Khamis, 22 Disember 2011

.

.


Menanti Ashar

Posted: 21 Dec 2011 10:34 PM PST

Pegawai Awang Adek Yang Mana Satu Urus Akaun Peribadinya?

BEKAS bakal MB Kelantan Awang Adek Hussein mengaku ada kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya yang diuruskan oleh seorang pegawainya. Bila mengurus bermakna pegawai itu bertanggungjawab memberi nombor akaun peribadi Awang Adek dan memantaunya apakah wang masuk atau tidak.

Jumlah yang disebut sebanyak RM100,000 yang digunakan untuk bantuan orang miskin pada majlis hari raya. Tidak salah kalau Awang Adek (foto) memberi orang miskin wang. Malahan itulah yang diajar oleh Islam. Kalau kita kaya, senang dan diberikan rezeki oleh Allah hendaklah dibahagikan kepada si miskin yang lain.

Kata Awang Adek duit itu tidak kena mengena dengan apa-apa projek. Maksudnya bukan wang yang diberi kerana dia kena memberi sesuatu kepada orang yang memasukkan wang ke dalam akaunnya. Wang itu adalah sukarela.

Awang Adek boleh berkata dan cakap begitu. Tetapi orang tidak akan mudah percaya. Untuk apa misalnya orang memasukkan wang ke dalam akaunnya dengan jumlah yang banyak kalau tidak ada "lembu gemuk dalam kondo?" Masakan saja-saja atau suka nak masukan ke dalam akaun Awang Adek. Dan pula kenapa akaun itu diuruskan oleh pegawainya? Kenapa tidak isterin-isterinya?

Nampaknya isu yang mengelilingi bekas bakal MB Kelantan itu masih belum clear. Semua itu menyebabkan Awang Adek tidak senang untuk menghisap curuk atau cigar. Seperti saya kata sebelum ini Awang Adek yang Inchek Ibrahim Ali gelar Awang Agah, kena jelaskan mengenai kemasukan wang itu.

Pegawai Awang Adek yang dikatakan menguruskan wang itu juga perlu tampil. Mereka kena tunjuk muka sebab ramai orang hendak kena. Awang Adek katanya ada tiga orang pegawai, seorang bernama Ramli, seorang bernama Rahim dan seorang bernama Yahaya. Dalam tiga orang ini pegawai mana yang ada simpan nombor akaun peribadi Awang Adek. Saya rasa dari H sampai L saya tahu siapa dia?

Awang Adek kata dia ada tiga akaun peribadi. Apakah tiap seorang dari pegawainya ini masing-masing pegang seorang satu akauan peribadi Awang Adek. Kalau begitu untuk apa sampai diuruskan seorang satu? Saya juga bimbang takut yang pegang itu pegawainya yang beristeri tiga?

Saya hendak dengar apa jawaban pegawai Awang Adek ini. Hendaknya mereka bersuara demi membela Awang Adek. Mereka kena jelaskan kepada rakyat transaksi ke dalam akaun bos mereka itu adalah wang putih bukan wang hitam.

Kita tidak mahu wang yang diberikan kepada rakyat miskin yang tidak tahu apa itu wang hitam. Erk....erkk erkkk ala awe wei.... maaflah rasa nak menyanyi Mak Yong sikit petang-petang begini. [wm.kl.2:42 22/12/11]

Menjolok Mentari

Posted: 21 Dec 2011 06:08 PM PST

Hasan Ali Tidak Akan Sertai Umno?

BERDASARKAN kepada penjelasan dan pendirian serta teras perjuangannya seperti mana yang dinyatakan dalam program soal jawab di TV3 semalam saya tidak percaya kalau Hasan Ali akan menyertai Umno. Tawaran kepadanya untuk menyertai Umno akan sia-sia saja dan tidak lebih dari hemburan perasaan marah kerana beliau bersikap menyusahkan parti.

Menurut Hasan Ali dia dididik sejak dari kecil lagi dengan Islam. Ayah dan ibunya adalah guru Quran. Keluarganya banyak ke Timur Tengah. Ini bermakna dia sudah diasuh mengenali budaya yang dicerminkan dalam Quran dan berpegang kepada ayat-ayat Quran seawal usianya. Tidak ada guna kalau kita hafiz Quran tetapi tidak mahu mengikutinya. Saya tidak fikir Hasan hanya seorang orientalis.

Tiga asas besar yang ada dalam diri Hasan dan menjadi matlamat perjuangannya; Islam, bangsa Melayu dan menjaga institusi raja-raja Melayu. Sekaligus ini juga teras yang diperjuangkan oleh Umno pada masa kini walaupun Umno dilihat hanya bermain dengan ketiga-tiga teras dan matlamat yang serupa dengan Hasan itu sebagai memasung sentimen orang Melayu semata-mata.

Umno memang diwujudkan untuk memperjuangkan Melayu. Tetapi kita semua dapat menilai dan mengkaji sejauh mana Umno telah membawa Melayu keluar dari serkup tradisi dalam segala bidang. Umno tidak jujur dengan janji perjuangannya. Usahkan ekonomi, dari segi kebudayaan pun Melayu sudah hilang identiti. Agama jauh sekali. Jadi bagaimana boleh kita katakan Umno mengotakan janji perjuangannya.

Umum juga tahu macam mana persendaan Umno kepada Islam, kepada raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu Umno hanya menjadi modal dan perlindungan saja tatkala parti itu bermasalah. Raja-raja Melayu adalah tali hayat kepada Umno. Peristiwa penghinaan ke atas raja-raja pada Umno di era Mahathir sudah tercatat dalam sejarah. Tetapi nasib baik Raja-raja Melayu bukan golongan yang emosi.

Tidak mengapa kalau asas itu hendak dibaik pulih oleh Umno dan menjadi keterliuran Hasan kepadanya. Namun saya tidak yakin Hasan akan menyertai parti berkenaan. Kenapa saya berkata begitu, kerana Hasan mengatakan dia tertarik dengan Pas sebab kepimpinan ulamak dalam Pas. Dia menyertai Pas kerana kagum dengan ulamak dan mahu menumpang ilmu ulamak. Perjuangan ulamak serasi dengan aspirasinya dan menyentuh kalbunya.

Tetapi kenapa dia sedikit terganjak dengan Pas ialah kerana berlaku perubahan dalam kepimpinan ulamak. Penguasaan ulamak dalam Pas kini sudah kurang separuh. Menurut perangkaan Hasan ulamak hanya ada sekitar 35 peratus saja selebih golongan profesional dan sekular seperti dia.

Mungkin kita boleh akui akan perubahan itu kerana tuntutan politik semasa. Sepatutnya Hasan kena faham Pas adalah badan siasah bukan saja badan dakwah dan tarbiyah. Pas perlu pragamtik kalau mahukan kepada kuasa. Sudah ada pegangan dan kepercayaan dalam Pas mereka memerlukan kuasa untuk melaksanakan cita-cita perjuangan. Jadi tanpa perubahan, pendekatan baru Pas akan kekal seperti sebelum ini.

Perubahan dalam Pas dilakukan oleh bukan seorang atau segelintir tetapi dilakukan oleh ahli dalam muktamar. Perwakilan yang memilih pemimpin mereka, pemimpin Pas bukan dipilih oleh mana-mana veto di luar Pas. Mungkin Hasan akan berhujah kerana golongan itu berkempen untuk menang dan ulamak tidak. Jadi siapa salah dan bebal dalam soal ini. Sepatutnya untuk mempertahankan ulamak Hasan kena berkempen mempertahankan ulamak, kena bercerita kehebatan ulamak atau pun beliau sesama menjadi Naib Presiden dulu patut ke depan memperjuangkan ulamak. Apakah Hasan berbuat begitu atau terlupa?

Bukankah dia mempunyai aura yang hebat. Yang datang ke tempat ceramahnya, masyaAllah bukan puluhan tetapi ribuan. Nah gunakan kebolehan dan kepetahan Hasan untuk memukau ahli Pas yang menjadi perwakilan muktamar. Tetapi kenapa tidak berlaku? Hasan kena renung, kena tepuk dada dan tanya diri sendiri. Tentu adalah sebab musababnya orang yang macam Mohamad Sabu, macam Mahfuz Omar yang bankrup idea politik boleh menang.

Itu realiti politik yang pada saya gagal dihayati dan dicerakinkan oleh Hasan. Politik San... bukan sekadar retorik... bukan sahaja petah bercakap dan mengemukaan teori itu dan ini. Politik bukan saja proposal atau kertas kerja, bukan motivasi saja, tetapi politik kena turun ke bawah dan meniarap di pasir. Ada pun Mat Sabu dan Mahfuz walaupun mereka bukan lulusan Phd dari Amerika tetapi mereka turun mengharung air selut dengan rakyat, siang malam bertabuh dengan rakyat tidak kira di mana.

Cara dan profesional yang Hasan ada melayakkan dia menjadi ketua kepada Ngo dalam bidang profesional bukannya gerakan massa seperti parti 'padi dan surau' seperti Pas. Di sini saya tidak mahu membangkitkan Hasan berubah kerana dia kecewa. Kerana adalah naif kalau orang hebat seperti Hasan kelumit-kelumit kekecewaan itu ada kepadanya.

Hasan tidak akan sertai Umno kenapa? Sebab berpandukan kepada naluri dan pegangan Hasan tadi. Saya nak tanya berapa peratuskah ulamak ada dalam Umno, kalau-kalau ia sudah memukau hati Hasan. Apakah melebihi 35 peratus yang ada dalam Pas mengikut tafsiran Hasan sekarang ini? Saya tak nak jawab, kita sama-sama menjawab.

Sambil kita memperakui kepimpinan dalam Pas kini bukan ulamak, bukan orang seperti Nasrudin Hasan berserban sebesar bakul, dan bercincin besar berwarna hijau, atau berjanggut sampai ke lutut, atau pun memiliki roman ulama, tetapi saya rasa mereka lebih ulamak dari para pemimpin Umno hari ini termasuk ustaz yang mengetuai biro agama Umno.

Pemikiran, syaksyiah, pembawaan dan sosial mereka - para pemimpin Pas jauh lebih baik berbanding dengan pemimpin Umno. Tidak usah pergi jauh pergi saja kepada masalah rasuah, hidup mewah, cara pergaualan, mengurus mesyuarat dan sebagainya, cara mereka lebih Islamik berbanding dengan Umno. Walaupun mereka tidak berserban sebesar bakul, berkopiah tajam sehingga boleh sembelih burung, (kata bekas ketua penerangan Umno Terengganu Wan Abdul Kadir Wan Ismail) tetapi mereka sudah ada terbiyah Pas, mereka sudah diasak dengan doktrin politik Islam.

Mereka adalah seperti Hasan itu juga. Hasan profesional dan sekular tetapi di hati kecil Hasan adalah tersemainya benih Islam. Jadi mereka juga begitu. Kenapa kalau Hasan boleh menerima dirinya yang ada hari ini, bukan berserban seperti Nasrudin Hasan, Abdul Hadi Awang, berkopiah merah seperti Ahmad Awang, tetapi tidak boleh menerima Mohamad Sabu, Sallahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Husam Musa, Mujahid Yusuf Rasa? Bukankah mereka juga berlatar belakang dan mendapat tarbiyah seperti San?

Jauhlah merasa hanya diri kita saja sayangkan Islam, cintakan Melayu dan sanjung raja-raja Melayu sebaliknya orang lain tidak. Orang lain mungkin tidak menyebut, tetapi tidak bermakna mereka tidak ada perasaan-perasaan dan tanggungjawab itu. Bersikap dan berpandangan sebegitu adalah orang yang berperasaan. Ditimpa perasaan ini jauh lebih bahaya dari ditimpa batang balak.

Kalau Hasan menyedari apa yang saya kata ini dia tidak akan menyertai Umno. Tetapi bukan bermakna saya secara peribadi hendak menyakat Hasan menyertai Umno, tidak... tetapi saya yakin kalau apa yang terkandung di dalam hatinya hendak diterjemahkan menerusi Umno ia tidak akan menjadi kenyataan. Buruk atau baik perjuangan suci Hasan berasaskan kepada tiga teras itu hanya sesuai diperjuangkan dalam Pas dan bukan wadah lain. Dan saya tidak mengira Pas rugi besar juga kalau Hasan mengembara mencari bukit baru dalam Umno.

Bertolak dari hakikat itu saya merasakan Hasan tidak akan menyertai Umno, melainkan dia akan menubuhkan sebuah Ngo baru sebagai wadahnya yang akan diharapkan mendapat sokongan Umno dan Pas. Apakah Hasan berkemampuan untuk membuka tanah rancangan baru? Kita tenguk sebab detik dan minit terus berjalan dan berjalan, manakala penerawangan Hasan tetap juga akan berhenti di mana-mana. [wm.kl.10:00 am 22/12/11]

Melaga Rasa

Posted: 21 Dec 2011 03:51 AM PST

Nasrudin Awas Jangan Jadi Ular Air

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hasan saya tenguk seperti orang tidak ada tunjang walaupun ada akar. Maksud pendiriannya tidak tegas dan konsisten dalam berhadapan dengan isu-isu membabitkan Hasan Ali. Dalam satu masa dia menyokong tindak tanduk Hasan Ali. Gerun semacam jadinya mendengar beliau mengeluarkan kenyataan seperti dipetik oleh media penjilat buntut kerajaan dalam membela Hasan Ali.

Kata Nasrudin dia menyokong Hasan Ali atas prinsip memperjuangkan Islam. Sokongan simpati diberi bila mana Hasan Ali dimalukan oleh Saari Sungib dan tambah Mustapa Ali. Saya tidak tahu apakah Nasraudin telah menyelidiki sepenuhnya siapa dia Hasan Ali dan juga 'kongkalikong' politiknya. Bukan saja dalam isu terbaru, tetapi semasa Hasan Ali berdepan dengan isu Jabatan Agama Isdlam Selangor (Jais) untuk menangani gejala murtad, Nasrudin juga ke depan.

Lagak ketua dewan pemuda Pas ini semacam pahlawan dan lebih Ismaik dari induknya. Apakah itu dinamakan keberanian golongan pemuda di dalam Pas?

Pun begitu anihnya tidak sampai seminggu dia menyatakan sokongan moral kepada Hasan Ali, hari ini beliau telah meralat balik sokongan terlajak itu dengan mengeluarkan satu kenyataan cuba menjelaskan Negara Berkebajikan yang diremehkan Hasan semalam. Semalam Hasan menolak Negara Berkebajikan dan mengejek konsep yang dikonsensus dalam mukatmar itu.

Bacalah apa kata Nasrudin Hasan:

Sewaktu pimpinan PAS dan seluruh ahlinya ijma' menerima konsep Negara Berkebajikan melalui muktamar tahunannya, malah ia adalah kandungan ucapan dasar Presiden parti "Membangun Negara Berkebajikan" yang telah diterima sebulat suara, maka ia menjadi dasar parti yang mesti dipertahankan oleh semua pimpinan dan ahlinya.

Tidak layak bagi mana - mana pemimpin atau ahli parti mempertikai konsep yang telah diijma'kan melalui satu majlis pemesyuaratan yang besar seperti muktamar tahunan yang sah. Sementara kritikan membina dan pandangan tambah nilai adalah senantiasa di alu-alukan."

Apa maksud Nasrudin mengeluarkan kenyataan itu. Bukankah ia menujukkan kenyataan itu kepada Hasan yang menolak konsep Negara Berkebajikan seperti diumum dalam kenyataan akhbar dan disiar secara meluas semalam.

Saya rasa mungkin ramai konfius dan tidak faham dengan pendirian dan sikap Nasrudin. Sikap itu hendaknya bukan sikap Dewan Pemuda Pas, tetapi sikap beliau secara peribadi. Justeru lain kali Nasrudin harus berhati-hati sebelum bangkit menyatakan simpati dan memberi pembelaan kepada seseorang. Beliau kena bijak dan belajar mengenai sepak terajang politik lebih jauh lagi dan menyelami ke mana hujung jatuhnya. Di dalam politik ada kalanya batu yang kita campak ke atas kepala orang lain akan terpelanting ke atas serban kita.

Walaupun Nasrudin akan berkata kenyataan itu bukan atas nama jawatannya, tetapi ia tidak boleh pisahkan dengan jawatan itu. Selagi beliau tidak meninggalkan jawatan itu orang akan mengaitkan kenyataan peribadi itu sebagai kenyataan ketua dewan pemuda Pasa. Boleh sahaja kalau Nasrudin untuk bebas berkata-kata atas dirinya sebagai seorang mukmim tetapi beliau kena lepaskan jawatan ketua pemuda. Manakala bukan bermakna pemuda tidak boleh bersuara tetapi suaranya haruslah senada dengan suara induknya. Ada waktu untuk bertelagah minda, tetapi bukan waktu ini saat nafiri perang akan dibunyikan.

Dulu saya agak terhibur juga mendengar idea-idea dan madah Arab klasik Nasrudin yang dilepaskan melalui kenyataan yang dipostkan dalam blog. Ia banyak bersifat terbiyah dan mengandungi ilmu syariat dan bukan bersifat politik nangka muda. Tetapi apabila beliau sudah ghairah dengan membuat kenyataan politik termasuk membela dan menengur seakan kedudukannya persis Mursyudl Am, dan ada kalanya meralat kenyataan terdahulu ia meragukan saya. Bahawa anak mudah ini tidak mampan dalam politik.

Politik kabur dan keliru, atau politik sekejap mara dan mundur bukan sikap anssrollah. Pemuda yang membela agama harus konsisten dan berani mempertahankan fakta dan hujah serta orang yang dipertahankan. Kalau tiga hari lalu beliau sokong Hasan Ali macam nak rak, kenapa hari ini dia perlu membuat kenyataan mempertahankan Negara Berkebajikan yang diremehkan oleh idolanya itu.

Saya bimbang dengan sikap pemdua bermata cincin besar ini kalau tidak diislahkan dengan baik dia akan hanyut dalam gelombang politik. Aduhai adik pemudaku, politik adalah sebuah lautan di mana kalau kamu tidak bijak mengolah diri kamu akan tenggelam. Sayang kalau orang macam Nasrudin yang sarap dengan ilmu, pernah memunggah kitab bagaikan kaldai memunggah khazanah klasik ke atas bukit semasa mengaji di Mesir tiba-tiba menjadi cair dan ular air begitu sahaja.

Saya sudah kata, tindakan untuk menjadi pembela dalam politik kena hati-hati. Kena waspada dan jangan mudah melenting membuat ulasan. Kerana silap hari bulan yang hancur bukan orang yang dibela tetapi orang yang membela. Apakah Nasrudin ada berkurus minda Melayu dengan mana-mana kumpulan intelek maka pandangannya berkecamuk bertindih bertindang di antara Melayu dengan Islam? [wm.kl.21/12/11]

Tiada ulasan: