Pahang Daily Online |
- Syabas: Malaysia Layak Ke Akhir Bolasepak Sukan SEA XXVI Di Jakarta, Bila Tewaskan Myanmar 1-0!
- Mazlan: PAS Mahu Pihak Polis Bebaskan Tahanan ISA Dan Menghormati Keputusan PM Najib Razak
- Suhakam 'Terkejut' Kerajaan Masih Gunakan ISA Sedangkan Najib Kata Akta Itu Sudah Hapuskan !
- Sukan: Wee Wern Buat Kejutan Layak Ke Separuh Akhir Bagi Kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong
Syabas: Malaysia Layak Ke Akhir Bolasepak Sukan SEA XXVI Di Jakarta, Bila Tewaskan Myanmar 1-0! Posted: 19 Nov 2011 02:57 AM PST Tahniah, pasukan bolasepak negara akhirnya berjaya melayakkan diri ke pertandingan akhir acara bolasepak di Sukan SEA XXVI Indonesia bila berjaya mengalahkan Myanmar 1-0 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta petang tadi. Gol Malaysia dijaringkan oleh Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-85 hasil hantaran silang Izzaq Faris Ramlan, yang kemudiannya disudahi beliau menerusi rembatan yang menewaskan penjaga gol Myanmar, Thihasthu. Malaysia yang agak tenggelam pada separuh masa pertama, menukar rentak dan berjaya mengekang kemaraaan pemain Mynamar pada babak kedua. Jaringan Fakri melegakan seluruh peminat bolasepak di negara kita dan ia berjaya membantu pasukan negara untuk mempertahankan pingat emas yang telah dimenangi dua tahun lalu. [Pasukan negara akan bertemu dengan tuan rumah Indonesia pada perlawanan akhir, bila pasukan negara itu menewaskan Vietnam 2-0 pada perlawanan separuh akhir kedua malam tadi. Ini bermakna, ulangan perlawanan peringkat kumpulan yang menyaksikan skuad negara menewaskan Indonesia 1-0 dua hari lalu akan diulangi. Pastinya satu perlawanan yang cukup bersejarah akan dapat disaksikan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta nanti apabila dua musuh tradisi dipertemukan. Apa yang menarik, Malaysia berjaya berhadapan dengan dua pasukan tuan rumah pada dua perlawanan akhir Sukan SEA. Harapan rakyat Malaysia agar pasukan negara akan dapat mempertahankan pingat emas kali ini]. |
Mazlan: PAS Mahu Pihak Polis Bebaskan Tahanan ISA Dan Menghormati Keputusan PM Najib Razak Posted: 19 Nov 2011 01:57 AM PST KUALA LUMPUR, 19 Nov - PAS hari ini mengingatkan pihak keselamatan membebaskan segera semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekaligus menghormati keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah mengumumkan akta itu dimansuhkan. AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman (foto) berkata, tindakan terbaru pihak polis yang menangkap 13 orang di bawah akta itu di Sabah adalah satu penghinaan kepada Najib dan juga seluruh rakyat yang dijanjikan pemansuhan akta itu. "Kalau polis ada bukti, heret ke mahkamah, dakwa mereka, bukan guna ISA. "Kuasa polis 'lebih besar' dari Perdana Menteri nampaknya. Ini satu penghinaan kepada pengumuman PM," katanya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam bahawa penahanan 13 orang yang didakwa anggota kumpulan militan, dibuat selepas polis mendapat maklumat risikan dari dalam dan luar negara. Ismail semalam juga mengesahkan tujuh rakyat Malaysia dan enam warganegara asing ditahan di Sabah sejak Isnin lalu mengikut Seksyen 73 (1) ISA kerana disyaki ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah. Identiti dan nama kumpulan militan itu tidak dinyatakan namun sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis menahan anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang juga dikenali sebagai kumpulan Kaltim dan berpangkalan di Kalimantan. Dalam pada itu, Mazlan yang kini berada di Sabah memaklumkan satu memorandum akan diserahkan kepada Suhakam Kota Kinabalu pada 21 November ini. Memorandum dari anggota keluarga tahanan itu menuntut Suhakam mendesak kerajaan membebaskan semua tahanan tersebut. Selain kepada Suhakam, pihak keluarga juga akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Perdana Menteri di Parlimen. Pada masa sama, Mazlan turut mengalukan kenyataan Pengerusi Suhakam yang meluahkan rasa kecewa penangkapan terbaru di bawah akta ISA tersebut. [Sementara itu, agak mengejutkan bila Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membidas Suruhajaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab apabila mendesak supaya 13 individu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Isnin lepas dibebaskan. Beliau berkata Suhakam tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu tanpa mengetahui tentang latar belakang dan fakta tentang kesemua mereka yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah. Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Semberong menasihatkan pihak Suhakam supaya berjumpa dengannya terlebih dahulu di mana kementerian bersedia berkongsi maklumat tentang penahanan individu itu. Persoalannya sekarang, Hishamuddin sebenarnya lupa bahawa Perdana Menteri yang juga sepupu beliau sendiri iaitu Najib Razak telah dengan beraninya mengumumkan pemansuhan ISA sebelum ini. Mengambil kira kepada menunggu ia dimansuhkan secara rasmi maka apa perlunya ada lagi tahanan ISA. Katanya, undang-undang baru akan digubal dan dibentangkan pada Mac 2012 nanti. Maknyanya, jika ada yang ditahan ISA sekarang maka mereka terpaksa dibebaskan pada tarikh itu. Untuk apa lagi ditahan, lebih baik 13 individu terbabit dibawa ke muka pengadilan. Nampak benar ISA tetap akan diteruskan sebenarnya!]. |
Suhakam 'Terkejut' Kerajaan Masih Gunakan ISA Sedangkan Najib Kata Akta Itu Sudah Hapuskan ! Posted: 18 Nov 2011 08:19 PM PST KUALA LUMPUR, 19 Nov -Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meluahkan rasa amat kecewa dan terkejut dengan penangkapan terbaru 13 individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) atas kegiatan gerakan militan di Sabah. "Tindakan pihak berkuasa ini benar-benar mengejutkan dan sama sekali bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri yang berani dan bersejarah untuk mansuhkan ISA serta pengiktirafan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia serta perseimbangan antara hak tersebut dengan peraturan undang-undang dalam sistem demokrasi berparlimen negara yang telah lama dinantikan dan amat dialukan dengan sepenuh hati oleh rakyat," kata pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam (foto) dalam satu kenyataan. Katanya, selaras dengan seruan yang telah dibuat sebelum ini agar undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan, Suruhanjaya menggesa agar pihak berkuasa membebaskan kesemua mereka yang ditahan di bawah undang-undang tersebut dan memberikan hak mereka kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam. Suruhanjaya juga, ujarnya menyeru kerajaan supaya menghentikan penggubalan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan agar menangani isu berkaitan keganasan di bawah undang-undang lain yang sedia ada; dan sementara pemansuhan ISA dibuat, tiada sebarang penangkapan wajar dijalankan. [Dalam kes ini sebenarnya, bukan Suhakam sahaja yang terkejut malahan rakyat secara kesuluruhannya yang melihat kerajaan sebenarnya sekadar beretorik dalam hal ini. Sepatutnya, dalam proses mereka mahu menghapuskan akta itu maka tidak perlu lagi ada tangkapan yang dilakukan terhadap mana-mana individu. Langkah tidak wajar ini menyebabkan rakyat tidak yakin dan percaya apakah kerajaan benar-benar ikhlas untuk melakukan tindakan itu, atau sekadar mahu memancing undi pilihanraya yang dijangka bakal diadakan sebelum PRU-13 itu nanti. Kini rakyat boleh menilai, apakah kerajaan pimpinan Najib Razak benar-benar ikhlas dan jujur dalam menjalankan tanggungjawabnya. Nampak benar, beliau sebenarnya sekadar mahu meredakan kemarahan rakyat terhadap Akta Zalim itu. Maka, rakyat perlu bangkit lakukan perubahan dan jangan terpedaya lagi dengan dakyah mereka sekarang. Ubahlah sebelum parah!]. |
Sukan: Wee Wern Buat Kejutan Layak Ke Separuh Akhir Bagi Kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong Posted: 18 Nov 2011 01:47 PM PST KUALA LUMPUR 19 Nov - Pemain wanita negara, Low Wee Wern (foto) meneruskan kejutan pada Kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong apabila berjaya melangkah ke perlawanan separuh akhir hari ini. Bekas juara remaja kebangsaan itu terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan pemain pilihan ketujuh Camille Serme dari Perancis 11-7, 9-11, 11-9, 5-11, 11-4 dalam masa 54 minit. Semalam, Wee Wern menyingkirkan pemain nombor dua dunia Jenny Duncalf dari England pada pusingan kedua. Wee Wern, pemain berusia 21 tahun dari Pulau Pinang itu akan berdepan dengan pemain pilihan ke-10 kejohanan, Raneem Wl Weleily dari Mesir pada perlawanan separuh akhir. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online (PDO) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan