Rabu, 23 November 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Ceramah Umum Bersama Dato' Tuan Ibrahim Dan Fuziah Salleh Di 'Putra Balok' Jam 9.00 Malam Ini

Posted: 22 Nov 2011 09:53 PM PST

KUANTAN, 23 Nov - Satu program ceramah umum Pakatan Rakyat akan diadakan di Putra Balok jam 9.00 malam ini. Ceramah akan menampilkan Ketua Penerangan PAS selaku Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto), Zulkefly Mohamad Omar (Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Pas Pusat) , YB Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan) serta lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat. Antara isu panas yang akan dimainkan malam ini sudah pastilah berkaitan dengan isu Lynas. Sementara itu disebelah petangnya, Dato' Tuan dijangka menyampaikan Kuliah Maghrib di Masjid Kg.Padang jalan Sungai Lembing sebelum ke lokasi ceramah. Orang ramai adalah dijmeput hadir memeriahkan program ceramah malam ini, biarpun cuaca tidak mengizinkan akibat hujan yang turun sepanjang hari sekarang.

Lynas Malaysia Akan Tawarkan Dua Ribu Peluang Pekerjaan Serta Merancakkan Ekonomi Setempat !

Posted: 22 Nov 2011 08:51 PM PST

KUANTAN, 23 Nov - Pembukaan kilang Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 orang di samping bakal merancakkan aktiviti ekonomi setempat. Pengarah Urusannya, Datuk Mashal Ahmad (foto) berkata, buat permulaan Lynas telah mengambil 350 pekerja yang terdiri daripada 75 siswazah teknikal, 15 bukan teknikal dan 260 tenaga mahir dan separa mahir. "Selain itu kami turut mengambil 250 pekerja kontrak untuk bekerja di sini sebagai kumpulan sokongan kepada syarikat ini. Malah, semua kakitangan Lynas termasuk pihak pengurusan adalah rakyat Malaysia kecuali empat pakar nadir bumi dari China," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat kepada media mengenai perkembangan terkini kilang tersebut di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini kelmarin. Tambah beliau, industri sokongan juga akan menjana lebih 1,000 peluang pekerjaan tambahan kepada penduduk. "Malah, kami juga menyediakan peluang perniagaan untuk kontraktor dan pembekal tempatan," katanya. Jelasnya, pada fasa pertama pembinaan kilang itu, pihaknya telah mengeluarkan modal pelaburan sebanyak RM1.39 bilion dengan RM618 juta telah dibelanjakan di Malaysia. Katanya, ini termasuk memberi projek kepada kontraktor di Kuantan sebanyak RM235 juta. "Bagi fasa kedua pula, kami akan mengeluarkan pelaburan sebanyak RM700 juta yang mana separuh daripadanya akan dibelanjakan di Malaysia. "Dengan pelaburan yang dikeluarkan oleh Lynas ini bukan sahaja menguntungkan orang ramai malah akan meningkatkan ekonomi Pahang dan Malaysia," kata beliau lagi.


[Dengan perkembangan terbaru ini, ia dijangka akan menyentap semangat pihak yang membantah projek itu terutamanya NGO Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) dan sebagainya. Walau apa jua bantahan yang dibuat oleh rakyat, kerajaan mungkin punyai seribu sebab dan alasan untuk meneruskan jua projek berkenaan. Persoalannya, apakah rakyat akan terus membantah sampai bila-bila kerana difahamkan pihak berkenaan akan membawa kes ini ke mahkamah dalam masa terdekat. Jika itu terjadi dan jika Lynas dibatalkan, wang manakah yang perlu digunakan untuk membayar ganti rugi kepada syarikat terbabit?. Bayangkan jika ketika itu Pakatan Rakyat memerintah Malaysia dan juga negeri Pahang ini. Terkadang rakyat semakin keliru melihat apa yang berlaku. Namun, agenda di sebalik perjuangan mereka harus difikirkan semula kerana banyak andaian dan persepsi kini menjadi mainan pihak-pihak tertentu sekarang ini. Malah, kami juga sudah mendapat maklumat begitu ramai anak-anak pembantah Lynas yang bekerja malah ada yang mendapat projek dengan syarikat terbabit. Maknanya, memang ada sesuatu yang tidak kena atas bantahan yang dibuat itu sebenarnya. Maka, wajarkah ia terus ditentang sampai bila-bila sedangkan ada orang meraih untungnya].

Banjir Melanda Pantai Timur, Mangsa Meningkat Di Negeri Trengganu Dan Juga Kelantan Pagi Ini!

Posted: 22 Nov 2011 07:27 PM PST

K.TRENGGANU, 23 Nov - Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Terengganu meningkat pagi ini. Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, sehingga jam 9 pagi ini jumlah mangsa yang dipindahkan adalah 1,439 orang berbanding 373 orang semalam. Katanya, daerah Setiu agak teruk apabila seramai 671 orang dipindahkan ke pusat pemindahan, diikuti Besut 560 orang dan Hulu Terengganu 208 orang. Jurucakap itu berkata, dalam tempoh yang sama juga 21 pusat pemindahan dibuka iaitu tujuh di Setiu, sembilan di Besut dan lima di Hulu Terengganu yang membabitkan balai raya, dewan serbaguna, masjid dan sekolah. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan paras air di beberapa sungai utama di Terengganu melebihi paras bahaya pagi ini. Di Besut, paras air di Kampung La mencecah 19.54 meter berbanding paras bahaya 19.20 meter dan di Jambatan Jertih pula bacaannya ialah 8.73 meter, melebihi paras amaran 8.10 meter. Sungai Nerus di Kampung Bukit di sini mencatat bacaan 13.56 meter (bahaya 12 meter) dan di Kampung Langkap, Setiu 21.95 meter (bahaya 21.50 meter). Keadaan cuaca di Kuala Terengganu pagi ini mendung dan sesekali berlaku hujan serta angin kencang. Sementara itu, di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan meningkat kepada 235, berbanding 26 yang direkodkan semalam. Ini berikutan hujan lebat yang melanda Kelantan sejak tiga hari lalu, . Dua daerah di negeri itu yang kini dilanda banjir adalah Kota Bharu dan Pasir Puteh. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, di Pasir Puteh, pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang dibuka sejak semalam. "Di Kota Bharu, dua pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Mulong dan Sekolah Kebangsaan Tiong, dibuka malam tadi," katanya ketika dihubungi hari ini. Paras air di empat sungai utama di Kelantan berada pada tahap berjaga-jaga manakala Sungai Golok di Jenob dan juga Sungai Golok dekat Rantau Panjang berada pada paras amaran.

[Hujan juga mula turun mencurah-curah di sekitar Kuantan dan negeri Pahang amnya. Petanda banjir besar akan berlaku seawalnya bulan Disember ini. Harapan kami semoga semua pihak hentikan dulu pertelingkahan politik ketika banjir melanda. Siapa sahaja jiran tertangga, hulurkan bantuan seadanya. Inilah masa kita boleh bersatu dan berpadu. Rapatkan Ukhwah, eratkan perpaduan. Semoga tiada kemalangan jiwa berlaku pada musim tengkujuh kali ini hendaknya. Bagi mereka yg tinggal di kawasan yg berisiko banjir, sila pastikan segala dokumen penting diselamatkan dan ditempatkan di kawasan selamat. Bersiap sedia lebih awal, itulah yang paling penting sekarang. Pastikan juga keselamatan anak-anak anda. Jangan biarakan mereka bermain dengan air banjir walau pun ditempat yang diyakini seperti di halaman rumah dan sebagainya. Ia boleh mengundang bahaya yang tidak dijangka kelak. Malang tidak berbau, berhati-hatilah demi masa depan anda seisi keluarga. Sayangilah mereka].

Kuliah Maghrib "Ustaz Azhar Idrus", Di Masjid Al-Fatah Kuantan Malam Tadi Mendapat Sambutan !

Posted: 22 Nov 2011 08:57 AM PST

KUANTAN, 23 Nov - Kuliah Maghrib, Ustaz Azhar Idrus (foto) di Masjid Al-Fatah dekat sini malam tadi tetap mendapat sambutan menggalakkan biar pun cuaca tidak mengizinkan akibat hujan yang turun sejak petang hingga malamnya. Orang ramai tidak melepaskan peluang keemasan untuk terus mengikuti kuliah pendakwah terkenal itu, biar pun terpaksa berasak-asak memenuhi setiap ruang di dalam masjid berkenaan. Beberapa buah kanopi disediakan di sebelah luar untuk memberi kemudahan kepada orang ramai yang tidak dapat masuk ke dalam masjid. Dua buah layar besar juga turut disediakan. Seperti biasa, kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar ternyata tidak mengecewakan dan senantiasa menghiburkan. Hujan yang turun agak lebat sekitar jam 9.00 malam tidak langsung menghalang orang ramai terus berada di lokasi terbabit. Kesesakan jalanraya berlaku hingga menyebabkan beberapa kali Ustaz Azhar terpaksa melaporkan nombor pendaftaran kenderaan yang menghalang lalu lintas. Ternyata orang ramai terpaksa meletakkan kenderaan dikiri kanan jalan kerana kawasaln letak kereta yang berdekatan telah dipenuhi. Malah, ada yang terpaksa berjalan kaki begitu jauh untuk hadir bersama bagi mendengar kuliah tersebut. Program berakhir selepas sesi soal jawab selesai sekitar jam 10.00 malam.


Ruang di dalam masjid penuh sesak dengan orang ramai yang telah hadir


Sebahagian daripada orang ramai yang menyaksikan layar besar di luar

Kanopi tambahan juga disediakan untuk tampung kehadiran orang ramai

Kaunter semakan daftar pemilih SPR juga dibuka untuk orang ramai di situ


Kelancaran lalu lintas turut berjaya dibantu oleh kecekapan unit amal PAS

[Orang ramai yang hadir ke program kuliah Ustaz Azhar Idrus malam tadi ternyata berpuas hati dengan penerangan dan tazkirah yang disampaikan oleh beliau itu. Malah, mereka juga tidak berganjak daripada tempat duduk masing-masing walau pun ketika itu hujan turun dengan lebatnya. Ternyata Ustaz Azhar berjaya memberikan aura baru kepada orang ramai terutamanya generasi muda agar cinta terhadap Islam. Difahamkan, kuliah beliau yang seterusnya pada bulan depan akan diadakan di Balok. Justeru itu, orang ramai yang tidak berkesempatan untuk hadir malam tadi bolehlah hadir pada bulan hadapan. Semoga kuliah-kuliah sebegini akan dapat diperbanyakkan kerana anak-anak muda ternyata dahagakan dakwah yang berterusan dalam kontek yang lebih santai dan juga humor].

Tiada ulasan: