4-4-2 yang diputuskan, jurulatih pasukan terpaksa bertindak untuk menegur, dan sekiranya keadaan tidak berubah, menggantikannya dengan pemain lain yang lebih bersifat team player. Ini terpaksa dilakukan supaya pasukan itu dapat memfokuskan segala tenaganya untuk menembus gawang gol lawan daripada membazirkan masa menjawab dan memotivasikan pemain mengapa taktik 4-4-2 digunakan hanya kerana beliau lebih sukakan 6-4-0.

Diharap sedikit kiasan ini dapat membantu jamaah dan ahli-ahli PAS untuk bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang sama.

Salam perjuangan.

Ustaz Dato'Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Umno Tidak Boleh Dipakai Lagi - Bekas Pengarah Pendidikan

Posted: 20 Dec 2011 10:15 PM PST

Bekas Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Adnan Ibrahim yang juga pelakun bersiri 'Cucu Opah nak kahwin lagi' rasa terpanggil untuk bersama turun padang memberikan penjelasan kenapa perlu rakyat tolak Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Jelas sekali ujarnya, Umno dan BN mempunyai kepimpinan yang sudah korup dan tidak releven lagi untuk memegang tampuk pemerintahan ekoran terlalu banyak skandal sehingga boleh membawa negara ke arah kehancuran.

"Saya walaupun tidak sihat, rasa bersalah sekiranya tidak bersuara mengatakan yang hak sebab itu saya datang untuk menyampaikan apa yang terpendam dalam lubuk hati selama ini.

"Umno dan BN tidak boleh pakai lagi apatah untuk kita bergantung harap membela nasib orang Melayu, " ujarnya ketika ditemui selepas program ceramah perdana di Pekan Darat, Butterworth semalam.

Apa guna dirinya yang diberikan kesihatan sihat tinggal diam di rumah padahal penyelewengan terus berlaku dengan memperdayakan rakyat miskin sebagai 'kambing hitam' bagi mengaut undi, katanya.

"Kerajaan BN memang begitu, mereka akan membahagikan harta kekayaan sesama kroni dengan membiarkan rakyat berputih mata terutamanya bagi mereka yang sememangnya mempolopori bidang tertentu.

"Kes lembu membabitkan Menteri Wanita, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil sungguh memalukan kerana ia bukan pendedahan golongan yang mencari kesempatan sebaliknya didedahkan Audit Negara yang telus dan profesional," terangnya.

Tambah beliau, akibat terlalu banyak penipuan dan penyelewengan membuatkan rakyat mempertikaikan keikhlasan BN yang sanggup memberikan wang RM500 kepada setiap keluarga sedangkan negara terus dicengkam bebanan hutang yang tinggi.

Jika kerajaan terlalu prihatin terhadap rakyat bukan sekarang mereka mulakan pemberian RM500 itu tetapi sejak dulu lagi sebab kemiskinan rakyat sudah lama, katanya.

"Jika BN benar-benar mahu bantu rakyat kenapa hari ini baru nak bagi RM500. Mereka buat secara mendadak semata-mata dengan tujuan yang tersembunyi," tambahnya.

Pemberian itu pun, bagi beliau, disebabkan timbul perasaan irihati setelah rasa tergugat dengan pemberian beberapa skim oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

"Adalah tidak lojik lagi, rakyat yang sudah matang masih tidak berani buat perubahan demi kebaikan semua pihak serta negara," kata Datuk Adnan.

Menceritakan kesungguhan dirinya untuk turun berkempen di mana sahaja sekiranya dijemput beliau yang ada pertalian dengan pejuang kemerdekaan Leftenan Adnan menambah, semua itu dibuat untuk membuang perasaan bersalah dalam dirinya yang bekerja untuk kerajaan sedangkan kerajaan yang disanjung melakukan penindasan, penipuan dan penyelewengan yang ketara memalukan.

Peliknya, ujar beliau, kenapa mereka yang ada jawatan tinggi dalam kabinet tidak langsung timbul perasaan bersalah atau meletakan jawatan bila gagal sebagai menteri sebaliknya terus bangga dengan kesalahan yang dibuat.

Beliau bertanya apakah kapasiti mereka yang asyik melakukan penyelewengan mengaku sebagai Umat Islam sedangkan mereka memakan daging saudara sendiri.

"Pesanan saya kepada rakyat gunalah otak, guna akal, guna jari, guna perasan dan gunakanlah kesempatan yang ada untuk menegakan yang hak memerangi yang batil. Jangan takut buat perubahan yang menguntungkan semua pihak," tegasnya lantang.

Program anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor itu turut menyaksikan penyerahan 15 keping borang permohonan menjadi ahli PAS di sekitar kubu kuat Umno di Permatang Binjai.

Kemasukan itu diketuai bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan Permatang Binjai, Saudara Hasni.

Borang diserahkan kepada Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang dijemput khas memberikan ucaptama bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man dan Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man. -Hrkh

Majlis Mahabbah

Posted: 20 Dec 2011 06:51 PM PST


Stop War

1. Menyedari dan memahami kedudukan ahli yang kian resah, masyarakat awam yang terpinga-pinga dan musuh yang tersenyum lirik, maka Dewan Pemuda Pas Malaysia menasihatkan agar dihentikan segera "perang mulut" dan "perang media" dari kalangan pimpinan yang terlibat. Justeru, ia tidak mendatangkan apa-apa kebaikan dan manfaat kepada parti. Sebaliknya, mengundang persepsi negatif di saat parti mengorak langkah menuju gerbang Putra Jaya.

2. Dewan Pemuda Pas Malaysia mencadangkan satu "Majlis Mahabbah" yang mempertemukan Dato' Seri Presiden Parti, Setiausaha Agung, Dato' Dr. Hasan Ali dan Ust Nasharudin Mat Isa bagi menyelesaikan "krisis" yang berlaku. Sesungguhnya tiada perkara yang tidak boleh diselesaikan. Sebaliknya apa yang penting, kesemua pihak mestilah ikhlas, berlapang dada, sedia berbincang, bersemuka dan berterus terang. Realitinya, ini bukanlah masanya lagi untuk pimpinan parti saling bertelagah antara satu sama lain.

3. Jangan rosakkan mood anggota parti yang gigih berkerja dan berjuang untuk mencari kemenangan buat perjuangan ini dengan pertelagahan yang saling mendedah dan membongkar kelemahan serta kekurangan parti. Ini tidak baik untuk amilin yang berjuang di bawah, di samping ia juga akan menghakis keyakinan rakyat kepada parti malah turut merosakkan reputasi parti dihadapan khalayak.

4. Selesaikanlah dengan baik dan berbincanglah dengan penuh hikmah dan sabar. Dalam perkara ini, tiada siapa yang perlu menang sebagaimana tiada siapa pula yang perlu kalah. Sebaliknya, jernihkan apa yang keruh, tenangkan apa yang ribut, jelaskan apa yang keliru, luahkan apa yang terbuku, insafi apa yang salah, perbaiki apa yang silap, teguhkan apa yang pincang, satukan apa yang retak, damaikan apa yang kacau dan kembali tautkan al-ukhuwwah Fillah.

5. Ingatlah bahawa perjuangan ini adalah kerana Allah. Ianya untuk mendaulatkan Islam dan mendidik Ummah agar bersatu dengan tali Allah, pula saling ingat mengingat dengan wahyu Allah. Dewan Pemuda Pas Malaysia sangat mengharapkan polemik ini dihentikan segera dengan semua pihak ikhlas berkerjasama ke arahnya. Kami percaya semuanya cintakan Islam, kami juga percaya semuanya sayangkan parti dan kami turut percaya bahawa polemik ini boleh diselesaikan dengan baik dan harmoni tanpa perlu siapa pun rasa rendah diri lalu meminggirkan dirinya dari parti dan tanpa perlu siapa pun rasa tersinggung lalu keluar meninggalkan parti. Sebagaimana kami turut percaya bahawa tiada siapa yang perlu merasa dirinya hebat dan jaguh lalu menghalau dan mengherdik pihak lain. Kita semua adalah insan yang diamanahkan oleh Allah untuk memperjuangkan agamanya. Bersatulah! Semoga kemenangan berpihak kepada kita, Insya-Allah.

Nasrudin Bin Hassan.
Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia

Jangan bayar lagi cukai pintu, tunggu PAS menang

Posted: 20 Dec 2011 06:44 PM PST

KUALA TERENGGANU - PAS Terengganu telah pun melaksanakan janji manifesto ketika memerintah negeri Terengganu diantara tahun 1999 hingga tahun 2004.

Antaranya adalah menghapuskan bayaran TOL Jambatan Sultan Mahmud dan mengecualikan pembayaran cukai pintu rumah kediaman.

Menurut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, PAS sudah pun menegaskan 'ikrarnya' akan terus membantu rakyat sekiranya diberi mandat selepas Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

"konsep kita lain, kita sudah rangka (program) untuk (membantu) orang susah, kita tak beritahu (semua), kita dah siap manifesto kita, kita hanya beritahu 5 (perkara) dahulu,

"tak boleh beritahu semua, nanti umno ni tipu dan tiru. Dia tiru apa yang kita buat, mereka tak pandai pun,"ujarnya dalam Majlis Dailog bersama Warga Tionghua Kuala Terengganu pada 17 Disember lalu.

Menurutnya, PAS akan meneruskan dasar pengecualian cukai pintu rumah kediaman bagi membantu mengurangkan beban sara hidup penduduk bandar yang semakin meningkat.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengesyorkan, kepada mana-mana warga bandar tidak perlu membayar cukai pintu sekarang dan tunggu sehingga PAS menang selepas PRU-13.

"antaranya kalau kita (PAS) menang, nak tolong rakyat, cukai pintu rumah kediaman, kita kecuali sementara ini, kalau ada yang tak bayar cukai pintu rumah, jangan bayar, tunggu kita menang,"ujarnya.

Menurutnya, hampir 80% warga bandar di seluruh negeri Terengganu tidak membayar cukai pintu kerana beberapa sebab termasuk tidak puas hati dengan khidmat yang diberikan oleh pihak Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya.

Beliau selaku bekas Exco kerajaan PAS Terengganu berkata, pemerintahan PAS tidak menekan rakyat bagi meningkatkan hasil negeri, kerana pandai mencari sumber-sumer pendapatan lain. -BO

Umno berjuang dengan maki-hamun

Posted: 20 Dec 2011 02:30 PM PST

Isu agenda Melayu sejak dari dulu sampai sekarang- Melayu tidak ke mana juga

Agenda Melayu! Itulah isu yang tidak lekang di mulut pemimpin UMNO sejak tiga dekad dahulu. Semasa perlaksanaan DEB dahulu pun tidak begitu kuat pemimpin-pemimpin UMNO menyebut tentang isu agenda Melayu ini.

Sekarang di mana-mana pemimpin-pemimpin terbesar negara bercakap tentang agenda Melayu tetapi Melayu masih dalam keadaan ketinggalan dan kerana itu isu itu masih mahu dihidupkan terutamanya dalam menghadapi PRU yang semakin hari semakin hampir ini.

UMNO masih mengharapkan yang isu ini akan dapat menyatukan orang Melayu di bawah ketiak UMNO kononnya untuk menyempurnakan agenda Melayu. Kalau agenda Melayu sudah begitu lama dinyanyikan oleh kepimpinan Melayu UMNO, bagaimana orang Melayu terutamanya yang terlingkung dalam kumpulan generasi muda masih mahu mempercayainya?

Oleh kerana itu ada kemungkinan yang ketinggalan orang Melayu dalam semua bidang sekarang ini merupakan isu yang sangat 'expedient' bagi pimpinan UMNO untuk menyatukan mereka. Lagi ketinggalan Melayu ini, lagi untung bagi parti UMNO yang sudah begitu selekeh ini untuk meneruskan kuasa.

UMNO seolah-olah tidak mahu Melayu ini maju ke depan kerana jika Melayu sudah maju, maka UMNO akan hilang isu untuk menyaingi parti-parti lain yang kian hari kian mendapat sambutan dari rakyat yang rata-rata sudah menggunakan akal anugerah Tuhan untuk menilai dan berfikir untuk memilih yang mana yang baik dan yang sebaliknya.

Saya menyebut ini kerana yang menjadi mangsa di atas keghairahan UMNO untuk terus berkuasa ini menjadikan orang Melayu mangsa kepada nafsu UMNO untuk terus berkuasa. Orang Melayu masih dalam ketakutan kerana mereka terpedaya dengan cara UMNO yang suka menakut-nakutkan mereka (orang Melayu). UMNO sudah menjadi zalim kerana menekan bangsanya sendiri dan memundurkan pemikiran mereka sehingga mereka tidak boleh bergerak untuk memajukan diri mereka (Melayu).

Apabila orang Melayu mempunyai sedikit pandangan yang berbeza, UMNO akan mengungkit kononnya jasa-jasa yang telah diberikan UMNO kepada mereka itu harus dibalas dengan memberikan sokongan walaupun mereka merompak dan menyamun. Kita sedih dengan kelemahan bangsa kita dalam hal ini walaupun sesetengah daripada mereka telah belajar jauh di antero dunia tetapi mempunyai pemikiran yang masih dijajah dengan kumpulan penjenayah politik dan ekonomi seperti UMNO ini. Nampak sangat sikap pemimpin-pemimpin UMNO yang mereka tidak suka kepada bangsanya yang berfikir.

Menakut-nakutkan orang Melayu merupakan satu-satunya cara untuk menyatukan orang Melayu pada pandangan UMNO. Isu yang digunakan oleh UMNO bagi menakutkan orang Melayu ialah Pakatan Rakyat, jika berkuasa akan menghilangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Jika PR memerintah orang Melayu akan di kafirkan oleh DAP dengan mengkristiankan orang Melayu. Jika PR memerintah, DAP dan komponen PR akan melenyapkan orang Melayu kononnya.

UMNO sudah ketandusan idea untuk menjawab perbahasan dalam banyak isu politik. UMNO hanya tinggal dengan taktik gertak-menggertak serta melakukan pembelian undi dan melakukan penipuan dalam pilihan raya nanti seperti yang mereka lakukan selama ini. Taktik yang lain ialah dengan menghina dan menggunakan kata-kata kesat yang tidak bertemadun dan beragama. UMNO seolah-olah sedang menghadapi penyakit gila talak dan tidak keruan lagi.

Mencarut-carut di alam cyber sekarang ini sudah menjadi pakaian penyokong-penyokong UMNO untuk berkempen bagi menegakkan benang basah mereka. Mereka tidak sedar manusia sekarang sudah lebih tinggi tamadunnya. Memaki-hamun dan mencarut itu hanya membayangkan betapa 'desperado'nya UMNO masa kini dan memaki-hamun itu hanya dilakukan oleh mereka yang sengkek sahaja.

Kita sudah mengiktiraf bahawa jika sesebuah parti itu memenangi pilihanraya seperti itu ia merupakan satu kemenangan yang tidak 'legitimate'. Tetapi UMNO tidak peduli dengan isu 'legitimacy' ini. Yang penting berkuasa terus menerus. PM Najib secara terbuka telah berkata yang UMNO akan lakukan apa sahaja untuk mempertahankan Putrajaya. Bagi UMNO yang penting ialah kuasa bukannya untuk bertanggungjawab kepada rakyat.

UMNO menekan orang Melayu dengan isu sensitif seperti yang saya sebutkan di atas. Lagi takut orang Melayu lagi untung kepimpinannya. Jadi UMNO hanya membina sifat penakut kepada orang Melayu sahaja kerana jika orang Melayu takut dengan isu rasis yang di gembar gemburkan olehnya lagi berpeluang mereka untuk berkuasa dan melakukan perkara-perkara yang merosakkan orang Melayu lagi.

Maka orang Melayu dididik supaya tidak menggunakan pemikiran yang rasional, sebaliknya menggunakan sentimen dan emosi semata-mata. Hasilnya wujudlah kumpulan penyokong-penyokong UMNO yang tidak dapat berfikir dan membahaskan isu-isu penting dalam negara, justru mereka hanya menggunakan kata-kata yang tidak baik seperti babi, anjing, baruah dan sebagainya yang kotor-kotor belaka. Bahasa yang mereka gunakan tidak langsung melambangkan bangsa mereka.

Sekarang ini kata-kata kotor dan menjijikkan merupakan 'attribute' yang jelas bagi parti yang sementara ini masih memerintah negara setidak-tidaknya sehingga pilihanraya nanti. Penyokong-penyokongnya sudah tidak lagi mampu berfikir dan bertindak dalam kebijaksanaan.

Orang yang nazak memang tidak lagi boleh berfikir kerana orang dalam keadaan begitu itu adalah orang yang sedang mengalami 'brain death'. Jadi bagi parti yang sedang mengalami 'brain death' ini, tentulah saudara-saudari tahu apakah 'consequence of event' yang akan berlaku kepada parti yang semasa kuat dan berkuasa dulu begitu bongkak dan sombong itu.

Sejak akhir-akhir ini UMNO sebenarnya bukan berusaha untuk melaksanakan agenda Melayu, sebaliknya untuk melaksanakan agenda pemimpin-pemimpin Melayu yang mabuk dengan kuasa serta kekayaan dan wang ringgit yang tidak berkesudahan itu sahaja.

Kalau dahulu kita dijajah oleh Inggeris dan sebagainya, sekarang kita bukan setakat dijajah tetapi seperti kita sedang ditekan oleh kuasa seperti 'Malayan Union' dahulu, tetapi kali ini dari sekumpulan bangsa sendiri yang menamakan kumpulan mereka UMNO (baru) yang mula dipelupori oleh Dr Mahathir Mohammed dahulu.

Orang Melayu hanya diperguna untuk bertepuk dan bersorak dan pemimpin-pemimpin terus menipu dan mengelirukan mereka (orang Melayu). Lagi mereka (orang Melayu) ditipu lagi kuat mereka bertepuk dan bersorak. Kalau kita cuba menegur, orang yang di tipu tadi akan memaki-hamun kita pula dengan menggunakan perkataan-perkataan yang kesat dan tidak punya tamadun.

Itulah situasi sekarang ini. Penyelesaiannya hanya dengan mengingati Pak ABU sentiasa. Jangan berkasar seperti penyokong UMNO sekarang ini. Dengan senyum simpul hanya gunakan kuasa undi anda dengan berfikir panjang-panjang. Jika ada penyokong UMNO membabikan kita, jangan lawan mereka... hanya beristighfar banyak-banyak.
- Aspan Alias

Betapa BANGANGnya PERKASA ni

Posted: 20 Dec 2011 02:30 PM PST

PERKASA Umno
MalaysianInsider melaporkan:
KUALA LUMPUR, 20 Dis – Perkasa menolak keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang semalam mengumumkan akan menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 atas alasan orang Melayu tidak akan keluar mengundi selain mendakwa ia bertujuan mengurangkan peratusan pengundi kalangan kaum itu kelak.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, pihaknya yakin penggunaan dakwat kekal akan membawa negara ke belakang.

Selain itu kata beliau, Perkasa percaya ramai pengundi Melayu tidak akan keluar mengundi jika penggunaan dakwat kekal diteruskan. - TMI.
Kalau nak tak bersetuju pun bagi la alasan lain, yang nampak logik sikit, yang agak-agak orang tak gelak kalau dengar.
 
Sungguh-sungguh bagitau yang kemungkinan orang melayu Islam takkan keluar mengundi kalau kena calit dakwat kekal tapi tak pulak bagitau apa alasan depa.

Takkan kut kulit dan kuku orang melayu Islam ni lain dari yang bukan melayu Islam. Untuk orang bukan melayu Islam takdak masalah tapi untuk orang melayu islam tak boleh.

Kalau alasan calit dakwat kekal tu salah dari segi agama, Majlis Fatwa dah pun keluar kenyataan dan Majlis Fatwa tak pernah keluarkan fatwa haram calit dakwat kekal tu.

Dalam Islam ni senang ja sebenarnya, dari segi hukum Fiqh' asal hukum semuanya adalah harus kecuali ada dalil, kalau ada dalil yang haram maka haramlah hukumnya, kalau ada dalil wajib maka wajiblah hukumnya macam tu jugak kalau sunat atau makhruh, bukannya susah sangat, cuma yang susahnya nak kiaskan hukum dengan dalil yang ada, pasai tu la kena ada sampai Majlis Fatwa kebangsaan.

Lagi pun macam kata Pengerusi SPR sebelum ni, kajian dah pun dibuat dan akan dihantar kepada pihak Majlis Fatwa Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan untuk pastikan dakwat kekal tu tak gunakan bahan yang bahaya ataupun bahan yang haram.

Takkan la PERKASA hebat sangat sampai kalah Kementerian Kesihatan dan Majlis Fatwa kebangsaan.

Jadinya, apa punya BANGANG punya PERKASA buat kenyataan BANGANG macam tu. Takkan boleh main ugut SPR macam tu ja. Kalau ugut cara macam tu pun SPR akan tunduk, aku taktau nak kata apa la.

Tapi bila difikir balik, elok jugak kalau betul macam PERKASA kata tu. Memang cantik sangat kalau orang melayu terutama sekali ahli PERKASA tak keluar mengundi kalau duna dakwat kekal. Dah tentu la yang PERKASA kata melayu yu melayu Umno, bukan melayu PAS dan PKR dan sudah barang tentu bukan melayu DAP.

Jadinya hampir pasti la Umno BN akan tumbang PRU13 nanti. -sumber

Tiada ulasan: