Jumaat, 16 Disember 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pencuri Kereta Cedera Parah Dibelasah Penduduk Kampung

Posted: 16 Dec 2011 01:07 AM PST

Besut – Seorang lelaki dipercayai terbabit kes curi kereta parah dibelasah penduduk kampung apabila keretanya tidak dapat dihidupkan sebaik rakannya melarikan sebuah kereta curi di Kampung Limbongan dekat Kampung Raja, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, suspek berusia 37 tahun cedera parah di kepala akibat dipukul penduduk yang berang dengan tindakan rakan suspek mencuri sebuah Proton Wira Aeroback hijau di depan sebuah rumah di perumahan belakang Kompleks Sekolah Kebangsaan (SK) Nur Zahirah di sini.

Sebelum kejadian, pemilik kereta yang berada dalam rumah terdengar bunyi sesuatu yang mencurigakan di depan rumahnya.

Pemilik kereta berusia 32 tahun itu keluar memeriksa bunyi tersebut dan mendapati keretanya yang diparkir di depan rumah telah dihidupkan seorang wanita yang duduk di kerusi pemandu.

Belum sempat mangsa menghalang, wanita itu terus melarikan keretanya dan pada masa sama, mangsa terpandang dua lelaki menolak Proton Iswara berwarna putih berhampiran rumahnya.

Mangsa menghampiri lelaki tersebut lalu menegur menyebabkan mereka bertempiaran melarikan diri.

Mangsa meminta bantuan penduduk sekitar dan akhirnya salah seorang daripada suspek berjaya ditangkap orang ramai yang kemudian bertindak membelasah lelaki itu sebelum diserahkan kepada anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kampung Raja.

Sinar Harian difahamkan suspek lelaki dan wanita yang melarikan diri itu dikatakan pasangan suami isteri.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kata beliau, lelaki yang berjaya ditangkap itu beralamat dari Kampung Kulim, Pasir Puteh, Kelantan dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut akibat kecederaan di kepala dan ditahan di wad berkenaan sebelum dibenarkan keluar semalam.

Menurutnya, dua lagi rakan suspek yang juga dikatakan rakan sekampung berjaya meloloskan diri tetapi usaha mengesan mereka giat dilakukan.

"Proton Wira Aeroback yang dicuri dijumpai semula ditinggalkan suspek di tepi jalan di Kampung Nail, Kuala Besut kira-kira jam 8.30 malam hari sama," katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor dan suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut. -SH

Ketua UMNO Cheras Diserang Kerana "Biawak Hidup"

Posted: 15 Dec 2011 10:56 PM PST

NFC: NGO salah tafsir 'biawak hidup', kata Ketua Umno Cheras

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Ketua Umno Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menjelaskan maksud kenyataan "memikul biawak hidup" ditujukan ke atas Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang kini menjadi pertikaian umum, bukannya merujuk kepada anggota Kabinet dari parti itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Syed Ali, kenyataan beliau kelmarin berkaitan isu NFC yang mana jika tidak diselesaikan maka selagi itulah rakyat akan menunding jari kepada kerajaan kononnya melindungi Shahrizat yang mana suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail adalah Pengerusi Eksekutif NFC.

Projek NFC, yang menggunakan dana awam RM250 juta, dikendalikan oleh keluarga Shahrizat.

"Maka, sudah tentulah pada anggapan saya rakyat akan menyalahkan Perdana Menteri dan timbalannya kerana memikul isu NFC seperti memikul biawak hidup. Bukannya peribadi Shahrizat," kata beliau dalam kenyataan disiarkan menerusi blognya.

Kenyataan keras Syed Ali sebelum ini didakwa dituju ke atas Mohamad Salleh supaya memberikan penjelasan secara jelas dan terperinci berhubung isu tersebut supaya tidak menjadi beban kepada Umno dan kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 sepertimana yang disiarkan oleh Utusan Malaysia.

"Saya bercakap berkisar tentang isu NFC yang kini menjadi bualan rakyat, malah pihak pembangkang juga menuduh pelbagai penyelewengan berlaku dan menyalahkan kerajaan, bukannya saya tujukan kepada Shahrizat secara peribadi," tegasnya.

Sebelum ini kata Syed Ali, beliau bersama beberapa pemimpin Umno telah menegur Shahrizat berhubung isu NFC dan mendesak beliau melepaskan jawatan dalam Kabinet tetapi kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Shahrizat, yang tewas dalam pilihan raya umum 2008, merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Ini bermakna saya menghormati Shahrizat sebagai wanita dan pemimpin sayap kanan parti tetapi beliau harus mengakui bahawa isu NFC ini menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang menteri Kabinet," jelasnya.

Beliau juga berkata, penjelasan Mohamad Salleh mungkin boleh membersihkan imej Shahrizat yang turut terpalit dalam isu tersebut.

Semalam, sekitar 80 orang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan "membanjiri" pejabat Syed Ali di Jalan Peel di sini berkaitan kenyataan beliau yang mengumpamakan Shahrizat dan keluarganya "biawak hidup".

Antara mereka hadir ialah wakil Persatuan Gabungan NGO Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia, National Women Entrepreneurs of Malaysia (Nawem) dan Kelab Sahabat Kebajikan Nusantara.

Pertubuhan-pertubuhan berkenaan mendakwa Syed Ali tidak menghormati status wanita.

"Saya adalah orang yang paling menghormati kaum wanita, sebab emak saya adalah wanita, malah wanita merupakan elemen penting dalam kehidupan manusia," tegasnya.

"Saya ingin jelaskan ini kerana ada yang tersinggung dengan kenyataan saya, tetapi niat saya hanya ingin mempertahankan institusi Umno, bukannya kepentingan peribadi individu tertentu," tegasnya.

"Individu tidak penting pada saya, parti dan kerajaan yang lebih penting," ujarnya. -TMI

Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Ulamak Perlu Berani Tegur Najib Bukan Sekadar Berhimpun Untuk Mengampu

Posted: 15 Dec 2011 10:04 PM PST

Lebih 2,000 Ulama Dijangka Hadir Majlis Perdana Ulama Bersama PM

PUTRAJAYA: Seramai lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada barisan ulama bakal menghadiri Majlis Perdana Ulama, Umara dan Imam bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur Jumaat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata majlis anjuran Jakim yang diadakan buat kali ketiga selepas 2008 dan 2010, bertujuan mewujudkan kesatuan fikiran dan tindakan dalam pembangunan negara dan mengekang perpecahan yang mengundang kemudaratan kepada agama dan negara.

Katanya antara barisan ulama yang akan hadir ialah mufti-mufti seluruh Malaysia, Ketua Hakim Syarie, ahli Panel Kajian Syariah dan ahli Panel Kajian Akidah Jakim, ahli panel dari Bahagian Hub Halal Jakim dan imam dari seluruh negara.

"Perdana Menteri merupakan pengerusi Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam yang berfungsi sebagai Penasihat kepada Majlis Raja-Raja, maka forum ini adalah satu mekanisme yang lebih terbuka kepada beliau untuk mendapatkan sumbangan daripada ulama dan umara.

"Selain itu, ia bagi memberi tambah nilai kepada fungsi tersebut dan menjadi forum bagi ulama dan umara menjalin hubungan kerjasama dalam pembangunan negara," katanya dalam kenyataan di sini Khamis. - BERNAMA

Ulasan GB

Perkara pokok yang perlu dilakukan oleh para ulamak ialah menegur dan mendidik Najib dengan ajaran Al-Quran & hadith berhubung dengan pemerintahan dan pentadbiran negara, bukan sekadar berhimpun dan mengampu-bodek PM.

Sungguh mengaibkan bagi yang berstatus dan bergelar ulamak mendatangi "penguasa" sekadar bermatlamat untuk menunjukkan sokongan kepadanya. Malah jika untuk belajar sekalipun, ulamak sepatutnya mempunyai harga diri, bukan terhegeh-hegeh di pintu penguasa. Apa yang berlaku kini sebenarnya telah ada penjelasannya di dalam sejarah.

Imam Malik (179 H) pernah diminta Khalifah Harun Ar Rasyid untuk berkunjung ke istana dan mengajar Hadith kepadanya. Tidak hanya menolak datang, ulama yang bergelar Imam Dar Al Hijrah itu malah meminta agar Khalifah yang datang ke rumahnya untuk belajar, "Wahai Amirul Mukminin, ilmu itu didatangi, tidak mendatangi."

Akhirnya, mau tidak mau, Harun Ar Rasyidlah yang datang kepada Imam Malik untuk belajar. Demikianlah sikap Imam Malik ketika berhadapan dengan penguasa yang adil, semisal Ar Rasyid. Ia diperlakukan sama dengan para pencari ilmu lainnya, dari kalangan rakyat jelata.

Selain itu, para ulama menilai, kedekatan dengan penguasa boleh menimbulkan banyak fitnah. Kisah ini termaktub dalam Adab As Syari'iyah (2/52).

Sedangkan Abu Hazim (140 H), ulama di masa tabi'in, menyatakan bahawa di masa sebelum dirinya, jika penguasa mengundang ulama, ulama tidak mendatanginya. Jika penguasa memberi, ulama tidak menerima. Jika mereka memohonnya, mereka tidak menuruti. Akhirnya, para penguasa yang mendatangi ulama di rumah-rumah mereka untuk bertanya. (Riwayat Abu Nu'aim).

Kedekatan ulama dengan penguasa dianggap sebagai aib oleh para ulama saat itu. Bahkan Abu Hazim mengatakan, "Sebaik-baik penguasa, adalah mereka yang mendatangi ulama dan seburuk-buruk ulama adalah mereka yang mendatangi penguasa."

Selain Abu Hazim, Wahab bin Munabih (110 H), ulama dari kalangan tabi'in juga pernah menyatakan agar para ulama menghindari pintu-pintu para penguasa, kerana di pintu-pintu mereka itu ada fitnah, "Kau tidak akan memperoleh dunia mereka, kecuali setelah mereka membuat musibah pada agamamu." (Riwayat Abu Nu'aim).

Para ulama bersikap demikian, karena keakraban dengan penguasa boleh menyebabkan sang ulama kehilangan keikhlasan. Kerana, ketika mereka mendapatkan imbalan dari apa yang mereka berikan kepada penguasa, maka hal itu boleh menimbulkan perasaan ujub, atau kehilangan wibawa di hadapan penguasa. Akibatnya, mereka tak mampu lagi melakukan amar ma'ruf nahi munkar, jika para penguasa melakukan kesalahan.

Bas Sekolah Rempuh Lapan Kenderaan Termasuk Ambulan

Posted: 15 Dec 2011 07:10 PM PST

Akibat hilang kawalan, bas sekolah rempuh lapan kenderaan lain

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera parah apabila bas sekolah dipandunya bertembung sebuah ambulans sebelum merempuh tujuh kenderaan lain ketika cuba memotong sebuah kereta dalam kemalangan di Dutamas Raya, Segambut di sini, hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata, dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, bas tanpa penumpang yang dipandu lelaki berumur 30-an itu dalam perjalanan menghala ibu negara.

"Bas dikatakan cuba memotong sebuah kereta, namun pada masa sama sebuah ambulans datang dari arah bertentangan.

"Ekoran itu, bas terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh tujuh kenderaan lain termasuk dua buah teksi yang kebanyakannya diletakkan di sebelah kiri bahu jalan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, akibat kemalangan itu, pemandu bas tersebut cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan, manakala pemandu ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika kejadian tiada orang lain dalam ambulans tersebut kecuali pemandu.

Menurutnya, susulan kejadian itu, lapan buah kenderaan rosak termasuk sebuah kereta Perodua Kembara yang remuk teruk akibat dihempap bas berkenaan.

"Siasatan mendapati, kejadian itu berpunca daripada bas sekolah yang gagal dikawal ketika memotong yang pada masa sama sebuah ambulans dipandu laju dari arah bertentangan menyebabkan bas tersebut hilang kawalan sehingga merempuh kenderaan lain.

"Siasatan terperinci sedang dilakukan dan polis akan mengambil keterangan daripada beberapa mangsa termasuk pemandu bas," katanya. - BERNAMA

Bas sekolah rempuh 8 kenderaan


KUALA LUMPUR: Demi tugas, seorang pemandu ambulans memandu kenderaannya yang remuk ke pejabatnya di Sri Hartamas untuk menukarnya dengan ambulans lain bagi menghantar pemandu bas sekolah yang parah ke hospital.

Difahamkan, dalam kejadian jam 7.30 pagi semalam, seorang pemandu bas sekolah parah selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah ambulans dan tujuh kenderaan lain di Dutamas Raya, Segambut.

Bagaimanapun, pemandu bas dikenali sebagai Deeva, 30-an, kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan ambulans hospital berkenaan yang tiba beberapa minit selepas ambulans gantian tiba.

Sumber trafik berkata, kejadian itu berpunca daripada bas sekolah berkenaan yang dalam perjalanan menghala ke ibu negara hilang kawalan dipercayai mengalami masalah brek sebelum merempuh lapan kenderaan lain.

"Bas sekolah yang dalam perjalanan pulang dari menghantar pelajar sebuah sekolah antarabangsa itu merempuh empat kenderaan lain yang berada di hadapannya dan tiga kereta yang diletakkan di bahu kiri jalan termasuk sebuah kereta mewah jenis Lexus.

"Sebuah kereta kembara dirempuh dan dihempap bas itu kemudian diheret beberapa meter sebelum bas berkenaan melanggar sebatang pokok kelapa," katanya.

Menurut seorang mangsa yang terselamat, Mohd Norrizki Mohd Suffian, 25, kejadian berlaku begitu pantas dan sekelip mata sebaik dia melalui selekoh menuruni bukit di jalan berkenaan.

"Saya nampak melalui cermin pandang belakang keadaan bas yang terhuyung-hayang dan hilang kawalan sebelum merempuh belakang kereta saya dengan kuat.

"Akibat rempuhan itu, saya melanggar sebuah teksi yang berada di hadapan sebelum terbabas ke laluan masuk sebuah kondominium," katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk mengambil keterangan daripada beberapa mangsa.

Dalam kejadian berasingan di Kilometer 34.1 Lebuh Raya Karak arah Genting Sempah, sebuah bas ekspres yang membawa 20 penumpang hampir hangus selepas terbakar di bahagian enjin.

Difahamkan, kejadian itu disedari seorang penumpang yang ternampak kepulan asap sebelum menjerit memberitahu pemandu bas berkenaan.

Semua penumpang bagaimana pun selamat selepas pemandu bas bertindak memberhentikan bas di tepi jalan dan mengarahkan semua penumpang keluar menyelamatkan diri.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian berjaya memadamkan kebakaran. -hm


Jimmy Shanley Dedah Isterinya Suka Berjudi & Seorang Perokok

Posted: 15 Dec 2011 04:52 PM PST

Jimmy dedah tabiat buruk isteri

SHAH ALAM – Perbicaraan pada hari pertama di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam membabitkan pengacara Jimmy Shanley yang menuntut supaya isterinya kembali taat mendedahkan yang wanita itu didakwa masih ketagih judi dan rokok walaupun berjanji untuk meninggalkan tabiat itu selepas berkahwin pada 1 Oktober 2010.

Selain itu, ketika disoal peguam Syarie yang mewakilinya, Mohd. Noor Aizan Md Idrus, Jimmy mendakwa, isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy bukan sahaja bermain judi daun terup malah pernah bertaruh di Internet ketika berada di rumah keluarga wanita itu di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Petaling Jaya pada hari kedua pernikahan mereka.

Katanya, ia diburukkan lagi dengan sikap Nursuhaila yang gemar melayan laman sosial Facebook (FB) dan khidmat pesanan ringkas BlackBerry (BBM) hingga wanita itu tidak mengendahkan permintaannya untuk bersama pada hari itu.

"Sebelum bernikah, dia berjanji untuk meninggalkan tabiat buruk itu dan melayan saya 24 jam. Oleh sebab itulah saya bersetuju untuk berkahwin.

"Bagaimanapun, ia tidak berubah selepas kami berkahwin kerana Nursuhaila masih berjudi hinggakan layanan terhadap saya terhad. Dia juga enggan berada di rumah saya yang tiada talian Internet tanpa wayar,"
dakwanya.

Tambahnya, Nursuhaila memberi alasan yang dia bermain judi untuk menghilangkan tekanan di hari lahir bapanya sendiri pada 11 Oktober 2010.

Menurut Jimmy, pada hari itu, Nursuhaila yang sepatutnya membeli kek, pulang lewat dan apabila ditanya, dia mengaku masih lagi berjudi.

"Saya juga bertanya penting ke layan FB dan BBM rakan-rakan, lalu dia menjawab lebih penting layan kawan daripada suami," dakwanya. -kosmo

Perangai isteri tidak berubah

SHAH ALAM: Pengacara Jimmy Shanley mendakwa tindakan isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy yang mungkir janji untuk berubah antara alasan dia memfailkan permohonan nusyuz dan perintah kembali taat di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Dia berkata, Nursuhaila pernah berjanji menjadi isteri solehah dan meninggalkan perangai buruk termasuk suka berjudi apabila mendirikan rumah tangga dengannya.

Bagaimanapun katanya, isterinya tidak mengotakan janji itu, sebaliknya tidak melaksanakan tanggungjawab untuk melayan suami dan ingkar apabila disuruh tinggal bersama-samanya selepas berkahwin.


Jimmy berkata, demikian ketika menjawab soalan peguam syarie, Mohd Noor Aizan Md Idrus ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes kedua-dua permohonannya, semalam.

MOHD NOOR: Apa tabiat buruk yang dia janji akan tinggalkan?

JIMMY: Banyaklah... merokok dan yang paling kritikal berjudi.

MOHD NOOR: Dia berjudi di mana?

JIMMY: Di rumah.

MOHD NOOR: Dia berjudi dalam bentuk apa?

JIMMY: (Main) daun terup dan berjudi di Internet. Itu sebab masa bersama suami terhad. Itu sebab dia tidak mahu tinggal dengan saya sebab susah (untuk jalankan) aktiviti (berjudi). Di rumah saya, tiada kemudahan broadband (jalur lebar).

Jimmy seterusnya mendakwa, Nursuhaila menghilangkan diri bersama bekas kakak ipar dan teman baik untuk berjudi pada malam sambutan hari lahir bapa mentuanya itu pada 11 Oktober tahun lalu.

"Apabila dia balik, saya tanya dia, 'berjudi lagi?'. Dia dengan besar hati mengaku.

"Saya tanya kenapa berjudi lagi. Dia jawab mahu hilangkan tekanan," katanya.

Jimmy, 31, atau nama sebenarnya Jimmy Norjahan Salleh memfailkan perintah kembali taat diikuti permohonan nusyuz terhadap Nursuhaila, 25, di mahkamah ini, masing-masing pada 3 dan 27 Januari lalu.

Pengacara Akademi Fantasia ke-8 itu dan isterinya dilaporkan tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010 atau hanya 20 hari selepas mereka bernikah di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh.

Hasil perkahwinan singkat itu, Nursuhaila yang juga anak jutawan produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim, melahirkan bayi perempuan Zahra Rania yang kini berusia dua bulan.

Terdahulu, pengacara itu berkata, Nursuhaila mula ingkar perintahnya untuk tinggal bersama-sama di rumahnya sehari lepas mereka diijabkabulkan pada 2 Oktober 2010.

Dia berkata, ia menyebabkan mereka berkelahi sehingga ibu mentua terpaksa campur tangan dan meminta dia tidur bersama-sama di bilik Nursuhaila bagi menjaga air muka di depan saudara-mara.

Perbicaraan di hadapan Hakim Saharuddin Selamat bersambung pada 23 Februari dan 5 Mac tahun depan. -hm


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Guan Eng Akan Dermakan RM200,000 Daripada Utusan Kepada Badan Amal

Posted: 15 Dec 2011 02:17 PM PST

Ambil iktibar saman Guan Eng terhadap Utusan

PULAU PINANG 15 Dis: Media arus perdana disaran mengambil iktibar kemenangan kes saman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap Utusan Malaysia, kata Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

Ini kerana katanya, antara keputusan penting dalam kes itu ialah Utusan jelas melanggar etika kewartawanan dalam laporannya.

"Kami kesal dan kecewa melihat media massa arus perdana yang dikuasai sekutu Umno sering diperalat untuk memecah-belahkan keharmonian kaum dan agama di Malaysia.

"Kami berharap Utusan dan media arus perdana lain mengambil iktibar daripada keputusan Hakim dan menghayati seruannya bahawa pengamalan kewartawanan bertanggungjawab penting kepada sistem demokratik di Malaysia,"
kenyataan itu dipetik.

Keputusan itu juga katanya, membuktikan Pakatan Rakyat, Guan Eng dan kerajaan Pulau Pinang tidak rasis dan jauh sekali anti Melayu sebagai mana didakwa akhbar Umno itu.

"Hakim juga memutuskan Utusan Malaysia mengamalkan "selective vendetta" atau dendam terhadap Ketua Menteri dan DAP dengan tujuan memfitnahkan mereka secara tidak adil," katanya.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Disember lalu mendapati akhbar milik Umno itu bersalah kerana memfitnah Guan Eng berhubung berita bertajuk 'Kebiadaban Guan Eng' dan diterbitkan pada 20 Disember tahun lalu.

Sehubungan itu, Utusan diarah membayar pampasan RM200,000 kepada Guan Eng dan RM25,000 lagi sebagai bayaran kos.

Sementara itu, Guan Eng berkata, beliau akan mendermakan RM200,000 itu kepada badan-badan amal.

Mahkamah Tinggi Buktikan Kerajaan Pulau Pinang Adil Kepada Semua Kaum

SHAH ALAM, 15 DIS : Keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang mendapati Utusan Malaysia bersalah kerana memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng jelas menunjukkan bahawa dasar kerajaan negeri itu bertujuan membela semua rakyatnya sebaik mungkin tanpa mengira kaum atau agama.

Di dalam kenyataan bersama, Exco-exco Kerajaan Pulau Pinang berkata penghakiman ini menunjukkan secara konklusif bahawa Guan Eng dan pentadbirannya bukan anti-Melayu atau anti-Islam, seperti dakwaan palsu Utusan Malaysia yang berniat jahat.

"Kami berasa amat kesal dan kecewa melihat keadaan media massa arus perdana pada hari ini, yang dikuasai oleh parti-parti komponen Barisan Nasional dan sering dipergunakan untuk memecahkan keharmonian kaum dan agama di Malaysia," menurut kenyataan itu.

Semalam, Utusan Malaysia didapati bersalah kerana memfitnah Setiausaha Agung DAP itu di dalam artikel yang bertajuk "Kebiadaban Guan Eng" yang diterbitkan pada 20 Disember tahun lalu.

Utusan Malaysia diperintahkan membayar Lim pampasan berjumlah RM200,000 dan RM25,000 lagi sebagai bayaran kos.

Artikel tersebut menuduh Lim sebagai seorang 'rasis' dan 'anti-Melayu' berdasaran ucapan 'A People's Goverment for the Real Malaysians' semasa Konvensyen Pakatan Rakyat sehari sebelum itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk G V Varughese di dalam penghakimannya menggariskan tujuh perenggan daripada artikel itu yang dikatakan telah memfitnah Lim.

Kenyataan itu juga menyatakan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menerima dan menyokong sepenuh-penuhnya keputusan Hakim dalam perkara ini sekaligus membuktikan ketujuh-tujuh dakwaan Utusan Malaysia sebelum ini adalah fitnah belaka.

"Penghakiman semalam menyaksikan kesemua dakwaan itu sebagai 'half-truths' atau 'kenyataan separuh benar' itu sebenarnya "tidak benar sama sekali", dan setelah mengkaji dakwaan-dakwaan tersebut, berpendapat bahawa dakwaan-dakwaan itu berniat jahat dan bertujuan untuk menipu pembaca-pembaca Utusan Malaysia.

"Hakim juga memutuskan bahawa Utusan Malaysia telah mengamalkan 'selective vendetta' atau dendam terhadap Ketua Menteri dan DAP dengan tujuan untuk memfitnahkan mereka secara tidak adil,"jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, akhbar kawalan Umno itu menyenaraikan tujuh dakwaan salah laku pentadbiran Guan Eng terhadap rakyatnya.

Berikut adalah dakwaan-dakwaan yang disenaraikan oleh Utusan Malaysia:

* Menindas orang Melayu dan melenyapkan satu demi satu perkampungan Melayu di bumi Pulau Pinang;
* Membatalkan atau menghalang perarakan Maulidur Rasul pada tahun 2010 (yang sebenarnya telah diadakan);
* Tidak membenarkan peniaga-peniaga Melayu untuk berniaga di KOMTAR semasa bulan Ramadan;
* Merobohkan gerai-gerai milik penjaja Melayu;
* Menggunakan dana dari sumber perjudian untuk memberi RM100 kepada warga emas;
* Merobohkan kampung-kampung Melayu di Kg Jalan Pokok Asam dan Kg Genting, Balik Pulau; dan
* Mengusir penduduk-penduduk India dari Kg Buah Pala.


"Kami berharap bahawa Utusan Malaysia dan media massa arus perdana yang lain akan mengambil iktibar daripada keputusan Hakim dan menghayati seruannya bahawa pengamalan kewartawanan yang bertanggungjawab adalah amat penting kepada sistem demokratik di Malaysia," tambah kenyataan itu. -TVSNEWS




Mustafa Ali Sudah Serik Dengan UMNO. Peringatkan Dua Bekas Pemimpin PAS

Posted: 15 Dec 2011 06:44 AM PST

Hasan, Nasha terperangkap dalam agenda Umno'

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menganggap dua pimpinan parti itu Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan PAS.

Mustafa berkata, Hasan yang merupakan bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan Nasharudin yang pernah memegang jawatan timbalan presiden bertindak tidak wajar sebagai pimpinan parti, lapor Harakahdaily.

"Saya buat kesimpulan, mereka berdua terheret dengan agenda (Umno) yang boleh menjejaskan parti. Sama ada mereka sedar atau tidak sedar, mereka sebenarnya terperangkap dalam agenda musuh politik PAS.

"Ini sangat tidak wajar dan tidak baik bagi PAS walaupun tidak memberikan kesan besar bagi parti," kata beliau dalam temu bual bersama organ parti Harakah dan Harakahdaily di Kuala Lumpur, hari ini.

Mustafa berkata demikian sebagai mengulas kenyataan terkini kedua-dua pemimpin itu mengenai kedudukan mereka dalam parti.

Perkara itu timbul apabila Ketua Penerangan Pas Selangor Shaari Sungib dilaporkan berkata, Hasan tidak menerima pencalonan mencukupi daripada cawangan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

'Kekecewaan tidak terpilih'

Hasan pula selepas itu dilaporkan berkata akan terus bekerjasama dengan PAS dan Pakatan Rakyat selagi pihak berkenaan mempertahankan prinsip Islam, hak Melayu dan institusi Raja.

Mengulas perkara itu, Mustafa berkata, kenyataan itu menggambarkan Dr Hasan seolah-olah mempersoal dasar Islam yang diperjuangkan PAS dan terpengaruh dengan tuduhan parti itu diperalatkan DAP.

"Saya rasa ini sebab kekecewaan kerana mereka tidak terpilih dan tidak diletakkan di tempat mereka seperti Nasharudin sebagai timbalan presiden dan Hasan sebagai pesuruhjaya Selangor," beliau dipetik sebagai berkata kepada organ parti PAS.

Mustafa juga dilaporkan turut menegur Saari yang dianggap mendahului parti sedangkan urusan calon pilihan raya ditentukan oleh Majlis Syura.

Bagaimanapun, veteran PAS itu berkata, kenyataan Hasan dan Nasharudin itu tidak menjejaskan parti kerana ahli menyokong dasar Islam dan bukannya individu.

"Bekerja untuk melemahkan parti, ini tidak betul walaupun kesannya tak besar sebab PAS mempunyai kekuatan tersendiri, memang tak boleh digugat oleh individu.

"PAS pernah kehilangan presiden suatu waktu dahulu tapi ahli tak lari ikut orang, tapi mereka ikut dasar," katanya. -mk

Ulasan GB

GB tidak mahu ulas mengenai sikap dan tindakan Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa kerana semua orang sudah tahu.

Yang GB tertarik kini ialah perubahan sikap dan tindakan Mustafa Ali.

GB dan sekalian ahli PAS peringkat bawahan boleh menarik nafas lega sedikit kerana Mustafa Ali sudah kembali ke saf perjuangan sekalipun satu ketika dulu, beliau adalah tokoh utama yang membawa gagasan Kerajaan Perpaduan.

Tetapi dengan pelbagai insiden kezaliman dan kekejaman UMNO, yang terkena kepada Mustafa Ali sendiri, maka kini Mustafa Ali lebih tegas daripada pemimpin PAS yang lain di dalam menentang gagasan UG yang dasyat itu.

GB menyatakan gagasan UG itu dasyat kerana ia merupakan penyebab kepada perpecahan ahli-ahli parti yang menyebabkan muktamar parti menjadi haru-biru setidak-tidaknya untuk dua kali pemilihan dimana sukarnya untuk mewujudkan wahdatul-fikr di peringkat akar umbi hasil daripada kewujudan gagasan tersebut.

Mustafa Ali sudah serik dengan UMNO. Allah menunjukkan kepada Mustafa UMNO itu parti yang tidak boleh dan tidak akan berstau dengan PAS sekiranya PAS berjuang di atas landasan Al-Quran dan Sunnah sepertimana tergaris di dalam Perlembagaan PAS.

GB katakan tadi Mustafa Ali serik dengan UMNO. Mengapa? Kerana Umno Selangor telah menyaman PAS dan Setiausaha Agungnya Mustafa Ali sebanyak RM10 juta berhubung kononnya Mustafa memfitnah bahawa UMNO yang didakwa berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Agama Islam (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Hassan Ali dan Nasharuddin Isa belum kenal UMNO dengan lebih dalam. Maka sebab itu mereka berdua masih meletakkan "reservation" dan Mustafa Ali layak dan berhak untuk memperingatkan mereka berdua itu.

Perubahan sikap dan tindakan Mustafa Ali mempunyai kesan yang signifikan kepada parti lantaran beliau adalah Setiausaha Agong parti dan Pengerusi Lembaga Pengarah Harakah. Dan justerunya juga, Harakah/Harakahdaily kini sudah mula menunjukkan tanda-tanda positif dengan menipiskan sikap pro-pemimpin UGnya selama ini sekalipun ada beberapa pengikut taksub UG tidak berpuashati dengannya.


Pelanggan Gerai Terkejut Rakam Gambar Misteri

Posted: 15 Dec 2011 04:54 AM PST

Langgar - Seorang pelanggan sebuah gerai minum di pekan Langgar secara tidak sengaja merakam gambar satu kepulan asap yang menyerupai wajah manusia beberapa hari lalu sewaktu bersantai di kedai berkenaan.

Usahawan, Zul Azri Abdul Khalil, 34, berkata, sewaktu kejadian kira-kira jam 5 petang, dia hanya mahu menguji kamera telefon bimbitnya sahaja dan mengambil gambar beberapa kali.

Menurutnya, selepas beberapa ketika dia meneliti kembali gambar yang diambil dan terkejut apabila mendapati terdapat satu kepulan asap seolah-olah menyerupai wajah manusia.

"Terdapat seolah-olah kepulan asap yang menyerupai wajah manusia semasa gambar diambil.


"Selepas itu, saya menunjukkan kepada beberapa kawan yang lain dan ternyata mereka juga turut terkejut," katanya.

Pengalaman pertama kali merakam gambar aneh sedemikian ternyata turut menarik perhatian pelanggan-pelanggan yang berada di kedai berkenaan.

Zul Azri berkata, dia tidak menyangka bahawa dengan hanya mengambil beberapa gambar menggunakan telefon bimbitnya, dia dapat merakam gambar aneh.

Seorang lagi pelanggan kedai minum itu, Yusof Hat, 40, mengakui masih belum pernah melihat benda aneh yang dirakam secara tiba-tiba.

Menurutnya, bagaimanapun perkara demikian tidak perlu diambil serius kerana langsung tidak memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat di kawasan sekitar.

"Serius saya katakan memang tidak pernah melihat kejadian seumpama ini, sedangkan gambar berkenaan pula dirakamkan pada waktu siang," katanya. -SH

Racun Paraquat Merbahaya, Kerajaan Digesa Haramkannya Segera

Posted: 15 Dec 2011 04:24 AM PST

Kersatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan racun rumpai jenis Paraquat yang didakwa mengandungi toksik berlebihan yang boleh membunuh.

Menurut Presidennya, S.M Mohamed Idris, racun yang turut diseludup di negara ini itu mempunyai kepekatan racun lebih daripada 40 peratus dan membahayakan pengguna khsusnya apabila disedut, bersentuh dengan kulit dan jika ditelan.

"Keracunan yang amat tinggi dan kekurangan antidot membawa kepada masalah kesihatan yang serius, dan kematian akibat daripada pendedahannya.

"Paraquat dikatakan sebagai racun pilihan bagi membunuh diri di negara ini," katanya.

Menurut beliau lagi, Paraquat juga diketahui sebagai penyebab masalah kesihatan yang akut dan dalam jangka panjang seperti dermatitis teruk, kegagalan buah pinggang, kegagalan pernafasan, denyutan jantung menjadi cepat, melecur darjah kedua, kanser kulit dan penyakit Parkinson.

Lebih bahaya ujarnya, Paraquat juga kekal dalam tanah dan sisanya dibawa dalam larian air bersama mendapan, yang menjadikan bahan itu berpotensi untuk mencemarkan air bawah tanah.

Sebelum ini Jawatankuasa Kesihatan Perak dalam satu seminar mengenai paraquat baru-baru ini menggesa satu panel ditubuhkan untuk menangani isu penggunaan pendekatan holistik.

Kerajaan Malaysia pada Ogos 2002, penah mengumumkan untuk mengharamkan Paraquat melalui proses menghapuskannya dalam tempoh dua tahun.

Pengharaman itu kemudiannya ditarik balik akibat tekanan pasaran.

"Kenapa pekerja pertanian yang terdedah kepada racun rumpai bertoksik ini yang terpaksa menanggung penderitaan akibat kesan buruknya manakala syarikat kimia pertanian dan industri pertanian terus mendapat keuntungan?" soal beliau lagi.

Menurutnya, Kesatuan Eropah sudah pun mengharamkan paraquat kerana bahayanya kepada kesihatan meskipun digunakan mengikut arahan.

Penghapusannya diperingkat global mungkin berlaku jika ia disenaraikan di bawah Rotterdam Convention on Prior Informed Consent (PIC). Walau bagaimanapun, kami menjangkakan lobi yang lebih besar oleh industri bagi memastikan racun rumpai itu tidak termasuk di bawah perjanjian itu.

Sehubungan itu ujarnya, Kerajaan Malaysia perlu menguatkuasakan pengharaman sepenuhnya Paraquat dan mengawal aktiviti penyeludupan racun rumpai bertoksik ke negara ini.

"Kita perlu mempercepatkan ke arah amalan pertanian ekologi menggunakan kaedah pertanian asli dan kawalan serangga biologi. Menternak lembu di dalam ladang boleh membantu kawalan rumpai.

"Utamakan rakyat dan bumi, bukannya keuntungan" seharusnya menjadi modus operandi bagi kerajaan penyayang," tegasnya. -HD

Mengaku Bujang Elak Dicekup

Posted: 15 Dec 2011 03:00 AM PST

Ledang – Seorang pekerja bengkel membaiki jentera yang sudah berkahwin tergamak mengaku bujang apabila disoal siasat penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) ketika dicekup berkhalwat, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 29 tahun dan pasangannya berusia 21 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi ketika sedang berdua-duaan dalam sebuah rumah di Batu 1 ½ Tanjung Agas, di sini, untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, lelaki itu mengaku sudah tujuh tahun berkahwin dan memiliki dua anak yang kini menetap di Melaka selepas didesak PPADL.
Dia juga mendakwa datang ke rumah teman wanitanya untuk berehat seketika, tetapi tertidur kerana keletihan selepas pulang bekerja dari Johor Bahru.

Manakala, pasangannya adalah warganegara Kemboja dan baru sahaja memeluk Islam pada Julai lalu.

Mereka berkenalan sejak setahun lalu dan bercadang untuk mendirikan rumah tangga pada April tahun depan.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota diketuai Pegawai Penguat Kuasa, Zainal Kadiran memeriksa rumah itu.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang hanya berseluar dalam membuka pintu.

"PPADL terpaksa menunggu hampir 15 minit sebelum lelaki itu membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

"Pemeriksaan lanjut menemui seorang remaja perempuan memakai baju-T paras lutut sedang baring di atas tilam," katanya.

Pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Mati dan Balai Polis Sagil untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut, sebelum dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing," katanya.

Katanya lagi, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. -SH

Tiada ulasan: