Kerabu Bersuara ® |
- TITAH UCAPAN HARI KEPUTERAAN SULTAN MUHAMMAD KE-V
- Pimpinan PR Selangor Muafakat Selesai Isu Kontroversi Secara Berhemah
- Panglima Angkatan Tentera Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran Kelantan
TITAH UCAPAN HARI KEPUTERAAN SULTAN MUHAMMAD KE-V Posted: 11 Nov 2011 06:44 PM PST TITAH UCAPAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN MUHAMMAD KE-V DI MAJLIS SINGGAHSANA PADA 12 NOVEMBER 2011M BERSAMAAN 16 ZULHIJJAH 1432H DI ISTANA BALAI BESAR, KOTA BHARU, KELANTAN Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir rahmanir rahim. Sesungguhnya segala pujian, sanjungan dan kesyukuran dirafak ke hadrat Allah SWT, Tuhan pentadbir seluruh alam, memiliki tampuk kekuasaan yang mutlak yang mengurniakan sedikit kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan akan menarik balik kekuasaan daripada sesiapa yang Dia kehendakinya dan menghinakan sesiapa yang Dia kehendakinya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, utusan Allah yang menjadi pemimpin agung ditampilkan bagi meratakan rahmat agama Islam ke seluruh alam. Dipohonkan semoga rahmat dan kesejahteraan terus mengalir kepada setiap keluarga Baginda dan para sahabatnya dan para pengikutnya hingga ke akhir zaman. Alhamdulillah, beta merafak setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas limpah rahmat dan kurnia-Nya beta sentiasa berada di dalam kandungan sihat wal'afiat dan sejahtera. Beta dengan sukacitanya ingin menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerabat-kerabat diraja, menteri besar yang telah mewakili pihak kerajaan negeri dan rakyat jelata sekalian di atas persembahan ucapan tahniah dan ikrar taat setia sebentar tadi. Sesungguhnya sembah ucapan dan ikrar taat setia yang dipersembahkan kepada beta sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan beta adalah suatu pernyataan jujur sebagai menjunjung institusi raja berperlembagaan dan sebagai simbolik kepada hubungan yang erat dan mendalam di antara institusi beraja dan rakyat jelata yang sentiasa kasih-mengasihi yang diwarisi turun temurun oleh rakyat beta. Beta mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakyat jelata yang telah menumpahkan taat setia, menunjukkan kasih sayang ke hadapan beta. Beta dengan hati yang gembira dan sukacita mengalu-alukan kedatangan dan kehadiran para tetamu beta dari dalam dan luar negara. Beta mendapat maklum bahawa tetamu-tetamu beta telah memberi komitmen yang tinggi semata-mata untuk sama-sama memeriah dan menyerigemilangkan lagi sambutan ulang tahun hari keputeraan beta yang julung kali diadakan pada tahun ini. Beta berharap semua tetamu beta berada di dalam keselesaan sepanjang berada di sini dan semoga selamat nanti dalam perjalanan kembali ke destinasi masing-masing. Beta bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat hidup dalam iklim negeri Kelantan yang mendapat nama jolokan "Serambi Mekah" yang rakyatnya sejak sekian lama mewujudkan jalinan perhubungan yang erat dan mesra antara institusi beraja dengan rakyat jelata. Meskipun demikian, beta ingin mengingatkan rakyat dan masyarakat di segenap lapisan agar sentiasa berwaspada, berhati-hati, peka terhadap kemunculan iklim yang tidak sihat yang dicetuskan oleh anasir-anasir anti-establishment dalam masyarakat yang cuba mengubah landskap kehidupan harmoni dan damai dengan menampilkan sikap buat-buat lupa fakta sejarah "kontrak sosial" yang telah dipersetujui bersama dengan mencetuskan isu-isu berkaitan agama Islam, mencabar kewibawaan raja-raja, kedudukan bahasa Melayu dan banyak lagi sebagai modal untuk meraih kepentingan diri dan kumpulan. Beta berseru kepada semua pihak hentikanlah daripada bermain api, sikap provokasi yang boleh mencetuskan gelora keadaan dan suasana yang tidak tenteram dalam masyarakat dan negara. Sebagaimana kita sedia maklum, dunia terus mengalami perubahan iklim tidak menentu yang mengakibatkan pemanasan global dan mala petaka seperti gempa bumi, banjir dan kemarau serta taufan. Kesan yang paling awal yang akan dapat dilihat ialah kemerosotan pengeluaran hasil makanan. Pertumbuhan ekonomi global yang lemah dan muram pada tahun ini berbanding tahun lepas turut memberi kesan yang tidak baik kepada ekonomi dunia. Krisis hutang negara-negara di Eropah menimbulkan risiko penurunan terhadap kestabilan kewangan dunia dan pemulihan ekonomi di negara maju terus perlahan dan lembab. Inflasi juga semakin meningkat dan merupakan cabaran besar kepada banyak negara. Semua fenomena ini memberi implikasi kepada ekonomi negara dan negeri ini. Kesan tersebut sudah tentu dirasai oleh rakyat negeri ini. Oleh itu, marilah kita semua menggemblengkan tenaga bekerjasama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dicapai pada kadar yang baik. Semua pihak perlu bangkit mencapai pendekatan dan penyelesaian yang inovatif ke arah meningkatkan momentum pertumbuhan dan mengekalkan kesejahteraan rakyat. Beta berharap agar sektor pertanian, penternakan dan perikanan memainkan peranan yang lebih berkesan, peka kepada perkembangan teknologi terkini, mesra alam dan lestari. Aktiviti pertanian juga perlu meneroka pendekatan yang terkini seperti pertanian agronomik. Pembangunan infrastruktur pertanian seperti jalan dan sistem pengairan perlulah dipertingkatkan untuk memastikan hasil pertanian yang optimum. Tanah-tanah terbiar juga perlulah dimajukan dengan medan guna tanah yang terkini. Menyentuh mengenai pelaburan masuk ke negeri Kelantan, beta mendapat maklum bahawa beberapa projek besar sedang dalam perancangan dan pelaksanaan yang akan mengubah landskap ekonomi negeri Kelantan seperti projek "supply base" di Tok Bali, pembangunan dan pengindahan tebing Sungai Kelantan di Lembah Sireh, Kota Bharu, projek pembinaan saluran paip petroleum dari Perak ke Kelantan, pelabuhan darat dan pembangunan bersepadu di Kuala Krai. Sektor pembinaan dan pelaburan di negeri Kelantan dijangka akan mempunyai prospek yang tinggi pada tahun-tahun akan datang sekiranya projek-projek seperti projek pembangunan dan pengindahan sungai di jajahan Kota Bharu dan jajahan Tumpat, projek jalan persekutuan laluan lapan dan sembilan (central spine road) dan pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dapat dilaksanakan. Dalam menghadapi risiko banjir setiap kali tibanya musim tengkujuh, beta berharap rancangan tebatan banjir lembangan Sungai Kelantan yang sedang giat dilaksanakan itu akan dapat mengatasi atau mengurangkan banjir di negeri ini. Suka beta menarik perhatian bahawa dalam mengatur perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri, langkah-langkah bagi mengurangkan defisit perbelanjaan perlulah diberi perhatian walaupun belanjawan defisit adalah suatu kelaziman di kebanyakan negara. Sehubungan dengan itu, beta berharap kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah-langkah positif bagi mengurangkan belanjawan defisit supaya angka defisit tersebut masih dalam jangkauan terkawal. Bagi mengurangkan belanjawan defisit, kerajaan negeri seharusnya mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah dengan memberi keutamaan kepada perbelanjaan mengikut keperluan sebenar. Kerajaan negeri hendaknya memberi penekanan kepada meningkatkan hasil dan menambahkan punca hasil. Di kesempatan ini, beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa sambutan perayaan ulang tahun hari keputeraan beta, kerabat-kerabat diraja, menteri besar, ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan, orang-orang besar negeri, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, para alim ulama, pasukan polis dan tentera, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, badan-badan berkanun negeri dan persekutuan, pihak berkuasa tempatan, ahli-ahli pertubuhan kebajikan dan sukarelawan serta seluruh rakyat jelata negeri ini yang beta kasihi yang sentiasa menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada beta. Sebagai mengakhiri titah ucapan beta ini, marilah kita sama-sama memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga kita semua sentiasa mendapat pertolongan dan berada di dalam pemeliharaan serta barakah Allah yang berterusan. Semoga negara dan negeri ini berada di dalam kemakmuran, dilindungi dari apa jua bentuk bala bencana, huru-hara dan perkara-perkara yang tidak diingini. Amin ya rabbal 'alamin Wabillahi taufik wal hidayah Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |
Pimpinan PR Selangor Muafakat Selesai Isu Kontroversi Secara Berhemah Posted: 11 Nov 2011 06:15 PM PST Oleh : Mohd Ezli Mashut SHAH ALAM , 11 NOVEMBER : Pimpinan Pakatan Rakyat Selangor mengamalkan prinsip kesepakatan dan muafakat dalam menyelesaikan sesuatu isu kontroversi dan sensitif di negeri ini demi kesejateraan rakyat keseluruhan. Justeru, pimpinan Pakatan Rakyat yang ditemui TVSelangor semasa waktu rehat sidang DUN Selangor menolak dakwaan ketua pembangkang Datuk Satim Diman yang mendakwa tidak wujud persefahaman dalam polisi Pakatan Rakyat di negeri ini. Sebelum ini, beberapa isu sensitif dan kontroversi seperti isu pengharaman penjualan arak secara terbuka dan pemeriksaan gereja DUMC dicanang oleh sesetengah pihak untuk kepentingan politik sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan rasa tidak senang. ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman berkata, perbezaan pandangan yang dilontarkan Pakatan merupakan suatu perkara biasa kerana akhirnya semua pimpinan mempunyai cara dan penyelasaian yang tuntas terhadap isu tersebut. "Bila bercakap berkenaan polisi, kita perlu kembali kepada keputusan Syura iaitu pandangan Pakatan secara keseluruhan," Dr Rani berkata ketika ditemui di luar Dewan Undangan Negeri. "Dan tidak timbul soal perpecahan dalam pakatan rakyat. Memang wujud perbezaan pandangan tetapi apabila untuk mencapai satu keputusan ini yang akan dikeluarkan oleh Menteri Besar dan sebagainya, dan tidak ada masalah dan tidak wujud apa-apa perpecahan," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor. Semasa perbahasan pembentangan Bajet Selangor 2012, Satim mendakwa perbezaan politik di antara parti Pakatan menyebabkan berlaku konflik dalam pembentukan dasar kerajaan negeri. Adun Batu Caves, Amiruddin Shaari berkata perbezaan pandangan dan pendapat dalam sesebuah kerajaan adalah satu perkara yang biasa,tetapi Pakatan mengambil pandangan dengan mengamalkan prinsip secara muafakat dengan berbincang secara baik bagi menyelesaikan sesuatu isu sensitif demi kesejahteraan semua pihak. "Pembangkang Selangor (BN) hanya membangkitkan isu-isu basi , dan dalam isu DUMC tidak wujud sebarang pertentangan berkenaan polisi Pakatan Rakyat sebab kita akan memastikan kesemua pihak akan mendapat haknya. Sementara itu, Exco Selangor, Teresa Kok berkata tidak wujud masalah dalam perbezaan pandangan di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat kerana muafakat yang wujud adalah untuk mencari penyelesaian dalam sesuatu isu sensitif. "Bagi saya ini suatu perkara yang biasa perbezaan pandangan di kalangan pimpinan kerana ketiga-tiga parti mewakili pengundi daripada kalangan yang berbeza dan kawasan berlainan antara orang Islam dan bukan, jadi pandangan mereka yang diberikan atas sesuatu isu itu juga berlainan. "Dan masing-masing menyuarakan keperihatinan mereka terhadap beberapa isu seperti DUMC , JAIS dan sebagainya. Tetapi akhirnya kesemuanya ada jalan penyelesaian dan tidak wujud lagi isu itu." katanya. |
Panglima Angkatan Tentera Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran Kelantan Posted: 11 Nov 2011 03:07 PM PST KOTA BAHARU, 12 Nov (Bernama) -- Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Mohd Zin mendahului senarai 613 penerima darjah kebesaran, bintang, dan pingat sempena Ulang Tahun ke-42 Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Zulkifli menerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi I) (SPMK) yang membawa gelaran Datuk. Seramai 24 orang lagi menerima darjah kebesaran Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) yang turut membawa gelaran Datuk. Mereka ialah Bendahari Majlis Orang-orang Besar Di Raja Kelantan, Datuk Dr Abdullah Sepien dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Khalid Abu Bakar yang masing-masing menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili I) (SJMK). Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Sri Mohamed Apandi Ali dan Pengerusi Syarikat Sen Media Sekh Mohd Ruzi @ Adnan Sekh Ahamad pula menerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi II) (DPMK). Ketua Pegawai Eksekutif Kuwait Finance House (M) Bhd, Jamelah Jamaluddin pula menerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi II) (DPMK). Empat orang lagi menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili II) (DJMK) iaitu Timbalan Dekan (Ijazah Tinggi) Sekolah Perniagaan Pascasiswazah Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Kampus Kota Universiti Malaya, Dr Tengku Mohamed Faziharudean Datuk Tengku Feissal; Anggota Majlis Mesyuarat Kelantan Abdul Fattah Mahmood; Peguam Tetuan Azmi & Associate Prof (A) Azmi Mohd Ali dan pesara Nik Mustapha Nik Mahmood. Datuk Saharudin Samsudin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan peguam Sulaiman Abdullah pula menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili II) (DJMK). Pengarah Infantri/Tentera Markas Tentera Darat, Jabatan Arah Infantri, Brig Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (Al-Yahyawi II) (DPKK); manakala Panglima Lapan Briged, Markas Lapan Briged, Kem Pengkalan Chepa, Brig Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah menerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (Al-Yahyawi II) (DPKK). Lapan lagi menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi II) (DPSK) iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Che Mohd Hashim Abdullah; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Makhtar Mustapha; Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff. Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Nik Rahmat Nik Taib; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa; Pengarah Tanah dan Galian Kelantan, Wan Mustapha Wan Ab. Hamid; dan Pakar Perunding Kanan Kardiologi, Jabatan Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Zurkurnai Yusof. Dua lagi penerima darjah yang membawa gelaran Datuk adalah Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin yang masing-masing menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi II) (DPSK). Seramai 213 orang menerima darjah kebesaran dan Jaksa Pendamai daripada Sultan di Istana Balai Besar di sini manakala bakinya akan menerimanya pada satu tarikh lain. -- BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan