KPT serah kepada UIA tentukan nasib Aziz Bari Posted: 06 Dec 2011 02:55 AM PST Oleh Mohd Farhan Darwis
PUTRAJAYA — Kementerian Pengajian Tinggi berkata segala keputusan dan tindakan hasil siasatan terhadap pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari diserahkan kepada pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk menentukannya. Menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, kementeriannya tidak terlibat dalam membuat keputusan dan tindakan terhadapnya pensyarah fakulti undang-undang itu. "Kementerian tidak terlibat dengan sebarang tindakan termasuk siasatan terhadap Aziz Bari, perkara itu saya serahkan kepada pihak pengurusan UIA untuk membuat sebarang keputusan," katanya pada sidang media pelancaran Program Latihan Industri Graduan Berimpak Tinggi (HEIGIP) di pejabatnya di sini. Menurut Khalid lagi, hanya UIA yang berhak untuk membuat sebarang keputusan terhadap Aziz. "Biar UIA yang putuskan perkara itu," katanya lagi. Laporan The Malaysian Insider hari ini menyebut pentadbiran universiti itu meletakkan segala keputusan kepada Aziz jika mahu meninggalkan pusat pengajian tinggi itu. Aziz disiasat atas alasan telah memudaratkan imej universiti dan juga polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, termasuk siasatan atas dakwaan mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu Jais dan gereja baru-baru ini. Rektor UIA Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin yang dihubungi The Malaysian Insider berkata: "Keputusan itu hanya Aziz yang berhak menjawabnya." "Itu semua terpulang kepadanya," katanya ketika ditanya berkenaan perkara itu. Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat berkenaan perkara itu, sebaliknya menyerahkannya kepada rektor untuk memberikan kenyataan. "Saya tiada maklumat tentang perkara itu, mungkin boleh dirujuk kepada Rektor UIA," katanya. Kelmarin, Aziz tidak menafikan akan meninggalkan UIA awal tahun depan ekoran beberapa siri tekanan yang dikenakan ke atasnya. |
KITA ubah pendirian, tak tanding PRU-13 Posted: 06 Dec 2011 02:54 AM PST THE MALAYSIAN INSIDER
KUALA LUMPUR ― Parti KITA, pimpinan Datuk Zaid Ibrahim yang ditubuhkan setahun lalu, tidak akan meletakkan sebarang calon dalam pilihan raya umum ke-13. Berbanding kenyataan-kenyataan sebelum ini, kepimpinan parti itu berkata pihaknya akan menyokong pembangkang. "Dalam usaha mengekalkan solidariti dalam pembangkang, KITA tidak akan meletakkan calon," kata satu kenyataan dikeluarkan petang ini. Dengan menjanjikan sokongan tanpa syarat kepada pembangkang, KITA berkata, kini adalah masa bagi negara membuat pengorbanan. Pertengahan bulan lalu, Zaid (gambar) berkata KITA mahu bertanding merebut kerusi Parlimen di Selangor pada pilihan raya umum ke-13. Beliau memberi fokus pada kawasan Petaling Jaya. "Saya belum buat keputusan muktamad sama ada Petaling Jaya Selatan (PJS), atau Petaling Jaya Utara (PJU)," katanya. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, ita kini telah mengenal pasti beberapa kerusi berpotensi untuk meletakkan calonnya seluruh negara. |
Biar pucuk pimpinan tunjuk Shahrizat ‘jalan’, kata Raja Nong Chik Posted: 06 Dec 2011 02:52 AM PST Oleh Mohd Farhan Darwis
PUTRAJAYA ― Timbalan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan sama ada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil wajar terus memegang jawatan politik atau memintanya berundur ekoran skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) kendalian anak-anak dan suaminya. Ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Greater Kuala Lumpur/Klang Valley Tender Alert System (G-TAS) di sini, Ketua Umno Lembah Pantai ini berkata, walaupun banyak isu dibangkitkan pembangkang termasuk NFC, keputusan sama ada Shahrizat akan kekal sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan juga Ketua Wanita Umno seharusnya diputuskan di peringkat pusat. Shahrizat tewas dalam mempertahankan kerusi Lembah Pantai tiga tahun lalu. Raja Nong Chik (gambar), Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, disebut-sebut akan bertanding di kerusi Parlimen Lembah Pantai yang kini disandang oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar. "Biarlah pucuk pimpinan yang menentukan kedudukan beliau," kata beliau. "Banyak isu yang dibangkitkan pembangkang kebelakangan ini, dan sekarang ini pun siasatan masih lagi sedang berjalan berhubung perkara itu. Jadi biarlah siasatan selesai dahulu," katanya lagi. Semalam, seorang lagi pemimpin Umno, kali ini dari bahagian Cheras yang terletak di Wilayah Persekutuan mendesak Shahrizat melepaskan jawatannya berhubung isu kontroversi NFC. Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabsee berkata, Shahrizat tidak perlu menunggu lampu hijau untuk berundur ataupun didesak oleh Datuk Seri Najib Razak untuk berbuat demikian. Menjelaskan pendiriannya, Raja Nong CHik berkata, terdapat perbezaan ketara antara kerajaan dan pembangkang iaitu pembangkang kerap mengeluarkan isu manakala kerajaan fokus dengan tugas mentadbir negara. "Pihak sebelah sana (pembangkang) suka keluarkan isu, kita (kerajaan) pula banyak buat kerja, jadi lebih baik kita fokus kepada kerja daripada fikirkan isu mereka," jelasnya. Ekoran daripada isu NFC yang dibangkitkan Pakatan Rakyat, Shahrizat menerima banyak desakan supaya melepaskan jawatan yang dipegangnya termasuk ahli parlimen Barisan Nasional sendiri. Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno mendakwa isu NFC kini menjadi liabiliti kepada parti. Kata Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional ini, meskipun Shahrizat telah menjelaskan ketika Perhimpunan Agung Umno lalu, tetapi apa yang lebih penting ialah persepsi publik. |
Janji bina baru SJKT Menglembu hanya atas angin Posted: 06 Dec 2011 02:50 AM PST Harakahdaily
| BATU GAJAH: "Adakah benar kerajaan sudah menyediakan peruntukan untuk membina bangunan baru untuk SJKT Menglembu?" tanya Adun Tronoh, V Sivakumar. Jika benar, katanya berapakah wang peruntukan yang telah diluluskan dan bilakah kerajaan akan memulakan kerja-kerja membina bangunan baru sekolah itu. Katanya, SJKT Menglembu merupakan satu lagi sekolah Tamil yang memerlukan perhatian kerajaan dengan segera. Sekolah itu, ujarnya mempunyai lebih kurang 304 orang murid pada tahun 2011, tambahan pula ia merupakan satu-satunya sekolah Tamil di Dun Menglembu. Oleh itu, katanya ibu bapa di kawasan itu tidak ada peluang lain kecuali menghantar anak-anak mereka ke sekolah itu. Beliau telah membangkitkan isu sekolah itu dalam persidangan Dewan Negeri Perak pada 24 November lalu. "Sekolah ini menghadapi pelbagai masalah yang perlu diselesaikan dengan segera. Masalah-masalah sekolah ini telah dibawa kepada perhatian pihak-pihak yang bertanggungjawab tetapi tidak ada sebarang tindakan yang sewajarnya telah diambil setakat ini," katanya lagi. Justeru, ujarnya setiap pemimpin yang melawat sekolah itu hanya berjanji kosong untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Menruutnya, selepas sidang Dun ada pemimpin-pemimpin MIC negeri membuat kenyataan akhbar bahawa mereka telah menyelesaikan masalah sekolah itu. "Ini tidak benar kerana tidak ada apa-apa bukti bahawa masalah yang dibangkitkan itu telah diselesaikan. "Saya memberi amaran keras supaya jangan memberi janji kosong semata-mata untuk menipu masyarakat India dan menang pilihanraya," tegasnya yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak. Sekolah itu, jelasnya merupakan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan tetapi kerajaan tidak memberi perhatian yang serius untuk menyelesaikan masalah. Menurutnya lagi, SJKT Menglembu hanya memiliki 6 buah bilik darjah utama untuk menampung 304 orang murid di mana setiap bilik darjah dikongsi untuk digunakan sebagai 2 bilik darjah. Masalah seperti itu, katanya tidak wujud di sekolah-sekolah kebangsaan kerana mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu. Katanya lagi, bunyi bising dalam bilik-bilik yang dikongsi itu menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan guru-guru dan murid-murid, tambahan pula bilik komputer dan perpustakaan juga telah dijadikan sebagai bilik darjah untuk menampung keperluan yang terdesak. Oleh itu, ujarnya perpustakaan dan bilik komputer tidak boleh berfungsi dalam keadaan biasa. Baginya, ini merupakan satu bukti bahawa sekolah-sekolah Tamil sentiasa dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri. "Walaupun kerajaan telah menjanjikan untuk membina bangunan baru untuk sekolah ini, tetapi janji itu bagaikan janji di atas angin. "Pemimpin-pemimpin MIC, seperti biasa berkata, perkara ini 'masih dalam perhatian dan tindakan kerajaan'. Inilah frasa yang paling digemari oleh pemimpin-pemimpin MIC untuk melarikan diri daripada tanggungjawab," ujarnya lagi. Katanya, kerajaan boleh meluluskan peruntukan wang berjuta-juta ringgit untuk sekolah-sekolah kebangsaan tetapi sekolah Tamil Menglembu tidak dipedulikan walaupun masalah itu lama telah dibawa kepada perhatian kerajaan. "Saya telah menulis surat kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengarah Pelajaran Negeri Perak pada 16 Jun 2011. Tetapi setakat ini tidak ada sebarang maklum balas mengenai hal yang dibangkitkan," ujarnya. Justeru, beliau mengharapkan kerajaan akan menggunakan wang peruntukan Kementerian Pelajaran dalam Bajet 2012 untuk membina bangunan baru SJKT Menglembu. Pada masa ini, pihak Tamil Pallithirvukullu sedang mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan ibu bapa bagi membincangkan masalah yang dihadapi oleh sekolah itu. "Jika masalah ini tidak diselesaikan segera, maka satu tindakan yang lebih drastik perlu diambil untuk mencubit telinga pemimpin-pemimpin yang pura-pura tidur," katanya sinis. |
|
Undi pos meningkat 1,343% di Lembah Pantai Posted: 06 Dec 2011 02:49 AM PST Muhammad Faizal
| KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, peningkatan 1,463 peratus pengundi pos berlaku di Parlimen Lembah Pantai (P.121). "Peratus peningkatan ini amat ketara iaitu peningkatan sebanyak 1,463 peratus dalam masa dua bulan iaitu pada 26 September yang lalu hanya 149 pengundi tetapi pada 2 November ia meningkat kepada 2,180 pengundi. "Melihat kepada angka ini jelas Barisan Nasional melalui SPR begitu terdesak untuk menawan balik kerusi Lembah Pantai," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai pada satu sidang media di pejabatnya hari ini. Nurul Izzah juga berkata, atas desakan tersebut SPR sanggup melakukan apa sahaja sehinggakan terdapat dalam senarai nama daftar pemilih yang baru dikeluarkan itu pengundi boleh mengundi dua kali di peti undi yang berlainan. Selain itu juga, katanya terdapat pengundi yang mempunyai nama di Parlimen Lembah Pantai dan boleh mengundi di Bukit Bintang. "Melalui penelitian yang telah pihak kami lakukan iaitu semakan senarai nama lebih kurang dua ribu pengundi, kami dapati sebanyak 97 nama mempunyai keraguan iaitu dari segi tiada rekod di dalam sistem talian walaupun dalam senarai daftar pemilih ada. "Dalam pada itu juga kita telah menjumpai pemilih yang mengundi di dua tempat seperti Saripah Haji Arif (RF90153) yang mengundi di Balai Polis Pantai dan juga di Balai Polis Pekan. "Sementara itu Mohd Fajree Zulkifli (RF146959) pula boleh mengundi di Balai Polis Pantai dan juga Balai Polis Petaling iaitu di dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai. "Ini adalah contoh-contoh senarai nama yang telah kami perolehi melalui semakan yang telah dilakukan dan kami pasti jika ditelitikan kesemua nama-nama daripada 97 yang dikenalpasti ia akan meningkat lagi," sambungnya lagi. Nurul Izzah juga berharap apa yang telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) dapat dilaksanakan sebelum pilihanraya nanti bagi memastikan ia berlaku secara adil serta telus. "Begitu juga cadangan memansuhkan undi pos serta menggantikan dengan undi awal tetapi itu belum pasti sama ada ia dapat dilaksanakan sebelum pilihanraya atau pun tidak, dengan alasan BN begitu terdesak untuk memenangi pilihanraya nanti," kata Nurul Izzah lagi. Beliau juga berpendapat Pakatan Rakyat berhadapan masalah yang serius dalam menghadapi pilihanraya terutamanya peningkatan mendadak undi pos. "Ini baru berlaku di Lembah Pantai dan di tempat-tempat lain juga sedemikian, apa yang pasti kita berhadapan dengan masalah yang serius pada pilihanraya nanti. "Apa yang ingin saya tekankan SPR perlu tampil dan beri kenyataan pada media berhubung dengan senarai nama mencurigakan ini dan jangan berdiam diri," katanya. |
|
Gerhana: Najib ugut minda rakyat Posted: 06 Dec 2011 02:46 AM PST Harakahdaily
| KUALA LUMNPUR: Negara terus dilanda 'gerhana' dan rakyat akan berada dalam kegelapan seperti sekarang jika masih terus memilih BN dalam PRU ke-13 nanti. Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) melahirkan kekesalan di atas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi amaran masa depan orang Melayu akan 'gerhana' jika Barisan Nasional (BN) pimpinannya tidak lagi kekal berkuasa dalam pilihanraya umum ke 13. "Bagi DPP Malaysia, kenyataan ini berunsur ugutan terhadap rakyat Malaysia agar jangan mengundi selain Barisan Nasional dalam PRU ke 13 nanti," kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor kepada Hasrakahdaily. Katanya, DPP Malaysia beranggapan PM merasa terlalu takut sehingga sanggup memberi amaran terhadap rakyat Malaysia. Tambahnya, Najib cuba memberi gambaran bahawa hanya BN layak memerintah, dan jika Pakatan Rakyat memerintah, negara akan musnah dan porak peranda. Bagi DPP Malaysia, ujarnya mungkin PM telah terlupa bahawa Pakatan Rakyat sekarang ini memerintah kerajaan negeri Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan dan pernah mentadbir Perak. Katanya lagi, tidak ada satu pun negeri yang diperintah oleh Pakatan rakyat mengalami 'gerhana' seperti yang didakwa beliau. Malah, jelasnya prestasi kerajaan Pakatan Rakyat jauh meninggalkan negeri-negeri pimpinan Barisan Nasional. Menurutnya, dalam masa yang singkat kerajaan Selangor berjaya buktikan kemampuan mereka dengan mendapat keuntungan RM1.1 bilion dan menjadi rekod kewangan paling baik dalam tempoh 28 tahun, manakala Pulau Pinang berjaya menempatkan diri sebagai negeri terbaik dari sudut pengurusan kewangan. Kedah pula, ujarnya berjaya mengurangkan defisit hutang yang ditanggung bertahun-tahun lamanya dan kini sedang pesat membangun di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak manakala Kelantan pula berjaya mengekalkan prestasi sebagai negeri yang bebas dari rasuah meskipun telah memerintah selama 20 tahun disamping terus cemerlang dengan kejayaan-kejayaan yang diraih. Sebaliknya, kata beliau era kepimpinan Najib merupakan zaman paling hitam dalam sejarah negara. "Indeks Presepsi Rasuah mencatat kemerosotan untuk tiga tahun berturut-turut, berlakunya ketirisan serta penyelewengan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010, serta pelbagai skandal pemimpin besar negara seperti Projek Feedlot dan kondominium mewah, pemborosan projek besar negara dan lain-lain lagi," katanya. Beliau menambah, DPP Malaysia turut kesal kerana PM mempersoalkan adakah maruah Islam dan orang Melayu terbela jika Pakatan Rakyat memerintah. Justeru, ujar Riduan PM sepatutnya bertanya kepada dirinya sendiri dan melihat kepada kepemimpinannya, adakah beliau sendiri membela orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Sedangkan, ujarnya nasib Kampung Baru yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu turut tergadai di bawah kepimpinannya, hukum Islam tidak dilaksanakan malah menjadi bahan cemuhan seperti yang berlaku dalam forum terbaru anjuran MCA,mengapa pula Najib tidak perlu menaruh prasangka buruk terhadap Pakatan Rakyat. |
|
Pemuda pastikan sejarah 2004 tidak berulang Posted: 06 Dec 2011 02:43 AM PST Mohd Nor Yahya | KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan bersiap sedia menggempur kubu Umno bagi memastikan sejarah pilihan raya umum 2004 tidak berulang semula. Ketuanya Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, sehingga kini sudah ada beberapa Pemuda kawasan membuka bilik gerakan sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya umum ke-13. Katanya, ia menggambarkan kesungguhan pemuda PAS mempertahankan Kelantan bagi mengelakkan peristiwa 2004 berulang kembali apabila Umno/BN mendapat lonjatan besar. Ketika itu BN mendapat 21 kerusi Dun berbanding 24 PAS. Bagaimanapun pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir BN mendapat tambahan satu lagi kerusi. Abdul Latiff berkata, pelbagai program dijalankan Pemuda PAS negeri dengan dibantu pemuda kawasan mendapat sambutan begitu menggalakkan. "Misalnya programk pemuda masuk kampung di Dun Bukit Bunga mendapat sambutan luar jangka apabila ramai anak muda datang mengebarkan bendera Bulan Purnama," katanya pada sidang akhbar program "Maghri Pakat Ggateh D'Kuala Krai di sini kelmarin. Abdul Latiff yang juga Adun Mengkebang berkata, Pemuda PAS Kelantan menggunakan lima pendekatan bagi mendekati golongan muda iaitu program gotong royong, ziarah dan cakna masyarakat, mesra kedai kopi, pentas Pemuda serta Bekwoh Anak Muda. Kata beliau program tersebut mendapat sokongan padu anak-anak muda yang menggambarkan sokongan mereka tidak berubah kepada PAS dan Pakatan Rakyat seperti 2008. Ditanya calon di kalangan pemuda, Abdul Latiff berkata, senarai nama sudah disiapkan untuk diangkat kepada Badan Perhubungan Negeri. "Pemuda PAS tidak ketandusan calon yang berwibawa untuk diketengahkan. Bagaimanapun segala keputusan akan ditentukan pimpinan negeri dan pusat," ujar beliau. Sementara itu dalam perkembangan lain katanya, program "Maghri Pakat Ggateh" anjuran Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO akan diperluaskan ke jajahan Kuala Krai. Beliau berkata, program itu meliputi tiga Dun akan diadakan 10 Dismber ini bermula di Padang Taman Chintawangsa berhampiran Tasik Krai. Katanya penyertaan terbuka kepada orang ramai menggunakan pelbagai jenis basikal termasuk klasik, Fixie, Mountain Bike dan sebagainya. "Kita akan mengayuh basikal sejauh 31 km dengan merentasi laluan berbukit melalui Jalan Batu Balai-Mengkebang-Simpang Tiga Sungai Pahi-Temalir-Belangga dan kembali ke TamanChintawangsa," katanya. |
|
Bob Lokman akan dibicara 14 Februari depan Posted: 06 Dec 2011 02:42 AM PST KUALA LUMPUR- Pengacara, pelakon, pelawak dan penulis lirik lagu terkenal, Bob Lokman akan dibicarakan di Mahkamah Syariah Kajang pada 14 Februari 2012 depan kerana didakwa menyampaikan ceramah tanpa tauliah. Perbicaraan kes beliau akan berlangsung pada waktu pagi, tetapi masih belum ditentukan waktunya, hasil rundingan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengannya. Menurut Bob, rundingan tersebut telah diadakan beberapa kali di beberapa tempat termasuk di Pejabat Jais di Shah Alam, selain di beberapa tempat lain setelah pihak Jais sendiri yang datang menemuinya. Katanya, hasil rundingan-rundingan itu, akhirnya beliau bersetuju untuk dibicarakan dan berjanji akan hadir ke Mahkamah Syariah Kajang pada 14 Februari nanti. "Jais dah berunding dengan saya beberapa kali. Jadi, saya tak mahulah buat kecoh. Insya Allah, saya akan hadir ke Mahkamah Syariah Kajang pada hari yang telah ditetapkan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini. Bob Lokman ditahan oleh Jais kerana dipercayai atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah pada malam 10 Oktober lalu, setelah beliau selesai menyampaikan ceramah selepas solat Maghrib di hadapan kira-kira 70 jemaah di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. Beliau dibawa ke Balai Polis Batu 18 di Hulu Langat dan dilepaskan kemudiannya. Ketika insiden itu, kira-kira 25 penguatkuasa Jais, pihak polis dengan 2 buah kereta, Kadi Hulu Langat turut hadir bagi tujuan itu. Bob yang juga cucu ulama terkenal Kelantan, Tok Kenali, diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat sebelum tengah hari 11 Oktober lalu bagi memberikan kenyataan. Selain beliau, Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan bagi pihak penganjur majlis ceramah itu turut diminta hadir ke pejabat agama tersebut bagi memberikan kenyataan. Ketika dihubungi 11 Oktober lalu, beliau mengesahkan penahanannya itu dan turut menegaskan tidak akan hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat seperti yang diarahkan itu. "Mereka yang datang untuk menangkap saya itu sendiri mengakui saya tidak menyampaikan perkara yang salah di dalam ceramah saya itu tetapi hanya kerana tanpa tauliah," katanya. Beliau turut mempersoalkan tindakan Jais ke atasnya itu kerana menahan beliau setelah menjadi baik, tetapi tidak ketika dia sedang bergelumang dalam arus keduniaan sewaktu berada dalam dunia hiburan dulu. Tindakan Jais itu disifatkan oleh beliau seolah-olah mahu menyekatnya supaya tidak menjadi baik, sebaliknya untuk mendorongnya agar terus hanyut dalam arus keduniaan seperti masa lalu. Sehubungan itu, beliau akan terus melakukan kerja-kerja dakwah dengan mendekati pelbagai golongan dalam masyarakat termasuk para penagih dadah untuk mengajak mereka kembali ke jalan Allah. Menurut Bob, beliau tidak risau untuk hadir ke Mahkamah Syariah Kajang pada 14 Februari nanti kerana tindakan yang dilakukan ke atas beliau itu bukankah kerana berpunca dari sebarang kesalahan dari pihaknya. "Jadi saya tak perlu takut dan tak pun berasa takut kerana saya tak lakukan apa-apa kesalahan pun. Tindakan yang dikenakan ke atas saya kerana saya menyampaikan perkara yang baik kepada masyarakat. Jadi, apa saya nak takut?" tegasnya. Hasil rundingan pihak Jais dengannya, beliau mengakui diberikan tawaran oleh pihak Jais untuk diberikan tauliah mengajar agama, khususnya tauliah motivasi. "Saya dah diberikan borang dan dah pun mengisi borang, tetapi hingga sekarang saya masih juga belum diberikan tauliah motivasi seperti yang dijanjikan itu," jelasnya. Beliau mengakui sering menerima undangan daripada pelbagai pihak untuk menyamapikan ceramah dan sering sibuk dengan aktiviti dakwahnya setiap hari. "Setiap kali saya ke masjid memang ada pihak Jais yang datang mengikuti ceramah saya. Tapi mereka tak ganggu saya dan tak pun tangkap saya. "Saya fikir mereka tak boleh tangkap saya sebab tak cukup syarat untuk tangkap saya kerana yang saya buat dan sampaikan adalah perkara baik seperti yang dituntut dalam Islam," ujar beliau. --HarakahDaily |
Gerakan Selamatkan Felda di Jengka, Khamis ini Posted: 06 Dec 2011 02:41 AM PST KUALA LUMPUR- Orang ramai khususnya warga Felda sekali lagi diajak ke program pelancaran 'Gerakan Selamatkan Felda' peringkat kebangsaan pada 8 Disember ini, di perkarangan Masjid Lama Bandar Jengka, Pahang. Menurut Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, program itu bertujuan memberi penerangan kepada warga Felda mengenai penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke dalam Bursa Saham Malaysia (BSKL). Penyenaraian itu akan menyebabkan 360,000 hektar tanah dicagar kepada FGVH bermula Januari tahun hadapan. Pakar ekonomi, Dr Rosli Yaakob dan Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa), Razman Zakaria dijangka memberikan penerangan mengikut pengalaman masing-masing. "Program ini akan bermula dengan solat Maghrib dan solat hajat yang akan dipimpin oleh Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man disusuli dengan sesi penerangan," kata beliau kepada Harakahdaily. Program itu akan diteruskan ke Kolej Universiti Islam Zulkifli Ahmad (KUISZM) di Taman Melewar pada 10 Disember dan ke Segamat pada 11 Disember dan akan bergerak ke negeri-negeri lain. Selain itu, Mazlan turut memberitahu, pada 20 Disember pula, Anak akan mengetuai kira-kira 30 peneroka Felda di seluruh negara untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri mendesak jawatan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda dan Datuk Sabri Ahmad sebagai Pengarah Urusan FGVH dilucutkan. Ia rentetan daripada kempen mansuhkan Isa yang mengumpul tandatangan bantahan peneroka Felda terhadap Isa yang dilancarkan 18 Oktober lalu. "Dalam memorandum kepada Datuk Seri Najib Razak, kita mendesak Isa dan Sabri digugurkan daripada jawatan masing-masing serta mendesak kerajaan membatalkan cadangan penyenaraian FGVH," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat. Tegas Mazlan lagi, sekiranya tiada sebarang tindakan daripada Najib, Anak akan mendapatkan perintah mahkamah agar melarang Felda melakukan penyenaraian itu. Ianya akan dilakukan sebelum mesyuarat agung luar biasa Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang dijangka pada 5 Januari tahun hadapan. "Kita telah berbincang dengan pihak peguam mengenai tindakan mahkamah ini dan jika tak ada respon dariapda Perdana Menteri, kita akan abil tindakan mahkamahlah kerana penyenaraian ini melibatkan cagaran aset peneroka," katanya. --Harakahdaily |
Pak Lah Kata Akan Kempen Tapi Tak Mahu Sebut Sama Ada Akan Pertahan Kerusi Parlimen Posted: 06 Dec 2011 02:37 AM PST KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan tetap turun berkempen di kawasan parlimennya Kepala Batas pada pilihan raya umum akan datang. Bagaimanapun, Abdullah tidak menyatakan dengan jelas apakah beliau akan terus bertanding mempertahankan kerusi parlimen Kepala Batas yang disandangnya sekarang. Katanya, bukan semua yang turun berkempen bermakna dia akan bertanding dalam pilihan raya. "Tak usah cakaplah, macam saya ni orang tak mau dengar dah...," katanya dalam nada santai pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar kebangsaan "Kesan Sistem Kewangan Islam di Malaysia Terhadap Kekuatan Ekonomi Ummah - Satu Penilaian" di Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, Selasa. "Memadai untuk saya katakan sebagai anggota parti, saya akan berkempen untuk BN," katanya lagi. -mStar |
Zambry bertatih di Perak manakala Ngeh perjelas komen mengenai orang India Posted: 06 Dec 2011 02:35 AM PST Dalam kekecohan politik Perak dengan kejatuhan Umno negeri itu, Pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham telah memutuskan untuk memperjelaskan isu yang melanda dirinya. Setelah cuba mempertahankan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming atas dakwaan komen beliau yang berbau perkauman, Ngeh diselar disebabkan tweet beliau yang mengatakan orang India bodoh. "Tweet saya mengatakan bahawa Zambry dan MIC janganlah fikir bahawa Orang India itu bodoh dan mempercayai interpretasi mereka bahawa Ahli Parlimen "hitam metallic" Zambry merujuk kepada kaum india. Saya mengatakan bahawa orang India bukanlah bodoh." Kata Ngeh dalam sms beliau kepada Malaysia Chronicle. "Perkataan "mereka" merujuk kepada Vel Paari dan Zambry. Mereka cuba membuat kaum India menutup keadaan Zambry yang tidak sah. Orang India tidaklah sebodoh yang Vel Paari dan Zambry fikirkan. Tweet Panas Isu itu menjadi panas setelah Ngeh menulis satu mesej di twitter: "Vel Paari dan Zbry bermain politik perkauman. Sudah dijelaskan Hitam Zambry maksud Zambry tak sah. Cuba buat orang India tutup beliau tak sah. Orang India bukan sebodoh yang mereka fikirkan. Ngeh enggan memberi komen mengenai keadaan politik Umno di Perak. Timbalan ketua pemuda PAS di Perak, Raja Ahmad Al-Hiss sudah menggesa ketua Umno negeri untuk namakan calon MB. "Adakah Tahol Rosli akan kembali menerajui Umno Perak?Atau adakah Ahmad Husni akan menggantikan Zambry?" Harakahdaily melaporkan Raja Ahmad sebagai berkata dan menambah bahawa Najib Razak sendiri tidak tahu siapakan akan menerajui Perak sekiranya BN kekal di Perak. Sebelum Nga mohon maaf Mengenai penghinaan terbaru itu, sesetengah orang berpendapat bahawa Ngeh memaksudkan bahawa orang India tidaklah sebodoh yang mereka sangkakan. Dan dengan ini, Ngeh dikecam kerana telah membuat "Freudian slip" iaitu beliau memeng merasakan dilubuk hati beliau bahawa orang India sememangnya bodoh. Haruslah di jelaskan di sini bahawa tweet Ngeh itu dan kekecohan yang timbul telah hadir sebelum permohonan maaf Nga diwar-warkan media. Ramai yang menuduh Ngeh, yang juga sepupu Nga, sebenarnya ingin melepaskan diri daripada suatu situasi yang tidak baik dengan memberi alasan. Walaubagaimanapun, Nga, seorang pemimpin muda harapan telah pun melakukan perkara yang betul. Nga telah pun memohon maaf kepada semua yang tersinggung dengan deskripsi beliau mengenai MB itu – "Metallic black chief minister" yang merujuk kepada kulit Zambry yang gelap. Nga juga telah memohon maaf kepada Zambry. Memandangkan Zambry, seorang ahli politik yang kurang popular di persada politik Malaysia- telah dituduh memusnahkan sistem perundangan Perak dengan membantu PM Najib Razak untuk menumbangkan negeri Pakatan Rakyat pada 2009, ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh Kor Ming. Walaubagaimanapun, Ahli Parlimen Taiping itu tetap melakukannya. Sekarang, Zambry pula yang melakukan sesuatu yang tidak enak dengan mengatakan bahawa beliau tidak menerima permohonan maaf secara peribadi. "Kenapa pula Kor Ming harus membuat permohonan maaf secara peribadi? Beliau telah pun memohon maaaf secara terbuka dan sekiranya itu tidak dapat memuaskan hati Zambry dan BN, ia menunjukkan betapa rendahnya keperibadiaan mereka. Suatu kumpulan manusia yang tiada standad dan bankrap idea. Ini adalah alasan yang kukuh kenapa rakyat Perak, terutamanya kaum India harus menolak Umno-BN." Komen Timbalan presiden PKR, Chua Jui Meng kepada Malaysia Chronicle. Tangan MCA Sementara itu, Ngeh juga telah dikecam kerana apa yang beliau telah lakukan walaupun Kor Ming telah memberi penjelasan dan memohon maaf. Kelihatan seperti Umno-BN dengan sengaja menggunakan isu ini untuk menumbangkan dua saudara itu. Sudah ada cakap-cakap bahawa Presiden MCA, Chua Soi Lek ingin mendapatkan kerusi seleasa Umno di Perak. MCA dianggap sebagai sudahpun semakin jatuh dan kelihatan tidak mungkin Soi Lek akan berjaya untuk memenangi mana-mana kawasan Cina di Perak mahupun di mana jua. Dan beliau juga akan terpaksa mengambil tempat calon Umno sekiranya beliau ada peluang untuk menang sekalipun. Bagi Ngeh dan Nga pula, mereka dilihat sebagai sangat berpengaruh di Perak dan kedua-dua mereka adalah pemimpin yang berkaliber yang turut memainkan peranan penting dalam memenangi Perak untuk Pakatan pada pilihanraya 2008. Dengan itu, isu hitam metalik itu adalah sepeti pemberian tuhan kepada Soi Lek kerana beliau sangat ingin menyedarkan rakyat Perak. Nga dan Ngeh telah bekerja keras Pada tahun 2009, Najib didakwa membeli 3 orang penting, 2 dari PKR dan 1 dari DAP untuk mendapatkan kuasa atas dewan negeri. Najib turut mendapat bantuan daripada Istana Perak untuk mendapatkan pertukaran kerajaan yang segera – yang dianggap sebagai krisis perlembagaan kerana menjadi contoh jelas bagaimana undang-undang boleh diputar belitkan oleh kerajaan yang bersekongkol dengan badan kehakiman. Nga dan Ngeh telah dituduh mengutuk habis-habisan ahli dewan undangan negeri Hee Yit Foong kerana berubah fikiran, kenyataannya adalah Hee juga didakwa menerima bayaran lumayan kerana bersetuju menjadi ahli bebas yang pro BN. Survei terbaru menunjukkan bahawa kemungkinan besar orang Perak akan mengundi Pakatan dalam pilihanraya seterusnya. Inilah yang menyebabkan BN berusaha untuk memburukkan Ngeh dan Nga yang diketahui mendapat sokongan yang baik daripada orang Perak. "Kedua-dua mereka telah berusaha dengan gigih. Sekiranya Nga telah membuat kesilapan, beliau telahpun meminta maaf dan beliau haruslah diberi peluang. Sekiranya tidak, mereka yang sering mengkritik ini jelas mempunyai motif tersendiri. Bagi Ngeh pula, beliau juga tidak bernasib baik kerana perkara ini berlaku semasa ada yang masih lagi emosi." Kata Jui Meng. Tak silap saya, Ngeh telah bersusah payah belajar bahasa Tamil. Beliau boleh bercakap bahasa itu dan sebab inilah rakan beliau berbangsa India memahami maksud beliau. Mereka tahu beliau bukanlah bersikap perkauman dan selepas beliau memohon maaf, seharusnya beliau dan juga Pakatan tidak harus dilihat sebagai bersikap perkauman lagi.Ini adalah sangat penting- memohon maaf dan dilihat memohon maaf. Kesilapan harus juga diperakui telah berlaku. Zambry yang bongkak harus disingkirkan Dalam Perak, sudah ada isyarat kuat bahawa Zambry akan tetap disingkirkan sekiranya BN menang di Perak. Zambry telah dituduh mengasingkan tanah untuk kroni-kroni Umno dan telah sekali lagi membentangkan difisit dalam buget Perak dengan mencadangkan RM915 juta untuk menhasikan sesuatu yang memberi pulangan berdasarkan "ramalan" dan "andaian" semata-mata yang berjumlah RM865 juta. Media BN melabelkan ia sebagai bujet yang memberi senyuman kepada rakyat Perak, akan tetapi, ramai orang Perak takut Zambry dan Umno akan membelanjakan lebih banyak kerana takut mereka kalah kepada Pakatan sekali lagi dalam pilihanraya seterusnya. Zambry juga dilihat sebagai tidak dapat menyatukan negeri itu setelah tragedy rampasan kuasa dengan persidangan dewan sangat dikawal ketat sehinggakan perdebatan terpaksa dihentikan. Sememangnya, beliau telah melawan api sekali lagi dan bukan hanya dengan Pakatan tetapi juga dengan rakan Umno beliau yang tidak suka kepada sikap angkuh beliau. Ramai yang mahukan Tajol Rosli, bekas MB Perak untuk menjadi MB semula sekiranya BN menang. Juga ada cakap-cakap bahawa Zahid Hamidi, menteri persekutuan akan diletakkan di Perak sebagai Menteri Besar dalam usaha Najib menghentikan kejatuhan Umno Perak. Seorang lagi calon adalah Menteri Kewangan Kedua, Husni Mohamad Hanadzlah, yang dikatakan rapat dengan Najib. Malaysia Chronicle |
Memorandum Dong Jiao Zong kepada PM (Bhg 1) Posted: 06 Dec 2011 02:31 AM PST Dong Jiao Zong
(1) PENDAHULUAN
Negara kita merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa, bahasa, budaya dan agama. Perlembagaan negara menghormati pengekalan dan pembangunan bahasa, budaya dan agama yang berbagai-bagai.
Rukun Negara memperakukan hakikat ini dan menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak. Jelas sekali, dalam konteks Rukun Negara, masyarakat berbilang bangsa bukan faktor yang menghalang kemajuan negara, sebaliknya kepelbagaian budaya dan bahasa masyarakat berbilang bangsa merupakan aset dan kelebihan negara kita.
Selain itu, penerimaan dan pembangunan pendidikan bahasa ibunda sesuatu bangsa dan pemilihan jenis pendidikan oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka merupakan hak asasi manusia yang diperakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Semasa rakyat berbilang bangsa bersama-sama menuntut kemerdekaan negara, Ordinan Pelajaran 1957 yang digubal ketika itu menerima dasar pendidikan multiculturalism yang memenuhi kehendak pendidikan bahasa ibunda. Ini jelas dinyatakan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan yang ditetapkan oleh seksyen 3 Ordinan Pelajaran 1957 yang menyatakan bahawa "The educational policy of the Federation is to establish a national system of education acceptable to the people as a whole which will satisfy their needs and promote their cultural, social, economic and political development as a nation, with the intention of making the Malay language the national language of the country whilst preserving and sustaining the growth of the language and culture of people other than Malays living in the country."
Malangnya, Laporan Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961 telah memutarbelit dan mengubah dasar pendidikan kebangsaan tersebut iaitu dasar pendidikan multiculturalism / multilateral kepada dasar pendidikan yang unilateral atau sistem satu aliran sekolah. Pada masa sekarang, Akta Pendidikan 1996 masih terus melaksanakan dasar pendidikan yang unilateral tersebut. Ini menyebabkan sekolah-sekolah aliran bahasa Cina dan bahasa Tamil menghadapi layanan yang tidak adil selama ini, terutamanya masalah-masalah perguruan, peruntukan wang dan pembinaan sekolah masih tidak diselesaikan.
Sehubungan itu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), iaitu Dong Jiao Zong mengemukakan memorandum ini kepada Perdana Menteri dan berharap pihak kerajaan memberi pertimbangan wajar dan menyelesaikan masalah-masalah pendidikan berkenaan. Memorandum ini mengemukakan 15 isu yang meliputi 43 kehendak.
(2) MASALAH PENDIDIKAN DAN CADANGAN PENYELESAIAN
1. Penubuhan Jawatankuasa Mengkaji Semula Sistem Pendidikan Negara Yang Dianggotai Oleh Wakil Pertubuhan Setiap Aliran Sekolah
Pada tahun 2007, Dong Jiao Zong telah mengemukakan satu memorandum berkenaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 kepada Kementerian Pelajaran. Kami mencadang agar Kementerian Pelajaran mengadakan platform untuk berbincang dengan pertubuhan-pertubuhan setiap aliran pendidikan bagi mencari penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh setiap aliran sekolah.
Pada tahun 2009, Dong Jiao Zong juga mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri dan menyeru kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula sistem pendidikan negara. Selain itu, pada tahun 2010, Dong Jiao Zong juga mengemukakan memorandum berkenaan Rancangan Malaysia Ke-10 kepada kerajaan dan sekali lagi menyeru kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula sistem pendidikan negara.
Pada 26 Julai 2011, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Muhyiddin berkata, pihak Kementerian Pelajaran telah menubuhkan satu jawatankuasa yang diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran Abd.Ghafar untuk mengkaji semula sistem pendidikan negara. Laporan awal akan disiapkan pada penghujung tahun ini dan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri. Seterusnya, kajian yang menyeluruh akan dijalankan manakala hala tuju pendidikan negara akan diumumkan kepada rakyat.
Kehendak kami:
1. Memandangkan kajian semula sistem pendidikan merupakan satu perkara yang mustahak dan memberi impak yang besar, maka jawatankuasa kajian semula sistem pendidikan negara yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran seharusnya menjemput pertubuhan-pertubuhan dari setiap aliran sekolah termasuk Dong Jiao Zong untuk menganggotai dan menyertai jawatankuasa tersebut. Ia harus memastikan kedudukan sama rata, layanan adil dan pembangunan yang sistematik bagi semua aliran sekolah, terutamanya dari aspek undang-undang, dasar dan pelaksanaan.
2. Seperti diketahui umum, Perdana Menteri bercita-cita menjadi seorang perdana menteri kepada semua rakyat, dan berpendapat semua aliran sekolah merupakan aliran perdana dan kelebihan negara kita, dan kerajaan tidak akan menghapuskan sekolah rendah Cina dan Tamil untuk memastikan negara kita dapat melahirkan tenaga manusia yang kreatif dan berinovasi. Oleh itu, Dong Jiao Zong berharap pandangan YAB tersebut dapat dirangkumi ke dalam kajian semula sistem pendidikan negara. Kerajaan harus melaksanakan dasar pendidikan multiculturalism / multilateral bagi memastikan pengekalan dan pembangunan adil setiap aliran sekolah, menghormati aspirasi dan hak pendidikan bahasa ibunda serta pemilihan aliran pendidikan. Dong Jiao Zong pernah mengemukakan memorandum berkenaan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 kepada kerajaan. Kami berharap kerajaan memberi pertimbangan wajar dan menerima pandangan dan kehendak kami dalam menggubal hala tuju pendidikan negara kita.
2. Memperuntukkan Wang Dan Tanah Secara Sistematik Dan Adil Serta Membatalkan Syarat-Syarat Yang Tidak Adil Dalam Pembinaan Sekolah
Kebanyakan sekolah rendah Cina ditubuhkan sebelum kemerdekaan negara kita. Selepas itu, hanya sebilangan kecil sekolah rendah Cina diberi kelulusan penubuhannya. Peruntukan wang dan tanah yang diberikan kepada sekolah rendah Cina dan pembinaan sekolah rendah Cina yang baru adalah begitu tidak adil dan tidak sistematik. Ini menyebabkan kawasan yang padat dengan penduduk Cina dan kawasan pembangunan baru menghadapi masalah kekurangan atau ketiadaan sekolah rendah Cina. Bilangan sekolah rendah Cina di sesetengah kawasan tidak cukup untuk menampung keperluan rakyat.
Pada hakikatnya, pembinaan sekolah rendah Cina iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang baru menghadapi pelbagai kesusahan atau halangan. Ini termasuk kesusahan mendapat kelulusan untuk menubuhkan sekolah baru. Walaupun terdapat sebilangan SJKC baru mendapat kelulusan untuk ditubuhkan, ia masih mengambil masa yang panjang untuk disiapkan kerana menghadapi masalah kekurangan tanah dan peruntukan pembangunan.
Ini menyebabkan pembinaan sekolah baru dan perpindahan sekolah sedia ada bagi SJKC mengambil masa yang lama. Selain itu, pihak Kementerian Pelajaran menetapkan beberapa syarat yang tidak munasabah, termasuk menetapkan bahawa tabung pembinaan SJKC hendaklah mencapai 80% daripada kos pembinaan barulah permohonannya dipertimbangkan. Selain itu, pihak Kementerian Pelajaran juga menetapkan SJKC menanggung tanah dan kos pembinaan sekolah, manakala tanah tersebut adalah bukan tanah rizab sekolah yang dimiliki oleh kerajaan. Sehingga sekarang, masalah-masalah tersebut masih belum diselesaikan.
Pada tahun 1999 hingga 2008, kerajaan telah meluluskan pembinaan 16 buah SJKC baru dan perpindahan 75 buah SJKC sedia ada. Sehingga 15 Julai 2011, hanya 8 buah SJKC baru dan 54 SJKC yang dipindah siap dibina. Kini, terdapat 3 buah SJKC baru masih dalam pembinaan, manakala pembinaan 5 buah SJKC baru masih belum dimulakan. Selain itu, terdapat 21 buah SJKC yang dipindah berkenaan masih belum siap dibina.
Dalam setiap Rancangan Malaysia, kerajaan telah membina banyak Sekolah Kebangsaan mengikut keperluan pembangunan. Akan tetapi, kerajaan tidak membina SJKC yang mencukupi mengikut keperluan pembangunan. Selama ini, hanya sebilangan kecil SJKC baru yang diluluskan pembinaannya oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia.
Sehingga kini, kerajaan masih tidak mengumumkan bilangan SJKC baru yang akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (Tahun 2011-2015). Selain itu, maklumat berkenaan tempat pembinaan SJKC baru, peruntukan pembangunan, agihan tanah rizab sekolah dan jadual waktu pembinaan sekolah juga tidak diumumkan. Oleh itu, rakyat tidak tahu sama ada kerajaan akan membina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Selain itu, kerajaan tidak harus mengguna perpindahan SJKC sedia ada sebagai ganti kepada pembinaan SJKC yang baru.
Mengikut garis panduan perancangan sekolah yang ditetapkan oleh kerajaan, sebuah sekolah rendah dengan tanah seluas 5 hingga 10 ekar hendaklah disediakan bagi setiap 3000 hingga 7500 orang penduduk (600 hingga 1500 unit rumah) atau 420 hingga 1050 orang murid dalam sesuatu kawasan kejiranan. Jarak di antara rumah kediaman dan sekolah rendah adalah sedekat 0.4 hingga 0.8 kilometer dan mengambil masa 10 minit untuk sampai ke sekolah. Selain itu, kepadatan maksimum adalah sebanyak 210 orang murid bagi setiap ekar tanah dan 35 orang murid bagi setiap kelas.
Jelasnya, kerajaan mempunyai satu sistem perancangan dan pembinaan sekolah untuk menubuhkan beberapa sekolah dalam sesuatu kawasan komuniti dan menyediakan persekitaran yang baik untuk murid-murid bersekolah berdekatan dengan rumah kediaman dan memudahkan perjalanan ko-kurikulum. Akan tetapi, dalam pelaksanaannya kerajaan mengutamakan pembinaan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan, dan tidak menyediakan tanah dan peruntukan pembangunan untuk membina SJKC dan SJKT baru secara Sistematik.
Pada tahun 1970 hingga Januari 2011, bilangan murid Sekolah Kebangsaan (SK) semakin bertambah dan dalam tempoh itu bilangan Sekolah Kebangsaan juga bertambah sebanyak 1571 buah. Dalam tempoh ini, jumlah murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) turut bertambah tetapi pada keseluruhannya bilangan SJKC telah berkurangan sebanyak 55 buah walaupun kerajaan telah meluluskan pembinaan sejumlah kecil SJKC yang baru. Selain itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) turut semakin berkurangan sebanyak 134 buah.
Kehendak kami: 1. Kerajaan harus menggubal dan melaksanakan satu sistem pembinaan sekolah baru untuk semua aliran sekolah, sama seperti cara pembinaan sekolah kebangsaan yang baru. Peruntukan wang dan tanah hendaklah disediakan bagi pembinaan sekolah rendah Cina, Tamil dan sekolah-sekolah lain serta dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia, bajet tahunan, pelan dan projek pembangunan pendidikan Kementerian Pelajaran supaya dapat menyelesaikan masalah kesesakan murid dan kekurangan sekolah rendah Cina dan Tamil.
2. Kerajaan harus menetapkan dan mengagihkan tanah rizab sekolah kepada semua aliran sekolah untuk pembinaan sekolah, termasuk merancang dan membina sekolah setiap aliran mengikut konsep sekolah komuniti, struktur penduduk dan keperluan pendidikan di samping mengadakan piawaian perancangan dan pembinaan pelbagai aliran sekolah (Contohnya, pembinaan sebuah sekolah rendah bagi setiap 3000-7500 orang penduduk atau 600-1500 unit rumah). Ia hendaklah dimasukkan ke dalam garis panduan perancangan sekolah. Kerajaan harus mengeluarkan pekeliling kepada jabatan-jabatan yang berkaitan bagi melaksanakan dasar perancangan dan pembinaan pelbagai aliran sekolah.
3. Kerajaan harus membatalkan syarat-syarat yang tidak adil dalam pembinaan sekolah rendah Cina dan Tamil. Ini termasuk syarat-syarat yang menetapkan SJKC hendaklah mempunyai dana yang melebihi 80% kos pembinaan untuk pertimbangan kelulusan pembinaan sekolah/bangunan sekolah, serta menanggung sendiri tanah dan kos pembinaan sekolah/bangunan sekolah manakala tanah tersebut hendaklah bukan tanah rizab sekolah yang dimiliki oleh kerajaan.
4. Sekolah rendah Cina iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina merupakan salah satu aliran dalam sistem pendidikan negara kita dan seharusnya mendapat layanan yang adil. Kerajaan harus menanggung semua tanah dan kos pembinaan yang diperlukan untuk pembinaan SJKC baru dan SJKC yang berpindah serta menyelesaikan segala urusan dan prosedur pembinaan supaya pembinaan sekolah dapat disiapkan dan beroperasi dengan segera.
5. Kerajaan harus mengumumkan bilangan SJKC baru yang akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 berserta maklumat berkenaan tempat pembinaan sekolah, peruntukan pembangunan, agihan tanah rizab sekolah dan jadual waktu pembinaan sekolah. Mengikut maklumat yang dikumpul oleh Dong Jiao Zong setakat ini, terdapat 46 buah SJKC baru yang perlu dibina di kawasan-kawasan yang disebutkan. Kerajaan harus menyediakan peruntukan pembangunan dan tanah yang diperlukan untuk menyiapkan pembinaan SJKC baru tersebut agar memenuhi hak dan keperluan rakyat terhadap pendidikan di SJKC.
6. Kerajaan harus memastikan pembinaan SJKC baru dan SJKC yang mendapat kelulusan berpindah sejak tahun 1999 hingga kini tersebut dapat disiapkan dengan segeranya. Kerajaan harus memberi tanah dan peruntukan pembangunan yang mencukupi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam pembinaan sekolah-sekolah berkenaan.
7. Kerajaan harus meluluskan pemohonan perpindahan SJKC dengan segeranya termasuk 10 buah SJKC yang disenaraikan dalam memorandum ini. Kerajaan harus memberi tanah dan peruntukan pembangunan kepada SJKC berkenaan supaya pembinaan sekolah dapat disiapkan dan beroperasi dengan secepat mungkin.
3. Peruntukan Pembangunan Yang Adil Dan Sistematik Kepada Semua Aliran Sekolah
Selama ini, peruntukan pembangunan yang diagihkan oleh kerajaan kepada SJKC adalah tidak adil dan tidak mencukupi. Ini menyebabkan SJKC perlu mengutip derma daripada masyarakat bagi menampung perbelanjaan pembinaan dan penyelenggaraan sekolah dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga SJKC yang membuat permohonan kerusi meja tidak diluluskan atau menghadapi pelbagai rintangan, sehingga terpaksa meminta Sekolah Kebangsaan memberi kerusi meja yang berlebihan kepada SJKC.
Rancangan Malaysia Ke-10 (Tahun 2011-2015) yang dibentangkan oleh kerajaan di Dewan Rakyat pada 10 Jun 2010 tidak mengumumkan jumlah peruntukan pembangunan lima tahun bagi setiap aliran sekolah rendah. Kerajaan hanya mengumumkan pengagihan peruntukan pembangunan sejumlah RM280 juta kepada SJKC, SJKT, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama, iaitu setiap jenis sekolah itu mendapat RM70 juta sahaja.
Untuk melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan telah membentangkan bajet tahun 2012 di Dewan Rakyat pada 15 Oktober 2011. Dalam bajet itu, kerajaan mengumumkan pengagihan peruntukan pembangunan sejumlah RM250 juta kepada SJKC, SJKT, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama. Oleh kerana kerajaan tidak memberi pengumuman yang jelas berkenaan projek dan peruntukan pembangunan SJKC dan sekolah-sekolah aliran lain, keadaan ini menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Selain menghadapi masalah kekurangan peruntukan pembangunan, SJKC juga menghadapi masalah kekurangan peruntukan pengurusan, termasuk bayaran bil air, elektrik, pembentungan dan sebagainya. Terdapat juga SJKC yang menerima surat amaran pembayaran bil atau pemotongan elektrik kerana tidak mampu membayar perbelanjaan tersebut. Ini menyebabkan pihak lembaga pengelola dan persatuan ibu bapa terpaksa membayar sendiri bayaran yang tertunggak tersebut.
Pada masa sekarang, negara kita mempunyai lebih daripada 1290 buah SJKC. Mengikut Akta Pendidikan 1996, sekolah-sekolah ini berhak mendapat peruntukan pembangunan dan peruntukan pengurusan yang penuh di sisi undang-undang. Peruntukan pengurusan meliputi bayaran bil air, elektrik, telefon, pembentungan, internet, pembelian peralatan pengajaran dan pembelajaran dan sebagainya. Peruntukan pembangunan pula meliputi perbelanjaan bagi pembinaan sekolah baru, pembinaan semula sekolah di tapak sama, pembinaan sekolah yang berpindah ke kawasan lain, pembinaan bangunan tambahan, penyelenggaraan sekolah, pembelian kerusi meja atau kelengkapan, dan lain-lain pembangunan fizikal.
Kehendak kami:
1. Kerajaan bertanggungjawab menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat dan harus menanggung semua belanja mengurus dan pembangunan setiap aliran sekolah termasuk SJKC dan perbelanjaan tersebut tidak harus ditanggung oleh sekolah.
2. Kerajaan harus memastikan semua SJKC dimasukkan ke dalam Sistem Bayaran Pukal dan segala belanja mengurus seperti bayaran bil air, elektrik, telefon, pembentungan, internet dan sebagainya harus dibayar secara langsung oleh kerajaan. Selain itu, kerajaan harus menambah peruntukan untuk menyelesaikan bayaran tunggakan. Belanja mengurus dan bayaran tunggakan tersebut tidak harus ditanggung oleh sekolah.
3. Kerajaan harus memberi peruntukan pembangunan secara adil dan sistematik berasaskan bilangan murid, pembangunan fizikal dan penyelenggaraan sekolah supaya setiap aliran sekolah dapat menikmati sumber pembangunan pendidikan negara secara adil. Ini termasuk peruntukan pembangunan untuk mengadakan bangunan, mengubah atau menambah premis yang sedia ada, mengadakan perabot atau kelengkapan bagi premis yang baru, diubah atau ditambah, dan sebagainya.
4. Kerajaan harus mengumumkan dengan segera maklumat terperinci berkenaan peruntukan dan projek pembangunan lima tahun bagi SJKC, SJKT, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama di bawah Rancangan Malaysia Ke-10. Selain itu, kerajaan harus menambah peruntukan pembangunan kepada keempat-empat jenis sekolah tersebut.
5. Kerajaan harus menggubal dan mengumumkan dengan segera garis panduan dan dokumen berkenaan permohonan peruntukan pembangunan oleh lembaga pengelola sekolah. Ini bagi memudahkan pihak lembaga pengelola mengemukakan projek pembangunan dan bajet kepada Kementerian Pelajaran bagi tujuan permohonan peruntukan pembangunan sekolah.
4.Menyelesaikan Masalah Kekurangan Guru SJKC Secara Sistematik
Selama ini, Kementerian Pelajaran masih tidak menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC. Mengikut statistik Kementerian Pelajaran, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, SJKC memerlukan seramai 2000 hingga 3000 orang GSTT atau guru sementara bagi mengisi jawatan guru yang kekosongan. Pada masa yang sama, faktor-faktor seperti persaraan dan melanjut pelajaran juga menyebabkan kekurangan sebanyak 600 hingga 800 orang guru di SJKC setiap tahun. Selain itu, bermula pada tahun 2010, Kementerian Pelajaran juga menambah baik norma perjawatan daripada 1.5n kepada 1.7n (1.5 orang bagi satu kelas kepada 1.7 orang guru bagi satu kelas) di semua aliran sekolah rendah secara berperingkat, dan ini telah menambah permintaan terhadap bilangan guru di SJKC. Maka kerajaan seharusnya menambah bilangan calon program latihan perguruan berdasarkan keperluan sebenar SJKC supaya masalah kekurangan guru dapat diatasi dengan sepenuhnya.
Selama ini, pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran selalunya mengatakan masalah kekurangan guru di SJKC adalah disebabkan oleh pemuda-pemudi keturunan Cina tidak berminat menjadi guru. Sebenarnya, pada setiap kali pengambilan calon bagi kursus latihan perguruan di institut-institut pendidikan guru (IPG), bilangan calon yang memohon mengikuti kursus latihan perguruan kategori SJKC melebihi bilangan pengambilan yang ditetapkan oleh pihak kementerian manakala ramai pemohon yang berkelayakan telah ditolak daripada mengikuti kursus latihan perguruan.
Walaupun pihak kementerian telah menambah bilangan guru di SJKC, tetapi bilangan guru mata pelajaran yang dilatih masih tidak mencukupi. Ini menyebabkan masalah kekurangan guru di SJKC terus berlanjutan dan tidak diselesaikan. Dalam usaha negara membangun ke arah menjadi sebuah negara maju, masalah kekurangan guru di SJKC masih tidak dapat diatasi. Keadaan yang tidak munasabah ini sukar diterima oleh rakyat. Pada hakikatnya, guru yang berkelayakan dan mencukupi adalah faktor utama untuk meningkatkan kualiti rakyat secara umumnya.
Pada masa yang sama, kian berlaku masalah kekurangan peruntukan di jabatan- jabatan pelajaran negeri sehingga menyebabkan SJKC tidak dapat mengambil/ mengupah guru sementara dan guru ganti dengan segera bagi mengisi jawatan guru yang kekosongan. Ini mengakibatkan impak negatif terhadap pembelajaran murid-murid dan urusan pentadbiran sekolah. Guru sementara juga menghadapi masalah bayaran gaji yang lambat, penurunan pangkat dan gaji serta masalah tuntutan "bayaran gaji lebihan" sehingga menyebabkan pihak Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan PIBG terpaksa membuat pembayaran terdahulu. Keadaan ini adalah tidak adil. Selain itu, masalah-masalah lain yang dihadap meliputi perlantikan guru yang tidak berkelayakan Bahasa Cina untuk mengajar mata pelajaran yang perlu diajar dalam bahasa Cina, dan pemohon kursus latihan perguruan Bahasa Cina di kategori SJKC dipindah ke kategori Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan tanpa pengetahuan pemohon. Masalah ulangan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati di masyarakat Cina.
Kehendak kami:
1. Kerajaan harus mengadakan sistem dan program latihan perguruan berdasarkan keperluan sebenar SJKC bagi setiap mata pelajaran, termasuk menambah pengambilan pensyarah dan guru latih, menyelesaikan masalah pengambilan guru latih dan perlantikan guru untuk memastikan SJKC mempunyai guru yang mencukupi dan menyelesaikan masalah kekurangan guru dalam jangka masa pendek.
2. Kerajaan harus melatih guru dwibahasa yang menguasai bahasa Cina dan bahasa Malaysia untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia di SJKC supaya pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan untuk mempertingkatkan tahap penguasaan bahasa Malaysia di kalangan murid. Pada masa sekarang, pihak Kementerian Pelajaran masih tidak mengadakan kursus perguruan untuk melatih guru bahasa Malaysia yang menguasai bahasa Cina dan bahasa Malaysia untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia di SJKC. Tetapi, Kementerian Pelajaran telah mengadakan kursus untuk melatih guru yang menguasai dwibahasa iaitu bahasa Cina dan bahasa Malaysia untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Cina di Sekolah Kebangsaan.
3. Kerajaan harus mengadakan kursus penukaran khas (Special Conversion Course) untuk guru sementara SJKC yang telah mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia selama lima tahun dan ke atas supaya mereka memiliki kelayakan profesional untuk terus mengajar Bahasa Malaysia di SJKC.
4. Kerajaan harus memberi layanan yang adil kepada guru-guru sementara termasuk pembayaran gaji yang cepat dan tidak dilambat-lambatkan di samping pengambilan guru-guru sementara untuk dijadikan guru terlatih yang berkelayakan.
5. Kerajaan harus menyediakan peruntukan yang mencukupi sepanjang tahun untuk membolehkan SJKC mengambil guru sementara dan guru ganti dengan segera mengikut keperluan bagi mengisi jawatan guru yang kekosongan.
5. Memperkukuhkan Kelas-kelas Pendidikan Prasekolah Dan Pendidikan Khas Yang Menggunakan Bahasa Cina Sebagai Bahasa Pengantar di SJKC
Memandangkan kepentingan pendidikan awal terhadap perkembangan kanak-kanak, Kementerian Pelajaran mengumumkan pada tahun 2002 bahawa kelas-kelas prasekolah di semua aliran sekolah rendah akan dibuka secara berperingkat.
Mengikut statistik kementerian pada 31 Januari 2011, terdapat 5147 buah sekolah kebangsaan, 417 buah sekolah jenis kebangsaan Cina dan 147 buah sekolah jenis kebangsaan Tamil telah membuka kelas pendidikan prasekolah. Ini menunjukkan 88% SK, 32% SJKC dan 28% SJKT telah mempunyai kelas pendidikan prasekolah.
Sementara itu, terdapat 28 sekolah pendidikan khas yang bermedium bahasa Malaysia. Namun tidak terdapat sekolah pendidikan khas yang bermedium bahasa Cina dan hanya sebilangan kecil SJKC menubuhkan kelas pendidikan khas.
Kehendak kami:
1. Kerajaan harus memberi layanan adil kepada SJKC dan SJKT dengan membuka lebih banyak kelas pendidikan prasekolah dan menyediakan tenaga perguruan, bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan mencukupi. Kerajaan juga harus memastikan kelas-kelas pendidikan prasekolah yang diadakan di SJKC hendaklah menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama manakala di SJKT pula hendaklah dijalankan dalam bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar utama.
2. Kelas pendidikan khas yang diadakan oleh kerajaan di SJKC hendaklah menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama supaya murid-murid berkenaan berpeluang menerima pendidikan bahasa ibunda. (Bahagian pertama, bersambung) *Teks di atas adalah sedutan daripada Memorandum Dong Jiao Zong kepada Perdana Menteri Mohd.Najib bin Abdul Razak pada 14 November 2011. Memorandum asal mengandungi data yang terperinci dipersembahkan dalam bentuk jadual. |
Memorandum Dong Jiao Zong kepada PM (Bhg 2) Posted: 06 Dec 2011 02:30 AM PST Dong Jiao Zong
6. Penggunaan Bahasa Ibunda Sebagai Bahasa Pengantar Dan Bahasa Peperiksaan Di Semua Aliran Sekolah Rendah
Kecemerlangan penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan merupakan kelaziman yang diamalkan oleh dunia sejagat. Maka, mata-mata pelajaran ilmu, termasuk Sains dan Matematik hanya akan disampaikan secara berkesan melalui bahasa ibunda. Laporan pakar-pakar pendidikan luar negara dan UNESCO menunjukkan bahawa perubahan bahasa pengantar dalam keadaan kanak-kanak masih belum menguasai bahasa ibunda akan memburukkan prestasi pembelajaran mereka. Ini kerana kanak-kanak seharusnya menggunakan bahasa yang mereka paling fahami untuk tujuan belajar supaya mencapai keberkesanan pembelajaran yang optimum, terutamanya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, sekalipun menggunakan bahasa ibunda, kedua-dua mata pelajaran ini masih menjadi satu masalah untuk dikuasai sepenuhnya, maka sekiranya bahasa asing yang mereka kurang biasa dijadikan bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, sudah pasti menjejaskan keberkesanan pembelajaran dengan teruk sekali.
Kajian luar negara membuktikan bahawa penggunaan bahasa kedua atau bahasa selain daripada bahasa ibunda dalam peringkat awal persekolahan akan membawa kesan negatif terhadap perkembangan daya pemikiran kanak-kanak dan menyebabkan kemerosotan prestasi akademik dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan bahasa. Maka, kepentingan pendidikan bahasa ibunda amat ditegaskan oleh pakar-pakar pendidikan luar negara dan UNESCO.
Pada hakikatnya, pendidikan bahasa ibunda dapat mempertingkatkan daya saing negara dalam era globalisasi. Kejayaan negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, China, Jerman, Finland dan Perancis yang mana bahasa Inggeris bukan bahasa ibundanya telah membuktikan keberkesanan pendidikan bahasa ibunda. Sungguhpun sejak di bangku sekolah lagi, rakyat di negara-negara tersebut dididik melalui bahasa ibunda masing-masing, namun mereka mampu meningkatkan daya saing negara dalam menghadapi cabaran globalisasi.
Selama ini, sekolah-sekolah rendah pelbagai aliran di negara kita telah menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Sekolah-sekolah itu berjaya melahirkan rakyat yang banyak berjasa kepada negara.
Negara kita adalah sebuah negara yang berbilang bangsa, budaya dan bahasa. Kepelbagaian aliran pendidikan adalah kelebihan negara kita. Keunikan kepelbagaian tersebut memperkukuhkan lagi asas negara kita menjadi pusat pendidikan serantau. Justeru itu, kerajaan harus memperkasakan dan memantapkan pendidikan bahasa ibunda di semua aliran sekolah supaya murid-murid memperolehi pendidikan bahasa ibunda yang berkualiti demi kemajuan negara.
Kehendak kami:
1. Kerajaan harus memastikan mata pelajaran Sains dan Matematik di semua aliran sekolah rendah hendaklah menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengajaran, pembelajaran dan peperiksaan, iaitu Sekolah Kebangsaan mengguna bahasa kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina mengguna bahasa Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil mengguna bahasa Tamil dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Kami dengan tegasnya membantah pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di semua aliran sekolah rendah.
2. Kerajaan harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris dengan bersungguh-sungguh berdasarkan prinsip pengajaran dan pembelajaran bahasa untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
7. Memperluaskan Penggunaan ICT di SJKC
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran menegaskan kepentingan ICT (Information &Communication Technology) dalam pendidikan untuk mempertingkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta kualiti pendidikan. Usaha kerajaan memperluaskan penggunaan ICT di sekolah adalah amat tepat pada masanya dan selaras dengan transformasi pendidikan sedunia.
Bagaimanapun, dasar perluasan penggunaan ICT di peringkat sekolah lebih mengutamakan SK, manakala SJKC dan SJKT telah diabaikan. Ini menyebabkan SJKC terpaksa berusaha sendiri melalui pelbagai cara dan saluran untuk memantapkan penggunaan ICT dalam P&P.
Kehendak kami:
1. Kerajaan harus memperbetulkan ketidakadilan yang berlaku semasa memperluaskan penggunaan ICT di peringkat sekolah supaya murid-murid dari semua aliran sekolah berpeluang menikmati penggunaan ICT secara adil dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
8. Mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) Dan Menyokong Pembangunan Sekolah-Sekolah Menengah Persendirian Cina
Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) adalah sekolah-sekolah yang bukan berasaskan kepada keuntungan (non-profit). Kutipan yuran persekolahan tidak cukup untuk menanggung perbelanjaan sekolah. Selama ini, SMPC memikul beban ekonomi yang berat dan sentiasa mendapatkan derma daripada masyarakat untuk membiayai kos pembangunan dan pengurusan sekolah. SMPC mewajibkan semua pelajarnya mengambil dan menduduki peperiksaan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris.
Peperiksaan bersama SMPC yang pertama telah diadakan pada tahun 1975. Tahun 2011 merupakan tahun yang ke-37 peperiksaan bersama tersebut diadakan. Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate, UEC) Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina telah diterima oleh banyak institusi pengajian tinggi luar negara dan institusi pengajian tinggi swasta negara kita sebagai salah satu kelayakan bagi permohonan kemasukan ke peringkat pengajian tinggi.
Negara kita mempunyai 60 buah SMPC dan jumlah pelajar sekolah-sekolah tersebut semakin bertambah. Pada tahun 2011, jumlah pelajar SMPC mencapai 67 ribu orang. Sebilangan sekolah-sekolah itu mengalami kesesakan murid dan kekurangan ruang pembangunan sehingga 7 ribu orang tidak dapat diambil untuk belajar di SMPC.
SMPC melahirkan 6 ribu hingga 7 ribu orang tamatan menengah tinggi setiap tahun dan hampir 80% tamatan tersebut melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi swasta tempatan dan universiti-universiti luar negara termasuk antara 82 buah universiti luar negara yang terbaik di peringkat dunia.
Pada Disember 2009, Perdana Menteri secara terbuka memperakui SMPC sebagai aset negara dan memuji sumbangan SMPC dalam pembangunan modal insan negara. Perdana Menteri juga berharap SMPC terus diusahakan secara bersungguh-sungguh dan mengekalkan persekitaran persekolahan yang ceria untuk melahirkan lebih ramai lagi modal insan negara yang berkualiti.
Kami mengalu-alukan kerajaan memperakui sumbangan SMPC kepada negara dan berharap kerajaan mengambil dasar dan tindakan yang adil dan proaktif untuk menyokong pembangunan SMPC. Kami berpendapat kerajaan bertanggungjawab menjaga hak dan kebajikan pelajar-pelajar negara kita dan memberi layanan yang adil kepada mereka tanpa mengira aliran pendidikan atau jenis sekolah yang mereka mendapatkan pendidikan.
Selama ini, SMPC memberi sumbangan kepada pembangunan modal insan negara. Tamatan SMPC berkecimpung dalam pelbagai sektor dan ada juga yang menjadi menteri dan timbalan menteri dalam kabinet kerajaan. Kini, persaingan antara negara adalah persaingan modal insan dan tamatan SMPC yang mempunyai kemahiran asas tiga bahasa adalah golongan yang berpeluang cerah untuk berkhidmat di dalam dan luar negara.
Kehendak kami:
1. Kerajaan harus mengiktiraf sepenuhnya Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate, UEC) Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina dan menerima sijil tersebut sebagai salah satu kelayakan untuk permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam, universiti dan institut pendidikan guru dan sektor perkhidmatan awam agar melahirkan modal insan yang dapat berkhidmat dalam negara. Kerajaan harus mengambil tamatan SMPC untuk berkhidmat dalam sektor awam dan menjadi guru untuk mengatasi masalah kekurangan guru di SJKC.
2. Kerajaan harus menghormati hasrat pemegang Sijil UEC untuk mengikuti kursus latihan perguruan SJKC dan memastikan mereka ditugaskan ke SJKC selepas tamat latihan.
3. Kerajaan harus memberi bantuan kewangan secara sistematik dan tanpa sebarang syarat kepada SMPC setiap tahun, termasuk pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang UEC dan pemberian bantuan kewangan kepada aktiviti-aktiviti pelajar dan sukan. Ini akan dapat mengurangkan beban ekonomi yang ditanggung oleh masyarakat Cina dan SMPC demi pembangunan pendidikan negara kita.
4. Kerajaan harus meluluskan penubuhan SMPC dan memberi peruntukan wang dan tanah untuk penubuhan SMPC di kawasan yang mempunyai keperluan, termasuk Kuantan, Segamat dan kawasan-kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.
9. Layanan Adil Kepada Sekolah Menengah Conforming Dan Meningkatkan Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Cina Di Sekolah Menengah Kebangsaan
Sekolah-sekolah Menengah Conforming yang dimaksudkan merujuk kepada sekolah-sekolah yang asalnya ialah Sekolah-sekolah Menengah Cina yang mana bahasa pengantar utamanya telah ditukar daripada bahasa Cina kepada bahasa Inggeris menjadi Sekolah-sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK). Seterusnya, bahasa pengantar utamanya ditukar lagi kepada bahasa Kebangsaan menjadi Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sehingga masa sekarang. Pada masa sekarang, negara kita mempunyai 78 buah Sekolah Menengah Conforming.
Dalam proses penukaran bahasa pengantar, kerajaan telah membuat pelbagai janji kepada Sekolah-sekolah Menengah Conforming tersebut. Ini termasuk kerajaan berjanji menanggung semua perbelanjaan pengurusan dan pembangunan Sekolah-sekolah Menengah Conforming, satu pertiga masa persekolahan digunakan untuk mengajar Bahasa Cina, menyediakan guru yang mencukupi dan terlatih, mengekalkan kedudukan dan kuasa lembaga pengelola sekolah di sisi undang-undang.
Pada 1 Disember 2010, Dong Zong telah mengemukakan memorandum yang bertajuk "Pandangan Dan Cadangan Mengenai Penyelesaian Masalah-Masalah Yang Dihadapi Oleh Sekolah-Sekolah Menengah Conforming / Sekolah-Sekolah 25 Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK)" kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Muhyiddin Yassin. Masyarakat Cina berharap kerajaan menunaikan janji-janji di atas, memberi layanan adil kepada Sekolah-Sekolah Menengah Conforming dan bertanggungjawab membangunkan sekolah-sekolah itu.
Selain itu, kelas bahasa Cina merupakan saluran penting bagi pelajar-pelajar sekolah menengah kebangsaan (SMK), khas pelajar-pelajar Cina mempelajari bahasa Cina.
Sejak tahun 2000, Kementerian Pelajaran telah melantik jawatan Penolong Pengarah Bahasa Cina di setiap negeri untuk mengendalikan kelas bahasa Cina di SMK. Ini telah membawa kepada perkembangan kelas bahasa Cina di SMK. Namun demikian, kelas bahasa Cina masih tidak mendapat perhatian sepenuhnya daripada Kementerian Pelajaran, lebih-lebih lagi, penyelewengan yang berlaku telah menyebabkan kelas bahasa Cina SMK menghadapi pelbagai masalah.
Masalah-masalah tersebut meliputi masalah kekurangan guru bahasa Cina, kelas bahasa Cina tidak diadakan walaupun terdapat pelajar-pelajar yang ingin mempelajari bahasa Cina dan kelas bahasa Cina diadakan di luar waktu persekolahan.
Sekiranya masalah-masalah berkenaan tidak diselesaikan, tentunya akan mendatangkan kesan negatif kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa Cina manakala jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Cina dalam peperiksaan awam juga akan berkurangan. Ini seterusnya mendatangkan kesan negatif dalam latihan perguruan dan kualiti guru-guru Bahasa Cina di SJKC, SK, SMK dan Sekolah-sekolah Menengah Conforming.
Kehendak kami:
1. Kerajaan harus memberi layanan adil kepada Sekolah-sekolah Menengah Conforming dan bertanggungjawab membangunkan sekolah-sekolah itu, menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapinya serta menunaikan janji-janji kerajaan kepada sekolah- sekolah tersebut. Kerajaan harus memberi pertimbagan wajar dan menerima padangan dan cadangan yang dikemukakan dalam memorandum bertajuk "Pandangan Dan Cadangan Mengenai Penyelesaian Masalah-Masalah Yang Dihadapi Oleh Sekolah- Sekolah Menengah Conforming / Sekolah-Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK)" kepada kerajaan. Antaranya termasuk: a) Menghormati kedudukan dan kuasa lembaga pengelola sebagai pihak yang mengurus sekolah. b) Kesemua belanja mengurus dan pembangunan sekolah hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, termasuk pembayaran bil air, elektrik dan lain-lain melalui "sistem bayaran pukal" kerajaan, memperuntukan wang dan tanah untuk pembinaan dan penyelenggaraan sekolah. c) Pengetua, guru-guru penolong kanan dan penyelia yang dilantik ke Sekolah-sekolah Menengah Conforming hendaklah berkelayakan dalam Bahasa Cina dan perlantikan tersebut hendaklah dipersetujui oleh pihak lembaga pengelola sekolah. Lembaga pengelola sekolah juga berhak mencadang calon pengetua, guru-guru penolong kanan dan penyelia yang dipersetujui oleh lembaga pengelola untuk dilantik oleh Kementerian Pelajaran. d) Melatih dan menghantar pengetua, guru penolong kanan, guru penyelia, guru Bahasa Cina dan guru mata pelajaran lain yang mencukupi dan berkelayakan untuk Sekolah-sekolah Menengah Conforming. e) Menunaikan janji-janji kerajaan kepada Sekolah-sekolah Menengah Conforming, termasuk menanggung semua perbelanjaan sekolah, satu pertiga masa persekolahan digunakan untuk mengajar Bahasa Cina, menyediakan guru yang mencukupi dan terlatih, mengekalkan kedudukan dan kuasa lembaga pengelola sekolah di sisi undang-undang. f)Menghormati keputusan Sekolah-sekolah Menengah Conforming untuk menetapkan Bahasa Cina sebagai mata pelajaran yang wajib dipelajari dan diambil dalam peperiksaan awam oleh pelajar-pelajarnya. g)Jabatan Pelajaran Negeri harus berunding dengan pihak lembaga pengelola sekolah dalam aspek pengambilan pelajar. Jabatan Pelajaran Negeri juga harus menghormati keputusan pihak lembaga pengelola Sekolah-sekolah Menengah Conforming yang hanya menerima tamatan daripada Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sahaja.
Kerajaan harus mengumumkan dan menambah projek dan peruntukan pembangunan lima tahun Sekolah-sekolah Menengah Conforming di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (Tahun 2011-2015).
Kerajaan harus mengadakan sistem dan rancangan latihan perguruan yang sempurna, termasuk menambah pengambilan pensyarah, guru latihan dan kursus perguruan supaya menghasilkan tenaga pengajar yang mencukupi dan berkelayakan untuk mengajar di kelas bahasa Cina dan kelas kesusasteraan Cina di Sekolah-sekolah Menengah Conforming dan Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan.
Kerajaan harus menetapkan kelas-kelas bahasa Cina diatur dalam jadual waktu persekolahan, menambah bilangan kelas bahasa Cina, menetapkan Bahasa Cina sebagai mata pelajaran yang wajib belajar dan diambil dalam peperiksaan awam bagi pelajar-pelajar yang datang dari sekolah-sekolah rendah Cina (SJKC).
Kerajaan harus mengkaji semula dan memperbaiki kurikulum, pengajaran dan pembelajaran serta peperiksaan mata pelajaran Bahasa Cina. Selain itu, kerajaan juga harus mengkaji sebab-sebab sebenar yang menyebabkan peratusan pelajar yang mendapat gred A+ bagi mata pelajaran Bahasa Cina dalam peperiksaan SPM adalah begitu kecil jumlahnya. Piawaian dan cara pemarkahan mata pelajaran Bahasa Cina dan tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah-masalah berkenaan harus diumumkan secara telus.
10. Memulihkan Kewarganegaraan Mendiang Encik Lim Lian Geok
Pada tahun 1964, kerajaan telah melucutkan kewarganegaraan Encik Lim Lian Geok manakala sijil pendaftaran beliau sebagai seorang guru juga dilucutkan pada tahun 1961. Sungguhpun begitu, beliau tetap tinggal di negara ini dan meninggal dunia pada 18 Disember 1985. Beliau telah membuktikan taat setia, cinta dan sumbangannya kepada negara ini. Walaupun sekian lama Encik Lim Lian Geok telah meninggal dunia, masyarakat Cina tetap mengharapkan kewarganegaraan beliau dipulihkan.
Mendiang Lim Lian Geok merupakan bekas pengerusi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan pernah memimpin masyarakat Cina membantah penukaran sekolah-sekolah menengah Cina kepada sekolah-sekolah menengah Inggeris pada tahun 1960-an.
Kehendak kami:
1. Kerajaan harus memandang serius keinginan masyarakat Cina supaya kerajaan memulihkan kewarganegaraan mendiang Encik Lim Lian Geok.
11. Menyokong Pembangunan Pelbagai Aliran Institusi Pengajian Tinggi
Pembangunan Kolej New Era, Kolej Selatan dan Kolej Han Chiang merupakan suatu aset dan keistimewaan kepada negara kita. Mereka telah memperkayakan ciri-ciri masyarakat berbilangan bangsa negara kita dan akan membuat sumbangan yang lebih besar kepada negara sekiranya mereka dinaik taraf ke tahap universiti.
Kehendak kami:
1. Kerajaan harus mengamalkan dasar terbuka untuk menyokong pembangunan pelbagai aliran institusi-institusi pengajian tinggi, termasuk memberi bantuan kewangan kepada Kolej New Era, Kolej Selatan dan Kolej Han Chiang setiap tahun dan meluluskan permohonan mereka untuk dinaik taraf ke tahap universiti.
12. Pengiktirafan Ijazah Universiti Luar Negara
Dunia kini berada dalam era globalisasi dan masyarakat berasaskan pengetahuan. Persaingan antara negara meliputi persaingan modal insan. Sekiranya negara kita ingin mencapai objektif sebagai pusat pendidikan serantau, maka kerajaan harus melaksanakan dasar yang terbuka untuk mengiktiraf lebih banyak lagi ijazah universiti luar negara serta mengatasi masalah-masalah kualiti dan daya saing institusi-institusi pengajian tinggi.
Pada 28 April 2011, Malaysia dan China telah menandatangani satu perjanjian bagi saling mengiktiraf sepenuhnya ijazah universiti antara kedua-dua negara. Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi sedang berbincang dengan pihak Taiwan yang berkenaan berhubung dengan soal pengiktirafan sepenuhnya ijazah universiti dari Taiwan.
Kehendak kami:
Kerajaan harus mengumumkan isi kandungan dan pelaksanaan berkenaan perjanjian pengiktirafan ijazah universiti antara Malaysia dan China. Kerajaan harus mengiktiraf lebih banyak lagi ijazah universiti luar negara berdasarkan taraf akademik, terutamanya institusi pengajian tinggi yang mempunyai pelajar negara kita. Ini termasuklah pengiktirafan sepenuhnya ijazah universiti dari Taiwan.
13. Pemberian Biasiswa Kerajaan Dan Pengambilan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam Berdasarkan Sistem Merit
Selama ini, dasar yang diamalkan dalam pemberian biasiswa kerajaan dan pengambilan pelajar ke institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menimbulkan pelbagai kontroversi dan rasa tidak puas hati. Ini menyebabkan kehilangan modal insan atau bakat yang cemerlang ke negara lain. Masalah ini amat merugikan negara kita dan kerajaan sukar menarik mereka kembali berkhidmat di negara kita.
Kehendak kami:
1.Kerajaan harus mengamalkan sistem merit dalam pemberian pelbagai jenis biasiswa yang ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Permohonan biasiswa hendaklah dibuka kepada semua pelajar tanpa mengira kaum. Kerajaan harus mengumumkan kelayakan permohonan, kriteria pemilihan dan maklumat perangkaan bagi menjamin mekanisme dan proses yang telus, adil dan bertanggungjawab. Selain itu, kerajaan juga harus memantau dan menambah baik mekanisme dan proses penawaran dan pengagihan biasiswa tersebut.
2. Kerajaan harus melaksanakan sistem merit yang berasaskan pencapaian akademik dan bukannya berasaskan politik kaum dan agama sebagai dasar pengambilan pelajar ke institusi-institusi pengajian tinggi awam. Selain itu, kerajaan harus menetapkan kriteria- kriteria pengambilan pelajar berasaskan keadaan sosioekonomi, keluarga tunggal, wilayah dan kecacatan kesihatan dalam penggubalan langkah-langkah untuk membantu golongan lemah agar mereka dapat mencapai tahap yang setanding dengan pelajar-pelajar lain.
14. Pelaksanaan Sistem Merit Dalam Pengambilan Dan Kenaikan Pangkat Ahli-ahli Akademik
Pengambilan dan kenaikan pangkat bagi ahli-ahli akademik di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hendaklah berasaskan kepada sistem merit. Penggunaan sistem kuota akan menjejaskan peluang golongan muda mendapat pendidikan berkualiti daripada pensyarah-pensyarah yang cemerlang, malah mendatangkan impak negatif terhadap kualiti pendidikan dan daya saing negara.
Kehendak kami: 1. Sistem merit harus diamalkan dalam pengambilan, penamatan perkhidmatan dan kenaikan pangkat ahli-ahli akademik di IPTA. 2. Kriteria-kriteria yang jelas untuk menilai prestasi seseorang ahli akademik IPTA termasuk penilaian oleh pelajar hendaklah ditetapkan. Kriteria-kriteria ini dijadikan asas bagi menamatkan perkhidmatan atau menaikkan pangkat seseorang ahli akademik. 3. Pemilihan dan perlantikan orang-orang yang berkebolehan cemerlang ke jawatan naib canselor, timbalan naib canselor dan dekan pusat pengajian di sesebuah IPTA hendaklah dilaksanakan tanpa mengira kaum dan kewarganegaraan.
15. Pengumuman Maklumat Secara Telus Dan Cepat
Sebagaimana yang dinyatakan terdahulu dalam memorandum ini, kerajaan tidak mengumumkan beberapa maklumat penting yang ingin diketahui oleh rakyat. Contohnya, kerajaan tidak mengumumkan jumlah peruntukan pembangunan lima tahun bagi setiap aliran sekolah rendah dan sekolah menengah conforming di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (Tahun 2011-2015). Selain itu, kerajaan juga tidak mengumumkan bilangan dan tempat pembinaan SJKC baru, peruntukan pembangunan, agihan tanah rizab sekolah dan jadual waktu pembinaan sekolah. Pentadbiran yang kurang telus akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Kehendak kami: 1. Kerajaan harus mengumumkan statistik dan langkah-langkah pentadbiran negara secara telus dan cepat supaya rakyat lebih memahami arah tuju negara. Selain itu, kerajaan harus menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat, memenuhi keperluan rakyat dan memastikan hak dan kebajikan rakyat terpelihara.
(3) PENUTUP
Negara kita sudah mempunyai sekolah-sekolah yang pelbagai aliran bahasa sebelum mencapai kemerdekaan. Kewujudan tamadun Islam, China, India dan Barat serta sekolah-sekolah pelbagai aliran bahasa telah memperkayakan ciri-ciri masyarakat berbilang bangsa di negara kita. Kesemua ini merupakan aset dan kelebihan negara kita. Ini membantu negara kita memperkukuhkan daya saing di peringkat antarabangsa.
Justeru itu, kerajaan dan rakyat haruslah menghargai dan bersama-sama memajukan ciri-ciri masyarakat berbilang bangsa kita, dan berusaha memastikan semua aliran sekolah, bahasa, budaya dan agama di negara kita dapat berkembang dengan lebih baik di masa hadapan.
Kami berharap kerajaan memastikan semua aliran sekolah mendapat layanan yang adil dan ini hendaklah dijamin dari aspek undang-undang, dasar dan pelaksanaan. (Bahagian kedua, tamat) Baca: Memorandum Dong Jiao Zong kepada PM (Bhg 1) *Teks di atas adalah sedutan daripada Memorandum Dong Jiao Zong kepada Perdana Menteri Mohd.Najib bin Abdul Razak pada 14 November 2011. Memorandum asal mengandungi data yang terperinci dipersembahkan dalam bentuk jadual. |
Integriti: Barat dan puak kiri lebih ke depan berbanding dunia Islam sekarang, Mat Sabu Posted: 06 Dec 2011 02:14 AM PST Lim Hong Siang |
Mengambil contoh bagaimana negara Barat seperti Sweden mencatat indeks rasuah terendah di dunia, dan bagaimana pimpinan golongan kiri menampilkan cara hidup yang sederhana, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu meluahkan kebimbangannya terhadap pemerintahan dunia Islam mutakhir ini, yang dilihat ketinggalan dalam penekanan kepada soal integriti.
Lebih dikenali dengan Mat Sabu (gambar kiri), beliau berkongsi pengamatannya bahawa pemerintahan Nabi Muhammad SAW tidak dijelmakan dalam dunia Islam pada hari ini. "Kita lihat negara-negara orang Islam secara umum, tidak dapat dijadikan modal sandaran dalam bentuk hak asasi, keadilan sosial, yang dijelmakan sebelum ini," katanya.
Secara terus-terang, beliau menyatakan bahawa Pakistan dan Arab Saudi tidak boleh dijadikan contoh keadilan sosial, melihat kepada jurang kaya-miskin yang ketara dalam masyarakat tersebut, meskipun kedua-dua negeri ini melaksanakan Hudud. Beliau berkongsi pengamatan di depan lampu trafik sendiri, dari kereta mewah, kereta biasa, beca, sehinggalah orang yang menjunjung besi - cukup untuk memberikan gambaran sejauh manakah masalah kaya-miskin dalam masyarakat itu. Malah, Mat Sabu menambah, pendedahan harta milikan pemimpin negara Islam yang digulingkan kebelakangan ini, "tidak langsung menggambarkan keadilan sosial wujud di negara-negaranya."
"Ertinya, kalau ditumpukan pelaksanaan Syariat itu semata-mata, (dan) tidak dilihat keadilan sosial, kebimbangan saya PAS akan pergi ke arah langkah itu, ke arah model itu!" katanya dalam satu dialog yang berjudul "PRU 13: Malaysia Ke Arah Negara Berintegriti", melibatkan kira-kira 30 orang di Shah Village Hotel, pada 3 Disember 2011.
Mat Sabu mendakwa Pakatan Rakyat kini berada di ambang kuasa. Senario terkini merangkumi dua unsur, susun kerja Pakatan Rakyat yang mantap, dan kemeluatan rakyat terhadap UMNO-Barisan Nasional yang terlalu lama berkuasa. "Penolakan kepada benda yang lama ini sudah jadi lumrah," katanya, merujuk kepada kesilapan UMNO-BN yang semakin tertunggak dan gagal diperbaiki dalam tempoh pemerintahan yang lama.
Beliau yakin, pemerintah boleh digulingkan apabila kemarahan rakyat memuncak, tanpa perlunya revolusi yang dipimpin oleh ketua. "Bukan kita hebat, tetapi rakyat meluat (dengan pemerintah)," demikianlah kata-katanya ketika meramalkan kejatuhan UMNO-BN, disusuli dengan peringatan, "Tetapi bila menang nanti, pengisian ke arah mana itu cukup penting!"
"PAS ganti UMNO"
Bagaimanapun, Mat Sabu berkongsi kekecewaan dan keresahan dirinya, ketika mengupas senario politik selepas PRU 12 pada 8 Mac 2008. Pakatan Rakyat berjaya memerintah di empat negeri (tidak termasuk kerajaan negeri Perak yang dirampas kuasanya oleh BN pada tahun 2009), dengan kerajaan negeri Kedah dan Kelantan didominasi PAS. Namun demikian, pemerintahan DAP lebih menampilkan integriti berbanding PAS, menurut penilaian Mat Sabu.
Apa yang membimbangkan beliau, "kecenderungan anak Islam untuk menyertai DAP terlalu tinggi", antaranya kerana tertarik dengan kewibawaan integriti yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar kiri) dalam pemerintahannya, kata Mat Sabu. Beliau menjelaskan, meskipun secara peribadinya Nik Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan melahirkan integriti contoh dalam mendapat kuasa, namun ia tidak diterjemahkan dalam bentuk umum, iaitu EXCO-EXCO dan pemerintah di Kelantan.
"Oleh itu, kalau kita tidak berani melahirkan pemerintah yang berintegriti bila kita berkuasa nanti, kita bimbang PAS betul-betul ganti UMNO," sindirnya berlapik ke atas slogan "PAS ganti UMNO", sebelum meneruskan, "Unsur ganti UMNO itu memang ada sekarang, di atas sifat 'hak saya untuk dapat itu'..."
Mat Sabu menyelar tindak-tanduk sesetengah wakil rakyat PAS, yang didakwanya membuat "claim tipu". Malah, soal integriti tidak dipandang berat, sebagaimana yang diamatinya melalui pergaulan dengan beberapa pimpinan dalam parti. Beliau mengkritik sikap sesetengah orang, "Selalu disebut, pemerintahan kita, mana ada tangkapan rasuah? Law lain, integriti lain. Kita bawa kereta lari 180 km sejam, tak ada polis tak kena tahan. Ertinya, kalau kita mencuri, masa itu tak ada polis, tak kena tahan. Tapi integriti datang daripada sifat dalaman."
Beliau menganggap integriti ini lebih berjaya dijelmakan oleh pemerintahan Barat, sungguhpun terdapat kerosakan lain yang dibawa Barat di sebaliknya. Beliau sempat memetik Rached Ghannouchi, pemimpin gerakan Islam Ennahda yang kembali ke Tunisia, ketika ditanya apakah model negara yang ingin diteladani sebagai negara kebajikan, setelah menang dalam pilihan raya baru-baru ini, Rached memilih Sweden sebagai jawapannya.
Mat Sabu mengulas bagaimana negara seperti Sweden, Demmark menduduki ranking teratas, sebagai negara yang bebas daripada rasuah, sedangkan negara Islam gagal melonjakkan diri dalam senarai teratas. Beliau sempat mengusik Malaysia, yang jatuh ranking-nya ke tangga 60, berbanding ke-56 daripada 178 negara tahun lalu. "Kita boleh ketawa sebab Malaysia sekarang ditadbir BN, tetapi apakah indeks itu akan berkurang bila kita ambil alih kuasa?" persoalnya.
Ambil khazanah negara untuk parti
"Ini yang berlegar di kepala saya apabila kita mencapai kuasa nanti. Apakah kita boleh jelmakan Islam yang dijelmakan Nabi, atau kita jelmakan pemerintahan baru yang mengganti UMNO?"
Mat Sabu mengisahkan bagaimana Nabi Muhammad SAW berdakwah dalam keadaan tidak berkuasa, hanya mampu menarik kira-kira 300 orang pengikut dalam 13 tahun; namun angka ini melonjak kepada lebih suku juta, apabila Nabi berdakwah dalam keadaan berkuasa untuk lapan tahun. Penambahan ini kerana jelmaan Islam dalam pemerintahan Nabi seperti keadilan sosial meyakinkan orang ramai.
Beliau kemudian mempersoalkan, mengapa tiada satu pun markas dibina di Kedah, selepas hampir empat tahun PAS mengambil-alih kerajaan negeri itu? Ahli PAS mula henti derma, kerana mereka sedang memerhati untuk tujuan apa PAS mengambil alih kuasa. Beliau memberi amaran, "Bila kita guna khazanah negara untuk parti, kita ambil alih tempat UMNO!"
Mat Sabu tidak menyelindung ketidaksenangan dirinya, apabila Kedah dan Kelantan ketinggalan berbanding Selangor, yang meluluskan usul mendesak pemansuhan ISA, Enakmen Kebebasan Maklumat dan sebagainya. Beliau menyelar sikap sesetengah pemimpin yang menganggap lebih baik tidak usik undang-undang yang sedia ada seperti ISA, kerana mungkin diperlukan apabila berkuasa kelak.
"Pembebasan demokrasi," tegasnya, seandainya gagal dikotai, maka memang PAS ganti UMNO. Secara jujur Mat Sabu mengakui, tiada jaminan daripadanya bahawa keadaan lebih baik apabila Pakatan Rakyat mengambil alih daripada Barisan Nasional, namun rakyat mesti diberi hak untuk menghukum pemerintah apabila berlaku penyelewengan.
Sepanjang pemerhatiannya, pemikiran liberal dan sosialis muncul kembali sejak kebelakangan ini, dan diminati semula. "Kalau kita tidak dapat melahirkan integriti yang hebat ini, saya nampak golongan kiri akan mendahului," dakwanya, mengambil contoh bagaimana Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nasir Hashim mempamerkan cara hidup yang sederhana meskipun mungkin lemah dalam bidang yang lain. Jeyakumar Deveraj, mengisytiharkan hartanya selepas menjadi wakil rakyat - yang mana langkah ini kurang diminati pimpinan PAS ketika Mat Sabu membangkitkannya dalam mesyuarat.
"Kalau kita nak Islam berada di atas, dan peranannya, soal integriti ini hendaklah menjadi tajuk utama," tekannya.
A.Samad Said: Idola orang muda
Mat Sabu turut mengambil nama A.Samad Said sebagai contoh, mengulas bagaimana Sasterawan Negara dengan usia dan keadaannya yang sebegitu, mampu disanjung sebagai idola orang muda. "....Dia boleh memperhambakan dirinya untuk kemanusiaan, keinsanan. Kenapa tidak berlaku begitu di kalangan ulama kita? Ini yang saya merungut itu!"
Sambil berkata dirinya tidak berniat untuk memperlekeh, beliau melontarkan kemungkinan ulama seperti Harun Din, untuk memimpin satu himpunan besar-besaran menentang penyelewengan dan penipuan yang berterusan dalam pilihan raya. Kata-katanya menggelakkan, ditanya pula mengapa hadirin ketawa. "Impossible (mustahil)!" demikianlah jawapan yang diterimanya daripada hadirin.
"Orang melihat orang yang ada integriti itu ada pada A.Samad Said (gambar kiri)," dakwanya. Mat Sabu mengingatkan, "kemenangan Parti Islam hanya kemenangan sementara," seandainya gagal melahirkan integriti dalam pemerintahan. *Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia. |
Nik Aziz mahu tanding PRU13 Posted: 06 Dec 2011 02:11 AM PST FREE MALAYSIA TODAY
"Tidak ada sebab untuk saya berundur seperti desakan beberapa perwakilan semasa Perhimpunan Agung Umno," kata MB Kelantan itu.
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang (PRU13). Nik Abdul Aziz, 80, berkata tidak ada sebab untuk beliau berundur seperti desakan beberapa perwakilan semasa Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini. "InsyaAllah saya akan bertanding lawan Umno. Saya tak kisahpun orang sebut nama saya pada perhimpunan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau menjadi Menteri Besar Kelantan selepas pilihan raya umum 1990. Pada pilihan raya umum 2008, beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Chempaka mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar dengan majoriti 4,249 undi. Sementara itu Nik Abdul Aziz enggan menjawab kenyataan seorang penceramah PAS menyamakannya sebagai nabi. Menurut Menteri Besar itu beliau tidak dapat memberi jawapan kerana tidak tahu "hujung pangkal" perkara tersebut. Bagaimanapun, katanya, jika ada pihak yang menuduh penceramah itu sebagai kufur kerana menyamakan beliau sebagai nabi, umat Islam yang menolak agama Islam juga sebenarnya kufur. "Cuma satu saya nak jawab kalau orang samakan saya sebagai nabi itu adalah kufur," kata beliau. Bernama |
Lapor polis untuk kekang budaya fitnah Posted: 06 Dec 2011 02:10 AM PST Kolumnis TMI buat laporan berikutan fitnah yang ditulis Papagomo terhadap beliau.
PETALING JAYA: Kolumnis The Malaysian Insider (TMI), Amin Iskandar merangkap ahli lembaga pengarah Institut Kebangsaan Demokrasi dan Integriti Pilihan Raya membuat laporan polis terhadap penulis blog, Papagomo di Balai Polis Jalan Travers tengah hari tadi. "Sebagai seorang penulis dan blogger yang menyokong kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan, laporan polis ini dilakukan bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan penulis blog untuk menulis tetapi untuk mengekang budaya fitnah daripada terus menjadi amalan sesetengah pihak," kata Amin dalam kenyataannya. Laporan dibuat berikutan penerbitan artikel bertajuk Amin Iskandar Penulis The Malaysian Insider Akui Dicabul Anwar Ibrahim oleh pengendali Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri bin Wan Deris pada 11 November yang lepas. Amin percaya bahawa penulisan itu dibuat berikutan penerbitan artikel Amin di laman web berita The Malaysian Insider bertajuk Razali Ibrahim, janganlah bersikap seperti anak kecil'. Razali ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Razali dikritik kerana menyalahkan pimpinan Pakatan Rakyat berikutan tindakan liar penyokong Indonesia terhadap pemain Malaysia ketika Sukan SEA bulan lepas. Bercakap mengenai perkara tersebut, Amin berkata: "Tindakan membela Datuk Razali Ibrahim dengan cara membuat fitnah terhadap diri saya adalah satu tindakan yang tidak wajar dan seharusnya dilakukan dengan berhujah secara matang." Justeru itu beliau menyeru pihak Polis Di Raja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan terhadap Papagomo. "Adalah diharapkan PDRM dan SKMM dapat mengambil tindakan terhadap penulis-penulis blog seperti ini tanpa memilih bulu. Ini kerana penulis-penulis seperti ini seringkali melemparkan fitnah secara sesuka hati tanpa berani memperkenalkan identiti sebenar mereka tetapi berselindung disebalik nama samaran," tambah Amin yang juga merupakan kolumnis laman portal berita, Malaysiakini. |
Dun T’ganu tegang isu hudud Posted: 06 Dec 2011 02:08 AM PST FREE MALAYSIA TODAY
Kerajaan pasti melaksanakan enakmen itu apabila semua prasarana, kemudahan-kemudahan, persiapan, teknikal sudah sempurna, kata Adun Batu Rakit.
KUALA TERNGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu yang masuk hari kedua hari ini agak tegang semasa wakil kerajaan Khazan Che Mat (BN-Batu Rakit) menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh DatukSeri Abdul Hadi Awang (PAS-Ru Rendang). Abdul Hadi ingin tahu bilakah kerajaan Terengganu bercadang untuk menguatkuasa dan melaksanakan enakmen kesalahan jenayah Syariah (Hudud dan Kisas yang diwartakan pada 2002) oleh kerajaan Terengganu. Khazan berkata sehingga ini kerajaan tidak mampu untuk menjanjikan bila tarikh tepat enakmen itu dapat dilaksanakan. Bagaimanapun katanya kerajaan pasti melaksanakan enakmen itu apabila semua prasarana, kemudahan-kemudahan, persiapan, teknikal sudah sempurna, dan apabila para ulama berpendapat bahawa pelaksanaannya sesuai dan mampu mencapai Syariah daripada pelaksanaannya. Mohd Nor Hamzah (PAS-Bukit Payong) bangun mencelah kerana tidak puas hati dengan jawapan Khazan, namun ia tidak dibenarkan Speaker, dan ketegangan bermula. Wakil Bukit Payong itu tidak mengendahkan arahan Speaker supaya duduk sehinggalah Speaker menasihatkan anggota dewan supaya jangan menunjukkan perangai yang tidak sepatutnya. Sebelum itu penyokong kerajaan Rosol Wahid mencelah dengan menyatakan isu hudud timbul kembali setelah hampir pilihan raya. Katanya semasa PAS memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004 Presiden PAS sendiri Abdul Hadi yang ketika itu menjadi Menteri Besar Terengganu pada 6 Mac 2000 menyatakan keberatan untuk melaksanakan hudud hanya 0.0001 peratus atau 1/10,000 sahaja. Sementara itu Khazan berkata kerajaan Terengganu sedang berusaha ke arah itu di mana 32 orang hakim Mahkamah Syariah akan dihantar berkursus di Institut Kehakiman Mahkamah Syariah di Riyadh tahun depan. Katanya tahun ini kerajaan negeri akan menghantar lagi hakim-hakim itu untuk berkursus, dan ini adalah antara usaha-usaha ke arah pelaksanaan hudud di Terengganu. Bernama |
Lagi pemimpin Umno mahu Shahrizat berundur Posted: 06 Dec 2011 02:07 AM PST MALAYSIA KINI
Seorang lagi pemimpin Umno mendesak supaya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat melepaskan jawatannya berhubung isu kontroversi projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikaitkan dengan keluarganya. Akhbar Sinar Harian, hari ini memetik Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabsee berkata Shahrizat tidak perlu menunggu lampu hijau untuk berundur ataupun didesak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berbuat demikian. "Adakah Shahrizat suka orang lain buat keputusan bagi dirinya? Jika tidak, berundurlah cara terhormat," katanya sambil menambah ketua Wanita Umno itu tidak perlu mengheret kerajaan dan pemimpin lain untuk memperbetulkan keadaan. Bagaimanapun Syed Ali dipetik akhbar berkenaan sebagai berkata Shahrizat masih boleh mengekalkan jawatannya dalam Umno kerana tindakan meletak jawatan parti boleh menyebabkan Umno tidak stabil. "Jika beliau letak jawatan menteri, rakyat akan menganggapnya seorang wanita yang hebat. Malah, Shahrizat boleh memberi tumpuan untuk pengukuhan jentera parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang. "Itu kalau beliau sayang parti. Jika tidak, rakyat (akan) pandang buruk kepada kerajaan dan Shahrizat perlu bertanggungjawab sepenuhnya," katanya dipetik Sinar Harian. Menurut Syed Ali, beliau menyokong kenyataan ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin, sebelum ini yang juga mendesak Shahrizat supaya berundur. |
NGO, parti Islam bidas Umno kerana gagal kawal MCA Posted: 06 Dec 2011 02:04 AM PST MALAYSIA KINI
Pelbagai pihak tampil membidas apa yang dianggap mereka sebagai keceluparan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang didakwa memperlekehkan hukum Hudud dan menuntut beliau meminta maaf dari seluruh umat Islam.
Turut menjadi sasaran bidasan mereka yang berang itu adalah rakan parti komponen BN - Umno kerana didakwa tidak mengawal tingkah laku biadap rakannya itu.
"PERKASA minta Umno ajar sikit mulut celupar presiden MCA yang tidak tahu ujung pangkal menyatakan Hudud akan jatuhkan ekonomi Malaysia jika dilaksanakan di negara ini.
"Bagi PERKASA, Dr Chua masih kabur tentang Hudud. Sepatutnya dia minta nasihat Umno jika mahu buat kenyataan begini. Untuk rekod PERKASA menyokong Hudud. Itu hukum Allah," kata setiausaha kumpulan pendesak Melayu itu, Syed Hassan Syed Ali melalui kenyataan medianya.
Menurut beliau, pemimpin Umno perlu menasihatkan presiden MCA itu supaya menarik semula kenyataannya yang salah terhadap hukumHudud.
"PERKASA tidak meminta Dr Chua memohon maaf kerana sedar beliau tidak faham tetapi perlu untuk menarik balik kenyataan yang dikeluarkan itu," katanya sambil menambah jika tidak PERKASA akan mengajar MCA dengan secukupnya pada pilihan raya umum ke-13 akan datang. Berniat jahat
Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yberpendapat kenyataan Chua yang dianggap biadap itu sebagai indikasi kepada perasaan kurang hormat beliau terhadap ajaran Islam.
Setiausaha Agung ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim dalam satu kenyataan media berkata kenyataan Chua berniat jahat serta bersifat dangkal dan boleh mencetuskan ketegangan politik serta agama yang sama sekali tidak diingini.
"ABIM merasa amat kecewa di atas kegagalan beliau mendalami serta memahami Islam secara keseluruhannya, di samping kecewa di atas kegagalan pihak-pihak yang berkenaan untuk memberikan kefahaman yang sepatutnya kepada beliau.
"Memandangkan ia bukanlah kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang bersifat begitu (menghina hukum Islam), ABIM menggesa permohonan maaf secara terbuka dibuat oleh beliau kepada seluruh umat Islam di negara ini," kata Mohamad Raimi. Umno bersekongkol
Sementara itu, Harakahdaily pula melaporkan ketua penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga melahirkan rasa kesal kerana Umno terus bersekongkol dengan MCA mengkritik hukum Allah.
"PAS menyedari bahawa tindakan berterusan beliau sekadar untuk menutup kegagalan pentadbiran beliau dalam MCA sehingga pelbagai masalah dalaman masih belum berjaya diatasi.
"Kegagalan beliau meyakinkan masyarakat cina terhadap BN cuba ditutup dengan menimbulkan kritikan trhadap isu hudud. Namun apa yang dikesalkan ialah sikap diam membisu Umno terhadap penghinaan berterusan ini," kata Tuan Ibrahim dipetik akhbar rasmi PAS itu.
Katanya, sikap membisu Umno untuk menegur kebiadapan Chua membuktikan kepada umum siapa sebenarnya yang menjadi kuda tungangan.
Menurut Tuan Ibrahim yang juga persuruhjaya PAS Pahang, parti itu telah berusaha membentangkan enekmen hudud di Terengganu dan Kelantan tetapi ia bukan sahaja tidak disokong tetapi diperlekehkan dengan dakwaan kononnya ia bertentangan dengan hudud sebenar.
"PAS telah berulang kali menyatakan kalau apa yang dibentang tidak tepat dengan hudud sebenar, Umno seharusnya membentang hudud yang sebenar dan PAS akan pasti meyokongnya.
"Jangan hanya tahu kritik, bila diminta sampai kini gagal kemukakan yang sebenar menurut perspektif Umno," katanya. |
Masa depan Melayu 'gerhana' jika Putrajaya ditawan Posted: 06 Dec 2011 01:56 AM PST Hazlan Zakaria Orang Melayu dan umat Islam tidak mempunyai pilihan melainkan menegakkan pemerintahan kerajaan BN kerana ia jalan tunggal menjamin depan bangsa Melayu dan melindungi maruah agama Islam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
"Masa depan kita akan bertukar menjadi masa depan yang penuh gerhana kerana asas kita menjadi bangsa mulia dan bermaruah dan menjanjikan masa depan lebih cerah kerana pemerintahan hari ini. "Sebab itu perjuangan kita mulia dan suci kerana kita pada asasnya berjuang mempertahankan kelangsungan kuasa yang ada pada tangan kita. Jika kuasa terlepas, Nauzubillah, cita-cita kita akan terkubur," katanya. Pada ucapannya kepada kira-kira 10,000 anggota Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), di Politeknik Sultan Salahahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini, Najib mengakui rakyat mempunyai pilihan. Namun, katanya soalannya adalah mereka ini lebih baik daripada pentadbiran sekarang. "Bolehkah mereka jamin bahawa kedudukan istimewa yang kita nikmati sekarang tidak akan terhakis?
"Bagaimana dengan maruah Islam dan orang Melayu?" soalnya dan menambah, rakyat sebenarnya tidak ada pilihan melainkan menegakkan pemerintahan sedia ada. Walaupun Najib tidak menamakan alternatif itu, tetapi adalah jelas beliau merujuk kepada Pakatan Rakyat.
"Belum lagi mereka berkuasa mereka telah berhasrat untuk mengurangkan separuh daripada kakitangan awam, termasuk para guru, anggota polis dan tentera. Siapa yang jadi mangsa kalau ratusan ribuan penjawat awam dibuang kerja mengikut perancangan mereka itu? "Mereka juga ingin mengubah bendera Malaysia, mencemar kemuliaan Raja-Raja Melayu dan mempersoalkan dasar-dasar untuk membantu orang-orang Melayu dan Bumiputera," katanya. Beliau juga memberi amaran masa depan orang Melayu akan 'gerhana' jika BN pimpinannya tidak lagi kekal berkuasa dalam pilihan raya umum ke-13.
Pada ucapannya itu, Najib menegaskan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur berhubung hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
"Oleh itu jangan sekali-kali mereka (orang bukan Melayu) mencuit perasaan orang-orang Melayu dengan hendak ubah apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan apa yang sudah pun kita rundingkan waktu Merdeka dahulu.
"Perkara-perkara ini kita akan pertahankan," katanya. Katanya orang Melayu tidak mahu sesiapa cuba untuk merungkaikan perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan Malaysia mesti dibina berasaskan perlembagaan.
"Kita percaya dalam kerangka Perlembagaan kita, sama ada tersurat atau tersirat, sudah boleh kita membina sebuah negara yang adil dan saksama untuk semua kaum," katanya. Najib berkata pilihan raya akan datang milik BN kerana telah berjuang membela nasib rakyat, adil dan tidak pernah menyimpang daripada prinsip agama.
Selaku Perdana Menteri, Najib juga berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia dan berharap rakyat memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk melakarkan masa depan yang baik.
Katanya masa depan yang baik adalah berdasarkan paksi realiti yang sebenar dan tidak seperti setengah pihak yang menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala. Turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Pengerusi Pekida, Jamaludin Yusof dan Timbalannya, Datuk Ramli Norani.
Menyentuh mengenai perjuangan Pekida dalam mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu dan agama Islam, Najib berkata beliau berasa bangga dengan pencapaiannya selama ini.
"Pekida adalah sebuah pertubuhan yang tidak pernah malap jauh sekali berkubur sebaliknya tetap menjadi pertubuhan yang ada kekuatan dan tidak dapat kita sangsi dan nafikan dari segi semangat, roh untuk berjuang habis-habisan mempertahankan apa yang difikirkan mulia dan suci.
"Saya yakin Pekida akan terus menegakkan pemerintahan yang mempertahankan maruah dan martabat umat Islam di Tanah Melayu," katanya. |
SPR jamin guna daftar pemilih bersih untuk PRU-13 Posted: 06 Dec 2011 01:55 AM PST MALAYSIA KINI
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan daftar pemilih yang akan digunakan suruhanjaya itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang adalah daftar pilihan raya sebersih-bersihnya. Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata sekarang ini SPR bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membersihkan nama mereka yang sudah meninggal dunia. "SPR sejak dulu lagi memberi perhatian yang serius membersih daftar pemilih ini," katanya selepas program Taklimat Pengurusan Pilihan Raya kepada pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus dan pembantu pilihan raya negeri Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. Menurut Wan Ahmad, setiap tahun SPR membersih lebih kurang 50,000 nama mereka yang sudah meninggal dunia daripada daftar pemilih di seluruh negara. "Proses membersih daftar pemilih mereka yang telah meninggal dunia disemak oleh SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara setiap hari," katanya. Wan Ahmad berkata, jumlah pemilih yang berdaftar di seluruh negara sekarang ini lebih kurang 12.4 juta dan berharap mereka yang belum berdaftar supaya berbuat demikian. "InsyaAllah kalau mereka berdaftar sekarang nama mereka akan sempat di proses dan diwartakan untuk mengundi pada pilihan raya akan datang," katanya. Beliau berkata, bagi warga negara yang bertanggungjawab daftar pemilih adalah penting kerana ia akan menentukan masa depan negara. Bagi Terengganu, untuk pilihan raya umum ke-13 nanti, Wan Ahmad berkata, pihaknya akan membuka sebanyak 342 pusat mengundi, 332 daripadanya adalah bangunan sekolah. Katanya, SPR akan membuka sebanyak 1,145 saluran tempat mengundi serta melantik lebih 9,000 orang petugas pilihan raya, majoritinya terdiri daripada guru-guru berpengalaman dalam pilihan raya lalu. Wan Ahmad berkata, peruntukan bajet pilihan raya bagi negeri Terengganu akan datang adalah sebanyak RM6.5 juta dan bajet keseluruhan negara sebanyak RM300 juta. - Bernama |
Mahkamah tolak saman Mat Sabu ke atas Utusan Posted: 06 Dec 2011 01:52 AM PST MALAYSIA KINI
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman sivil Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia berhubung penyiaran artikel mengenai isu komunis Bukit Kepong. Hakim Datuk John Louis O'Hara membenarkan bantahan awal yang ditimbulkan pleh peguam Utusan Malaysia yang mendakwa saman itu remeh dan menyusahkan selain ia suatu penyalahgunaan proses mahkamah. Hakim O'Hara juga mengarahkan Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, untuk membayar kos RM5,000. Utusan diwakili oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala Mat Sabu pula diwakili oleh Azhana Mohd Khairudin. Pada 14 September lalu, Mohamad, 57, memfailkan saman itu dengan mendakwa kedua-dua defendan - Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad - dengan niat jahat telah menerbitkan satu artikel fitnah pada 27 Ogos lalu dan dua lagi artikel pada keesokan harinya iaitu pada 28 Ogos. Mohamad mendakwa penyiaran artikel itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa dirinya menyokong komunis, telah terkeluar daripada ajaran dan akidah Islam kerana menyokong komunis dan mengiktiraf Muhammad Indera sebagai pengganas komunis yang bekerjasama dengan Goh Peng Tun dan 200 lagi angggota komunis. Beliau mendakwa dirinya terasa malu dan aib serta sengsara dari segi maruah, kredibiliti dan juga reputasinya, serta menanggung penderitaan akibat menerima khidmat pesanan ringkas yang mengandungi ugutan jenayah terhadap dirinya dan keluarga serta ancaman supaya dirinya ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau juga mendakwa menerima ancaman agar kewarganegaraan beliau dilucutkan di samping didakwa di mahkamah atas dakwaan menghasut atau menghina Yang di-Pertuan Agong. Mohamad mendakwa tindakan defendan-defendan menerbitkan semua artikel tersebut bertujuan untuk mensensasikan berita, melariskan penjualan akhbar bagi mendapatkan faedah kewangan dan bagi mendatangkan keuntungan politik kepada parti politik Umno. Beliau menuntut ganti rugi am, teladan dan melampau yang tidak ditetapkan jumlahnya serta satu perintah mahkamah agar kesemua defendan memohon maaf serta menarik balik artikel fitnah itu. |
Kami mangsa sebenar, dakwa AirAsia Posted: 06 Dec 2011 01:49 AM PST Hazlan Zakaria AirAsia hari ini mendakwa syarikat penerbangan tambang rendah itu adalah 'mangsa' dalam pertelingkahan dengan Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB) berhubung pembinaan terminal kos rendah yang baharu (KLIA2). "Kami adalah mangsa sebenar... kami di bawah ehsan MAHB, pihak yang membina lapangan terbang itu," kata pengarah komersialnya Jasmine Lee. Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di Sepang, Lee berkata MAHB gagal berunding dengan AirAsia sebelum membina terminal baru itu. Menceritakan apa yang terjadi, katanya, MAHB dipertanggungjawab membina KLIA2 pada April 2008, dan sepatutnya membentuk sebuah jawatankuasa bersama dengan AirAsia yang bakal menjadi penghuni utama terminal itu. Tindakan itu bagi membiuncangkan tentang rekabentuk, perancangan dan keperluan operasi AirAsia. Malangnya, kata Lee, tiada jawatankuasa yang dibentuk dan tiada perancangan bersama dijalankan. Sebaliknya MAHB meneruskan projek itu secara unilateral dan dengan corak mereka sendiri. [Baca berita penuh]Sementara itu, Bernama melaporkan pertelingkahan terbaru antara AirAsia Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), syarikat penerbangan tambang rendah itu melahirkan harapannya agar dapat bekerja sebagai satu keluarga dan pengendali lapangan terbang itu pula memberikan pertimbangan sewajar kepada keperluannya di terminal kos rendah yang baharu (KLIA2). Ketua Pegawai Operasi AirAsia Bo Lingam berkata syarikat penerbangan itu akan menjadi syarikat terbesar yang menggunakan lapangan terbang baharu itu tetapi beberapa cadangan dan keperluan asasnya tidak dilayan oleh MAHB. "Mengenai mesyuarat antara MAHB dan AirAsia yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Razak, yang pada masa itu merupakan Timbalan Perdana Menteri, dicadangkan agar kedua-dua entiti itu membentuk jawatankuasa bersama mengenai pembangunan KLIA2. "Bagaimanapun, sehingga sekarang, tiada. Walaupun, ia agak lewat sekarang ini, kami masih terbuka kepada jawatankuasa bersama untuk kepentingan AirAsia, MAHB dan semua pihak terbabit dalam pembangunan lapangan terbang itu. "Sekiranya jawatankuasa bersama itu telah dibentuk, kesemua masalah ini tidak akan muncul kerana ia telah dapat diselesaikan secara dalaman," kata beliau dalam taklimat media di Sepang hari ini. Beliau berkata kebimbangan utama syarikat penerbangan itu ialah kos yangcmeningkat untuk terminal baharu itu yang mungkin menjuruskan kepada sewa, surcaj dan bil tambahan yang tinggi dikenakan ke atas AirAsia apabila syarikat itu memindahkan operasinya ke KLIA2 yang dijadual beroperasi pada 2013. Ini, kata beliau, mungkin juga boleh menjadi sebab untuk AirAsia menaikkan tambangnya di masa hadapan. "Selain daripada itu, kami meminta agar MAHB bersetuju mempunyai perjanjian perkhidmatan dengan kami untuk menduduki lapangan terbang baharu itu kerana kami tidak mempunyai perjanjian seumpama itu pada masa ini dengan terminal cpenerbangan tambang rendah yang ada sekarang. "Kami juga mahu MAHB menyatakan secara hitam putih caj lapangan terbang semasa agar ia tidak dinaikkan sebaik sahaja kami berpindah ke lapangan terbang baharu," kata beliau. Bo Lingam berkata syarikat penerbangan itu juga meminta agar laluan teksi dibina dalam fasa pertama terminal baharu, malah, ini turut ternyata dalam rancangan landasan permulaan, tetapi rancangan itu telah dibatalkan. Ia kini dirancang untuk pembinaan dalam fasa kedua projek berkenaan. "Jika landasan itu tidak dibina, kami akan menanggung kerugian berjumlah sehingga RM40 juta setahun, hanya untuk bahan bakar, kerana kami perlu melintasi landasan itu tanpa laluan teksi," tambah beliau. Bo Lingam juga menyatakan yang AirAsia tidak menafikan hakikat yang MAHB dan syarikat penerbangan itu mempunyai sejumlah 47 mesyuarat mengenai projek lapangan terbang baharu itu. "Bagaimanapun, tiada keputusan telah diambil pada mesyuarat itu. Ia lebih kepada satu pihak dengan kami membentangkan rancangan dan cadangan terbaru kami dan apa yang hanya mereka kata ialah pihak lembaga akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan dan membuat keputusan akhir. "Kita mahukan lapangan tambang rendah, prosedur operasi kita tidak memerlukan lapangan terbang berkelas dunia. Kita telah maklumkan kepada MAHB perkara ini banyak kali tetapi perkembangan terbaru jelas menunjukkan yang mereka tidak faham apa yang kita cuba buktikan di sini," kata beliau. Bo Lingam berkata pada 2009, syarikat telah mengenalpasti sebidang tanah dan melakarkan contoh reka bentuk lapangan terbang. "Kos projek itu, jika berdasarkan kepada reka bentuk, tidak akan melebihi RM700 juta, tetapi tanpa sebarang alasan, MAHB telah menolak kedua-dua tapak dan reka bentuk itu. "Kami telahpun tahu yang tapak pada masa ini akan melibatkan lebih banyak kos dan kerja kerana tanahnya lembut tetapi MAHB telah membuat keputusan akhir dan sekarang, tarikh penyiapannya telah ditangguh dari akhir tahun kepada September 2013," katanya. Beliau juga berkata ekoran penangguhan itu, AirAsia perlu menunda penghantaran kapal terbang baharu kerana kekurangan ruang. AirAsia, telah banyak membantu Malaysia menempatkan dirinya di peta dunia sebagai antara negara yang menawarkan pengembaraan tambang rendah, kata Bo Lingam. "Jadi, apa salahnya jika MAHB memberikan kami hubungan rakan perniagaan dalam perkara ini," kata beliau. AirAsia dan MAHB dijadual mengadakan mesyuarat mereka mengenai lapangan terbang baharu itu esok. |
Ramasamy: DAP tak patut ada 'bapa angkat' Posted: 06 Dec 2011 01:44 AM PST Susan Loone
Tidak harus ada peranan 'bapa angkat' dalam agihan kerusi DAP pada pilihan raya umum akan datang kerana keputusan akan dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu, kata timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy.
Katanya, peruntukan kerusi tidak akan diputuskan oleh seorang sahaja tetapi oleh jawatankuasa berkenaan yang terdiri daripada beberapa pemimpin DAP yang lain.
Ramasamy, yang juga timbalan ketua menteri II Pulau Pinang, berkata beliau bersetuju dengan kenyataan pengerusi DAP, Karpal Singh, yang baru-baru ini memberi amaran tidak perlu ada "panglima perang" dalam parti itu yang bercadang menjanjikan kerusi tertentu untuk kroni-kroni mereka.
Menurut beliau, tindakan Karpal mengeluarkan kenyataan itu adalah tepat kerana kedudukannya sebagai ketua parti, tetapi beliau tidak bersetuju bahawa kata-kata itu ditujukan kepadanya secara peribadi.
"Kita semua setuju tidak harus ada 'panglima perang' dalam DAP, tetapi sepatutnya juga tidak harus ada 'bapa angkat', juga," kata Ramasamy.
"Saya akan berbincang dengan Karpal mengenai perkara ini kerana saya tidak fikir beliau mensasarkan saya secara peribadi, seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita.
"Saya faham politik. Saya seorang pensyarah dalam bidang sains politik selama 25 tahun," katanya.
Ramasamy yang juga ADUN Prai merujuk kenyataan Karpal yang terbaru, seperti yang dilaporkan pada laman Free Malaysia Today (FMT), bahawa "tiada seorang pun mempunyai kuasa untuk memilih atau mengumumkan senarai calon dan agihan kerusi.
"Hanya kepimpinan tertinggi mempunyai keistimewaan untuk berbuat demikian," kata Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, semalam.
Menurut portal itu, Karpal (kiri) membidas Ramasamy dan memberi amaran bahawa DAP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib tegas terhadap mereka yang cuba bertindak sebagai 'panglima perang'.
Peguam tersohor itu merujuk kepada beberapa laporan akhbar-akhbar berbahasa Tamil yang memetik Ramasamy sebagai mengumumkan keputusan mengenai agihan beberapa kerusi parti itu. Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, pagi tadi, Karpal memberi amaran tentang penggunaan 'bapa angkat' bagi menggambarkan pemimpin veteran parti itu tetapi katanya, mereka diperlukan bagi memastikan perkembangan DAP. Meskipun mengakui label 'bapa angkat' mungkin disalahfaham, tetapi Karpal berkata parti itu tidak memerluikan 'panglima perang'. Panglima katnya, adalah pemimpin parti yang menjanjikan kerusi dan membuat pengumuman bagi pihak kroni mereka sebelum keputusan muktamad CEC. Namun, 'bapa angkat' adalah pemimpin yang telah berkhidmat lama membantu parti dari permulaan sehingga generasi muda mampu bangkit ke kedudukan mereka hari ini. "Pemimpin DAP berada di kedudukan mereka sekarang kerana perjuangan bapa angkat," katanya. |
'Balai Polis Kerinchi' pengundi di Lembah Pantai Posted: 06 Dec 2011 01:42 AM PST S Pathmawathy
Lebih 90 nama bermasalah dikesan daripada 2,180 nama dalam senarai pengundi pos yang terkandung dalam daftar induk pemilih bagi kawasan parlimen Lembah Pantai, kata ahli parlimennya, Nurul Izzah Anwar.
"Kami ada 97 pengundi yang nama mereka tidak dijumpai di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); nampaknya mereka boleh mengundi di dua tempat. Rekod-rekod lain yang mencurigakan juga dijumpai pada daftar pemilih yang dikemaskini sehingga Jun 2011," katanya.
Pada sidang akhbar di pusat khidmat PKR di Lembah Pantai hari ini, Nurul Izzah berkata, antara penemuan yang dianggap pelik ialah nama seorang pengundi yang didaftarkan sebagai "Balai Polis Kerinchi" dalam daftar pemilih induk.
"Apabila kita semak butir-butir menggunakan nombor kad pengenalan polis bagi mengenal pasti pengundi berkenaan, nama itu wujud tetapi dalam daftar pemilih SPR ia menunjukkan sebaliknya," katanya. Beliau berkata, nombor kad pengenalan, RF161872, pada pangkalan data SPR menunjukkan ia milik Yusop Mohd Faizul Mohd . "Kita tidak tahu jika ia Balai bin Polis Kerinchi atau Balai Polis bin Kerinchi," sindir Nurul Izzah. Masalah-masalah lain termasuk rekod pengundi tidak dijumpai di laman web SPR tetapi muncul dalam daftar pemilih. "Apa yang lebih mengejutkan ialah ada pengundi yang disenaraikan di dua pusat mengundi. Sebagai contoh, Saripah Arif (RF90153), disenaraikan sebagai pengundi pos di balai polis Pantai dan juga balai polis Pekan, yang terletak di Pahang," katanya. Pada tahun 2008 kawasan pilihan raya itu mempunyai kira-kira 56000 pengundi tetapi pada Jun tahun ini, Lembah Pantai kini mempunyai kira-kira 70,000 pengundi berdaftar. "Kita tidak lagi boleh mempercayai sistem sekarang, apa yang akan berlaku jika pilihan raya diadakan secara tiba-tiba? Ini adalah daftar yang diwartakan bagi suku ketiga. Ini adalah senarai daftar yang kita terpaksa gunakan jika pilihan raya diadakan esok," katanya dengan nada kecewa. Nurul Izzah sebelum ini berkata bahawa bilangan pengundi pos naik secara mendadak sebanyak 1,363 peratus dalam tempoh dua bulan - dari hanya 149 orang pada 26 Sept tahun ini kepada 2,180 pada 2 November lalu. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan