Kelab Greenboc |
- Skandal ‘Lembu’ Lambang Transformasi Najib
- [Video] Aaliyah, 8 Tahun, Pemenang Pingat Emas Termuda Sukan SEA Ke 26
- Pemuda Cabul Gadis Dalam Bas Ekspres, Dihalau Turun Oleh Pemandu
- PAS Mahu SPRM Siasat Penyelewengan Giatmara
- [Bergambar] Amuk Di Dungun: 2 Cedera, 6 Kenderaan Rosak
- [Kejam] Gadis Dikurung Untuk Paksa Gugurkan Kandungannya
- [Video] Bolasepak Sukan SEA: Malaysia 1 Indonesia 0 [updated]
- Benarkah Najib Pemimpin Sederhana?
- Pengundi Tidak Yakin BN (UMNO & Gerakan) Boleh Rampas Pulau Pinang - Ilham Center
Skandal ‘Lembu’ Lambang Transformasi Najib Posted: 18 Nov 2011 12:16 AM PST Mengikut piawaian Barisan Nasional (BN), skandal National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) tidak sebesar mana, kerana hanya melibatkan kurang dari RM300 juta dana awam. Namun perdebatan hangat yang berterusan tentang skandal ini membolehkan kita menilai tahap tadbir urus negara ini. Dan yang lebih mustahak sama ada terdapat anjakan paradigma di kalangan pemimpin BN di bawah program transformasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Skandal NFC ini memperlihatkan kebiasaan sikap rakus dan tamak BN apabila berdepan dengan dana awam. Sejumlah besar dana awam diberi kepada syarikat-syarikat kroni yang tidak kompeten yang merampok wang dan seterusnya menemui kegagalan untuk mengendalikan projek seperti yang diharapkan. Respon daripada para pemimpin BN, dari perdana menteri ke bawah, tidak berasas melainkan hanya mencari pelbagai alasan dan percubaan untuk menutup skandal ini. Budaya ketelusan dan kebertanggungjawaban nampak begitu asing bagi manusia seperti mereka ini meskipun beratus juta wang pembayar cukai dicurahkan begitu sahaja, ibarat 'menuang air di daun keladi', bagi mengembar gembur pelan transformasi Najib untuk negara ini. NFC diberi tanggungjawab untuk "mentranformasi industri ternakan dan daging lembu supaya muncul sebagai pengeluar daging halal bertaraf antarabangsa", menurut Bernama yang melaporkan majlis menandatangani perjanjian pinjaman mudah RM250 juta pada 6 Disember 2007. Sasaran pengeluaran ialah sebanyak 60,000 ekor lembu bagi Fasa 1 dari ladang lembu di Gemas. Operasi dijadual bermula Februari 2008. NFC kacau bilau Empat tahun kemudian, Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut situasi projek NFC berada dalam keadaan kacau bilau. Jumlah lembu yang mampu disembelih hanya 5,742 sehingga November tahun lalu. Walaupun sasarannya dikurangkan kepada 8,000 ekor lembu setahun, projek itu masih dianggap gagal. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila adanya laporan mengenai salah guna dana awam seperti RM9.8 juta digunakan untuk membeli kondominium mewah dan lebih RM800,000 dibelanjakan untuk keraian dan elaun perjalanan dalam tahun 2009 walaupun syarikat itu mengalami kerugian sebanyak RM7 juta dalam tahun 2008 dan RM11 juta pada 2009. Kelihatannya, NFC akan menerima nasib malang seperti projek mega Barisan Nasional yang lain – Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Perwaja dan lain-lain. Siapa yang memiliki NFC? Keluarga Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita Umno. Suaminya, Mohamad Salleh Ismail, adalah pengerusi dan tiga anak mereka adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengarah- pengarah eksekutif syarikat itu. Lebih malang, anggota keluarga Shahrizat langsung tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang ternakan lembu dan pengeluaran daging lembu. Untuk makluman, terdapat lebih 300 ladang feedlot di negara ini dan banyak syarikat yang terbukti berjaya dalam industri penawaran daging lembu ini. Dengan ramainya bilangan rakyat kita yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini, bukankah lebih baik kita amanahkan sahaja kepada para usahawan yang lebih berkelayakan dari anggota keluarga Shahrizat? Dan lebih melucukan apabila diperhatikan bahawa mereka yang sibuk membela NFC dan Shahrizat adalah personaliti tertinggi Umno seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ketua Pemuda Umno dan terkini, mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pemimpin Umno bela Shahrizat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Parlimen pada 11 November lalu, tidak ada apa yang salah dan sedikit masa lagi pengeluarannya akan meningkat kepada 12,000 ekor lembu dari 6,000 ekor lembu sebelumnya. Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang memulakan projek ini ketika beliau menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata dalam satu sidang media pada 29 Oktober lalu bahawa beliau "tidak nampak apa yang pelik dan satu kesalahan" dengan projek itu. Beliau kemudian menyerahkan kepada penggantinya Datuk Seri Noh Omar untuk menjawab soalan-soalan berikutnya. Noh menafikan wujudnya penyelewengan dalam pemberian projek itu dan menyifatkannya sebagai satu "kejayaan", dengan memberi berbagai alasan walaupun pengeluaran lembu dan daging lembu adalah rendah. Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula, walaupun tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan, kelihatan pelik kerana secara tiba-tiba beliau muncul sebagai juara, sebagai pembela yang paling lantang bersuara. Selain itu, Pak Lah juga timbul untuk menyelamatkan Shahrizat. Pada 15 November, beliau berkata, Shahrizat tidak perlu meletak jawatan kerana beliau bukan CEO dan tidak terlibat. Pak Lah menyuarakan pandangannya kerana ramai yang meminta Shahrizat melepaskan jawatannya sebagai menteri. Tetapi agak menghairankan, tidak ada sesiapa pun yang mendesak supaya kedua-dua menteri ini (Muhyiddin dan Noh Omar) didakwa. Muhyiddin kerana memberi projek ini kepada syarikat yang tidak layak dan Noh Omar kerana gagal mengawal-selia pelaksanaan projek ini. Berhubung badan pemantau rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang selama ini membisu walau pun sudah tiga minggu skandal ini muncul, hanya baru-baru ini menyerahkannya kepada pihak polis dengan alasan bahawa ini kes polis, bukan SPRM. Adakah pihak polis akan melakukan sesuatu? Tekaan anda adalah serupa dengan saya. Inilah yang dikatakan transformasi Najib! -FMT |
[Video] Aaliyah, 8 Tahun, Pemenang Pingat Emas Termuda Sukan SEA Ke 26 Posted: 17 Nov 2011 11:11 PM PST Palembang - Pada usia 8 tahun, Aaliyah Yoong Hanifah muncul atlet paling muda negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA Ke-26 kali ini selepas menjuarai acara tricks wanita dalam sukan ski air di Palembang semalam. AALIYAH (dua dari kiri) diapit kakaknya, Phillipa (kiri) Alex (dua dari kanan) dan bapanya, Hanifah selepas menang emas bagi acara tricks wanita dalam sukan ski air di Palembang semalam. Apa yang paling membanggakan, murid tahun 2 Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putera, Bangi, Selangor itu menewaskan peluncur yang lebih berusia daripadanya sekali gus menjadi tumpuan bukan sahaja media Malaysia tetapi juga dari negara tuan rumah. "Ini kali pertama saya menyertai Sukan SEA dan apabila menang emas memang rasa seronok sangat. Saya gembira dan merasa amat teruja dengan kejayaan ini," katanya yang masih kekok ketika bercakap kepada media. Anak daripada isteri kedua Hanifah Yoong ini menewaskan peluncur dari Thailand di tempat kedua dan Indonesia (ketiga). Terdahulu, Aaliyah sudah menunjukkan tanda awal dia mampu memenangi emas apabila mengungguli pusingan pertama dengan mengumpul jumlah mata tertinggi. Ini sekali gus memberi kelebihan kepadanya untuk beraksi dengan lebih baik pada final ketika dia turun sebagai peluncur paling akhir untuk membuat persembahan. Sementara itu kakak tiri Aaliyah, Philippa Yoong turut menyumbang emas buat kontinjen negara semalam apabila menjuarai acara slalom wanita sukan ski air. Phillipa, 33, anak daripada isteri pertama Hanifah dan adik kepada Alex Yoong menewaskan peluncur Singapura, Sasha Christian di tempat kedua dan Thoyibhatus Ummu Sholika dari Indonesia, ketiga. Ibu kepada tiga anak itu turut mencatat rekod baharu Sukan SEA bagi acara tersebut iaitu 1bouy @55kph 13m line. Kali terakhir acara ski air dipertandingkan ialah pada 1997 di Jakarta. "Saya agak tertekan ketika beraksi kerana diletakkan harapan untuk menang emas di sini. Syukur saya akhirnya berjaya juga," katanya. Ski air juga menyumbang pingat perak semalam menerusi Alex dalam acara slalom lelaki. Kaliber si kecil Aksi Aaliyah Memenangi Sukan Ski Air Sukan SEA Palembang [Video] Latihan Aaliyah Beberapa Bulan Sebelum Sukan SEA |
Pemuda Cabul Gadis Dalam Bas Ekspres, Dihalau Turun Oleh Pemandu Posted: 17 Nov 2011 08:28 PM PST Kajang: Helah seorang lelaki yang pura-pura tidur selepas cuba mencabul seorang pelajar perempuan di dalam bas ekspres gagal apabila dihalau keluar selepas mangsa memaklumkan perbuatan kejinya kepada pemandu bas berkenaan, 11 November lalu. Gambar Fail Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 19 tahun menaiki bas yang dalam perjalanan dari Melaka ke ibu kota dan pada mulanya curiga apabila mendapati tangan penumpang yang duduk di sebelahnya diletakkan berhampiran pinggangnya. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pada mulanya mangsa menyangka lelaki itu ingin mengambil beg yang diletakkan di sebelahnya tanpa mempedulikan tindakan suspek. Katanya, sangkaan mangsa meleset apabila suspek tiba-tiba memegang bahu mangsa beberapa minit. "Suspek yang beranggapan mangsa tidak menyedari perbuatan itu kemudian semakin berani apabila meramas payu dara mangsa menyebabkan mangsa tersentak dengan perbuatan suspek. "Mangsa yang bengang diperlakukan sedemikian kemudian menoleh mukanya untuk memandang suspek tetapi sebaik ditoleh, suspek berpura-pura tidur," katanya. Ab Rashid berkata, mangsa yang tidak berpuas hati kemudian mempersoalkan tindakan suspek yang cuba mencabul kehormatannya. Bagaimanapun, suspek yang bijak berlakon kemudian pura-pura tersedar dari tidurnya selepas mangsa memanggilnya beberapa kali tetapi menafikan memegang payu dara mangsa. "Mangsa yang tidak berpuas hati dengan lakonan dan alasan diberikan segera mendapatkan pemandu bas untuk melaporkan kejadian itu. "Terkejut dengan aduan mangsa, pemandu bas berkenaan memberhentikan basnya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Serdang dan mengarahkan suspek keluar dari bas berkenaan," katanya. Sebelum suspek beredar, pemandu berkenaan sempat mengambil butiran peribadi suspek untuk diberikan kepada pihak berkuasa. Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut. Suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan. -hm |
PAS Mahu SPRM Siasat Penyelewengan Giatmara Posted: 17 Nov 2011 06:30 PM PST Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan bahawa Giat Mara membeli beberapa peralatan tanpa prosedur yang betul. Mendakwa ia satu penyelewengan, Salahuddin mahu SPRM menyiasat perkara itu kerana tidak berpuas hati dengan laporan yang diberikan pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah selepas beliau membangkitkannya di Dewan Rakyat minggu lalu. "Suatu siasatan mesti diadakan dan SPRM mesti bertangungjawab menyiasat dan saya sebagai salah seorang panel khas SPRM di bawah Parlimen akan serah laporan ini kepada SPRM Isnin depan," kata beliau pada sidang media di lobi Prlimen hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, selain tidak meminta sebut harga daripada pihak pembekal sebelum membuat tempahan, peralatan juga dibeli dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada harga sebenar. Laporan tersebut juga langsung tidak menafikan perkara itu. Apa yang dikesalkan, selepas ditegur Ketua Audit Negara, pihak Giat Mara hanya bertindak menghantar surat kepada pihak pembekal meminta wang lebihan dikembalikan. Antara peralatan yang dilaporkan dibeli dengan harga yang tinggi daripada harga pasaran ialah ketuhar berharga RM1,200 berbanding harga pasaran RM419 dan katil boleh lipat pula dibeli dengan harga RM500 berbanding harga pasaran RM100. Dua dapur gas pembakar dibeli dengan harga RM200 setiap satu berbanding harga pasaran RM59.90, mesin gunting rambut yang dibekalkan dengan harga RM250 setiap satu, berbanding harga pasaran RM79 dan pengisar dibeli dengan harga RM140 berbanding harga pasaran RM60. "Jawapan yang saya terima daripada pegawai kementerian, saya anggap tidak munasabah. "Mereka sudah bayar duit kepada pembekal tapi bila audit tegur baru minta syarikat bayar balik harga lebihan. "Betapa tidak telusnya dan tidak cermatnya agensi dalam membeli barang-barang sehingga ditegur audit," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS. -HD |
[Bergambar] Amuk Di Dungun: 2 Cedera, 6 Kenderaan Rosak Posted: 17 Nov 2011 05:06 PM PST Dungun: Dua lelaki cedera manakala cermin enam kenderaan rosak dalam satu kejadian amuk membabitkan seorang lelaki bersenjatakan sebatang cangkul pendek berhampiran Kampung Balai Besar di sini pagi ini. Gambar: Orang ramai membantu pihak polis menangkap seorang lelaki yang mengamuk dipercayai mempunyai masalah kewangan dan rumahtangga di Kampung Balai Besar di sini Dalam kejadian 11 pagi itu, cermin tingkap Surau Ustaz Daud Balai Besar turut pecah akibat dihentak dengan cangkul oleh lelaki berusia 30-an itu. Sebelum itu, lelaki terbabit difahamkan mengamuk dan merosakkan harta benda di rumahnya di Kampung Paya selain memecahkan cermin depan lori miliknya sebelum menaiki motosikal dan membawa sebatang cangkul pendek ke jalan Balai Besar. Sampai di sana, lelaki terbabit yang hanya berseluar pendek tanpa memakai baju bertindak memecah cermin belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah Honda Civic yang pemiliknya sedang minum di sebuah warung berhampiran. Suspek yang dipercayai mengalami tekanan akibat masalah kewangan dan rumahtangga kemudian memecahkan pula cermin depan dua lori milik Majlis Perbandaran Dungun di tepi jalan terbabit. Difahamkan selepas itu, lelaki yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu jengkaut itu menghayunkan cangkul yang dipegangnya ke arah seorang penunggang motosikal menyebabkan mangsa terjatuh ketika cuba mengelak. Mangsa, Mohd Fairul Hizar Ruszelan, 23, yang bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan Sura, berkata dia sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya apabila secara tiba-tiba suspek muncul dan melibaskan cangkul ke arah mukanya. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Paya Besar, Mohd Zukkifli Yaman (kanan) memujuk seorang lelaki yang mengamuk dipercayai mempunyai masalah kewangan dan rumahtangga di Kampung Balai Besar di sini. "Saya sempat mengelak dengan menunduk kepala namun saya hilang kawalan menyebabkan saya terjatuh sebelum sebuah lagi motosikal melanggar dari arah belakang kerana tidak sempat mengelak," katanya. Dalam keadaan ketakutan dan panik itu, dia sempat melihat lelaki itu menerpa ke arahnya dan seorang lagi penunggang motosikal yang terjatuh. Mohd Fairul berkata, dalam keadaan kesakitan akibat kecederaan di sebelah kiri tangan dan kaki setelah terjatuh, dia segera mengangkat pemuda yang melanggar motosikalnya itu dan melarikan diri kerana bimbang dicederakan lelaki itu. Suspek kemudian pergi ke Surau Ustaz Daud dan mandi di dalam kolah di surau berkenaan sebelum bertindak memecahkan tingkap surau terbabit dan cermin sebuah Perodua Viva yang diletakkan di situ. Drama amuk itu reda seketika apabila Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Paya, Zulkifli Yaman, 49, bertindak memujuk suspek yang disifatkan sebagai antara orang yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah sebelum ini. Suasana itu menarik perhatian orang ramai yang melalui jalan itu menyebabkkan keadan agak sesak dengan kehadiran ramai orang ingin melihat lebih dekat kejadian itu sebelum polis tiba. Setelah hampir setengah jam, suspek meminta agar isteri, anak dan ibunya dipanggil untuk diambil gambar oleh wartawan supaya masalah hidupnya dapat disiarkan. Orang ramai bergotong-royong membersihkan cermin Surau Ustaz Daud yang dipecahkan oleh lelaki yang mengamuk. Dia juga meminta agar dibelikan air sirap dan mengkehendaki isterinya sendiri menghantar air itu. Namun selepas terlihat kelibat isterinya, suspek tiba-tiba bertindak agresif dan memecahkan bungkusan air sirap berkenaan sebelum mencekak leher Zulkifli serta cuba menghayun cangkul ke arahnya. Melihat keadaan itu, sepasukan anggota polis berpakaian preman dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun yang sudah bersedia di tempat kejadian menerpa ke arah suspek dan menahannya dengan bantuan orang ramai. Setelah pergelutan berlaku hampir tiga minit, suspek yang berbadan agak gempal berjaya ditahan dan digari sebelum dibawa menaiki kereta peronda untuk dibawa ke IPD Dungun. Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Dahlan Mohd Noor, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, berkata pemuda terbabit kemudiannya dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut. - BERNAMA |
[Kejam] Gadis Dikurung Untuk Paksa Gugurkan Kandungannya Posted: 17 Nov 2011 02:40 PM PST Serdang: Seorang ibu bersekongkol dengan anak lelakinya berusia 17 tahun untuk mengurung seorang remaja perempuan dalam bilik rumah mereka sebelum memaksa mangsa menggugurkan kandungan berusia dua bulan hasil hubungan sulit dengan remaja lelaki terbabit. Gambar hiasan. Remaja perempuan berusia 16 tahun yang masih bersekolah dilaporkan hilang oleh keluarganya dan dikurung dalam satu unit kediaman di pangsapuri di Puchong, sejak dua minggu lalu. Mangsa yang mengandung dua bulan hasil hubungan terlarang dengan teman lelakinya yang tidak lagi bersekolah juga berdepan maut apabila dipaksa menelan pelbagai ubat-ubatan bagi menggugurkan kandungannya. Menurut sumber polis, mangsa keluar dari rumah ibunya di Kajang pada 30 Oktober, kira-kira jam 8 pagi sebelum dibawa ke rumah teman lelaki dan dikurung serta dipaksa tinggal sebilik. Katanya, ketika teman lelaki bersama ibunya ke tempat kerja, mangsa dikurung dan dilarang meninggalkan rumah hingga mereka pulang. "Mangsa dipaksa menggugurkan kandungan bagi mengelak diketahui jiran mengenai hubungan sumbang mereka," katanya di sini, semalam. Sumber berkata, mangsa sebelum ini sanggup tinggal bersama kerana terpedaya dengan janji manis teman lelakinya yang mahu bertanggungjawab dan berkahwin dengannya. Namun, janji tidak ditunaikan, malah mangsa dipaksa menggugurkan kandungan. "Perbuatan kejam dua beranak itu membuatkan mangsa tertekan dan cuba melarikan diri dengan keluar dari rumah, namun hampa selepas semua pintu dikunci dari luar. "Mangsa kemudian menjumpai alat jalur lebar milik teman lelakinya sebelum menghubungi ibunya melalui e-mel," katanya. Katanya, kira-kira jam 5 petang kelmarin, ibu mangsa bersama beberapa anggota polis ke rumah terbabit sebelum memecahkan pintu besi dan membawa pulang gadis berkenaan. Mangsa bersama ibunya membuat laporan di Balai Polis Serdang, di sini, bagi tindakan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan. -hm |
[Video] Bolasepak Sukan SEA: Malaysia 1 Indonesia 0 [updated] Posted: 17 Nov 2011 06:44 AM PST Malaysia mengalahkan Indonesia 1-0 dalam perlawanan yang menentukan siapakah yang layak menjuarai Kumpulan A dalam aksi temasya Sukan SEA yang ke-26. Dengan keputusan itu Malaysia berjaya menjadi juara bagi Kumpulan A. Gol Malaysia dijaringkan oleh gerakan solo yang menarik oleh Syahrul Azhuari pada minit yang ke 17 di separuh masa pertama (sila tonton video di bawah) Dengan kemenangan itu, Malaysia mengumpulkan 10 mata setelah menjadi juara Kumpulan A manakala Indonesia di tempat kedua dengan 9 mata. Di dalam perlawanan separuh akhir nanti yang akan di adakan pada hari Sabtu, Malaysia akan menentang Naib-Juara Kumpulan B iaitu Myanmar dan Indonesia will menentang Vietnam, iaitu Juara kumpulan B. Laporan zikrihusaini bermula: Separuh masa kedua: Minit ke 45: Dah mula!!! Alamak asakan dari Bonai pemain no25. Memang tangkas dia. Nasib baik kurang sikit jer lagi. Fuhhh. Minit ke 51: Sepakan percuma buat malaysia. Dan mendapat sepakan sudut kali ke 8. Minit ke 52: Bahaya!!! Cross dari Bonai ke tengah. Nasib baik tak kemas shoot pemain indonesia tadi. Cepat2 diclearkan oleh Muslim Ahmad. Minit ke 55: Hampir2 gawang dibolosi sekali lagi. Fuhh bonai. Pemain yang harus di mark nih!!! KFC dah tertewas tadi. Terselamat pintu gol malaysia kali ini. Minit ke 56: KFC cemerlang menangkap bola hasil tandukan dari pemain indonesia. Minit ke 57: Izzaq faris dilayangkan kad kuning. Peluang tadi. Sikit jer lagi. Minit ke 58: Irfan Fazail OUT, K Gurusamy IN!! Minit ke 60: Fandi othman tidak teragak-agak membuat try. Meelepasi palang gol dalam 2cm jer. Minit ke 61: Pertukaran pemain indonesia. Tak sure siapa. Minit ke 64: KFC injured. Pergelangan kaki agak tergeliat. Harap tidak serius lah. Come on malaysia cari gol lagi wei!! Minit ke 66: Berlaku dua kali kekasaran oleh pemain indonesia. Kad kunign diberikan. Ramdani pemian no 11. Kesian baddrol bakhtiar. Muka Ong kim swee masih lagi resah ketika ini.Sepakan percuma disempurnakan oleh Baaddrol. Tepat, tetapi terlalu jauh. Minit ke 67: Azwari dijatuhkan. Pemain no17 dilayangkan kad kuning. Memang dioarang nak injuredkan pemain malaysia ker??? Tak boleh jadi nih!! Minit ke 68: Ong Kim swee tak boleh masuk kawasan padang. Aduii.. Harap takda masalah walaupun Jurulatih takda. Minit ke 69: Hantaran terlalu kuat buat Syahrul untuk mengejar bola. Ada pemain indonesia pulak injured. Satu demi satu, insiden berlaku. Minit ke 72: Diego pemain no 24 dilayangkan kad kuning. Sudah 3 kad kuning dilayangkan buat pemain indonesia. Minit ke 73: Syahrul Azwari dibengkes lagi.!! Terjahan yang pantas oleh pemain no 5 dari indonesia.Sepakan percuma dari baddrol bakhtiar, sedikit jer lagi izzaq faris nak cuil bola tuh sikit lagi. Minit ke 74: Pertukaran pemain , Lucas M OUT, OKTO IN. Minit ke 76: Offside dah buat indonesia. Minit ke 77: K gurusamy dipersalahkan kerana menolak pemain indonesia dari belakang. Alamak sepakan sudut buat indonesia, terkena kaki muslim ahmad. Minit ke 78: Pertukaran dari Nazmi OUT, Fakri IN. Bahaya tandukan berbisa dari indonesia. Nasib baik atas palang sikit. Minit ke 80: Come on malaysia cari gol lagi. Bahaya jugak nih. Minit ke 81: Pemain no 11, terlepas bola dan out. Marah jurulatih indonesia. Fakri shakrani, membuat kekasaran. Sepakan percuma buat indonesia. Minit ke 83: Malaysia terlepas peluang. Syahrul Izwari membuat hantaran kepada k gurusamy. Tetapi berjaya, diclearkan oleh pemain indonesia. Sepakan sudut buat Malaysia. Izzaq faris, alamak Minit ke 84: Ong kim swee menggunakan teknologi, walkie talkie. BErhubung dengan jurulatih dibawah. Pemain, malaysia dipersalahkan mahali. Sepakan percuma buat diaorang. Minit ke 86: Baddrol bakhtiar dilayangkan kad kuning. Adui!!! Sepakan percuma buat indonesia. Nasib baik pertahanan dah lama jaga. Minit ke 87: Keadaan padang pun agak menyedihkan. Ada pemain jatuh tiba-tiba, takda orang bengkes. Minit ke 89: Ruginya izzaq faris. Hantaran yang baik dari fandi othman. Dia tergelincir tadi. Minit ke 90: 5 minit masa tambahan. |
Benarkah Najib Pemimpin Sederhana? Posted: 17 Nov 2011 05:45 AM PST Mampukah UMNO membuang sifat ekstremis untuk menjadi sederhana menjelang Perhimpunan Agung UMNO agar selari dengan laungan Datuk Seri Najib Razak di luar negara yang mahu semua agama menentang puak pelampau? Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ini merupakan persoalan yang membingungkan rakyat Malaysia kerana tuntutan kaum dan agama melampau yang wujud hari ini datangnya dari didikan UMNO, termasuk melalui lidah rasminya Utusan Malaysia. "Bolehkah Najib menjadi Perdana Menteri yang sederhana sedangkan beliau membenarkan Utusan Malaysia memfitnah, menimbulkan kebencian kaum dan agama serta membuat tuduhan tidak berasas bahawa DAP mempunyai konspirasi menubuhkan negara Kristian? "Bila Najib di luar negara, beliau akan meletakkan dirinya sebagai penentang puak pelampau, tetapi di dalam negara beliau langsung tidak melakukan apa-apa langsung sejak 31 bulan untuk menyederhanakan pelampau kaum dan agama," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata demikian sebagai respon kepada Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 Januari depan, sebulan selepas Perhimpunan Agung UMNO 2011. Najib memperkenalkan GMM pada Persidangan PBB ke-65 tahun lepas dengan agenda menentang fahaman pelampau dan menggesa golongan sederhana dari semua agama mengamalkan semangat keamanan dan pragmatisme. "Bolehkah Najib melepasi ujian ini sebagai Perdana Menteri yang sederhana pada perhimpunan agung UMNO nanti, sebelum Persidangan Antarabangsa GMM pada bula seterusnya?" kata Kit Siang. – Roketkini Najib rasmi Seminar Pemahaman Wasatiyyah, 1Malaysia Ulasan GB Firmanullah s.w.t.: Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu. Dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu, melainkan untuk pengetahuan Kami tentang siapakah yang mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah. Dan sesungguhnya (peralihan kiblat) itu amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah. Dan tidaklah Allah akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang (yang beriman). Al-Baqarah:143 Ummatan wasatan - Mengikut kitab-kitab tafsir yang muktabar seperti Kitab Tafsir At-Tabari, Fi Zilal Al-Quran, Al-Munir, Al-Sayuthi dan Al-Qurthubi, "wasat" (akar kata wasatiyyah) ialah adil. Jika ada yang mentafsirkan dengan "pertengahan" atau "sederhana", ia menyimpang dari maana sebenar "wasatiyyah". Dan jika mahu juga diterima wasatiyyah itu sebagai pertengahan atau sederhana, maka Rasulullah itulah contoh tauladan wasatiyyah yang sebenar. Mengikut keseluruhan ajaran Islam itulah yang sebenarnya di katakan wasatiyyah. Justeru itu, wasatiyyah bukan bererti terimaajaran Islam separuh, tolak separuh supaya dapat dikatakan "sederhana". Wasatiyyah bukan bererti boleh mengizinkan pemimpin berlaku curang kepada rakyat. Bukan bererti boleh menekan rakyat dan berlaku zalim sesuka hati. Bukan bererti boleh membiarkan isteri membogelkan kepala tanpa bertudung, bukan bererti boleh menangkap orang memberi tazkirah ugama sesuka hati, bukan bererti mengutamakan bangsa sendiri dengan menekan bangsa lain. Yang menghairankan pemimpin yang bercakap tentang wasatiyyah sendiri bukanlah seorang pemimpin yang "sederhana" sepertimana yang dia maksudkan. GB tak perlu dedahkan keaibannya tetapi masing-masing sudah sedia maklum keidupan "kebangsawanan" sang perdana menteri yang kos penyelenggaraan Seri Perdana sahaja adalah RM1.89 juta setahun. Wasatiyyah? |
Pengundi Tidak Yakin BN (UMNO & Gerakan) Boleh Rampas Pulau Pinang - Ilham Center Posted: 17 Nov 2011 04:00 AM PST Dilema dan Permasalahan Pengundi Melayu 1. Politik - Orang Melayu Pulau Pinang di kawasan kajian memperlihatkan sikap tidak kondusif terhadap Kerajaan Negeri (PR-DAP) sekarang kerana; a) Mereka melihat kuasa Melayu telah terhakis apabila Pakatan Rakyat (DAP) memerintah Pulau Pinang. b) Mereka merasakan bahawa Kerajaan Negeri sekarang diperintah dan ditadbir oleh kaum Cina. Mereka tidak melihat perspektif Pakatan Rakyat tetapi dalam kaca mata DAP yang diyakini cauvanis Cina. 2 Ekonomi - Orang Melayu Pulau Pinang merasakan mereka terpinggir dengan arus pembangunan. - Orang Cina dilihat lebih dominan mengaut hasil ekonomi. Golongan mamak juga antara yang sering menjadi perbandingan dengan kejayaan orang Melayu. - Isu hartanah; orang Melayu seolah-olah memahami mereka jauh ketinggalan untuk bersaing menyebabkan mereka akur kuasa jual beli tanah di Pulau Pinang tinggi. Oleh itu, mereka hanya membeli tanah dan rumah di kawasan pinggir Pulau Pinang seperti di Parit Buntar, Sg. Petani, Kulim dan lain-lain. - Selain itu, faktor budaya Melayu yang suka hidup harmoni menyokong penghijrahan untuk tinggal di luar iaitu di pinggir Pulau Pinang. Ini kerana orang Melayu tidak suka kepada hiruk-pikuk kota untuk kehidupan seharian mereka. 3. Sosial -Generasi kedua Melayu Pulau Pinang juga agak rasional dan dilihat terbuka dalam menilai prestasi Kerajaan Negeri yang baru dan kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng. -Generasi ini juga menghadapi cabaran pembangunan yang hebat untuk "survive" dalam arus ini di Pulau Pinang terutama dalam meraih peluang pekerjaan, pendidikan dan pendapatan sara diri. Pandangan terhadap Kerajaan Negeri - Orang Melayu Pulau Pinang melihat bahawa Kerajaan Negeri sekarang ditadbir oleh Cina. Walaupun dahulu Pulau Pinang diperintah oleh GERAKAN, tetapi orang Melayu tidak melihat bahawa dahulu Pulau Pinang ditadbir oleh Cina tetapi dipimpin oleh Barisan Nasional (BN). - Ini menunjukkan bahawa doktrinisasi media terhadap Pulau Pinang dilabel sebagai "Kerajaan Cina atau DAP" memberi kesan positif kepada Melayu dan dilihat berjaya. - Oleh itu, imej kerajaan Negeri dilihat sebagai Kerajaan DAP bukannya Pakatan Rakyat (PR). - Walaupun imej Lim Guan Eng (gambar kanan) sangat dikenali dan dihormati oleh hampir 30% responden tetapi mereka masih meyakini bahawa orang Cina yang mentadbir Pulau Pinang. Siapakah Juara Melayu? 1. PAS - Adakah PAS menjuarai Melayu? TIDAK! PAS Pulau Pinang tidak memberikan kesan di hati pengundi Melayu. - Kehadiran PAS dan dilihat sebagai pembela Melayu-Islam tidak dirasai di sini. - Tokoh-tokoh dan kepimpinan PAS kurang dikenali oleh pengundi berbanding tokoh-tokoh daripada UMNO. - Pada pengamatan ILHAM, ini kerana PAS di bawah Pesuruhjaya, Ustaz Salleh Man terlalu lemah dan gagal meletakkan PAS dikenali dan disegani oleh pengundi sama ada dari segi kebajikan, program kemasyarakatan, dakwah semuanya tidak membekas dihati orang Melayu. - Mengenai kepimpinan Tuan Haji Mohamad Sabu dan Dr. Mujahid Yusof Rawa (beliau berasal daripada Pulau Pinang) ternyata kedua-dua tokoh ini dilihat jauh daripada politik Pulau Pinang dan mereka dikatakan tidak berminat untuk membela nasib orang Melayu Pulau Pinang. - PAS pula dikaitkan sebagai boneka DAP 2. PKR - PKR tidak dilihat boleh membela Melayu walaupun Timbalan Ketua Menteri, Mansor Othman dan EXCO Abdul Malik Abul Kasim merupakan tokoh Melayu berjawatan tinggi di dalam Kerajaan Negeri. - Ini juga kerana PKR dilihat sebagai parti "multiracial" yang agak tidak berideologi Melayu, maka pengundi Melayu melihat bahawa PKR tidak dapat membela nasib Melayu. - Faktor Anwar Ibrahim tidak dilihat dapat mempengaruhi keseluruhan pengundi Melayu di Pulau Pinang, dan hanya berkesan dibeberapa kawasan terutama di Permatang Pauh. - Selain itu, isu yang melibatkan PKR juga sedikit sebanyak memberikan perspektif negatif seperti isu Timbalan Ketua Menteri lama (Fairus) dan isu lompat parti. Siapakah Juara Melayu? 1. UMNO - UMNO Pulau Pinang dilihat didominasi oleh Melayu (berketurunan mamak). Oleh itu, pengundi Melayu agak skeptikal dengan kelompok ini. - Namun begitu, orang Melayu masih lagi melihat dan meyakini bahawa UMNO adalah harapan dan pilihan terbaik bagi mereka untuk terus membela nasib dan masa depan orang Melayu Pulau Pinang. - UMNO tidak mempunyai tokoh yang dikatakan berkaliber dan berdedikasi setelah kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam PKR dan Pakatan Rakyat dan perletakan jawatan Pak Lah sebagai Perdana Menteri serta ketiadaan beliau di dalam UMNO Pusat, namun rakyat masih lagi bergantung harap dengan UMNO. Pandangan Terhadap Dasar Kerajaan Negeri & Lim Guan Eng 1. Dasar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR-DAP) - Orang Melayu di kawasan kajian tidak mengetahui segala dasar baru kerajaan Negeri. - Mereka lebih cenderung kepada segala manfaat yang mereka akan terima secara "one off" sama ada dalam bentuk bantuan kebajikan dan barang-barang keperluan harian seperti; beras, gula, tepung, telur dan wang tunai kerana ia lebih dirasai berbanding dengan pengumuman program dan rancangan pembangunan yang bernilai jutaan ringgit. 2. Populariti Ketua Menteri, Lim Guan Eng - Sama seperti mereka melihat DAP iaitu mereka meyakini bahawa pimpinan Negeri ini adalah Cina dan kerajaan Negeri dipimpin oleh Cina. - Walaupun begitu, Lim Guan Eng lebih dikenali dan disegani dengan sikap "humble", mudah mesra dan sering kali dilihat turun padang. - Namun, atas sentimen dan prejudis UMNO, beliau tetap dilihat sebagai Cina yang mengancam Melayu. Keyakinan Pengundi Melayu 1. Terhadap Barisan Nasional - Majoriti pengundi tidak yakin BN (UMNO & Gerakan) boleh merampas kuasa dari DAP. - Ini kerana pada pandangan mereka perpecahan dalaman Gerakan dan ketiadaan Pak Lah (Mantan Perdana Menteri) di dalam kepimpinan UMNO pusat telah menggelapkan harapan BN untuk kembali memerintah Pulau Pinang. 2. Undi Calon Melayu PAS & PKR - Majoriti pengundi 40 tahun ke atas (40 –80 tahun) tidak akan memberikan undi kepada calon PAS & PKR atas dasar setia pada parti UMNO dan atas sentimen Melayu. - Namun pengundi Muda masih terbuka dengan melihat kepada perkembangan isu dan calon yang disegani serta berkaliber. Harapan Pengundi Melayu Harapan orang Melayu - Membela nasib dan masa depan orang Melayu dengan lebih mendekati mereka dan prihatin atas segala masalah mereka. - Mahukan bantuan secara terus kerana mereka tidak suka kepada persaingan. Jika boleh salurkan bantuan secara terus bukan berlumba-lumba dengan bangsa lain. - Mahukan bantuan "one off" dalam bentuk tunai dan keperluan harian kerana itu lebih menyebabkan mereka yakin kepada kepimpinan kerajaan Negeri. - Mahukan agar kerajaan Negeri tidak bersikap "bias" dan mengamalkan diskriminasi dalam menyalurkan bantuan dan sumbangan - Mahukan tokoh atau calon yang boleh duduk bersembang, turun ke bawah "down to earth" dan boleh sedia mendengar segala keluhan dan masalah mereka. *Laporan "Kajian persepsi dan tanggapan pengundi Melayu terhadap Kerajaan Negeri PR DAP Pulau Pinang" ini disediakan oleh Panel Penyelidikan ILHAM CENTRE. Kajian ini dijalankan pada 7 hingga 9 Oktober 2011, ke atas 720 responden pengundi Melayu berdaftar, meliputi semua daerah mengundi/UPU Parlimen N41: Kepala Batas, N42: Tasek Gelugor & DUN N38: Bayan Lepas. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan