Khamis, 24 November 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Antara Islam Dan ‘Negara Islam’

Posted: 24 Nov 2011 06:32 AM PST


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Awal bulan November ini saya hadiri seminar di The Middle East Centre, Oxford bertajuk 'The Sacking of Syria: Asad as Hulego'.

Pembentangnya Rana Kabbani, seorang penulis dan penyiar Syria. Saya kagum dengan keberanian wanita ini. Mungkin jika di Malaysia ada pihak yang tidak mahu hadiri ucapannya sebab beliau 'free hair' dan agak bergaya. Letak itu di sebelah dahulu, saya kagum dengan semangatnya mengkritik regim-regim Arab. 'A very inspiring speech'.

Saya tertarik apabila salah seorang 'british' bertanya beliau bahawa tidakkah nanti selepas kejatuhan Asad akan menyebabkan golongan 'extremist' yang memperjuangkan 'Islam State' akan mengambil alih. Beliau dengan bersemangatnya bertanya balas "kenapa awak kata demikian? Apakah kerana awak mendengar mereka melaungkan 'Allahu Akbar'?!

Seterusnya beliau berkata bahawa mereka melaungkan Allahu Akhbar adalah kerana Islam agama mereka. Tiada siapa berhak menafikan hal itu. Ia bermaksud Allah itu Maha Besar. Itu adalah slogan muslim apabila berhadapan dengan regim yang sombong dan bongkak. Untuk siapa lagi yang hendak mereka laungkan slogan kebesaran. Tiada kaitan dengan kehendak mengujudkan 'Islam State' seperti yang diidamkan oleh sesetengah gerakan.

Salah Sangka

Kenyataan Rana Kabbani ini sebenarnya suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan. Ramai orang dalam pertubuhan atau parti yang ingin mengujudkan 'Islamic State' menyangka bahawa slogan agama, atau kesediaan rakyat berhimpun dengan mereka dalam usaha menjatuhkan sesuatu kuasa atau regim bererti rakyat bersedia untuk menerima acuan 'Islamic State' yang mereka perjuangkan. Andaian yang kurang tepat.

Hari ini di Mesir, selepas kejatuhan Mubarak, Ikhwanul Muslimin masih gagal mencari kata sepakat dengan banyak gerakan lain. Kebimbangan sebahagian rakyat terhadap kewujudan 'Islam State' menjadi penghalang untuk menerima Ikhwanul Muslimin mengepalai mereka. Sangkaan bahawa rakyat yang bersolat dan bertakbir di Medan Tahrir, Kaherah pada hari revolusi lepas melambangkan persetujuan menerima 'Islamic State' adalah andaian yang salah.

Seminar yang cuba memperjuangkan hak golongan GLBT ini. Saya ingin mendengar apakah idea mereka ini. Hakikatnya di Barat pun mereka tidak begitu diterima dan terpaksa merintih nasib. Inikan pula di negara muslim seperti Malaysia.

Menariknya, pembentang dalam seminar tersebut juga mendakwa mereka (golongan GLBT) mempunyai sumbangan semasa perjuangan revolusi Mesir di Medan Tahrir baru-baru ini. Saya tidak pasti sejauh manakah benar dakwaannya. Cumanya yang pasti semua pihak bergabung untuk menjatuhkan regim Mubarak.

Saya teringatkan sahabat saya Muhammad Benaissa, bekas Menteri Luar Morocco –saya pernah cerita dalam artikel yang lepas- yang pernah turut menjadi fellow di OCIS, Oxford ini. Beliau telah kembali ke negaranya. Memang liberal pemikirannya.

Beliau berkata bahawa kembalinya manusia ke masjid dan melaungkan seruan agama ketika menghadapi sesuatu regim tidaklah bermaksud mereka mahukan 'Islamic State'. Hanya tabiat manusia apabila suara dan hak mereka disekat, tiada jalan yang tinggal, maka mereka akan memanggil Tuhan.
Itulah pendapat beliau. Ada kebenarannya, walaupun sebenarnya ada yang benar-benar mahukan 'Islamic State'. Ada pula yang hanya mengadu kepada Tuhan tanpa mempunyai sebarang hasrat tentang Negara Islam. Mereka hanya mahukan hak dan keadilan. Hanya Tuhan yang sudi mendengar setelah pemerintah begitu 'ketegar'.

Apa Bezanya?

Rakyat muslim secara umumnya mahukan asas Islam dipegang dalam sesebuah negara. Asas itu merujuk kepada perintah-perintah Allah yang wajib diamalkan oleh seorang muslim seperti amanah, berperaturan, berprinsip, menghormati hak orang lain, terurus dan seumpamanya.
Ini kerana kerosakan negara-negara umat Islam adalah disebabkan hilangnya ciri-ciri mulia dalam diri pemimpin. Rasuah, salah urus, tidak maju ke hadapan, tidak berwawasan, tidak menghormati hak rakyat dan seumpamanya adalah racun yang telah memusnahkan negara-negara umat Islam.

Sebagai muslim, kita tahu hal ini bercanggah dengan perintah ajaran Allah dan rasulNya. Maka kewajipan berpegang kepada Islam bagi kepemimpinan sesebuah negara dalam kerangka ini disepakati oleh hampir semua pihak.

Namun, apabila hasrat mengujudkan 'Islamic State' atau Negara Islam itu dilaungkan, maka rakyat akan mempunyai tafsiran yang pelbagai. Ini bukan semestinya menunjukkan mereka menentang Islam, tetapi mereka keliru apakah sebenarnya 'Islamic State' itu? Sebabnya, wajah 'Islamic State' itu telah diconteng oleh banyak pihak. Media Barat dan juga sikap para pejuang Negara Islam itu sendiri.

Taliban umpamanya telah mengujudkan Negara Islam dalam satu tempoh yang telah memberikan kesan yang negative tentang kebebasan rakyat dan hak-hak wanita. Iran sebelum itu sehingga kini telah menakutkan dunia. Ribuan cerdik pandai Iran terpaksa melarikan diri kerana ancaman regim Tehran. Penjara dan pembunuhan adalah perkara biasa di Iran. 'Brain drain' menjadi satu masalah kepada negara tersebut. Padahal negara itu mempunyai ramai bijak pandai.

Dua orang rakan saya yang berbangsa Iran. Seorang menetap di US dan masih boleh pulang ke Iran. Sementara seorang lagi diharamkan pulang ke Iran.

Dua orang jiran yang menjadi sahabat saya di Oxford ini merupakan dua cendiakawan Iran. Seorang pakar mysticism dan seorang pula musician. Pakar mysticism ini tinggal di Amerika dan masih dizinkan balik ke Iran. Saya sering berbincang tentang bidang kepakarannya iaitu 'Ibn Arabi'. Beliau baru sahaja menghasilkan karya 'Method and Mysticism' yang dihadiahkan senaskah untuk saya.
Sementara seorang lagi, Dr Mirdad yang pada zaman mudanya merupakan seorang pejuang ketika di universiti di Iran. Beliau bersama ratusan ribu yang lain membantu revolusi menumbangkan Shah Iran. Namun, apabila kerajaan baru dibentuk, demokrasi terus dinafikan atas nama agama, beliau dan rakan-rakannya memprotes kerajaan. Hasilnya, ramai yang dibunuh. Beliau sempat menyelamatkan diri lari ke beberapa negara dan akhirnya kini menetap di Sweden. Sudah hampir 30 tahun meninggalkan negaranya dan diharamkan pulang.

Demikian tokoh cendiakawan agamawa Iran seperti Mohsen Kadivar diharamkan pulang. Mohsen Kadivar mempunyai website dan artikel-artikel menarik seperti Wilayat al-Faqih and Democracy.

Negara Islam yang menjadi impian untuk keadilan, hak dan kesaksamaan telah menjadi negara mullah yang turut menafikan hak yang diidami rakyat. Hanya menukar kuasa dari yang ber'coat' kepada yang berserban atau berlebai, namun keadilan dan hak terus terabai. Lebih malang lagi, kekerasan dan penafian hak itu atas nama Tuhan dalam perkara yang Tuhan tidak nyatakan pun.

Wajah Negara Islam itu mengelirukan banyak pihak, apatahlagi apabila ada yang cuba menggambarkannya sebagai negara hukum yang memotong tangan, merejam wanita, memancung kepala, mengharamkan itu dan ini, mengharamkan media, mengharamkan internet, mengharamkan pendapat yang tidak sama dengan kerajaan dan 'mazhab' kerajaan dan seterusnya. Tanpa terlebih dahulu menggambarkan wajah rahmat Islam yang lebih luas yang mengatasi segala unsur hukuman yang bersifat terpencil itu.
Tuhan dalam sesetengah gambaran pejuang Islamic State adalah tuhan yang penuh bengis dan garang. Sedangkan Tuhan yang dikenali oleh muslim adalah Tuhan yang berfirman tentang diriNYA:

"Sesungguhnya rahmatKU mendahului kemurkaanKU" (Riwayat al-Bukhari).

Rakyat tidak menolak Islam, tetapi mereka mungkin ragu-ragu dengan model Negara Islam yang hendak ditegakkan oleh sesetengah pihak. Mereka tidak ragu dengan Tuhan, tetapi mereka ragu dengan tafsiran kehendak Tuhan yang buat. Apatahlagi apabila kelompok agama itu sering memilih pendapat yang paling sukar untuk dilaksanakan.
Dalam menafsirkan hukum-hukum yang bersifat zanni (mempunyai lebih dari satu tafsiran) ada kecenderungan sesetengah pejuang Negara Islam memilih pendapat yang mungkin menjadi ketakutan kepada sesetengah pihak. Umpamanya, dalam Mazhab Shafie dan beberapa mazhab yang lain; seorang muslim yang membunuh non-muslim, tidak boleh dihukum qisas (bunuh balas). Ini berbeza dengan Mazhab Hanafi.
Begitu juga dalam Mazhab Shafie dan beberapa mazhab yang lain pampasan untuk mangsa non-muslim yang dibunuh hendaklah kurang dari kadar yang dibayar kepada muslim. Juga pandangan dalam mazhab bahawa Kristian dan Yahudi yang menukar agama mereka kepada agama selain Islam boleh diambil tindakan dengan dibuang negara dan seumpamanya.

Demikian juga pandangan dalam kalangan sarjana silam bahawa bukan muslim tidak boleh membina rumah lebih besar dari rumah muslim ataupun menaiki kenderaan dalam kawasan muslim. Pandangan-pandangan seperti ini adalah tafsiran kepada politik di zaman tersebut dalam kerangka yang tertentu. Sekalipun ada hadis yang berkaitan, namun teks dan konteks hadis hendaklah disemak.

Disebabkan kecenderungan memilih 'jalur keras' dan literal dalam memahami nas-nas politik dalam Islam, maka ada tokoh-tokoh gerakan Islam menampilkan pandangan-pandangan yang dianggap terkeluar konteks politik kerangka hari ini. Ini menyebabkan generasi baru, sekali pun bertudung dan bernasyid, belum tentu bersetuju dengan Negara Islam model tersebut. Menolak Negara Islam yang ditafsirkan oleh sesuatu pihak, bukan semestinya menolak Islam.
Seseorang dikira menolak Islam apabila membantah sesuatu nas yang jelas dari al-Quran dan as-Sunnah. Nas yang tidak mungkin mempunyai lebih dari satu tafsiran seperti haramnya arak, judi, zina, homoseks, riba, rasuah, pecah amanah, bunuh dan seumpamanya. Adapun nas yang terdedah kepada pelbagai tafsiran, jika seseorang menolak salah satu tafsiran ulama, bukanlah bererti menolak Islam.
Hal ini hendaklah difahami. Jika tidak, semua muslim akan terdiri dari kalangan yang menolak Islam. Ini kerana dalam ribuan hukum, yang mempunyai ribuan tafsiran, setiap orang akan memilih tafsiran tertentu. Mereka yang bermazhab Shafie, secara tidak langsung menolak pandangan mazhab-mazhab yang lain. Begitulah sebaliknya.
Maka, menolak sesuatu tafsiran tentang Negara Islam atau Islamic State, bukan semestinya menolak Islam. Namun, jika atas factor benci atau tidak setuju dengan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah itu sendiri, lalu menolak Negara Islam, maka dia memang menolak Islam.

Hari ini di Barat, Turki nampaknya disanjung. Ramai yang memuji Negara Islam moden yang cuba dibuat oleh Turki. Itupun satu lagi tafsiran Negara Islam. Ya,ramai yang memuji Negara Islam model Turki. Jika seseorang memilih Negara Islam model Turki dan menolak model Iran atau Taliban, itu juga satu tafsiran yang perlukan perincian.
Apa yang penting gerakan Islam hendaklah mewujudkan sebuah negara yang tidak menyanggahi al-Quran dan as-Sunnah dan memenuhi inspirasi rakyat di era ini. Peduli apa pun namanya!

Pindaan AUKU? Jangan Cepat Gembira

Posted: 24 Nov 2011 01:34 AM PST

Kerajaan Akan Pinda AUKU Benarkan Mahasiswa Sertai Politik
-Al-Kamarolzaman Abd Latiff

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Kerajaan akan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membolehkan pelajar yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu semasa membentangkan usul memansuhkan Proklamasi Darurat pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

"Di atas segalanya, kerajaan percaya kepada kematangan dan kebijaksanan para mahasiswa.

"Dengan itu bagi menghormati hak Perlembagaan mahasiswa dan mahasiswi negara yang telah mencapai umur baligh undang-undang atau 'age of majority', kerajaan akan pinda Seksyen 15 AUKU 1974 bagi membenarkan mereka menjadi ahli parti politik," katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan pelajar universiti ditegah sama sekali membawa politik kepartian ke dalam kampus.

Najib berkata kerajaan juga akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor tahun lepas.

Katanya keputusan tersebut menpunyai implikasi terhadap prinsip undang-undang negara.

Mahkamah Rayuan baru-baru ini memutuskan Seksyen 15 akta tersebut yang melarang pelajar universiti berpolitik adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kerabu: Pindaan yang akan memihak kepada Umno dibuat. Jangan cepat tertipu dengan erti kebebasan dari kacamata Umno sebuah parti zalim!

UMNO hendak berbaik-baik dengan semua orang? - baguslah begitu walaupun agak terlewat.

Posted: 24 Nov 2011 01:28 AM PST


UMNO hendak berbaik-baik dengan semua orang? - baguslah begitu walaupun agak terlewat.

Beberapa pemimpin UMNO berkata yang parti itu mesti berbaik-baik dengan semua pihak tanpa mengira siapa untuk mendapatkan undi dalam pilihanraya yang akan datang. Beberapa orang pemimpin peringkat majlis tertinggi parti berkata UMNO tidak boleh mengasingkan mana-mana pihak. Yang penting parti itu mendapat undi dan menang pilihanraya. Itulah di antara kata-kata pemimpin seperti Abd Rahman Dahalan, Bung Mokhtar, serta Idris Haron dan beberapa orang yang lain.

Semua yang memberikan komen ini menyatakan perkara yang satu, iaitu untuk mendapat undi. UMNO itu wujud seolah-olah hanya untuk mendapat undi maka itu sebabnya pemimpin-pemimpinnya harus berbaik-baik dengan semua orang tanpa mengira kaum, agama, adat resam dan budaya.

Betullah pandangan mereka ini. Tetapi UMNO tidak gemar pula apabila PAS berbaik-baik dengan DAP atau PKR. Nampaknya yang boleh berbaik-baik dengan semua orang hanyalah UMNO kerana UMNO sahaja yang patut mendapat undi. Kalau PAS berbaik-baik dengan DAP itu salah. Kalau UMNO berbaik dengan MCA itu salah dan meninggalkan perjuangan untuk Melayu dan Islam.

Dalam negara kita demokrasi ini agak pelik kerana masing-masing parti bercakap berbeza dengan siapa pemimpin mereka bercakap. MCA dan pemimpin utamanya Chua Soi Lek bercakap seolah-olah kita semua ini adalah rakyat yang bodoh dan belum lagi mengenali apa itu sekolah.

CSL memberi amaran yang rakyat jangan menyokong DAP kerana DAP tidak menyokong hukum hudud. Tetapi setakat yang semua tahu MCA lah yang menempelak PAS dengan kuat kerana PAS pernah membuat penekanan terhadap pelaksanaan hukum hudud. Tetapi CSL semalam berkata dengan jelas di genting highlands yang semua kemudahan perjudian akan di hapuskan jika PR mendapat tempat dan mandat dari rakyat dalam pilihanraya yang lalu.

Inilah caranya MCA selama ini berkempen tetapi sekarang taktik dan cara itu sudah tidak dipakai lagi kerana rakyat sedar yang masing-masing parti atau individu rakyat mesti menghormati di antara kaum dalam negara ini.

Rakyat tidak lagi termakan hasutan pemimpin-pemimpin yang terdesak seperti MCA itu. Lagi kita nampakan 'desperation' kita lagi jauh rakyat meninggalkan kita. MCA memang sedang dalam keadaan terdesak. Parti atau pihak yang terdesak selalunya akan melakukan perkara-perkara yang pelik-pelik.

Itulah sebabnya ramai pemimpin-pemimpin dunia bertukar menjadi diktator apabila merasakan yang mereka tidak mampu untuk bertahan di dalam sistem demokrasi negara mereka. Seseorang yang mengambil demokrasi sebagai wadah perjuangan dan pentadbirannya mereka selalunya mengambil penampilan populis. Tetapi penampilan populis ini ada had kepada sokongan rakyat terhadap mereka.

Ramai di antara pemimpin yang mempunyai semangat demokrasi yang tinggi selalunya akan meninggalkan jawatan mereka sebelum mereka menghadapi tekanan ini. Tetapi bagi mereka yang masih bernafsu untuk berkuasa mereka terpaksa melakukan legislation yang ketat terhadap rakyat dan secara beransur-ansur mereka menjadi diktator.

Dalam proses penerusan pentadbiran diktator atau demokrasi yang ala diktator itu berbagai-bagai cara dilakukan untuk menekan dan memaksa rakyat memberikan sokongan kepada mereka.

Di negara kita kerajaan dipilih melalui proses pilihanraya walaupun perlaksanaan demokrasi itu tidak berada di atas 'level playing field' dan hanya memberi 'advantage' kepada pihak yang memerintah.

Saluran TV perdana digunakan oleh pihak yang memerintah untuk mengutuk dan menekan pembangkang dan pihak pembangkang tidak diberikan masa yang secukupnya untuk menyampaikan message kepada rakyat. Pembangkang terpaksa berhempas pulas untuk mendekati rakyat dan ini merupakan satu pelacuran terhadap semangat demokrasi yangsebenar.

Seperti yang saya nyatakan tadi populariti seseorang pemimpin itu adalah terhad masanya dan selalunya pemimpin yang sedang memerintah akan dikalahkan apabila pemimpin itu susut sokongan dari rakyat ramai. Itulah yang berlaku terhadap Dr Mahathir kerana beliau sudah tidak mendapat sokongan bulat dari rakyat dan khususnya dari ahli UMNO suatu ketika dahulu.

Dr M hampir tertewas dalam pemilihan pucuk pimpinan parti dalam pertandingan bagi jawatan presiden UMNO pada tahun 1987 dahulu. Dari segi hakikinya Dr M sudah tidak mendapat sokongan padu dan banyak pemimpin negara demokrasi akan mengambil semangat demokrasi itu dan meletakan jawatan.

Margaret Thatcher tidak kalah dalam pemilihan pucuk pimpinan Consevative apabila Hasseltine menandingi beliau. Tetapi oleh kerana kemenangan Thatcher itu tipis maka Thatcher meletakan jawatan dan itulah lorong yang luas yang membolehkan John Major mangambil alih tempat beliau sebagai PM Britain.

Mahathir mengambil sikap tidak mahu berhenti malah beliau mengambil tindakan menekan pemimpin-pemimpin yang beliau rasa akan menggugat beliau kerana mahu terus menjadi orang yang berkuasa di negara ini.

Beliau mengambil kesempatan di atas tindakan sebahagian ahli UMNO di mahkamah dengan membiarkan UMNO di haramkan dan dengan cepat menubuhkan UMNO baru. Tunku Abdul Rahman, Husein Onn serta ramai lagi pemimpin asal UMNO meninggal dunia semasa mereka berada di luar UMNO.

Dengan penubuhan UMNO baru itulah Mahathir memperkuatkan dirinya dan tidak mahu lagi sesiapa menyaingi beliau dalam kepimpinan UMNO. Maka dari saat itulah timbul mereka yang lemah-lemah untuk mengganti beliau semasa beliau turun dari kuasa, termasuklah Pak Lah dan Najib yang ada pada hari ini.

Kelemahan kepimpinan dalam UMNO ini jugalah menjadi rungutan Dr Mahathir pada hari ini tetapi beliau tidak mahu mengakui yang segala-gala kelemahan ini terbit dari tindakan beliau yang hanya memikirkan kekuatan peribadi beliau sahaja dari kekuatan parti pimpinannya. Apa yang Mahathir mahukan semasa beliau berkuasa ialah 'yes men' yang sanggup memberikan 'amusement' peribadi kepada beliau.

Sejak dari itu berpusu-pusulah ahli-ahli UMNO yang tidak sepatutnya menjadi pemimpin timbul sebagai pemimpin dengan hanya menggunakan kuasa wang mereka dan ampuan mereka yang kuat terhadap pemimpin yang merasakan dirinya sudah tidak mendapat sokongan lagi. Budaya itu hidup mekar sampai kehari ini.

UMNO seperti yang diakui oleh Dr Mahathir di dalam wawancara beliau dengan Utusan hari minggu yang lepas hanya mampu mengumpulkan ramai pemimpin yang lemah dan keliru tentang perjuangan parti mereka. Dr Mahathir mempunyai saham yang sangat besar di dalam membentuk UMNO yang lemah pada hari ini.

Dalam wawancara Dr M dengan Utusan pada hari minggu lepas saya nampak apa yang beliau perkatakan itu hampir lengkap. Untuk melengkapkannya Dr M sepatutnya berkata lebih kurang begini, "semasa saya menjadi presiden UMNO dan PM saya telah membuang pemimpin-pemimpin yang saya anggap boleh menyaingi saya secara sistematik. Saya tidak suka kepada siapa yang saya anggap boleh mencabar saya. Maka saya hanya ambil mereka yang boleh mendengar kata. Rupa-rupanya negara akhirnya hilang kepimpinan kerana yang berwiba itu telah saya ketepikan dari awal secara beransur-ansur.

Barulah lengkap wawancara itu dan barulah dapat kita tahu kenapa UMNO dan negara sudah hilang kepimpinan sehinggakan rakyat sudah menolak UMNO itu sebagai sebuah parti yang mempunyai 'attribute' sebagai parti pemerintah.

Apabila kita faham ini tidak payahlah lagi penyokong-penyokong UMNO melatah dan memaki hamun pembangkang dengan kata-kata nesta yang hanya keluar dari orang-orang yang kurang temaddunnya.

Aspan Alias Blog

Menutup bangkai penyelewengan dengan isu perkauman – Oleh Fairuz Azhan

Posted: 24 Nov 2011 01:19 AM PST


24 NOVEMBER – Kementerian Kesihatan telah pun mengarahkan semua sos tiram jenama Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) ditarik balik kerana ia berbahaya kepada kesihatan dan melanggar Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Ini membuktikan kesahihan penemuan oleh Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang menyatakan sos tiram itu adalah satu daripada tujuh barangan yang melanggar akta berkenaan.

Siasatan Pua mendapati label sos tiram keluaran syarikat lain menggunakan ekstrak tiram sedangkan produk di KR1M dibuat daripada perisa tiram yang sangat kurang protein dalam bahannya.

Adakah pihak-pihak yang mengecam dan mengutuk Pua serta para pemimpin Pakatan Rakyat lain yang telah mendedahkan kepincangan barangan dan iklan KR1M yang telah mengelirukan pengguna?

Sudah tentu tidak. Apabila disemak melalui internet, rata-rata hasil cariannya akan menjurus ke arah laman-laman web pecacai siber UMNO yang tetap menegakkan benang yang sabah. Malah bahasa kurang ajar mereka semakin menjadi-jadi.

Bahan makanan berbahaya dijadikan isu perkauman

Mereka cuba mempertahankan pengendali monopoli KR1M, iaitu Mydin, dengan kata-kata "DAPig ni dengki dengan orang Melayu!", "Orang Cina tak habis habis nak dengki dengan perniagaan Melayu!", "Nurul Izzah bodoh, ikut telunjuk Tony Puaka". Ini sekadar beberapa komen dan analisis para bijak pandai di kalangan mereka yang tegar menyokong UMNO yang tidak lucah untuk siaran rencana ini.

Golongan ini percaya bulat-bulat apa yang disampaikan pemimpin parti mereka yang bagaikan maksum, tanpa mempedulikan kesan produk dan bahan makanan yang berbahaya kepada kesihatan, yang mungkin menjejaskan diri dan keluarga mereka sendiri. Kecualilah, jika mereka sendiri membeli-belah di Carrefour, Giant atau Tesco.

Politik mereka yang sudah jauh terbenam dalam kemelut perkauman menjadikan golongan itu seperti buta kepada isu yang sebenar, ia merupakan masalah ketulusan, ketelusan, keselamatan dan kesihatan rakyat.

Amat memalukan, malah mendukacitakan apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri cuba menutup kelemahan kerajaan dengan menjadikannya isu perkauman.

Dalam tulisannya di Facebook dan Twitter, beliau mendakwa: "tony phua DAP ni masih tk habis2 menfitnah KRIM… jelas agenda DAP yg ingin menguburkan KRIM yg rata2 supplier nya terdiri dari IKS bumiputra. Rata2 pembeli nya terdiri dari gol berpendapatan rendah bumiputra. Mydin pun bumiputra. malangnya ada bumiputra spt nurul izah & zulkifli 'menyalak' bagi pihak DAP"

Trend menolak kebenaran

Ini bagaikan sudah menjadi trend pemimpin UMNO masa kini. Kalau ada sebarang skandal di mana rakyat dipermainkan dan wang rakyat disalahgunakan, mereka cepat-cepat menuding jari, "ini serangan terhadap UMNO!".

Kalau berlaku rasuah, ia dipertahankan dengan kata-kata keramat, "jangan dengki dengan dengan orang Melayu!". Ia sungguh menjijikkan bahawa segala isu di negara kita, mereka mahu sempitkan ke arah isu kaum dan agama.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyaraka Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang terpalit dengan skandal lembu NFC, walau pun tidak membawanya sebagai isu perkauman, tetap cuba bersembunyi di sebalik kenyataan, "ia adalah serangan terhadap Wanita UMNO". Tidak pasti pula sama ada ratusan juta wang rakyat yang diberi kepada keluarganya untuk menternak lembu tetapi digunakan untuk membeli kondominium mewah itu ada kena-mengena dengan perjuangan Wanita UMNO.

Dalam isu KR1M yang kadangkala dilihat sebagai Kedai rakyat 1Maydin, Pua dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah telah membongkar kepincangan program yang disubsidi oleh wang rakyat itu, termasuk status produk yang tidak menepati perihal dagangan dan kesihatan serta harga sesetengah barang di kedai tersebut lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Ini bertentangan dengan tujuan KR1M yang disubsidi demi menjamin harga yang paling murah dipasaran. Bukankah rakyat berhak diberi penjelasan tanpa perlu melibatkan soal kaum? Atau mungkin kerajaan UMNO dan Barisan Nasional merasakan tidak apa untuk menipu golongan berpendapatan rendah, khususnya orang Melayu.

Kuman dan penyakit tidak mengenal parti

Tetapi yang lagi penting ialah pendedahan pemimpin-pemimpin PR tehadap isu ini ialah kajian yang menunjukkan bahawa ada barangan di KR1M yang tidak selamat dan membahayakan kesihatan pengguna.

Walau pun Kementerian Kesihatan telah menolak kajian bahawa ada produk susu di kedai KR1M mengandung 8 kali ganda vitamin A lebih banyak daripada paras yang selamat serta terdapat juga susu yang mengandungi bakteria E.Coli, ramai pengguna mula sangsi dengan tindakan dan amalan kerajaan BN yang semakin sukar dipercayai.

Ini bukannya propaganda ciptaan UMNO-BN di mana semua benda adalah rekaan semata-mata. Ia sudah terbukti bahawa barangan bahaya dan tiada standard di KR1M boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Ini bukan soal politik, kaum atau agama. Kuman tidak mengenal mangsa. Penyakit tidak peduli siapa ahli UMNO, MCA, MIC, DAP, PAS atau PKR. Mungkin kerana kebanyakan keluarga menteri dan pemimpin UMNO tidak membeli barangan di KR1M, maka itu tidak menjadi masalah besar kepada mereka dan sanak-saudara serta keluarga mereka.

Jelas sekali, demi permainan politik, rakyat miskin menjadi mangsa. Selama kita berada di bawah telunjuk UMNO-BN, hanya polemik perkauman sempit sahaja akan terus dimainkan tanpa memikirkan nasib dan kesihatan rakyat. – Roketkini.

Laman Blog Najib Digodam? Rais Yatim Cakr ap Besar

Posted: 23 Nov 2011 10:45 PM PST

LAMAN web 1 Malaysia milik perdana menteri hari ini digodam "hacked" oleh individu yang dipercayai warga Indonesia. Hal itu disedari sebentar tadi menyaksikan laman web peribadi Najib Tun Razak itu memaparkan latar belakang hitam dengan mesej ringkas ditinggalkan oleh penggodam.

Antara mesej yang ditinggalkan ialah "this site has been hacked by Tofan Batam" serta logo besar bertulis "Darkness Batam".

Sebelum ini beberapa laman web Malaysia turut digodam (hacked) oleh hacker yang dipercayai dari Indonesia difahamkan kerana tidak berpuas hati dengan kekalahan pasukan bola sepak Indonesia ke atas Malaysia.

Anda boleh layari laman web memanda menteri seperti tertera di bawah:

http://www.1malaysia.com.my/"

Mana Rais Yatim? Blogger Tukae Yiub mesti senyum bila dengar nama tu.

Perutusan Tuan Guru Nik Aziz

Posted: 23 Nov 2011 09:08 PM PST

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

بسم الله الرحمن الرحيم

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Yang bermaksud : Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

– Surah al-Nisa' ayat 100

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesykuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana taufik dan inayahNya, kita masih diberikan peluang untuk terus hidup melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah pada saat ini. Semoga dengan pertambahan umur yang dikurniakan oleh Allah SWT ini memberikan kita ruang untuk terus menambahkan ibadat dan memperkasakan perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah SWT.

Sesungguhnya, menyambut ulang tahun Hijratur-Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan. Sambutan Hijratur-Rasul ini sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah. Hakikatnya, Hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada awal tahun dan tidak berlaku pada bulan Muharram.

Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mula keluar dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Baginda keluar dari Mekkah bersama-sama dengan sahabat baginda yang paling setia Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a setelah mendapat perintah dari Allah s.w.t agar bersama-sama dengan umat Islam di kota Madinah. Rasulullah s.a.w tiba di kota Madinah dan mula menetap di sana pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal. Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan calendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA.

Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada'? Jawabnya ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara.

Pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara. Sebagaimana umat Islam diwajibkan untuk mengerjakak solat lima kali sehari, berpuasa selama sebulan dalam satu tahun dan mengerjakan haji sekali sepanjang hidup, demikianlah juga diperintahkan agar bernegara dan melaksanakan undang-undang menurut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kita tidak rela jika pembangunan fizikal pesat berlaku namun dalam masa yang sama kita menyaksikan runtuhnya nilai-nilai agama dan jauhnya manusia daripada Allah SWT. Alangkah ruginya hidup manusia jika hanya mendapat kemegahan, kemewahan dan kekayaan di dunia semata-mata namun di akhirat dilemparkan Allah SWT ke tempat yang buruk iaitu neraka hanya kerana enggan tunduk patuh kepada Allah SWT. Justeru, PAS mendidik rakyat agar kenal batasan iman dan kufur, batasan syurga dan neraka serta batasan pahala dan dosa, agar tidak berlaku penolakan terhadap mana-mana perintah Allah SWT. Ini kerana iman sifatnya ialah syumul. Menolak satu cabang iman bererti menolak keseluruhan iman itu sendiri.

Dari aspek yang lain, hijrah juga mengajar umat Islam agar berstrategi dalam apa jua langkah dan gerak kerja. Bagaimana kita melihat Rasulullah SAW mengatur strategi yang cukup teratur di dalam berhijrah, demikianlah juga wajib untuk kita mengatur strategi dan mempunyai perancangan yang tersusun di dalam memastikan gerak kerja yang dilakukan berkesan dan berjaya.

Strategi Rasulullah SAW dapat dilihat apabila baginda datang ke rumah Saidina Abu Bakr as-Siddiq pada waktu siang hari iaitu waktu yang tidak akan dijangka dipilih untuk keluar dari Mekah. Baginda juga mengupah Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik menunjukkan jalan dan ini mengajar bagaimana harusnya bekerjasama dengan non muslim dalam urusan yang boleh mendatangkan faedah kepada Islam.

Baginda juga memilih untuk berlindung di dalam Gua Thur yang bukannya terletak di pertengahan jalan menuju ke Madinah dengan tujuan untuk mengelirukan kaum musyrikin. Nyata sekali semua strategi yang diatur oleh baginda Rasulullah SAW ini berjaya mengeluarkan baginda dari kota Makkah dan menuju ke Madinah dengan selamat. Justeru, apabila kita menyambut peristiwa Hijratur Rasul pada hari ini, kita sebenarnya menyambut peristiwa fatonah atau kecerdikan baginda.

Pada zaman kita hari ini, pengurusan hidup hendaklah bersendikan fatonah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Fatonah ini pula hendaklah disertakan dengan amanah. Fatonah tanpa amanah akan melahirkan generasi yang punah iaitu generasi yang cerdik tetapi jauh dari Allah SWT. Hari ini, kita melihat setiap hari didedahkan pelbagai skandal dalam pengurusan wang samada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai.

Laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat. Ketirisan ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat jelata. Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan penyelewengan? Tidak lain melainkan hanyalah kerana manusia tidak mampu dikawal oleh undang-undang manusia.

Yang mampu memagari manusia dari melakukan perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah SWT. Inilah misi PAS di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihanraya untuk mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT. Di Kelantan, kita menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi, larangan penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti takaful kifalah, skim armalah, skim al-it'am dan sebagainya semuanya bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi dan ukhrawi.

Hijrah juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dipakaikan dengan alat kebesaran raja Parsi sedangkan baginda sedang di dalam perjalanan menuju ke Madinah. Janji tersebut nyata sekali menjadi kenyataan selepas kewafatan baginda iaitu pada saat kejatuhan kerajaan Parsi pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA. Oleh yang demikian, pada saat dunia kelam pekat diselubungi gelap sekular, yakinlah, jahiliyyah pasti akan tumbang, dan Islam pasti akan tertegak juga di bumi Allah SWT ini.

Insya-allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta. Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

al-Mursyidul Am

Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh : 28 Zulhijjah 1433H bersamaan 24 November 1433H

Apa Nak Jadi Dengan Umat Malaysia?

Posted: 23 Nov 2011 06:55 PM PST

Apa nak jadi dengan umat islam Malaysia sekarang?

Dalam akhbar Harian Metro seramai 20 manusia mak nyak menyertai pertunjukan fesyen 'Pink Tiffany' yang diadakan di Sabah.

Mereka yang menganjurkan pertunjukkan ini dengan berani mencabar undang-undang Agama Islam. Mengapa mereka jadi berani?

Umat Islam sekarang semakin melampau di Malaysia. Pihak yang bertanggungjawab dok sibuk dengan menyekat mereka yang ingin berdakwah dengan pelbagai sekatan dan tahanan. Kononya mengawal golongan ustaz-ustaz dari memberi ajaran yang salah.

Pilih la pemimpin yang 'gila'kan agama, insya allah kita selamat.

Fikir-fikirkan lah untuk kebaikan masa depan.

Tiada ulasan: