Jumaat, 30 Disember 2011

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


Karpal nafi buat aduan kepada CJ

Posted: 30 Dec 2011 04:55 AM PST

Peguam Karpal Singh menafikan telah membuat sebarang aduan kepada Pejabat Ketua Hakim Negara supaya menyiasat isu plagiarisme terhadap seorang hakim, serta menyatakan rasa terkejutnya dengan keputusan siasatan bahawa aduan tersebut tidak mempunyai merit.

"Adalah jelas daripada surat-menyurat bahawa saya tidak membuat aduan kepada Ketua Hakim Negara (CJ) supaya dijalankan siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Karpal berkata, beliau terkejut bahawa Ketua Hakim Negara menyatakan berdasarkan siasatan yang dijalankan menurut Seksyen 13 (1) Kod Etika Hakim 2009, dakwaan plagiarisme seperti yang dibangkitkan oleh peguam itu tidak mempunyai merit dan aduan tersebut ditolak.

Dalam satu kenyataan petang ini, Karpal juga mempersoalkan Ketua Hakim Negara merujuk kepada Kod Etika Hakim 2009 kerana perbuatan plagiarisme itu berlaku pada tahun 2000, sebelum kod itu diwujudkan, sambil berkata "kod itu tidak retrospektif".
NONEKarpal yang juga pengerusi kebangsaan DAP dan ahli parlimen Bukit Gelugor menjelaskan bahawa komunikasi dengan Pejabat CJ hanyalah semata-mata respon kepada pertanyaan pejabat berkenaan berhubung suratnya kepada hakim berkenaan, berhubung isu tersebut.

Sebelum itu, pegawai khas 1 kepada Ketua Hakim Negara, Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, dalam satu kenyataaan hari ini, berkata siasatan yang dijalankan oleh Ketua Hakim Negara mendapati dakwaan Karpal itu tidak mempunyai merit dan aduan tersebut ditolak.

Sebelum ini, Karpal menggesa Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hakim Abdul Malik Ishak supaya meletakkan jawatannya berikutan dakwaan plagiarisme.

Pada 4 Oktober lalu, Karpal mengemukakan usul mengikut Perintah-Perintah Tetap 27 yang dibaca bersama dengan 36 (8) dan Perkara 127 perlembagaan persekutuan, yang mahu dibentangkannya di Dewan Rakyat.

Menurut Karpal beliau sendiri telah menulis kepada hakim kanan itu pada 22 Ogos lalu dan memberi beliau masa selama tujuh hari untuk menjawab dakwaan berkenaan.

Karpal kemudiannya menulis sepucuk lagi surat pada 29 September lalu dan memberitahu hakim itu bahawa sekiranya tiada jawapan diberikan beliau akan mengandaikan ia sebagai pengakuan salah laku

DEMO SOKONG ANWAR?

Posted: 30 Dec 2011 12:59 AM PST

Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI) hari ini menggesa para pelajar supaya menumpukan perhatian kepada peperiksaan dan tidak menyertai satu perhimpunan untuk menyokong ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari.

Presiden persatuan pro-BN itu, Mohd Shahar Abdullah berkata pihaknya turut mengecam satu lagi perhimpunan akan akan diadakan esok untuk menyokong seorang pelajar pro-Mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim.

Adam Adli, seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris, berdepan tindakan tatatertib ekoran tindakannya menurunkan satu kain bercetak wajah perdana menteri dalam satu perhimpunan pelajar pro-Mahasiswa sebelum ini.
Mengulas rancangan perhimpunan tersebut, Mohd Shahar berkata tindakan berkenaan merupakan satu "petanda amat teruk kepada demokrasi negara."
"Kita mahu kampus kita menjadi aman, menjadikan mahasiswa berfikiran rasional," katanya yang bimbang jika terdapat pelajar ditahan polis memandangkan peperiksaan di universiti semakin hampir.

Kataya, para pelajar yang kini sedang menjalani peperiksaan, juga tidak perlu menyertai perhimpunan 9 Januari – tarikh keputusan perbicaraan kes Liwat II yang dihadapi Anwar.

"Bukan isu Anwar menjadi topik dalam peperiksaan. Sekiranya (mereka) terlibat, kita rasa ia tidak perlu berlaku, dan kita mengecamnya," katanya.

Mohd Shahar yang turut mengetuai satu demonstrasi pelajar pro-Aspirasi pada 21 Disember lalu juga berkata, persatuan itu tidak menyalahkan mahasiswa tetapi pihak tertentu yang menggunakan pelajar universiti untuk berdemonstrasi.

Katanya lagi, persatuan itu juga akan menganjurkan siri 'Jelajah Aman Kampus' di 20 buah institusi pengajian tinggi awam dan lima universiti swasta apabila semester baru dibuka pada pertengahan Februari depan.

Jelajah tersebut akan disertai 15 NGO antaranya Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GPMM), Gagasan Pelajar India 1Malaysia dan kumpulan Penggerak Mahasiswa Univerisiti Malaya (UM). 

Jelajah tersebut antara lain bertujuan untuk mempromosi keharmonian dan kedamaian bagi memastikan keamanan setiap kampus dipelihara, katanya.

Selain itu, mereka mahu memastikan pembangunan sahsiah dan akademik dititikberatkan oleh pelajar serta meningkatkan semangat patriotisme dan intelektual di kalangan mahasiswa, katanya lagi.

Mohd Shahar berkata, persatuan itu juga tidak mahu demokrasi kampus disalahertikan dan dipesongkan untuk kepentingan pihak tertentu dan tidak mahu mahasiswa terlibat dengan demonstrasi jalananan sehingga menjejaskan pencapaian akademik.

Selain itu, jelajah ini juga akan mengelakkan mahasiswa dari terlibat dengan masalah soasial dan jenayah seperti menjadi keldai dadah, isu seks seperti lesbian, gay dan perkahwinan sejenis.

Acara kemuncak jelajah tersebut merupakan perhimpunan raksasa yang dijangka akan dihadiri perdana menteri bersama kira-kira 5 ribu anak muda, bekas mahasiswa dan NGO.

PDRM sudah bersedia hadap PRU13

Posted: 30 Dec 2011 12:57 AM PST

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia daripada semua aspek bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rasid.

Beliau berkata pasukan itu akan digerakkan sebaik sahaja menerima maklumat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya.
  
"Persiapan ini termasuk dari segi pegawai dan keanggotaan serta pengetahuan," katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Pasukan Gerakan Am (PGA), di Tawau hari ini.
  
Mengenai penstrukturan semula fungsi Pasukan Gerakan Marin (PGM), Salleh berkata proses dijangka siap Januari ini.
  
Beliau bagaimanapun menegaskan PGM tidak akan berkubur, tetapi diberi tugas tambahan yang sebelum ini dilaksana pasukan lain dalam PDRM.

Pihak kami kini sedang menjelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan fungsi PGM kepada anggota yang masih kekal dengan agensi ini selepas beberapa peranannya diambil alih Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), katanya.

Salleh berkata di bawah penstrukturan terbabit, PGM Sabah dan Sarawak akan diletakkan di bawah pesuruhjaya polis kedua-dua negeri tersebut, manakala di Semenanjung pasukan itu diletak di bawah ketua polis negeri.

"Marin tetap ada. Saya nafikan dakwaan kononnya Marin sudah terkubur. Kita hanya serah perjawatan Marin kepada APMM sebanyak 570 keanggotaan, 60 buah bot dan kapal dan tujuh pangkalan. Sedikit sahaja.              

"Saya amat berbangga dengan pegawai Marin yang masih setia dan berada dengan PDRM. Bukan senang kita cari orang-orang yang mempunyai kesetiaan (kepada pasukan mereka) walaupun menerima tawaran menyertai agensi lain,"  katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: