Pahang Daily Online |
- Warta Pahang: Sultan Ahmad Shah Bertitah, Agar Isu Sensitif Perlulah Di Tangani Secara Berhemah
- Akta Pekerjaan: Tamparan Hebat Buat Kerajaan, MTUC Mahu Buat MOU Dengan Pakatan Rakyat !!
- Sukan: Lee Chong Wei Tewas Lagi Kepada Lin Dan
- Panas: "Setiausaha UMNO" Indera Mahkota Yang Di Percayai "Pro Lynas" Di Pecat Gara-Gara Muflis
- Indera Mahkota: Dato' Fauzi Paling Layak, UMNO Pula Akan Letak Calon "Recycle" Pada PRU-13 Ini!
Warta Pahang: Sultan Ahmad Shah Bertitah, Agar Isu Sensitif Perlulah Di Tangani Secara Berhemah Posted: 27 Nov 2011 06:58 AM PST KUANTAN 27 Nov - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (foto) bertitah, setiap isu sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat negara ini perlu ditangani dengan penuh persefahaman, rasional dan berhemah. Baginda bertitah, isu tersebut tidak sepatutnya dibicarakan secara terbuka demi menjalinkan keharmonian hidup bermasyarakat walaupun diberi hak bersuara. "Islam menentukan setiap kebebasan mempunyai batas dan sempadan tertentu termasuk hak bersuara. Secara amnya kita bebas untuk melakukan sesuatu tetapi mestilah tertakluk kepada sistem dan peraturan negara serta nilai-nilai yang ditentukan oleh agama moral dan budaya," titah baginda. Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" hari ini. Baginda tegaskan, tidak sewajarnya ada kelompok yang terbawa-bawa dengan cara masyarakat yang kononnya ikut undang-undang dan menuntut apa sahaja atas nama hak dan kebebasan individu. "Tidak wajar bagi mereka tuntut apa sahaja atas nama hak dan kebebasan individu sehingga belakangkan sensitiviti agama, nilai dan budaya masyarakat. "Justeru, dengan tema penghayatan Maal Hijrah kali ini dapat lahirkan warga yang saling menghormati dan bertolak ansur serta menjunjung tinggi prinsip perpaduan serta toleransi sejagat," titah baginda. [Turut berangkat sama ke majlis itu pagi tadi ialah Sultanah Pahang, Sultanah Khalsom. Turut hadir ialah Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Dato' Mohamad Sahfri Ab. Aziz. Titah yang dibuat oleh Tuanku Sultan Pahang ini perlulah dihayati oleh seluruh lapisan rakyat terutamanya yang bermastautin di dalam negeri Pahang ini]. |
Akta Pekerjaan: Tamparan Hebat Buat Kerajaan, MTUC Mahu Buat MOU Dengan Pakatan Rakyat !! Posted: 27 Nov 2011 06:34 AM PST Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bercadang untuk membentuk perjanjian persefahaman dengan Pakatan Rakyat untuk memansuhkan pindaan kontroversi ke atas Akta Pekerjaan. Setiausaha kewangan MTUC, Alias Awang (foto) berkata, pemimpin Pakatan perlu menandatangani perjanjian persefahaman dengan MTUC untuk menyatakan sokongan yang lebih bulat ke atas usaha untuk memansuhkan undang-undang tersebut. Dalam ucapannya di Kongres Nasional PKR hari ini, Alias berkata, beliau juga akan membawa usul untuk membentuk memorandum persefahaman itu di perhimpunan MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan pada 2 Disember depan. "Saya akan bawa usul, kita akan beri cadangan kepada Pakatan, kena buat MOU untuk kita tunjukkan keikhlasan... Awak tolong saya, saya akan tolong awak," katanya lagi. Beliau yang mengisytiharkan perang ke atas kerajaan yang meluluskan undang-undang berkenaan juga berkata, MTUC akan membuat keputusan untuk menyokong parti yang usaha menarik balik undang-undang berkenaan. Tambahnya, MTUC juga akan meneruskan siri perhimpunan untuk membantah pindaan ke atas Akta Pekerjaan yang diluluskan Dewan Rakyat sebelum ini. Alias berkata, perhimpunan besar itu dijangka diadakan di hadapan bangunan Parlimen apabila undang-undang berkenaan diluluskan Dewan Negara pada 12 Disember, katanya dalam perbahasan di Kongres Nasional PKR hari ini. Dalam ucapannya, Alias turut meminta para perwakilan supaya memberi sokongan penuh untuk hadir ke perhimpunan berkenaan, disambut dengan laungan "sokong pekerja" oleh para perwakilan berkenaan. Tambahnya, parti dalam Pakatan perlu menyokong bantahan berkenaan memandangkan golongan pekerja membentuk sejumlah lima juta daripada keseluruhan jumlah pengundi. "Kalau biarkan (pekerja) berjuang tanpa sokongan saya takut mereka beralih sokongan," kata ahli PKR itu lagi ketika membahaskan usul memartabatkan kaum pekerja. Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan Rang Undang-undang Pekerjaan (Pindaan), yang mengandungi 22 pindaan dan 17 peruntukan baru dengan dua seksyen dimansuhkan. Rang Undang-undang itu dijadual dibentang di Dewan Negara pada persidangan Disember ini. [Nampaknya, kerajaan UMNO BN bakal berhadapan dengan undi protes besar-besaran oleh rakyat terutamanya golongan pekerja pada PRU-13 ini nanti. Ternyata MTUC kini semakin berani untuk membuat tindakan drastik dalam usaha menghalang pindaan dibuat terhadap Akta Pekerjaan. Kerajaan harus berhati-hati dan berwaspada dengan senario terbaru ini. Jika tidak sudah pasti penolakan itu akan berlaku di seluruh negara, selepas MTUC melihat kerajaan UMNO BN gagal untuk mendengar suara rintihan mereka dalam isu ini. Apapun, jika MOU dibuat dengan Pakatan Rakyat maka kemungkinan besar harapan untuk pakatan itu menang lebih besar pada PRU ini nanti pasti akan tercapai. Oleh itu, berhati-hati dengan tindakan yang boleh memudaratkan dikala PRU-13 yang semakin hampir]. |
Sukan: Lee Chong Wei Tewas Lagi Kepada Lin Dan Posted: 26 Nov 2011 07:58 PM PST KUALA LUMPUR, 27 Nov - Hasrat jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei untuk memburu kejayaan di Terbuka China musnah selepas tumpas di tangan musuh tradisinya Lin Dan pada perlawanan separuh akhir malam Sabtu. Lin Dan yang juga pemain nombor dua dunia mengambil masa satu jam 16 minit untuk menundukkan Chong Wei dengan 21-19, 12-21 dan 11-21. Kali terakhir Chong Wei berjaya menewaskan pemain China itu adalah pada Mac lepas pada Kejohanan All England. |
Panas: "Setiausaha UMNO" Indera Mahkota Yang Di Percayai "Pro Lynas" Di Pecat Gara-Gara Muflis Posted: 26 Nov 2011 06:28 PM PST KUANTAN, 27 Nov - Setiausaha UMNO Bahagian Indera Mahkota, Bahazelan Wahab (foto) kini terpaksa berjuang sendirian dalam "isu Lynas" apabila beliau dipercayai telah dipecat daripada jawatannya baru-baru ini. Bahazelan merupakan antara tokoh UMNO yang sering mempertahankan projek Lynas dengan berbagai alasan-alasannya tersendiri. Beliau lebih berani keluarkan kenyataan bersifat "pro-Lynas" daripada lain-lain pemimpin dalam parti itu di Pahang. Difahamkan, tempat beliau rupanya sudah lama digantikan oleh pemangku jawatan tersebut iaitu Ab.Rahaman Mohamad. Jawatan beliau dilucutkan akibat keberhutangan yang serius "muflis" yang beliau alami sejak sekian lama. Parti tidak dapat membantu beliau kerana jumlahnya adalah terlalu besar untuk diselesaikan. Lantaran itulah beliau diarahkan mengosongkan jawatan berkenaan untuk mengelakkan parti UMNO mendapat malu yang lebih besar. Pemecatan Bahazelan, adalah merupaka kerugian besar kepada UMNO Indera Mahkota. Ini kerana nama beliau lebih popular oleh ramai pihak termasuk dikalangan pembangkang sendiri. Sikap berani bersuara dan menegur kepincangan yang berlaku dalam parti sendiri membuatkan dia amat disenangi. Walau pun beliau gemar berdebat dalam beberapa isu tertentu termasuk "Lynas". Agak mengejutkan bila mana UMNO sendiri gagal membela pemimpin seperti itu, tetapi dalam masa yang sama banyak membantu penyokong yang bukan pun seorang pemimpin parti selama ini. [Sungguh mengejutkan bila orang hebat seperti Bahazelan Wahab gagal mendapat bantuan daripada parti itu. Sedangkan beliau adalah individu yang selama ini berani berjuang bermati-matian untuk mempertahankan UMNO dan Lynas yang ditentang oleh rakyat. Nampak benar segala jasa dan pengorbanan beliau itu langsung tidak dihargai. Sewajarnya parti berusaha menyelamatkan beliau dari sebarang tindakan mahkamah yang boleh merugikan dirinya. Kini, Bahazelan terpaksa berhadapan dengan suara bantahan rakyat terhadap isu Lynas tanpa jawatan penting dalam UMNO lagi. Apalah sangat yang boleh beliau lakukan jika ini keadaannya. Apapun, kami berharap beliau akan terus berjaya dalam kerjaya politiknya selepas ini. Perjuangan beliau masih diperlukan oleh rakyat sebenarnya !]. |
Indera Mahkota: Dato' Fauzi Paling Layak, UMNO Pula Akan Letak Calon "Recycle" Pada PRU-13 Ini! Posted: 26 Nov 2011 05:36 PM PST Parlimen Indera Mahkota terus bergolak menjelang Pilihanraya Umum ke-13 tidak lama lagi. Jika sebelum ini, didedahkan maklumat tentang UMNO bakal merampas semula kerusi Parlimen Kuantan untuk meletakkan calonnya berlawan dengan Fuziah Salleh (PKR) pada PRU itu nanti. Kini tersebar beberapa lagi berita panas, yang berkaitan dengan Parlimen Indera Mahkota pula. Baik dipihak BN mahu pun pembangkang, masin-masing kini terus dilanda trauma menentukan calon yang paling layak bertanding di situ. Bagi UMNO BN, khabarnya perebutan untuk menjadi calon Parlimen Indera Mahkota kini kian hangat dan sampai ke kemuncaknya. Heboh diperkatakan, bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota iaitu Dato' Wan Adnan Wan Mamat yang merupakan orang kanan Tun Khalil Yaakob (YDP Melaka) kini sedang mencongak-congak untuk bertanding semula di kerusi itu. Ia berikutan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR), berikutan tindakan PKR tidak lagi mengekalkan Azan Ismail disitu. Azan lebih disenangi oleh "lawan atau kawan" kerana beliau merupakan bekas pemimpin muda dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan juga bekas Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kuantan. Namun, berdasarkan senario terkini, tempatnya bakal digantikan oleh calon luar iaitu Zakaria Abd Hamid (bekas Pengerusi PKR Pahang sebelum Dato' Fauzi). Kehadiran Zakaria adalah atas mandat daripada PKR Pusat sebagai "care taker" parlimen itu sejak ketiadaan Azan yang dipindahkan ke Trengganu awal tahun ini. Maka, Zakaria kini sibuk dengan agenda programnya yang melihat seolah-olah beliau adalah calon yang paling sesuai menggantikan Azan. Kehadiran Zakaria sedikit meresahkan kepimpinan PKR Negeri terutamanya orang Dato' Fauzi Abd Rahman. [Ini kerana sebagai Pengerusi Negeri, PKR Pusat sepatutnya merujuk dulu kepada negeri untuk menghantar mana-mana calon bertanding di negeri ini. Akibatnya, ramai yang tidak berpuas hati dengan kehadiran Zakaria yang dilihat sebagai "orang luar" itu. Rakyat Kuantan, tidak mahu lagi mempunyai Wakil Rakyat "seminggu sekali turun padang" seperti Fuziah Salleh di Parlimen Kuantan. Mereka mahu, pemimpin yang senantiasa berada bersama rakyat diangkat. Makanya, calon yang paling layak ialah Dato' Fauzi sendiri di Parlimen Indera Mahkota sebenarnya. Tambahan pula, Dato' Fauzi kini bermastautin di Indera Mahkota dan merupakan Pengerusi PKR Pahang. Jika beliau bertembung dengan Dato' Wan Adnan (UMNO) yang merupakan anak didiknya dulu maka sudah pasti pertandingan sengit akan dapat disaksikan pada PRU-13 nanti. Tapi, jika sebaliknya sudah pasti harapan UMNO BN untuk merampas kembali kerusi parlimen itu daripada PKR akan tercapai kali ini. Apapun, kehadiran Wan Adnan pula pasti menyebabkan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota sekarang, Dato' Hazmi Yusof "tidak senang duduk dan tidak senang berdiri". Beliau berkira-kira untuk bertanding di situ, kini namanya dikatakan akan terpelanting pula ke DUN Beserah untuk bersaing dengan Setiausaha Kerja UMNO Pahang, Rahim Abas bertanding di situ. Ini semua akan menyebabkan perpecahan dalam UMNO BN andai gagal ditangani segera]. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online (PDO) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan