Isnin, 26 Disember 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


AMK nafi 500 anggota keluar parti

Posted: 26 Dec 2011 06:28 AM PST

(Oleh: Ahmad Fadli)

KUALA LUMPUR 26 Dis: Ketua Angkatan Muda KEADILAN Gombak, Jafrien Muhammad menafikan berita kononnya 500 anggota AMK Hulu Kelang keluar parti dan menyertai Umno.

Menurutnya, individu yang kononnya bertindak sebagai jurucakap kumpulan 500 orang itu, Mohd Jefry Sallehuddin, tidak pernah menjadi ahli KEADILAN.

"Saya menafikan berita ini. Ia dusta dan tiada 500 ahli KEADILAN keluar parti.

"Jefry bukan ahli parti dan dakwaan kononnya beliau pernah ditahan di ISA dan masuk penjara sebanyak 16 kali adalah satu pembohongan," kata Jafrien.

Akhbar dalam talian MStar hari ini melaporkan 500 anggota AMK Hulu Kelang bertindak keluar parti dan menyertai Umno Gombak kononnya kecewa dengan KEADILAN yang tidak menepati janji.

Bercakap lanjut, Jafrien berkata Jefry sebelum ini hanya merupakan seorang sukarelawan parti dan selama ini juga beliau diketahui mempunyai perwatakan yang meragukan.

Jefry juga, katanya bukan penduduk asal Selangor tetapi berasal dari Sabah.

"Kami ada dengar akhir-akhir ini yang dia mendakwa boleh memberikan kad pengenalan kepada mana-mana pendatang asing yang mahu menyokong Barisan Nasional," kata Jafrien.

Justeru, beliau mencabar Jefry agar mengemukakan bukti jika benar dia berjaya membawa 500 ahli AMK ke dalam Umno Bahagian Gombak.

Bersih, bebas dan mesra rakyat kunci kejayaan Pulau Pinang

Posted: 26 Dec 2011 02:51 AM PST

GEORGE TOWN, 26 DIS – Rakyat Malaysia di Pulau Pinang menyambut perayaan Krismas bersama kerajaan negeri Pakatan Rakyat dengan harapan pentadbiran mesra rakyat yang diamalkan dapat memastikan semua anak negeri hidup aman damai tanpa rasuah dan jenayah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, negeri pulau mutiara itu telah menikmati hasil daripada kerajaan yang bersih, bukan sahaja dibuktikan melalui pujian Ketua Audit Negara dan Transparecny International tetapi juga pelaksanaan tender terbuka dan perang melawan rasuah.

"Pulau Pinang telah mencatatkan lebihan bajet kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai sejak 2008.

"Lebihan bajet ini digunakan untuk program sosial dan pemberian tunai kepada warga emas, OKU, ibu tunggal, bayi dan pelajar. Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang menghapuskan miskin tegar pada 2009," katanya dalam mesej Krismas semalam.

Tambah beliau, bagi tahun depan, pendapatan minimum untuk keluarga miskin akan ditingkatkan kepada RM600 sebulan di mana kerajaan negeri akan menambah secara "top up" bagi semua keluarga yang berpendapatan kurang dari jumlah itu.

Menurutnya, usaha ini dapat membantu cita-cita kerajaan Pakatan Pulau Pinang untuk menjadi negeri pertama menghapuskan kemiskinan menjelang tahun 2015.

Guan Eng yang juga Adun Air Putih berkata, program pembangunan dan kemajuan sahaja tidak cukup jika tidak dilaksanakan usaha pemerintahan yang baik melalui reformasi institusi yang berasaskan kebebasan, keadilan, kebenaran dan demokrasi.

"Kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun secara aman dibenarkan di Pulau Pinang dengan usaha kerajaan negeri menyediakan Dataran Pidato yang pertama di Malaysia dan hampir setiap minggu pelbagai protes diadakan di jalan-jalan raya (yang mengkritik kerajaan negeri)," ujarnya.

Katanya, urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT) telah memastikan kerajaan yang lebih sensitif kepada keperluan rakyat, mudah ditemui rakyat dan mampu menyampaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat. – Roketkini.com

Rafizi: Isu NFC tingkatkan sokongan rakyat kepada Pakatan

Posted: 25 Dec 2011 10:53 PM PST

KUALA LUMPUR 26 Dis: Skandal National Feedlot Corporation (NFC) adalah satu contoh jelas penyelewengan yang dilakukan Umno- Barisan Nasional menggunakan wang rakyat, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

Menurutnya, skandal membabitkan keluarga menteri, Datuk Seri Shahrizat Jalil itu bagaimanapun telah memberi peluang keemasan kepada Pakatan Rakyat meningkatkan sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.
"Kami sebenarnya beruntung, NFC muncul tepat pada masanya, sebelum ini kami sentiasa berusaha membuktikan contoh penyelewengan yang dilakukan Umno-Barisan Nasional.

"Tapi dengan isu ini, kami mempunyai peluang keemasan untuk meningkatkan sokongan terhadap kami. Pada kami, kes Shahrizat ini merupakan contoh terbaik penyelewengan yang dilakukan pemimpin-pemimpin Umno.. rasuah, kronisma, dan politik wang," kata Rafizi.

Rafizi berkata, pemerhatian yang dijalankan setiap kali ceramah Pakatan Rakyat menunjukkan bahawa pengundi, terutama di luar bandar jelas berminat mengetahui skandal itu.

"Di Kemaman (Terengganu) contohnya, kadangkala saya tidak menyebut berkenaan isu NFC ini, penduduk kecewa. Penduduk kampung terutamanya masyarakat luar bandar lebih berminat untuk memperkatakan tentang isu ini,"
"Ia merupakan isu yang berkaitan dengan mereka, isu kapal selam (Scorpene) sedikit membingungkan, tapi dengan NFC-ia melibatkan lembu-berapa banyak modal untuk menternak lembu dan bagaimana keuntungan dibuat dengan menternak lembu.

"Setiap kali kami menyebut jumlah itu, masyarakat menjadi marah," katanya seperti dilapor The Malaysian Insider.

Kempen tolak fitnah II: Setengah juta risalah diedar

Posted: 25 Dec 2011 08:17 PM PST

(Oleh: Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR 26 Dis: KEADILAN mencetak 500,000 risalah untuk diedarkan kepada orang ramai bagi menangkis fitnah jahat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelang keputusan perbicaraan pada 9 Januari depan.

Menurut Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN, Rozan Azen Mat Rasip, risalah berkenaan sudah diedar kepada orang ramai sejak Khamis lalu di lokasi-lokasi strategik.

"Lokasi pengedaran risalah ini kita tumpukan ditempat tumpuan orang ramai seperti di kawasan perhentian bas, KTM Komuter, LRT, Monorel dan mana-mana kawasan kunjungan rakyat.

"Kedai-kedai makan juga antara lokasi yang dipilih untuk mengedarkan risalah ini," katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Penyebaran rislaah itu sebahagian usaha kepada kempen 'Tolak Fitnah II, Lawan Konspirasi' yang dilancarkan AMK bersama Pemuda Pakatan Rakyat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), pada 28 Disember ini.

Dengan tema #bebaskanAnwar901 , ia bakal menggerakkan kempen besar-besaran untuk menuntut pembebasan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada hari keputusan perbicaraan dibacakan, 9 Januari nanti.

Menurut Rozan, risalah penerangan itu akan dicetak dan ditambah dari semasa ke semasa jika tidak mencukupi.

"Pada mesyuarat dua hari lalu, pimpinan AMK negeri bersama sekumpulan NGO turut menyatakan persetujuan bersama menyebarkan risalah ini atas dasar memperjuang prinsip Keadilan terhadap Datuk Seri Anwar," katanya.

Selain itu, katanya, AMK turut mengadakan penerangan ringkas mengenai kandungan risalah itu dalam ceramah kelompok bagi memastikan mesej sampai kepada sasaran.

"Saya sendiri memimpin penyebaran risalah di kawasan Tol dengan waktu edaran difokuskan pada awal pagi dan lewat petang dengan sasaran kepada mereka yang baru hendak pergi dan balik kerja.

"Jika adanya halangan dari Polis dan pihak tertentu ketika edaran risalah ini berlangsung, kami sudah menyediakan strategi lain untuk mengedarkannya," katanya.

Kenyataan Shahrizat dedah rasuah sebati dengan Umno

Posted: 25 Dec 2011 08:16 PM PST

KUALA LUMPUR 26 Dis: Kenyataan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang mempersoalkan 'siapakah pemimpin Umno yang tidak mempunyai masalah' seolah mendedahkan ramai pemimpin Umno terbabit dengan skandal dan salah guna kuasa.

Shahrizat selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang terpalit dengan skandal projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) mengeluarkan kenyataan mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang memulakan siasatan terhadap kes itu baru-baru ini.

Bagi Dewan Pemuda PAS Pusat, kenyataan spontan yang keluar dari mulut Shahrizat yang juga ketua wanita Umno itu seperti menyindir semua pemimpin Umno agar tidak berlagak bersih dari masalah.

"Skandal mereka belum terdedah dan masa yang akan menentukan keadaan diri mereka dalam Umno.

"Bagi DPP Malaysia, tidak ada apa yang memeranjatkan dalam kenyataan Shahrizat kerana rakyat sudah sinonim bahawa Umno dan rasuah serta penyelewengan sudah sebati," kata ketua penerangnnya, Riduan Mohd Nor dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, kes Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang didapati bersalah kerana rasuah boleh menjadi bukti dan kayu pengukur bahawa pemimpin Umno sukar untuk dijadikan contoh teladan buat rakyat Malaysia.

Malah ujarnya, selain Khir, ramai lagi pemimpin Umno yang pernah terkait dengan pelbagai skandal.

"Beberapa tahun lepas, beberapa orang pemimpin kanan Umno pernah dihadapkan ke Lembaga Disiplin Umno sehingga ke SPRM kerana dakwaan rasuah.

"Malah, bekas Naib Presiden Umno sendiri turut terbabit dengan rasuah sehingga terpaksa melepaskan jawatan beliau," katanya lagi.

Tolak BN, selamatkan wang rakyat

Posted: 25 Dec 2011 08:11 PM PST

Hakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Dis: Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan menyeru seluruh rakyat negara ini bersatu menolak Umno BN demi menyelamatkan wang rakyat dan harta negara dari penyelewengan.

Setiausahanya Ustaz Azhar Yahya berkata, rasuah dan penyelewengan harta negara hanya boleh dibendung dengan menjatuhkan Umno BN dalam pilihanraya yang akan datang.

"Rakyat Malaysia perlu bersatu untuk menumbangkan Umno BN dalam pilihanraya yang akan datang demi memastikan duit dan harta rakyat Malaysia selamat.

"Bayangkan sekiranya duit yang berbilion yang tiris dan bocor kerana rasuah itu digunakan untuk kegunaan manfaat rakyat, maka InsyAllah negara Malaysia lebih maju lagi," tegas beliau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Transparency International Malaysia (TI-M) bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) jatuh dari tangga 56 pada tahun lalu kepada 60 tahun ini.

Ianya juga merupakan kejatuhan kali ketiga berturut-turut sejak 2009.

Bagi Azhar, ianya sesuatu yang memalukan lebih-lebih lagi Malaysia sebagai salah sebuah negara yang menganggotai OIC.

Kerajaan BN yang sedia ada ini pula ujarnya tidak mampu lagi menangani gejala yang semakin membarah itu walaupun cuba menggunakan pelbagai slogan menggambarkan penentangan mereka terhadap rasuah.

"Satu-satunya cara untuk memerangi gejala rasuah ialah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan bukannya menggunakan hanya apabila tersempit sahaja," katanya.

Tiada ulasan: