Jumaat, 23 Disember 2011

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


LAGI RASUAH KAPAL SELAM DIDEDAHKAN ZAID

Posted: 23 Dec 2011 08:32 AM PST

Presiden parti KITA, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mendedahkan butiran pembelian enam kapal peronda tentera oleh kerajaan – didakwa dibuat melalui orang tengah yang mengaut jutaan ringgit daripada urusniaga tersebut.

Menurut Zaid, tiga ejen berkenaan dibayar sejumlah RM11.36 juta untuk "bantuan teknikal" berhubung pembelian kapal tentera berkenaan daripada firma Perancis, DCNS.

"Mengapa tentera laut tidak dapat menentukan apa yang diperlukan oleh mereka, dan bukannya perunding ini? Lainlah ianya perlu untuk menyalurkan wang rasuah," katanya ketika ditemui di Tropicana, Damansara hari ini.

Zaid yang enggan mendedahkan sumber maklumat itu mendakwa, firma perunding itu menerima bayaran dalam matawang euro melalui akaun di Singapura daripada 2010 hingga April 2011.

Menurut satu invois bertarikh 25 Oktober 2010, salah satu daripada firma berkenaan didakwa menerima 935,000 euro sebagai bayaran "perkhidmatan teknikal."

Dokumen itu menyenaraikan perkhidmatan berkenaan, termasuk konfigurasi infrastruktur, kejuruteraan dan penilaian sistem serta rundingan komersil untuk projek "Second Generation Patrol Vessel."

Invois daripada sebuah syarikat yang didakwa berpengkalan di Paris itu dialamatkan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, yang memenangi kontrak bagi enam kapal berkenaan.

Bayaran berkenaan didakwa telah dibuat dalam dua bahagian, masing-masing pada 28 Oktober dan 1 November tahun lalu.

Berdasarkan dokumen tersebut, syarikat yang sama didakwa telah mengeluarkan invois untuk perkhidmatan sama pada 3 November 2010 untuk jumlah 986,000 euro dan dibayar pada bulan tersebut.

Satu lagi syarikat, Setaria Holdings Limited, didakwa turut menghantar invois berjumlah 850,000 euro kepada Boustead Naval Shipyard.

Syarikat yang dikatakan berpengkalan di Brussels itu juga didakwa mengeluarkan dua lagi invois kepada Boustead Naval Shipyard untuk bayaran berjumlah 832,000 euro dan 725,000 euro.
[Baca berita penuh]

HASSAN ALI!!! CONTOHILAH RASUL, JIKA ABU BAKAR DAN UMAR RA SEPAKAT,NABI IKUT FAHAM!!!

Posted: 23 Dec 2011 06:30 AM PST

Datuk Dr Hasan Mohd Ali sepatutnya musabahkan diri dan bukannya cuba untuk mengeruhkan suasana kepada organisasi yang begitu berjasa kepada beliau dengan diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk bersama-sama memimpin bagi memperjuangkan ataupun berjihad demi untuk menegakkan daulah Islamiah di negara yang tercinta ini.
Cuba bertenang dan kenangkan kembali jasa-jasa parti PAS yang telah memberikan ruang dan peluang semasa Datuk Dr Hasan Ali tersepit apabila digamkan oleh RTM dalam program Forum Perdana Islam yang sangat popular di masa itu yang mempunyai jutaan penonton setia setiap hari Khamis malam Jumaat.
Masih ingat lagi di antara yang kena tindakan digamkan daripada menyertai program itu 2 orang lagi tokoh yang tidak asing lagi kepada umat Islam di masa itu ialah Datuk Ismail Kamus dan Datuk Dr Haron Din.
Mereka bukan sahaja dikenakan tindakan tidak dibenarkan untuk berceramah dalam Forum Perdana tetapi apa juga rancangan yang bersabit dengan pemerintah tidak lagi dijemput untuk memberikan syarahan agama.
Lalu ketiga-tiga tokoh agama yang disegani masyarakat Islam ini termasuk Datuk Dr Hasan Ali menjadi ahli PAS dan berjuang di dalam PAS sehingga ketiga-tiga tokoh ini mendapat tempat di peringkat tertinggi di dalam parti dan perjuangan mereka ini sedikit sebanyak telah membantu untuk memenangi hati rakyat menyokong parti PAS kerana ketokohan mereka itu terserlah sebelum masuk PAS lagi.
Datuk Dr Hasan Ali adalah seorang pemimpin yang berwibawa dan mampu memimpin dalam bukan sahaja memperjuangkan agama tetapi juga pakar di dalam segi pengurusan pentadbiran kerana beliau pernah bertugas di dalam sektor kerajaan sebagai pegawai kanan di beberapa kementerian sebelum menjadi pakar motivasi yang terkenal di masa itu.
Tidak hairanlah mengapa parti PAS memberikan jawatan-jawatan penting di dalam parti dan pernah pula menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dalam satu masa hanya kerana mahu beliau memperjuangkan Islam melalui parti Islam PAS.
Tetapi kini kami agak sedih dan begitu kecewa kerana Datuk Dr Hasan Ali yang kami bergantung harapkan untuk berjihad kepada menegakkan daulah Islam itu tergamak meluahkan perasaannya menuduh kepimpinan parti PAS sebagai tidak relevan lagi kerana bukan lagi memperjuangkan Islam tetapi telah bertukar arah kepada menjadikan negara ini kepada sebuah negara kebajikan.
Datuk Dr Hasan Ali mesti faham bahawa kebajikan adalah salah satu cabang yang tersangat penting didalam menegakkan dakwah kepada Islam dan itu sebabnya ianya termasuk dalam Rukun Islam yang keempat daripada 5 rukun Islam yang diwajibkan kepada setiap umat yang mengaku dirinya Islam itu.
Umpamanya salah satu cara ialah membayar zakat di mana zakat yang dikutip itu adalah dinamakan juga sebagai kebajikan untuk membantu umat Islam yang kurang bernasib baik.
Dalam Islam pun ada garis panduan yang mesti dipatuhi sebelum pergi ke puncak terlebih dahulu mestilah mempunyai bekalan yang cukup dan ianya termasuklah berkebajikan kepada umat Islam itu sendiri.
Datuk Dr Hasan Ali, seorang tokoh yang mempunyai kelulusan PhD dan dianggap sebagai seorang profesional patut sedar bahawa memburuk-burukkan 'rumahtangga' sendiri yang membantunya semasa susah dan tersepit tidak harus melakukan kesilapan sebegitu.
Janganlah terlalu emosional kerana kalau tidak sebulu lagi dengan kepimpinan parti PAS sebaik-baiknya berundurlah secara hormat dan pilihlah jalan sendiri jika ingin berjuangkan Islam melalui kaedah parti lawan.
Kalau Datuk Dr Hasan Ali keluar dengan secara hormat pemimpin dan ahli PAS semua menghormati juga dengan keputusan itu dan masih menganggap beliau sebagai tokoh tetapi apabila sebaliknya apa yang berlaku berkemungkinan ianya telah menghancurkan harapan kami semua apa yang kami harapkan.
Walau apapun tiada rasa dendam kerana Islam mengajar kami begitu tetapi terguris juga.
Dalam pada itu kami ucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Hasan Ali yang mahu berjihad mengikut caranya sendiri dan mungkin melalui parti yang lain beliau ceburi nanti dan akhir sekali ingatlah pepatah ini 'tempat terjatuh lagi dikenang'.

BONUS DAN PANCING UNDI?

Posted: 23 Dec 2011 01:30 AM PST

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini mengumumkan Felda akan membayar bonus insentif produktiviti antara RM400 dan RM1,200 kepada peneroka tanah rancangan itu pada tahun ini, kadar yang sama seperti tahun lepas.
  
Pembayaran bonus insentif berjumlah RM102.6 juta itu yang bergantung kepada penghantaran hasil, melibatkan 95,949 daripada 112,635 peneroka Felda bagi menghargai sumbangan mereka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara serta insentif menghantar hasil melalui Felda, kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan.
  
Bonus insentif itu akan dibayar di pejabat rancangan Felda pada akhir bulan ini.
  
"Kerajaan berharap pemberian bonus ini akan menjadi perangsang kepada peneroka untuk berusaha lebih gigih untuk meningkatkan produktiviti masing-masing," kata Najib.
  
Beliau berkata peneroka yang menghantar hasil melalui pengurusan rancangan dinilai berdasarkan penghantaran hasil dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Bagi peneroka sawit, kelayakan minimum ialah 8.01 tan/hektar manakala ganjaran maksimum ialah mereka yang menghantar hasil melebihi 19 tan/hektar.

Bagi peneroka getah pula, kelayakan minimum ialah 600.01 kg/hektar dan ganjaran maksimum diberi kepada mereka yang menghantar hasil melebihi 1,400 kg/hektar.
  
Peneroka yang terlibat dalam penghantaran hasil sawit dan getah adalah seramai 32,865 orang terdiri daripada 27,069 peneroka sawit dan 5,796 peneroka getah.
  
Najib berkata seramai 60,584 peneroka menanam semula bersama Felda dan akan menerima bonus maksimum RM1,200 seperti tahun lepas.
  
Katanya Felda turut memberi pertimbangan khas kepada peneroka yang prestasi hasilnya rendah akibat tanaman tidak produktif serta menunggu giliran untuk tanaman semula melalui cara mengambil kawasan kebun mereka untuk tujuan pembangunan.
  
Mereka yang terlibat dalam kategori itu ialah tanaman peneroka yang hasilnya rendah disebabkan serangan musuh tanaman.
  
Kira-kira 2,500 peneroka yang terlibat dan kadar bayaran ialah RM400 seorang.
  
Najib berkata seramai 16,686 peneroka didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda dan hasil kurang daripada hasil minimum yang telah ditetapkan.
  
Peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka dan tidak menghantar hasil juga tidak dibayar bonus insentif, katanya.
  
"Saya menyeru warga peneroka agar menyertai program bersama Felda selaras dengan usaha berterusan agensi itu untuk meningkatkan paras pendapatan peneroka melalui bimbingan dan khidmat nasihat yang disedikan," kata perdana menteri.

- Bernama

JPN KENA JAWAB INI MUFTI

Posted: 22 Dec 2011 11:20 PM PST

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya mempertikaikan proses pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kuching yang didakwa menyusahkan pengguna dalam prosedur mendaftar kad pengenalan.

NONEKatanya, beliau sendiri mengalami perkara itu ketika cuba mendaftarkan seorang anak perempuannya awal pagi ini di pejabat berkenaan di Wisma Persekutuan Sarawak, Kuching.

Jelasnya, anak keduanya yang berusia 12 tahun itu telahpun mempunyai pasport dan surat beranak berstatus warganegara Malaysia berbangsa Melanau, namun dinyatakan sebaliknya dalam sistem JPN.

Malah, beliau juga diminta untuk menyerahkan bukti perkahwinannya dengan isteri beliau, seorang warga Indonesia untuk pendaftaran berkenaan, katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Petugas kaunter kata ini prosedur baru tapi kenapa tidak dimaklumkan prosedur ini di papan kenyataan?

"(Petugas kaunter) kata dalam ketetapan (prosedur standard) SOP dia, siapa kahwin warganegara asing kena bawa surat nikah. Tapi dalam panduan (kepada pengguna) tak disebut perkara itu.

"Bila dia telefon bahagian surat beranak, dia kata tak ada salinan surat nikah," katanya.

Katanya lagi, petugas berkenaan memberi alasan bahawa bahagian surat beranak jabatan itu tidak mempunyai salinan sijil perkahwinannya dengan isteri beliau.
"Macam mana boleh berlaku sedangkan anak saya dah ada surat beranak, ada pasport tapi nak buat IC tak boleh?," soalnya.

"Surat nikah itu ada, tapi pada prosedur dia tak sebut. Kalau ada keperluan dia kena maklumkan dan ada sebab kenapa.

"Perkara ini menyusahkan orang yang datang jauh dari luar bandar dan tak ada maklumat, kena minta cuti dan sebagainya, dan ditambah lagi dengan kesesakan di kaunter," katanya lagi.

Beliau turut mempertikaikan mengapa jabatan itu tidak dapat berkongsi maklumat daripada jabatan imigresen yang mengeluarkan pasport anaknya.

"Kenapa tak boleh rangkaikan maklumat (antara jabatan) sedangkan semuanya guna sistem berkomputer?," soalnya lagi.

Beliau menjangkakan akan berdepan masalah yang sama apabila mendaftarkan empat orang lagi anaknya untuk mendapatkan kad pengenalan, walau mereka telah mempunyai sijil kelahiran dan juga pasport warganegara Malaysia.

"Pihak kerajaan sepatutnya permudahkanlah. Kita dah ada surat beranak dan kad pengenalan itu untuk memudahkan proses seterusnya.
"Bukannya bila dah ada kad pengenalan, bermakna surat beranak dan pasport tak ada faedah lagi," tambahnya

ZAHID TAK MENGAKU

Posted: 22 Dec 2011 05:05 PM PST

Naib presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak wajar bagi PAS menuduh Umno memperalatkan dua pemimpin parti pembangkang itu sebagai ejen Umno berikutan kritikan terbuka mereka terhadap kepimpinan PAS sendiri.
  
Beliau berkata Umno tidak pernah mencampuri urusan dalaman PAS dan ini terbukti apabila bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa sendiri menyifatkan beberapa pihak dalam parti itu cepat melatah ekoran kenyataan beliau sebelum ini.
  
"Selain kenyataan Nasharudin, kritikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Ali bahawa PAS perlu kembali ke landasan perjuangan sebenar berdasarkan prinsip Islam, menunjukkan kelemahan di pihak parti itu sendiri," katanya.
  
Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian bagi mengulas kenyataan terbaru Nasharudin dan Hasan ketika ditemui pemberita selepas upacara perbarisan tahunan dan penyampaian hadiah Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Sungai Besi di Kuala Lumpur.
  
Katanya apa yang Nasarudin dan Hasan nyatakan adalah sesuatu yang sedang menjadi realiti dalam PAS sebab Umno tidak pernah memperalat sesiapa di dalam hal-ehwal parti lain.
  
Semalam, Nasharudin dalam satu kenyataan mengatakan beberapa pihak dalam PAS cepat melatah ekoran menuduh tindakannya menyuarakan pandangan berbeza daripada pucuk pimpinan parti sebagai terperangkap dalam agenda Umno.

- Bernama

Politik Islam ada feqahnya

Posted: 22 Dec 2011 04:00 PM PST


Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.
Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 122:
Maksudnya: (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah: 122)
Sabda Rasulullah S.A.W.
مَنْيُرِدْاللَّهُبِهِخَيْرًايُفَقِّهْهُفِيالدِّينِ
Maksudnya: (Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya faqeh (faham) dalam  perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim
Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.
Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada  kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan  ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.
Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau  ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.
Mafhum  bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.
Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W.  telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam  yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.
Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan  pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia  juga.
Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W.  bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.
Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.
Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa  wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.
Dalam  perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar  Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud:
(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).
Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil  dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.
Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah  ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari'yyah.
Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi: Al Quran, Hadith, Ijmak, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura  pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.
PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman  dengan: kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.
Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan,  Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.
Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matlamatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah?
Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya  perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.
PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.
Maksudnya: (Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia, laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.
PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.
Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.
Khadam Perjuangan Islam
Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS

Tiada ulasan: