Jumaat, 23 Disember 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Identiti 'Datuk' NFC mula diketahui

Posted: 23 Dec 2011 01:27 AM PST

Seorang usahawan berusia 45 tahun yang ditahan polis, dilaporkan berhubung siasatan ke atas skandal National Feedlot Corporation, dipercayai memiliki beberapa syarikat.

Antaranya, satu syarikat pengangkutan yang pada satu ketika pernah mempromosi perusahaan itu melalui iklan di saluran televisyen nasional.

Syarikat yang dikatakan mempunyai modal berbayar RM200,000 itu juga didakwa menyediakan perkhidmatan untuk bayaran bil dan juga cukai jalan melalui rangkaiannya di seluruh negeri.


Usahawan yang didakwa bergelar 'Datuk' itu turut memiliki syarikat limosin yang menyediakan perkhidmatan di sekitar Kuala Lumpur.

Selain perkhidmatan pengangkutan biasa, profil syarikat berkenaan turut mendakwa menyediakan perkhidmatan limosin dilengkapi pengawal peribadi untuk pelanggan VVIP.

Profil itu juga mendakwa lelaki tersebut berpengalaman dalam menguruskan projek pemasaran berskala besar, antaranya bernilai lebih RM1.5 bilion.

Menurut polis, suspek juga menjalankan perniagaan agensi pekerja asing.

Pengarah jabatan siasatan jenayah komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan semalam dilaporkan sebagai berkata, lelaki itu ditahan ketika berada di jabatan itu pada hari Rabu berhubung cubaan untuk menyogok pegawai polis.

Syed Ismail juga berkata suspek pernah ditahan sebelum ini berhubung siasatan ke atas dua kes penipuan, masing-masing di Bercham dan juga di Cheras mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,

Syed Ismail bagaimanapun enggan mengesahkan laporan media yang mengaitkan lelaki berkenaan dengan skandal NFC.

Polis telah mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berkenaan yang kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan lanjut.

NFC: Pasukan Khas SPRM perlu panggil Muhyiddin

Posted: 23 Dec 2011 01:00 AM PST

KUALA LUMPUR, 23 Dis: PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis agar turut memanggil anggota kabinet yang ada kaitan dengan skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, ianya termasuk memanggil Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku menteri pertanian ketika projek itu diluluskan pada tahun 2008.

Selain Muhyiddin ujarnya, SPRM juga perlu memanggil Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi Jawatankuasa Projek Impak Tinggi yang meluluskan projek tersebut di luar kabinet.


"SPRM dan polis perlu tunjuk ketelusan dan integriti mereka dengan memanggil anggota kabinet termasuk PM dan TPM.

"Kita tidak mahu ianya hanya sekadar menyiasat ke mana dana RM250 juta itu dibelanjakan oleh syarikat NFC," katanya kepada Harakahdaily.

Semalam SPRM mengumumkan akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat aduan berhubung NFC.

Pasukan itu akan diketuai oleh Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena juga mahu SPRM menyiasat laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa wang disalurkan sepenuhnya pada 2008 hingga 2009 namun perjanjian hanya dibuat penghujung 2010.

"Nampaknya setakat ini SPRM tidak bersedia meluaskan siasatan kepada anggota kabinet yang terlibat.

"Seperti ada yang cuba sempitkan siasatan hanya kepada NFC dan Shahrizat," katanya Mahfuz lagi.

Aduan ke SPRM itu dibuat beberapa pihak termasuk kelmarin oleh PKR yang membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Shah Alam.

Laporan tersebut menjurus kepada kerugian dialami syarikat NFC yang dimiliki suami Menteri Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan penyelewengan dana RM250 juta yang diberikan kerajaan.

Ianya termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar dan pembiayaan percutian keluarga Shahrizat ke luar negara.

Selain itu, NFC juga sebelum ini didedahkan membeli kereta mewah jenis Mercedes Benz berharga RM534,622 serta dua bidang tanah bernilai RM3,363,507 di Putrajaya.

Terbaru, keluarga Shahrizat turut didakwa membeli kondominium mewah berharga RM9.9 juta di Singapura, yang turut disyaki menggunakan wang NFC.

"Jika amalan ini (tidak menyiasat anggota kabinet terlibat) berterusan, ia adalah berbuatan curang," kata Mahfuz.

Harakahdaily

SPRM akan panggil siapa saja terlibat dalam kes NFC

Posted: 23 Dec 2011 12:18 AM PST

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semua individu yang mempunyai kaitan berhubung kes dana National Feedlot Corporation (NFC) dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali berkata sesiapa sahaja yang terlibat termasuk ahli pengurusan kanan syarikat terbabit akan dipanggil oleh pihak SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program 'KL Principle Code of Ethics for the SMEs' di Kuala Lumpur hari ini.


Katanya setakat ini hanya satu tangkapan dibuat oleh pihak polis semalam dengan menahan reman seorang ahli perniagaan yang bergelar 'Datuk' dan kes ini telah diserahkan kepada pihak polis.

"Tangkapan ini dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan kes NFC namun kita masih meneliti keseluruhan skop siasatan sama ada mempunyai kaitan dengannya dan penyiasatan akan dibuat setulus dan secara profesional mungkin," katanya.

- Bernama

Adam Adli buat laporan ugutan ditumbuk anggota polis

Posted: 22 Dec 2011 11:59 PM PST

KUALA LUMPUR 23 Dis: Adam Adli, pemimpin mahasiswa yang menurunkan bendera Datuk Seri Najib Razak membuat laporan terhadap angota polis yang mengugut untuk memukul beliau di Bukit Aman beberapa hari lalu.

Beliau cuba ditumbuk polis berpakaian biasa itu sewaktu membuat laporan ugutan bunuh terhadapnya, selepas menurunkan bendera Datuk Seri Najib Razak di Ibu Pejabat Umno, 17 Disember lalu.

Beliau ditemani peguam Fadiah Nadwa Fikri dan beberapa pimpinan mahasiswa yang lain di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.


Fadiah yang juga peguam dari NGO Lawyers for Liberty menggesa agar tindakan segera diambil terhadap anggota polis yang mengugut untuk menumbuk mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris itu.

Menurutnya, polis itu yang berpakaian biasa dicam dan dikenali sebagai Roslan Mokhtar.

"Adam memberi keterangan berkenaan insiden beliau cuba ditumbuk seorang anggota polis, tanpa dihalang anggota-anggota polis yang lain.

"Kita akan lihat sama ada anggota polis yang terlibat, Roslan Mokhtar, akan diambil tindakan kerana ia begitu jelas terdapat ugutan daripada pihak yang berkuasa.

"Kita akan lihat sama ada akan ada yang meneruskan intimidasi terhadap pelajar ini yang berarak dan melaksanakan hak mereka di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan," kata Fadiah.

Keadilandaily

Tok Guru Nik Aziz Hanya Jalani Rawatan Biasa

Posted: 22 Dec 2011 08:48 PM PST

KOTA BHARU, 23 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pihak tertentu agar tidak menyebarkan fitnah berhubung keadaan kesihatan dirinya yang menjalani rawatan baru-baru ini.

Katanya, dakwaan bahawa beliau berada dalam kritikal sehingga menerima rawatan intensif semasa berada di Hospital Universiti Malaysia (HUSM) baru-baru ini adalah tidak betul.

Menyangkal dakwaan itu Nik Aziz, 80, berkata, sudah menjadi rutin dia akan membuat pemeriksaan berkala di hospital terbabit supaya keadaan kesihatan sentiasa stabil dan memuaskan.


"Sudah menjadi kebiasaan saya buat pemeriksaan di hospital tiga bulan, ada( dakwaan) kata saya sakit, itu kerja orang yang tidak kenal dosa, " katanya ketika ditemui media di kediamannya di Pulau Melaka, semalam.

Isnin lalu Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS telah dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan dibenarkan pulang pagi semalam.

Bagaiamanapun, maklumat yang tersebar luas di internet menyatakan beliau berada dalam keadaan kritikal.

Semalam juga beliau turut mengeluarkan kenyataan menyatakan pendirian berhubung isu dalaman parti membabitkan bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip.

Dalam responya beliau menasihatkan semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti.

Beliau juga menyokong keputusan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat untuk memanggil ketiga-tiga individu tersebut memberikan penjelasan.

- Harakahdaily

Shahrizat salahkan suami, anak demi survival politik

Posted: 22 Dec 2011 08:01 PM PST

KUALA LUMPUR 23 Dis: Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, beliau hairan dengan sikap Datuk Seri Shahrizat Jalil yang menafikan isu berkaitan National Feedlot Corporation (NFC), malah seolah tidak mengetahui aktiviti penyelewengan yang dilakukan suami dan anak-anaknya.

Fariz berkata, penafian itu memperlihatkan bahawa Shahrizat tidak layak menjadi seorang menteri, apabila tidak tahu menahu dalam tindak tanduk suami dan ahli keluarganya.

"Malah menjadi seorang isteri dan ibu pun beliau gagal apabila meletakkan kesalahan kepada suami dan anak-anak apabila tersepit dengan skandal NFC tersebut demi survival politik beliau," kata Fariz dalam satu kenyataan.


Shahrizat dalam kenyataannya kelmarin berkata, beliau 'hanya seorang isteri' kepada Pengerusi Eksekutif NFC, dan dari sudut perundangan, beliau tidak terlibat dengan syarikat berkenaan.

Mengulas lanjut, Fariz berkata, selain tidak boleh dianggap contoh sebagai ibu mithali, Shahrizat juga gagal menunaikan tanggungjawab sebagai Ketua Wanita Umno.

"(Shahrizat) membohongi seluruh ahli wanita Umno diseluruh Malaysia dengan isu Skandal NFC kononnya tanpa pengetahuan beliau sebagai menteri, isteri dan ibu.

"Jingga 13 mendesak agar Datuk Seri Shahrizat Jalil meletakkan jawatan dengan segera dan negara tidak wajar mempunyai seorang menteri yang sememangnya tidak layak menguruskan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," tegasnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=24728

Khir Toyo Bersalah Amalkan Rasuah..

Posted: 22 Dec 2011 07:28 PM PST

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mendapati bekas menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo bersalah atas tuduhan rasuah.

Hakim Datuk Mohtaruddin Baki berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap ADUN Sungai Panjang itu tanpa sebarang keraguan yang munasabah.

Pada masa ini, Hakim Mohtaruddin sedang mendengar rayuan dari peguam Khir sebelum menjatuhkan hukuman.

Khir didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan - tuduhan rasuah yang lebih ringan, berbanding dengan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan Akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.


Khir berdepan dengan kemungkinan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Jika denda itu melebihi RM2,000, Khir boleh hilang kelayakannya sebagai ADUN dan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Turut hadir ialah isterinya, Zaharah Kechik dan kira-kira 40 penyokongnya - ada yang duduk dan ada yang berdiri di dalam bilik mahkamah yang padat.

Khir diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Jahaberdeen Yunoos, M Athimulan dan Kamarul Hisham Kamaruddin.

DPP Abdul Wahab Mohamed menjalankan pendakwaan.

Khir tiba di mahkamah seawal jam 9.15 pagi.

Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditmas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Pada 8 Ogos lalu, Hakim Mohtaruddin memerintahkan Khir membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pendakwa sudah membuktikan kes prima facie ke atas pemimpin politik itu.

Nik Aziz turut pertahankan Negara Kebajikan

Posted: 22 Dec 2011 06:37 PM PST

Mursyidul am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempertahankan dasar negara kebajikan yang dianjurkan oleh parti itu.

Beliau menegaskan dakwaan bahawa Negara Kebajikan yang disebut oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya di Muktamar tahunan PAS baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal PAS, adalah tidak berasas.

"Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya, bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan," ujarnya.


Dalam hal ini, Harakahdaily memetik Nik Aziz sebagai berkata, negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh PAS menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni PAS itu.

"Selaku Mursyidul Am PAS, saya suka memberikan jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak," tegasnya dalam satu kenyataan.

Nik Aziz juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti.

Mursyidul Am PAS itu itu menyeru supaya perselisihan pandangan diselesaikan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh.

"Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa.

"Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya Allah," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons berkaitan dengan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat malam semalam yang memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyokong sepenuhnya keputusan itu dan menganggap ia sebagai satu langkah yang terbaik untuk meredakan kemelut yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini.

Tok Guru Nik Aziz Dalam Keadaan Nazak?

Posted: 22 Dec 2011 05:08 PM PST

Betulkah kenyataan ini?? Jika benar sama-samalah kita mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik kepada tok guru.. Amin..


Berita Bertarikh: 22/12/2011

Berita yang menggemparkan buat pencinta dan pengikut arena politik tanah air apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, ICU Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu, pagi tadi akibat diserang sakit jantung.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakob, Datuk Nik Aziz dikejarkan dengan ambulans ke hospital jam 6.30 pagi.


Antara yang melawat Datuk Nik Aziz petang tadi, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid .

Turut menziarahi, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Walau apa pun, tidak kira penyokong atau pengikut parti politik kerajaan mahupun pembangkang sama-samalah kita sedekahkan doa agarkan beliau sembuh seperti sediakala.

sumber beritadi sini

Jangan guna media musuh – Nik Aziz

Posted: 22 Dec 2011 09:55 AM PST

"Saya juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti," kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS itu itu menyeru supaya perselisihan pandangan diselesaikan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh.

"Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa.

"Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya Allah," ujarnya.


Beliau menyatakan demikian sebagai respons berkaitan dengan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat malam semalam yang memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyokong sepenuhnya keputusan itu dan menganggap ia sebagai satu langkah yang terbaik untuk meredakan kemelut yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini.

"Selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya suka memberikan jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak," tegasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Justeru, jelasnya dakwaan yang menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden di dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal PAS adalah merupakan dakwaan yang tidak berasas.

"Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan," ujarnya.

Dalam hal ini, katanya negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh PAS menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni PAS itu.

Kaki Arak Ni Tabur Fitnah Lagi..

Posted: 22 Dec 2011 04:22 AM PST








Dana NFC, kondo: 'Datuk' berusia 45 tahun direman

Posted: 22 Dec 2011 03:55 AM PST

Polis hari ini mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman seorang ahli perniagaan yang dipercayai berpangkat 'Datuk' bagi membantu siasatan kes dana Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Perintah reman sehingga esok dikeluarkan terhadap lelaki berumur 45 tahun itu oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamarulzaman tengah hari tadi di Pusat Tahanan Sementara Balai Polis Bukit Jalil dekat Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Lelaki itu, yang dibawa dengan kereta polis, tiba di Balai Polis Bukit Jalil, pada jam 9 pagi.


Pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dipercayai telah mengambil keterangan daripada lelaki itu dari jam 3 petang hingga 6 petang semalam.

Sementara itu dalam sidang akhbar di ibupejabat JSJK, polis bagaimanapun enggan mengesahkan bahawa peniaga yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan projek NFC.

Pengarah jabatan itu, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata polis juga belum membuat sebarang tangkapan berhubung kes NFC.

Beliau juga enggan mengulas mengenai laporan media yang telahpun mengaitkan peniaga tersebut dengan kes NFC.

Jelasnya, suspek berkenaan pernah ditahan sebelum ini berhubung siasatan ke atas dua kes penipuan, masing-masing di Bercham dan juga di Cheras mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kita belum rekod apa-apa kenyataan daripada dia berhubung NFC," katanya lagi ketika ditanya sama ada lelaki berkenaan disiasat berhubung kes berkenaan.

Katanya lagi, suspek yang ditahan di pejabat JSJK pada kira-kira jam 4 petang semalam adalah berhubung "cubaan untuk menyogok beberapa orang pegawai JSJ."

"Bertindak atas maklumat, kita panggil dia datang ke JSJK dan kita tahan dia di sini," katanya lagi yang menambah, jabatan berkenaan akan menyerahkan suspek berkenaan kepada SPRM.

Diasak wartawan, Syed Ismail juga enggan mengesahkan sama ada suspek terbabit mempunyai kaitan dengan keluarga menteri yang menjalankan projek berkenaan.

"Kalau saya tak beri nama pun awak dah tahu siapa kan? Jadi awak tengok bin (nama bapa) itu ada kena mengena atau tidak.

"Saya tak kata apa, saya suruh tengok bin saja, sama atau tidak. Saya tiada apa untuk dikatakan, sama ada dia ada hubungan atau tidak (dengan keluarga menteri), saya tidak mahu komen," katanya yang juga enggan menyatakan nama suspek tersebut.

Ditanya lagi sama ada polis telah menyiasat menteri berkenaan, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Syed Ismail berkata "siasatan masih berjalan dan kita akan panggil sesiapa yang bersabit dengan kes ini."

Polis setakat ini telah menyiasat 27 individu, temasuk pegawai daripada kementerian kewangan, kementerian pertanian serta individu yang terlibat memberi perkhidmatan kepada NFC, katanya lagi.

Isu mengenai NFC itu berbangkit ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 Oktober lepas yang menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya manakala pembangkang pula mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dananya.

Hadi tampil pertahan dasar PAS

Posted: 22 Dec 2011 02:00 AM PST

Selepas mendiamkan diri sejak tercetuskan isu kontroversi membabitkan bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali dan bekas timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Haji Awang tampil mempertahankan dasar-dasar PAS termasuk konsep negara kebajikan.

Dalam kenyataannya itu, Hadi mengingatkan seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, bahawa parti itu telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan - kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Tegasnya, pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh.


"Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan," tambahnya.

Menurutnya lagi, PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

"Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan halatujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham," tambahnya.

Berikut adalah kenyataan penuh Abdul Hadi:

Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.

Firman Allah dalam Surah Attaubah ayat 122 :

Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)

Sabda Rasulullah S.A.W.

(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim

Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khususnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpihak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walaupun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.

Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud :

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).

Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walaupun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari'yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.

PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan - kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Perlu diingat, bahawa Umno yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah?

Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walaupun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

(Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia, laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.

Tiada ulasan: