Sabtu, 17 Disember 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Skandal Lembu NFC: Ramai Persoal Mengapa SPRM Dan Najib Tidak bertindak

Posted: 17 Dec 2011 12:30 AM PST

SPRM pejam mata bila lihat skandal NFC

Ramai orang terpinga-pinga melihat telatah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dan kemudiannya mencuci tangan dengan melontarkan kes ini kepada pihak polis.

Namun kini pesuruhjayanya Datuk Abu Kassim Mohamed memberi kita jawapan.

Bercakap kepada para pemberita dari akhbar Sin Chew Daily selepas persidangan antarabangsa 14 Disember lalu, Abu Kassim menerangkan bahawa aduan yang diterima SPRM berhubung penyelewengan dana awam, tidak bermaksud penyalahgunaan kuasa.

Maka dengan itu, kes di bawah Akta Prosedur Jenayah ini hendaklah disiasat oleh polis dan bukannya kes rasuah yang terletak di bawah bidang kuasa SPRM.

Saya beranggapan Abu Kassim merujuk kepada aduan mengenai penggunaan sebanyak RM250 juta pinjaman mudah dari kerajaan untuk membeli kondominium mewah dan lain-lain hartanah peribadi oleh keluarga Ketua Wanita Umno dan juga Menteri Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Tetapi tidakkah Abu Kassim bertindak seperti seorang amatur dalam menangani kes rasuah berprofil tinggi ini seolah-olah seperti orang buta menyentuh seekor gajah?

Seperti seekor gajah, yang mempunyai ciri-ciri dan organ yang bermacam-macam, skandal NFC ini merupakan seekor raksasa yang menelan sejumlah dana awam yang banyak.

Projek terpalit dengan rasuah

Menternak lembu dan menyediakan daging lembu merupakan sebuah projek utama kerajaan yang diberi kepada keluarga menteri yang tidak layak dan tidak kompeten untuk mengendalikannya, di mana pinjaman mudah yang besar jumlahnya dilulus dan disalurkan dengan cara yang mencurigakan.

Penyelewengan ini membolehkan penerimanya menggunakannya untuk tujuan yang bukan sepatutnya, menyebabkan projek ini gagal yang bukan hanya membantutkan skim pengeluaran makanan yang penting tetapi juga melenyapkan usaha untuk mendapatkan kembali dana awam sebanyak itu.

Tidak dapat dinafikan, kegagalan projek ini melibatkan lebih daripada seorang menteri dan lebih daripada seorang pegawai kementerian boleh dikaitkan dalam kesalahan rasuah, bersubahat, pecah amanah dan kelalaian jenayah ini, dalam bentuk pemberian projek dan kemudiannya menyalurkan dana itu.

Dalam perbuatan jenayah yang saling kait mengait ini, pembelian dua buah kondominium itu merupakan satu rantaian, kalau pun tidak merupakan isu paling penting. Persoalan yang lebih besar ialah kenapa projek itu diberi kepada keluarga Shahrizat? Siapa yang membuat keputusan itu?

Persoalan berikutnya ialah siapa yang bertanggungjawab ekoran kegagalan untuk mengawal pengeluaran dana itu dan atas kegagalan mengawal-selia penggunaan dana dengan betul?

Bagi soalan pertama, petualang-petualangnya ialah menteri dan bekas menteri pertanian dan industri asas tani. Mereka ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Noh Omar.

Ini termasuk menteri dan bekas menteri kewangan, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terlibat dalam pemberian projek dan selepas itu mengeluarkan dana tersebut.

Salam perpisahan politik?

Selain daripada petualang-petualang ini yang mengikut protokol, bagaimana dengan mereka yang teribat dengan menggunakan saloran politik ke atas projek ini?

Saya kira para pembaca masih ingat bagaimana Shahrizat terlibat dalam pertarungan sengit dengan ketuanya Datuk Seri Rafidah Aziz bagi merebut jawatan Ketua Wanita Umno dalam pemilihan parti yang lalu dan beliau berjaya menyingkir Rafidah, yang disifatkan sebagai memenuhi kehendak pimpinan tertinggi parti.

Mendasari pertandingan merebut jawatan ketua wanita ini, kita boleh menyoal sama ada wujud kaitan di antara projek bernilai RM250 juta ini dengan misi Shahrizat untuk menyingkir Rafidah. Aspek ini tidak harus diketepikan oleh penyiasat yang menyiasat skandal ini.

Mengenai soalan kedua tentang pengeluaran pinjaman itu yang mengakibatkan dana awam itu disalahgunakan, kedua-dua kementerian pertanian dan kementerian kewangan tidak boleh berlepas tangan kerana mereka saling bekerjasama agar dana awam itu dapat dikeluarkan. Berhubung hal ini, kedua-dua menteri, termasuk para pegawai daripada kedua-dua kementerian itu harus disiasat.

Memandangkan berleluasanya perlakuan rasuah melibatkan para pemimpin politik termasuk di peringkat pentadbiran, bolehkah kita mempercayai apabila SPRM memberitahu bahawa pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa mengenai skandal ini?

Abu Kassim menghina rakyat apabila beliau memberitahu para pemberita Sin Chew bahawa masalahnya ialah rakyat tidak faham mengenai undang-undang dan tidak boleh membezakan di antara putih dan hitam serta mendakwa mereka semata-mata mengikut rentak pembangkang yang menghentam SPRM?

Seterusnya beliau berkata, "masalah kita yang terbesar ialah bagaimana untuk menukar minda (mindset) rakyat dan bagaimana untuk meyakinkan mereka bahawa SPRM ini bebas. Mengikut iklim politik dewasa ini, isu rasuah dipolitikkan dan dakwaan bahawa SPRM tidak bebas digunakan untuk menjatuhkan kerajaan."

SPRM anggap rakyat bodoh

Mengimbas kembali komen pesuruhjaya SPRM itu, kita merasakan Abu Kassim menganggap rakyat semuanya bodoh belaka.

Jika SPRM ini bebas, bolehkah Abu Kassim memberitahu kita kenapa tidak ada siasatan dilakukan apabila menerima bukti-bukti yang begitu banyak tentang kegiatan rasuah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Sarawak bernama 'Movement for Change Sarawak' (MoCS) telah menyerahkan sebuah laporan setebal dua inci, memperincikan perbuatan rasuah Taib tetapi tidak dijawap oleh SPRM sehingga hari ini.

Seorang rakyat Sarawak, Willie Kajan menyerahkan laporannya yang kedua terus ke Putrajaya pada bulan Januari lalu tetapi tidak ada respon. James Wong dan John Brian, juga dari Sarawak menyerahkan laporan-laporan mereka dalam bulan Jun dan Ogos 2010 di Shah Alam dan Putrajaya, juga tidak ada maklum balas.

Ramai lagi, termasuk pemimpin-pemimpin parti politik juga menyerahkan laporan-laporan mereka kepada SPRM dan berakhir dengan nasib yang sama.

Berhubung dengan skandal NFC ini, kenapa Abu Kassim berlakon seperti orang buta, melalui beberapa sidang akhbar dan posting dalam internet dalam tempoh dua bulan lalu walaupun berdepan dengan kontroversi dan bukti-bukti berhubung penyalahgunaan kuasa dan rasuah?

Bagaimana mungkin Abu Kassim tidak dapat melihat perkataan "rasuah" apabila perkataan itu menentang matanya dari pelbagai arah?

Kami faham kenapa Abu Kassim bertindak sedemikian tetapi janganlah sampai menghina rakyat dengan menganggap mereka semuanya bodoh. -FMT

Skandal NFC: Najib tak berani ambil tindakan terhadap pemimpin Umno

PETALING JAYA 15 Dis : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berani mengambil tindakan terhadap pemimpin Umno-Barisan Nasional yang terlibat dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerajaan bertindak terhadap pegawai bawahan yang terlibat rasuah, tetapi membiarkan penyelwengan dana RM250 juta yang dikaitkan dengan syarikat milik keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil

Ia juga katanya, termasuk kegagalan kerajaan mengambil tindakan berhubung kekayaan yang dikumpulkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud secara haram sepertimana yang didakwa NGO antarabangsa baru-baru ini.

"Oleh itu kita perlu sedarkan rakyat kerana sebenarnya dengan wang yang tersebut berapa banyak sekolah, hospital boleh dibina untuk rakyat. Ini adalah amat serius untuk masa depan anak-anak kita," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.

Kata ADUN Seri Setia itu, Datuk Seri Najib Razak hanya melaungkan retorik politik apabila kononnya hendak lebih telus dan membuat transformasi dalam pentadbiran Kerajaan samada dari segi ekonomi dan membanteras rasuah.

Nik Nazmi turut mengulas laporan Transparency International (TI), bahawa Negara berada di kedudukan yang rendah daripada purata global dalam kajian syarikat setempat yang memberi rasuah ketika menjalankan perniagaan di luar negara.

"Kalau kita lihat kejatuhan kita dalam korupsi indeks, yang mana score telah menurun semenjak 2008, sebalik retorik akan adakan transformasi dan sebagainya, kerajaan gagal dalam mengatasi masalah rasuah tegar," katanya.

Justeru katanya rakyat perlu sedar dengan penyelewengan yang dilakukan kerana ia akan memberi kesan kepada generasi masa depan dan institusi keluarga.

"Sebenarnya dengan wang yang tersebut berapa banyak sekolah, hospital boleh dibina untuk rakyat. Ini adalah amat serius untuk masa depan anak kita," katanya. -KD


Untuk Dapatkan Sokongan India, Novel Interlok Ditarikbalik Dari Silibus

Posted: 16 Dec 2011 11:34 PM PST

Presiden MIC: Novel Interlok digugur dari silibus tingkatan lima

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Kerajaan memutuskan untuk menarik balik novel kontroversial Interlok, yang dibantah banyak pertubuhan bukan kerajaan, daripada silibus sastera tingkatan lima.

Dipetik Star Online, Presiden MIC Datuk G. Palanivel (gambar) berkata Kabinet memutuskan perkara itu minggu lalu.

Dalam pada itu Bernama Online memetik Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kerajaan telah memutuskan untuk tidak lagi menggunakan novel Interlok yang menjadi buku teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan lima mulai tahun depan.

Katanya, beliau berharap akan diumumkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh terdekat.

Beliu berharap penarikan balik novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu dapat diterima oleh semua pihak dan sekaligus menamatkan kontroversi yang ditimbulkan sebelum ini.

"Menteri Pelajaran telah bersetuju tidak akan menggunakan buku ini mulai tahun hadapan dan saya minta pengumuman rasmi mengenainya dapat dibuat dalam tempoh terdekat agar tiada lagi pertikaian dibangkitkan oleh mana-mana pihak," katanya di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Novel itu sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang dianggap menghina masyarakat India namun telah ditarik balik dan perkataan berkenaan telah dipinda hasil cadangan sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan. -TMI

Najib umum RM5 juta untuk penulis muda

Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM5 juta yang disalurkan melalui Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bagi penerbitan buku terutamanya karya asli penulis muda.

Perdana menteri berkata peruntukan itu akan disalurkan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun dan yakin karya asli penulis dapat diterbitkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Katanya bagi merealisasikan matlamat itu secepat mungkin, ITBM akan ditingkatkan mandatnya untuk menerbitkan karya asli penulis selain berfungsi sebagai agensi teraju dalam bidang penterjemahan.

"Ini turut melibatkan penjenamaan baru institut itu kepada ITBM (asalnya Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM)," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) di Kuala Lumpur malam tadi.

Turut hadir Pengerusi PENA Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan Pengarah Urusan ITBM Khair Ngadiron.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf Rumah Pena.

Majlis itu turut menyaksikan penganugerahan Tokoh PENA kepada bekas Presiden PENA Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain sebagai menghargai sumbangannya semasa menerajui persatuan itu.

Dalamm ucapannya, Najib juga meminta penulis muda mencorak minda masyarakat tempatan dan antarabangsa terhadap Malaysia melalui sastera berasaskan kepelbagaian 1Malaysia.

"Usia yang muda bukanlah alasan untuk mengecilkan diri atau berasa rendah diri, jadikan peluang yang ada sebagai aset utama untuk melaksanakan tugasan tersebut.

"Anda (penulis muda) mempunyai kudrat yang kuat, masa masih panjang dan pemikiran yang meluas. Hadapilah cabaran di hadapan dengan penuh semangat, visi yang jelas dan kesungguhan tidak terbatas," katanya.

Beliau berkata selepas Merdeka, sasterawan berperanan melakukan transformasi pemikiran masyarakat dengan idea yang menyuburkan pembangunan, perpaduan kaum dan pembebasan daripada penjajahan mental.

Najib berkata peranan sasterawan penting dalam merealisasikan perencanaan kerajaan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan kemajuan negara tidak sahaja diukur daripada segi kebendaan semata-mata.

"Pencapaian dalam bentuk pemikiran, persuratan dan kebudayaan juga menjadi salah satu pengukur penting dalam kemajuan itu sendiri.

"Kita tidak mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang maju daripada segi kebendaan semata-mata tetapi miskin akal budi. Kalau itu terjadi kita tidak ubah seperti pohon yang tiada akar, sekali bertiup pasti menyembah bumi," katanya.

Beliau mengangap sasterawan merupakan "mata dan suara hati" rakyat yang melihat kepincangan dalam masyarakat lalu menyisipkan idea dan pedoman bagi membentuk keperibadian bangsa bagi menghadapi cabaran zaman.

"Sasterawan terdahulu melalui penulisan mereka telah meniup semangat yang meresap ke dalam jiwa masyarakat sehingga membentuk gelombang kebangkitan nasionalisme yang berupaya mengubah lanskap politik negara.

"Memang benar ahli politik dilihat pelaksana perubahan namun nyalaan semangatnya tetap datang daripada buah filiran yang disemai secara halus serta tersirat oleh penulis serta pengarang sastera tanah air," katanya. - Bernama


Ulasan GB

Kerana khuatir kehilangan sokongan kaum India di dalam pilihanraya akan datang, kerajaan telah menarik balik novel kontroversial Interlok daripada silibus sastera tingkatan lima.

Mungkin sebagai imbalan untuk tidak menerima tindakbalas daripada kumpulan sasterawan Melayu, Najib mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi penerbitan buku terutamanya karya asli penulis muda dan RM1 juta untuki rumah PENA.

Begitulah kaedah politiking Najib - tabur wang - kerana baginya rakyat mudah dibeli dengan wang, begitulah juga undi mereka.

RM1,000 billion telah lesap, masih kita mahu ditipu BN lagi?

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[Video] Gadis Paling Kerdil Di Dunia Ditemui Di India

Posted: 16 Dec 2011 09:20 PM PST

Nagpur - Seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun, Jyoti Amge yang setinggi cuma 61.95 sentimeter dinobatkan sebagai wanita paling kerdil di dunia oleh Guinness World Records di sini semalam.

Gambar: SEORANG pengadil Guinness World Records, Rob Molloy (kanan) dan Dr. Manoj Pahukar (kiri) mengukur ketinggian Jyoti Amge di Nagpur semalam.

Beberapa pegawai Guinness mengukur ketinggiannya sebelum dia dyang menghidap penyakit pertumbuhan terbantut, achondroplasia dinobatkan sebagai wanita paling kerdil di dunia.

Dia layak untuk disenaraikan dalam Guinness World Records kerana umurnya mencecah 18 tahun semalam.

"Saya berasa amat gembira untuk mendapatkan rekod ini," katanya yang menangis kegembiraan yang menurut bapanya dia bercita-cita untuk menjadi aktres Bollywood. Dia menerima sijil pengiktirafan Guinness sambil disaksikan oleh bapanya, Kisan, 55, dan ibunya, Ranjana, 50.

Rekod wanita paling kerdil di dunia sebelum ini dipegang oleh rakyat Amerika Syarikat, Bridgette Jordan yang setinggi 69.5 sentimeter. - Agensi



Harga Ikan Melambung Tinggi Di Seluruh Negara

Posted: 16 Dec 2011 06:56 PM PST

Kuala Lumpur – Harga ikan di seluruh negara dijangka melambung tinggi sehingga Februari tahun hadapan setelah mengalami kenaikan mendadak sejak sebulan lalu ekoran musim tengkujuh yang dihadapi ketika ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Mohamed Dolmat berkata, peningkatan harga ikan tersebut tidak dapat dielakkan memandangkan musim hujan membuatkan sebahagian besar para nelayan tidak boleh turun ke laut seperti biasa.

Jelasnya, keadaan itu telah menyebabkan jumlah tangkapan ikan menurun dan menjadi punca ikan dijual pada harga yang tinggi di pasaran.

"Masalah ini akan membelenggu pengguna sehingga bulan Februari tahun hadapan kerana musim tengkujuh yang dihadapi sejak Oktober lalu hanya akan berakhir pada bulan berkenaan.

"Jadi, orang ramai yang bergantung harap kepada ikan disarankan menggantikan ia dengan bahan lain seperti ayam jika tidak sanggup membeli ikan dengan harga yang mahal," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengenai rungutan orang ramai mengenai kenaikan mendadak harga ikan di pasaran ketika ini.

Dalam satu tinjauan di Alor Setar mendapati, harga ikan kembung naik mendadak apabila ia dijual pada harga RM10 sekilogram berbanding hanya RM3 sebelum ini malah ia turut dijual setinggi RM12 di sesetengah kawasan.

Seorang peniaga, Ali Harun, 43, berkata, cuaca yang tidak menentu menyebabkan nelayan tidak dapat ke laut dan terpaksa dia mendapatkan bekalan ikan dari Kuala Kedah namun dengan jumlah yang kecil iaitu hanya 60 kilogram sehari berbanding 500 kilogram sebelum ini. -kosmo

Ikan kembung naik 3 kali ganda

ALOR SETAR - Harga ikan kembung di Pasar Besar Alor Setar melambung daripada RM3 kepada RM10 sekilogram, malah ada beberapa kawasan sehingga RM12 sekilogram, sejak sebulan lepas yang didakwa disebabkan bekalan tidak mencukupi.

Peniaga Ali Harun, 43, berkata cuaca yang tidak menentu menyebabkan nelayan tidak dapat ke laut.

Ali, yang mendapatkan bekalan ikan dari Kuala Kedah, berkata sebelum ini diaboleh mendapat sehingga 500 kilogram sehari tetapi kini hanya memperoleh 60kilogram.

"Harga dari peraih RM8.50 menyebabkan kami terpaksa jual RM10. Keuntunganberkurangan tidak seperti sebelum ini kerana pelanggan enggan membeli banyak," katanya ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar hari ini.

Seorang lagi peniaga Ghazali Abdul Rahman, 72, berkata disebabkan harga ikanmelambung, ada pelanggan tetapnya kejut dan mengeluh kerana ia terlalu mahal walaupun bukan pada hari perayaan.

Katanya ada antara pelanggan yang mengetahui situasi semasa harga ikan tidakmerungut malah hanya membeli pada kuantiti yang sedikit tidak seperti sebelumnyatetapi dia percaya harga ikan itu akan kembali normal setelah bekalan mencukupi.

Tinjauan Bernama di Pasar Besar Alor Setar di sini mendapati rata-rata pelanggan membeli pada kuantiti yang sedikit tidak seperti sebelum ini yangmembeli tiga hingga lima kilogram.

Mohd Khir Hamid, 48, yang sering membeli ikan kembung di Pasar Besar itu,berkata kenaikan harga yang mendadak itu dirasai trutamanya oleh keluarga miskin atau berpendapatan rendah.

Tinjauan di Pasar Pekan Tokai di Pendang pula mendapati rata-rata peniagaterpaksa menjual ikan kembung pada harga RM12 sekilogram disebabkan harga yangdibeli dari peraih terlalu tinggi iaitu RM9.50 sekilogram.

Mohd Khairul Hisham Senaman, 25, berkata hasil jualannya sejak sebulan lalumenurun memandangkan pelanggan mula beralih kepada makanan lain yang lebih murah.-SH

Cubaan Sabotaj Frankfurter Ramly Gagal. Ia Disahkan Halal

Posted: 16 Dec 2011 04:39 PM PST

Ipoh: Orang ramai diminta tidak was-was berhubung status halal burger Ramly selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk frankfurter jenama Ramly yang dijual di pasaran tempatan adalah halal.

Pengesahan Bahagian Hab Halal Jakim itu sekali gus menafikan dakwaan produk frankfurter jenama Ramly mengandungi DNA babi.

Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk produk frankfurter jenama Ramly yang dikeluarkan Bahagian Hub Halal Jakim masih sah sehingga 14 Januari 2012.

"Bahagian Hab Halal Jakim dan Kementerian Kesihatan sudah mengambil beberapa contoh produk dari kilang terbabit untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi pengesahan pada 14 November lalu.

"Hasil uji kaji Jabatan Kimia Malaysia mendapati produk berkenaan tidak mengandungi sebarang DNA babi," kata Jakim dalam kenyataan.

Jakim menegaskan, mereka tidak akan bertolak ansur dalam memastikan kepentingan umat Islam terpelihara terutama membabitkan isu halal dan berlaku pelanggaran undang-undang berkaitan.

Justeru, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan membabitkan isu halal, orang ramai diminta untuk merujuk melalui laman web Bahagian Hab Halal http:// www.halal.gov.my.

Sebarang pertanyaan berkenaan status halal sesuatu produk boleh menghubungi Bahagian Hab Halal, Jakim di talian 03-83150200.

Cubaan sabotaj

IPOH: Kumpulan Syarikat Ramly yang terkenal dengan produk daging burger Ramly menafikan sekeras-kerasnya dakwaan hot dog keluaran syarikat itu mengandungi DNA babi berikutan kenyataan Jabatan Kesihatan Kedah baru-baru ini mengenai keputusan persampelan produk franfurter lembu dengan jenama Ramly dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Yan mengesahkan ia mengandungi DNA babi.

Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ramly, Datuk Ramly Mokni (gambar) berkata, ia adalah cubaan pihak tertentu mensabotaj syarikatnya.

Menurutnya, terdapat penggunaan pembungkusan bukan milik Ramly Food Processing Sdn Bhd dengan nombor batch yang tidak tepat dan pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu bagi mengenal pasti pihak yang melakukan sabotaj terhadap produk syarikatnya.

"Saya, isteri dan keluarga adalah pemilik 100 peratus kumpulan syarikat Ramly dan tanda niaga RAMLY. Sebagai Muslim, kami amat menitik berat soal hukum halal haram.

"Perniagaan kami sudah bertapak lebih 30 tahun dan semua kakitangan beragama Islam. Kami tidak akan sesekali melakukan perkara ditegah agama," katanya. Beliau menegaskan, proses pembuatan produk syarikat diselia rapi Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan lain yang berkaitan bagi mengekalkan kredibiliti sebagai pembekal produk halal.

Katanya, syarikat juga mempunyai jabatan halal diketuai Mohamad Rafizie Kastor (berkelulusan dalam bidang syariah Universiti Sains Islam Malaysia) dan turut menubuhkan jawatan kuasa halal dalaman dianggotai semua jabatan terbabit dalam pemprosesan untuk mengeluarkan produk mengikut standard manual Jakim.

Sehubungan itu, Ramly memberi amaran kepada pihak yang cuba memfitnah produk Syarikat Ramly supaya memberhentikan perbuatan ini.

Jabatan Kesihatan Kedah ketika diminta membuat penjelasan perkara itu mengesahkan ada mengambil sampel terhadap produk franfurter lembu jenama Ramly untuk dianalisis.

Pengarahnya, Dr Ismail Abu Taat berkata, syarikat pengeluar yang didapati melanggar peraturan akan diminta menghentikan penjualan buat sementara.



Lebih RM1,000 Billion Wang Negara Lesap Dibawah BN. Mahu Pilih Mereka Lagi?

Posted: 16 Dec 2011 02:55 PM PST

RM1,077 bilion wang negara dibawa lari, lapor GFI

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Rakyat Malaysia kehilangan "satu dekad yang telah hancur dek korupsi", di mana wang haram sebanyak RM1,077 bilion telah dibawa keluar dari negara kita dalam tempoh 10 tahun dari 2000-9.

Mengikut laporan terkini badan pemerhati kewangan Washington Global Financial Integrity (GFI), wang haram sebanyak RM150 bilion (USD47 bilion) telah dikeluarkan dari Malaysia dalam tahun 2009 sahaja.

RM150 bilion ini adalah tambahan kepada kerugian besar RM927 bilion (USD291 bilion) dalam tempoh 9 tahun dari 2000 hingga 2008. Laporan GFI ini telah mengejutkan kita semua, terutamanya apabila Malaysia kini berada di kedudukan 5 negara yang tertinggi untuk pelarian modal haram yang terbesar.

Demikian kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Menurut Lim, laporan terkini GFI yang bertajuk "Aliran Kewangan daripada Negara Membangun Dalam Dekad Berakhir 2009" telah disediakan oleh ahli ekonomi Sarah Freitas dan Dev Kar, yang pernah menjadi ahli ekonomi kanan di Tabung Kewangan Antarabangsa.

Mengikut penulisnya, kata Lim Guan Eng, unjuran tersebut adalah berdasarkan kira-kira bayaran, perdagangan dua hala dan data hutang luar negeri yang dilaporkan negara-negara ahli IMF dan Bank Dunia.

Kata Lim, mereka menekankan bahawa aliran haram ini merupakan "ketirisan modal yang tidak direkod melalui... pemindahan wang secara haram yang terhasil daripada rasuah, pencurian, sogokan dan pengelakan cukai.

Dalam erti kata lain, ia merujuk kepada wang rasuah yang diperolehi secara haram dan tambahan pula tidak diedar semula ke dalam ekonomi negara, katanya.

Bagi Ketua Menteri Pulau Pinang itu, ketirisan lebih RM1,000 bilion yang amat besar dan tidak bertanggungjawab ini adalah akibat daripada rasuah dan sukar untuk ditebus semula.

"Hakikat bahawa hasil rasuah sebanyak RM1,000 bilion telah dialirkan keluar daripada negara kita dalam tempoh 10 tahun yang lalu bermakna bahawa rakyat Malaysia telah kehilangan satu dekad yang telah hancur dek korupsi.

"Sudah tiba masa untuk menghapuskan lanun-lanun yang telah merompak negara kita," tegas Lim.

Antaranya, projek-projek seperti Port Klang Free Trade Zone (PKFZ), skandal saham Bumi RM52 bilion, skandal "lembu dan kondo" RM250 juta NFC, "komisyen" setengah bilion untuk pembelian dua kapal selam kelas Scorpene, dan banyak lagi projek kaitan kerajaan yang penuh dengan kos "overrun" atau kos berlebihan tanpa apa-apa kebertanggungjawaban.

Ia termasuk juga pendedahan Lapora Ketua Audit Negara terkini tentang RM3.7 bilion yang terlebih dibelanja oleh jabatan-jabatan kerajaan, yang telah menjadikan Malaysia sebagai raja wang haram, tambahnya.

"Tidak hairanlah kenapa prestasi negara kita telah merosot mengikut laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 badan pemerhati rasuah Transparency International (TI) yang menunjukkan bahawa Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-37 pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri.

"CPI Malaysia pula telah menurun kepada 4.3 pada tahun ini, dan Timbalan Presiden TI Malaysia Mohammad Ali juga berkata bahawa CPI Malaysia terus merosot kerana "unsur-unsur kerajaan" yang memudahkan "rasuah besar" masih lagi tersebar luas," katanya.

Pendedahan terkini oleh GFI tentang wang haram sebanyak RM1,077 bilion yang telah dialirkan keluar daripada negara kita sedikit sebanyak menunjukkan betapa banyak kerugian yang dialami rakyat Malaysia.

"DAP menyesal kerana Kerajaan BN mengambil ringan kajian bereputasi ini yang telah dijalankan oleh sebuah badan yang bebas dan berprestij.

"Rakyat Malaysia harus bersatu untuk menyelamatkan negara kita daripada BN, membersihkan rasuah yang berleluasa dan mendapatkan balik RM1,077 bilion yang telah kehilangan ini," tegas beliau.

Satu dekad yang telah hancur dek korupsi

Rakyat Malaysia kehilangan "satu dekad yang telah hancur dek korupsi", di mana wang haram sebanyak RM1,077 bilion telah dibawa keluar dari negara kita dalam tempoh 10 tahun dari tahun 2000 hingga 2009. Mengikut laporan terkini badan pemerhati kewangan Washington Global Financial Integrity (GFI), wang haram sebanyak RM150 bilion (USD47 bilion) telah dikeluarkan dari Malaysia dalam tahun 2009 sahaja.

RM150 bilion ini adalah tambahan kepada kerugian besar RM927 bilion (USD291 bilion) dalam tempoh sembilan tahun dari 2000 hingga 2008. Laporan GFI ini telah mengejutkan kita semua, terutamanya apabila Malaysia kini berada di kedudukan lima negara yang tertinggi untuk pelarian modal haram yang terbesar.

Laporan terkini GFI yang bertajuk "Aliran Kewangan daripada Negara Membangun Dalam Dekad Berakhir 2009" telah disediakan oleh ahli ekonomi Sarah Freitas dan Dev Kar, yang pernah menjadi ahli ekonomi kanan di Tabung Kewangan Antarabangsa. Mengikut penulisnya, unjuran tersebut adalah berdasarkan kira-kira bayaran, perdagangan dua hala dan data hutang luar negeri yang dilaporkan negara-negara ahli IMF dan Bank Dunia.

Mereka menekankan bahawa aliran haram ini merupakan "ketirisan modal yang tidak direkod melalui... pemindahan wang secara haram yang terhasil daripada rasuah, pencurian, sogokan dan pengelakan cukai." Dalam erti kata lain, ia merujuk kepada wang rasuah yang diperolehi secara haram dan tambahan pula tidak diedar semula ke dalam ekonomi negara.

Ketirisan lebih RM1,000 bilion yang amat besar dan tidak bertanggungjawab ini adalah akibat daripada rasuah dan sukar untuk ditebus semula. Hakikat bahawa hasil rasuah sebanyak RM1,000 bilion telah dialirkan keluar daripada negara kita dalam tempoh 10 tahun yang lalu bermakna bahawa rakyat Malaysia telah kehilangan satu dekad yang telah hancur dek korupsi.

Sudah tiba masa untuk menghapuskan lanun-lanun yang telah merompak negara kita. Projek-projek seperti Port Klang Free Trade Zone (PKFZ), skandal saham Bumi RM52 bilion, skandal "lembu dan kondo" RM250 juta NFC, "komisyen" setengah bilion untuk pembelian dua kapal selam kelas Scorpene, dan banyak lagi projek kaitan kerajaan yang penuh dengan kos "overrun" atau kos berlebihan tanpa apa-apa kebertanggungjawaban, termasuk juga pendedahan Lapora Ketua Audit Negara terkini tentang RM3.7 bilion yang terlebih dibelanja oleh jabatan-jabatan kerajaan, yang telah menjadikan Malaysia sebagai raja wang haram.

Tidak hairanlah kenapa prestasi negara kita telah merosot mengikut laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 badan pemerhati rasuah Transparency International (TI) yang menunjukkan bahawa Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-37 pada tahun 2003 apabila Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri. CPI Malaysia pula telah menurun kepada 4.3 pada tahun ini, dan Timbalan Presiden TI Malaysia Mohammad Ali juga berkata bahawa CPI Malaysia terus merosot kerana "unsur-unsur kerajaan" yang memudahkan "rasuah besar" masih lagi tersebar luas.

Pendedahan terkini oleh GFI tentang wang haram sebanyak RM1,077 bilion yang telah dialirkan keluar daripada negara kita sedikit sebanyak menunjukkan betapa banyak kerugian yang dialami rakyat Malaysia. DAP menyesal kerana Kerajaan BN mengambil ringan kajian bereputasi ini yang telah dijalankan oleh sebuah badan yang bebas dan berprestij. Rakyat Malaysia harus bersatu untuk menyelamatkan negara kita daripada BN, membersihkan rasuah yang berleluasa dan mendapatkan balik RM1,077 bilion yang telah kehilangan ini.

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP, merangkap ahli parlimen Bagan.


Ulasan GB

Ringkas saja, hanya yang hilang akal dan tidak berakal akan terus pangkah BN.

Tak Datang Mesyuarat, Lagi Mahu Tunjuk Gedebe (Samseng)

Posted: 16 Dec 2011 07:40 AM PST

Nasharudin tidak pernah hadir mesyuarat - Mustafa

KUALA LUMPUR, 16 Sept: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Ustaz Nasharudin Mat Isa tidak pernah datang ke mesyuarat PAS sejak muktamar yang lalu walaupun dilantik sebagai AJK PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS.

Datuk Dr Hassan Ali pula hanya sesekali sahaja datang ke mesyuarat PAS Pusat tetapi tidak pernah datang ke mesyuarat PAS negeri selepas dilantik semula sebagai ahli perhubungan.

Mustafa berkata demikian dalam wawancara khas dengan wartawan Harakah dan Harakahdaily semalam.

Ekoran laporan mengenainya oleh Harakahdaily semalam, pelbagai pihak menghubungi Harakahdaily dan Mustafa untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Dalam wawancara itu, Mustafa melahirkan rasa kesal dengan kedua-dua pemimpin itu dan menyifatkan mereka sejak akhir-akhirnya terperangkap dalam agenda Umno.

"Ingin saya dedahkan, dalam rekod di Pejabat Agung PAS Pusat dan Pejabat Perhubungan PAS Selangor, Nasharudin setelah tidak terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS, beliau telah dilantik sebagai AJK PAS Pusat yang dilantik, tetapi sepanjang masa selepas dilantik hingga kini, tidak ada sekalipun beliau menghadiri mesyuarat PAS Pusat.

"Sementara Hassan Ali dari sudut di pusat kadang-kadang hadir kadang-kadang tidak, tetapi di peringkat Selangor, sekali pun beliau tidak hadir (mesyuarat).

"Walaupun telah dinasihati supaya hadir dan saya sendiri menghubungi Nasharudin Mat Isa supaya datang mesyuarat walaupun sanggup awalnya (untuk hadir), tetapi akhirnya tidak hadir," beritahu Mustafa dalam wawancara khas itu.

Ekoran beberapa tindakan dan kenyataan kedua-duanya sejak akhir-akhir ini Mustafa membuat kesimpulan mereka terperangkap dalam agenda musuh.

"Jadi sebab itu saya buat kesimpulan berdasarkan maklumat yang saya terima dari pelbagai puhak samada sedar atau tidak kedua-dua mereka ini terperangkap dalam agenda musuh politik PAS, dan sebab itu ini sangat tidak wajar dan tidak baik bagi PAS," katanya. -HD

Isu calon: PAS pelik sekarang, bidas Nasharudin Mat Isa

KUALA LUMPUR, 15 Dis — Bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa membidas golongan tertentu dalam PAS, yang menurutnya "pelik" dan mendahului presiden dalam menentukan calon pilihan raya umum ke-13.

Nasharudin yang turut dinamakan sebagai antara calon yang akan digugurkan berkata, beliau hairan dengan perkembangan terkini dalam PAS.

Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali juga disebut-sebut akan digugurkan tetapi dinafikan oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang Ahad lalu atas alasan pemilihan calon belum dimuktamadkan.

"Saya ada hubungi Dr Hasan dan menyatakan sokongan kepadanya. Saya pelik bila tengok ada pihak mendakwa beliau dan saya akan digugurkan sebagai calon pilihan raya umum.

"Mengikut amalan PAS, biasanya presiden yang umumkan siapa bertanding di mana. Tapi tiba-tiba ada pula individu peringkat bawah yang membuat kenyataan," katanya dipetik Berita Harian.

Ia dilihat kenyataan media terbuka mengenai PAS sejak tewas mempertahankan kerusinya Jun lalu.

Nasharudin (gambar) turut mempersoalkan kenyataan pihak berkenaan bahawa pemilihan calon PAS berdasarkan pencalonan daripada kawasan sedangkan parti itu mempunyai beberapa Ahli Parlimen yang diimport dari luar kawasan.

Sebagai contoh katanya, PAS membenarkan Datuk Ibrahim Ali bertanding atas tiket parti itu di kerusi Parlimen Pasir Mas pada 2008 sebelum menjadi wakil rakyat Bebas.

Beliau juga merupakan calon luar tanding di Kelantan.

"Saya tak fikir banyak cawangan PAS di Pasir Mas mencalonkan beliau tetapi apabila pucuk pimpinan memberi lampu hijau, jentera bekerja untuk memastikan kemenangan parti.

"Sama juga apabila saya mendapat arahan presiden untuk bertanding di Yan pada 1999, Besut pada 2004 dan Bachok pada 2008," katanya lagi.

Tambah beliau, PAS mempunyai proses saringan menyeluruh dalam memilih dan mengesahkan calon.

"Senarainya perlu melalui Biro Politik, Jawatankuasa Kerja Pusat dan Majlis Syura sebelum kata putus presiden," katanya lagi.

Nasharudin juga menegaskan beliau berpegang kepada pendirian untuk menyerahkan soal bertanding atau digugurkan kepada pucuk pimpinan parti.

Katanya, masalah dalam PAS sekarang terlalu ramai orang yang hendak bercakap.

"Senario beberapa hari kebelakangan ini mewujudkan persepsi baru terhadap PAS.

"Dulu banyak pihak, terutama rakan media kata cukup susah nak dapatkan maklumat mengenai PAS sebab yang bercakap biasanya cuma presiden atau setiausaha agung," katanya lagi. -TMI


Hasan Ali: 'Pemimpin PAS harus berlapang dada dan berjiwa besar'

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Datuk Dr Hasan Ali sambil menafikan penglibatan Umno berhubung segala isu melibatkan diri beliau yang kini menjadi polemik di kalangan pemimpin utama PAS, mahu parti itu "berlapang dada dan berjiwa besar."

Sehubungan itu, bekas pesuruhjaya PAS Selangor ini menasihatkan pemimpin-pemimpin partinya berhenti membuat tohmahan sedemikian dan jangan berfikiran tertutup.

"Janganlah berfikiran tertutup dan simplistik sehingga segala-galanya dijuruskan kepada agenda Umno tanpa memberikan bukti," katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Hasan mengeluarkan reaksi itu ekoran kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam yang menyifatkan Hasan dan bekas timbalan presiden parti itu Nasharudin Mat Isa sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan parti Islam itu.

Juga semalam, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata Hasan boleh keluar PAS dan menyertai Umno jika beliau mahu.

Mustafa berkata, Hasan yang merupakan bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan Nasharudin bertindak tidak wajar sebagai pemimpin parti.

"Saya buat kesimpulan, mereka berdua terheret dengan agenda (Umno) yang boleh menjejaskan parti. Sama ada mereka sedar atau tidak sedar, mereka sebenarnya terperangkap dalam agenda musuh politik PAS.

"Ini sangat tidak wajar dan tidak baik bagi PAS walaupun tidak memberikan kesan besar bagi parti," kata beliau.

Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor pada Isnin lalu juga secara terbuka mengumumkan kesediaan menerima jemputan daripada perdana menteri untuk membincangkan usaha menyatupadukan PAS dan Umno.

Katanya, beliau akan berbuat demikian dengan menggunakan Islam sebagai teras.

Nasharudin dalam kenyataan terbaru kepada Berita Harian berhubung isu calon pilihan raya mendakwa PAS semakin pelik sejak kebelakangan ini.

Hasan juga berkata kenyataan dan pendirian pemimpin-pemimpin PAS bukan satu masalah kepadanya, sebaliknya menjadikan beliau lebih kental untuk terus berjuang atas nama Islam dan Melayu.

Hasan juga berkata, pemimpin-pemimpin PAS harus berlapang dada dan berjiwa besar menghormati pandangan serta pendapat sesama pemimpin demi kelangsungan perjuangan parti.

"Saya tetap setia dan akan terus setia kepada dasar perjuangan parti sebagai harakah Islamiah dan bukan parti politik semata-mata," katanya lagi. -TMI


Ulasan GB

Sekarang setelah pendedahan dibuat oleh Setiausaha Agung terhadap dua komrad UG di dalam PAS, Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa maka kita ingin bertanya:

Pertama kepada Nasharuddin Mat Isa: Siapa yang pelik sekarang? PASkah atau Nasharuddin sendiri? Kalah pertarungan Timbalan Presiden di tangan mat Sabu, terus memboikot dan tidak hadirkan diri di dalam mesyuarat sekalipun telah diberikan penghormatan dilantik sebagai AJK PAS Pusat.

Kedua kepada Hassan Ali: Siapa yang perlu berlapang dada dan berjiwa besar kini? PASkah atau hassan Ali yang tidak dilantik sebagai Pesuruhjaya oleh Presiden tetapi telah dipilih untuk menduduki kerusi AJK PAS Pusat, mengambil sikap kadang-kadang hadir kadang-kadang tidak, tetapi di peringkat Selangor, sekali pun beliau tidak hadir.

Dari sudut tanzim, kedua-dua tidak ada akhlak jamaah, malah dari sudut organisasi moden sekalipun kedua-duanya sudah wajar dipecat dan dihukum.

Adalah merupakan satu "dosa" kerana tidak melaksanakan "amanah" yang diberikan apatah lagi jika amanah itu cuba dikhianati.


Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).


Yang anehnya, kamu berdua bukan calang orang, ada ilmu yang tinggi di dalam agama. Tetapi malangnya bersikap sedemikian rupa, sedangkan si penampal poster untuk kamu sewaktu pilihanraya dulu tak pernah dapat habuan apa-apa, tetapi di dalam perjuangan mereka lebih dan masih tetap setia.

Dan terlebih aneh, kamu-kamu berdua telah jelas melakukan kesalahan tetapi masih berani dan masih mahu tunjuk lengan untuk pertahankan diri. GB ingin peringatkan, ini bukan rostrum tempat di mana Shahrizat tunjuk lengan pertahankan kes lembunya!

PAS sebagai "hizbullah" tidak perlukan pemimpin sebegitu.

Itu, UMNO sudah buka pintunya untuk kamu berdua - Mahfuz berkata kita tak halang jika kamu mahu ke sana.

Umno buka 'pintu' untuk Hasan Ali, Nasha

PETALING JAYA: Umno tiada halangan menerima exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa menyertai parti itu, malah mengalu-alukan penyertaan mereka.

Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus berkata, keputusan untuk menyertai parti itu disifatkan tepat kerana PAS kini sudah tidak lagi memperjuangkan Islam yang sebenar.

Abdul Shukor menegaskan, baik Hasan mahupun Nasharudin kedua-dua pemimpin PAS itu dianggap bijak untuk membuat keputusan dan masih belum terlambat untuk berbuat demikian.

"Hasan Ali adalah seorang yang bijak untuk melihat sendiri siapa yang memperjuangkan Islam. Umno memimpin parti berbilang kaum dan meningkatkan martabat Islam jauh dari parti-parti lain.

"Hanya orang buta tidak nampak perjuangan Umno dan Islam. Jika boleh Hasan Ali dan Nasharudin menilai perkara ini.

`Hanya topeng'

"Malah pilihan menyertai Umno adalah tepat kerana Umno yang memperjuangkan Islam. PAS hari ini bukan perjuangkan Islam tetapi hanya mahu kekal berkuasa dengan bersekongkol dengan DAP. Perjuangan Islam oleh PAS hanya topeng," katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Katanya jika kedua-dua pemimpin tersebut berminat menyertai Umno, prosedur biasa perlu dilalui dengan mengisi borang yang akan diproses oleh Majlis Tertinggi parti itu.

"Umno terbuka kepada orang Melayu tidak kira nama atau rakyat biasa.Tiada halangan untuk sesiapa sahaja. Kami harap baik Hasan Ali mahupun Nasharudin boleh isi borang tersebut.

Abdul Syukor membidas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam, sambil menegaskan Umno itu telah membawa kesejahteraan dan berada landasan benar.

Mustafa dilaporkan berkata dua pemimpin parti itu sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan PAS.

Track record

"Jerat Umno bawa kesejahteraan dan kita berada dilandasan benar. Ini terbukti dengan 'track record' kami untuk memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu.

"PAS sanggup gugurkan agenda dari negara Islam kepada negara kebajikan," kata Abdul Syukor.

Isu itu tercetus apabila Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungib dilaporkan berkata, Hasan tidak menerima pencalonan yang mencukupi daripada cawangan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Pusat Tuan Ibrahim Tuan Man menafikannya dan berkata, perkara itu belum muktamad.

Hasan turut membuat pendirian bahawa akan tetap kekal bersama parti, malah PAS Selangor juga yakin beliau akan kekal menjadi ahli. -FMT


Kempen ABU Tumbangkan Umno Bermula

Posted: 16 Dec 2011 05:16 AM PST

Petaling Jaya: Kempen Asalkan Bukan Umno (ABU) untuk menumbangkan Umno/BN dimulakan semalam di markas PAS di Taman Melewar dekat Kuala Lumpur.

Kempen ini dipelopori oleh parti politik pembangkang dan NGO.

Berbeza dengan kempen lain, ABU turut mengetengahkan suri rumah, pekerja dan golongan pelajar.

Menurut Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia Al Jafree Md Yusop, sesi ceramah semalam menampilkan Badrul Hisham Shaharin dari Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan PKR, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S Arutchelvan dan aktivis NGO Haris Ibrahim.

1, 000 orang hadir

"Mereka berceramah berkenaan banyak isu tetapi ia adalah berpangkalkan empat topik utama iaitu peningkatan harga barang, politik perkauman, Lynas dan undang-undang yang zalim seperti ISA, Ordinan Darurat dan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011," kata Jafree.

Hampir 1, 000 menghadiri sesi ceramah ini.

Menurut Jafree, golongan suri rumah yang berceramah disitu menyatakan bahawa para penduduk di kawasan luar bandar turut menghadapi kesukaran ekoran kenaikan harga barang.

Beliau menambah bahawa kempen ABU akan diteruskan siri jelajah di setiap negeri tidak lama lagi.

Asalkan Bukan Umno bergema lagi

Gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) yang menjadi sebutan menjelang pilihan raya 2008 kembali meraih perhatian dalam acara sulungnya di tapak markas tarbiah PAS, Taman Melewar malam tadi.

Sebelum ini, ABU hanya dikenali melalui contengan grafiti di dinding dan tembok sekitar Kuala Lumpur dan juga cakap-cakap di kedai kopi.

Ceramah pertama yang dijalankan malam tadi bagaimanapun mula menampakkan bentuk "Gerakan Rakyat Membebaskan Malaysia Dari Cengkaman Umno/BN" ini.

Program ceramah rakyat itu membariskan wakil daripada golongan masyarakat yang rata-ratanya menyuarakan kekecewaan terhadap Umno dan BN serta menyeru supaya parti berkenaan tidak lagi dipilih dalam pilihan raya akan datang.

Bekas pemimpin muda PKR, Badrul Hisham Shaharin yang bertindak sebagai pengerusi ceramah berkata, ABU bukanlah satu pergerakan politik tetapi satu "semangat dan iltizam rakyat untuk menghumbankan Umno."

"Ia bukan milik sesiapa," katanya lagi yang menambah, gerakan itu juga tidak mempunyai pemimpin tapi bergerak atas semangat sama untuk mengundi selain Umno dan BN.

Antara pemimpin politik yang ditampilkan dalam ceramah berkenaan ialah naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, presiden Gerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM), Haris Ibrahim, setiausaha agung PSM, S Arutchelvan dan juga wakil SAPP, Benny Loh.

Mahfuz dalam ucapannya di ceramah berkenaan berkata, kempen ABU itu membawa semangat sama yang menghumbankan parti Liberal Democratic Party di Jepun pada pilihan raya di negara berkenaan dua tahun lalu.

ABU seperti di Jepun

Katanya, LDP tidak ubah seperti Umno yang membentuk kerajaan secara berterusan di negara berkenaan selama 54 tahun.

Anehnya, ramai yang memilih untuk tidak menyokong LDP pada pilihan raya 1999 berbuat demikian tanpa mengetahui dasar dan juga tawaran oleh parti alternatif – Democratic Party yang baru dibentuk setahun sebelum itu.

"Bila ditanya (sebab undi Democratic Party), pengundi kata 'oh asalkan bukan LDP," kata Mahfuz lagi.

Beliau turut menyeru supaya para hadirin berkenaan tidak termakan dengan kebimbangan yang ditimbulkan Umno bahawa Malaysia akan hilang kemajuan sekiranya kerajaan berubah.

Katanya, ekonomi Jepun yang jauh lebih maju daripada Malaysia tidak terjejas walau kuasa politik itu berubah kepada parti baru.

"Takkanlah mereka tidak terfikir bahawa mereka akan hilang kemajuan jika buat perubahan," soalnya lagi.

Bagaimanapun, fokus utama program itu ialah luahan perasaan daripada rakyat biasa yang diangkat ke pentas ceramah berkenaan, kata Badrul Hisham.

Antaranya ialah seorang pekerja kilang, Zuraidi Abdullah yang membangkitkan mengenai masalah yang dialami oleh pekerja industri yang tidak dilindungi gaji minimum dan juga manipulasi oleh majikan dalam kontrak kerja.

"Gaji RM600 memang tak cukup untuk tampung kos sara hidup hingga pekerja terpaksa kerja lebih masa. Mereka akan berada lebih 12 jam di tempat kerja," katanya pemuda dari Melaka itu lagi.

'Akta tak bermaruah'

Isu berkenaan turut diulas oleh seorang aktivis pekerja, Jaafar Malik yang mempertikaikan langkah kerajaan untuk membiarkan majikan menetapkan gaji pekerja mengikut harga pasaran.

"Harga pasaran itu apa? Adakah kita ini sama dengan kobis? Sama dengan cili? Sama dengan lembu?," katanya yang disambut gelak ketawa daripada lebih 700 orang yang hadir.

Setidak-tidaknya kerajaan perlu merangka dasar gaji minimum sekiranya tidak mampu untuk membuat akta khusus, kata Jaafar (foto kanan).

"Tapi ini dasar pun tak boleh diwujudkan," tambahnya yang memuji langkah Selangor berhubung penetapan takah RM1,500 untuk gaji minimum kakitangan kerajaan negeri itu.

Anggota exco Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia itu juga menyamakan langkah kerajaan untuk memperkenalkan sistem kontraktor tenaga kerja melalui pindaan Akta Kerja 1955 dengan sistem dalam industri seks.

"Strukturnya mudah. Ada bapa ayam dan ada anak ayam, itulah dia kontraktor pekerja.

"Anak ayam yang kerja dan bapa ayam dapat hasil, jadi memanglah akta ini tak bermaruah," katanya lagi yang mahu pekerja mengadakan demonstrasi besar pada Februari depan untuk membantah pindaan berkenaan.

'Hancurkan Umno'

Turut mencuri perhatian ialah seorang kontraktor binaan, Yusof Tapa, yang mendakwa telah menghadapi masalah untuk mendapatkan kontrak apabila tidak lagi bersama Umno.

"Orang Umno ini tak boleh tengok orang senang," katanya yang mendakwa telah disenarai hitam daripada menerima projek sejak tiga tahun lalu.

Namun, beliau tetap berjaya mendapatkan dua projek melalui lesen kontraktor rakan-rakannya dan akan menyelia projek di jalan-jalan berkenan.

Perkara itulah yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu yang menimbulkan pertanyaan: "Apa pasal Yusof Tapa duduk tepi jalan, dia dapat kerja ke?"

Sedangkan, beliau mendapat projek berkenaan melalui saluran yang betul, kata bekas pemimpin di satu bahagian Umno Negeri Sembilan itu.

Perkara itu menunjukkan bahawa pemimpin berkenaan Umno, yang juga menjawat jawatan dalam perbadanan negeri, bukanlah berjuang untuk kepentingan Melayu tetapi untuk kepentingan kroni mereka sendiri, kata Yusof.

"Jadi kalau ada yang masih dengan Umno kita tinggalkanlah. Kita sertai Pakatan Rakyat, kita kempen untuk hancurkan Umno," katanya lagi. -mk


Jentera Bomba Redah Rumah, 4 Anggota Cedera

Posted: 16 Dec 2011 03:30 AM PST

Kepala Batas: Empat anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Muda cedera dalam satu kemalangan apabila jentera bomba yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh dua buah rumah di Kampung Pasir Gebu, Penaga di sini, malam tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tamat, berkata kejadian itu berlaku pada jam 9.25 malam ketika jentera berkenaan dalam perjalanan ke satu kejadian kebakaran di Pajak Song di sini.

Katanya, mereka yang cedera termasuk seorang parah ialah Shawal Dahaman, Nordin Hassan, Shamsuddin Mohd Nahu dan Ridzuan Hamid, kesemuanya dalam lingkungan usia antara 25 dan 40 tahun.

"Kejadian itu berlaku ketika jentera bomba berkenaan melalui satu selekoh di persimpangan jalan dan tiba-tiba sebuah motosikal datang dari arah bertentangan.

"Pemandu jentera cuba mengelak bagaimanapun hilang kawalan dan terbabas sehingga merempuh dinding bahagian dapur dua buah rumah di situ," kata Azmi ketika ditemui di tempat kejadian selepas kerja-kerja menyelamatkan mangsa selesai.

"Bomba terpaksa mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan seorang daripada mangsa yang tersepit kerana jentera bomba itu tersepit antara pokok dan rumah," katanya.

Beliau bersyukur kedua-dua penghuni rumah yang terbabit dalam kemalangan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, seorang pemilik rumah yang terbabit dalam kemalangan itu, Noriah Wahab, 61, berkata ketika kejadian dia sedang solat dalam biliknya manakala anak lelakinya, Nurizwan Abdul Razak, 31, berada di ruang tamu.

"Tiba-tiba dengar bunyi kuat, mak cik ingat bunyi pokok tumbang, rupa-rupanya dinding rumah mak cik yang kena rempuh, nasib baik tiada sesiapa yang cedera... anak-anak mak cik yang lain tiada di rumah," katanya.

Noriah berkata, dapur rumahnya mengalami kerosakan teruk akibat rempuhan kuat. - BERNAMA



Tiada ulasan: