Rabu, 14 Disember 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Husam Memang Layak Teraju Putrajaya

Posted: 14 Dec 2011 12:07 AM PST

Bakal calon PAS Kelantan 'dapat lampu hijau', Husam mungkin ke pusat

PAS Kelantan telah memuktamadkan senarai pusingan pertama bakal calon yang akan diturunkan pada pilihan raya umum ke-13 termasuk kemungkinan membawa seorang pemimpin kanan negeri bertanding kerusi Parlimen.

The Malaysian Insider difahamkan dewan harian PAS Kelantan yang bermesyuarat malam kelmarin telah bersetuju dengan nama-nama yang dikemukakan kepimpinan kawasan.

Sumber berkata, kali ini kebanyakan nama yang disyorkan diterima tanpa sebarang masalah kecuali bagi kerusi-kerusi Parlimen yang pernah ditanding dan dimenangi PKR tiga tahun lalu.

"Hampir kesemua nama disyorkan telah diterima kelmarin. Setiap kawasan menghantar dua hingga tiga nama, kali ini hampir kesemua nama diterima, di peringat pusingan pertama ini, tiada yang ditolak," kata sumber dari Kelantan kepada The Malaysian Insider.

Menurutnya, PAS Kelantan kemungkinan akan membawa empat hingga lima muka baru di peringkat negeri.

"Kebanyakan penyandang akan kekali, kecuali empat lima muka baru sahaja," kata sumber itu lagi.

Minggu lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau akan bertanding kali ini.

Nik Aziz (gambar), 80, berkata tidak ada sebab untuk beliau berundur seperti desakan beberapa perwakilan semasa Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Kelantan menawarkan 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri.

PAS dan PKR, komponen Pakatan Rakyat, memenangi 39 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 12 bahagian Parlimen pada pilihan raya umum 2008.

PKR bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri dan tiga kawasan Parlimen.

Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali yang bertanding menggunakan tiket PAS mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas kemudian.

"Di peringkat PAS, pusingan awal pemilihan sudah selesai, kemudian apabila dekat dengan pilihan raya, nama-nama ini akan dihantar kepada majlis syura pusat untuk pengesahan akhir," kata beliau lagi.

Sumber itu juga memberitahu bahawa PAS Kelantan juga mencapai beberapa keputusan, antaranya mengurangkan calon-calon luar bertanding di Kelantan.

"Kali ini, Kelantan memutuskan untuk mengurangkan calon luar bertanding... angka itu akan dikurangkan kali ini berbanding sebelum ini," kata beliau.

Tiga ahli Parlimen dari Kelantan iaitu Salahuddin Ayub, Nasharudin Mat Isa dan Dr Hatta Ramli, masing-masing naib presiden, bekas timbalan presiden dan pengarah pilihan raya pusat PAS merupakan orang luar yang bertanding kerusi Parlimen negeri itu.

Cadangan ke arah itu pernah dicetuskan sebelum ini.

"Ini antara kelainan yang kita boleh lihat di peringkat Kelantan pada kali ini, dan kemungkinan Datuk Husam Musa akan dibawa ke peringkat pusat," katanya lagi dengan menyebut bahawa Husam kemungkinan bertanding di Kubang Kerian, kerusi disandang oleh Salahuddin.

Salahuddin disebut-sebut akan bertanding di Pasir Mas ataupun dibawa ke Johor.

Kata sumber, buat masa ini Husam telah dinamakan sebaagi calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri dan juga Parlimen.

Husam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Salor.

"Kemungkinan beliau akan tanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ataupun satu sahaja. Pertimbangan masih diteliti," kata beliau.

Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri merupakan Naib Presiden PAS dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Ulasan GB

Bukan tujuan GB untuk mengangkat dan mengampu Husam. Tak ada apa yang GB dapat dengan berbuat begitu.

Tetapi Husam Musa memang layak ke Pusat. Beliau ialah asset besar yang PAS ada. TG Nik Aziz pernah berkata:

"Kalau benar sekalipun Husam memohon untuk melepaskan jawatannya, saya tetap tidak akan mengizinkannya, kerana kebijaksanaan dia telah berjaya menyelesaikan pelbagai masaalah rakyat sama ada di peringkat negeri mahupun politik Malaysia,"ujarnya.

"Husam ni saya nak sebut, Allah Taala buat dia bukan sahaja untuk Kelantan, tetapi untuk Malaysia, budaknya cerdik, pengalamannya banyak, dan pemikirannya jauh ke depan.

"Dan sekarang ni rakyat Kelantan banyak menerima buah fikiran yang baik dari Husam termasuk dengan mengambil tanah Felcra, termasuk mengadakan kifalah yang banyak sehingga dapat dimanafaatkan oleh wasi…OKU dan ramai lagi yang terima banyak manfaat hasil pemikiran Husam.


Itu kata TG Nik Aziz.

GB sebelum ini pernah mengulas di SINI. Petikan:

Salah satu sebab yang menyumbang kepada tumbangnya kerajaan Pusat UMNO BN nanti adalah kerana kezaliman mereka menganiaya rakyat Kelantan dengan merompak hasil royalti minyak yang menjadi hak milik rakyat Kelantan.

Di dalam keadaan apa sekalipun, kerajaan UMNO BN tidak sewajarnya menganak-tirikan kerajaan negeri yan diperintah oleh Pakatan Rakyat, di dalam konteks Kelantan, diperintah oleh PAS.

Hukum kebenaran akan mengambil tempatnya bahawa yang zalim pasti akan menerima balasannya. Allah tidak akan mengizinkan kerajaan yang zalim itu kekal lama. Bacalah Al-Quran. Di sana ada kisah-kisah pemerintahan Namrud dan Firaun yang zalim. Ada kisah Abu Lahab dan Qarun yang tamak haloba. "Baca" juga di sekeliling kita, tumbangnya Marcos di Filipina dan Thaksin di Thailand adalah kerana kezaliman dan salahguna kuasa. UMNO BN juga pasti tumbang. Itu keyakinan kita. Itu keyakinan orang beriman. Itu keyakinan pejuang kebenaran dan keadilan.

Pemerhatian GB: Dan Allah itu Maha Adil. Apabila orang yang dizalimi itu bersabar, Allah akan mengangkat darjatnya. Dan apabila UMNO BN tumbang, anak Kelantan jugalah yang berkemungkinan bakal menjadi orang penting di dalam kerajaan baru di Putrajaya untuk membetulkan semula semua kepincangan dan kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan UMNO BN.

Teruskan perjuangan, janji Allah pasti berlaku, kemenangan itu tetap menjadi milik orang beriman.


Musa Hassan Saman Tiga blog Pro-Pakatan Rakyat

Posted: 13 Dec 2011 09:48 PM PST

Kuala Lumpur - "Laporan polis yang saya buat baru-baru ini untuk memulihkan imej dan maruah saya dan ahli keluarga yang terjejas," kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau yang difitnah berkahwin dengan seorang penyanyi, Syella Kamaruddin pertengahan bulan lalu meminta penulis-penulis blog yang memfitnahnya agar menghentikan perbuatan mereka.

Musa membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya pada 8 Disember lalu setelah mendawa dia difitnah beberapa penulis blog kononnya berkahwin dengan penyanyi tersebut.

"Ini semua (fitnah yang mengaitkan dirinya) adalah cerita palsu. Ia turut memberi kesan dan menjatuhkan maruah keluarga saya.

"Saya harap pihak bertanggungjawab akan menyiasat penyebaran blog berunsur fitnah ini termasuk beberapa lagi blog yang saya tidak namakan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Musa, 60, baru-baru ini menafikan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya dalam beberapa blog bahawa beliau mendirikan rumahtangga dengan Syella atau Nurshid'la Ahmad Kamaruddin, 26.

Menurutnya, apa yang disiarkan dalam beberapa laman blog termasuk dakwaan beliau membelanjakan sejumlah RM15 juta untuk majlis perkahwinan itu sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan dirinya.

Beberapa keping gambar perkahwinan Syella dengan pasangannya tersiar dalam beberapa laman blog.

Antara maklumat yang disiarkan dalam blog itu adalah belanja majlis perkahwinan tersebut dianggarkan sebanyak RM15 juta, selain Syella menerima hadiah banglo bernilai RM5 juta, kereta Audi R8 berharga RM800,000, wang hantaran RM111,111, mas kahwin RM1,000, telefon bimbit, set mandian, alat solek, al-Quran, sejadah, telekung dan tasbih.

Berikutan tersiarnya gambar majlis persandingan itu, beberapa komen antara lain turut menghina bekas Ketua Polis Negara itu.

Musa dalam pada itu berkata, beliau turut menamakan tiga laman blog dalam laporan polis yang dibuatnya.

Tiga laman blog itu adalah free malays.blogpot.com, pulakdah.blogspot.com dan abushahid.wordpress.com. -utaranews

Jika Daftar Pemilih Tidak Dibersihkan, "Pengundi Hantu" Jadi Penentu PRU

Posted: 13 Dec 2011 08:10 PM PST

Pengundi hantu' akan tentukan keputusan PRU-13

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng beranggapan keputusan pilihan raya umum akan datang akan ditentukan oleh 'pengundi hantu'.

"Kalau kita tidak bercakap mengenai hantu, kita akan dihantui dengan keputusan pilihan raya yang tidak mencerminkan kehendak rakyat.

"Amat bahaya jika cadangan PSC tidak dilaksanakan," katanya pada wacana anjuran akhbar Sinar Harian yang berjudul 'PRU-13: Undi siapa jadi penentu' di Shah Alam, hari ini.

Lim, yang juga adalah ketua menteri Pulau Pinang berkata jika 'pengundi hantu' itu ditangkap kuasa sebenar adalah pengundi di Sabah dan Sarawak.

"Mereka akan tentukan sama ada kita boleh dapatkan angka ajiaib - 112 (bagi majoriti di Parlimen)," katanya.

Selain Lim, anggota lain pada panel lima anggota hari ini adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Presiden parti KITA Datuk Zaid Ibrahim dan pensyarah pengajian media Universiti Malaya Prof Abu Hassan Hasbullah.

'Hantu' penentu PRU-13 jika syor PSC diketepi

SHAH ALAM, 13 Dis: Jika syor oleh Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya tidak dilaksanakan, maka pilihan Raya Umum ke-13 akan ditentukan oleh pengundi hantu, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bercakap pada Wacana Sinar Harian: PRU-13 Undi Siapa Jadi Penentu, Lim berkata jika 'hantu' ditangkap barulah faktor lain yang akan menjadi penentu.

"Kita mahu apa yang dituntut oleh Jawatankuasa khas Parlimen (PSC) menjadi kenyataan sebelum PRU13 dan biarlah ia berlaku secara adil dan telus.

"Kalau 'hantu' dapat ditangkap maka penentu kemenangan sesebuah parti bergantung kepada undi di Sabah dan juga Sarawak," jelasnya.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga menambah undi Sabah dan Sarawak jugalah yang akan membolehkan parti mendapat angka ajaib 112 di Parlimen.

"Kita Pakatan Rakyat berharap rakyat di Sabah dan Sarawak berani membuat perubahan bagi mencari satu kelainan dalam pemerintahan yang akan datang.

"Rakyat seharusnya memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk parti itu membuktikan kepada rakyat bahawa pentadbiran yang dilaksanakan akan bersikap telus tanpa ada sebarang unsur rasuah serta kroni," sambungnya lagi.

Dalam pada itu Lim Guan Eng juga secara berseloroh memberitahu, Pakatan Rakyat memang tiada pengalaman dalam mentadbir sebuah kerajaan yang besar tetapi Pakatan Rakyat juga tiada pengalaman dalam mengamalkan rasuah serta kroni dalam pentadbiran di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Sementara itu Naib Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar menyifatkan PRU13 adalah bergantung kepada Umno-Barisan Nasional.

"Kalau pada pilihanraya 1999 kita melihat pengundi Melayu menjadi penentu, manakala pada 2008 pula era di mana undi kaum Cina pula penentu kepada kebangkitan Pakatan Rakyat.

"Tetapi untuk PRU13 ini pula ia bergantung kepada Umno-Barisan Nasional, yang mana pada julung kalinya PSC menuntut agar ada perubahan pada sistem pilihanraya dan ini nyata kerajaan terpaksa mengakui bahawa selama ini jelas wujud kelemahan di dalam sistem pilihanraya di negara ini," jelasnya.

Tambah Nurul lagi, rakyat sekarang tidak kira apa jua kaum sedang menunggu adakah kerajaan sanggup melakukan perubahan seperti mana yang dituntut oleh PCS.

Selain Lim Guan Eng dan Nurul Izzahtiga lagi panel adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Presiden KITA Datuk Zaid Ibrahim dan Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya (UM) Prof Abu Hassan Hasbullah.

Manakala moderatornya adalah Dr Maszlee Malik dari Pensyarah di Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). -HD


Ulasan GB

Perkara pokok yang perlu dilaksanakan sekarang ialah daftar pemilih yang meragukan itu perlu dibersihkan.

Dan di dalam waktu yang sama sebuah Suruhanjaya Siasatan perlu dilakukan untuk menyiasat SPR dan JPN yang sudah tercemar dengan pelbagai konspirasi dan salah-laku.

Yang bersalah perlu didakwa dan dihukum seadil-adilnya sebelum rakyat bangkit secara menyeluruh menuntut kebenaran dan keadilan dilaksanakan.


Najib Perlu Buktikan Beliau Anak Jantan, Sahutlah Cabaran Anak Anwar

Posted: 13 Dec 2011 05:24 PM PST

Najib dicabar bertanding di kerusi 1Malaysia

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan keikhlasan konsep 1Malaysia yang diterajuinya dengan bertanding di kawasan yang masyarakatnya berbilang bangsa seperti kerusi parlimennya di Lembah Pantai.

"Apabila bercakap tentang transformasi dan imej berbilang bangsa di Malaysia, saya berharap Saifuddin akan sampaikan kepada perdana menteri bahawa beliau harus mempertimbangkan kemungkinan bertanding di kerusi yang masyarakatnya berbilang kaum, kerusi 1Malaysia.

"Daripada apa yang saya tahu, Pekan mempunyai 93 peratus pengundi Melayu.

"Oleh itu, selaras dengan janji-janji 1Malaysia dan semua itu, Najib perlu bertanding di kawasan yang mempunyai pelbagai bangsa seperti di Lembah Pantai," kata Nurul Izzah kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah pada sebuah forum politik di Shah Alam.

Cadangan beliau itu mendapat tepukan gemuruh daripada kira-kira 500 hadirin.

Walau bagaimanapun, Nurul Izzah kemudiannya memberitahu Malaysiakini bahawa kenyataannya itu bukan satu cabaran kepada Najib tetapi mahu perdana menteri membuktikan apa yang diperkatakannya.

Nurul Izzah dan Saifuddin adalah penceramah pada forum bertajuk 'Pilihan Raya Umum ke-13: Undi siapa akan jadi penentu?'

Penceramah lain termasuk Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Ketua parti KITA Datuk Zaid Ibrahim dan pensyarah pengajian media Universiti Malaya Prof Abu Hassan Hasbullah.

Forum itu anjuran akhbaran Sinar Harian.

Nurul Izzah pertama kali dipilih sebagai ahli parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umum lalu. Kerusi yang terletak di Kuala Lumpur itu mempunyai campuran penduduk pelbagai bangsa - i 52 peratus pengundi Melayu, 27 peratus Cina dan 18 peratus India.

Bagi Najib pula, beliau dilantik menduduki kerusi Pekan di Dewan Rakyat pada usia yang sangat muda iaitu 23 tahun. Kerusi pilihan raya parlimen di luar bandar di Pahang itu mempunyai 93 peratus pengundi Melayu, 2.7 peratus Cina dan satu peratus India. -mk

Ulasan GB

Benar kata Nurul Izzah, Najib perlu buktikan kata-katanya, perlu terjemahkan segala wawasannya dengan tindakan - tentang transformasi dan imej berbilang bangsa di Malaysia - dengan bertanding di kawasan yang masyarakatnya berbilang bangsa terutama di Wailayah Persekutuan, bukan terperuk di Pekan Pahang.

Dan Najib berkata beliau tidak takut dengan Anwar.

Kini buktikan kata-kata itu. Sahut cabaran anak perempuan Anwar Ibrahim itu!

Beranikah Najib? Jantankah Najib? Atau penakutkah beliau? Pondankah beliau?

Kita tunggu riaksi Najib nanti.

Dan pesanan Mahathir semalam:

Bekas presiden Umno ini berkata orang Melayu tidak wajar menjadi bangsa penakut kerana ia juga akan menjadi penghalang kepada kejayaan mereka.

"Menjadi penakut memalukan. Bangsa yang penakut tidak boleh dibanggakan. Janganlah kita sengaja menjadikan bangsa kita bangsa penakut. Sebaliknya cubalah supaya bangsa kita jadi lebih berani," katanya lagi. -petikan dari TMI


Tahniah Nurul Izzah yang bijak memerangkap dan mengeluarkan cabaran berkenaan.

[Bergambar] Kuala Lumpur Dilanda Banjir Kilat. Mana Menteri Wilayah Persekutuan?

Posted: 13 Dec 2011 03:42 PM PST

Keadaan lalu lintas di ibu negara lumpuh hari ini berikutan banjir kilat di Jalan Tun Razak semasa waktu puncak apabila warga kerja pulang, berikutan hujan lebat.

Kawasan sekitar Perpustakaan Negara dilaporkan ditenggelami air dan dikatakan merebak sehingga ibu pejabat agensi berita Bernama yang terletak berhampiran.

Sebelum ini, kawasan itu bukan tempat yang kerap berlaku banjir. Dua minggu lalu Kajang juga dilanda banjir kilat yang terburuk sejak 1971.

Sementara itu, Bernama melaporkan kira-kira 30 kanak-kanak terkandas di sebuah tadika di Jalan Semarak berhampiran pusat latihan TM akibat banjir kilat.

Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat, dua bot dikerahkan bagi membawa keluar kanak-kanak berkenaan secara berperingkat.

"Sekarang ini kami dalam proses menyelamatkan mereka ke tempat yang lebih selamat sedikit demi sedikit," katanya dipetik agensi berita nasional itu. -mk

Ulasan GB

Mana menteri Wilayah Persekutuan yang hanya sibuk hendak merampas tanah di Kg.Baru sehingga tidak perasan kawasan ibukota mudah dilanda banjir kilat?

Mana wartawan arus perdana yang baru-baru ini sibuk menuduh kononnya berlaku pencurian pasir apabila berlaku banjir di Kajang baru-baru ini semata-mata untuk memburukkan imej Kerajaan Selangor? Ada orang curi pasirkah di tengah-tengah Jalan Tun Abdul Razak?

Foto Bernama:












[Video] ANAK Berdemo: "Kami Sayang Dzul, Benci Isa"

Posted: 13 Dec 2011 07:15 AM PST

ANAK berdemo, tuntut pengarah Felda dikekalkan

Sekumpulan 50 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini berhimpun di hadapan ibu pejabat lembaga berkenaan untuk menuntut supaya pengarah besarnya, Datuk Zulkifli Wahab dikekalkan jawatannya.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang mengetuai kumpulan itu berkata, "penyingkiran" Zulkifli merupakan satu penghinaan kepada ketua eksekutif berkenaan.

Mazlan mendakwa, penyingkiran itu dibuat berdasarkan syor daripada pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad kepada perdana menteri supaya Zulkifli mengambil cuti untuk belajar.

Beliau turut mengedarkan salinan dokumen didakwa surat Isa kepada perdana menteri bertarikh 21 November berhubung syor berkenaan.

"Sesungguhnya ini adalah proses penyingkiran kepada seseorang yang dilihat tidak mengikut telunjuk (Isa). Adalah menyedihkan seorang pengarah besar diperlaku begitu hina," kata Mazlan lagi dalam memorandumnya.

Jelasnya, Zulkifli disingkirkan kerana tidak bekerjasama dengan Isa dalam usaha untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd ke Bursa Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan memorandum berkenaan kepada seorang pegawai kanan Felda, Mazlan mendakwa, Zulkifli telah menyatakan pendirian menentang tindakan "gali kubur warga Felda" melalui penyenaraian itu.

Zulkifli berbuat demikian dalam satu mesyuarat lembaga Felda sebelum ini, kata Mazlan ketika ditanya wartawan.

Mengulas lanjut, beliau berkata penyenaraian itu akan menyebabkan pendapatan peneroka berkurangan sehingga 80 peratus daripada apa yang diunjurkan pada tahun lalu.

Jelasnya, penyenaraian berkenaan akan memberi keistimewaan kepada FGHV – antaranya pajakan tanah Felda seluas lebih 360,000 hektar dan juga hak mutlak ke atas tanaman, hasil jual beli dan juga insentif kerajaan.

"Maknanya kuasa (FGHV) sangat besar sehingga menelan (hak peneroka)," kata Mazlan lagi.

Mazlan juga berkata, sebab itulah juga keputusan untuk melantik Isa sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) dibuat oleh satu mesyuarat lembaga Felda pada 25 Ogos lalu, yang tidak dihadiri Zulkifli.

Mesyuarat tersebut dipanggil "secara tergesa-gesa" oleh Isa sendiri dan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga tidak keluar daripada mesyuarat apabila pelantikan berkenaan dibincangkan, dakwa Mazlan.

Mazlan mendakwa, tindakan itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

Selain melaungkan slogan "halau Isa" dan "hidup peneroka", kumpulan peneroka dan aktivis yang berhimpun selama lebih setengah jam di hadapan ibu pejabat Felda, Jalan Perumahan Gurney itu turut membawa sepanduk bertulis "Allah selamatkan Felda dan warganya daripada golongan pengkhianat." -mk




Peneroka tuntut kekalkan Datuk Dzulkifli, Isa undur

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kira-kira 50 wakil peneroka Felda daripada beberapa negeri hari ini menyerahkan memorandum menyokong Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab di Ibu Pejabat Felda, Jalan Gurney, dekat sini.

Memorandum sokongan itu ekoran tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Dzulkifli bercuti dan mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan bagi meningkatkan prestasi untuk melakukan transformasi Felda.

Ia merupakan cadangan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad melalui surat yang dihantar kepada Najib bertarikh 21 November.

Arahan bercuti dikeluarkan melalui surat yang diikeluarkan Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri 25 November lalu.

Difahamkan, Dzulkifli mula bercuti 25 November lalu dan telah berlepas ke London minggu lalu.

Memorandum yang diserahkan kepada wakil Felda, Muhamad Ibrahim antaranya menuntut Perdana Menteri menarik balik arahan bercuti itu dan menggugurkan Isa daripada jawatannya.

Mereka diketuai Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman berarak kira-kira satu kilometer menuju ke bangunan Felda dengan diawasi kira-kira 30 anggota polis beruniform termasuk polis cawangan khas.

Mereka melaungkan "undur Isa Samad", "hidup rakyat" sambil membawa sepanduk bertulis "kami sayang Dzul, benci Isa".

Bercakap kepada media selepas penyerahan memorandum, Mazlan berkata, pihaknya amat kesal dengan tindakan yang dilakukan terhadap Zulkifli yang dianggap sebagai seorang yang sangat amanah dan berdedikasi dalam tugasnya.

"Kami yakin tindakan ini sebenaranya penyingkiran kepada Datuk Dzul.

"Ia tidak beretika dan biadap terhadap Ketua Eksekutif Kumpulan yang mempunyai 23 kakitangan," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Menurut Mazlan, Isa tidak senang dengan Dzulkifli kerana menganggap Dzulkifli menghalang usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

"Dalam mesyuarat lembaga pengarah, Datuk Dzul pernah mempersoal di mana Felda nak cari duit untuk bayar gaji kakitangan Felda RM1.5 bilion bila FGVH melabur dalam Bursa Malaysia. Isa tidak senang kerana mengganggu usahanya untuk penyenaraian," jelas beliau. -HD





Ombak Besar Landa Pantai Dungun, Terengganu

Posted: 13 Dec 2011 04:53 AM PST

Teluk Lipat - Kejadian ombak besar yang disifatkan tsunami kecil melanda perairan pantai Dungun malam kelmarin bukan lagi satu fenomena baru bagi penduduk tempatan.

Namun, kejadian ombak setinggi kira-kira lima meter sehingga melintasi jalan raya utama di kawasan peranginan Pantai Teluk Lipat kira-kira jam 10 malam itu agak mencemaskan peniaga berdekatan kerana kawasan perniagaan mereka digenangi air laut sehingga mencecah kira-kira 0.25 meter.

Saksi kejadian, Wan Rohani Hassan, 54 berkata, fenomena ombak besar itu merupakan satu kejadian biasa setiap kali kedatangan musim tengkujuh.

Bagaimanapun kejadian pada malam kelmarin dianggap agak luar biasa kerana selain ombak besar, air laut juga turut melimpah masuk ke daratan sehingga membanjiri kawasan deretan medan selera Pantai Teluk Lipat.

Menurutnya, akibat kejadian yang disifatkan Wan Rohani sebagai tsunami kecil itu, dia terpaksa menghentikan operasi lebih awal kerana bimbang jika berlaku situasi lebih buruk sehingga boleh mengancam keselamatan pekerja yang rata-rata terdiri daripada ahli keluarganya.

"Kami terpaksa menutup operasi kerana takut kalau-kalau dihanyutkan ombak besar. Jika keadaan ini berterusan, maka saya bersama peniaga lain mungkin terpaksa menutup operasi buat sementara waktu sehingga keadaan cuaca kembali pulih," katanya.

Berbeza daripada tahun lalu

Menurutnya, fenomena ombak besar tahun ini agak berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana selain saiz ombak yang menghempas pantai dikatakan lebih besar, ia turut melanda beberapa lokasi lain yang berada berhadapan perairan pantai Dungun.

"Kalau sebelumnya, ombak besar ini hanyalah di kawasan pantai Teluk Lipat, tapi kali ini ia turut melanda beberapa lokasi lain seperti Teluk Bidara dan Sura.

"Jadi saya bimbang jika tragedi banjir besar yang berlaku di negara jiran turut melanda negara kita dan kejadian ombak besar ini merupakan satu petanda awal," katanya.

Rumah guru Al-Quran nyaris hanyut dipukul ombak

"Ketika itu, mak cik tak mampu nak buat apa-apa, hanya membaca ayat suci agar ombak reda sedikit, masa itu mak cik hanya ingat Tuhan sahaja," kata Wan Ngah Wan Mohd, 59, guru Al-Quran yang terpaksa bertarung nyawa setelah rumahnya di tepi laut di Teluk Bidara yang didiami sejak puluhan tahun itu dipukul ombak besar, malam kelmarin.

Menceritakan detik cemas ketika kejadian itu, Wan Ngah yang juga seorang ibu tunggal berkata, pengalaman berhadapan ombak besar itu amat menakutkannya.

Katanya, ketika itu dia dapat merasai ombak sudah mulai menghempas dinding rumahnya selain bawah rumah sudah dinaiki air laut sedalam kira-kira 0.5 meter.

Bagaimanapun, dia yang juga seorang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 sebulan terpaksa reda kerana tidak mampu untuk mencari tempat berlindung yang lebih selesa berikutan kesempitan hidup yang dilaluinya.

"Makcik tak tahu nak pindah ke mana, mak cik tiada tanah untuk buat rumah, walaupun tahu bahaya tinggal di sini, namun hanya pondok usang ini sahajalah yang mak cik ada. Kalau ditakdirkan mak cik habis nyawa dekat sini pun, mak cik reda," katanya yang kini turut mengajar kanak-kanak mengaji untuk menyara kehidupan.

Laluan pantai masih selamat?

Orang ramai yang sering menggunakan laluan jalan pantai dari Teluk Gadung ke Kuala Dungun kini bimbang dengan tahap keselamatan ekoran berlakunya beberapa kejadian tanah runtuh akibat kejadian ombak besar malam kelmarin.

Seorang pengguna, Mokhtar Mamat, 50, berkata, pihak berkaitan diharap sentiasa membuat pemantauan serta lebih peka dengan situasi semasa.

"Kalau boleh diletakkan papan tanda amaran selain menutup laluan yang difikirkan boleh membahayakan keselamatan pengguna berikutan terdapat kejadian tanah runtuh dan pokok yang hampir menyembah bumi," katanya. -SH


Amaran laut bergelora

KUALA TERENGGANU - Semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk kerja di pelantar minyak di negeri ini adalah berbahaya memandangkan keadaan laut bergelora buat masa ini, menurut Stesen Meteorologi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, semalam.

Jurucakap stesen itu berkata, angin kencang timur laut selaju 60 kilometer sejam dan ombak setinggi melebihi 5.5 meter dijangka berterusan sehingga 17 Disember ini.

Katanya dalam masa yang sama berlaku air pasang sehingga hari ini.

Sementara itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata gelombang kedua banjir mula berlaku di Terengganu apabila seramai 196 dari 41 keluarga di Besut dipindah.

Mereka ialah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkalan Atap Kuala Besut dipindahkan ke Balai raya kampung itu.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran bagaimanapun berkata paras air sungai utama di Terengganu tidak menampakkan tanda mencemaskan.

"Semuanya berada dalam keadaan stabil dan tidak membimbangkan setakat ini," katanya. -Bernama


Ada Cip Kamera Dalam Sabun Mandi

Posted: 13 Dec 2011 03:25 AM PST

Chennai (India): Penduduk Kerala menjadi cemas selepas mendapati cip elektronik ditanam dalam sabun mandi mereka.

Bimbang sekiranya cip itu bom atau bertujuan merakam mereka dalam keadaan bogel, penduduk Beemapalli di pinggir Thiruvananthapuram meminta bantuan polis bagi menyelesaikan misteri itu, menurut laporan media tempatan.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati ia tidak lebih daripada sabun berasaskan penderia gerakan yang diedar oleh firma farmaseutikal asing untuk mengkaji tabiat sanitasi di kalangan pengguna.

'Tiada apa yang mencemaskan dan menimbulkan misteri. Ia sama seperti strategi pemasaran lain oleh MNC (syarikat berbilang negara).

'Cawangan khas polis memutuskan untuk mengumpul dan mengesahkan butirannya daripada agensi penyelidikan itu,' kata pesuruhjaya polis bandar raya, Encik Manoj Abraham, kepada sebuah akhbar tempatan.

Syarikat itu didapati mengagihkan sabun mandi buku yang ditanam cip khas dan penduduk dijanjikan 400 rupee ($9.89) jika mereka mengembalikan sabun itu selepas beberapa hari.

Menurut polis, para penyelidik akan memuat turun data daripada cip itu menggunakan alat pembaca kad untuk mengkaji pola sanitasi.

Firma dari Britain itu membatalkan penyelidikan tersebut pada Sabtu lalu selepas akhbar berkenaan menyiarkan laporan mengenai kebimbangan penduduk. -- Agensi.

Tiada ulasan: