Rabu, 28 Disember 2011

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


KES BONTOT SAIFUL AKAN PANAS SIKIT HARI LAGI!!!

Posted: 28 Dec 2011 06:30 AM PST

Menjelang keputusan perbicaraan kes Liwat II pada 9 Jan, jadual ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim padat dengan acara ceramah.

Beliau akan menjelajah ke 18 lokasi utama di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur untuk mengisi jadual tersebut.

Tempoh berkenaan, antara 3 hingga 8 Januari diisi sepenuhnya oleh Anwar untuk berceramah, termasuk di tiga perhimpunan besar pada malam terakhir di Lembah Kelang, sebelum mahkamah membuat keputusan pada Isnin.

Anwar dipetik AFP sebagai berkata, ramai yang mendoakan supaya beliau dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Beliau juga akan menggunakan peluang dalam siri ceramah berkenaan untuk menjelaskan bahawa beliau tidak bersalah.

Sekiranya didapati bersalah, bekas timbalan perdana menteri itu dijangka akan dihumban ke penjara sedangkan pilihan raya umum dijangka akan dilangsungkan tidak lama lagi.

Walau "optimis" dengan peluangnya untuk dibebaskan, Anwar berkata beliau bersedia untuk menghadapi keadaan yang paling buruk.

Kemelut selesai, Hasan Ali temui Nik Aziz

Posted: 28 Dec 2011 04:48 AM PST

Exco Hal Ehwal Agama Islam Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali telahpun membuat pertemuan dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam.

Dalam pertemuan tersebut, Harakahdaily melaporkan Hasan telah menarik balik kenyataannya mengkritik PAS berhubung isu negara berkebajikan dan meminta maaf kepada pimpinan PAS.

Pertemuan itu berlangsung di kediaman rasmi menteri besar Kelantan di JKR 10. Hadir sama ialah presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Media rasmi PAS itu memetik Nik Aziz sebagai berkata: "Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Dr Hasan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.

"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya.

"Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Dr Hasan."

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan berkata pertemuan ini dianjurkan oleh PAS pusat.

"Dan jika PAS Pusat tak atur pun, saya akan panggil dia," tambahnya.

Menurut Nik Aziz, beliau juga telah membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di kediaman rasminya semalam sebagai tanda kesyukuran penyelesaian kes tersebut.

"Saya berharap PAS pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli-ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini," cadang beliau.

Nik Aziz yakin hal ini tidak lagi boleh dijadikan isu oleh Umno kerana ruangnya sudah ditutup rapat.

Aziz Bari masih timbang peluang sertai politik

Posted: 27 Dec 2011 10:30 PM PST

Pakar perlembagaan, Prof Abdul Aziz Bari sehingga kini masih berkira-kira untuk menyertai politik apabila melihat peluangnya untuk kekal berkhidmat di universiti semakin tipis.

Katanya, beliau sudah memikirkan sejak beberapa lama untuk meninggalkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), walau beliau telah berkhidmat lebih 22 tahun di kampus berkenaan.

Beliau turut mengukur tindakan yang dihadapinya daripada kampus berkenaan, semenjak dikenakan surat tunjuk sebab atas satu kenyataan kontroversinya berhubung fungsi dan hak sultan sebagai ketua agama negeri.

NONEAbdul Aziz, 53, berkata pentadbir UIAM tidak membalas surat tunjuk sebabnya, sama ada untuk menutup kes beliau atau meneruskan tindakan disiplin ke atasnya walau sudah dua bulan berlalu.

Beliau sebelum ini pernah dikenakan tindakan sama berhubung kenyataan yang dibuatnya – termasuk berhubung kenyataannya pada tiga tahun lalu yang menyamakan Malaysia dengan Zimbabwe.

Satu lagi surat tunjuk sebab yang diterimanya adalah berhubung penglibatan dalam membantu kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam pelantikan setiausaha kerajaan negeri.

"Saya berasa sampai peringkat ketiga ini sukar bagi saya untuk teruskan.

"Dari segi kelangsungan universiti sekarang, agak sulit untuk teruskan dalam suasana yang semakin sukar dan suasana menekan dan tak mesra akademik, lebih kepada kolej atau sekolah tinggi begitu.

"Sukar bagi kita yang sampai ke tahap yang dikehendaki masyarakat untuk berikan input dengan komen. Mungkin ini waktu terbaik untuk tinggalkan universiti," katanya lagi dalam satu wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu.
Sudah terima tawaran

Anak kelahiran Sabak Bernam itu juga berpendapat, tindakan universiti itu bermaksud beliau tidak lagi dibenarkan berkomunikasi dengan masyarakat sebagai ahli akademik.

"Jadi saya terpaksa memilih jalan lain, antaranya pentas politik yang saya rasa satu pendekatan baru," katanya lagi.

Tambahnya, beliau telahpun menerima tawaran untuk bertanding, baik daripada DAP, PKR mahupun PAS namun tawaran berkenaan "tidak konkrit."

NONE"Sebelum ini pun ada, sebelum 2008 sekitar 2007 sudah ada tawaran masuk politik tapi saya tidak berminat. Sepatutnya saya sudah bertanding tapi saya tak berminat.

"Bendera (tiket parti) macam ada tapi kerusi tidak ada. Dalam politik seperti itu, sama ada kita minat atau tidak masuk dalam gelanggang.

"Selepas minat, kerusi itu boleh diuruskan. Saya memang tidak berminat dari awal lagi, tidak melihat saya satu calon atau karakter sesuai dalam politik dan saya tidak lihat saya punya tempat dalam politik," katanya lagi.

Katanya, beliau juga masih belum memikirkan secara serius pilihan untuk menyimpang daripada jalan akademik dan menjadi tokoh politik.
Cari ruang fleksibel

"Mungkin bagi saya ini masa untuk cari ruang atau tugasan yang lebih fleksibel," katanya yang menambah, beliau masih belum memikirkan secara serius pilihan untuk memasuki bidang baru.

"Tapi apa pun, saya tidak akan lari daripada apa yang saya buat sebelum ini – rundingan, penulisan, penyelidikan dan juga untuk menganggotai (badan berkaitan)," katanya yang kini giat berucap dalam program ceramah di serata negeri.

Beliau juga maklum bahawa ruang untuk menyatakan pandangan dalam terbatas sekiranya beliau menyertai parti politik kerana perlu akur dengan kekangan dan dasar parti berhubung sesuatu isu.

"Setakat ini saya tidak berparti jadi saya tidak melihat masalah. Cuma, di mana-mana pun sebenarnya ada sekatan atau batasan.

"Kalau kita kekal dalam akademik pun sama juga, harus fikir apa kesan daripada kenyataan, huraian kepada universiti atau majikan.

"Kalau jadi perunding atau felo badan bebas sekalipun, saya hanya boleh sentuh perkara yang mereka boleh terima," katanya lagi

Pemimpin PKR ditahan berhubung akaun Twitter 'palsu'

Posted: 27 Dec 2011 08:06 PM PST

Pemimpin popular PKR, Badrul Hisham Shahrin ditahan polis semalam berhubung tulisan yang didakwa berunsur hasutan yang didakwanya adalah akaun twitter "palsu".

Menulis di twitternya malam tadi, beliau yang dikenali sebagai CheguBard berkata, beliau baru sahaja dibebaskan dengan jaminan polis kerana Umno telah membuat laporan polis di Ampang mengenai akaun Twitter dengan nama AMK Rembau yang dikatakan menghina institusi beraja.

NONEBeliau menegaskan bahawa akaun AMK Rembau itu tidak ada sebarang kaitan dengan cabang Pemuda PKR itu tetapi menurutnya,
polis merampas telefon Blackberry miliknya dan cuba mencari komputer ribanya dan komputer cabang tersebut.

Semakan Malaysiakini mendapati tidak terdapat akaun Twitter atas nama AMK Rembau, walaupun carian untuk akaun di laman mikro-blogging itu menunjukkan satu hasil - akaun yang dikenali sebagai Umno Baru.

AMK adalah nama singkatan bagi sayap Pemuda PKR.

CheguBard berkata, akaun "palsu" itu sudah beroperasi semasa pemilihan sengit parti itu tahun lepas dan dia mendakwa ianya dikendalikan oleh mereka yang mahu memburuk-burukkannya.

Chegubard, yang tewas dalam pertandingan jawatan ketua AMK kepada penyandangnya Shamsul Iskandar Md Akin, menambah bahawa terdapat juga akaun palsu di laman rangkaian sosial Facebook.

Pilihan raya umum Mac depan?

Posted: 27 Dec 2011 04:00 PM PST

PAS menjangkakan pilihan raya umum ke 13 akan diadakan Mac tahun depan dan mahu semua peringkat parti membuat persiapan terbaik.

"Kali ini saya agak yakin berbanding dengan tarikh-tarikh sebelum ini," kata ahli politik veteran PAS yang juga Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali (gambar).

Beliau berkata demikian dalam satu majlis makan malam dekat sini baru-baru ini.

Beliau membuat andaian itu berdasarkan laporan media dan ramalan awal tentang status ekonomi negara.

"Bagi saya, Umno akan timbang dua perkara kali ini sebelum mengadakan pilihan raya iaitu keadaan dalam Pakatan Rakyat yang sedang diserang.

"Satu lagi, kedudukan ekonomi yang dijangka bermasalah tahun depan ekoran krisis ekonomi dunia khasnya di Amerika dan Eropah.

"Sebelum Malaysia terasa kesannya, baik buat pilihan raya dulu," kata Mustafa dalam ucapannya itu.

Sehubungan itu, beliau meminta semua organisasi dalam PAS membuat persiapan yang terbaik untuk menghadapi pilihan raya kali ini.

"Najib sudah isytiharkan, ini adalah ibu kepada segala peperangan (mother of the batle), yang tidak pernah dirasai BN sebelum ini, jadi kita mesti membuat persiapan terbaik," katanya.

Mustafa bersetuju, ramai pemimpin dan Umno sangat terpengaruh dengan teori R.A.H.M.A.N yang menghasilkan Datuk Seri Najib perdana menteri di kalangan Umno yang terakhir.

Teori R.A.H.M.A.N adalah teori berdasarkan turutan perdana menteri Malaysia dari Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Husein, Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah dan kini Datuk Seri Najib.

Sehubungan itu, Mustafa meminta semua ahli PAS memberikan fokus sepenuhnya untuk memenangi pilihan raya kali ini khasnya di Terengganu.

Bagi beliau, Umno Terengganu sudah terlalu kekeringan idea dalam menghadapi PAS sehingga terpaksa menimbulkan kembali isu yang sudah berlangsung puluhan tahun lalu iaitu isu kafir mengkafir dan sembahyang dua iman.

Ia dibangkitkan dalam satu titah Tuanku Sultan Terengganu di sebuah masjid baru-baru ini yang antara lain kesal kerana masih ada pihak yang tidak bersembahyang di masjid kawasan masing-masing.

Namun isu ini dijawab dengan mudah oleh penduduk kariah masjid Pengadang Baru dekat sini.

Masjid Pengadang Baru adalah masjid kerajaan negeri tetapi jawatankuasa dan imannya dikuasai oleh pemimpin PAS tempatan.

Ekoran itu, ramai pemimpin Umno tempatan tidak sembahyang termasuk sembahyang Jumaat di masjid itu.

Antaranya adalah Pengerusi JKKK Pengadang Baru yang sembahyang di masjid lain iaitu Masjid Kubang Durian.
(Dua orang kanak-kanak remaja menyampaikan sumbangan derma untuk dana pilihan raya kepada Datuk Mustafa Ali sambil diperhatikan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dalam majlis makan malam mengumpul dana Dun Ladang).

Ekoran itu, Mustafa merumuskan Umno sudah kekeringan idea untuk melawan PAS.

Oleh itu, pilihan raya ini disifatkan beliau sebagai masa terbaik untuk PAS merampas kembali Terengganu.
Dalam pada itu juga, Mustafa Ali mengingatkan jentera parti agar tidak mengharapkan masalah 'dalaman' Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menang pilihan raya.

Justeru itu, kata beliau PAS perlu mempunyai kekuatan sendiri bagi menarik sokongan pengundi dan rakyat seluruhnya.

Menurutnya, meski pun Umno-BN menghadapi banyak masalah termasuk isu perbalahan dalaman parti itu tetapi bukan jaminan kepada PAS pada pilihan raya akan datang.

"Kita (PAS) tidak boleh bergantung dengan isu Umno dan Barisan Nasional 'berbalah' (krisis) tetapi kena ada kekuatan kita sendiri," tegasnya.

Mustafa mahu jentera PAS di semua peringkat bekerja kuat bagi menambah serta memperkukuhkan daftar pemilihnya.

Menurutnya, senario politik hari ini menunjukkan gelombang bukan Melayu Islam agak kuat menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Anwar jelajah negara menjelang 9 Januari

Posted: 27 Dec 2011 12:00 PM PST

Ketua Pembangkang (Parlimen) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan menemui rakyat melalui program jelajahnya ke seluruh negeri di Semenanjung Malaysia menjelang 9 Januari ini.

9 Januari adalah tarikh mahkamah tinggi membuat keputusan berhubung dengan dakwaan terhadap Anwar.

Program jelajah bermula 3 Januari 2012 itu dirangka bagi memberi peluang kepada rakyat mendengar penjelasan dari Ketua Umum Keadilan itu mengetahui tentang isu-isu yang berlaku di dalam pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Beliau juga dijangka akan memberi penjelasan terhadap isu fitnah II yang telah dirancangkan oleh Umno sejak awal lagi bagi menghalang perjuangan politik Anwar.

Program ielajah itu akan bermula pada 3 Januari iaitu di Johor meliputi Daerah Ledang dan Muar, pada 4 Januari pula Anwar akan berada di Bandar Tampin, Negeri Sembilan dan di Bukit Katil, Melaka.

Manakala pada 5 Januari beliau akan menemui pengundi di Pahang iaitu di Bentong, Balok dan juga Indera Mahkota setelah itu beliau juga turut ke Dungun dan Kuala Terengganu sebelum berada di Pasir Puteh dan Machang, Kelantan pada sebelah malam.

Untuk rangka program jelajah itu, Anwar dijadualkan akan berada di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan di Kelana Jaya, Selangor pada 6 Januari.

Beliau akan bertolak ke Pulau Pinang pada 7 Januari dan selepas itu ke Terengganu bagi mengikuti Program Sambutan 100 tahun penubuhan Kerajaan Islam Terengganu di Kuala Berang.

Kemuncak program jelajah tersebut berakhir di Kelab Sultan Sulaiman pada 8 Januari pada jam 11 malam, sebelum itu Anwar akan mengadakan sembahyang hajat di kediamannya.

Sebelum itu, program jelajah ini dirangka sepenuhnya bagi beliau menemui setiap lapisan rakyat di seluruh pelusuk negeri sebelum beliau hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari bagi mengetahui keputusan terhadap isu Fitnah II yang telah dilemparkan kepadanya.

Tiada ulasan: