ALHUSSEYN |
NFC: Shahrizat patut undur sebelum dihalau, kata Mahathir Posted: 09 Dec 2011 07:24 AM PST Oleh Shannon Teoh- Malaysian Insider KUALA LUMPUR, 9 Dis — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sewajarnya berundur daripada politik berhubung kontroversi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarganya, jika ia perlu bagi membantu partinya. Bekas perdana menteri berkata, Ketua Wanita Umno (gambar) itu perlu meninggalkan sebelum "dihalau" keluar oleh partinya. "Jika kita merasakan ia adalah penting demi parti, kita berundur. Ketika saya hendak berundur, saya tidak bertanya sesiapa. "Saya berharap yang lain akan berbuat begitu. Jangan tunggu orang menghalau anda keluar. Ya, ukur baju di badan sendiri," kata beliau ketika ditanya sama ada menteri bertaraf senator itu wajar berundur ekoran isu berkenaan. Shahrizat, bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai mendapat sokongan daripada kedua-dua sayap Pemuda dan Wanita Umno ketika perhimpunan agung tahunan minggu lalu selepas menafikan wujud salah guna kuasa dalam projek berkenaan yang menggunakan dana awam RM250 juta. Bagaimanapun Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dua kali menggesa Shahrizat agar meletakkan jawatan. Ketua Umno Cheras juga menggesa beliau berundur. |
Calon boleh menang yang bagaimana? Posted: 08 Dec 2011 11:52 PM PST Oleh: Nazli ibrahim - Free Malaysia Today Ada perbezaan di antara calon yang masyarakat akar umbi mahu dan calon yang pemimpin atasan mahu. Calon boleh menang (winnable candidate) yang bagaimana pemimpin parti politik mahukan dan calon boleh menang bagaimana pula yang kita mahu? Dalam memperkatakan pemilihan calon selalu ada perbezaan calon bagaimana yang dimahukan masyarakat akar umbi dengan calon yang dimahukan oleh sang pemimpin di atas sana. Perbezaan kemahuan pemimpin dengan kemahuan rakyat terbanyak ini bukan sahaja berlaku dalam parti pemerintah sahaja, malah parti pembangkang juga tidak ketinggalan. Kalau kita mungkin mahukan calon yang berani mendedahkan penyelewengan, tetapi sebaliknya sang pemimpin pula mendambakan calon yang boleh diharap untuk melindungi segala rahsia, baik rahsia parti mahupun rahsia mereka sendiri. Ketika kita mahukan calon yang berani berkata 'tidak' dan 'jangan' kepada sang pemimpin walaupun pahit untuk ditelan, sang pemimpin mungkin mahukan seseorang yang sentiasa mengatakan 'baik tuan' kepadanya. Jika kita mahukan calon yang bijak mengendalikan masalah yang dihadapi oleh rakyat terbanyak, sang pemimpin lebih berminat dengan calon yang pandai mengendalikan urusan perniagaan. Kalau kita mahukan calon yang bersih dan beramanah, mungkin sang pemimpin pula mahukan orang yang boleh 'diajak berunding'. Kalau kita mahukan calon yang cukup mengenali setiap jalan, lorong, bukit-bukau dan masyarakat di kawasan kita, sang pemimpin pula mengidamkan calon yang cukup dia sendiri kenal. Kalau kita mahukan calon yang kita kenal sejarah, latar belakang, asal-usul, emak bapak dan keturunannya, sang pemimpin lebih suka calon yang umum tidak mengetahui sejarah silamnya. Kita mungkin mengharapkan calon yang selalu berada di kawasan, lebih-lebih di saat diperlukan tetapi sang pemimpin pula lebih gemar calon yang umpama 'super escort' kepadanya. Kota janji atau tabur janji? Jika kita mahukan calon yang boleh diharap untuk menasihati sang pemimpin, sang pemimpin juga mahukan calon yang boleh menjadi penasihat 25 persen kepadanya. Begitulah lebih kurang kemungkinan-kemungkinan perbezaan kemahuan antara rakyat bawahan dengan ahli-ahli politik di atas puncak sana. Agaknya, mungkin itulah yang dimaksudkan calon 'winnable' yang menjadi sebutan ahli politik dan pemerhati politik masa kini. Mungkin baginya, calon-calon yang dipilihnya itu adalah 'calon 'winnable' seperti yang disyaratkannya. Bagaimanapun, kalau tidak kena gayanya nanti bukanlah calon 'winnable' yang sang pemimpin dapat, sebaliknya calon yang menyebabkan sang pemimpin berkata, 'wa kena beb!' |
You are subscribed to email updates from ALHUSSEYN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan