Tadi aku ke rumah Encik Hassan Suyut dan Cikgu Dora. Siapa mereka? Lihat buku ini:-
Atiq Wazif adalah anak lelaki mereka yang dilahirkan seperti Annisa dan An-Nur. Ketiadaan sekolah dan rawatan yang secukupnya untuk anak-anak Cerebral Palsy di Malaysia membuatkan Encik Hassan nekad mengorbankan pekerjaan mereka dan mengintai peluang ke luar negara yang menyediakan kepakaran yang cukup untuk Atiq Wazif. Mereka berusaha keras memanjat tangga ke sana ke mari, membuang perasaan segan demi melihat anak kesayangan mereka menikmati hak untuk mendapat rawatan. Berjumpa orang perseorangan, syarikat-syarikat, jabatan kerajaan dan swasta serta mana-mana yang difikirkan untuk mencari dana. Bukan sedikit yang diperlukan, hampir setengah juta ringgit Malaysia. Akhirnya berkat usaha yang gigih, bantuan penyumbang-penyumbang serta tenaga kerja ahli keluarga dan kawan-kawan, media-media ~ mereka berjaya mendapatkan dana. Mereka sekeluarga dengan anak-anak yang lain berangkat ke China untuk menjalani rawatan rapi dan latihan fisioterapi yang cukup tersusun. Satu hari Atiq Wazif dilatih selama 8 jam untuk tiga bulan pertama. Gambar di bawah menunjukkan keadaan Atiq pada awalnya dengan tulang belakang yang membengkok.
Tiga bulan dilatih, berehat sebulan dan menyambung latihan seterusnya sehingga setahun, akhirnya Atiq mampu berjalan. Suatu keajaiban!
Mereka sekeluarga kemudiannya ke Amerika Syarikat, meneruskannya di sana. Suka-duka, susah payah, ketawa, tangisan, persahabatan dan persaudaraan mewarnai kisah keluarga ini. Sesiapa yang mempunyai anak sebegini pasti dapat merasakan denyut syahdunya. Buku ini memaparkan perjalanan kisah mereka.
Buku cetakan pertama kisah mereka telah habis dijual dan sudah masuk cetakan kedua. Gambar di atas adalah senarai penderma-penderma yang terdiri daripada individu, syarikat, jabatan kerajaan dan swasta juga pertubuhan-pertubuhan. Antara yang turut menyumbang adalah Vincent Tan, bekas Menteri Besar Terengganu Idris Jusoh dan Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan (sekadar menyebut beberapa nama).
Atiq Wazif (berbaju serba biru) di samping Annisa, An-Nur dan Sham. Di belakang dari kiri adinda yang menemani kami Faizal Riduan (penulis majalah Milenia) juga Encik Hasan Suyut dan Cikgu Dora.Kalian berdua adalah wira! Menyediakan syurga untuk Atiq dan syurga jualah untuk kalian.
Misi kamiTerangsang dengan ini, kami juga mempunyai impian yang sama. Ingin melihat Annisa dan An-Nur mencapai kejayaan tertinggi dalam hidup mereka. Ini impian setiap ayah dan ibu di dalam dunia ini. Bagaimana pun keadaan anak mereka, mereka mahu melihat anak-anak mereka berjaya. Setelah beberapa tahun sebelum ini kami merancang dan beberapa kali tertangguh, kali ini kami merasakan masanya telah tiba untuk kami lakukan perkara yang sama. Mentelah pula kesihatan Annisa dan An-Nur stabil sekarang dan mereka semakin peka. Kalau keperluan Atiq lebih RM300ribu, sudah tentulah kedua anak kami memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000.
Apakah ini mustahil? Adakah aku ada wang sebanyak ini?
Sudah tentu tiada. Kami sedang berusaha menjual apa saja yang kami ada demi masa depan anak-anak kami. Kami akan menjual rumah, kereta, motorsikal, perabot dan peralatan dapur malah apa saja yang boleh dijual akan kami jual. Mungkin bersih kami masih tidak sampai RM100ribu, malah entah-entah tak sampai RM60 ribu agaknya. Kami akan cuba. Mulai hari ini, kami akan bergerak memanjat ke sana sini, menebalkan muka untuk kejayaan permata hati kami. Mungkin ada pihak yang akan malu dengan usaha kami ini, walau kau tentu takkan terfikir betapa malunya aku dan Sham hendak memulakan ini semua, tapi aku dah tak peduli. mungkin aku akan ditertawakan~ tak mengapa! Jika itu memuaskan hati mereka, aku rela puaskan. Kami akan bekerjasama dengan sesiapa yang sudi bekerjasama. Jika kalian ada cara untuk menjadikan misi ini berjaya, kemukakanlah di sini, di email aku :
ronasina@gmail.com atau inbox di facebook aku :
ronasina kartuniskami juga mahu jadi wira untuk Annisa dan An-Nur seperti Hasan Suyut dan Kak Dora, wira Atiq Wazif.
Jika kalian mahu juga, aku alu-alukan! Mungkin jika suatu hari nanti kejayaan ini milik kita, akan aku rakamkan ia di dalam sebuah buku juga.
kau ilhamku, kau wiraku!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan